Sunday 20 March 2016

Bab 20 Dia Lelaki Idaman Hati


Pintu almari dibuka lemah. Rasa malas betul nak masuk kerja pada hari ini. Lama Riana termenung di hadapan deretan pakaian kerjanya. Tidak tahu pakaian mana hendak dipakai pada hari ini untuk menunjukkan mood dirinya yang suram dan mendung.
Melihat sehelai baju tanpa lengan berwarna putih, Riana padankan dengan sehelai skirt labuh berwarna hitam. Jaket berwarna hitam turut ditarik keluar. Laci bahagian bawah almarinya dibuka. Deretan selendang terhidang di depan mata. Tanpa berfikir panjang, selendang sutera berwarna hitam ditarik keluar.


Selesai bersiap ala kadar, Riana membetulkan sedikit selendang di atas kepala. Berpuas hati dengan penampilan dirinya, tangan laju sahaja mencapai beg tangan jenama Balenciaga berwarna merah jambu di hujung katil.
Sebaik sahaja pintu terbuka, Riana terserempak dengan Firhad di depan tangga. “Dah nak pergi kerja ke?” Soal Riana sekadar berbahasa. Memang nampak Firhad dengan kemeja dan tali leher bagai, memanglah lelaki itu hendak ke pejabat!
Yeap. Ria dah siap?”
“Dah.”
“Okaylah, abang pergi dulu. Hati-hati.”
Riana sekadar senyum nipis. Tak pernah Firhad keluar selepas dia. Lelaki itu akan keluar dahulu dan membiarkan dia mengunci semua pintu rumah. Iyelah, dia perempuan yang tahu jaga diri. Dia boleh buat semuanya sendiri.
Riana menapak lemah memijak satu per satu anak tangga sehingga ke bawah. Tidak bersemangat hendak ke tempat kerja. Memang rasa malas sangat-sangat nak masuk kerja.
Sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta Megane RS miliknya, Riana menghidupkan enjin, menhala penghawa dingin ke arahnya. Tubuh keras di dalam kereta. Malas mahu bergerak. Lama berteleku di dalam kereta, Riana akhirnya terfikirkan sesuatu.
Telefon bimbit diseluk dalam beg tangan.
“Assalamualaikum, ayah.”
“Waalaikumusalam. Ria, ada apa telefon ayah pagi-pagi ni?” Soal Tuan Amin terkejut.
“Ria nak ambil cuti setengah hari ya? Rasa macam tak berapa sihat pula.”
Riana dengar Tuan Amin ketawa seronok di hujung talian. Pasti lelaki ini berfikir yang dia kemungkinan mengandung! Bukan boleh cakap rasa tak sihat ni dengan orang tua dia, kelam-kabut aje suruh dia pergi ke klinik. “Iyelah, rehat dekat rumah. Kalau masih tak sihat, ambil aje cuti hari ni.”
“Terima kasih ayah.”
“Ria..”
“Ye ayah.”
“Pergilah ke klinik. Mana tahu kot-kot ada apa-apa ke..”
Riana senyum tawar. Walaupun ayah dia tak nampak, dia masih mahu senyum. “Ayah doakan ya?”
“Jaga diri elok-elok. Jangan buat kerja berat.”
“Okay ayah. Assalamualaikum.”
Riana menamatkan panggilan. Gear ditolak ke lambang R menandakan dia mahu reverse. Apabila kereta keluar dari perkarangan rumah banglo milik Firhad, laju kereta Riana memecut ke arah jalan raya.
Disebabkan dia sudah mendapat kebenaran untuk bercuti separuh hari, maka dia akan melencong ke tempat lain.
Riana memarkir keretanya sedikit jauh daripada pejabat Firhad. Dia nampak kereta Firhad di kotak parkir khas yang disediakan oleh syarikat.  Mulut herot ke kiri dan ke kanan memikirkan tindakan dia yang seterusnya. Dua hari lepas dia ada berjumpa dengan Dayana, kata Dayana, Firhad curang terhadap dia. Kononnya ada perempuan lain sering makan pagi bersama suaminya.
Jadi hari ini dia bertindak untuk mengekori Firhad separuh hari. Mahu lihat dengan mata dan kepala sendiri apa yang suami dia lakukan.
Selepas lima belas minit menanti di dalam kereta, Riana terlihat Firhad keluar dari pejabatnya. Baru pukul 9.30 pagi, nak keluar ke mana pula tu? Mata tertancap kepada seraut wajah yang jalan beriringan dengan Firhad.
Dayana.
Apabila kereta Firhad bergerak meninggalkan kawasan itu, Riana turut sama bergerak mengekori mereka berdua.
“Nak ke mana pula dua orang ni?” Soal Riana kepada dirinya sendiri.
Hampir dua puluh minit memandu, Riana tiba di kawasan perumahan. Firhad melepasi kawasan guard tetapi dia pula tersangkut di situ.
