Saturday 17 October 2015

Bab 2 Di Hatiku Ada Dia


Jam tangan jenama Tissot di pergelangan tangan dikerling laju. Dia berjanji mahu berjumpa dengan klien pada waktu tengah hari tetapi terlambat kerana panjang pula perbincangan dia dengan ayah sebentar tadi. Bermula dari bab kerja dan seterusnya melarat sehingga bab lamaran Puan Nani kepada dia.
Dia akui dia belum memberikan jawapan kepada keluarga Puan Nani dan Encik Musa kerana dia masih memerlukan masa.
Ibu dan ayah seperti biasa, memujuk dia untuk berkahwin agar pada masa akan datang lebih banyak projek kerjasama antara syarikat ayah dan Encik Musa. Bukan dia tidak mahu, dia mahu Firhad sendiri yang meluahkan rasa ingin berkahwin dengan dia.
Dia mahu Firhad sendiri datang berjumpa dan melamar dia. Mahu lihat keikhlasan lelaki yang bernama Firhad Hizami Musa itu. Benar-benar mahu kahwin dengan dia atau kena paksa dengan Puan Nani?
Heh!
Tersedar dia sudah terlewat, Riana menggelengkan kepalanya laju-laju. Oi, Riana nak berangan lagi dalam kereta. Tak sedar diri yang kau tu dah lambat..
Gear reverse ditolak laju. Pedal minyak ditekan kuat tanpa menoleh langsung ke cermin pandang belakang.
Bum!
Mulut ternganga luas.
“Alamak...!” Pintu kereta ditolak kuat. Alamak, dia langgar anak siapa pula ni? Kaki melutut di sebelah lelaki yang sudah terbaring di jalan tar. “Encik…” Riana terasa mahu menangis. Baru tiga minggu balik Malaysia takkan dah buat hal? Matilah kalau ibu tahu..
“Arghhh..!” Lelaki di hadapan Riana mengerang kesakitan. Memegang sikunya yang sakit. Mata Riana turut menyorot ke arah siku lelaki itu. Sakit ke? Tak nampak berdarah pun. Jaket kulit yang dipakai oleh lelaki itu pun terkoyak sedikit aje.
“Sakit ke encik?” Riana rasa mahu tampar mulut sendiri. Umur dua puluh tujuh tahun dia boleh soal soalan bodoh dekat orang yang kemalangan. Kalau dah mengaduh ‘arghhh.. argh…’ tu sakitlah.
“Awak ni mengudur tak tengok belakang ke?”
Melihat wajah kacak lelaki di hadapannya Riana telan air liur. Mat Salleh sesat mana pula ni? “Maaflah, saya tak perasan awak nak lalu tadi. Sakit ke? Nak ke klinik? Motor awak okay?”
Rafael bingkas bangkit. Motor berkuasa tinggi miliknya diangkat semula. “Kalau motor ni berkecai saya tak kisah asalkan nyawa saya tak melayang. Kalau nyawa saya melayang habis awak nanti tau..”
Liur ditelan terasa kelat. “Sorrylah. Awak okay ke ni?” Riana turut sama bangkit berdepan dengan Rafael. “Saya minta maaf, saya kelam-kabut tadi tak nampak awak.” Kalut dia beraksi di hadapan Rafael. Sungguh-sungguh tidak sengaja melanggar lelaki itu.
“Saya okay, awak jangan risau.” Memang nampak sangat riak wajah serba-salah di wajah Riana. “By the way saya Rafael.”
Riana melemparkan senyuman manis kepada Rafael. “Riana Sofea.”
“Okay lah Cik Riana Sofea, next time berhati-hati kalau nak mengundur kereta. Ini nasib baik awak langgar saya, kalau langgar orang lain yang garang mungkin awak kena maki hamun nanti.”
Bibir menjadi mangsa gigitannya. “Maaflah, saya betul-betul tak nampak awak di belakang tadi. Maaf ya..”
Rafael membetulkan jaket yang tersarung ditubuh. Kotoran yang lekat diseluarnya juga disapu ala kadar. “Maaf diterima.”
“Err, Encik Rafael.”
“Ya?”
Are you sure that you are okay? Kalau awak nak ke klinik saya boleh hantarkan awak ke sana.”
