Wednesday 27 February 2013

Bab 20 Kau Perempuan Itu


Masih tidak percaya apa yang didengarinya sebentar tadi, Sarah menampar mukanya perlahan. Terasa sakit kulit mukanya terkena penampar sendiri. Kini giliran lengan putih melepaknya pula menjadi mangsa cubitan diri sendiri. “Auch!”


Kepala paip di sinki dipusingkan ke kiri supaya air mengalir lebih deras. Tubuhnya dibongkokkan sedikit dan kedua-dua belah tangan menadah air yang deras mengalir keluar dari kepala paip dan disapu kasar ke mukanya.

Sarah menggigit bibir bawahnya. Kedua-dua belah tangannya menjadi tongkat di sinki, menampung tubuhnya yang sedang berdiri.

Tanpa sedar air mata mengalir di pipinya. Bodoh betul dia! Bodoh! Macam mana dia boleh sangka bahawa Ari Aqashah yang akan bertunang? Kenapa dalam kepala otak dia hanya terlinatas nama Ari Aqashah semasa Jihan menyebut abangnya anak bertunang? Kenapa dia langsung tidak terfikir orangnya ialah Arif Shah? Kenapa? Dan tanpa sedar dia menyimpan sedikit rasa ‘suka’ terhadap Arif Shah?

Sarah terasa seperti orang bodoh. Selama ini dia menyangka Arif Shah masih ‘single’ rupanya dalam diam lelaki itu sudah pun berpunya dan paling ketara ialah esok lelaki itu akan menjadi tunangan orang. Ya, Marliana, seorang doktor. Sepadan dengan Arif Shah yang juga seorang doktor muda yang berjaya.

Sarah terduduk di tepi sinki dalam tandas. Tubuhnya bersandar di dinding. Tangan naik mengurut dada. Semput sungguh dirasakan ketika ini. Sukar benar mahu bernafas. Terasa udara yang disedut ketika ini seperti asap yang menyesakkan dadanya.

Ketukan di pintu tandas menyentakkan Sarah. Sarah bingkas bangun. Air mata yang masih deras mengalir di pipi di seka dengan belakang tangannya.

“Ya!”. Laung Sarah sedikit kuat supaya orang diluar tahu bahawa dia masih berada dalam tandas. Masih lagi hidup. Belum bunuh diri. Langsung tidak berfikir untuk membunuh diri.

Mendengar sahutan Sarah, ketukan di pintu tandas berhenti senyap serta-merta. Sarah melihat mukanya di cermin. Muka dibasuh berkali-kali supaya matanya yang sedikit berair tidak lagi kelihatan seperti orang baru lepas menangis.

Baju kurung moden kain kapas berwarna merah hati ditarik sedikit untuk menghilangkan kedutan. Sarah membelek wajahnya di dalam cermin sekali lagi. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia akan berdepan dengan makluk tuhan paling kejam sebentar lagi. Dia perlu tenang dan kental.

Berpuas hati dengan keadaan dirinya, Sarah membuka pintu tandas dengan berhati-hati. Kaki melangkah keluar dari tandas di dapur Puan Khalisah.


“Lamanya you masuk tandas.” Tersentak dengan teguran tersebut, Sarah berpaling. Ari Aqashah! Mukanya terasa membahang. Malu mahu berdepan dengan lelaki ini. kalau boleh dia mahu menyorok dalam peti sejuk besar milik Puan Khalisah. Tak mahu lagi dah jumpa dengan lelaki bernama Ari Aqashah ini.

"Kenapa, nampak terkejut sangat nampak I dekat dapur ni." Sarah serba tidak kena. 

"Takde lah. Saya biasa-biasa je. Perlukan apa-apa ke?" Ari Aqashah menggeleng dan meninggalkan ruang dapur. Memberikan sedikit ruang untuk Sarah bernafas. 

Sarah mendekati meja bulat. Melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Tangannya naik menyentuh dadanya. Peristiwa paling memalukan dalam hidup dia. Macam mana dia boleh tersalah orang. 

Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah ketika sampai bersama Arif Shah, rasa terkejut bukan main lagi melihat Ari Aqashah sedang berbual dengan Puan Khalisah. Ya, Ari Aqashah langsung tidak perasan tentang kehadiran dia sehinggalah Jihan yang memaksa Ari Aqashah berkenalan dengannya di dapur. 

“Kak Arah! Kenalkan abang Jee. Ari Aqashah.” Jihan sengeh melebar sambil menarik tangan abangnya yang mahu melarikan diri. Namun sebaik sahaja Sarah berpaling, Ari Aqashah kaku. Jihan berdehem beberapa kali selepas melihat abangnya seperti orang terkejut melihat Sarah.

“Abang, Jee tahulah Kak Arah tu memang cantik tapi janganlah tenung macam nak tersembul niji mata abang tu!” Ari Aqashah yang baru tersedar lekas-lekas menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Terkejut sangat ke? Alahai, jangan nak terkejut sangat. Kalau tahu semua barang hantaran dia tu Sarah yang siapkan, mesti terus tersembul biji mata. Silap-silap rahang gigi pun jatuh berterabur ke lantai.

Menghilangkan rasa kekok yang baru menjelma, Sarah menghadiahkan senyuman kepada Ari Aqashah. “Tahniah! Esok dah jadi tunang oranglah ye?”.

Jihan dan Ari Aqashah berpandangan sesama sendiri. Alahai mamat hidung tinggi ni buat-buat muka terkejut pulak. Kenapa, terperanjat macam mana Sarah tahu dia nak bertunang ke? Tak perlulah buat muka macam tu. Mulut tu tutup sikit, masuk lalat baru tahu.

“I nak bertunang? Macam mana you tahu yang I nak bertunang?” Sarah senyum segaris. Kan dah kata dah mesti mamat hidung tinggi ni terkejut beruk punya sebab Sarah tahu yang dia akan bertunang esok. Tak payah nak sorok-soroklah, bukannya buat benda jahat pun.

“Jihan yang beritahu abang dia nak bertunang, mestilah saya tahu.” Ari Aqashah mengangguk-angguk tanda faham.

“Akak! Bila pulak abang Ari nak bertunang? Abang?”. Muka Sarah dan Ari Aqashah dipandang silih berganti oleh Jihan dengan pandangan pelik. Abang Ari nak bertunang?! Biar betul. Takkan cerita sensasi macam ni dia boleh terlepas dengar kot?

Selama ini yang dia tahu Arif Shah seorang sahaja yang bakal menamatkan zaman bujangnya. Takkan dalam diam-diam Ari Aqashah pun dah buat persiapan nak bertunang kot? Dengan siapa? Atilia, model glamour tu? Eii, tak hingin dia dapat kakak ipar macam tu!