“Maaf, puan tak boleh masuk. Hanya penduduk sahaja yang dibenarkan masuk.”
“Tapi kawan saya tinggal dalam sini. Saya nak melawat dia.”
“Berapa nombor rumah kawan puan?” Riana senyap sambil merenung ke arah lelaki muda yang berpakaian putih hitam ini. Manalah dia tahu ini rumah siapa! Nak sebut nombor apa pun dia tidak tahu.
“Err, saya lupa nombor rumah dia. Tak boleh ke benarkan saya masuk? Sekejap aje!”
“Maaf puan, saya tak boleh benarkan puan masuk.”
Riana mengeluh hampa. Tak boleh sambung mengintip Firhad lagi! Dia sudah tidak tahu ke mana suami dia dan Dayana menghilang. Takkan jumpa klien di kawasan seperti ini kot?
Akhirnya Riana mengalah juga apabila dia berulang kali dihalau oleh pengawal keselamatan.


Tidak mempunyai semangat untuk menyambung kerjanya selepas melihat apa yang berlaku di depan matanya pagi tadi, Riana terus melencong ke rumah Puan Zaimah di Bukit Jelutong.
Siaran televisyen berulang kali ditukar. Tidak ada mood mahu menonton televisyen. Semua rancangan tak kena dengan selera dia sekarang ini.
“Hai, nak tengok rancangan apa ni? Ibu baru nak tengok AFC yang Ria pergi tukar tu buat apa?”
Riana menoleh ke arah Puan Zaimah yang merampas alat kawalan jauh televisyen daripadanya. “Ibu ni, bosanlah tengok rancangan masak. Bukannya tak pandai masak pun..”
“Belajar ajelah, tambah ilmu. Nanti boleh memasak untuk Ad.”
Riana mencebik dalam hati. Masak untuk Firhad konon, dia masak bukannya suami dia makan. Baik tak payah masak, membazir aje!
“Abang Ad suka makan luarlah. Dia tak kisah pun kalau Ria tak masak.”
Puan Zaimah memandang anaknya dengan pandangan garang. “Amboi, ajar sangat suami makan di luar ya! Nanti dia cari yang lain dekat luar sana tu baru padan muka Ria.!”
“Apa ibu ni cakap macam tu.. Tak baik tau doakan yang bukan-bukan.”
Sekali lagi Riana terkena jelingan maut ibunya. “Ria tu jangan tunjuk malas sangat ye. Malu ibu kalau Ad tu cakap Ria tak pandai masak atau malas mengemas rumah! Ibu bukannya tak ajar Ria semua tu..”
Nafas dikeluh berat. “Ria tahulah ibu. Ibu dah ajar semuanya pada Ria.” Lemah sahaja nada Riana menuturkan ayat itu. Kalaulah dia boleh berkongsi dengan sesiapa apa yang dia lihat pagi tadi, mungkin lega sikit hati dia ketika ini.
“Kak Zana balik pukul berapa?”
“Petang nantilah macam biasa. Kenapa tanya?”
“Malam ni Ria tidur sini, boleh ya?”
“Eh, kenapa pula tidur sini? Ad tak ada ke?”
“Ada tapi Abang Ad balik kerja lewat hari ini.. Lagi pun Ria nak berbual dengan Kak Zana.” Bukan malam ini aje Firhad balik lewat, setiap malam lelaki itu balik lewat. Memang tak pernahlah dia nampak muka suami dia pukul 6.00 petang atau 6.30 petang dah tercongok di rumah. Kalau itu berlaku memang amazing sangat!
“Amboi-amboi, suami balik lewat dia pula lari ke rumah ibu. Dah minta izin dengan Ad ke belum?”
“Dah..” Bohong Riana. Padahal tak perlu minta izin pun. Memang Firhad izinkan dia ke mana-mana. Nak pergi ke bulan ke, ke bintang ke, pergi ajelah. Bukannya Firhad risaukan dia pun. Buat apa sibuk-sibuk nak beritahu kepada lelaki itu!
“Kalau dah minta izin takpe, ibu benarkan Ria tidur dekat sini. Kalau balik sini sebab bergaduh dengan Ad memang ibu akan halau Ria balik ke sana semula.”
Riana berbaring ke sofa. “Apa ibu merepek ni. Mana ada Ria bergaduhlah. Kalau bergaduh takkanlah Ria nak datang sini.. Baik Ria lari pergi Lombok ke, pergi London ke.. Biar Abang Ad tak boleh cari Ria. Ini dekat rumah ibu, malam nanti dia dah muncul.” Kau bermimpilah kalau Firhad nak cari kau Riana oi! Kalau bergaduh pun Firhad takkan kisahkan kau pun.
“Ala Ria, adatlah berumah tangga ni kalau bergaduh sikit-sikit. Gaduh manja baru seronok.”
