Sunday 24 February 2013

Bab 19 Kau Perempuan Itu


Sarah menongkat dagu memandang ke langit yang sudah nampak muram. Pasti petang ini hujan lagi seperti kelmarin. Susahlah dia hendak pulang ke rumah sebentar lagi. Kereta Proton Wira lama milik abah bukannya elok sangat kalau nak memandu ketika hujan lebat.  Tersedar dirinya seolah-olah merungut dengan ke datang hujan Sarah cepat-cepat beristighfar di dalam hatinya.

Teringat hadith Nabi Muhammad s.a.w
"Berdoalah pada waktu mustajab do'a, iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat, dan ketika hujan turun." (Hadith Riwayat Abu Daud)

Tidak sepatutnya dia merungut. Hujan itu turun dalam dua bentuk iaitu rahmat dari Allah swt atau pun musibah daripada Allah swt supaya kita kembali mengingatiNya. Saban hari, bumi kita dilimpahi dengan air hujan yang turun dari langit. Percaturan yang Allah swt tetapkan ini pasti ada maksud dan hikmah yang tersembunyi, walaupun manusia terpaksa meredah hujan yang lebat beserta angin kencang, banjir, dan sebagainya. Tidak terkecuali, sebahagian dari kita merungut dan 'menyalahkan' hujan kerana turun bukan pada masa yang mereka inginkan.

Sedangkan dia masih ada kereta untuk pulang ke rumah pun masih merungut. Bukan perlu meredah hujan sampai basah kuyup.

‘Ya Allah, ampuni aku.’ Bisik Sarah dalam hatinya.

Sarah kembali menatap ruang langit yang terbentang luas di atas sana. Indahnya ciptaan Allah swt. Dalam hatinya Sarah bersyukur segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepadanya. Kesihatan yang baik, keluarga yang sempurna dan kehidupan yang bahagia. Alhamdulillah.

“Akak! Buat apa duduk sini sorang-sorang? Teringat buah hati ye?” Sarah menoleh pantas. Sumpah rasa terkejut gila. Kurang lima tahun umur dia. Nasib abik tak pitam. Jihan kalau sergah orang macam orang duduk jauh sebatu.

“Jee, nanti boleh tak kalau bagi salam dulu? Terkejut akak tau tak? Kalau ada sakit jantung dah pengsan akak dekat sini. Silap-silap dah gol terus.” Jihan tarik muncung empat belas.

“Ha, muncung apa tu? Mulut tu akak ikat riben baru tahu!” Sarah sengaja mengusik. Tadi memanglah dia rasa nak marah juga dengan Jihan tapi lepas tengok muncung anak majikannya yang dah panjang sedepa ni tak jadi pula mahu marah. Rasa kelakar pula tengok muncung Jihan.

Jihan tersengih sambil mengurut bahu Sarah. “Sorry la, Jee tak sengaja nak kejutkan akak tadi. Akak tu tenung langit sampai nak tembus, akak tengok apa? Rindu kekasih hati ya?”

Sarah rasa nak tergelak mendengar perkataan kekasih hati yang terbit dari mulut Jihan. “Kekasih hati mana pulak ni? Akak mana ada kekasihlah. Mengarut aje Jee ni.”

“Habis tu akak termenung ingatkan siapa? Ingatkan abang Jee nak bertunang esok ya?” Jihan merenung anak mata Sarah.

Sarah mengalihkan pandangannya ke tempat lain. “Mana adalah. Akak tengok langit ni, mendung, nak hujan.”

Jihan mencebik. “Tak nak mengaku ye akak ingatkan abang Jee!”

Sarah mencubit lengan Jihan. “Akak nak masuk dalam nak tolong Mak Som kemas apa yang patut. Kejap lagi abah akak sampai lah tu. Jom, masuk dalam. Nak hujan ni.” Sarah menarik tangan Jihan supaya membontotinya masuk ke dalam rumah. Hujan sudah mulai turun renyai-renyai.

Puan Khalisah tersenyum bahagia. “Lis gembira sangat Arif dah nak bertunang. Lega rasa hati Lis nak lepaskan Arif kepada Marliana tu, bang.”

Tuan Ramlee yang sedang tekun memandang dokumen di atas meja kerjanya mengangkat muka memandang Puan Khalisah yang sedang duduk membaca Majalah Solusi di sofa. “Kan abang dah kata, Mar tu baik budaknya. Lagipun dah lama budak berdua tu berkawan. Lepas ni dah bertambah seorang lagi ahli keluarga kita. Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt.”