“Abang, abang nak bertunang dengan siapa? Kenapa Jee tak tahu pasal hal ni?” Jihan menampar kuat lengan Ari Aqashah.

Ari Aqashah jungkit bahu. Eh, kenapa jungkit bahu? Bukan awak nak bertunang esok ke? Sarah blank. Jihan terpingga-pingga. Ari Aqashah buat slumber. Arif Shah yang baru menyertai mereka turut membuat muka pelik. Hairan kerana Sarah berada dalam kalangan keluarganya. Who is she?

“Ada apa berbual dekat dapur ni?” Ketiga-tiga manusia itu menoleh serentak.

“Balik pun bakal tunang orang ni. Pergi mana lama sangat ni? Penat mama siapkan semua hantaran Along tau!” Tegur Puan Khalisah yang mahu menyibuk dalam perbulan tiga manusia sebentar tadi agaknya.

Bukan main lagi mengaku bahawa dia yang menyiapkan semua hantaran tunang anak sulungnya. Sarah yang mendengar pengkuan itu hanya berdiam diri. Tak perlu mengaku bahawa dia yang siapkan hantaran tersebut pun. Lagipun bukan dapat apa-apa. Setakat pujian ‘cantiknya!’ ‘pandainya’, bukan kenyang pun.

“Mama! Kak Arah ingat Abang Ari yang nak bertunang esok! Kelakarlah akak ni. Abang Ari ni mana ada girlfriend akak!”. Jihan ketawa kuat. Memang kuat macam hantu pun ada. Kelakar sangat ke? Manalah dia tahu siapa yang nak bertunang, Jihan cuma cakap ‘abang’. 

Memandangkan Arif Shah pernah bagitau dia bahawa dia masih ‘single’ jadi secara automatiknya mestilah Ari Aqashah yang pernah keluar dengan teman wanitanya itu yang akan bertunang!

Rupa-rupanya ‘single’ maksud Arif Shah ialah masih tidak berteman serumah. Teman sekatil. Teman sebilik. Teman umur hidup. Argh! Kenapa dia tidak terfikir akan perkara itu?

Arif Shah yang menyedari bahawa dirinya sedang disebut-sebut dalam perbualan dua orang adiknya bersama Sarah segera mendekati mereka. Barang-barang yang masih berada di tangan di longgokkan di atas meja bulat di dapur.

Bahu Jihan dicuit perlahan. “Kenapa Sarah ada dekat sini?” Ya, memang itu yang berlegar-legar di kepalanya sejak dari tadi. Sejak dari sampai ke rumahnya.

“Ha, untuk pengetahuan abang-abang Jee yang kacak, inilah pembantu rumah kita yang baru tapi tak baru sangat. Cuma abang-abang Jee aje tak pernah berjumpa sebab sibuk sengat dengan kerja.”

Ari Aqashah dan Arif Shah terasa mahu mengutip rahang pipi mereka yang jatuh ke tanah. Kebetulan sungguh! Ari Aqashah langsung tidak menyangka bahawa dia akan berjumpa lagi dengan perempuan ini. Sungguh, langsung tidak sangka!

Sarah hanya berdiam diri. Tidak tahu hendak berkata apa. Puan Khalisah yang perasan akan pandangan tajam Arif Shah kepada Sarah segera menarik lengan sasa anak sulungnya itu.

“Jom, tengok hantaran Along esok. Cantik sangat!”

“Betul! Cantik sangat. Along patut say thank you dekat Kak Arah sebab dia yang tolong siapkan hantaran Along tu tau.” Celah Jihan.

Sarah tersenyum malu. Sumpah dia bukan sahaja malu kerana mendapat pujian daripada Jihan tetapi juga malu kerana selama ini dia menyangka bahawa Ari Aqashah yang akan bertunang. Duh! Silap orang rupanya. 

“Mama yang siapkan hantaran untuk anak mama. Arianna Jihan, stay away from this.” Jihan tutup rapat mulutnya. Eh, mama pula yang nak dapat nama?

“Sejak bila Sarah kerja di sini? Kenapa Sarah tak beritahu saya?” Arif Shah memandang Sarah yang hanya mendiamkan diri. Dia perlu mendapatkan penjelasan Sarah. Terlalu banyak soalan yang berada dalam kepala otaknya sekarang ini.

“Arif Shah, follow me.” Tegas Puan Khalisah memberikan arahan.

Arif Shah terus berpaling mengikut Puan Khalisah ke ruang tamu. Matanya memandang satu  per satu dulang hantaran yang disiapkan oleh pembantu rumah mereka. Tidak sangka Sarah bekerja di rumah ini dan Sarah yang menyiapkan barang hantaran untuknya!

Dan ketika itulah Sarah meminta diri untuk ke tandas. Bertapa di dalam tandas hampir tiga puluh minit lamanya sebelum dia keluar dan Ari Aqashah muncul di belakangnya. Menyibuk je mamat hidung tinggi ni!

Teringat bahawa dia masih ada sesuatu yang belum diselesaikan, Sarah bangkit menuju ke peti sejuk. Barang-barang yang dibeli di pasaraya Mydin dikeluarkan dari peti sejuk. Puding trifle perlu disiapkan segera. 


"Along dengar ke tidak apa yang mama cakap ni? Baju untuk esok semua dah gosok ada dalam almari baju Along." 

Tanpa berkata apa-apa, Arif Shah meninggalkan Puan Khalisah yang masih bercakap-cakap tentang majlisnya pada hari esok. Kakinya memanjat satu per satu anak tangga naik ke atas. Dia perlu menenangkan dirinya.

“Arif Shah!” Laungan Puan Khalisah tidak dipedulikan. Pintu bilik tidurnya ditutup rapat. Arif Shah duduk di meja kerjanya. Tangan naik melurut rambut. Tidak mampu menenangkan hatinya. Teringat bahawa Sarah bekerja untuk keluarganya, kenapa hatinya terasa tidak bahagia? Ya Allah, perasaan apakah ini?

Almari pakaian dibuka. Baju Melayu berwarna krim yang telah siap digosok oleh pembantu rumah dipandang dengan pandangan kosong. Pembantu rumah yang mana? Siapa yang menggosok baju melayunya? Sentuhan Sarahkah pada bajunya? Arif Shah menyentuh dadanya. Ada perasaan aneh menjalar dalam hatinya ketika ini. Sarah! Hatinya menyebut nama Sarah.

