Thursday 3 December 2015

Bab 6 Dia Lelaki Idaman Hati


Riana meletakkan fail di atas meja kerjanya. Dia perlu berjumpa dengan Tuan Amin berhubung dengan satu syarikat baru yang mahu mereka menghantar sebut harga.
Gagang telefon diangkat. “Assalamualaikum. Kak Lizah, Tuan Amin ada?” Riana menyapa pembantu peribadi ayahnya. Lizah binti Ahmad Sabri.
“Waalaikumussalam. Ada Cik Ria. Nak jumpa dengan Tuan Amin sekarang ke?” Soal Lizah di hujung talian sana.
“Tuan Amin ada tetamu ke?” Riana masih berdiri di sisi mejanya. Belum sempat duduk lagi. Kalau boleh dia mahu berjumpa dengan ayah dia sekarang juga. Banyak kerja dia sekarang ini.
“Hm.. Ada tetamu. Encik Firhad Hizami dari Titian Jaya Corporation.”
Mendengar Lizah menyebut nama Firhad Hizami, tubuh yang tadi tersandar lesu serta-merta tegak berdiri. Firhad ada di sini? Kenapa lelaki itu tak cakap pun yang nak singgah ke sini?
“Kalau macam tu takpelah Kak Lizah. Kejap lagi Ria ke sana..”
Tanpa menunggu balasan dari Lizah terus sahaja gagang telefon diletak. Jari mengetuk meja. Apa lelaki itu buat di sini? Saja nak berjumpa dengan dia? Atau Firhad ada apa-apa projek dengan syarikat ayah dia? Eh kalau ada tak pernah dengar pun ayah sebut apa-apa sebelum ini.
Fail berwarna merah di atas meja di capai laju sebelum kaki dibawa menuju ke pintu keluar.
Pintu bilik Tuan Amin diketuk sebelum dia melangkah masuk ke dalam bilik Pengarah syarikat Chempaka Holdings.
“Assalamualaikum ayah.” Sapa Riana manja.
“Waalaikummussalam. Ria.. Masuklah.”
Riana sengih. Baru suruh masuk, padahal dia sudah melangkah masuk ke dalam bilik ini. “Abang Ad pun ada dekat sini?” Cewah, buat-buat tanya lagi padahal tadi Kak Lizah memang dah beritahu awal-awal lagi pada dia yang Firhad ada di sini. Mengadalah kau Riana!
“Haah, abang singgah sebab ada hal dengan Uncle Amin. Ria ada apa-apa nak bincang dengan Uncel Amin ke?”
“Eh, takdelah.. Saja je nak melawat ayah dekat sini. Tak sangka pula Abang Ad pun ada dekat sini juga.” Dah seminggu dia tak nampak wajah kacak Firhad. Lelaki itu hanya dua kali menelefon dia selepas mereka keluar makan bersama tempoh hari.
“Baiklah uncle, Ad balik dululah. Rasanya macam dah selesai urusan kita tadi.” Bibir Firhad senyum mekar memandang wajah Tuan Amin yang duduk bertentangan dengannya di sofa.
“Abang Ad dah nak balik ke? Ala, tak sempat nak lunch sama-sama..” Kau cakap ajelah kau nak ajak Firhad makan tengah hari bersama Riana oi, nak berkias-kias pula!
Sorry Ria, hari ni memang tak sempat. Next time ya? Abang janji.” Lima jari naik ke udara tanda berjanji dengan Riana.
“Sibuk sangat ke?”
Seriously super busy this week. Next week kita makan sama-sama, abang janji.”
“Janji?” Mimik muka dimanjakan kepada Firhad. Aduh! Riana. Ingatkan dah berubah rupanya masih sama juga sikap dia.
“Janji. Nanti abang call Ria ya?”
Riana tersenyum manja. Firhad bersalaman dengan Tuan Amin dan melangkah meninggalkan bilik Pengarah Chempaka Holdings.
