Troli ditolak
perlahan masuk ke Tesco Shah Alam. Dia
berhenti sebentar di hadapan rak yang menyusun pelbagai jenis makanan dalam
tin. Tangan kanannya sibuk menyeluk tas tangan mencari sesuatu. Jumpa pun.
Bibir mengulum senyuman. Kertas putih sebesar saiz tapak tangan dipandang.
Banyak betul barang nak kena beli ni. Dah la kena datang sorang-sorang.
Ngomelnya dalam hati.
Troli ditolak
menyelusuri bahagian makanan segera. Matanya memandang pelbagai jenis makanan
segera yang terhidang depan mata.Bibir mengulum senyuman. Makanan yang paling
dia benci ketika berada di universiti dahulu. Memang tak suka sangat makan
meggi. Tak faham kenapalah dahulu Tina dan Ikram suka sangat makan meggi. Tina!
Lama nama itu tidak disebutnya. Kepala digeleng perlahan, tanda mahu menghapuskan
bayangan kenangan yang menerjah mindanya.
Troli kembali
ditolaknya perlahan. Mana sos cili. Mana sos cili. Jumpa. Sos cili jenama Life diambilnya
tiga botol. Kicap sebotol botol. Sos tiram sebotol. Mata kembali membaca nota
ditangan. Takkan nak hafal semua benda nak beli. Ada lebih dari dua puluh benda
dia perlu beli. Otak pun dah karat nak menghafal. Kembali menghadap nota
ditangan. Bihun lima bungkus. Troli ditolak ke bahagian rak bihun dan laksa
kering. Nak beli bihun jenama apa ni? Mak long ni pun satu, nanti tulis la
siap-siap nak jenama apa. Bukan dia selalu datang ke Tesco pun. Bab nak mencari
barang ni yang paling lemah sekali.
Bihun cap Eka
dicapainya lima bungkus. Gasaklah. Bihun jugak, kalau masak nanti tetap jadi
bihun, bukan jenama ni nak bertukar jadi mee atau laksa pun! Selesai mengambil
bihun, troli ditolak memasuki ruang makanan basah. Kobis bunga, kobis bulat,
bawang merah, cili giling, tomato, lobak merah. Kepala Sarah ligat menghafal
barang-barang basah yang perlu dibelinya. Terlupa satu dua bahan, siap menadah
telinga dibebel mak longnya nanti. Baik jangan cari pasal. Silap-silap kena
piat telinga nanti. Mak long pun satu, kalau dah tahu kena beli banyak barang,
hantar la seorang pembantu untuknya. Ada ke patut suruh dia pergi beli
sorang-sorang. Memang tak patut!
Selesai membeli
barang di bahagian basah, Sarah menolak troli yang kian memberat ke bahagian
kaunter. Tak sabar nak membayar. Letih tanggannya menolak troli. Troli ditolak
menuju ke kaunter 21. Laju! Sebab tak ramai orang dekat kaunter tu, nak
cepat-cepat sampai sebelum orang lain.
“Aduh!” Oh my
God…. Langgar siapa pulak ni?
Sarah berlari ke
depan troli. “Sorry..sorry. Saya tak perasan.”
Wanita di
depannya mengangkat muka. “Akak!”
“Ya Allah, akak
mintak maaf Jee… Sakit tak?” Nasib baik dia melanggar Jihan, kalau langgar
orang lain, patah kaki tangan. Apa nak jawab?
“Sikit je, takde
apa-apalah akak” balas Jihan sambil tersengih. Sarah menghela nafas
lega.
“ Akak nak ke
mana ni? Banyaknya barang. Buat kenduri kahwin ke?” Kenduri kahwin apa
kebendanya, mak long buat kenduri doa selamat untuk Laila la Jihan oi!
“Ish, siapa nak
kahwin. Kenduri Laila esok lah, Jee. Datang kan?” balas Sarah.
“ InsyaAllah
datang.. Nanti Jee bawak abang-abang Jee tau. Nak kenalkan dengan akak. Akak
pilih je mana akak nak”. Sarah tarik muncung.
“ Ala akak
ni,Jee main-main aje lah”, tutur Jihan sambil memegang kedua-dua belah tanggannya.
