Thursday 21 April 2016

Bab 23 Dia Lelaki Idaman Hati

Firhad mundar-mandir depan Riana. Dia tidak tahu apa lagi perkataan yang perlu dia luahkan untuk memujuk hati Riana. Riana memang benar-benar buat dia rasa nak gila! Gila untuk memberikan seribu alasan menutup kesalahan sendiri.
Entah apa lagi perlu dia katakana supaya Riana percayakan dia. Dayana pun satu, tak sabar-sabar sangat nak dia ceraikan Riana. Tak belum cukup gila untuk menceraikan Riana ketika ini. Baru tiga bulan kahwin dah nak bercerai? Memang gila. Kalua Puan Nani tahu, mahu dia kena halau dari syarikat.
Sebenarnya bukan hal syarikat yang menjadi keutamaan dia, kalau dia kena halau dari syarikat sendiri pun dia masih mampu untuk berdiri sendiri dengan semua pengalaman dan klien yang pernah berurusan dengan dia. Itu bukanlah hal yang besar jika dia tidak berharta atau tidak berpangkat lagi seperti sekarang. Tetapi apa yang menjadi keutamaan dia ketika ini ialah hubungan dia dengan Riana perlu dijernihkan agar tiada apa-apa yang berlaku kepada Dayana. Bagaiman jika Puan Nani menyerang Dayana? Tak ke mampus dia nanti?
Riana memeluk tubuh sambil membuang pandang ke luar jendela. Angin sepoi-sepoi yang menampar lembut pipinya sedikit demi sedikit melembutkan hati yang panas sejak siang tadi. Selepas berjumpa dengan Dayana, dia terus berjumpa dengan Asma. Memaksa Asma mengambil cuti separuh hari untuk menemani dia.
Nasib baiklah Asma jarang mengambil cuti,  jadi tidaklah sukar untuk Asma memohon cuti separuh hari. Asma menemani dia sejak pukul 2.30 petang sehingga pukul 11.45 malam. Kemudian dia pulang ke rumah dan Firhad sudah setia menanti. Dia sampai di rumah kira-kira pukul 12.25 tengah malam.
Kali pertama sepanjang perkahwinan mereka Firhad menunggu dia pulang dari kerja. Pasti Dayana sudah menyampaikan berita kepada Firhad, kalau tidak masakan lelaki itu sanggup menanti dia sehingga lewat malam begini.
Kalau bukan kerana desakan Asma menyuruh dia pulang, memang tak ingin dia pandang wajah Firhad! Memang sungguh dia tak mahu memandang wajah lelaki yang menipu dia selama ini.
Riana bergerak ke kawasan luar rumah. Tangan didepakan. Nafas dihidup lama. Kawasan perumahan mewah ini agak berangin malam ini. Hati terasa sedikit damai.
Firhad mengeluh untuk sekian kalinya.  “Abang dah cakap dengan Ria yang abang takde apa-apa hubungan dengan Dayana! Kenapa Ria tak percayakan abang? Susah ke Ria nak buka hati Ria tu untuk percayakan kata-kata abang ni?”
“Abang, cukuplah berbohong. Ria penat.. Dan Ria tahu, abang pun penat dengan semua ni. Layan kerenah Ria, berdepan dengan Ria setiap hari, Ria tahu abang penat.”
“Ria, apa yang Ria merepek ni? Abang sayangkan Ria sebab tu abang kahwin dengan Ria!” Bahu Riana cuba disentuh namun dielak oleh Riana.
“Abang, sayangkan Ria belum tentu cukup kuat untuk menempuh pelbagai dugaan dalam perkahwinan kita.. Ria nak cinta abang, bukannya kasih sayang abang yang anggap Ria sebagai seorang adik.”
“Ria, tolonglah jangan mulakan semua ni. Abang letih sangat dengan semua ni. Dah tiga bulan kita kahwin, kenapa baru sekarang Ria nak ungkit soal hati dan perasaan? Selama ni Ria tak pernah cakap pun.” Firhad mula hilang mood untuk berbincang. Malas nak panjangkan cerita sebenarnya.
“Dulu Ria ingat abang akan jatuh cinta pada Ria.. Ria janji pada abang yang Ria akan cuba untuk setia tapi Ria silap. Ria tak pernah terfikir abang tergamak lukakan hati Ria sampai macam ni sekali.”
Riana nampak macam tak boleh nak dipujuk kali ini. “Kalau Ria ada dengar apa-apa daripada Dayana, semua tu tak betul! Abang taka da apa-apa hubungan perasaan dengan dia.” Firhad masih cuba memujuk. Dia tidak mahu hal ini sampai ke pengetahuan Puan Nani pula.
“Cukuplah abang. Ria penat nak dengar penipuan abang lagi. Dayana pun dah cakap hal yang betul. Abang dengan dia memang ada hubungan sejak dulu lagi. Abang masih nak menafikan semua ni?”
“Kita mulakan semuanya sekali lagi? Ria bagi abang peluang untuk abang betulkan keadaan ya?” Firhad berdiri di hadapan Riana. Mahu memujuk Riana. Kalaulah Puan Nani tahu tentang perkara ini, mampus dia kena marah!
Sungguh, selain dari memujuk Riana untuk meneruskan perkahwinan ini dia tidak tahu apa lagi yang perlu dia lakukan.
Please Ria. Bagi abang peluang.”
“Hati Ria dah tertutup untuk abang. Cukuplah dengan semua peluang yang pernah Ria bagi pada abang sebelum ini. Bagi Ria peluang untuk Ria mulakan hidup baru semula.”
Tangan Riana lekas-lekas diraih ke dalam genggamannya namun ditepis kasar oleh Riana. “Don’t touch me!”