Tuan Amin duduk semula di tempatnya sebentar tadi. “Bukan saja-saja nak datang jumpa ayah kan?”
Riana menoleh dan sengih segan kepada ayahnya. “Bila Abang Ad sampai? Dah lama ke dia dekat sini?”
“Dah lamalah tu pasal dah balik.. Ria dari mana?”
Breakfast dengan Asma tadi sebab tu Ria masuk lambat sikit. Sorry.” Muka kasihan ditayangkan di depan ayahnya. Janganlah kena marah. Ayah selalu pesan kalau berniaga sendiri masa adalah rahsianya. Kalau tak reti nak menguruskan masa memang rezeki akan lari. Jadi semuanya adalah berkaitan dengan pengurusan masa. Kalau asyik nak utamakan benda lain berbanding perniagaan memang boleh lingkuplah Chempaka Holdings.
“Ria, masa itu ..”
Belum apa-apa Riana terus memintas kata-kata Tuan Amin. “Ya, Ria faham tapi Asma ada masalah. Ria kena juga ada masa untuk kawan-kawan Ria.. Ayah tak boleh hanya utamakan syarikat berbanding perkara lain.”
“Selama ayah berniaga ada Ria nampak ayah abaikan keluarga? Ada Ria nampak ayah abaikan ibu? Ada Ria nampak ayah tidak menghadiri majlis keraian kawan-kawan ayah? Takde kan?”
Riana mengangguk perlahan.
“Sebab itulah pengurusan masa sangat penting. Kalau Ria tahu Ria ada urusan penting jangan tangguh kerja. Buat kerja sampai siap lepas tu baru jumpa kawan-kawan.”
Yeah, I am sorry ayah.”
Tuan Amin mengeluh kecil. “Ria nak cakap pasal sebut harga syarikat ya?”
Riana pantas mengangguk. Macam mana ayah dia tahu?
“Abang Dee dah uruskan pasal sebut harga yang diminta oleh syarikat tu. Email tu dihantar dua hari lepas, Ria!”
Riana tepuk dahi. Dia baru semak emel semasa sarapan pagi bersama Asma sebentar tadi. Memang terkejut beruklah dia bila tengok emel itu dihantar pada dua hari yang lalu. “Ria minta maaf sebab Ria tak perasan.. Ria tak ingat langsung nak semak emel.”
Tuan Amin bersandar di sofa. “Bekerja sendiri bermaksud kita boleh adjust waktu kita bekerja tapi ayah dah tetapkan waktu kerja di syarikat kita ialah pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Selepas pukul 5.00 petang Ria boleh buat apa yang Ria suka sebab waktu kerja dah tamat. Lepas ni ayah harap kalau Ria betul-betul nak berjaya dalam kerjaya Ria, pastikan Ria ikut waktu kerja yang betul.”
Riana rasa terpukul dengan kata-kata Tuan Amin. Memang terasa habis! Selalu sahaja dia masuk kerja lewat kerana dia akan singgah bersarapan dengan Asma dahulu pada setiap pagi. Kadang-kala dia tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
“Ria memang datang kerja lambat tapi Ria balik lambat jugak kan.. Jadi Ria bayar waktu kerja Ria tu..”
Mata menangkap gelengan kepala oleh ayahnya. “Salah tu Ria. Waktu kerja pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Jadi wajib untuk Ria patuhi waktu kerja.. Kalau masuk lambat, Ria tetap salah. Melanggar etika kerja.. Sama ada Ria nak balik lewat atau tepat pada masanya itu hak ia bukannya undang-undang syarikat kita ada menyatakan kalau masuk lambat kena balik lambat. Takde.”
Riana hanya mengetap bibirnya rapat.