“Itulah, cantik, berbudi bahasa dan kaya pulak tu menantu kita. Bukan calang-calang orang tu bang, doktor lagi. Bangga jugak Lis dengan kawan-kawan persatuan Lis bila dorang tanya tentang bakal menantu kita tu.” Lebar senyuman Puan Khalisah.

“Abang tak kisah siapa pun menantu kita Lis, asalakan budaknya baik dan pandai menghormati kita sebagai orang tua. Jangan nanti kahwin dengan anak kita, kita pula yang diabaikan oleh anak-anak kita.” Tuan Ramlee bangkit dari kerusi kerjanya dan berjalan menuju ke arah sofa Puan Khalisah.

“Ish! Abang ni ke situ pulak. InsyaAllah Lis percaya anak-anak kita akan pilih pasangan yang baik-baik.” Melihat jelingan Puan Khalisah yang memarahinya, Tuan Ramlee tergelak kecil.

Hidung Puan Khalisah cuit manja. “Hari tu bukan main merajuk lagi bila Arif minta Lis pinangkan Marliana untuk dia ya? Sekarang ni Lis pulak yang beriya-iya seronok nak terima bakal menantu.”

Puan Khalisah ketawa kecil. Siapat tak suka kalau dapat menantu seperti Marliana? Pertuturannya tersusun kemas, bijak dan cantik.

Cepat sungguh masa berlalu. Tiga minggu lalu keluarga Arif Shah sudah pergi merisik Marliana, dan hari ini sedar tidak sedar hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya majlis pertunangan Arif Shah. Keluarga Marliana sudah sibuk membuat pelbagai persiapan sebelum majlis pertunang anak tunggal kesayangan mereka.

Ibu bapa Marliana pun bukan calang-calang orang, antara keluarga kaya-raya di Malaysia. Sungguh Puan Khalisah tidak menyangka bahawa dia akan berbesan dengan orang kaya seperti keluarga Marliana. Bukan dia hanya memilih golongan kaya atau golongan bangsawan, tetapi sudah tuahnya. Ramai kawan-kawan dalam persatuannya memuji bahawa anak sulungnya itu pandai memilih bakal isteri. Bukan sahaja cantik dan bijak tetapi juga kaya-raya dan keluarga terhormat.

“Pandai anak you cari isteri Lis, anak jutawan lagi tu! Kalau menantu you tu ada adik perempuan, dah lama I minta you kenalkan adik perempuan dia untuk anak lelaki I.” Datin Sherry tersenyum-senyum.

Puan Khalisah tergelak besar. “Kaya atau tak bukan perkara utama Datin, yang penting hati ikhlas dan baik. Keluarga I pun bukannya tak berduit sampai nak kena cari menantu kaya-raya. Marliana tu memang baik budaknya.”

Datin Sherry mencebik. “Kalau dah dapat mestilah kata tak minta. Cuba kalau you dapat menantu cikai-cikai aje, mesti hati you pun tak gembira. Tak gitu Datin Inas?” Datin Inas mengangguk-angguk setuju dengan kata-kata Datin Sherry.

Sudahnya Puan Khalisah hanya mendiamkan diri sahaja. Malas mahu berbual lebih lanjut tentang bakal menantunya itu. Bukan apa, Datin Sherry ni banyak sangat memerli daripada memuji, yang Datin Inas pula asyik mengiyakan kata-kata Datin Sherry. Sakit pula hati dia.

Pasti majlis pertunangan yang akan berlangsung dua hari lagi meriah. Entah berapa ramai jemputan yang dijemput oleh Datin Fareeda dan Datuk Zainal. Puan Khalisah perlu menjaga imej keluarga dan imej dirinya sebagai isteri kepada ahli perniagaan berjaya. Tuan Ramlee pun bukan calang-calang orang dalam dunia perniagaan.

Berkenan sungguh dia dengan Marliana pada perjumpaan kali pertama secara formal sebelum majlis merisik beberapa minggu yang lalu. Dia pernah beberapa kali bertemu dengan Marliana ketika wanita itu berkawan dengan anak sulungnya namun dia tidak begitu mengambil pusing tentang kehadiran Marliana kerana sangkanya ketika itu anak sulungnya hanya berkawan biasa dengan Marliana. Ketika majlis makan malam itu, suaminya, Tuan Ramlee juga nampak sungguh gembira.

Marlina pandai mengambil hati ahli keluarga Arif Shah. Jihan dan Ari Aqashah juga nampak menyenangi sikap Marliana yang sangat merendah diri dan tidak bongkak. Kata-kata Marliana juga kedengaran sungguh sopan dan tidak sombong langsung dengan kekayaan milik keluarganya.