“Ria, tolong jangan buat abang macam ni. Abang perlukan Ria.”
“Perlukan Ria untuk apa? Tak puas lagi ke abang sakitkan hati Ria selama ini? Tak cukup ke abang buat Ria menderita sepanjang perkahwinan kita?” Bertalu-talu Riana menyoal. Meluahkan ketidakpuas hatiannya selama ini. “Kita tamatkan aje semua ni. Tolonglah.”
Firhad menggeleng berulang kali. “Abang sayangkan Ria..”
“Mama takkan tahu punca kita bercerai. Ria tak kisah kalau abang nak salahkan Ria sekali pun tapi Ria nak abang tahu yang Ria dah tak sanggup lagi.”
Ah, terlafaz juga perkataan cerai dari bibirnya. Ya, dia tahu Allah bencikan perkara ini. Puas dia cuba mengunci mulut dari menyebut sebaris perkataan itu namun dia tidak mampu untuk berlindung lagi. Dia mahukan kebebasan dia semula. Dia perlukan ruang untuk dia bernafas semula.
“Ria! Apa yang Ria merepek ni? Abang takkan lepaskan Ria! Abang sayangkan Ria.”
Ah, kejamnya Firhad. Kenapa lelaki ini masih tegar mahu melukai hati dia? Kenapa lelaki ini tidak pernah sedar betapa dia terluka sejak awal perkahwinan mereka? “Ria perlukan hidup Ria yang dulu.”
“Habis Ria nak cakap yang selama ini Ria tak bahagia kahwin dengan abang?”
Riana tergelak sumbing. Soalan bodoh apakah yang Firhad soal kepada dia? Adakah lelaki ini benar-benar mahu dia menjawab soalan itu?  “Ria rasa tak perlulah Ria jawab soalan abang sebab abang ada jawapan terhadap soalan abang tadi. Abang tahu makna kebahagiaan sebenar.”
Nah.
Pedih jawapan yang dia berikan kepada Firhad.
“Ria, abang minta maaf. Abang tahu yang abang tak pernah bahagiakan Ria sepanjang kita kahwin..”
Sekali lagi tangan Firhad yang cuba meraih tubuhnya ditolak lembut. “Abang, Ria bukan wanita yang abang cinta jadi tolonglah faham..”
Ah, kenapa dia masih mahu bertoleransi dengan lelaki ini sedangkan hati dia remuk mendengar pengakuan Dayana. Sepatutnya dia serang Firhad. Dia cakar muka kacak Firhad sebab lukakan hati dia. Sepatutnya dia pukul tubuh sasa Firhad untuk memuaskan hatinya.
Firhad terduduk di sofa. Menyesal kerana mempermainkan hati Riana.
“Abang tak sangka hubungan kita akan jadi seperti ini. Abang sayangkan Ria macam adik abang sendiri.. Abang tak pernah bencikan Ria.” Tangan naik memegang kepalanya. Menyesal yang amat sangat. Kalaulah dia berkeras menolak permintaan Puan Nani pasti Riana masih bermanja dengan dia seperti dulu.
“Ya.. Adik.” Perlahan Riana menyebut perkataan itu.
Dia sayangkan Firhad lebih dari seorang abang. Sejak dahulu lagi dia memang sangat cintakan Firhad. Impian dia semenjak kecil ialah mengahwini lelaki ini.
“Ria tak mahu jadi sesiapa kepada abang. Ria rasa eloklah kalau kita tamatkan semua ini..” Lebih lama dia berdepan dengan Firhad, lebih parah luka di hati dia.
No! Tak boleh! Abang tak akan lepaskan Ria!” spontan tubuh Firhad berdiri di hadapan Riana. “Abang takkan lepaskan Ria!” Keras ton suara Firhad.
“Ria tak mahu bermadu dengan Dayana!”
Please Ria.. Faham keadaan abang. Abang dengan Dayana takde apa-apa hubungan langsung. Betul, abang tak tipu Ria. Ria kena percayakan abang” Firhad masih memujuk Riana.
“Abang, Ria tahu semua kebenarannya. Ria nampak abang peluk Dayana malam tu.. Ria nampak semuanya. Ria tahu hubungan abang dengan Dayana.. Tolong! Tolong jangan tipu Ria lagi. Ria penat.”
Firhad ternganga. Jadi betullah kata Dayana siang tadi yang Riana memang nampak mereka dua malam lepas? Dayana bukannya bercakap bohong semata-mata untuk meracuni dia menceraikan Riana.
Kalau Riana nampak kejadian malam itu, maksudnya Riana benar-benar tahu hubungan dia dengan Dayana? Bukannya hanya menuduh secara melulu?
Wajah Firhad sudah berubah riak. Matanya mula berkaca akibat rasa bersalah yang bertubi-tubi menyentak dirinya. “Ria.. abang minta maaf.”
“Ria tak mahu bermadu dan Ria tak mahukan abang lagi. Ria mohon, tolong lepaskan Ria.”
No! Abang tak boleh.. Abang tak boleh lepaskan Ria.”
“Kenapa? Abang nak Ria tolong abang kahwin dengan Dayana atau abang takut mama tahu pasal semua ni?”
No. Abang tak takkan ceraikan Ria. Apa abang nak jawab dengan mama kalau mama tanya kenapa kita bercerai?”
“Abang cakap ajelah apa yang abang nak cakap dengan mama. Abang boleh cakap yang Ria tak cintakan abang lagi. Itu kenyataannya!”
Firhad mendapatkan Riana. Memaksa Riana memandang ke arahnya. “Jangan buat abang macam ni. Ria sayangkan abang, kan? Tolonglah jangan bercerai dengan abang. Hanya Ria seorang aje yang boleh tolong abang.. Please, Ria.”