Kenapa baru sekarang Sarah muncul? Kenapa tidak sebelum dia memperkenalkan Marliana secara serius kepada ahli keluarganya? Ya Allah, dugaan apakah ini? Kenapa hatinya tiba-tiba rasa berbelah-bahagi untuk meneruskan pertunangannya pada esok hari? Jika dia membatalkan pertunangannya, bagaimana dengan perasaan Marliana? Arif Shah terduduk di kerusi malas di sudut bilik tidurnya.

Otaknya kusut.

I tak sabar sangat nak jadi tunang you. Finally, kita akan bertunang juga. I love you so much, Arif Shah Ramlee.” Masih terngiang-ngiang kata-kata Marliana dalam perbualan telefon mereka sebentar tadi.

Ya, Marliana sangat bahagia dan dia juga sangat bahagia ketika dia belum mengetahui tentang kehadiran Sarah yang begitu dekat dengan keluarganya. Dia suka melihat Sarah berada hampir dengannya namun kenapa kini dia berasa kosong melihat Sarah yang berada begitu dekat dengan dirinya tapi tidak mampu di capai?

Lama merenung kipas siling yang berputar, akhirnya Arif Shah terlelap di kerusi itu.

*********

Suasana di bawah masih riuh-rendah dengan kehadiran beberapa orang saudara-mara yang sudah memenuhi ruang rumah Tuan Ramlee. Sarah yang melihat keriuhan itu hanya tersenyum gembira. Memang rapat betul adik-beradik Tuan Ramlee dan Puan Khalisah. Nampak bahagia benar!

Di suatu sudut matanya menangkap Ari Aqashah dan seorang gadis. Ari Aqashah mencuit hidung gadis itu. Amboi, manja bukan main lagi. Gadis itu pun bukan main seronok lagi bergesel-gesel dengan tubuh Ari Aqashah. Manja lah tu konon! Sukalah Ari Aqashah. Kucing kalau nampak ikan, takkan nak tolak.  Tapi itu bukan perempuan yang dia nampak tempoh hari.

Kalau tidak silap pandangan matanya, gadis tempoh hari lebih tinggi dari gadis ini. Rambut pun warnanya lebih karat berbanding gadis yang sedang bermanja-manja dengan Ari Aqashah ketika ini.

Sarah cuba mengingati wajah gadis yang bersama dengan Ari Aqashah tempoh hari namun gagal. Sekali pandang aje takkan terus melekat dalam kepala otak dia.

“Itu sepupu Ari.” Teguran Mak Som dibelakannya menyebabkan Sarah tersentak. Pegangan gelas kaca terhempas ke lantai. Memang terkejut bebetul, bukan memain.

“Ya Allah!” Jerit Mak Som risau.

Sarah segera menunduk mengutip kaca yang berterabur di atas lantai. Akibat terlalu kelam-kabut, tangan Sarah terkena serpihan gelas kaca.

“Aduh!”

Mak Som tunduk mendapatkan Sarah. “Sakit sangat ke? Kenapa tak berhati-hati ni Arah? Arah berangan apa ni? Ya Allah.. banyaknya darah.” Arif yang yang ketika itu sedang bersembang dengan seseorang berpaling sebaik sahaja mendengar bunyi kaca terhempas. Dia segera berlari mendapatkan Sarah dan Mak Som.

Melihat tangan Sarah yang berdarah, Arif Shah segera menarik tangan Sarah ke sinki. Sarah hanya menurut tanpa banyak soal. Muka Arif Shah yang berkerut-kerut dipandangnya.

“Awak, saya okay. Jangan risau.” Sarah menahan pedih di jarinya akibat terkena air. Sumpah pedih gila rasa nak melompat-lompat sambil menangis namun cuba ditahan sebaik mungkin.

“Kenapa awak tak berhati-hati? Kalau terjadi apa-apa tadi, macam mana?” Marah Arif Shah. Sarah terkejut dengan nada suara Arif Shah yang sedikit kuat. Matanya memandang sekeliling dapur. Tiada sesiapa di situ.
“Saya okay. Awak jangan risau.” Ulang Sarah.

“Saya risau Sarah! Saya risau!” Sarah telan air liur. Kenapa Arif Shah risau? Mahu sahaja dia melontarkan soalan itu kepada Arif Shah. Awak sukakan saya ke? Kalau boleh mahu sahaja dia memberitahu Arif Shah bahawa dia telah tersuka kepada Arif Shah. Namun kenyataan itu hanya disimpan dalam hati.

Arif Shah akan menjadi milik orang lain. Dia bukan perampas. Dia sedar kedudukannya dalam rumah in. Tidak mungkin dia akan menjadi seperti Tina, merampas milik orang lain. Ya Allah, Tina tidak pernah menjadi perampas. Semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT.

Sarah cuba menarik tangannya yang berada dalam genggaman Arif Shah namun Arif Shah menarik tangan itu kembali. “Biar saya letak ubat.”

Sarah menggeleng. Tidak setuju dengan cadangan itu. “Takpe, saya boleh buat sendiri. Sikit aje ni, bukannya putus jari pun.”

Arif Shah tergamam. “Jangan  cakap macam tu! Saya tak suka. Saya tak nak apa-apa berlaku dekat awak.”
Sarah menjegilkan matanya. “Kenapa?”

“Saya sayangkan awak!”

Sarah segera menarik tangannya yang berada dalam genggaman Arif Shah. Arif Shah diam seribu bahasa. Masih berkira-kira dengan permintaan hati dan mindanya. Dia perlu bertindak segera sebelum segalanya terlewat. Dia tidak mahu kehilangan Sarah. Cukuplah sekali dia pernah kehilangan Sarah semasa di hospital beberapa bulan lalu.

Gadis itu tiba-tiba pulang ke rumah membawa ibunya yang sedang sakit tanpa berjumpa atau memberitahunya terlebih dahulu. Kemudian dia bertemu semula dengan gadis ini ketika gadis ini mengambil ubat tempoh hari. Namun ketika itu segalanya masih kabur sehinggalah petang tadi. Sekarang Arif Shah pasti dengan kehendak hatinya.

“Sarah. Saya betul-betul sayangkan awak.”  Sekali lagi Arif Shah mengulangi ayat tersebut. Sarah mahu pengsan. Lututnya tidak mampu menampung berat badannya sendiri. Dia bergerak ke meja  bulat yang selalu digunakan untuk memotong sayur dan makan kuih bersama Mak Som.

Sarah menarik kerusi dan duduk di meja bulat itu. Sarah menggenggam kedua-dua belah tangannya. Hatinya berdebar-debar. Jantungnya berdegup pantas seolah-olah dia baru sahaja menamatkan larian pecut 100 meter. 

“Apa awak merepek ni Arif?” Ujar Sarah perlahan.

Arif Shah mendekati Sarah. Sekali lagi tangan Sarah dibawa ke dalam genggamannya. Sarah kalut menarik tangannya yang berada dalam genggaman Arif Shah.