“Alhamdulillah, aunty, uncle. Mar bersyukur dengan semua kurniaan Allah kepada Mar dan keluarga Mar tapi Mar lebih suka kehidupan yang sederhana. Duit bukan boleh bawa ke mati pun.” Tuan Ramlee mengangguk-angguk setuju dengan kata-kata Marliana.

“Betul tu Mar, uncle sokong sangat. Dengar tu Ari, duit tu bukan boleh bawa ke mati. Balik kerja dengan papa, kalau terbang sana sini duit banyak pun jauh dengan keluarga tak guna juga.” Ari Aqashah yang sedang menyuap nasi ke dalam mulutnya terhenti.

Nama dia pun kena petik jugak? “Papa, Ari bukannya kumpul duit atau kumpul harta, Ari cuma nak timba pengalaman.”

“Abang, biarlah Ari dengan kerjaya dia. Dah dia suka dengan kerja macam tu, kita sokong ajelah. Lagi pun abang yang tolong dia masuk dalam kerja dia sekarang ni kan, sekarang abang nak merungut pulak ye?” Puan Khalisah menyentuh lembut lengan Tuan Ramlee.

“Termenung apa pulak isteri abang ni? Abang nak masuk tidur ni. Jom? Ke Lis nak tidur dalam bilik kerja abang ni?”

Puan Khalisah menarik nafas dalam-dalam. Kenangan majlis makan malam beberapa minggu yang lalu kian malap dari ingatan Puan Khalisah. Dia masih ada banyak perkara yang perlu dia lakukan pada esok hari selain mengingati kenangan lalu.

“Abang nak tinggalkan Lis dalam bilik ni ke?” Puan Khalisah buat-buat nada merajuk.

Tuan Ramlee yang sudah mahu melangkah keluar kembali mendapatkan isterinya, tangan isterinya dipimpim keluar bersama-sama dari bilik kerjanya. “Ala sayang-sayang abang ni. Nak abang dukung naik ke atas ke?”

Puan Khalisah menjeling. “Abang jangan nak mengada-ngada. Lis boleh jalan sendiri.”

Sudahnya Tuan Ramlee ketawa kuat.

 ***********

Teruja dengan persiapan bertunang anaknya, Puan Khalisah memaksa Jihan membantunya untuk membuat sendiri semua hantaran yang akan diberikan kepada pihak perempuan. Mereka kesuntukan masa. Kalau nak tempah siapa yang sanggup buat dalam tempoh masa yang sangat singkat. Semua ini akan diguna pada esok hari. Siapa yang mahu menempah maut mengambil risiko. Kalau tak siap jenuh!

Melihat Jihan yang terkial-kial mahu menghias dulang hantaran Puan Khalisah bersuara. “Kenapa berpusing-pusing dulang tu mama tengok Jee kerjakan? Apa masalahnya”

“Mama, Jee bukannya reti sangat nak menghias semua benda alah ni. Tak minatlah ma.” Ngomel Jihan kepada Puan Khalisah. Dia minat bahagian kira duit dan berurusan dengan pelanggan, bukan berurusan dengan bunga-bunga semua ni.

Rasa macam nak menjerit pun ada juga sekarang ni. Manalah dia reti nak menghias dulang hantaran ni, nak cucuk bunga di mana, nak bubuh daun di mana. Sumpah dia memang tak reti!

“Orang perempuan kena minat dengan semua ini, baru boleh jadi isteri dan wanita yang berjaya dalam hidup! Baru lengkap kehidupan kita ni.” Bebel Puan Khalisah tidak berpuas hati dengan sikap anaknya.

“Cuba tengok mama buat ni, bukannya susah sangat. Kalau dulang ni sikit aje, mama tak perlu minta tolong Jee, mama boleh buat semua sendiri. Jee tengoklah sendiri berapa banyak lagi dulang yang perlu kita siapkan. Kalau bukan Jee yang tolong mama, siapa lagi yang boleh tolong mama?” Panjang lebar ceramah Puan Khalisah.

“Ma, Jee bukannya tak nak tolong mama tapi Jee mana reti nak buat semua ni. Mama ajaklah Mak Som tolong mama.” Puan Khalisah meletakkan bunga di tangannya di atas lantai. Wajah masam mencuka Jihan di pandang.

“Kalau Mak Som tolong mama, Jee pergi masak dan kemas dapur,boleh?”

