Wednesday 25 February 2015

Part 11 - Bali Cintaku


Hampir dua minggu Zaidan tidak muncul di kedainya. Setiap hari Eleena menanti dengan penuh sabar kalau-kalau wajah lelaki kacak itu akan singgah untuk minum kopi di sini. eleena siap merangka apa yang dia akan katakan kepada Zaidan andai lelaki itu muncul di hadapannya.
Hampa.
Dia tiba awal pagi di kedai dan menanti sehingga pukul 10 malam. Zaidan tidak juga muncul. Selama dua minggu ini tidak sekalipun Zaidan menghantar apa-apa pesanan kepada dia.
Eleena menyentuh kedua-dua belah pipinya. Rupanya inilah perasaan Zaidan apabila dia tiba-tiba menghilang tanpa jejak. Menanti bagai orang gila yang entah di mana kesudahannya. Itulah, waktu orang nak, jual mahal. Kononnya nak menjaga diri sendiri dan hati orang lain. Sudahnya semua terluka.
Argh!  ‘Be strong’. Bisik Eleena kepada dirinya sendiri.
Hari ini sekali lagi Eleena menguatkan hatinya. Berdoa moga-moga ada keajaiban dan Zaidan muncul di hadapannya dengan sejambak bunga. Masih mengharap Zaidan kembali kepadanya.
Harap-haraplah.
Wajah yang tiba-tiba sahaja muncul dengan keriuhan membuatkan Eleena tergelak kecil. “Kak Zati..” Eleena mendekati wanita muda itu dan tunduk bersalaman dengan Izati, kakak ipar Zaidan. “Dari mana?”
“Ni akak pergi ambil budak-budak balik sekolah.. Saja singgah ke sini sebab tak pernah datang.”
Eleena angguk. Kepala Insyirah diusap lembut. Dia pernah sekali bersua dengan anak-anak buah Zaidan ini. Memang manja dan teletah mereka mencuit hatinya. Buat orang jatuh cinta! “Duduklah kak. Nak minum apa?”
“Syirah nak jus oren.” Insyira segera menjawab soalan Eleena.
Eleena tergelak kecil dan tunduk mencium ubun-ubun Insyirah. “Laju aje dia ye.. Syirah dahaga ye baru balik dari sekolah?”
“Adief pun dahaga juga, Kak El. Dekat sekolah tadi ada sukan, kena lari-lari. Penat tau!” Rungut Adief yang baru sahaja masuk ke tahun 1 beberapa minggu lalu.
“Ala, kesiannya Adief dengan Syirah ni. Kejap okay, Kak El pergi ambil air laju-laju untuk awak berdua. Kak Zati nak minum apa?”
“Bagi akak kopi ais ajelah.”
Eleena berlalu dari meja Izati dan anak-anaknya. Beberapa minit kemudian Eleena muncul semula dengan menatang sedulang air dan makanan. “Special untuk Adief dan Syirah. Ada cake, spaghetti dan jus buah-buahan.”
“Ya Allah, El ni buat susah-susah aje..”
“Takde apa yang susahnya kak. Makanan dah ada pun. Bukannya nak bersungguh kena masak..” Eleena senyum tipis.
Wajah Izati dipandang lembut. Ikutkan hati memang dia nak tanya tentang Zaidan tetapi segan pula. Nampak macam dia terhegeh-hegeh nakkan lelaki itu.
“El sihat ke?”
“Sihat kak. Alhamdulillah.. Akak?” Rasanya agak kekok perbualan dia dengan Izati.
“Akak sihat.. Cuma Eden ajelah nampak macam tak berapa sihat.”
Kening Eleena hampir bercantum. Eden tak sihat? “Erm, Eden sakit ke kak?”
Perlahan-lahan Izati mengangguk. Dada Eleena sudah berdegup kencang. Zaidan sakit sebab itu lelaki itu tidak muncul di sini? Ya Allah! Dia pula langsung tidak berusaha untuk mencari lelaki itu walaupun hanya bertanya khabar berita melalui whatsapp. Langsung tidak berbuat demikian! Hanya mengharapkan Zaidan sahaja untuk mencari dia.
“Eden sakit apa kak?”
“Sakit rindukan El.”
Eleena menghela nafas panjang. Buat jantung dia rasa nak meletup aje Izati ni!
“Terkejut ke kalau Eden sakit?”
“Eh, takde la.. Bukan macam tu kak. Sebelum ni elok aje sihat, tiba-tiba sakit terkejut jugaklah sikit..” Eleena cuba mengawal riak wajahnya sedaya upaya. “So, Eden tak sakitlah ni ya?”
“Sakit sebab rindukan El. Dia kerja tak berhenti El. Asyik terbang sana sini..Kalau tak terbang, dia ambil budak-budak ni bawa pergi berjalan.”