Dulu bolehlah dia merajuk dengan ayah dia. Sekarang dia sudah besar. Sudah berjanji dengan diri sendiri tidak mahu menjadi anak manja yang dibenci oleh orang lain lagi. Tidak mahu mendapat layanan istimewa walaupun dia anak pemilik syarikat ini. Itu juga yang dia pinta sebelum masuk bekerja dengan ayahnya. Sekarang ni bila kena marah, hambek! Kau tadah ajelah telinga kau.
Okay, Ria minta maaf.. Lepas ni Ria janji Ria takkan masuk kerja lambat lagi ya, bos?”
Tuan Amin tergelak dengan lawak anak bongsunya. “Sudah la, ayah bukannya marah Ria. Ini teguran. Ayah tak nak nanti orang cakap Ria senang sebab kerja dengan ayah sendiri lepas tu suka ambil kesempatan. Nak ke orang cakap macam tu?”
Pantas Riana menggeleng. Memang itulah yang dia cuba elakkan sejak dulu lagi. Selepas dia jauh dari keluarga, merantau dia negara asing seorang diri dia kenal erti kehidupan. Dia kenal erti berdikari.
“Janganlah cakap macam tu. Ayah tahukan Ria memang suka bekerja kuat.. Ria tak harapkan apa-apa dari ayah.”
“Iyelah.. Sekejap lagi kita makan tengah hari dengan Abang Dee.”
“Abang Ad?”
Tuan Amin tergelak dengan soalan Riana. “Ad tak makan dengan kita. Ria sendiri dengar tadi Ad cakap dia ada kerja kan..”
Kecewa.
“Kenapa Abang Ad datang sini tadi? Ria ingat dia datang nak jumpa Ria.”
“Syarikat kita ada satu projek usahasama dengan syarikat Uncle Musa.”
Laju sahaja Riana mencelah. “Projek apa? Biar Ria uruskan projek tu ayah! Ria nak projek tu. . Please.”
Oh Riana! Kau dah macam perempuan terdesak sangat.
Tawa Tuan Amin masih bersisa. “Kalau Ria sukakan Ad tu sangat kenapa Ria tak terima aje pinangan Auntie Ani?”
Nafas dihela berat. “Ria tengok Abang Ad macam tak kisah pun pasal lamaran tu. Abang Ad pun takde cakap apa-apa pada Ria pasal lamaran tu..” Semasa mereka makan bersama minggu lepas Firhad langsung tidak menyebut soal lamaran Puan Nani. Dia tunggu juga tapi akhirnya hampa sendiri.
“Habis Ria tunggu Ad yang lamar Ria?”
Lambat-lambat kepalanya diangguk.
“Kenapa Ria nak buat benda yang senang jadi susah? Kan ayah dah cakap yang Auntie Ani dengan Uncle Musa tu dah memang ikut caranya.. Betullah tu datang meminang Ria. Tak perlu nak datang segerombolan manusia semua tu..”
“Bukan macam tu ayah..”
“Habis macam mana? Ad sendiri kena lamar Ria cara yang macam orang putih buat tu? Hm, itulah banyak sangat tengok drama.. Banyak sangat baca novel-novel merepek.”
Riana tersandar di kerusi kulit. “Ayah tak faham. Ria dengan ayah bukannya lahir pada tahun yang sama. Cara Ria membesar tak sama macam ayah.”
“Zaman tu bukan penentu apa yang betul dan tidak. Zaman tidak menghalalkan apa yang salah.. Tak kisahlah Ria lahir zaman batu sekali pun, kalau dah betul caranya melamar anak orang memang gitulah caranya Ria..”
Tangan naik menggaru pipi kanannya. Perlahan-lahan jari-jamari menari di pipi itu. “Ria Cuma nak tengok kesungguhan Abang Ad untuk memperisterikan Ria aje. Dia senyap aje, langsung tak cakap apa-apa..”