“Saya tak pernah sukakan awak, jauh sekali mahu menyayangi awak.”

“Jangan bohong diri awak Sarah. Saya tahu awak pun ada perasaan yang sama dengan saya. Saya yakin saya tak bertepuk sebelah tangan. Saya yakin!” Arif Shah memandang ke dalam anak mata Sarah.

“Saya akan batalkan majlis esok. Saya akan buat awak sukakan saya!” Bersungguh-sungguh riak muka Arif Shah. Ini semua kerja gila! This is crazy!

Sarah terasa menyesal pula menerima pelawaan Jihan untuk bermalam di sini. Jika dia tidak bermalam di sini, Arif Shah tidak akan melakukan pengakuan gila seperti ini. Gila? Bukankah pengakuan ini yang dia tunggu-tunggu semenjak dulu lagi?

Sarah tidak pasti! Sarah keliru. “Arif. Kalau betul awak sayangkan saya, lupakan saya. Marliana sayangkan awak sepenuh hatinya.” Sengaja menyebut nama Marliana supaya Arif Shah kembali ke realiti. Arif Shah mungkin tengah sewel sekarang ini sebab itu dia tidak bercakap perkara-perkara yang merepek dan tidak masuk akal. Membatalkan pertunangan. Kau nak mampus?!

Kau sanggup berdepan dengan Puan Khalisah dan Jihan. Bukan itu sahaja kau sanggup dengar caci mari Ari Aqashah kalau kau rampas Arif Shah daripada Marliana? Sarah tak sanggup. Dia rela melepaskan Arif Shah daripada berdepan dengan keluarga ini seumur hidupnya.

I need you!” Tegas Arif Shah.


“Fikirkan keluarga awak, keluarga Marliana! Awak nampak tak betapa ramai saudara-mara yang datang pada malam ini untuk ke majlis pertunangan awak esok?” Marah Sarah. Nada suaranya masih dikawal supaya tidak didengari oleh sesiapa.

“Saya tak kisah semua itu! Saya sayangkan awak Sarah. Saya sanggup tinggalkan semuanya kerana awak.” Ya Allah, sudah sewelkah Arif Shah? Bercakap langsung tidak menggunakan otaknya. Cakap pakai kepala lutut ke mamat ni? Sarah ketap bibir. Geram pula dengan sikap keras kepala Arif Shah.

I don’t need you. Never once. Please, jangan buat saya macam ni.” Rayu Sarah. Dia tidak sanggup menjadi perampas. Dia pernah terluka dan tidak mungkin dia mahu melihat Marliana terluka.

Arif Shah menggeleng rakus. “Jangan bohong diri awak, Sarah. Saya tahu apa yang ada dalam hati awak.”

Tidak tahan dengan desakan Arif Shah, Sarah perlu bertindak. Dia tidak boleh menjadi bodoh. Arif Shah mungkin keliru atau menjadi begini kerana terlalu berdebar-debar dengan majlis pertunangan dia esok agaknya. “Saya akan berhenti kerja dan menghilangkan diri kalau awak terus desak saya macam ni.”

Arif Shah terdiam. “Apa yang awak nak saya buat? Saya sanggup buat apa sahaja asalkan awak terus di sisi saya.”

Sarah menelan air liur. Otaknya ligat berfikir. Sesak! Sungguh dia sesak dengan semua perkara yang berlaku sepanjang hari ini. “Lupakan saya dan teruskan pertunangan dengan Marliana.”

“Saya akan teruskan pertunangan saya. Please, jangan menghilang dari saya. Please.” Rayu Arif Shah.  Ada riak kecewa yang terbit dari wajah kacak Arif Shah. Cermin mata ditanggalkan dan matanya yang sudah berkaca dikesat.

Sarah terasa seperti mahu menangis. Lelaki ini sedang bersedih kerana dia. Kenapa semua ini berlaku kepadanya. Kenapa pada waktu dan ketika ini? Sarah bingkas bangun meninggalkan Arif Shah yang masih melutut di atas lantai. Arif Shah dan dia masing-masing memerlukan masa untuk diri sendiri. Mereka perlu bertenang. Sarah perlukan udara.

Ruang dapur yang biasanya menjadi tempat paling tenang untuk dia dan Mak Som selama ini tidak lagi menjadi tempat yang tenang pada malam ini. terasa sempit dapur luas milik Puan Khalisah dengan kehadiran Arif Shah di sana.

“Ya Allah, berikan aku petunjuk-Mu.” Sarah mengesat air mata yang mengalir di pipi. Sungguh, dia berasa sangat sedih dengan apa yang berlaku pada hari ini. 

Sunday 24 February 2013

Bab 19 Kau Perempuan Itu


Sarah menongkat dagu memandang ke langit yang sudah nampak muram. Pasti petang ini hujan lagi seperti kelmarin. Susahlah dia hendak pulang ke rumah sebentar lagi. Kereta Proton Wira lama milik abah bukannya elok sangat kalau nak memandu ketika hujan lebat.  Tersedar dirinya seolah-olah merungut dengan ke datang hujan Sarah cepat-cepat beristighfar di dalam hatinya.

Teringat hadith Nabi Muhammad s.a.w
"Berdoalah pada waktu mustajab do'a, iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat, dan ketika hujan turun." (Hadith Riwayat Abu Daud)

Tidak sepatutnya dia merungut. Hujan itu turun dalam dua bentuk iaitu rahmat dari Allah swt atau pun musibah daripada Allah swt supaya kita kembali mengingatiNya. Saban hari, bumi kita dilimpahi dengan air hujan yang turun dari langit. Percaturan yang Allah swt tetapkan ini pasti ada maksud dan hikmah yang tersembunyi, walaupun manusia terpaksa meredah hujan yang lebat beserta angin kencang, banjir, dan sebagainya. Tidak terkecuali, sebahagian dari kita merungut dan 'menyalahkan' hujan kerana turun bukan pada masa yang mereka inginkan.

Sedangkan dia masih ada kereta untuk pulang ke rumah pun masih merungut. Bukan perlu meredah hujan sampai basah kuyup.

‘Ya Allah, ampuni aku.’ Bisik Sarah dalam hatinya.

Sarah kembali menatap ruang langit yang terbentang luas di atas sana. Indahnya ciptaan Allah swt. Dalam hatinya Sarah bersyukur segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepadanya. Kesihatan yang baik, keluarga yang sempurna dan kehidupan yang bahagia. Alhamdulillah.