“Iyelah, Jee tolong mama dekat sini!” Nada suara Jihan sudah berubah merajuk. Menyampah dah dia tengok bunga-bunga dan dulang yang bersepah di ruang tamu rumah ni.

Kalau bukan kerana dipaksa oleh Puan Khalisah, jangan harap dia sudi mengadap benda alah ini semua. Semak kepala. Semak perut. Rasa lemah urat saraf. Esok majlis, hari ini baru Puan Khalisah kelam-kabut mengajaknya menyiapkan semua dulang hantaran.

“Kenapa mama tak siapkan semua ni awal-awal? Last minute baru nak buat. Dah la susah nak buat semua ni!” Jihan merungut kepada Puan Khalisah.

“Mama sibuk dengan persatuan. Mama pun ada kerja mama jugak, janganlah merungut. Tak baik tau. Nanti kalau Jee nak kahwin mungkin Kak Mar pula yang tolong Jee.” Puan Khalisah cuba memujuk Jihan.

“Kalau tempah kan senang.” Jihan menambah. Puan Khalisah tidak membalas. Biarlah anak dia bercakap seorang diri. Dari tadi mengomel tak habis-habis tapi kerja tak juga siap-siap. Sebiji dulang itulah yang dia pegang sejak tadi sampai sekarang. Dah sejam lebih rasanya tapi apa hasil pun tak nampak lagi.

Yang paling Jihan geram ialah mama berkeras tidak mahu menempah hantaran kahwin Alongnya. Apa salahnya kalau tempah, lagi cantik. Lebih berpuas hati, lagipun bukannya mereka tidak mempunyai duit untuk membayar harga tempahan. Alah, berapa sangatlah harganya. Kononnya Puan Khalisah mahu melihat hasil kerja tangan sendiri, baru berpuas hati. Sekarang, apa sudah jadi?


 “Kak Sarah! Baru sampai ke?” Laung Jihan dari ruang tamu rumah banglo itu. Sarah yang kebetulan baru tiba ke rumah itu berpaling mencari kedudukan Jihan.

Melihat barang-barang yang berterabur di atas lantai di sekeliling Puan Khalisah dan Jihan, tanpa segan silu Sarah menuju ke arah mereka. Laju sahaja kaki menapak ke sana. Biarlah Puan Khalisah nak membebel apa pulak kali ini. Malas mahu melayan lagi. Masuk terlinga kiri, keluar telinga kanan.

 “Ada apa-apa yang akak boleh tolong?” Soalan ini khas ditujukan kepada Jihan, bukan mama Jihan. Soalan yang sepatutnya dia mahu tanya ialah ‘Kenapa bersepah sangat ni? Tsunami kecil mana yang dah melanda.’ Tapi Sarah Cuma bersoal jawab di dalam hatinya sahaja.

“Tak perlu nak menyemak dekat sini pulak. Pergi tolong Mak Som di dapur!” Menyemak? Pedas. Tersusuk ke tangkai hati. Ya Allah, tabahkanlah hatiku untuk menghadapi wanita di hadapanku ini Ya Allah.
“Mama! Biarlah Kak Arah tolong kita. Kalau mama tak suka, biar Kak Arah tolong Jee! Mama ingat senang ke nak hias semua benda ni? Jee suruh mama tempah, mama nak buat sendiri. Tengok sekarang ni siapa yang susah? Jee jugak kan?” Balas Jihan geram.

“Puan, biar saya tolong Jihan ye. Lepas siap semua ni, saya tolong Mak Som di dapur. Lagipun baru pukul 8.00 pagi, Mak Som belum masak untuk tengah hari.” Lembut tutur kata yang diucapkan oleh Sarah. Namun entah kenapa hati wanita hampir separuh abad ini menyampah mendengar suara lunak manja milik Sarah.

Tanpa menunggu reaksi daripada Puan Khalisah, Sarah melabuhkan duduknya di hadapan Puan Khalisah. Beg tangannya diletakkan di tepi kaki kanannya. ‘Walaupun puan menyampah menatap wajah saya, tataplah puan, saya minta maaf tapi ini sahaja tempat yang ada untuk saya duduk.’ Kata Sarah dalam hatinya.

Puan Khalisah menjeling tidak berpuas hati. Sarah buat-buat tidak nampak. Melihatkan gaya Puan Khalisah dan Jihan yang terkial-kial menyediakan hantaran tunang ini, Sarah rasa ini sudah jatuh tahap wajib untuk dia membantu dua beranak ini. Kalau dibiarkan sampai hari bertunang esok, takut pula kalau semua barang-barang hantaran ini masuk beg plastik One Utama aje.  Silap-silap masuk beg plastik TESCO.