“Itu ayah kurang setuju dengan Ria. Dah memang ikut adat sangat keluarga lelaki datang berjumpa dengan keluarga perempuan untuk merisik dan hantar cincin tanda. Ayah pun tak suka kalau Ria nak ikut sangat budaya orang luar negara sana tu. Abang Dee pun tak bercinta dengan Kak Rus sebelum kahwin. Dia berkenan aje terus minta ibu dengan ayah pinangkan Kak Rus untuk dia.”
“Abang Dee lain ayah. Kak Rus memang tak layan ayat-ayat manis abang..” Dia kenal sangat dengan sikap Siti Fairus kakak ipar dia. Bukannya jenis jiwang dan tangkap lentok macam dia. Dia kalau boleh teringin juga ada lelaki melutut di kaki dia tanya dia sudi ke tidak berkahwin.
“Habis Ria nak tunggu Ad tu pujuk Ria, merayu, melutut dengan satu kaki depan mata Ria baru Ria sudi nak terima dia?”
Dia perempuan muda yang membesar dalam era 2000. Memanglah dia impikan ada lelaki yang melutut dengan sebelah kaki depan dia dan tanya ‘will  marry me?’. Barulah nampak macho dan tertanya keikhlasan lelaki itu nak memperisterikan dia.
Tuan Amin bangkit berdiri menghadap tingkap. Memandang ke luar jendela. Langit yang cerah menarik perhatian dia. “Ria, Uncle Musa dengan Auntie Ani tu memang berkenan sangat dengan Ria sejak dulu lagi. Ayah yang minta tangguh sebab ayah nak tunggu Ria tamat belajar. Ayah nak Ria jadi seorang wanita bekerjaya sebelum Ria menjadi seorang isteri.”
Riana memandang wajah Tuan Amin yang berdiri memandang wajahnya. “Ria fikir dulu ya?”
Tuan Amin mengeluh kecil. “Ayah tak paksa Ria tapi ayah nak Ria tahu ayah ada hak untuk menerima lelaki yang layak untuk menjadi suami Ria.”
Ayah! Kalau Firhad tu ayah nak terima dia memang nak sangat-sangat tetapi dia nak tahu adakah Firhad sudi memperisterikan dia atau Firhad tidak tahu apa-apa soal nikah kahwin ini.
Riana bangkit berdiri. “Ria keluar dululah. Jumpa ayah masa makan tengah hari nanti.”
“Ria.”
Langkah Riana terhenti.
“Pasal projek yang Ria nak tu nanti ayah fikirkan.. Ayah tak boleh putuskan sekarang siapa yang akan uruskan projek dengan Titian Jaya Corporation.”
Lebar senyuman Riana sambil mengangguk sebelum meninggalkan bilik Tuan Amin.

Beg kerja dicampak ke atas katil. Tubuh dihempas terlantang di atas katil. Memandang siling putih yang bersih tidak bersawang.
Berkedip-kedip mata Firhad memandang siling. Penat baru pulang dari kerja belum hilang, mama sudah menambah pula penat otak dia.
“Mama dah cakap dengan keluarga Ria pasal pertunangan ni. Ad jangan nak malukan mama!” Puan Nani penuh beremosi apabila Firhad menolak untuk bernikah dengan Riana.
“Ma, kan Ad dah cakap kalau Ad nak kahwin Ad akan cari calon Ad sendiri.”
Puan Nani mundar-mandir depan Firhad. “Apa yang kurangnya Riana? Cantik, manja, bekerjaya! Sopan-santun. Pandai ambil hati orang tua.. Apa lagi yang tak kena pada Ria?”
Firhad memegang kepalanya yang terasa berat. Patutlah Riana sering memandang dia seperti menantikan sesuatu semasa mereka kali pertama keluar minggu lalu, rupanya Riana memang menantikan dia untuk membuka mulut soal ini.
Ah! Waktu itu manalah dia tahu apa-apa. Dia pun baru sahaja pulang dari Bangkok atas urusan kerja memang dia langsung tidak mempunyai masa untuk berbual dengan mama dia. Selepas makan tengah hari dengan Riana tempoh hari memang dia langsung tidak menghubungi Riana kerana dia perlukan masa untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan. Dia perlu menjaga hati banyak pihak.