“Akak! Buat apa duduk sini sorang-sorang? Teringat buah hati ye?” Sarah menoleh pantas. Sumpah rasa terkejut gila. Kurang lima tahun umur dia. Nasib abik tak pitam. Jihan kalau sergah orang macam orang duduk jauh sebatu.

“Jee, nanti boleh tak kalau bagi salam dulu? Terkejut akak tau tak? Kalau ada sakit jantung dah pengsan akak dekat sini. Silap-silap dah gol terus.” Jihan tarik muncung empat belas.

“Ha, muncung apa tu? Mulut tu akak ikat riben baru tahu!” Sarah sengaja mengusik. Tadi memanglah dia rasa nak marah juga dengan Jihan tapi lepas tengok muncung anak majikannya yang dah panjang sedepa ni tak jadi pula mahu marah. Rasa kelakar pula tengok muncung Jihan.

Jihan tersengih sambil mengurut bahu Sarah. “Sorry la, Jee tak sengaja nak kejutkan akak tadi. Akak tu tenung langit sampai nak tembus, akak tengok apa? Rindu kekasih hati ya?”

Sarah rasa nak tergelak mendengar perkataan kekasih hati yang terbit dari mulut Jihan. “Kekasih hati mana pulak ni? Akak mana ada kekasihlah. Mengarut aje Jee ni.”

“Habis tu akak termenung ingatkan siapa? Ingatkan abang Jee nak bertunang esok ya?” Jihan merenung anak mata Sarah.

Sarah mengalihkan pandangannya ke tempat lain. “Mana adalah. Akak tengok langit ni, mendung, nak hujan.”

Jihan mencebik. “Tak nak mengaku ye akak ingatkan abang Jee!”

Sarah mencubit lengan Jihan. “Akak nak masuk dalam nak tolong Mak Som kemas apa yang patut. Kejap lagi abah akak sampai lah tu. Jom, masuk dalam. Nak hujan ni.” Sarah menarik tangan Jihan supaya membontotinya masuk ke dalam rumah. Hujan sudah mulai turun renyai-renyai.

Puan Khalisah tersenyum bahagia. “Lis gembira sangat Arif dah nak bertunang. Lega rasa hati Lis nak lepaskan Arif kepada Marliana tu, bang.”

Tuan Ramlee yang sedang tekun memandang dokumen di atas meja kerjanya mengangkat muka memandang Puan Khalisah yang sedang duduk membaca Majalah Solusi di sofa. “Kan abang dah kata, Mar tu baik budaknya. Lagipun dah lama budak berdua tu berkawan. Lepas ni dah bertambah seorang lagi ahli keluarga kita. Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt.”

“Itulah, cantik, berbudi bahasa dan kaya pulak tu menantu kita. Bukan calang-calang orang tu bang, doktor lagi. Bangga jugak Lis dengan kawan-kawan persatuan Lis bila dorang tanya tentang bakal menantu kita tu.” Lebar senyuman Puan Khalisah.

“Abang tak kisah siapa pun menantu kita Lis, asalakan budaknya baik dan pandai menghormati kita sebagai orang tua. Jangan nanti kahwin dengan anak kita, kita pula yang diabaikan oleh anak-anak kita.” Tuan Ramlee bangkit dari kerusi kerjanya dan berjalan menuju ke arah sofa Puan Khalisah.

“Ish! Abang ni ke situ pulak. InsyaAllah Lis percaya anak-anak kita akan pilih pasangan yang baik-baik.” Melihat jelingan Puan Khalisah yang memarahinya, Tuan Ramlee tergelak kecil.

Hidung Puan Khalisah cuit manja. “Hari tu bukan main merajuk lagi bila Arif minta Lis pinangkan Marliana untuk dia ya? Sekarang ni Lis pulak yang beriya-iya seronok nak terima bakal menantu.”

Puan Khalisah ketawa kecil. Siapat tak suka kalau dapat menantu seperti Marliana? Pertuturannya tersusun kemas, bijak dan cantik.

Cepat sungguh masa berlalu. Tiga minggu lalu keluarga Arif Shah sudah pergi merisik Marliana, dan hari ini sedar tidak sedar hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya majlis pertunangan Arif Shah. Keluarga Marliana sudah sibuk membuat pelbagai persiapan sebelum majlis pertunang anak tunggal kesayangan mereka.

Ibu bapa Marliana pun bukan calang-calang orang, antara keluarga kaya-raya di Malaysia. Sungguh Puan Khalisah tidak menyangka bahawa dia akan berbesan dengan orang kaya seperti keluarga Marliana. Bukan dia hanya memilih golongan kaya atau golongan bangsawan, tetapi sudah tuahnya. Ramai kawan-kawan dalam persatuannya memuji bahawa anak sulungnya itu pandai memilih bakal isteri. Bukan sahaja cantik dan bijak tetapi juga kaya-raya dan keluarga terhormat.

“Pandai anak you cari isteri Lis, anak jutawan lagi tu! Kalau menantu you tu ada adik perempuan, dah lama I minta you kenalkan adik perempuan dia untuk anak lelaki I.” Datin Sherry tersenyum-senyum.

Puan Khalisah tergelak besar. “Kaya atau tak bukan perkara utama Datin, yang penting hati ikhlas dan baik. Keluarga I pun bukannya tak berduit sampai nak kena cari menantu kaya-raya. Marliana tu memang baik budaknya.”

Datin Sherry mencebik. “Kalau dah dapat mestilah kata tak minta. Cuba kalau you dapat menantu cikai-cikai aje, mesti hati you pun tak gembira. Tak gitu Datin Inas?” Datin Inas mengangguk-angguk setuju dengan kata-kata Datin Sherry.

Sudahnya Puan Khalisah hanya mendiamkan diri sahaja. Malas mahu berbual lebih lanjut tentang bakal menantunya itu. Bukan apa, Datin Sherry ni banyak sangat memerli daripada memuji, yang Datin Inas pula asyik mengiyakan kata-kata Datin Sherry. Sakit pula hati dia.

Pasti majlis pertunangan yang akan berlangsung dua hari lagi meriah. Entah berapa ramai jemputan yang dijemput oleh Datin Fareeda dan Datuk Zainal. Puan Khalisah perlu menjaga imej keluarga dan imej dirinya sebagai isteri kepada ahli perniagaan berjaya. Tuan Ramlee pun bukan calang-calang orang dalam dunia perniagaan.

Berkenan sungguh dia dengan Marliana pada perjumpaan kali pertama secara formal sebelum majlis merisik beberapa minggu yang lalu. Dia pernah beberapa kali bertemu dengan Marliana ketika wanita itu berkawan dengan anak sulungnya namun dia tidak begitu mengambil pusing tentang kehadiran Marliana kerana sangkanya ketika itu anak sulungnya hanya berkawan biasa dengan Marliana. Ketika majlis makan malam itu, suaminya, Tuan Ramlee juga nampak sungguh gembira.