Tawa mengejek terbit dari bibir Riana. “Abang kahwin dengan Ria dengan harapan Ria beri kebenaran kepada abang untuk kahwin dengan kekasih abang? Abang ingat Ria ni baik sangat ke nak bermadu?”
“Ria kena tolong abang..”
“Kenapa Ria perlu tolong abang? Apa yang Ria dapat? Nothing!” Ya Allah,  kalau dia tak sabar memang dia akan mengamuk depan Firhad tetapi dia bukan wanita seperti itu. Dulu dia mengalah. Kali ini dia mahu menyelesaikan perkara ini dengan cara paling halus. Tidak perlu menempik atau terpekik terlolong. Dia mahu kelihatan seperti wanita yang berkelas. Tidak mudah melatah.
Untuk apa dia nampak buruk seperti beruang yang sedang mengamuk di hadapan Firhad sedangkan penghujungnya adalah tetap sama? Lebih baik dia nampak manis dan tenang di hadapan lelaki ini untuk menunjukkan betapa dia kuat untuk meneruskan kehidupan dia yang seterusnya.
“Abang penuhi hasrat Ria.. Ria nak kahwin dengan abang sejak dulu lagi kan? Abang kahwin dengan Ria! Abang buat ikut kemahuan mama abang..”
“Kalau Ria tahu abang tak pernah cintakan Ria, Ria pun tak ingin kahwin dengan abang.. Selama ini abang ambil berat pasal Ria, abang mengaku yang kononnya abang sayangkan Ria depan keluarga.. Semua itu sebab abang nak kaburkan mata keluarga kita kan.. Kononnya pasangan bahagia.”
Riana menarik nafas dalam-dalam.
“Abang, let’s end this. Ria penat dengan semua ni. Sangat-sangat penat.”
Sumpah! Hari ini dia rasa penat dengan semua yang dia lalui sejak tiga bulan lalu. Dulu bolehlah dia senyum manis dengan Firhad dan sembunyikan luka di hati dia.. Itu sebelum dia tahu Firhad sebenarnya curang dengan dia..
Waktu tu dia ingat Firhad benar-benar mahukan masa untuk mengubah perasaan sayang terhadap adik kepada sayang terhadap isteri.. Rupanya dia sahaja yang syok sendiri.
Sekarang semuanya jelas depan mata. Dia nampak Dayana kucup pipi Firhad malam semalam.. Dia ingat Dayana sengaja mahu menggoda Firhad rupanya memang dua manusia tak guna itu mempunyai hubungan cinta!
No. Abang takkan lepaskan Ria.”
“Habis abang nak Ria buat apa? Terima semua yang berlaku dengan hati yang terbuka? Ajar hati Ria terima Dayana sebagai kekasih abang dan bakal madu Ria? Macam tu?” Kening diangkat sedikit kepada Firhad.
Ish, nasib baiklah Asma sudah pesan kepada dia agar mengawal diri di hadapan Firhad. Bertindak sebagai wanita yang berkelas dan mempunyai maruah. Jangan hilang kawalan dengan Firhad.
“Ria, duduk dulu. Kita boleh selesaikan perkara ni.”
Riana bergerak duduk di sofa. “Cakaplah apa yang abang nak cakap.” Langsung tidak memandang wajah Firhad.
“Abang minta maaf sebab abang lukakan hati Ria. Abang buat semua ni sebab mama cakap abang takkan kahwin dengan Dayana kalau abang tak kahwin dengan Ria.”
The result is still same now. Ria takkan benarkan abang kahwin dengan Dayana selagi Ria isteri abang.” Pantas Riana mencelah.
“Bagi abang masa. Kita akan selesaikan semua ini secepat mungkin. Mama tak sihat. Kalau mama tahu masalah rumah tangga kita, abang takut mama jatuh sakit lagi.. Tolong faham keadaan abang.”
Oh, jadi sekarang ini dialah yang perlu faham keadaan Firhad? Perlu letakkan diri dia pada kedudukan Firhad sekarang ini?
“Dayana akan desak abang untuk kahwin dengan dia. Ria takkan izinkan perkara itu berlaku selagi Ria isteri abang.. Dan Ria dah penat dengan semua ini. Abang tak penat ke nak tanggung dosa?”
“Apa maksud Ria?”
“Hubungan abang dengan Dayana? Layanan endah tak endah abang pada Ria?”
“Abang takde buat apa-apa yang salah dengan Dayana..”
Bibir mencebik. “Peluk cium dia dekat laman rumah kita malam tu, tak salah?”
Hati Firhad panas tiba-tiba. “Ria intip abang dengan Dayana? Ria memang sengaja nak cari salah abang kan?”
“Abang, kalau orang buat salah dia memang akan tuduh orang lain yang bukan-bukan. Abang dah buat macam-macam dengan Dayana. Eloklah kalau abang cepat-cepat kahwin dengan dia. Ria tak nak menjadi sebahagian dari dosa abang.”
Don’t you dare to talk to me like that, Riana!”
“Salah ke apa yang Ria cakap?”
“Kenapa nak sakitkan hati abang? Nak balas dendam?” Garang wajah Firhad.
“Hati abang sakit ke? Oh, sorry.”
“Ria, abang minta maaf okay.. Abang tak sengaja tengking Ria.” Firhad membela diri.
“Dah lah abang. Tak perlu nak mencipta apa-apa alasan. Ria tahu abang layan Ria macam tunggul sebab abang takut Ria cuba dekat dengan abang jadi abang sengaja wujudkan jarak dalam hubungan kita kan? Never mind. Ria dah tak kisah langsung pasal semua tu.”
“Bagi abang masa untuk selesaikan semua ni. Ria boleh tunggu, kan?”
