Tuesday 16 December 2014

Part 1 - Bali Cintaku

Tuala mandi yang masih membalut kepala lekas-lekas ditanggalkan. Tanpa berfikir panjang, laju sahaja tuala itu mendarat di atas katil miliknya.
“El! Lama lagi ke? Cepat sikit..” Terdengar namanya dilaung dari ruang bawah, Eleena pantas mencapai sikat rambut.
“Lima minit. El tengah sikat rambut!” Balas Eleena dari biliknya.
Itulah bangun lambat lagi. Kalau dia bangun terus selepas solat Subuh tadi pasti tidak kelam-kabut seperti ini. Penerbangan dia pada pukul 12.25 minit tengah hari, tapi entah macam mana dia boleh tersasar tidur sampai pukul 10.30 pagi. Sekarang ja m hampir menunjukkan pukul 11.05 pagi.
Sebaik sahaja ternampak kelibat Eleena menuruni tangga, Haji Zamarul terus membebelkan anak daranya. “Papa dah suruh bangun awal, El degil. Kalau lepas Subuh tak perlu tidur, bukannya mati pun kan?”
“Ala papa, sorry.. El mengantuk sangat. Semalam El balik pukul 3 pagi tau siapkan tempahan orang kahwin..”
Alasan! Ada sahaja alasan yang akan terbit dari mulut Eleena. Anak bongsunya ini memang degil. “Dah jom cepat. Kalau kena tinggal bukan salah papa dan mama ya.”
Eleena pantas berlari anak menuju ke muka pintu. Sepasang kasut disarung ke kaki. “Papa bawa kereta laju-laju tau! El dah lambat ni..”
Hajah Arafah menggelengkan kepalanya. Anak bongsu mereka tidak habis-habis buat hal. “Awak tu yang bangun lambat, nak suruh papa pula pandu kereta laju-laju. Bahaya tahu tak?”
Eleena ketap bibirnya rapat. Kalau menjawab maunya dia kena ceramah dengan Hajah Arafah lebih panjang lagi.
“Jomlah kita..”
Eleena menarik nafas lega! Nasib baik sempat check-in penerbangan. Kalau tak rugi duit dia hampir tujuh ratus ringgit demi tiket penerbangan ini.
“Betul ke El pergi Bali sorang diri aje ni?”
Eleena pandang wajah Hajah Arafah. “Mama ni macam tak percayakan El aje.. Bukannya El tak pernah melancong seorang diri.”
“Bukan tak percaya, mama cuma tanya aje. Manalah tahu kot-kot berteman kali ni..” Balas Hajah Arafah sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi berdepan dengan deretan kedai menjual barangan kulit di KLIA. “El jangan buat hal ya..”
Keluhan kecil dilepaskan perlahan. “El pergi seorang diri ma.. Kalau mama tak percaya, mama boleh beli tiket sekarang dan ikut El sampai ke sana.”
Ish, mama ni tak habis-habis nak cari pasal dengan dia. Ini semua Abang Emran punya pasal pergi bocorkan rahsia dia keluar dengan Shahrin dua minggu lepas. Dia jumpa Shahrin tu bukan saja-saja aje tapi sebab hal besar.
“Kalau mama tahu ada yang ikut El ke sana, siap El dengan mama!”
Eleena garu kepala yang tidak gatal. Wajah Haji Zamarul dipandang sekilas. Tiada riak pelik diwajah tua itu.
“Okay lah mama, papa. El nak masuk dulu. Jumpa empat hari lagi ya.”
“Jangan pula nanti hari keempat hantar mesej dekat mama tak jadi balik lagi..”
“Ish, awak ni Pah.. Asyik nak marahkan El aje. Dah la tu.. Anak beranak bergaduh dekat airport ni, buat malu saya aje.” Bidas Haji Zamarul.
“Saya ni risaukan El ni abang oi.. Asyik pergi merantau entah ke mana.. Sikit-sikit berjalan.. Duit tu simpan buat kahwin.. buat beli rumah lagi elok.”
“Ha, dah tu El nak kahwin awak juga yang tak izinkan dulu..”
Eleena tersenyum kecil mendengar cara Haji Zamarul menyidir mamanya. “Dah la tu.. El belum nak kahwin lagi. Nanti El nak kahwin El bagitau ye. Mama dengan papa kena sponsor anak bongsu kahwin.”
Sempat Eleena berseloroh dengan mama dan papanya sebelum berangkat.
“Banyak cantik muka awak ye Eleena! Dah, pergi masuk. Nanti kena tinggal dengan kapal baru tahu.” Haji Zamarul menggosok kepala anaknya. Dah nama pun anak bongsu, haruslah manja dengan dia dan isterinya.
“El ingat pesan mama.. Jangan buat yang bukan-bukan. Jaga maruah diri. Jaga nama mama dan papa baik-baik.”
Eleena merangkul tubuh Hajah Arafah ke dalam pelukannya. “Nanti El bawa balik calon menantu untuk mama ya. Yang tubuh tegap-tegap tu sebab selalu surfing.”