“Ermm..” Riana malas hendak bercakap tentang perihal rumah tangganya. Bukannya seronok pun cakap pasal rumah tangga dia. Semuanya menyakitkan hati aje! Takde apa-apa yang gembira langsung. Tambah-tambah selepas apa yang dia nampak pada hari ini.
Ria nak naik atas, nak lelap kejap. Rasa pening-pening pula.” Sengaja mencipta alasan untuk melarikan diri daripada Puan Zaimah.
“Pening? Ada rasa mual-mual nak termuntah ke?” Dahi Riana ditekap dengan telapak tangannya. “Dah pergi klinik?”
“Taka da apa-apa lah ibu. Ni pening sebab ibu ceramah banyak sangat ni..”
“Ria pening-pening ada isi kot?”
“Banyak isi perut ni. Lemak dan bihun goreng pagi tadi pun ada.”
Riana mengaduh sakit apabila tangan Puan Zaimah menampar bahunya dengan kuat. “Main-main! Ibu ni risaukan Ria. Manalah tahu kot-kot Ria mengandung..”
“Takde mengandungnya ibu. Perut kempis lagi ni.” Riana menayang perut kempisnya kepada Puan Zaimah. Mengandunglah sangat! Mengandung lemak adalah. Nak mengandung anak Firhad memang jauh sekali! Boleh dikatakan mustahil sangat!
“Ria dengan Ad dah kahwin tiga bulan lebih ni Ria.. Bila lagi nak bagi ibu dengan ayah cucu?”
“Belum lagilah ibu.”
Tidak berpuas hati dengan jawapan anak perempuannya, Puan Zaimah merenung Riana dengan pandangan tajam. “Ria, anak tu penyambung kasih sayang antara suami dengan isteri. Kalau ada anak nanti hubungan Ria dengan Ad akan bertambah erat!”
“Ria bukannya pandai jaga budak pun.”
“Astaghfirullah hal’azim, anak bertuah!” Sekali lagi Riana mengaduh sakit apabila Puan Zaimah mencubit lengannya pula kali ini. “Ibu pun masa bersalinkan Abang Dee bukannya ibu pernah ada pengalaman jaga anak! Sama-sama belajarlah Ria.”
“Nantilah.. Belum rezeki lagi agaknya.”
“Belum rezeki atau tak mencuba langsung?”
Riana mengeluh kuat. Susah kalau cakap dengan Puan Zaimah. Ibu dia suka memaksa! Nasib baiklah Siti Fairus boleh tahan dengan sikap ibu dia yang asyik tanya pasal anak. Iyelah abang dengan kakak ipar dia pun dah beberapa tahun berkahwin, belum juga ada berita gembira. “Ibu soal rezeki ni bukannya kita boleh paksa. Tak tahu bila Allah nak beri kita rezeki.”
“Memanglah kita tak boleh paksa Allah beri rezeki pada kita tapi kenalah juga mencuba!”
“Ria tengah cubalah ni.. Abang Ad sibuk dengan kerja dia sekarang ni.” Cuba memberi alasan yang lebih munasayah. Kalau cakap sibuk dengan kerja dan belum ada masa mengandung macam logik juga.
“Apa yang sibuk sampai takde masa nak mengandung? Bukannya Ria yang kena kerja teruk.  Ad tu dah stabil, apa masalah lagi?”
Riana buat muka mengada-ngada. Mata dikedip beberapa kali kepada Puan Zaimah. “Abang Ad dengan Ria sama-sama sibuk sebab tu Allah belum bagi kami rezeki. Nak tunggu kami lapang-lapang sikit agaknya.” Kemudian dia ketawa kecil.
“Apa yang kelakarnya? Ingat ibu main-main ke? Ibu serius ni, ibu nak cucu daripada Ria.”
Bibir berhenti ketawa. Riana memandang ke arah Puan Zaimah. Memang nampak serius riak wajah ibunya! Tak senyum langsung. “Ria pening betul-betul ni lepas kena marah. Ria naik atas tidur kejaplah sementara tunggu Kak Zana balik.”
Riana lekas-lekas mengatur langkah kaki ke tingkat atas tanpa menanti jawapan daripada Puan Zaimah. Sambil dia berjalan sempat lagi telinganya menangkap bebelan Puan Zaimah kepada dia. Sengaja menyekat rezeki daripada Allah lah, tidak mahukan anak lah, sengaja merancanglah. Macam-macam ibu dia membebel namun Riana memekakkan telinga sahaja.
Puan Zaimah memang macam tu,kalau dah kahwin wajib ada anak. Kalau takde anak mesti ada yang tak kena dengan perkahwinan tu. Nasib baiklah kakak ipar dia memang seorang yang penyabar. Biarlah Puan Zaimah cakap apapun, tetap juga Siti Fairus mengalah. Memang Rozaidi beruntung betul mempunyai isteri sebaik Siti Fairus!