Wajah Mat Salleh celup itu hanya tersenyum. “Awak cakap tadi awak sibuk, kan? Saya takde apa-apa. Boleh berdiri dan emm, siku ni sakit sikit aje. Mungkin lebam.”
Duh!
Ini sengaja nak tambah rasa bersalah di hati Riana ni. “Kalau macam tu why don’t we go to the nearby clinic and do some check-up. Mana tahu kot-kot siku awak tu retak ke..” Ayat tergantung di situ. Nak sebut patah macam melampau sangat. Dia bukannya langgar kuat sangat tadi. Rafael jatuh sikit aje. Motor pun langsung tak calar.
Terdengar Rafael ketawa kuat, Riana melepaskan nafas kelegaan. Nampaknya lelaki itu macam okay. “Saya gerak dulu.”
Rafael memecut motornya laju sebaik sahaja enjin dihidupkan. Riana ditinggalkan terpingga-pingga. Biar betul?
Tak minta nombor telefon dia? Ish, Rafael ni gay ke? Biasanya lelaki kalau buat baik macam itu sebab nak mengurat. Rafael bukan nak mengurat dia? Kepala yang dililit selendang digaru perlahan.
Dia mahu membantu Rafael sebentar tadi tetapi lelaki itu yang menolak bantuannya. Yang penting daripada apa yang dia lihat lelaki itu nampak okay sahaja. Elok sahaja Rafael berdiri dan mengangkat motosikal berkuasa tinggi itu. Mungkin lelaki itu benar-benar okay. Harapnya Rafael tak pergi balai polis buat aduan terhadap dia sudahlah.
Tiba-tiba sahaja bahu dijungkit tanda tidak tahu.
Apa-apalah Rafael si Mat Salleh celup oi.
Tubuh diloloskan dalam perut Renault Megane RS berwarna putih miliknya. Baru sahaja kereta masuk gear reverse, dada berdebar-debar. Janganlah dia terlanggar sesiapa pula selepas ini. Perlahan-lahan kereta keluar dari petak parking.
Nervous!
Itulah namanya pengalaman mengajar manusia untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang. Sekali dah kena baru tahu langit tinggi atau rendah.
Bersyukur kepada Tuhan kerana Encik Joseph masih setia menanti dia café hotel. Dari jauh Riana tersenyum kepada Encik Joseph yang melambai-lambaikan tangannya kepada Riana. Ceh, patutlah menunggu, rupanya ada teman. Macam mana pula Nadhirah boleh muncul di sini?
“Hai, minta maaf Encik Joseph sebab saya terlambat.. Terpaksa menunggu saya pula.”
Lelaki berbangsa Cina itu hanya tergelak kecil. “Tak apa Cik Riana sebab Nadhirah dah terangkan kepada saya tentang kertas kerja yang akan Cik Riana bentangkan kepada saya.. Sama kan Nadhirah?”
Garang anak mata Riana memandang sepupunya. Lambat-lambat gadis itu mengangguk.
Aik, macam mana pula Nadhirah boleh ada kertas kerja yang sama macam dia? “Jadi Encik Joseph dah dengar penerangan dari Nadhirah secara telitilah ya?” Sengaja nak pancing jawapan. Sebenarnya dia mahu tahu bagaimana kertas kerja yang sama boleh ada pada Nadhirah sedangkan ini adalah projek pertama dia sejak balik ke Malaysia.
Hoi, projek pertama tahu tak? Faham tak apa perasaan untuk melaksanakan projek pertama dengan semangat yang berkobar-kobar lepas tu kau tahu ada orang lain caras projek kau dan bentangkan kepada klien kau terlebih dahulu tanpa memberitahu apa-apa kepada kau?
Sakit hati.
Yes, sangat geram.
“Sebenarnya Cik Riana, saya tahu ini adalah hasil titik peluh Cik Nadhirah jadi saya lebih berminat untuk mendengar penjelasan daripada Cik Nadhirah iaitu orang yang mengeluarkan idea asal terhadap projek ini dan sebenarnya saya sudah pun mendengar penerangan mengenai projek ini secara mendalam oleh Cik Nadhirah sebenar tadi.”
Ayat Encik Joseph makan dalam. Riana akui dia memang terasa hati. Seolah-olah Encik Joseph nak cakap dia ni ceduk idea Nadhirah.