Hajah Arafah segera merungkaikan pelukan. “Astaghfirullah hal’azim budak bertuah ni. Jangan nak menggatal sangat boleh?”
“Laaa, tadi mama juga yang suruh kahwin.”
“El nak mama seret El balik ke rumah semula ke?”
Eleena bergerak dua langkah ke belakang. “El main-main ajelah. Nanti El carikan menantu doktor untuk mama ya.”
“Ish budak bertuah ni memang nak kena betul!”
Eleena segera berjalan laju ke arah pegawai di pintu masuk pelepasan antarabangsa sebaik sahaja nampak mamanya mahu menangkap dia sambil tergelak kecil.
Love you ma. Bye!” Ujar Eleena sebelum menaiki escalator menuju ke bawah bangunan.
Sebaik sahaja kelibat Eleena hilang dari pandangan mata, Haji Zamarul dan Hajah Arafah bergerak meninggalkan kawasan pelepasan dan berjalan sambil berpegangan tangan menuju ke tempat parkir kereta.
“Abang percaya ke El ke Bali seorang diri?”
“Allahuakbar.. Pah. Kan El dah cakap dia ke sana seorang diri. Takkan awak tak percayakan dia?”
“Abang, Pah bukan tak percayakan El. Pah tak percayakan Shahrin tu!”
“Biarlah budak-budak tu buat keputusan mereka sendiri. Kita doakan yang terbaik ajelah untuk mereka berdua tu Pah..”
Hajah Arafah melepaskan nafas berat. “Shahrin tu tak sesuai untuk El. Pah tak setuju kalau dia masih nak pilih Shahrin sebagai bakal suami dia.”
“Kalau itu pilihan El, kita sebagai mak bapak redhakan ajelah.” Balas Haji Zamarul sambil menepuk perlahan tangan isterinya. Dia tahu hajah Arafah bimbangkan Eleena. Mereka berdua juga tahu Eleena ke Bali untuk menenangkan fikirannya yang berserabut.
“Entahlah bang. Hati saya ni bimbangkan El.”
“Doakan keselamatan dia dan kesejahteraan dia.. Ya?”
Hajah Arafah senyap seribu bahasa. Hanya Allah sahaja yang tahu hati dia.
Tiket ditangan dikipas perlahan ke mukanya. Terasa panas pula dalam ruang menunggu ini. Mungkin kerana dia berjalan terlalu laju menuju ke sini.
Mendengar pengumuman masuk ke kapal, Eleena lekas-lekas mengangkat beg sandangnya dan berjalan menuju ke pintu masuk.
“Bali miss?”
Eleena tersenyum manis sambil menganggukkan kepalanya kepada wanita yang menunggu di pintu masuk itu.
“Your ticket please.”
Tiket beserta passport diserahkan kepada wanita muda itu.
“Silakan.”
Eleena melangkah masuk sambil berjalan perlahan menuju ke arah pintu kapal. Kepala ditoleh ke belakang. Lega, dia merupakan penumpang terakhir yang akan melangkah masuk ke dalam penerbangan ini.
Mata melilau mencari nombor tempat duduknya.
There!
Laju sahaja kaki melangkah menuju ke tempat duduknya. Tiba-tiba dia kaku.  Eh? Mata kembali menatap sekeping tiket di tangan. 28A.
Dah kenapa pula ada orang duduk tempat dia?
“Excuse me sir. Can I see your ticket number please.”
Eleena terkaku sebaik sahaja manusia yang duduk di tempatnya ini menarik jaket yang menutupi wajahnya.
Subhanallah! Orang ke bidadara syurga ni? Mak ai, kenapa kacak sangat?
Yeah, sorry?”
“Oh. Takde apa-apa.”
Eleena! Kau dah kenapa takde apa-apa pulak? Tadi nak duduk tepi tingkap sekarang kau gagap pula bila nampak lelaki handsome?
Liur ditelan perlahan.