Riana! Riana!
“Bagi Ad masa mama. Ad belum bersedia lagi nak kahwin.”
“Jangan melampau Ad! Ad tu dah 31 tahun. Nak tunggu sampai mama ni tutup mata dulu baru nak kahwin?”
Aduh. Ini yang malas kalau bercakap pasal kahwin dengan mama dia. Memang papa akan senyap tak bagi apa-apa komen.
“Mama, kan Ad dah cakap dia nak cari jodoh dia sendiri.. Mama pun janganlah sibuk hal dia.” Fitriyati ialah kakak sulung Firhad. Dia rasa dia perlu membela Firhad. Kasihan pula Firhad asyik kena marah dengan mama dia.
“Yati pun sama! Umur dah 33 tahun tapi sampai sekarang tak kahwin lagi. Entah apa yang Yati cari mama pun tak faham.. Lelaki yang mama kenalkan semua tak kena pada mata Yati!”
Majalah ditangan ditutup kasar. “Mama, Yati dah besar.. Pandailah Yati nak cari suami. Mama ingat nak cari suami ni macam pilih baju dekat butik ke? Berkenan aje terus kahwin? Oh, please lah!”
Puan Nani memegang kepalanya. Pening dia dengan anak dia! Dua-dua belum kahwin. Jiran-jiran selalu aje buat kenduri kahwin, dia sekali pun belum lagi. Zanariah sebelah rumah ni dah tiga kali buat kenduri kahwin. Yang bongsu pun dah nak kahwin akhir tahun ini. Anak dia pula langsung tak laku-laku!
“Kamu berdua ni tak tengok ke anak-anak Auntie Zanariah tu semua dah kahwin! Ni anak mama dua orang sorang pun tak kahwin lagi!”
“Anak-anak Auntie Zanariah tu semuanya gatal nak berkahwin awal, ma. Mama jangan nak salahkan kami pula sebab belum kahwin! Yati sekarang ni sibuk dengan urusan kerjaya, takde masalah nak fikir pasal lelaki ni!”
Puan Nani mundar-mandir depan anak-anaknya. “Cakap aje pasal kahwin takde masa. Habis tu menghadap kerja sampai lewat malam tu ada pula masa Yati?”
“Yati naik atas dulu. Mata ni dah mengantuk pula.. Esok ada kes awal pagi. Good night.” Firhad memerhati Fitriyati melangkah meninggalkan ruang tamu dengan hati yang sebal. Tak guna betul kakak dia! Tinggal dia mengadap mama dia seorang diri.
“Biarlah anak orang. Anak mama sibuk dengan kerja tak sempat nak cari isteri.” Balas Firhad bersahaja. Malas mahu memanjangkan isu ini kepada Puan Nani lagi.
“Ad jangan ingat mama tak tahu apa yang Ad sembunyikan daripada mama selama ini ya? Ad jangan ingat mama diam bermakna mama tak tahu apa-apa.”
Bibir mengeluh. Nasib badan.
Tok! Tok!
Lamunan sebentar tadi hilang serta-merta. Tubuh yang bermalas-malasan di atas katil bangkit menuju ke pintu.
Melihat wajah yang berdiri di depan muka pintu, hati Firhad bertambah menyampah. Kalau datang sekadar nak memerli dia baik tak payah datang ke bilik dia. “Em, akak nak apa?” Malas sahaja dia mahu melayan Fitriyati. Tadi kata mengantuk, padahal dia tahu kakak dia belum tidur pun. Bilik kakak dia pun masih terang-benderang sebentar tadi.
“Mama cakap apa dengan kau tadi?”
“Takde apa-apa yang penting untuk kakak tahu pun.” Punggung dihenyak di atas katil. Fitriyati membontoti dari belakang. Berdiri sambil memeluk tubuh di hadapan Firhad.
