Telekung sembahyang yang
berwarna putih tersarung pada tubuhnya ditanggalkan. Sisa air mata yang
mengalir di pipi dikesat supaya tiada kesan. Nafas ditarik dalam-dalam.
Kepalanya dipalingkan ke belakang. Sesusuk tubuh lesu yang masih terbaring
diperhati lama. Ibu akan sembuh. Bisik hati Sarah. Jam berwarna merah di atas
almari kecil bersebelahan katil Puan Aida dikerling sekilas. Pukul 10.30 malam.

Sudah empat hari Puan
Aida terlantar di HUKM dan sudah empat hari jugalah dia tidak bekerja. Entah
apa cerita rumah majikannya. Harap-harap tidaklah seperti tongkang pecah atau
lumut sudah memenuhi tandas-tandas dalam rumah itu. Kalau tidak memang patah
riuk tulang belakangnya nak membersihkan rumah nanti.
Mendengar ketukan
dipintu bilik Puan Aida, Sarah cepat-cepat melipat telekung sembahyang dan
mengangkat tikar sejadah berwarna merah hitam itu. Kaki dihayun ke arah pintu.
Tombol pintu dipulasnya berhati-hati takut mengejutkan tidur Puan Aida. Melihat
wajah yang tersembul di muka pintu itu, Sarah mengukir senyuman. Wajah yang
sudah dia jangkakan akan muncul pada waktu dan ketika ini. Wajah inilah yang
sering muncul sepanjang empat malam dia berada di hospital menemani Puan Aida.
“Belum balik lagi?”
Kalau dah balik, takkan ada di sini? Kan? Alahai Sarah, apa punya soalanlah.
“Saya dah agak soalan
yang Sarah akan tanya. Belum lagi. Hari ni shift malam. Boleh
temankan Sarah dekat sini”. Eh, bijaknya sampai boleh agak soalan apa yang akan
ditanya. Wah, kalau jawab exam bijak ni. Kalau tak bijak,
takkan jadi doktor! By the way, tadi lelaki ini cakap nak
temankan dia di sini? Tak salah dengar, kan?
“Eh, tak payah temankan
saya pun. Awak pun mesti ada kerja nak buat, kan?” Kalau Arif Shah temankan dia
di sini, macam mana nak tidur? Takkan dia perlu berjaga sepanjang malam dan
berborak dengan Arif Shah? Oh, no!
Arif Shah ketawa kuat.
Manis. Kacak. Menawan. Tertarik. “Memang ada kerja pun. Jom pergi minum kopi
panas, nak?”. Sarah cuma mengangguk. Suasana dingin macam ni seronok jugak
kalau dapat minuman panas. Memang kena sangat dengan suhu badan. Kaki di bawa
keluar dari wad Puan Aida. Sebelum pintu ditutup rapat, kepalanya sekali lagi
ditoleh melihat keadaan ibunya. Masih seperti tadi, lena.
Ramah sungguh Doktor
Arif Shah rupanya. Jika kali pertama bersua muka di rumah Laila dahulu tidak
banyak yang sempat Sarah bualkan dengan Arif Shah, hari ini terlalu banyak
perkara yang dia tahu tentang Arif Shah. Suka ketawa kuat, peramah, suka
bercakap dan menyoal, dan yang paling dia jelas tentang Arif Shah ialah lelaki itu
akan memanda tepat ke muka seseorang apabila dia bercakap. Hati, tolong jangan
keluar dari tempat mu. Jangan. Jangan memberikan respon apa-apa. Please.
“Habis, kenapa tak jadi
cikgu?”
“Sebab tak minat sangat
nak jadi cikgu. Lepas habis belajar pun saya apply kerja lain, tapi satu pun tak dapat. Ada dua tiga tempat
panggil pergi interview, tapi waktu
tu saya dah kerja dengan majikan sekarang”.
“Majikan Sarah, ok?”.
Alamak! Takkan nak bagitahu yang kerja dengan keluarga dia? Macam mana ni?
Ayoyo.
‘Majikan sekarang? Tuan
Ramlee baik sangat tapi majikan perempuan, Puan Khalisah tu, garang macam
singa! Tak tahulah kenapa dia suka sangat dera saya, Selalu bagi kerja
banyak-banyak. Ingat saya ni robot ke nak siapkan semua kerja. Dah tu, siap
bagi tempoh masa pulak tu untuk siapkan satu-satu kerja! Sakit hati betul
saya.’