“Awak nak duduk tepi tingkap ke?”
Perlahan Eleena mengangguk. Memang dia suka duduk di bahagian tingkat. Suka kalau dapat melihat pemandangan bawah dari atas. Melihat kebesaran Allah swt.
“Sorry ya, saya ingat takde orang tadi sebab kapal dah nak berlepas..”
Eleena senyum kecil. Dia memang terlambat pun.
Lelaki itu bangkit memberi laluan untuk Eleena masuk ke bahagian dalam. Kemudian dia duduk semula. “maaf ye saya betul-betul ingat takde orang tadi.”
“Eh takde apa-apalah. Hal kecil aje tu.” Eleena mengangkat kedua-dua tangannya ke paras dada tanda menunjukkan bahawa dia langsung tidak mengambil hati atau marah dengan kejadian sebentar tadi.
“By the way, nama saya Zaidan Hakim but you can call me Eden”
Amboi, nama pun bukan main sedap! “Eleena. Boleh panggil El je.”
“Orang KL?”
“Selangor lagi tepat kot. Saujana Putra.”
Zaidan tergelak kecil. “Betullah tu, memang Selangor walaupun sebelah aje dengan KL.”
Eleena senyap. Tidak tahu apa yang dia nak bualkan dengan Zaidan. Dia bukannya peramah sangat dengan orang yang tidak dikenali.
“Bali ke?”
Eleena tergelak sedikit. Soalan bodoh apa yang Zaidan soal kepada dia? Penerbangan ini kan ke Bali, memang sah-sah lah dia akan ke Bali. Takkan dia nak ke Melbourne pula?
“Oh sorry. Penerbangan ke Bali, takkan nak ke India pula.. kan?” Giliran Zaidan pula ketawa dengan soalan bodoh sendiri sebentar tadi. “Seorang aje ke atau terpisah tempat duduk dengan kawan lain?”
Perlukah dia jujur dengan Zaidan? Adakah lelaki yang baru dikenalinya beberapa minit lepas adalah lelaki yang baik? Dia langsung tak pernah kenal lelaki ini. “Aaa.. Ada kawan. Tempat duduk tak sama.”
Mungkin lebih selamat macam ni. Buatnya Zaidan lelaki jahat, ikut dia sampai ke hotel kemudian merompak dia.. Tak ke naiya aje dia nanti? Itu tak apa lagi, kalau Zaidan robek maruah diri dia macam mana?
Allah!
Semoga Allah melindungi dirinya dari manusia jahat dan kejam.
Eleena membuang pandang ke luar tingkap. Hanya putih dan langit kebiruan yang kelihatan. Dia terlepas pemandangan ketika kapal meninggalkan daratan. Pemandangan yang paling dia sukai. Ish, ni sebab Zaidanlah ni tanya dia macam-macam sangat.
Teringat akan sesuatu, Zaidan menoleh ke arah Eleena. Namun apabila melihat Eleena yang asyik memandang ke arah luar tingkap seperti tidak berminat untuk berbual, Zaidan juga turut diam. Janggal agaknya berbual dengan seseorang yang baru dikenali.
Pertanyaan yang mahu ditanya tadi mati seperti itu sahaja.
Zaidan berjalan seiringan dengan Eleena bergerak ke arah imigresen di Ngurah Rai Airport. “Mana kawan-kawan awak? Belum turun lagi ke?”
“Oh, dah turun.. Dorang dah keluar awal lagi.” Eleena terus bergerak laju meninggalkan Zaidan di belakangnya.
“Eh, El.. Tunggulah kita jalan sama-sama.” Zaidan bergerak mengejar Eleena yang sudah jauh meninggalkan dia beberapa tapak di belakang.
Selesai dengan proses Imigresen, Eleena gelisah sendiri. Takkan si Zaidan ni nak ikut dia sampai ke hotel kot? Dari tadi asyik menyendeng dengan dia aje. “Awak nak ke mana? Kawan awak takde ke?”