“Eleh. Kau jangan nak berahsia sangat dengan aku, boleh tak?”
“Apa benda yang Ad rahsiakan daripada akak? Mana ada rahsiakan apa-apa pun. Akak pun dengar sendiri apa yang mama suruh tadi. Mama suruh kita kahwin. Telinga tu tertinggal dekat court ke?”
“Mama nak kau kahwin dengan Riana cengeng tu lagi ke?”
“Dia bukan macam dululah kakak. Riana sekarang ni dah lain.. Matang dan bersopan-santun.”
Spontan tawa mengejek keluar dari bibir Fitriyati. “Ad, come on lah. Kau kalau tak nak kahwin kau cakap ajelah tak nak. Tapi aku rasa Ria tu memang syok dekat kau sejak dulu lagi jadi aku rasa dia akan terima pinangan mama!” Sengaja mahu menakutkan Firhad.
“Kakak jangan nak memandai ya! Ria dengan Ad macam adik dengan abang ajelah.”
“Kalau kau tak percaya kau cuba ajak dia kahwin. Kalau dia setuju maknanya dia memang sukakan kaulah Ad.”
Firhad terdiam mendengar cadangan kakaknya. Biar betul selama ini Riana sukakan dia. Ish, Riana anggap dia macam Abang Dee aje kot? Sayangkan dia macam mana gadis itu sayangkan Abang Dee.
“Kakak keluarlah! Ad nak mandi ni. Tadi cakap mengantuk.. Pergi tidur!” Firhad menolek tubuh kakaknya sehingga keluar tadi bilik. Menghalau wanita berusia 32 tahun itu. Mulut macam bertih jagung bercakap tanpa henti memang elok sangat dengan kerjayanya sebagai peguam selama ini.
“Kau halau aku sebab kau nak call Riana cakap kau nak kahwin dengan dia, kan?”
“Hello! Boleh tak kalau jangan masuk campur urusan orang?”
Fitriyati ketawa kuat. “Kau rasa kasihan dekat diri kau tak Ad?”
Firhad memandang kipas yang berputar perlahan di siling. “Apa benda yang nak kasihannya?”
“Kena kahwin paksa.” Tawa Fitriyati terburai kuat. Wajah Firhad sudah mula bengang. “Firhad yang kacak kena kahwin paksa. Kelakar Ad, kelakar!”
“Get ou! Get out!”
“Oh, pity you the handsome Ad! Selamat malam bakal suami Riana!” Sengaja mahu mengusik adiknya.
Nonsense!”
Fitriyati tergelak besar apabila Firhad buat muka menyampah. “Menyampahlah kau dik, lepas ni confirm kau kahwin dengan Riana! Kau takkan sampai hati nak hampakan harapan mama.” Fitriyati membuka semula pintu bilik Firhad dan lelaki itu sudah terbaring di atas katil.
Get out!” Sebiji bantal dicampak ke arah kakaknya dan bantal hanya mencium belakang pintu kerana Fitriyati terlebih dahulu menutup kembali pintu bilik tidur Firhad.
Argh!
Firhad menjerit dalam hati. Serabutnya!
Takkan lelaki macho macam dia pun terjerat dalam perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga? Oh, tolonglah! Dia dibesarkan di luar negara.. Menghabiskan hampir separuh hidupnya di luar negara dan perkara seperti ini adalah tidak pernah terlintas di hatinya. Jodoh pilihan keluarga?
No way!
Takkan mama boleh terfikirkan idea macam ni?
Bantal ditekap ke mukanya. Pening dengan rancangan mama yang tidak bertanya pendapat dia terlebih dahulu.
Habislah.

2 comments:

  1. haha betul tekaan Riana.. Harap2 tak jadi mereka berdua nie kesian Riana.

    ReplyDelete
  2. kalau x bagi tahu la Riana Kesian Dia.

    ReplyDelete