Riana menolak bahu kakaknya. “Termenung apa? Nak suruh bulan tu jatuh ke riba?” Riana menunjuk ke arah bulan yang terang.
“Sibuk ajelah Ria ni. Ni apahal masuk bilik orang ni?”
“Sajalah.. Nak sambung berbual dengan Kak Zana. Kalau dekat bawah tadi ibu ada. Susah nak bersembang.”
Ruzanna memandang wajah adiknya. “Ada rahsia ke?”
Bibir cantik Riana ketawa kecil. Nampak benar penyibuk kakak dia ni! “Kak Zana tahu tak cerita baru pasal As dengan suami dia?”
“Apasal? Jan buat hal lagi ke?”
Riana angguk. “Kesian betul dengan As tu kan, Kak Zana. Tak sangka betul ada lelaki kejam macam tu dekat muka bumi ni.” Telinga menangkap nafas kuat yang lepaskan oleh Ruzanna. “Kenapa bernafas kuat sampai macam tu?”
Spontan Ruzanna ketawa kecil. “Sempat pula dia kondem Kak Zana bernafas ye. Tu mengeluh namanya!”
“Mengeluh sebab apa?”
“Sebab kesiankan kawan Ria tu lah. As tu bukannya tak cantik. Cantik sangat orangnya. Kalaulah dia berpisah dengan suami dia mungkin dia boleh cari lelaki lain yang lebih baik daripada tu.”
“Itulah yang Ria selalu nasihatkan dia Kak Zana tapi As tu degil. Ria tak faham kenapa dia masih nak sayangkan suami yang langsung tak menghargai dia!” Riana mula diasak dengan emosi. Dia turut sama bersedih kerana nasib dia dengan Asma sama sahaja. Dia pun tidak disayang suami juga. Diabaikan secara fizikal dan mental.
“Ria macam mana? Bahagia tak lepas kahwin? Macam makin kurus aje Kak Zana tengok Ria sekarang ni?” Bahu Riana dipeluk dari sisi.
“Kurus sangat ke?”
Ruzanna angguk. “Sangat-sangat kurus! Macam zombie berjalan aje Kak Zana tengok.”
Kepala tunduk memandang susuk tubuh badannya. Dia sendiri mengakui berat badan dia memang susut lima kilo selepas berkahwin. Sebelum ini 48 kilogram, sekarang hanya 43 kilogram. Memang nampak kurus sangat dengan ketinggian dia 159 sentimeter.
“Nanti makan banyak sikit okay. Ni mimpi apa tiba-tiba balik tidur rumah ibu ni? Rindu dekat Kak Zana ke?”
“Saja, bosan dekat rumah. Abang Ad banyak kerja.” Dia belum bersedia membuka kisah rumah tangganya kepada sesiapa.
“Banyak kerja sampai Ria bosan? Macam mana ni.. Takkan Ad langsung takde masa untuk Ria?”
“Bukan macam tu Kak Zana.. Ria yang teringin nak balik tidur dekat sini bukan sebab Abang Ad abaikan Ria..” Anak mata memandang ke arah lain. Dia bukannya pandai sangat menipu. Selama ini banyak yang dia menipu keluarga dia tentang perkahwinan dia dengan Firhad.
Bukan sekali dua dia balik ke rumah ibunya seorang diri. Banyak kali. Berpuluh kali mungkin! Setiap kali dia pulang seorang diri, setiap kali itulah dia perlu berbohong kononnya Firhad banyak kerja di pejabat.
“Kak Zana bukannya nak menuduh atau memandai tapi pada pandangan mata Kak Ria, anak mata Ria tak mampu menipu. Kak Zana tahu Ria banyak berahsia dengan kami semua tentang perkahwinan Ria. Kenapa?”
Riana kalut. “Apa yang Kak Zana cakap ni? Rahsiakan apa pula?”
“Ria tak bahagia ke dengan perkahwinan ni?
“Kenapa tanya Ria soalan macam tu.. Ria bahagia sangat-sangatlah!” Jantung mula berdetak laju. Bimbang jika Ruzanna dapat menghidu masalah rumah tangganya. “Abang Ad jaga Ria dengan baik. Ria memang bahagia sangat.” Bibir dibasahkan dengan lidah untuk menyembunyikan kekalutan sendiri. Sesekali Riana berdehem kecil.
“Iyelah, kalau itu kata Ria takkan Kak Zana tetap nak kata yang Ria tak bahagia pula kan.”
“Ria masuk bilik dululah. Mengantuk pula. Jomlah tidur, esok nak kerja pula.”
“Ingatkan nak tidur dengan Kak Zana.”
“Ria tidur bilik Ria ajelah. Esok Kak Zana keluar lagi awla daripada Ria kan.”
“Good night.”
Good night!” Riana menutup rapat pintu bilik Ruzanna.