“Sarah?!” Sarah
memalingkan kepalanya ke arah kanan. Muka Arif Shah ditenung. Keningnya
diangkat sedikit sebagai tanda ‘apa?’.
“Saya tanya majikan awak
okay atau tidak?”.
Oh.. yang tadi
tu jawab dalam hati rupanya, Nasib baik tak jawab betul-betul. Mulut, usah kau
mendustai tuanmu, kalau tidak mampus kita, tahu?! Nafas ditarik dalam-dalam
supaya bertenang sebelum menjawab soalan Arif Shah.
“Emm, ok. Baik. Baik
sangat. Anak-anak dia pun okay.” Sumpah. Memang tak tahu nak jawab soalan ini.
Tapi takkan nak cakap Puan Khalisah tu garang macam singa! Garang-garang
Puan Khalisah tu masih berhati perut jugak dia bagi kerja. Jauh di sudut hati
Sarah, dia yakin bahawa Puan Khalisah merupakan seorang yang baik hati dan
penyayang.
Lihat sahaja cara dia
melayani Jihan dan Arif Shah semasa majlis doa selamat di rumah Laila tidak
lama dahulu, memang nampak benar kasih-sayang yang melimpah ruah. Anak-anak
dimanjakan dengan penuh kemanjaan. Sedangkan dia, perlu mencurahkan kasih
sayang kepada adik-adiknya. Suraya dan Syamir memerlukan dia. Dia akan pastikan
adik-adiknya tidak pernah merasai kekurangan kasih sayang.
Sedar tidak sedar hampir
dua jam Sarah menghabiskan masa dengan Arif Shah. Dua jam untuk secawan kopi
panas. Sungguh, dia berasa senang hati dan tenang dengan sikap Arif Shah. Sudah
berpunyakah lelaki itu? Jika ya, bertuah benar perempuan yang berjaya memiliki
hatinya. Sarah dan Arif Shah berpisah di lobi utama. Tiba-tiba sahaja ada
panggilan kecemasan untuk Arif Shah. Seperti tahu-tahu pula yang dia dan Arif
Shah sudah habis berbual.
Kaki menapak lemah
berjalan di sepanjang koridor hospital tiba-tiba kaku untuk melangkah. Benarkan
apa yang dilihat di hadapannya kini? Benarkan wajah yang muncul di depannya
kini? Sarah mencubit lengannya. Dia tidak bermimpi. Kenapa lelaki itu perlu
muncul dihadapannya kini? Kenapa lelaki itu berada di sini? Hospital! Siapa yang
sakit? Siapa? Kenapa?
“Abang, jom!” Tina yang
perasan akan kehadiran Sarah terus menarik tangan suaminya. Tangan Ikram
ditarik supaya mengikutnya. Sarah cuma mampu ketawa yang dibuat-buat. Tina.
Tina.
“Tina, wait. Sarah, apa
awak buat dekat sini? Siapa sakit? Awak okay?” Belum sempat Sarah menjawab
soalan Ikram, seorang doktor perempuan mendekati mereka. Marliana. Ya, tertera
nama Marliana pada nametag doktor itu. Sarah berlalu pergi.
Tidak mahu menungguh lebih lama dan tidak mahu berdepan dengan kedua-dua kawan
lamanya itu. Kawan? Sarah ketawa sinis. Kawan makan kawan.
Kaki dihayun laju menuju
ke bilik Puan Aida. Keadaan ibunya perlu dipantau sentiasa.
*******************
Kopi panas dalam cawan
itu dikacau untuk sekian kalinya. Panas kopi itu sudah lama hilang. Entah sudah
berapa lama dia duduk berhadapan dengan wanita ini. kedua-duanya senyap tidak
bersuara. Sarah berdehem.
“Apa hal awak nak jumpa
saya?” Sarah memulakan perbualan. Jika boleh mahu tahu apakah tujuan Tina mahu
berjumpa dengannya pagi ini. lama benar mereka tidak bersua muka, Sarah sendiri
tidak pernah terfikir reaksi apakah yang perlu dia berikan jika berjumpa semula
dengan Tina. Inilah reaksinya, diam membisu.
“Ikram suami saya dan
saya harap awak tak berjumpa dengan Ikram lagi. I love him! I love him
very much!” Sarah tergelak sinis. Amaran apakah ini? Tanpa menunggu
lebih lama Sarah menolak kerusi dan bangkit mahu meninggalkan kopinya dan Tina.