Alahai., manja betul Jihan ni. Rasa nak peluk-peluk pun ada, Melayani Jihan,
macam layan Laila. Spesis manja. Sarah tersenyum manis.
Selesai membayar
barang-barang yang dibeli, laju troli ditolak menuju ke keretanya yang diparkir
tidak jauh dari pintu utama Tesco. Barang-barang diangkut ke dalam bonet
kereta. Adoi la, letih betul! Kereta terus di pandu laju pulang ke rumah Mak
longnya di Shah Alam.
Kejadian dia
melanggar Jihan tadi berlegar di ruang matanya. Nasib baik langgar Jihan. Cuba
bayangkan kalau dia langgar perempuan yang garang. Bangun-bangun je terus
perempuan tu pukul dia sebab kesalahan melanggar dalam Tesco. Tidak ke free aje
kena pukul. Heh, pukul?Amboi, gangster benar bunyinya.
Rajin Jihan datang ke Tesco. Kalau Laila, memang liat benar nak membantu bab
beli barang dapur. Jangankan beli barangan dapur, masuk ke dapur pun malas! Itu
pun ada hati nak kahwin awal. Habis la Fadli terpaksa makan makanan kedai
setiap hari. Bila diperli ke Laila pandai pulak jawab nanti dah kahwin pandai
sendiri. Kalau sekarang pun dah malas, takkan dah kahwin tiba-tiba jadi
rajin pulak? Laila oh Laila.
Kereta MyVi
membelok masuk ke kawasan parkir rumah teres dua tingkat itu. “Amir, tolong Kak
Arah bawak barang masuk rumah ni..” Laung Sarah dari luar.
Yelah, dah la
pergi beli barang seorang diri, takkan semua barang nak angkut masuk rumah kena
buat sendiri. Berat tau. Tadi takpe lah ada pertolongan troli sampai ke bonet
kereta. Sekarang mana ada troli nak pergi ke dapur. Lainlah kalau semua
plastik-plastik ni ada kaki boleh berjalan masuk ke dalam rumah sendiri.
Bahagia juga hidupnya.
Amir muncul di
muka pintu dengan muka yang dimuncungkan sedepa. Buat muka! Buat muka. Sarah
menjegil adiknya itu. “ Iye, Amir ikhlas nak tolong Kak Arah ni.. Betul!”.
Sarah tergelak kecil. Tahu takut.
“ Kalau ikhlas
baru dapat ganjaran pahala tau.. Kalau buat muka, takde pahala”, balas Sarah.
Ewah-ewah, dia tu bukan main lagi bersungut kena pergi Tesco sorang-sorang,
takde pulak fikir pasal pahala ye. Sarah tersenyum sendirian. Dia ikhlas. Cuma
termengomel sedikit.
“Banyak barang
Arah beli?” Tegur satu suara di belakang Sarah. Opocot mak kau! Bukan nak reti
bagi salam. Nasib baik tak melompat masuk dalm bonet kereta tau tak?!
Kepalanya
ditoleh. “ Waalaikumussalam, abang!” sengaja dia menjawab salam dengan kuat.
Biar terasa disindir sedikit. Dia mengurut dada yang hampir nak melompat keluar
sebentar tadi. Terkejut bukan kepalang.
“Sorry, sorry.
Abang kejutkan Arah ye?” serentak itu tangan kasar lelaki itu mencapai beg-beg
plastik yang ada di tangannya. Sweet sangat, macam seorang suami membantu
isteri angkat barang balik dari pasar.
“ Memang la
terkejut. Kurang nyawa Arah setahun, tau tak?” marahnya. Bukan marah
betul-betul pun, saja nak bermanja dengan abang sepupunya itu.
“ Hah, dah balik
kau Kimi! Ha, baguslah tu. Tolong Arah angkat barang-barang tu semua. Tadi mama
nak mintak kau temankan si Arah ni pergi Tesco, tapi kau takde pulak. Pergi
mananya?” Panjang lebar penerangan berserta soalan dari Mak Long Fadhilah.
Kaki Hakimi dan
Sarah sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah. “ Kimi pergi rumah Raihan tadi.
Raihan demam, lawat dia sekejap, ma”. Oh, pergi rumah buah hati rupanya.