Riana memejamkan matanya seketika. Menarik nafas dalam-dalam. “Ria dah mula bencikan abang sebab abang hancurkan hati Ria. Sebelum rasa benci Ria melarat, Ria rasa elok kalau kita tamatkan perbincangan kita.”
Riana mengangkat punggungnya dan berlalu dari ruang tamu. Kaki memanjat anak tangga menuju ke tingkat atas.
Tangan menggenggam kuat telefon bimbitnya.
Tubuh tersentak hebat apabila telefon bimbitnya tiba-tiba sahaja berdering. “Assalamualaikum, As.”
“Waalaikumusalam. Lajunya jawab telefon. Kau dekat mana?”
“Rumah.” Pendek sahaja Riana menjawab soalan Asma.
“Ad ada dekat rumah?”
“Ada.”
Terkesan ada yang tidak kena dalam nada suara Riana, Asma mengesyaki sesuatu. “Ria.. Kau Okay?”
Perlahan-lahan nafas Riana bertukar rentak. Bibir mula bergetar. Sendu halus mula kedengaran. “Aku tak kuat As..”
“Ria, kau kuat! Aku tahu kau boleh.”
“Aku nak bercerai dengan dia. Aku tak boleh tengok muka dia! Aku bencikan dia As!!”  Riana menekup mulutnya menahan sendu yang semakin kuat. Esakan mula kedengaran.
“Tabahkan hati kau Ria. Kau tahu kan yang aku sentiasa ada di sisi kau. Kalau kau perlukan kawan, kau tahu aku sanggup dengar semua masalah kau.”
“Dia tak nak ceraikan aku. Ad cakap mama dia sakit.. Dia perlu jaga hati mama dia. Habis hati aku As? Siapa nak jaga hati aku? Selama ini aku ingat dia sayangkan aku.. Rupanya dia ada perempuan lain belakang aku! Dia tipu aku As!”
Asma mengeluh kecil. “Ria, ingat tak apa yang kau pernah cakap dengan aku dulu? Kau cakap yang kau takkan bagi muka dengan lelaki yang suka menduakan perempuan.. Kalau kau ada ditempat aku dulu, kau akan angkat kaki.”
Ya, Tuhan bayar dia cash!
Sekarang memang dia berada di kedudukan Asma.. Fauzan nak kahwin lain. Sama keadaannya seperti sekarang. Firhad ada perempuan lain dan akan mengahwini perempuan itu. Memanglah bukan sekarang tetapi lambat-laun akan kahwin juga. Maknanya dia akan ada madu atau dia akan menjadi janda.
“Aku…” Riana kehilangan kata-kata.
“Aku tak salahkan kau Ria.. Pasti ada hikmah disebalik semua yang berlaku. Kau menangis depan Ad?”
Riana menggelengkan kepalanya. “Tak.”
See. Kan aku kata kau kuat! Kalau perempuan lain sure dah mengamuk macam singa lapar. Kau relaks aje kan?”
“Tapi hati aku sakit. Sakit sangat!”
“Banyakkan berdoa kepada Allah. Allah akan berikan kau petunjuk yang terbaik untuk hidup kau.. Apa pun yang berlaku dan akan berlaku, aku harap kau bersedia. Tabahkan hati.. Kuatkan semangat!”
“Aku tak kuat.” Riana ulang perkataan sama untuk kali yang entah ke berapa.
“Aku tahu kau kuat!”
“Tak.. Aku tak mampu As.”
Asma mengeluh lagi. “Ria, kau percayakan takdir kan? Allah dah aturkan perjalanan yang cukup cantik untuk hidup kita. Kau kena terima apa yang berlaku dengan lapang hati.”
Riana mengesat air hidung yang meleleh turun. “Kenapa aku diuji seperti ini As? Aku bencikan dia! Aku benci dia sebab buat aku menderita macam ni!”
“Hentikan penderitaan kau. Kau berhak hidup yang lebih baik. Kau happy selama perkahwinan ni? Tak, kan? Kau cuba untuk happy tapi sebenarnya hati kau sakit.. Kau terluka dan bertambah terluka bila kau tahu Ad ada perempuan lain. Ria, aku tahu aku seolah-olah menghasut kau untuk tinggalkan Ad tapi sebagai kawan kau, aku nak kau move on!”
Bukan dia berniat mahu meruntuhkan rumah tangga Riana sahabat baik dia sendiri tetapi melihat Riana terluka seperti ini, dia juga turut merasai sakitnya. Dia tahu betapa perit mahu menerima kecurangan pasangan. Dia pernah lalui semua itu. Dan sekarang dia faham kenapa Riana sering memujuk dia untuk bercerai. Riana mahu dia menamatkan penderitaan dirinya sendiri.
“Aku..”
“Ria, dekatkan diri dengan Allah. Allah akan berikan apa yang kau perlu.”
Riana memejamkan matanya seketika. Berasa lebih tenang selepas bercakap dengan Asma. “As, thank you! Aku akan cuba untuk kuat.”
“I know you can.”

ALHAMDULILLAH! Baby kelima dah selamat keluar, insyaAllah akan menemui anda tidak lama sahaja lagi. Nantikan di kedai-kedai buku berhampiran anda atau kalau nak cepat boleh dapatkkan di PBKL nanti bermula 29 April - 8 May. Sri akan berada di PBKL Maeps Serdang pada 7 May nanti tau. Jomlah kita jumpa jumpa dekat sana nanti! :) 
Buku juga boleh dapatkan daripada Kaki Novel Sdn Bhd. 

Thank you semua!