“Saya bercuti sorang aje dekat sini. Takde kawan-kawan.” Senyuman yang dilemparkan oleh Zaidan membuatkan jantung Eleena berdetak laju.
“Kalau macam tu okay lah, saya gerak dulu. Kena cari kawan-kawan saya ni. Handset takde buat roaming lah pulak.”
“El!” Eleena berpaling ke belakang sebaik sahaja terdengar namanya dilaung kuat. Siapa pula yang kenal dia dekat Bali ni? Terbang beribu kilometer jauh dari Malaysia pun masih ada yang kenal?
Shahrin.
Eleena memandang wajah Zaidan dihadapannya semula. Mesti Zaidan ingat dia datang dengan Shahrin.
“Oh, ini kawan awak ye.. Patutlah segan nak bagitahu tadi ye. Kawan special ke?” Zaidan mengusik nakal.
“Bukan macam tu Eden.. Er.. Em..”
Argh! Macam mana Shahrin tahu dia dekat sini?
“El! Puas abang cari El satu airport ni tau.. rupanya El masih dekat sini. Lambatnya El keluar.”
Eleena buat-buat tidak mendengar butir bicara Shahrin. Malas nak dengar sebenarnya. Dia dah banyak kali cakap dengan Shahrin jangan ganggu dia! Lagi dia cakap, lagi Shahrin galak menganggu. Memang dasar tak reti bahasa betul!
What are you doing here?” Soal Eleena perlahan tetapi sedikit keras.
Of course abang cari El!”
Melihat situasi yang kurang mesra antara Eleena dan Shahrin, Zaidan menyampuk. “Zaidan.” Tangan dihulur kepada Shahrin.
Shahrin spontan menyambut huluran tangan Zaidan. “Shahrin. Bakal suami Eleena.”
Eleena ternganga kecil. Amboi, berani betul Shahrin perkenalkan diri sebagai bakal suami dia ya? Depan Zaidan bolehlah, kalau depan hajah Arafah ada kau berani nak memperkenalkan diri macam tu?
Okay lah El, saya better gerak dulu. See you around.”
Eleena hanya memerhatikan sahaja Zaidan yang bergerak meninggalkan dia bersama Shahrin. “Apa awak buat dekat sini, hah?”
“Kenapa El layan abang macam ni?” Soal Shahrin tidak berpuas hati dengan layanan Eleena kepadanya.
“Oh.. Kenapa layan awak macam ni? Habis saya kena layan awak macam mana Shah?” Sinis pertanyaan Eleena kepada Shahrin. Eleena bergerak mahu meninggalkan Shahrin. Tiba-tiba tangannya dipaut oleh Shahrin.
“Abang minta maaf okay. Abang janji abang akan betulkan semua masalah yang abang timbulkan.”
“Saya tak datang sini sebab nak berbincang masalah kita. Saya ke sini sebab nak tenangkan fikiran saya. Kalau boleh, saya minta tolong sangat dengan awak, jangan ganggu saya dekat sini.” Kaki pantas bergerak mencari teksi. Dia mahu jauh daripada Shahrin.
p/s : Tak bole tidooo sebab petang tadi tertido masa tengok tv. Husband pulak kerja, duduk sorang-sorang dari siang sampai ke malam. T_T' Maka terhasillah satu cerita pendek ini. Memang tak panjang. InsyaAllah esok lusa sambung lagi.
Semoga terhibur ya.

Love,
Sri.

6 comments:

  1. Yeaayy ..dpt n3 bru..so yg b4 ni akn dbukukan ke sis? Bila jangka kuar novel tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Kak Ida.
      InsyaAllah Cinta Jangan Sakiti Aku akan terbit dalam versi cetak.. Bila tu belum tahu lagi sis.

      Delete
  2. Lama tak jenguk. Ada entry baru rupa nyer. Senyum :-)
    -miEza-

    ReplyDelete