Patutlah tak muncul semenjak siang tadi. Omel Sarah dalam hati. Takkan cemburu
kot?
Selesai
meletakkan semua barang dapur di ruang dapur, Hakimi laju melangkah memanjat
tangga. Naik ke bilik agaknya. Teka Sarah. Eh, biarlah nak ke manapun, bukan
hak dia untuk menghalang atau untuk menegur. Sambil itu tangannya ligat membuka
plastik barang-barang yang dibelinya tadi. Satu persatu barang dikeluarkan dan
di simpan dalam peti sejuk. Kalau tak simpan ayam ni dalam peti
sejuk, alamatnya busuklah esok pagi.
Kaki dihayun
menuju ke sinki. Tangannya yang kotor menyimpan barang-barang basah tadi
dibasuh bersih-bersih. Handsoap di tepi sinki itu ditekannya rakus.
Nak cepat-cepat basuh tangan dan masuk ke bilik. Nak tidur! Tuala kecil
berwarna putih berbunga-bunga biru gelap yang tersangkut di tepi sinki
dicapainya. Tangan yang basah dilap menggunakan tuala itu. Selesai mengelap
tangannya, Sarah kembali menggantung tuala putih itu di tempatnya.
Kaki dihayun laju menuju ke bilik tidur yang disediakan untuk dia dan
adik-adiknya. Tombol pintu dipulas. Matanya menangkap wajah mulus Syamir dan
Suraya yang nyenyak dibuai mimpi. Bibirnya tersenyum. Kasihnya tidak pernah
berbelah bagi kepada kedua-dua adik kesayangannya ini. Sayang sangat.
Sarah melutut di tepi katil. Tangannya naik mengusap wajah kecil Syamir. Dahi
Syamir dikucupnya penuh kasih sayang. Kemudian dahi Suraya yang berusia enam
belas tahun itu pula diciumnya lembut. Sarah berdiri tegak. Kaki dihayun masuk
ke tandas. Mahu menggosok gigi dan mencuci muka. Tidak sampai sepuluh minit,
dia keluar semula. Tuala dihujung katil dicapainya. Muka yang masih basah
selepas dicuci dilapnya lembut.
Tuala kembali disangkut di tempat asalnya. Tubuhnya dibawa ke katil. Penat usah
ditanya. Rasa nak patah tulang temulang dan kedua-dua belah kakinya. Dia sibuk
mengalahkan tuan rumah. Ke hulu ke hilir menyediakan makan dan minuman kepada
jiran-jiran mak long yang hadir siang tadi.
Tubuh yang letih
semenjak pagi tadi dibaringkan ke tilam. Lega sungguh rasanya. Punat Blackberry
ditekan. Pukul 11.20 malam. Patutlah dah senyap sunyi rumah ni. Mesti semua dah
tidur. Laila awal lagi dah masuk tidur. Letih kerana penerbangan pulang dari
Australia ke Malaysia barangkali. Sarah memejam matanya.
Mindanya dikosongkan dari memikirkan hal-hal yang berlaku sejak kebelakangan
ini. Dia mahu tidur yang lena. Mahuka rehat yang secukupnya. Tidak sampai lima
minit berbaring, Sarah hayut melayari mimpinya. Kalau boleh nak bermimpi
sehingga ke bulan. Jika mampu mahu memetik bintang pulang ke Bumi. Bukan main
lagi mimpi.
*********************************
" Sakit ke
kaki Jee?" Puan Khalisah menegur Jihan yang sedang mengurut kaki kanannya
itu.
" Sakit
jugak la mama. Ala tapi kakak sepupu Laila tu memang tak sengajalah mama. Kalau
mama tengok dia tadi, kelakar betul".
" Apa yang
kelakarnya kalau sampai langgar orang. Dalam Tesco pun boleh langgar orang.
Kalau bawak kereta tu entah macam mana gaya.." bidas Puan Khalisah. Marah
kepada sepupu Laila yang melanggar anak kesayangannya ini.
" Kelakar
la mama! Dia tolak troli tu laju bukan main lagi. Macam lumba kereta. Mesti
takut kalau ada orang lain potong line dia dekat kaunter tu tau, ma",
Jihan ketawa kuat. Membayangkan Sarah menolak troli tadi pun dia sudah ketawa,
Belum lagi muka kelat Sarah yang berkali-kali memohon maaf dengannya. Aduhai,
kalaulah Sarah jadi kakak ipar dia, memang dia sayang sangat-sangat.