Tina pantas memaut
lengan Sarah untuk menghalangnya pergi. Mengesan perasaan tidak selamat yang
Tina rasai, Sarah memandang muka kawan yang pernah dia sayangi sepenuh hatinya
suatu ketika dahulu. Kawan yang banyak membantu dia ketika dia susah. Kawan
yang sama-sama sanggup bekerja di kedai buku berdekatan universiti kerana mahu
menemaninya sedangkan dia tahu Tina anak orang berada. Jika situasi mereka
berbeza, mungkin Tina dipeluk erat oleh Sarah saat ini.
Sarah kembali duduk di
kerusi tadi. Muka putih bersih Tina ditenung dalam-dalam. “Saya tak pernah
berniat merampas sesiapa dan awak tak perlu risau Tina”. Ucapnya perlahan.
“Saya sayangkan Ikram.
Saya sayangkan suami saya. Saya harap awak faham dan tolong elakkan diri awak
dari dia”. Elakkan diri? Bila masa dia munculkan diri depan Ikram? Semalam? Come
on, itu kebetulan! Lagipun bukan dia yang menegur Ikram. Dia sendiri
terkejut, sama seperti mereka berdua.
Tanpa menunggu lebih
lama, Sarah bangkit dan meninggalkan Tina termanggu-manggu di meja restoran itu
seorang diri. Tina perlukan masa untuk dirinya sendiri, begitu juga Sarah. Bertahun-tahun
mereka berkawan, Sarah tidak sangka begini akhirnya. Kedua-dua tangan naik
meraup mukanya. Rambut hitam pekat yang dilepas bebas dicekak sedikit demi
sedikit dan diikat tocang satu. Jam ditangan dilihat. Hampir satu jam setengah
dia meninggalkan Encik Sulaiman menemani Puan Aida. Tanpa berfikir panjang,
kaki dihayun hendak menyeberang ke jalan sana.
‘Piiinnnnnn!!!’. Sarah
kaget. Terkejut bukan kepalang. Tubuhnya terkaku di tengah-tengah jalan. Kereta
BMW itu berhenti betul-betul dihadapannya. ‘Glup!’ Liur yang ditelan terasa
kelat. Ya Allah…

“Hoi! Buta ke?!” Tengking
pemandu kereta BMW itu sebaik sahaja menjejakkan kakinya ke tanah. Bebelan dan
makian dari pemandu kereta berkenaan seperti angin lalu. Satu pun tidak singgah
ke telinga Sarah. Kaku kerana hampir dilanggar sebentar tadi dan terkaku kerana
tidak menyangka sekali lagi dia akan bertemu dengan lelaki hidung tinggi ini.
Dosa apakah yang dia lakukan terhadap lelaki ini?
Air mineral di tangan
dibawa ke mulut. Sekali, dua kali, tiga kali, empat kali. Habis satu botol
500ml air mineral diteguknya. Lelaki di sebelah diam menjadi pemerhati.
Terkejut sangat agaknya perempuan ni. Sekali tengok ingatkan Nora Danish, dua
kali tengok masih Nora Danish, tiga kali tengok, ‘oh perempuan Mid Valley
tempoh hari!’. Geram sungguh hati Ari Aqashah.
Tak mungkin dia lupa
akan kejadian melanggar Sarah di Mid Valley dan seterusnya berjumpa dengan
Sarah untuk memulangkan telefon bimbitnya. Bahkan dia tidak akan pernah lupa
betapa sombongnya Sarah ketika di manawarkan perempuan itu untuk membeli
telefon bimbit yang baru. Ah, kenapa asyik berjumpa dengan perempuan ini pulak?
Dua minggu lepas baru
pulangkan telefon bimbit milik perempuan itu, hari ini dia masih terserempak
dengan perempuan ini kerana hampir-hampir melanggar perempuan ini. Nasib baik
Ari Aqashah sempat menekan pedal brek, kalau terlanggar tadi? Atau dia sendiri
terkejut lepas tu tertekan pedal minyak dan terus lenyek Sarah, macam mana? Tak
ke menyusahkan dia? Perempuan ini pun satu, kalau nak melintas tu tengok lah
kanan kiri dahulu, ini main redah aje!
“Dah ok? Jom I hantar you balik”.
Bulat mata Sarah mendengar pelawaan lelaki tersebut. Baiknya hati nak hantar
dia balik.