Riana menjeling Nadhirah yang seperti cacing kepanasan. Jadi, Nadhirah claim ini adalah idea dia? Okay. Fine.
“Tapi sebelum ini kita memang ada berbincang secara tidak rasmi mengenai projek ini dan ketika itu saya menerangkan projek ini secara lisan kepada Encik Joseph kan?”
Lelaki bermata sepet ini mengangguk setuju. “Ya, ketika itu saya tak tahu pula yang Cik Riana dan Cik Nadhirah adalah bersaudara. Saya sendiri tidak mengangka yang Cik Riana mencuri idea Cik Nadhirah ketika itu.”
Apa?
Sabar Riana. Sabar! Orang yang berjaya dalam bisnes adalah orang yang sabar. Sanggup untuk jatuh sembilan kali dan bangkit untuk kali kesepuluh.
“Macam mana pula saya dikatakan mencuri idea orang lain tentang rekaan dalaman untuk syarikat Encik Joseph kalau ketika itu saya sudah bentangkan secara tidak rasmi lebih awal berbanding syarikat Cik Nadhirah?”
Encik Joseph angkat bahu. “Mungkin Cik Riana sendiri boleh menjawb soalan itu. Saya kurang pasti.”
Oh senangnya!
Seronoklah kalau jadi syarikat besar kalau macam ini. Orang lain terhegeh-hegeh cari idea dan bila ada yang mempunyai idea hampir sama atau sama dituduh mencuri atau menceduk idea orang lain. Banyak cantik!
Dia memang tak puas hati sangat sekarang ni!
“Jadi Encik Joseph memilih syarikat Cik Nadhirah lah berbanding syarikat kami?”
Oh, I am so sorry Riana. I terpaksa setuju dengan Cik Nadhirah memandangkan bos Cik Nadhirah ialah kawan lama I.”
Riana ketap giginya rapat-rapat. Dalam hati dia istighfar aje. Kalau tak memang dia rasa nak simbah air atas kepala Nadhirah. “Oh, kalau macam tu nampaknya mungkin bukan rezeki sayalah untuk bekerjasama dengan syarikat Encik Joseph.. Saya rasa eloklah kalau saya minta diri terlebih dahulu.” Bibir dipaksa senyum.
Jangan meletakkan emosi di depan ketika berurusan dengan orang.
“Tak minum dulu?” Pelawa Encik Joseph.
“Tak perlulah. Saya minum kemudian aje. Thanks for your time.”
Fail ditangan dicampak di atas meja. Tak guna punya orang tua! Nampak sangat miang. Mentang-mentanglah Nadhirah tu pakai seksi, boleh bagi cium tangan dan pipi bagai, terus aje bagi projek pada Nadhirah!
Ei, sakitnya hati dia!
Memanglah ketika dia mula-mula jumpa dengan Encik Joseph minggu lepas lelaki itu ada juga cuba bermain mata dengan dia tetapi ketika itu dia buat biasa sahaja. Professional. Kerja kot, buat cara elok-eloklah. Dia nak cari rezeki yang halal di bumi Allah ini bukannya nak dapatkan tender atau projek berjuta dengan cara suap sana sini atau jual tubuh.
Nauzubillah!
Dia rela tidak berjaya untuk memperoleh tender dari mana-mana syarikat kalau dia terpaksa jual badan atau terpaksa dedahkan aurat dia. Jangan harap!
“Masuk.”
Wajah Tuan Amin terpancul di muka pintu. Riana bangkit hormat mendapatkan ayahnya. “Ayah dengar projek di Kelana Jaya tu tak berjaya. Kenapa?”
Riana duduk di kerusi apabila Tuan Amin duduk bertentangan dengannya. “Bukan rezeki kita..”
Bibir mengeluh perlahan. “Mana boleh kata bukan rezeki kita kalau kita tak cuba dengan bersungguh-sungguh. Ria yakin yang Ria dah cuba sebaik mungkin? Dah cuba convince client untuk berkerjasama dengan kita?”
Nak yakinkan klien apa bendanya, Encik Joseph tu dengar penerangan dia pun tak mahu! Langsung tidak memberikan ruang dan peluang untuk dia jelaskan dengan teliti mengenai kertas kerja dia.
“Orang tak mahu dengar pun ayah.”