Puan Khalisah
buat-buat tidak dengar. Malas melayani anak bongsunya yang langsung tidak marah
kepada wanita yang melanggarnya tadi. Dah tu siap boleh ketawa lagi. Nasib baik
anak lelakinya Ari bekerja malam ini, kalaulah Ari ada bersama semasa wanita
itu melanggar Jihan tadi, memang habislah wanita itu dimarahi oleh Ari. Nak
harapkan Alif, memang tidaklah. Alif nak marah? Dalam mimpi boleh lah anak
sulungnya itu nak marah-marah.
Tiga orang anak,
tiga personaliti yang memang berbeza. Seorang bagai langit, seorang bagai bumi,
yang seorang lagi tu mungkin boleh diumpamakan sebagai lautan. Gunung pun
boleh. Arif Shah, Ari Aqashah, Ariana Jihan. Permata yang tiada tolok
bandingnya dalam dunia ini. Permata yang lebih berharga dari segala-galanya
bagi Puan Khalisah.
Mengenangkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa, Puan Khalisah resah.
Hatinya tidak senang. Dia susah hati. Jika anak-anaknya meninggalkan dia
suatu hari nanti, apa yang akan terjadi kepadanya? Dia mahu anak-anaknya
menemani hidupnya sehingga dia menutup mata. Dia tidak rela berkongsi
anak-anaknya dengan orang lain. Entah macam mana orang lain melayani
anak-anaknya kelak. Belum tentu orang lain dapat memanjakan anak-anaknya
seperti yang dia lakukan. Nafas Puan Khalisah dihela berat. Berat.
Sesak.
Bunyi enjin
kereta mengejutkan lamunan Puan Khalisah. Jihan kedek-kedek bangun menuju ke
pintu utama. “ Papa!” Tubuh lelaki berusia 50-an itu dipeluk gadis itu.
Kedua-dua belah pipi lelaki itu diciumnya. Dahi Jihan pula menjadi sasaran
papanya. Dahi anak gadisnya dicium penuh kasih-sayang. Puan Khalisah yang
sedang memandang dari jauh tersenyum bahagia. Bersyukur kerana dikurniakan
suami yang penyayang dan setia. Bersyukur dengan kehidupan yang dikecapinya
sehingga hari ini.
“ Lis buatkan
air untuk abang”, ujar Puan Khalisan sebaik sahaja Tuan Ramlee duduk di sofa
ruang tamu itu. Tuan Ramlee hanya mengangguk kecil sambil matanya menghantar
pemergian isteri kesayangannya ke dapur.
“Papa! Amboi,
tengok mama macam baru dua hari kahwin”, ujar Jihan dalam nada merajuk.
“ Eh, mestilah.
Tengok mama tu, pandai layan papa. Jee nanti bila dah kahwin kena layan suami
macam tu. Baru suami sayang”. Jihan mencebik. Suami konon. Calon nak buat suami
pun belum ada, suami mana pulak?
“ Mana ada
suami. Calon pun belum ada tahu tak papa sayang oiii..” balas Jihan.
“ Takpe Jee,
mama ada nak jaga Jee sampai tua. Kalau Jee tak kahwin, boleh temankan mama
dekat rumah ni”, ujar Puan Khalisah yang muncul dari ruang dapur bersama
secawan air.
“ Lis, mana
boleh anak dara kita tak kahwin. Cantik-cantik macam ni, rugilah tak kahwin.
Kan anak papa, kan?” ketawa Tuan Majid. Jihan ikut sama ketawa kuat. Cantikkah
dia? Memang cantik pun. Kalau jadi model, kalah si Atilia sengal yang
dikatakan teman wanita abangnya itu.
Puan Khalisah
tarik muncung. Malas melayani suaminya yang kerap bercakap soal perkahwinan
anak-anaknya kebelakangan ini. Dia takut. Takut kehilangan kasih sayang
anak-anaknya nanti. Selagi dia boleh mempertahankan mereka, dia akan terus
mempertahankan anak-anaknya.
No comments :
Post a Comment