Thursday 17 March 2016

Bab 19 Dia Lelaki idaman Hati


Kaki melangkah ke Dip ‘n Dip di The Curve. Dia sudah berjanji dengan Dayana untuk berjumpa dengan wanita itu pada pukul 3.00 petang dan dia sudah terlewat selama lima belas minit.
Dari jauh dia nampak Dayana yang duduk di satu sudut melambaikan tangan kepadanya. Bibir melemparkan senyuman manis kepada Dayana. Kaki melangkah mendekati wanita jelita itu.
Sorry, I lambat sikit. Hujung minggu macam ni jalan sesak sikit..” Riana menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk berwarna merah itu.
“Takpe, I pun baru aje sampai. Belum order pun lagi..”
Pelayan datang mengambil pesanan.
“Minum?”
Menu dibuka. Cuaca agak mendung dan macam nak hujan.. Kalau minum minuman panas-panas pun sedap juga rasanya.
Caramel latte.” Riana memandang ke arah pelayan.
“Bagi I Cappucino.”
“Pesanan lain, cik?” Soal pelayan.
“Nak makan apa-apa, Ria?”
“Bagi I Dip ‘n Dip Waffle.. And you want to eat anything?”
“”Pancake Mini Tower, please.”
“That’s all?”
Kedua-dua wanita mengangguk mengiyakan pertanyaan pelayan.
Okay miss, thank you.”
Sebaik sahaja pelayan lelaki itu berlalu, Dayana terus menyoal Riana. “You dari mana Ria?”
“Dari rumah.. Tak ke mana-mana hari ni.”
“Eh, tak ke mana-mana? Kan hujung minggu, tak ke rumah your parents ke?”
“Semalam after balik kerja I dah singgah rumah my parents.. So hari ni melepak di rumah aje the whole day.. Mengemas, do some laundry and berehat sampailah you called dan ajak keluar.” Riana tergelak kecil. Sejak dulu lagi membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh dan melipat pakaianlah yang dia paling malas! Malas sungguh.
“Tak pergi rumah Puan Nani?”
Mother in law I takde Dayan.. Pergi umrah. InsyaAllah hari Rabu depan balik..”
Dayana pura-pura terkejut sedangkan dia memang sudah sedia maklum bahawa Puan Nani dan Encik Musa pergi mengerjakan umrah minggu lalu. “Ye ke? Ala, tak tahu pula.. Patutlah lama tak nampak Puan Nani di pejabat. Biasanya seminggu sekali ada juga dia jenguk ke pejabat sambil ajak Ad pergi lunch..”
“Ha.. Itulah. In laws I pergi Mekah minggu lepas.”
“Excuse me, miss..”
Dayana dan Riana memberi ruang kepada pelayan untuk meletakkan pesanan mereka yang sudah sampai di atas meja. Kedua-duanya senyap seketika.
“Enjoy.”
“Thank you.” Ujar Riana sambila tersenyum kepada pelayan lelaki itu.
“So, Ad tahu tak you keluar?” Sengaja dia mahu bertanya tentang Firhad walaupun dia tahu masalah rumah tangga antara Riana dan Firhad. Hello, dah hampir tiga bulan dia berkawan dengan Riana, dia tahu semua rahsia rumah tangga mereka termasuklah mereka berdua tidak tinggal sebilik. Walaupun bukan tahu daripada Riana, sekurang-kurangnya Firhad membuka mulut tentang rumah tangganya dengan Riana.
“Em.. Entah. Ad tak tahu tapi dia dah pesan kalau nak ke mana-mana boleh pergi aje tak perlu cakap dengan dia.. So, I assume dia dah berikan kebenaran untuk I ke mana-mana, kan?” Riana senyum segaris.
“Ad ke takde dekat rumah ke?”
“Nope.”
Cappucino disisip perlahan. Cawan diletakkan semula di atas meja. “Hujung minggu macam ni pun Ad takde dekat rumah ke? I ingatkan korang berdua luangkan masa sama-sama hujung minggu macam ni..”
Bibir tersenyum kelat. “Entahlah Dayan. I pun tak tahu. Ad cakap dia ada banyak kerja di pejabat. Ke pejabatlah agaknya.”
Dayana buat muka terkejut. “Ad cakap dia ke pejabat? Biar betul Ria, I baru balik dari office! I datang jumpa you ni dari office tau. Ad takde di office pun!”
“Mungkin you tak terserempak dengan dia agaknya..” Membela Firhad. Dia tidak mahu membenihkan perasaan curiga dalam hatinya terhadap Firhad.
No! I ada di pejabat sejak awal pagi tadi sampailah pukul 2.30 petang tadi. Takkanlah Ad datang pejabat pukul 7.00 pagi pula?”