Tuesday 12 April 2016

Bab 22 Dia Lelaki Idaman Hati


Wajah Dayana yang bersahaja di hadapannya membuatkan hati dia geram! Kalau ikutkan hati dia yang marah dan geram memang dia tampar pipi mulus Dayana. Memang dia tarik rambut lurus Dayana tetapi dia bukanlah perempuan bodoh yang mahu menjatuhkan maruahnya sendiri. Dia tidak mahu dikatakan perempuan kemaruk cinta Firhad.
Why, Dayan?”
“Apa maksud you dengan perkataan ‘why’?” Soal Dayana tidak memahami soalan Riana.
“Sejak bila you bercinta dengan suami I?”
Dayana tergelak besar. “Oh, rasa geli sangat dengar perkataan suami tu Riana.”
“Jawab je soalan I!” Tempelak Riana kuat. Bukan ada sesiapa di taman ini pada waktu seperti ini. Hanya dia dan Dayana sahaja.
“I tahu you nampak apa yang berlaku malam tadi. Kenapa you buat-buat tak nampak malam tu sedangkan you boleh serang I dengan Ad malam tu juga, Ria?”
“SebabI takkan malukan diri I sendiri semata-mata untuk serang you dengan Ad. I nak tahu kenapa you tergamak buat I macam ni! Kenapa you goda suami I?”
“Oh please. I tak pernah goda suami you. Selama ini memang kami berkawan pun. Apa masalahnya?”
You tanya I apa masalah I? You sedar tak apa yang you buat selama ni?”
“I sedar. I rapat dengan suami you. Kenapa? Berdosa ke kalau I rapat dengan dia?” Soal Dayana dengan wajah bongkak. Menjeling ke arah Riana untuk menyakitkan hati wanita itu.

Riana menggeleng tidak percaya. Serapat mana hubungan mereka sampai perlu mengucup pipi? Kawan ke kalau asyik menyendeng ke rumah dia untuk berjumpa dengan Firhad setiap masa? “I tak percaya you dengan Ad hanya berkawan.. Takkan kawan sampai berpeluk cium?”
Dayana peluk tubuh depan Riana. Mendengus kecil tanda tidak berpuas hati dengan sikap Riana yang sedikit mendesak dia ketika ini.  “Apa masalah you ni Ria? Nak paksa-paksa I mengaku ada hubungan dengan suami you pulak.”
“Masalahnya ialah you memang bercinta dengan suami I!”
Dayana tergelak kecil. “Ohh, ini ke masalah you selama ini? Ermmm, salah ke kalau I bercinta dengan suami you? Salah ke kalau I nak berkongsi kasih dengan you?”
Riana terpempan mendengar soalan Dayana. Berkongsi kasih? Dengan cara menjadikan dia sebagai kawan dan tidak berapa lama kemudian menikam dia dengan parah dari belakang? Wujudkah perempuan seperti ini? Sanggup memporak perandakan rumah tangga orang untuk kepentingan dirinya sendiri.
“I tak sangka wujud perempuan macam you dekat dunia ni Dayan..”
Dayana menjegilkan matanya. “Tadi you nak I mengaku kan, sekarang bila I mengaku yang I nak berkongsi kasih dengan you, tiba-tiba you sentap pula. Tak sudi ke nak berkongsi kasih dengan I?”
Riana mundar-mandir depan Dayana. Menyabarkan hatinya yang sudah terbakar hangus! Sampai hati Dayana dan Firhad mempermainkan dia seperti ini. “Tak sangka sangat-sangat perempuan tak guna macam you ni wujud dalam dunia ni.. Perempuan yang suka memporak-perandakan rumah tangga orang lain!”
“Memang wujud! Untuk pengetahuan you, I ni dah lama sangat bersabar dengan you! Kalau I boleh tunggu Ad selama sepuluh tahun, takkan I tak boleh tunggu lagi lapan bulan untuk Ad ceraikan you. Setahun tu tak lama Ria.. I sanggup tunggu.”
“Apa maksud you Ad akan ceraikan I?”
“Oh, jadi selama ini you tak tahu yang Ad kahwin dengan you semata-mata untuk puaskan hati mama dia? Ad kahwin dengan you sebab terpaksalah Ria, kalau bukan sebab kena paksa dengan Puan Nani, Ad takkan kahwin dengan you sampai matilah!” Dayana meluahkan apa yang sepatutnya Riana tahu sejak dari awal dulu.
Selama ini memang dia tahu yang Firhad berkahwin dengan dia kerana dipaksa oleh Puan Nani tetapi perjanjian tentang Firhad hendak menceraikan dia selepas setahun perkahwinan mereka dia langsung tidak pernah tahu.
Dia ada bertanya tentang penceraian kepada Firhad dan lelaki itu tidak mengakuinya!
Semua telahan dia selama ini benar berlaka. Firhad memang akan menceraikan dia seperti yang dia dengar dari mulut lelaki itu malam tadi.
Dayana dan Firhad mengenali antara satu sama lain sejak lama dahulu? Kenapa dia tidak pernah tahu akan kewujudan Dayana dalam hubungan dia dan Firhad selama ini? Kenapa dia tidak pernah tahu Firhad mempunyai kekasih? Sangka dia selama ini Firhad memerlukan masa untuk menerima dia sebagai isteri. “Sejak bila you bercinta suami I?” Lemah sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulutnya.
“Sejak zaman universiti. Sejak you masih sekolah lagi Ria! Boleh tak you bayangkan macam mana I sanggup bertolak ansur dengan you sejak dulu lagi? Bila you nak mengada-ngada dengan Ad, I terpaksa batalkan temu janji kami.”
“Kenapa I tak pernah tahu semua ni? Kenapa I tak pernah tahu kewujudan you dalam hidup Ad?”