“Takpe lah, saya nak
pergi hospital”. Sarah menolak lembut. Menolak tuah. Bukanlah, malas nak
menyusahkan orang. Lagipun dia bukan cedera parah atau tidak mampu berjalan.
Cuma tadi dia terkejut sedikit sampai tidak mampu berkata-kata. Sekarang dah
boleh bercakap dah.
“Jangan nak sombong
dekat sini, boleh tak? Hospital mana you nak pergi? I hantar you ke
sana.” Apa? Sombong? Salah dengar ke tadi? Sarah pasti lelaki itu menyebut
perkataan sombong terhadapnya. Darah naik. Darah naik tinggi!
Muka lelaki hidung
tinggi itu dipandang dengan perasaan menyampah. Sudahlah Sarah memang menyampah
dengan lelaki ini semenjak pertama kali berjumpa di Mid Valley. Berjumpa? Oh,
never! Pertama kali bersua sudah membawa malang. Sekarang panggil dia
sombong? Hey, engkau tu yang sombong, bukan akulah! Bentak Sarah dalam hati.
Bibirnya diketap geram. Ikutkan hati mahu saja dia menumbuk muka lelaki ini.
sombong tak kena tempat, siap arah-arahkan dia naik kereta lagi. Sorry la kalau
mahu Sarah ikut cakapnya. Silap oranglah, bro!
Geram dengan sikap keras
kepala Sarah, pintu bahagian penumpang yang dibuka untuk Sarah masuk sebentar
tadi dihempas kuat. Sakit hati! Orang buat baik, tunjuk sombong. Lantak kau
lah! Ari Aqashah menuju ke tempat duduk pemandu. Pintu kereta BMW berwarna
hitam itu dibuka dan ditutup kuat. Marahkan Sarah, keretanya pula jadi mangsa.
Enjin kereta dihidupkan dan menjur laju meninggalkan Sarah. Cermin pandang
belakang langsung tidak ditoleh, tidak mahu melihat perempuan yang ditinggalkan
di tepi jalan itu. Sumpah, meluat!
Stereng digenggam kuat.
Mana ada perempuan yang menolak untuk berdampingan dengannya. Ini kali pertama.
Tak guna punya perempuan! Kau ingat muka kau macam Nora Danish, kau comel? Nora
Danish tulen tu seratus lima belas kali lebih comel dari engkau, tahu tak?!
Marah Ari Aqashah seorang diri. Bukanlah dia harapkan sangat Sarah itu
menaiki keretanya tapi memandangkan Sarah menyombong dengannya, dia menjadi
marah dan meluat dengan sikap Sarah.
Sarah yang jauh
ditinggalkan BMW tadi mengatur langkah untuk kembali ke hospital. Sebuah teksi
ditahan.
“HUKM”. Pemandu
berbangsa Cina itu hanya mengangguk-angguk tanda faham.
Teksi itu mula bergerak meninggalkan kawasan
itu. Sarah memejamkan matanya. Fikirannya kusut. Ikram, Tina, Puan Aida dan
kejadian dia hampir-hampir dilanggar tadi terbayang di mata. Syukur dia masih
selamat. Jika dia betul-betul dilanggar tadi, tidak tahulah apa nasibnya. Air
mata tiba-tiba mengalir di pipinya. Menangis? Ah, kenapa dia menangis? Dia
perlu kuat. Ikram bukan sesiapa dalam hidupnya kini.
Ikram dan Tina cuma
serpihan kertas yang pernah dia simpan dahulu dan dia perlu mencampakkan kertas
itu ke dalam tong sampah. Bukankah dia sudah lama mencampakkan kertas itu?
Kenapa hatinya masih terbeban dengan perasaan seperti ini? Ya Allah, bantulah
aku.. Bisik hati Sarah.
Dia sudah berjanji
dengan dirinya sendiri bahawa Tina dan Ikram telah mati dalam kamus hidupnya.
Dia mahu bahagia dan tidak mungkin bahagianya adalah bersama Ikram. Ikram milik
Tina dan dia tidak akan sekali-kali ganggu kebahagian mereka berdua.
Air mata yang mengalir
di pipi diseka dengan jari telunjuknya. Pemandu teksi berbangsa Cina hanya diam
menjadi pemerhati melalui cermin pandang belakang. Mungkin ini bukan kali
pertama dia melihat wanita menangis dalam teksinya, jadi tak perlu gelabah sangat.
No comments :
Post a Comment