“Kenapa orang tak mahu dengar? Ria kena tanya diri Ria semula apa yang tak kena dengan diri Ria sampai orang tak mahu dengar apa yang kita cuba jual..”
Riana tunduk memandang fail di hadapannya. Perlahan fail itu dibuka. “Ada orang lain dah buat sama macam kita.. Design yang sama, sebut harga yang lebih rendah sedikit berbanding kita dan yang penting orang tu sanggup jual diri dia untuk dapatkan projek ni.”
“Ria, ayah tak suka kalau Ria sebut pasal jual diri. Bukan semua orang nak beli projek dengan cara menjual diri tau! Jangan nak memfitnah.”
Fitnah? Kalau tadi dia nampak tangan Encik Joseph duk mengusap peha Nadhirah takkan tak jual diri? Memanglah tidak tidur sekatil tapi itupun dah kira menjual diri. Mencemarkan maruah sendiri!
Sorry.. Ria mungkin silap dalam hal ini. Ria minta maaf pada ayah sebab Ria gagal untk dapatkan projek pertama Ria.. Gagal berikan apa-apa sumbangan kepada syarikat kita ni.”
Tuan Amin bangkit dari kerusinya. Kaki melangkah mendapatkan Riana. Dia tahu Riana memang harapkan projek ini berjaya. “Ria, gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Ini kali pertama Ria gagal.. Kali kedua mungkin Ria akan berjaya?”
Ah, kenapa nak tersentuh sangat ni?
“Ria sedih..” Air mata ikut keluar bersama kata-katanya.
“Nak tahu tak apa maksud gagal yang sebenar?”
Riana mengangkat wajahnya memandang Tuan Amin.
“Orang yang gagal dan tidak bangkit selepas kegagalan ialah orang yang sebenar-benarnya gagal. Orang yang berjaya pula ialah orang yang gagal dan dia berjaya bangkit selepas kegagalan. Faham?”
“Ayah tak marahkan Ria sebab gagal dapat projek tu?”
“Nadhirah tiru idea Ria, ya?”
Tangisan kian esak. Macam mana ayah dia tahu semua ini? Ala, ini yang buat dia bertambah-tambah sedih. Sekali lagi gagal dengan Nadhirah! Sakitnya hati.
“Nadhirah datang ke sini dua hari lepas.. Dia yang curi proposal Ria dari bilik Ria ni. Nanti apa-apa proposal penting masukkan dalam laci dan kunci.. Sebab itulah ayah buat semua meja kerja di pejabat ini ada laci dan siap kunci lagi di laci tu.”
Kesilapan dia. Memang kesilapan dan kecuaian dia dalam membuat kerja. Dia tidak cekap menjaga rahsia syarikat! “Ria minta maaf..”
Bahu Riana ditepuk perlahan. Macam pujuk anak kecil. Manja betul anak bongsu dia ini. “Tak apa Ria, hari ini hari dia mungkin esok lusa hari Ria pula, kan?”
“Macam mana ayah tahu dia yang ambil dari meja Ria?”
Perlahan-lahan senyuman terukir di bibir Tuan Amin. “Tu..”
Loh, bilik dia ada CCTV? Nasib baik tak buat perangai tak senonoh dalam bilik! “Ayah monitor Ria buat kerja ke?”
Bibir melepaskan ketawa sedikit kuat. Anak dia ni main tuduh aje! “Ria ni perempuan, kalau ada klien lelaki masuk keluar dalam bilik ni sekurang-kurangnya kita nampak apa yang berlaku. Faham?”
Riana angguk faham.
“Kita nak ambil tindakan ke terhadap Nadhirah, ayah?”
“Ria rasa?”
Eh tanya dia? Kalau tanya dia memang dia rasa nak sumbat Nadhirah dalam penjara! Biar padan muka sepupu dia itu. Sepupu a.k.a musuh lama! “Tak perlulah, mak anjang pun tak sihat.. Ria tak nak mak anjang susah hati pula nanti.”
Well, I knew my daughter. Kita doakan Nadhirah tu berubah ajelah ye?”
Perlahan Riana mengangguk.
Dua puluh tujuh tahun… Entah tahun ke berapa baru Nadhirah akan berubah. Sabar ajelah dengan sikap gadis itu!


No comments:

Post a Comment