“Sebab you tak perlu tahu semua ni! You takde kepentingan langsung dalam hidup Ad.” Angkuh riak wajah Dayana. Dayana yakin dia terlebih dahulu memenangi hati Firhad. Dia lebih dulu mendapat cinta lelaki itu.
“Kalau dah bercinta sejak dulu, kenapa you tak kahwin dengan dia? Kenapa I pula yang dilamar oleh Puan Nani?”
Dayana buat-buat gelak. “Kalaulah mak mertua you sukakan I memang dah lama I kahwin dengan Ad dan ada anak..”
Riana menahan geram dalam hati. “Habis kalau I kahwin dengan Ad, you rasa mama Ad akan sukakan you?”
Dayana bergerak menjauhi Riana. “Tak tapi sekurang-kurangnya bila dia ceraikan you dan kahwin dengan I, takdelah Puan Nani bising sangat macam dulu.”
Mendengar perkataan cerai, Riana rasa macam mahu jatuh terduduk. Mampukah dia menghadapi penceraian dengan Firhad? Agaknya inilah perasaan Asma bila dia meminta Asma bercerai sahaja dengan Fauzan. Mudahnya menuturkan sesuatu bila bukan kita yang memanggung akibatnya.
You yakin ke Ad akan ceraikan I?”
Dayana angguk laju. “Sangat-sangat yakin sebab Ad tak pernah cintakan you. Kalaulah you tahu macam mana terseksanya hati Ad setiap kali balik ke rumah dan pandang muka you, mesti you pun takkan sanggup biarkan Ad hidup dengan you lagi.”
Riana meraup mukanya tidak percayakan kata-kata Dayana. Hati sedaya-upaya ditahan agar tidak menangis di hadapan perempuan tidak berguna seperti Dayana. Sampai macam itu sekali pemikiran Dayana dan Firhad? Ingat nikah cerai ini perkara mudah?
“Kenapa you kawan dengan I?”
“Ria, nak cakap you bodoh belajar sampai luar negara. Ada masters pula tu.. I kawan dengan you sebab I nak dekat dengan Ad tanpa rasa curiga daripada you. Selama kita berkawan, ada tak you rasa curiga terhadap I? Mesti tak, kan? So, nampak tak permainannya di situ?”
“Sampai hati you, Dayan! Kenapa you tergamak buat macam ni? Kalau you nak Ad you boleh ambil dia tapi you tak perlu nak sakitkan hati I sampai macam ni. Tak perlu berpura-pura jadi kawan I!”
Dayana pusing tubuhnya ke belakang. Memandang wajah Riana yang sudah merah padam menahan sakit hati. “You rasa macam I rampas Ad daripada you? You rasa marah?”
“Memang I rasa marah sebab you dengan Ad tipu I!”
“Kalau you rasa marah, macam itulah juga perasaan marah I bila you rampas Ad. Macam itulah juga rasa marah I masa tengok you tersenyum gembira waktu perkahwinan you dengan dia dulu!”
“Kenapa you dengan Ad tipu I?”
You yang biarkan diri you ditipu.. Ad dah cakap dengan you banyak kali dia tak pernah cintakan you tapi you tetap nak kejar cinta dia. Nak setia konon! Pergi matilah dengan isteri setia you tu! Ad tak perlukan you langsung!” Perlian Dayana membuatkan Riana bertambah sakit hati.
“Berpura-pura menabur fitnah kononnya Ad ada perempuan lain, sedangkan perempuan tak guna tu you!”
“Perempuan tak guna? Hello! You tu perempuan tak guna! Kalau you tu bagus sangat takkan Ad singgah rumah I setiap malam?”
Riana menapak dua tapak ke belakang. Terkejut dengan pengakuan Dayana. Firhad singgah ke rumah Dayana setiap malam? Maksudnya kondominium yang Firhad dan Dayana pergi semalam adalah kondominium milik wanita ini? Sejauh manakah hubungan Firhad dan Dayana?
“Apa maksud you?”
“Ria, hubungan I dengan Ad lebih daripada apa yang you bayangkan. I tahu Ad lelaki yang bertanggungjawab dan I yakin dia sangat cintakan I.. Leave him, Riana. Biarkan kami bahagia.” Sengaja Dayana menambah perisa dalam cerita cinta dia dengan Firhad. Ya, memang Firhad selalu singgah tetapi sekadar datang berbual dan minum kopi sahaja. Hubungan mereka tidaklah sehingga bilik tidur.
Firhad masih lelaki yang waras. Mempunyai pegangan agama yang teguh.
“I tak sangka you dengan Ad sanggup buat I macam ni..”
“Ad akan cari apa yang dia tak dapat daripada you dekat I.. And I sanggup berikan apa sahaja untuk Ad asalkan dia bahagia.”
Tangan digenggam kuat. Kalau dia tak sabar memang dia rentap rambut panjang Dayana. Memang dia pukul muka cantik Dayana. Tidak pernah dia meragui Firhad dan Dayana. Sungguh! Dia tidak pernah terfikir bahawa Firhad akan curang dibelakangnya dengan kawan dia sendiri.
Ah, Dayana bukanlah kawan dia. Dayana adalah musuh dalam selimut! Bodohnya dia membiarkan wanita itu terlalu rapat dengan suaminya.
Ya Tuhan.
Berikan aku kekuatan hati dan waraskan akal fikiranku daripada bertindak diluar kawalan diriku Ya Allah.
“I rasa perbincangan kita tamat setakat ini sahaja.”
Riana yang baru sahaja melangkah beberapa tapak berhenti apabila Dayana berdiri di hadapannya untuk mengahalang laluan dia.
“Minta cerai daripada Ad. Ad perlu bertanggungjawab terhadap I, Ria.”