Susah hati Eleena mendengar penjelasan daripada Izati. Pasti Zaidan sibuk bekerja kerana mahu melupakan dia. “Eden kerja apa sebenarnya kak?”
“La, El tak tahu ke dia tu pilot?” Soal Izati sedikit pelik.
“Oww. Tak pernah tanya..” Eleena menyembunyikan perasaan malunya.
“El memang tak pernah ambil tahu langsung pasal Eden ya?” Soal Izati mula mengorek rahsia. Dia datang membawa misi dari bondanya. Misi untuk mengenali siapa sebenarnya Eleena. Layakkah Eleena untuk bergandingan dengan Zaidan. Layakkah Eleena untuk masuk ke dalam keluarga mereka berbanding Sherni.
Perlahan-lahan Eleena senyum. “Kami takde apa-apa hubungan pun kak. Tak elok kalau El nak masuk campur dalam urusan harian dia.”
Izati angkat kening. Eleena cakap takde apa-apa hubungan tapi dekat rumah Zaidan asyik termenung gaya macam orang mati bini. “Akak nampak Eden macam ada apa-apa aje dengan El.”
Eleena menelan air liur. Alamak, apa yang Zaidan cerita dengan keluarganya tentang dia? Adakah Zaidan ada sebut tentang dia menolak cinta Zaidan dan menyebut tentang Shahrin juga?
“Erm.. El dengan dia memang takde apa-apa hubungan kak. Kami hanya berkenalan dia Bali dan kemudian hubungan kami terputus selepas balik ke Kuala Lumpur.” Jelas Eleena.
“El kenal Sherni?”
Eleena mengangguk perlahan. “Kak, El takde niat nak rampas dia dari Sherni. Sumpah, El memang tak tahu Eden ada kekasih masa kami berkenalan dulu..”
Perlahan-lahan Izati mengulum senyuman. Dia perasan riak wajah Eleena yang sedikit takut semasa menjelaskan hubungan dia dengan Zaidan. “Kalau Eden takde apa-apa hubungan dengan Sherni, El akan terima dia ke?”
Wajah ditundukkan ke bawah. Memandang jari-jemari yang bertaut antara satu sama lain di bawah meja. “El tak tahu kak..”
Tak tahu?
Bohonglah kalau dia nak kata dia takkan terima. Dua minggu ni dah tiga kali dia bermimpi dia berkahwin dengan Zaidan! Tiga kali selepas dia membuat solat Istikharah.. Tetapi perasaan hampa kembali menyelubungi hatinya apabila Zaidan tidak muncul sehingga sekarang.
“Sherni masih menantikan Eden. Keluarga Sherni ada datang ke rumah kami untuk berbincang tentang hala tuju hubungan mereka.” Penuh berhati-hati Izati menyusun ayat.
Jantung Eleena bagai nak pecah mendengar kata-lata Izati. Kalau Zaidan setuju, maksudnya dia akan kehilangan lelaki itu. “Oh.. Eden setuju ke?”
Argh! Kenapa dia tanya soalan macam tu? Eleena rasa nak hempuk muka dalam pinggan spaghetti Insyirah.
“Eden takde bagi apa-apa jawapan.. Sebab tu akak ke sini. Akak nampak Eden macam sembunyikan sesuatu daripada kami sekeluarga.”
“Maksud akak?”
“Sebenarnya bonda akak terjumpa gambar-gambar El dalam bilik Eden.. Jadi kami yakin yang Eden dengan El ada sembunyikan sesuatu dari kami semua, kan?”
Eleena tergagap-gagap. Sumpah, mana dia tahu apa-apa pasal gambar dia yang ada dalam simpanan Zaidan. Mungkin itu gambar semasa mereka di Bali dulu. “El minta maaf.. El takde niat nak rosakkan hubungan Eden dengan Sherni tapi apa yang El boleh cakap pasal kami ialah El dengan Eden memang takde apa-apa hubungan..”
Hati Eleena kembali berbelah bahagi. Zaidan cakap takde hubungan dengan Sherni sekarang salah seorang ahli keluarga dia datang untuk berdepan dengan Eleena untuk bertanya perihal hubungan mereka dan menjelaskan hubungan Zaidan dengan Sherni.
Apa semua ni?
“El bukan perosak hubungan Sherni dengan Eden sebab mereka berdua takde apa-apa hubungan pun sebelum ni..”
Eleena kaget. Terkejut dengan pendedahan Izati. Habis tu yang Sherni beriya-iya cakap dorang sampai pernah terlanjur tu apa benda?
“Aaaa.. El tak faham maksud akak.”