Riana jongket bahu. “Abang Ad jumpa dengan sesiapa dulu sebelum masuk pejabat..” Buah kiwi dalam pinggan di hadapannya di cucuk dengan garfu sebelum dicelup ke dalam satu cawan kecil yang mengandungi coklat cair. Kiwi celup coklat itu dibawa ke mulutnya dan dikunyah perlahan. Nikmatnya!
“Ria, you kena tengok sikit suami you tu.. Mungkin dia curang behind you!”
“Tak baik you cakap macam tu tau. Kita takde bukti nak cakap Ad curang behind me.” Riana tidak mahu menuduh. Walaupun dia tahu Firhad tak cintakan dia tetapi untuk menuduh Firhad curang adalah satu tuduhan yang berat kepada Firhad.
“I agak aje Ria.. Tekaan I.”
Kepala menggeleng tanda tidak setuju dengan tuduhan Dayana. “Ish, Ad takkan tipu I. I kenal Ad.. Dia bukan jenis yang menipu.”
“Kenapalah Ad dapat isteri sebaik you! Dah terang-terang dia tak menghargai you, Ria. Kalaulah I yang berada di tempat you, memang I tak sanggup ada suami tapi macam takde suami.” Dayana menggeleng sambil memotong pancake dan disumbat ke dalam mulutnya. “I bukan nak menuduh Ria, tapi hati I kuat mengatakan yang suami you tu curang. He is cheating behind you. Dia ada perempuan lain..”
“Tak baik menuduh macam tu Dayan.. Kalau Ad betul-betul pergi kerja, free aje kita dapat dosa besar kerana memfitnah. I percayakan dia.. I tahu kalau ada apa-apa yang tak kena Ad akan cakap dengan I. kami pernah rapat sangat sebelum kami kahwin. I tak tahu kenapa perkahwinan ni menjarakkan hubungan kami.” Luah Riana lirih.
Kalaulah dia tahu perkahwinan ini membawa jurang kepada hubungan dia dan Firhad, dia tidak mahu berkahwin dengan Firhad. Biarlah dia kekal sebagai seorang adik yang manja sahaja kepada Firhad. Dia sanggup mengenepikan perasaan cinta dia terhadap Firhad. Tapi semuanya terlambat. Firhad tidak mahu berterus-terang dengan dia sejak awal dahulu.
Jika dia tahu semuanya, dia tidak akan berkahwin dengan lelaki itu. Dia akan yakinkan Puan Nani tentang hubungannya dengan Firhad adalah sekadar abang dan adik walaupun akhirnya dia akan melukai diri sendiri.
Ah, sama sahaja seperti sekarang. Dia juga terluka. Dia terluka bila Firhad abaikan dia. Anggap dia seperti patung di rumah mereka. Hanya bercakap bila perlu. Hanya melayani dia dengan baik di hadapan keluarga. Jika tidak, Firhad dan dia hanya diam dan buat hal masing-masing.
Rindunya kenangan dia bersama Firhad.
Andai sahaja dia tahu.. “I yakin Ad bukan lelaki yang menipu perempuan lain. He is a nice guy. I kenal Ad.” Walaupun sehingga sekarang hubungan dia dengan Firhad masih hambar tapi sekurang-kurangnya dia tidak mahu berfikiran negatif tentang lelaki itu.
“Masa bukan penentu kita memahami seseorang Ria. I bukan nak menuduh dia tapi I tengok sejak akhir-akhir ni atas meja Ad selalu aje ada hadiah.”
Riana mencari wajah Dayana. Terkejut dengan kenyataan yang keluar dari bibir cantik Riana. “Hadiah? You tahu ke hadiah daripada siapa?” Ah, syaitan mula mengusik hati kecil dia. Mula memainkan peranan untuk merosakkan hati umat manusia.
Dayana jongket bahu. “I tak tahu sebab hadiah tu semua bukan melalui I. I pun tak tahu siapa yang bagi pada Ad sebab biasanya hadiah tu dah ada atas meja Ad setiap pagi sebelum I sediakan kopi untuk Ad.”
“Apa Ad buat dengan hadiah tu?”
“Mestilah dia simpan.. Kalau you tak percaya you boleh ke pejabat Ad, ada satu kotak hadiah di belakang meja Ad. Semuanya Ad simpan dalam kotak tu Ria..”
Really?” Antara percaya dan tidak. Benarkan Firhad curang? Betulkah lelaki itu ada perempuan lain? Jika ya kenapa Firhad tak cakap sahaja dengan dia kerana banyak kali dia beritahu kepada Firhad jika lelaki itu mempunyai seseorang yang lain dan mahu mereka berpisah, dia perlukan masa untuk bersedia.
Perlahan-lahan hati Riana menangis. Semasa dia memberikan kemeja kepada Firhad, lelaki itu langsung tidak teruja. Juga langsung tidak menunjukkan riak wajah gembira. Wajah Firhad sama. Tersenyum dan mengucapkan terima kasih.. ‘Lain kali jangan membazir, abang boleh beli baju sendiri.’