“I rasa kasihan dengan you Dayan.. Sanggup jual tubuh semata-mata demi cinta. I rasa you memang perempuan murahan. Sesuai sangatlah dengan Firhad. Kalua you nak dia sangat-sangat, ambillah. I tak perlukan lelaki tak guna macam tu dalam hidup I.”
Dayana berjalan beberapa langkah ke hadapan untuk mendekati Riana. “So, you boleh pujuk Puan Nani untuk terima hubungan kami?” Soal Dayana ingin tahu. Berharap agar Riana akan membantu dia.
Bibir cantik Riana tergelak kecil. “I kena tolong you pula sekarang ni? Oh, besarnya pengorban you pada I.. Hmm, iyelah kan sanggup serahkan teman lelaki untuk jadi suami I. Rasa terhutang budi pula dengan you.” Sarkastik kepada Dayana.
You memang sanggup biarkan Ad buat macam ni pada I? Jadi lelaki tak bertanggungjawab?”
“Bukan urusan I. Apa yang terjadi antara you dengan Ad adalah urusan you sendiri not me.” Riana bergerak ke kiri untuk mengelak daripada Dayana.
“Kita sama-sama perempuan.. Kenapa you takde perasaan simpati terhadap I?”
Riana rasa mahu ketawa berguling-guling. “Ops.. I kena simpatikan you ke Dayan? You ke mangsa dalam situasi kita sekarang ini?” Wajah mengejek ditayang kepada Dayana. Sengaja mahu meningkatkan suhu kemarahan dalam hati Dayana.
“Memang sejak awal lagi I mangsa! I terpaksa korbankan cinta I terhadap Ad demi memenuhi impian Puan Nani yang nak sangat bermenantukan you!”
“Pengorbanan you tak bermakna untuk I, Dayana. Sedikit pun tak terkesan di hati I..”
“Habis you tak hargai pengorbanan Ad untuk penuhi impian you?”
Sekali lagi Riana tergelak mengejek. “Apa yang dia berkorban untuk I?”
“Hey, dia korbankan hubungan cinta kami sebab nak kahwin dengan you! Sebab nak penuhkan impian you yang nak sangat kahwin dengan dia sejak kecil!” Betul! Memang dia cintakan Firhad sejak dulu tapi dia tidaklah sampai memaksa Firhad mengahwini dia. Cinta tak boleh dipaksa. Dia pun tahu semua itu tapi dalam kes dia dan Firhad, memang dia langsung tak tahu menahu bahawa Puan Nani yang memaksa Firhad untuk mengahwini dia!
“I tak perlukan pengorbanan macam tu.. Lebih elok kalau dia tak berkorban macam tu untuk I sebab I langsung tak rasa tersentuh dengan pengorbanan tu.” Riana bergerak meninggalkan Dayana.
Sekali lagi Riana dipeluk kemas oleh Asma. Lama Asma menggosok tubuh Riana yang terhinjut-hinjut menangis. Teruk betul Riana menangis. “Ria, janganlah menangis macam ni. Kalau kau menangis keluar air mata darah sekalipun kau takkan boleh ulang semula apa yang dah berlaku. Yang berlalu tu kau biarkan berlalu.” Puas Asma cuba berdiplomasi. Dia cuba juga mahu menjaga hati Riana tetapi kalau Riana sendiri tidak mahu mengasihani dirinya, dah tu dia nak buat macam mana lagi?
“Kenapa dia buat aku macam ni As?”
Kenapa. Kenapa. Kenapa. Rasanya sudah beratus kali Riana asyik tanya kenapa.
“Ria, tak baik kau persoalkan apa yang dah jadi. Mesti ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Allah uji kau dengan ujian macam ni sebab Dia tahu kau kuat.” Sebenanrya mendengar luahan dari bibir Riana, dia terkejut besar.
Selama ini pada pandangan mata dia hubungan Riana dan Firhad nampak elok sahaja tetapi tidak sangka rupa-rupanya kawan baik dia menyembunyikan seribu perasaan derita. Pandai sungguh Riana menyimpan rahsia langsung tidak mampu dihidu oleh dia!
“Apa dosa aku dekat Ad? Selama ni aku tak pernah curang dengan dia! Aku tak pernah ada hubungan dengan mana-mana lelaki As. Kenapa dia curang dengan aku? Kenapa dia tipu aku?!” Riana mengulang-ulang soalan yang sama. Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa dia dipermainkan oleh Dayana dan Firhad. Dia percayakan mereka berdua!
“Selama ni aku percayakan dia As. Aku diamkan banyak benda yang dia buat pada aku.. Aku bela dia depan keluarga. Aku puji dia melambung depan semua orang! Kenapa dia sanggup lukakan hati aku?” Riana meraup muka berkali-kali. Hidung merah kerana terlalu banyak menangis.
“Aku tak kuat…” Air mata laju sahaja menuruni pipi. Tangisan kian galak. Sebak menjadi-jadi. Pelukan daripada Asma dilonggarkan. Kepala ditelekupkan di atas meja makan Restoran De’ Inai.
“Ria, kuatkan semangat..”
“Aku tak percaya semua ni berlaku pada aku, As. Kau tahu kan sejak dulu lagi aku sayangkan Ad.. Sejak dulu lagi aku nak kahwin dengan dia.. Aku ingat dia ikhlas nak kahwin dengan aku.. Aku ingat dia takde perempuan lain.. Rupa-rupanya dia tipu aku hidup-hidup As!” Keras suara Riana menghamburkan perasaan amarahnya. Dia bencikan Firhad! Dia bencikan Dayana.
“As, apa salah aku? Apa dosa aku sampai Allah uji aku dengan ujian macam ni… Mana aku nak letak muka aku As…?” Suara mula tenggelam timbul.