“El, Eden dengan Sherni tu berkawan sejak kecil. Keluarga kami memang saling mengenali tapi takdelah sampai nak berbesan. Bonda akak memang ada mengharapkan macam tu tapi semuanya terpulang kepada Eden. Kalau Eden tak setuju kami tak pernah memaksa dia.”
“Apa kaitan semua ni dengan El?”
“El, walaupun El cuba sembunyikan perasaan El, akak tahu yang El sebenarnya cintakan Eden. El, apa gunanya El buat macam ni? Sherni dengan Eden memang takde apa-apa hubungan.. Walau apapun yang El cuba nafikan, akak cuma boleh cakap yang Sherni hanyalah kenalan keluarga kami.”
Eleena buat-buat ketawa untuk menyembunyikan debaran yang mengusik hatinya. Dia cintakan Zaidan? Nampak sangat ke? Atau perasaan cinta dia terhadap lelaki itu terlalu kuat sampai ada tertulis di dahi dia nama Zaidan? “Merepek ajelah akak ni..”
“Akak tak merepek El. Akak datang ke sini bersebab. Akak datang sebab El dan keluarga El.”
Eleena tersandar ke kerusi. “Oh. Apa kaitan keluarga El dalam hal ni?”
“Akak ke sini sebab nak minta izin El..”
“Maksud akak?” Soal Eleena tidak faham apa sebenarnya yang sedang berlaku.
“Keluarga kami akan ke rumah El untuk meminang El. Mama dan papa El dah bersetuju tentang perkara ni. Cincin tanda pun dah dihantar kepada El melalui papa El.”
Mulut Eleena ternganga. Dia terlopong dek kerana terlalu terkejut. Cincin tanda apa? Dia takde terima apa-apa khabar berita tentang perkara ini daripada mama dan papa pun. Cuma mama ada pesan supaya dia buat solat istikharah supaya bertemu jodoh yang baik. “Macam mana mama dan papa El tahu tentang perkara ni?”
“Saya yang cakap dengan dorang..”
Nah, sekali lagi Eleena rasa rahang dia jatuh ke atas meja. Mana pula muncul Zaidan dekat sini? “Awak..”
“Yes, saya.”
“Syirah dengan Adief dah habis makan kan? Jom kita balik.. Mama ada kerja nak buat ni.” Izati mahu memberi ruang kepada Zaidan dan Eleena untuk menyelesaikan masalah mereka berdua.
Sebaik sahaja Izati berlalu. Zaidan duduk di hadapan Eleena. Mengambil tempat Izati sebentar tadi. “Awak sihat?”
“Macam yang awak nampak.”
“Saya nampak awak macam sakit..”
Kening Eleena berkerut sedikit. Dia nampak sakit? Biar betul. Perlahan-lahan Eleena sentuh pipinya. Cengkung ke?
“Awak nampak macam sakit rindu dekat saya.”
Eleena tergelak kecil. Zaidan buat lawak bodoh pula dengan dia. “Mana ada. Jangan nak perasan ya!”
“Saya memang suka perasan sejak dulu, kan?”
Kepala diangguk menyokong kenyataan Zaidan. Lelaki itu memang kuat perasan!
“Actually saya dah jumpa keluarga awak..”
Air mata yang bergenang di kelopak mata ditahan sedaya upaya. “Without telling me that?” Ada nada sedih dalam pertanyaan eleena. Rasa dia seperti dibelakangkan dalam hal ini.
“El, saya minta kebenaran awak berkali-kali.. Awak tak setuju.”
“Saya memang tak setuju sebab awak tak tahu apa yang papa saya boleh buat pada awak. Ingat mama dan papa awak semudah tu ke nak terima hubungan kita?”
Sorry. Did you just said hubungan kita?”
Eleena menggerakkan bibirnya namun tiada suara yang keluar dari peti suaranya. Alamak, dia dah tersilap menggunakan perkataan.
Zaidan tergelak kecil. Sengaja dia mahu mengusik Eleena. Eleena nampak comel apabila wajah jelita itu malu-malu. “El, saya takde pilihan lain kecuali bertindak sendiri untuk berdepan dengan papa awak yang garang tu.”
Eleena tergelak kecil apabila Zaidan mengatakan papa dia garang. “Tahu pun yang papa saya garang! Awak bernasib baik sebab papa saya tak parang awak tau tak?”
“Saya sanggup kalau papa awak nak parang saya sekali pun asalkan saya dapat jelaskan semuanya kepada dia..”
“Sebenarnya papa saya tu baik orangnya. Mungkin dia cuma garang dengan awak aje.. Sebab ingat awak buat benda tak senonoh dekat anak dara kesayangan dia.”