Marlina pandai mengambil hati ahli keluarga Arif Shah. Jihan dan Ari Aqashah juga nampak menyenangi sikap Marliana yang sangat merendah diri dan tidak bongkak. Kata-kata Marliana juga kedengaran sungguh sopan dan tidak sombong langsung dengan kekayaan milik keluarganya.

“Alhamdulillah, aunty, uncle. Mar bersyukur dengan semua kurniaan Allah kepada Mar dan keluarga Mar tapi Mar lebih suka kehidupan yang sederhana. Duit bukan boleh bawa ke mati pun.” Tuan Ramlee mengangguk-angguk setuju dengan kata-kata Marliana.

“Betul tu Mar, uncle sokong sangat. Dengar tu Ari, duit tu bukan boleh bawa ke mati. Balik kerja dengan papa, kalau terbang sana sini duit banyak pun jauh dengan keluarga tak guna juga.” Ari Aqashah yang sedang menyuap nasi ke dalam mulutnya terhenti.

Nama dia pun kena petik jugak? “Papa, Ari bukannya kumpul duit atau kumpul harta, Ari cuma nak timba pengalaman.”

“Abang, biarlah Ari dengan kerjaya dia. Dah dia suka dengan kerja macam tu, kita sokong ajelah. Lagi pun abang yang tolong dia masuk dalam kerja dia sekarang ni kan, sekarang abang nak merungut pulak ye?” Puan Khalisah menyentuh lembut lengan Tuan Ramlee.

“Termenung apa pulak isteri abang ni? Abang nak masuk tidur ni. Jom? Ke Lis nak tidur dalam bilik kerja abang ni?”

Puan Khalisah menarik nafas dalam-dalam. Kenangan majlis makan malam beberapa minggu yang lalu kian malap dari ingatan Puan Khalisah. Dia masih ada banyak perkara yang perlu dia lakukan pada esok hari selain mengingati kenangan lalu.

“Abang nak tinggalkan Lis dalam bilik ni ke?” Puan Khalisah buat-buat nada merajuk.

Tuan Ramlee yang sudah mahu melangkah keluar kembali mendapatkan isterinya, tangan isterinya dipimpim keluar bersama-sama dari bilik kerjanya. “Ala sayang-sayang abang ni. Nak abang dukung naik ke atas ke?”

Puan Khalisah menjeling. “Abang jangan nak mengada-ngada. Lis boleh jalan sendiri.”

Sudahnya Tuan Ramlee ketawa kuat.

 ***********

Teruja dengan persiapan bertunang anaknya, Puan Khalisah memaksa Jihan membantunya untuk membuat sendiri semua hantaran yang akan diberikan kepada pihak perempuan. Mereka kesuntukan masa. Kalau nak tempah siapa yang sanggup buat dalam tempoh masa yang sangat singkat. Semua ini akan diguna pada esok hari. Siapa yang mahu menempah maut mengambil risiko. Kalau tak siap jenuh!

Melihat Jihan yang terkial-kial mahu menghias dulang hantaran Puan Khalisah bersuara. “Kenapa berpusing-pusing dulang tu mama tengok Jee kerjakan? Apa masalahnya”

“Mama, Jee bukannya reti sangat nak menghias semua benda alah ni. Tak minatlah ma.” Ngomel Jihan kepada Puan Khalisah. Dia minat bahagian kira duit dan berurusan dengan pelanggan, bukan berurusan dengan bunga-bunga semua ni.

Rasa macam nak menjerit pun ada juga sekarang ni. Manalah dia reti nak menghias dulang hantaran ni, nak cucuk bunga di mana, nak bubuh daun di mana. Sumpah dia memang tak reti!

“Orang perempuan kena minat dengan semua ini, baru boleh jadi isteri dan wanita yang berjaya dalam hidup! Baru lengkap kehidupan kita ni.” Bebel Puan Khalisah tidak berpuas hati dengan sikap anaknya.

“Cuba tengok mama buat ni, bukannya susah sangat. Kalau dulang ni sikit aje, mama tak perlu minta tolong Jee, mama boleh buat semua sendiri. Jee tengoklah sendiri berapa banyak lagi dulang yang perlu kita siapkan. Kalau bukan Jee yang tolong mama, siapa lagi yang boleh tolong mama?” Panjang lebar ceramah Puan Khalisah.

“Ma, Jee bukannya tak nak tolong mama tapi Jee mana reti nak buat semua ni. Mama ajaklah Mak Som tolong mama.” Puan Khalisah meletakkan bunga di tangannya di atas lantai. Wajah masam mencuka Jihan di pandang.

“Kalau Mak Som tolong mama, Jee pergi masak dan kemas dapur,boleh?”

“Iyelah, Jee tolong mama dekat sini!” Nada suara Jihan sudah berubah merajuk. Menyampah dah dia tengok bunga-bunga dan dulang yang bersepah di ruang tamu rumah ni.

Kalau bukan kerana dipaksa oleh Puan Khalisah, jangan harap dia sudi mengadap benda alah ini semua. Semak kepala. Semak perut. Rasa lemah urat saraf. Esok majlis, hari ini baru Puan Khalisah kelam-kabut mengajaknya menyiapkan semua dulang hantaran.

“Kenapa mama tak siapkan semua ni awal-awal? Last minute baru nak buat. Dah la susah nak buat semua ni!” Jihan merungut kepada Puan Khalisah.

“Mama sibuk dengan persatuan. Mama pun ada kerja mama jugak, janganlah merungut. Tak baik tau. Nanti kalau Jee nak kahwin mungkin Kak Mar pula yang tolong Jee.” Puan Khalisah cuba memujuk Jihan.

“Kalau tempah kan senang.” Jihan menambah. Puan Khalisah tidak membalas. Biarlah anak dia bercakap seorang diri. Dari tadi mengomel tak habis-habis tapi kerja tak juga siap-siap. Sebiji dulang itulah yang dia pegang sejak tadi sampai sekarang. Dah sejam lebih rasanya tapi apa hasil pun tak nampak lagi.

Yang paling Jihan geram ialah mama berkeras tidak mahu menempah hantaran kahwin Alongnya. Apa salahnya kalau tempah, lagi cantik. Lebih berpuas hati, lagipun bukannya mereka tidak mempunyai duit untuk membayar harga tempahan. Alah, berapa sangatlah harganya. Kononnya Puan Khalisah mahu melihat hasil kerja tangan sendiri, baru berpuas hati. Sekarang, apa sudah jadi?