Terasa juga dengan pesanan Firhad tapi dia tepis jauh-jauh perasaan terasa hati itu. Mungkin waktu ketika dia memberikan hadiah itu tidak sesuai. Lelaki itu baru sahaja pulang dari kerja dan belum mandi dan berehat, dia pula sudah pandai-pandai menghulur beg kertas yang mengandungi sehelai kemeja di dalamnya.
“Mungkin hadiah dari client agaknya.. Ad kan banyak berjumpa dengan client..” Cubaan untuk memujuk diri sendiri walaupun hati sudah walang.
Dayana menepuk tangannya sendiri. “Come on, Ria.. Sejak bila client suka bagi hadiah? You pun ada client you sendiri kan, ada ke you atau client you bagi hadiah pada you? Itu dah kira rasuah tu Ria..”
Riana menggigit bibirnya sendiri. Betul juga kata Dayana.
What should I do, then?”
“Entahlah Ria. I tak boleh masuk campur urusan rumah tangga you dengan Ad sebab I orang luar tapi I beritahu you sebab I tak mahu Ad menipu you..You tahu kan yang kita kawan.”
Riana angguk perlahan. Sudah banyak kali dia berjumpa dengan Dayana. Sudah hampir tiga bulan dia berkawan dengan wanita ini. Banyak cerita tentang Firhad yang dia dengar daripada Dayana dan wanita ini juga sering berkunjung ke rumah dia di Kajang Height.
Apa yang dia perasan sejak akhir-akhir ini hubungan Firhad dan Dayana agak dingin mungkin kerana Firhad sudah mula perasan yang Dayana membocorkan rahsia Firhad agaknya.
“Dayan, boleh I tanya you something?”
Kepala diangguk perlahan. “Ask me anything yang you nak tahu.. Apa yang I boleh jawab I will jawab.”
“Kalau betul Ad ada perempuan lain, apa yang I patut buat?” Terluah juga dia persoalan yang selama ini langsung tidak pernah dia tanyakan kepada sesiapa termasuklah diri sendiri.
Dia hanya berkata kepada Firhad jika ada orang lain, beritahu dia.. Dia mahu bersedia. Bersedia bagaimana dia tidak tahu. Bermadu?
Tidak mungkinlah. Dahulu dia bukan main lagi bertegas dengan Asma jangan bermadu bila wanita itu memilih untuk bermadu berbanding menyandang gelaran janda. Kononnya bermadu lagi perit berbanding menjadi janda. Macamlah dia tahu kedua-duanya sedangkan dia tidak pernah pun berada dalam mana-mana situasi. Sekarang pun dia rasa juga perit bila ada suami tapi macam tiada.
Dayana bersandar malas di kerusi. Kaki disilangkan dan mata memandang wajah mendung Riana. “Kalau I ada di tempat you Ria, I takkan berdiam diri. I takkan sewenang-wenangnya membiarkan lelaki mempermainkan hati I.”
“Apa yang you buat?” Soal Riana dengan perasaan berdebar.
Leave him dan prove to him yang I boleh hidup tanpa dia.”
Detak jantung terasa terhenti seketika apabila mendengar ayat ‘leave him…’. Jika diingatkan semula, ayat inilah yang sering dia luahkan kepada Asma ketika teman baiknya itu mempunyai masalah rumah tangga. Ketika Fauzan buat hal, dia sering menuturkan ayat supaya Asma meninggalkan Fauzan kononnya Asma akan lebih bahagia selepas bersendirian. Kononnya masih ada ramai lelaki baik diluar sana yang sudi menerima Asma sebagai teman hidup.
Konon.
Memang mudah menuturkan ayat apabila kita tidak berada dalam keadaan itu.Mudah kerana bukan kita yang terpaksa berdepan dengan situasi itu. Kini, dia terasa peritnya keadaan itu.
Baru dia terasa seperti berada di tempat Asma apabila seseorang meminta kita meninggalkan orang kesayangan kita.
Allah.
Perit.
Hampir tiga bulan berkahwin dengan Firhad, dia masih belum menikmati perasaan seorang isteri yang gembira. Setiap hari masing-masing buat hal sendiri. Firhad hanya makan di rumah ketika Puan Nani atau ahli keluarga yang lain datang berkunjung ke rumah mewah miliknya.
Hari-hari yang lain, Riana hanya makan seorang diri sambil ditemani bunyi dari televisyen.
“Ria, I tahu you sedih tapi you jangan risau. I akan cuba siasat siapa perempuan yang cuba rampas Ad daripada you, okay?”
No, Dayan. I tak nak ragui Ad. Tak baik kalau I tak percayakan suami I sendiri..” Serba-salah pula dia ketika ini. Takkan dia tak percayakan Firhad?