“Yeah, memang awak anak kesayangan papa awak pun. Berkali-kali papa awak pesan supaya saya jaga awak dengan baik.”
“Papa saya terima awak?” Soal Eleena pelik.
“Saya akan jadi menantu kesayangan untuk anak kesayangan papa awak, El.”
Eleena kagum seketika. Biar betul papa dia terima Zaidan lepas apa yang berlaku. “Apa yang awak cakap dengan papa saya sampai dia setuju pasal kita?”
“Nothing.” Apa yang dia bincangkan dengan papa Eleena biarlah menjadi rahsia antara mereka berdua sahaja. Yang penting dia sudah mendapat restu kedua-dua ibu bapa Eleena untuk mereka berdua bersatu.
“Oh, nak berahsia daripada saya ye?”
“Semua perkara tu tak penting El. Apa yang saya cakap dengan papa awak semuanya tak penting. Apa yang penting ialah papa dan mama awak tak lagi salah faham tentang saya. Semuanya dah dijelaskan kepada mereka. Awak jangan bimbang ya?”
“Papa dah tak fikir yang bukan-bukan pasal saya?”
Zaidan angguk kecil. “Papa awak hanya terkejut aje bila dia terima gambar-gambar macam tu.. Dia ingat awak dengan saya ke Bali sebab nak buat benda bukan-bukan..”
“Saya tak perlu pergi sampai ke Bali semata-mata untuk buat dosa, Eden.”
Yeah, I know that. Shahrin takkan ganggu awak lagi lepas ni sebab saya akan jaga awak, El.”
Eleena menjeling tajam. “Siapa cakap macam tu?”
“El, walaupun mama dan papa awak bersetuju, saya masih nak dengar dari mulut awak sendiri.. Will you marry me?” Sebentuk cincin berlian diletakkan di hadapan Eleena. Kali ini Zaidan lebih santai berbanding beberapa kali sebelum ini asyik melutut sahaja di hadapan dia.
Agak lama Eleena senyap sambil memandang ke arah cincin yang dihulurkan oleh Zaidan kepadanya.
Patutlah mama dia bersungguh-sungguh minta dia buat solat istikharah. Dia ada cakap dengan Hajah Arafah yang dia belum nak berkahwin, tetapi selepas digesa oleh Hajah Arafah, Eleena akur. Buat solat istikharah bukan sebab nak kahwin semata-mata tetapi untuk meminta petunjuk yang terbaik untuk hidupnya. Mula-mula dia buat solat istikharah, langsung takde apa-apa petunjuk. Kemudian dia tak berputus asa. insyaAllah Allah akan tunjukkan dia jalan yang terbaik untuk dia pilih.
No more Sherni. Bak kata Kak Zati, Zaidan tak pernah ada apa-apa hubungan dengan Sherni. Tak mungkin Izati mahu menipu dia pula, kan? Lagipun wanita bertudung itu nampak tidak berbohong kepadanya semasa menjelaskan keadaan Zaidan yang bersungguh-sungguh telah pergi bertemu dengan ibu bapanya.
Dan yang paling utama ialah Zaidan menunjukkan kesungguhan untuk berkahwin dengan dia apabila lelaki itu bertemu dengan keluarga dia untuk meminta restu dan keizinan. Kalau papa dan terima maksudnya dia pun kena terimalah!
Ah, thank you mama dan papa sebab selalu doakan yang terbaik untuk dia!
Bibir Eleena mengulum senyuman manis. Senyuman itu perlahan-lahan dilemparkan kepada Zaidan. “Yes! With no doubt!”
Tanpa keraguan! Mungkin kerana doa dan restu dari mama dan papa dialah yang membawa Zaidan ke dalam mimpi dia sejak kebelakangan ini.
“Saya janji saya takkan sia-siakan awak. Saya janji saya akan setia kepada awak sehingga hujung nyawa saya!”
Air mata yang Elena tahan sejak tadi gugur juga.
Inikah bahagia yang dia nanti selama ini?
Ya Allah, engkau permudahkanlah urusan kami.

4 comments:

  1. Yeahh. merpati sejoli dah nak bersatu.

    ReplyDelete
  2. So sweet! Macam mana laa nak jumpa lelaki macam Eden ni eh? Kena pegi Bali jugak ke baru boleh jumpa.. huhu

    Harap Sherni tak muncul dan ganggu kebahagian Eden dan Eleena lepas ni..

    ReplyDelete
  3. best ssangat! bla n3 nk kuar?

    ReplyDelete
  4. best ssangat! bla n3 nk kuar?

    ReplyDelete