 “Kak Sarah! Baru sampai ke?” Laung Jihan dari ruang tamu rumah banglo itu. Sarah yang kebetulan baru tiba ke rumah itu berpaling mencari kedudukan Jihan.

Melihat barang-barang yang berterabur di atas lantai di sekeliling Puan Khalisah dan Jihan, tanpa segan silu Sarah menuju ke arah mereka. Laju sahaja kaki menapak ke sana. Biarlah Puan Khalisah nak membebel apa pulak kali ini. Malas mahu melayan lagi. Masuk terlinga kiri, keluar telinga kanan.

 “Ada apa-apa yang akak boleh tolong?” Soalan ini khas ditujukan kepada Jihan, bukan mama Jihan. Soalan yang sepatutnya dia mahu tanya ialah ‘Kenapa bersepah sangat ni? Tsunami kecil mana yang dah melanda.’ Tapi Sarah Cuma bersoal jawab di dalam hatinya sahaja.

“Tak perlu nak menyemak dekat sini pulak. Pergi tolong Mak Som di dapur!” Menyemak? Pedas. Tersusuk ke tangkai hati. Ya Allah, tabahkanlah hatiku untuk menghadapi wanita di hadapanku ini Ya Allah.
“Mama! Biarlah Kak Arah tolong kita. Kalau mama tak suka, biar Kak Arah tolong Jee! Mama ingat senang ke nak hias semua benda ni? Jee suruh mama tempah, mama nak buat sendiri. Tengok sekarang ni siapa yang susah? Jee jugak kan?” Balas Jihan geram.

“Puan, biar saya tolong Jihan ye. Lepas siap semua ni, saya tolong Mak Som di dapur. Lagipun baru pukul 8.00 pagi, Mak Som belum masak untuk tengah hari.” Lembut tutur kata yang diucapkan oleh Sarah. Namun entah kenapa hati wanita hampir separuh abad ini menyampah mendengar suara lunak manja milik Sarah.

Tanpa menunggu reaksi daripada Puan Khalisah, Sarah melabuhkan duduknya di hadapan Puan Khalisah. Beg tangannya diletakkan di tepi kaki kanannya. ‘Walaupun puan menyampah menatap wajah saya, tataplah puan, saya minta maaf tapi ini sahaja tempat yang ada untuk saya duduk.’ Kata Sarah dalam hatinya.

Puan Khalisah menjeling tidak berpuas hati. Sarah buat-buat tidak nampak. Melihatkan gaya Puan Khalisah dan Jihan yang terkial-kial menyediakan hantaran tunang ini, Sarah rasa ini sudah jatuh tahap wajib untuk dia membantu dua beranak ini. Kalau dibiarkan sampai hari bertunang esok, takut pula kalau semua barang-barang hantaran ini masuk beg plastik One Utama aje.  Silap-silap masuk beg plastik TESCO.

“Akak tolong Jee ye?” Jihan pantas mengangguk.

Gila kalau tak setuju. Sejak lepas Subuh tadi dia duduk bersimpuh dekat ruang tamu ini dengan mama dia, sampai sekarang ni sebiji dulang pun langsung tak siap lagi. Kalau takde orang tolong alamatnya esok memang takde dulang hantaran tunanglah Along dia.

Sarah mengambil tas tangan berwarna Electric Blue jenama Channel itu dalam diletakkan di atas dulang yang dibeli oleh Puan Khalisah. Cantik sungguh dulang. Tengok kaki dulang aje pun dah tahu harga dulang ini mesti mahal.

Tangkai bunga Lili yang agak panjang dipotong sedikit supaya bunga Lili itu terletak cantik di atas dulang. Alahai, cantiknya bunga Lili berwarna putih ini. Sarah rasa jatuh hati dengan bunga Lili di tangannya. 

Selalunya orang guna bunga ros tapi kali ini nampak kelainan sedikit apabila Puan Khalisah menggunakan bunga Lili. Memang high taste!  Pelapik dulang berwarna peach dilapik dahulu sebelum tas tangan mahal itu diletakkan di atas dulang. Bunga Lili berwarna putih diletak cantik menghiasi sekeliling dulang tas tangan itu. Siap! Cantik juga hasil kerja tangan Sarah.

Kini kain pasang berwarna hijau pucuk pisang itu dibentukkan menjadi kelopak bunga. Kemas dan cantik sekali hasil kerja tangan Sarah. Dia juga berminat dengan duit, tapi kalau bab seni dia memang suka. Memang bakat semulajadi. Kain pasang itu juga dihiasi dengan bunga Lili. Cantik sungguh bunga Lili ini. Pandai Puan Khalisah memilih bunga untuk dihias di atas dulang, biasanya orang hanya menggunakan bunga ros merah, tetapi kali ini Puan Khalisah mencipta kelainan dengan menggunakan bunga Lili untuk semua dulang hantaran. Mungkin suatu hari nanti bila dia berkahwin dia juga mahu menggunakan bunga Lili.

Selama hampir satu jam empat pukul lima minit Sarah bertungkus lumut menyiapkan dulang hantaran, akhirnya kesemua lapan dulang hantara telah siap. Ada tas tangan, kain pasang, kain telekung, coklat, kek cawan yang sungguh comel, jam tangan, kaca mata dan sebentuk cincin. Bertuah betul perempuan yang dapat bertunang dengan si hidung tinggi itu. Nampak benar si hidung tinggi itu sayang kepadanya.  

Semua barang-barang yang ada di atas dulang bukannya barangan murah,semuanya ada jenama. Untunglah dapat kahwin dengan anak orang kaya. Kalau tak kaya terpaksa makan pasir lepas kahwin kalau nak semua barang ini untuk hantaran kahwin. Sarah tergelak kecil dalam hatinya. Tak pernah dia bermimpi untuk mendapatkan semua barang ini. langsung tak pernah terlintas di hatinya.

“Mama! Lapan ke? Bukan nombor ganjil ke kita kena bagi?” Celah Jihan tiba-tiba.

Puan Khalisah kalut. Lapan? Dia mengira satu per satu dulang yang ada. Tidak berpuas hati dengan dua kali kiraan, dia meminta Jihan pula mengira dulang hantaran. Masih lagi lapan.

“Kamu kira Sarah.” Sarah yang leka melayani perasaan terkejut mendengar namanya dipanggil oleh Puan Khalisah. Sarah yang sedang elok duduk bersimpuh kelam-kabut bangkit melutut sambil mengira jumlah dulang hantaran yang sudah siap tersusun di ruang tamu rumah.

“Lapan, puan.” Tutur Sarah perlahan.

“Ala ma, takpe lah lapan pun. Bukan wajib semua ni.”