Dia memilih untuk mempercayai Firhad. Selagi dia tidak melihat dengan mata kepala dia sendiri atau selagi Firhad tidak membuka mulut tentang perpisahan, dia takkan minta.
Kenapa dia mahu melukakan hati ibu bapa mereka sedangkan di mata mereka dia dan Firhad adalah pasangan sempurna dan bahagia cuma belum ada rezeki untuk mempunyai anak sendiri.
Itu dari sudut pandangan mata mereka yang tertipu dengan lakonan yang dia dan Firhad paparkan di mata mereka.
Hakikatnya?
Hanya dia dan Firhad yang tahu.
Asma dan Dayana yang rapat dengan dia pun langsung tidak pernah dia buka mulut tentang masalah bilik tidur. Itu terlalu peribadi untuk dia luahkan.
You tak nak tahu pasal Firhad? Betul you tak nak tahu dengan siapa dia jalinkan hubungan sulit?”
“Dayan, I tak nak ragui suami I sendiri. Kalau Ad tahu I am sure he is not happy.”
Dayana mengeluh. Susah betul nak yakinkan Riana tentang hubungan sulit Firhad dengan perempuan lain. Takkanlah dia perlu hantar gambar dia berpelukan dengan Firhad baru Riana nak percaya?
Bodoh!
“Firhad takkan tahu pasal rancangan kita. Trust me. Bila I tahu aje pasal perempuan yang ada hubungan dengan Ad, I akan beritahu you. Selagi belum ada apa-apa news daripada I, you jangan tanya Ad apa-apa, okay?”
“Dayan, I rasa tak elok kalau kita nak intip Ad.”
“Ria, you percayakan I, kan? I akan pastikan yang Ad takkan tahu tentang hal ni. Okay?”
Perlahan-lahan Riana mengangguk. Mengalah. “Make sure husband I tak tahu pasal ni..”
“Don’t worry.”  Dayana melemparkan senyuman manis.
Pintu bilik Firhad di pandang sahaja tanpa berbuat apa-apa tindakan. Sudah hampir dua minit dia berdiri tegak di hadapan pintu bilik ini. Lupa bila kali terakhir dia berbual dengan Firhad. Mungkin dua hari lepas?
Kali terakhir makan?
Malam semalam, itu pun sebab mereka makan malam di rumah keluarga Riana. Kalau tak jangan harap nak duduk makan malam satu meja dengan Firhad.
Tangan naik berkira-kira mahu mengetuk pintu bilik itu. Tiba-tiba dia menjatuhkan semula tangannya. Membatalkan niat yang berbelah bahagi. Riana mengerotkan mulutnya.
“Nak ketuk ke tak nak?” Bercakap seorang diri. “Agaknya dia dah makan ke belum?” Menyoal lagi tanpa menjawab soalan pertamanya tadi.
Biasanya Firhad bukannya makan di rumah pun. Hujung minggu biasanya lelaki itu keluar selepas Maghrib tetapi malam ini sudah hampir pukul 9.00 malam masih juga tidak keluar. Bimbang juga hati dia.
‘Abang tahu nak uruskan diri abang. Abang tak suka kalau Ria masuk campur dalam urusan abang.’
Kata-kata Firhad tiba-tiba terngiang di cuping telinga. Tersedar bahawa dia sudah hampir masuk campur dalam urusan Firhad, Riana termati tingkah lakunya. Lelaki itu tidak sukakan perkara itu. Ya, sekarang.
Dulu Firhad sering berkongsi macam-macam cerita tentang dirinya tetapi sejak berkahwin lelaki itu lebih suka senyap berbanding berbicara. Banyak perkara tentang Firhad yang dia sudah jauh ketinggalan. Banyak sangat rahsia Firhad yang dia tidak tahu.
Biarlah. Kalau nak makan pandai-pandailah Firhad cari sendiri.
Riana berpaling.
“Eh, Ria.. Kenapa?” Soal Firhad ketika ternampak belakang Riana yang baru sahaja berpaling.
“Ah.. Ria nak ajak abang makan malam.”
“Alamak, sorry Ria, abang nak keluar dengan kawan abang malam ni. Sorry ya. Ria makan sorang, boleh?”
Riana paksa senyum. “Takpe, Ria dah biasa.”
“Abang keluar dulu.”
Riana hanya memerhatikan sahaja langkah Firhad yang meninggalkan dia. Satu per satu anak tangga dipijak oleh Firhad sehingga anak tangga yang terakhir sebelum menuju ke pintu utama.
Kawan?
Betulkah kata Dayana bahawa suaminya ada perempuan lain? Tanpa sedar, air mata tumpah ke pipinya. Jika benar Firhad tak sukakan dia kenapa kahwin dengan dia? Sampai bila Firhad nak simpan dia sebagai isteri? Sampai bila Firhad mahu menjaga hati Puan Nani dan melukai hati dia?