Dulu dia bukan main nasihatkan Asma macam-macam. Pung pang pung pang dia nasihatkan Asma tentang lelaki, alih-alih dia pula yang terkena. Tak sangka Firhad buat dia macam ni!
“Ya Allah.. Ria! Bawak mengucap.. Jangan diikutkan sangat perasaan sedih kau tu Ria. Cakap tu biar ada iman sikit Ria!”
Riana angkat wajahnya memandang Asma. “Aku sedih sangat As.. Aku rasa hidup aku dah hancur. Aku tak tahu apa aku patut buat sekarang ni..”
“Minta petunjuk daripada Allah. Kau mesti kuat untuk hadapai semua ni. Aku yakin sangat yang kau memang perempuan kau kuat!” Langsung Asma tidak mempunyai niat untuk mengulang semula nasihat-nasihat Riana kepadanya suatu masa dulu.
“Hidup aku dah hancur, As.”
“Belum hancur Ria. Ad tinggalkan kau sekalipun, dia yang rugi. Kau takde rugi apa-apa langsung. Kau ada kerjaya, kau ada keluarga dan kau ada aku. Maisarah pun ada bersama kau walaupun dia jauh.”
“Apa aku nak buat sekarang ni? Macam mana aku nak berdepan dengan keluarga aku?”
Asma menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus semula. Mencari ayat paling sempurna untuk dia luahkan kepada Riana. “Kau cintakan Firhad?”
Lama Riana termenung memikikan soalan Asma. Masihkan dia cinta selepas hati dia dihancurkan sebegini rupa oleh Firhad?
“Aku tak tahu.. Yang aku tahu, aku bencikan dia! Aku bencikan dia As.”
Tangan putih melepak Asma menggosok bahu Riana. Asma berdehem sedikit. “Ria, cinta perlukan pengorbanan.. Kalau kau sanggup bersabar untuk berdepan dengan Ad, kau pikatlah hati dia.. Kalau kau rasa kau tak sanggup untuk hadapi semua ini, eloklah kalau kau angkat kaki dan pujuk hati kau sendiri.”
“Aku tak nak bercerai As.. Aku tak bersedia untuk semua ni..” Perlahan suara Riana merintih. Tidak dapat dia membayangkan kehidupan dia jauh dari Firhad. Walaupun selama empat bulan mereka berkahwin, masing-masing buat hal sendiri tetapi dia masih dapat melihat wajah itu setiap kali dia rindu.  
“Ria, aku tahu kau kuat! Riana depan aku sekarang ini bukan Riana yang aku kenal dulu. Kau lemah Ria! Aku tahu ini bukan kau yang sebenarnya.”
“Aku tak kuat.. Aku tak kuat..” Sekali lagi air mata laju menuruni pipi mulusnya. “As, tolong aku. Aku tak tahu macam mana nak berdepan dengan ibu dan ayah aku..”
“Ria, apa pandangan orang lain terhadap kau tu tak penting. Yang penting ialah kau kuat untuk hadapi semua ini. Kau kena berdepan dengan Firhad dulu sebelum kau buat apa-apa keputusan..” Pujuk Asma lagi. Dia tahu Riana sedih teramat sangat. Dia juga pernah merasai perasaan yang sama ketika Fauzan ada perempuan lain suatu ketika dahulu.
“Betul cakap Kak Zana.. Aku terlalu terburu-buru mengejar cinta Firhad sedangkan aku ada banyak pilihan lain. Aku terlalu ikutkan hati.. Aku ingat dia cinta sejati aku padahal aku bertepuk sebelah tangan. Aku tahu dia tak cintakan aku tapi aku masih nak mempertahankan rumah tangga aku.. Kononnya Firhad pasti akan jatuh cinta dengan aku suatu hati nanti. Aku rasa bodoh sangat, As!”
Ah menyesal sekarang pun dah tak guna lagi Riana. Kau dah kahwin dengan Firhad pun!
“Takde sesiapa yang betul dan salah dalam hal ini Ria. Kau kena cari jalan penyelesaian yang terbaik untuk kau dan Ad. Kalau kau pilih dia sekalipun aku tetap sokong kau sebab kau kawan aku.”
“Aku bodoh, kan As? Aku rasa semua ni balasan daripada Tuhan sebab aku lukakan hati Raff. Aku tak sepatutnya buat Raff macam tu dulu.”
“Ria..” Tangan Riana digenggam kuat. Dia sayangkan Riana. Sangat sayangkan Riana yang sentiasa ada di waktu susah dan senang dia. Riana yang sangat penyayang, manja dan sentiasa sabar mendengar masalah rumahtangga dia dengan Fauzan.
“Apa aku nak buat sekarang ni As… Aku buntu!”
“Apa yang jadi sekarang ni bukan salah kau sebab tolak cinta Raffael. Kau tak boleh salahkan diri kau dalam hal ni. Hal ni langsung takde kaitan dengan Raffael.. Lagipun kita pun tak tahu Raffael menghilang ke mana. Bukan salah kau.”
Riana senyap. Memproses satu per satu kata-kata Asma. Raffael menghilang. Ya, selama empat bulan dia cuba mencari lelaki itu tetapi tiada. Dia ada juga ke pejabat Raffael tetapi lelaki itu tiada di sana. Kadangkala pejabat itu berkunci.
“Aku buntu sangat, As.”
Asma memeluk bahu Riana. “Sabar okay. Aku tahu kau kuat! Ria, banyakkan berdoa, minta petunjuk dari Allah.”
Riana senyap dalam pelukan Asma. Mencerna kata-kata semangat yang Asma berikan kepada dia.
Ya Tuhan, kuatkan hati dia.