“Haish! Mana boleh. Ini adat kita. Jom teman mama pergi beli apa-apa yang patut. Kek pun okay mama rasa.” Jihan tarik muka masam. Sudahlah dipaksa bangun awal pagi pada hari ini, sekarang dipaksa keluar pula.


*************
Sarah mencapai sebuah bakul biru di muka pintu Mydin. Dia perlu bertindak pantas membeli semua bahan-bahan yang perlu digunakan untuk membuat pudding trifle. Mak Som punya pasal lah ni, tak pasal-pasal aje dia terpaksa membuat puding itu sekali lagi. Kali ini siap bakal dijadikan hantaran pulak tu. Tak lama lagi glamorlah dia satu Malaysia mahu makan puding trifle sedap!
Dua tin buah dalam tin jenama The Dutchef itu dicapai dan dimasukkan ke dalam bakul berwarna biru yang disangkut di lengannya. Kek gulung perisa vanilla dicapai empat biji. Alang-alang nak buat, buat untuk orang rumah sekali. Kang ada pulak yang meleleh air liur.

“Adik, mana susu cair?” Sarah menyoal kepada salah seorang pekerja Mydin. Memanglah dia boleh cari sendiri tempat susu cair tu tapi sekarang ini dia kejar masa. Kalau nak tawaf satu Mydin ni memang lambat lagilah dia nak balik.

“Sana kak.” Sarah mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Kaki pantas berjalan menuju ke tempat yang ditunjukkan oleh pekerja berbaju biru kuning itu.

Setelah memastikan semua barang yang tercatat dalam notanya telah diambil, Sarah menuju ke kaunter pembayaran untuk membayar semua barang-barang tadi.

Semasa beratur hendak membayar barang yang dibeli, mata Sarah terpandang seraut wajah kacak yang sangat dikenalinya. Apa lelaki itu buat di sini? Takkan nak jemput dia pulak kot? Aih, jangan nak perasan sangat Sarah oi. Jangan nak perasan.

“Sorang ke cik adik manis?” Sarah hanya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

“Awak buat apa dekat sini?” Anak mata hitam pekat milik Arif Shah dipandang. Terasa seperti ada getaran halus mengetuk hatinya. Jangan buat hal dekat sini wahai hati kecilku!

“Beli barang sikit. Jom saya hantar balik.” Tangan yang sibuk mengeluarkan barang-barang dari bakul berwarna biru itu terhenti seketika. Sarah memandang muka Arif Shah.

“Awak nak hantar saya balik?” Arif Shah angguk.

“Tak menyusahkan awak ke? Saya boleh balik naik teksi aje. Lagipun mungkin awak ada hal lain lagi nak buat.” Sarah serba salah. Kalau Arif Shah menghantar dia balik ke rumah, pasti Arif Shah tahu tentang rahsia yang cuba dia sembunyikan selama ini.

Arif Shah membantu Sarah mengeluarkan barang-barang dari bakul berwarna biru itu. “Tak pernah menyusahkan saya. Saya ikhlas nak tolong awak.”

“Kalau macam tu, baiklah!” Sarah mengalah. Mungkin inilah masa yang terbaik untuk dia berterus-terang kepada Arif Shah tentang status dirinya yang sebenar. Arif Shah hanya mengangguk bersahaja.

Selesai mengangkut barang ke dalam boot kereta, Sarah mengambil tempat di sisi Arif Shah. “Pandu ke rumah awak.” Arif Shah memandang Sarah dengan wajah kehairanan. Sarah tergelak dalam hati.
“Iye la cik abang. Pandu ke rumah awak, Villa Lagenda. Now!”. Sarah tergelak kecil melihat reaksi Arif Shah.

“Itu ke rumah saya. Awak nak buat apa ke rumah saya?” Arif Shah pelik. Sarah nak ke rumah dia buat apa pula?
“Arif Shah Ramlee, saya nak awak pandu saya ke rumah awak sekarang juga, boleh?” Bagaikan lembu dicucuk hidung, Arif Shah memandu menghala ke Villa Lagenda tanpa banyak soal. Dalam hatinya pelik nak mampus kenapa perempuan ini mahu ke sana.

Perjalanan ke Villa Lagenda ditemani dengan putaran lagu-lagu Inggeris. Suka dengar lagu orang putih rupanya Arif Shah. Baru daku tahu. Arif Shah menambil sikap berdiam diri, begitu juga dengan Sarah, Masing-masing melayan perasaan sendiri.

Arif Shah terasa senang di sisi gadis ini. Rasa seperti  seseorang yang amat lama dia kenali dan rapat dengannya, sedangkan dia dan Sarah hanya mengenali antara satu dengan lain ketika di hospital. Semasa di rumah Laila dahulu bukan banyak sangat perkara yang dia tahu tentang Sarah.

Sesekali Arif Shah mencuri pandang ke arah gadis yang duduk di sebelahnya ini. Sarah yang sering berbaju kurung moden kain kapas dan berambut panjang dibiarkan lepas ke belakang. Nampak sungguh ayu dan cantik.

Hidung yang sedikit tinggi dan kulit putih kemerah-merahan  milik Sarah sangat memukau pandangan mata. Sudah berpunyakah gadis ini? Arif Shah bersoal di dalam hatinya. Soalan itu hanya mati di dalam hatinya kerana dia tidak berani bersuara.


Sebaik sahaja sampai di Villa Lagenda, Sarah terkejut melihat sebuah BMW berwarna hitam megah tersadai ditempat letak kereta. ‘Esok nak bertunang hari ni baru nampak muka!’ Cebik Sarah dalam hati.


Sepanjang tiga minggu sejak majlis merisik sampailah sekarang langsung dia tidak pernah nampak Ari Aqashah pulang ke rumah. Dah la langsung tidak menghulurkan bantuan untuk majlis bertunang, ni tiba-tiba aje balik ke rumah. Takut nak bertunang esoklah tu. Pasti mencari Puan Khalisah supaya menenangkan dia.

“Awak tolong saya angkat barang-barang tu masuk dalam rumah, boleh” Pinta Sarah kepada Arif Shah.

“Awak nak jumpa Jihan ke?” Soal Arif Shah yang melihat Sarah menonong turun dari kereta. Pelik betul dengan sikap perempuan ini. Macam datang rumah sendiri pulak.

Tanpa menjawab soalan Arif Shah, Sarah terlebih dahulu menanggalkan kasutnya dan masuk ke dalam rumah. Dia terus menuju ke dapur meninggalkan Arif Shah terpingga-pingga di depan pintu utama rumah sendiri.

Lambat-lambat Arif Shah bergerak ke boot kereta dan mengeluarkan barang-barang yang dibeli oleh Sarah sebentar tadi. Pelik bin sangat pelik sikap Sarah ni.