“Akak tolong Jee ye?” Jihan pantas mengangguk.

Gila kalau tak setuju. Sejak lepas Subuh tadi dia duduk bersimpuh dekat ruang tamu ini dengan mama dia, sampai sekarang ni sebiji dulang pun langsung tak siap lagi. Kalau takde orang tolong alamatnya esok memang takde dulang hantaran tunanglah Along dia.

Sarah mengambil tas tangan berwarna Electric Blue jenama Channel itu dalam diletakkan di atas dulang yang dibeli oleh Puan Khalisah. Cantik sungguh dulang. Tengok kaki dulang aje pun dah tahu harga dulang ini mesti mahal.

Tangkai bunga Lili yang agak panjang dipotong sedikit supaya bunga Lili itu terletak cantik di atas dulang. Alahai, cantiknya bunga Lili berwarna putih ini. Sarah rasa jatuh hati dengan bunga Lili di tangannya. 

Selalunya orang guna bunga ros tapi kali ini nampak kelainan sedikit apabila Puan Khalisah menggunakan bunga Lili. Memang high taste!  Pelapik dulang berwarna peach dilapik dahulu sebelum tas tangan mahal itu diletakkan di atas dulang. Bunga Lili berwarna putih diletak cantik menghiasi sekeliling dulang tas tangan itu. Siap! Cantik juga hasil kerja tangan Sarah.

Kini kain pasang berwarna hijau pucuk pisang itu dibentukkan menjadi kelopak bunga. Kemas dan cantik sekali hasil kerja tangan Sarah. Dia juga berminat dengan duit, tapi kalau bab seni dia memang suka. Memang bakat semulajadi. Kain pasang itu juga dihiasi dengan bunga Lili. Cantik sungguh bunga Lili ini. Pandai Puan Khalisah memilih bunga untuk dihias di atas dulang, biasanya orang hanya menggunakan bunga ros merah, tetapi kali ini Puan Khalisah mencipta kelainan dengan menggunakan bunga Lili untuk semua dulang hantaran. Mungkin suatu hari nanti bila dia berkahwin dia juga mahu menggunakan bunga Lili.

Selama hampir satu jam empat pukul lima minit Sarah bertungkus lumut menyiapkan dulang hantaran, akhirnya kesemua lapan dulang hantara telah siap. Ada tas tangan, kain pasang, kain telekung, coklat, kek cawan yang sungguh comel, jam tangan, kaca mata dan sebentuk cincin. Bertuah betul perempuan yang dapat bertunang dengan si hidung tinggi itu. Nampak benar si hidung tinggi itu sayang kepadanya.  

Semua barang-barang yang ada di atas dulang bukannya barangan murah,semuanya ada jenama. Untunglah dapat kahwin dengan anak orang kaya. Kalau tak kaya terpaksa makan pasir lepas kahwin kalau nak semua barang ini untuk hantaran kahwin. Sarah tergelak kecil dalam hatinya. Tak pernah dia bermimpi untuk mendapatkan semua barang ini. langsung tak pernah terlintas di hatinya.

“Mama! Lapan ke? Bukan nombor ganjil ke kita kena bagi?” Celah Jihan tiba-tiba.

Puan Khalisah kalut. Lapan? Dia mengira satu per satu dulang yang ada. Tidak berpuas hati dengan dua kali kiraan, dia meminta Jihan pula mengira dulang hantaran. Masih lagi lapan.

“Kamu kira Sarah.” Sarah yang leka melayani perasaan terkejut mendengar namanya dipanggil oleh Puan Khalisah. Sarah yang sedang elok duduk bersimpuh kelam-kabut bangkit melutut sambil mengira jumlah dulang hantaran yang sudah siap tersusun di ruang tamu rumah.

“Lapan, puan.” Tutur Sarah perlahan.

“Ala ma, takpe lah lapan pun. Bukan wajib semua ni.”

“Haish! Mana boleh. Ini adat kita. Jom teman mama pergi beli apa-apa yang patut. Kek pun okay mama rasa.” Jihan tarik muka masam. Sudahlah dipaksa bangun awal pagi pada hari ini, sekarang dipaksa keluar pula.


*************
Sarah mencapai sebuah bakul biru di muka pintu Mydin. Dia perlu bertindak pantas membeli semua bahan-bahan yang perlu digunakan untuk membuat pudding trifle. Mak Som punya pasal lah ni, tak pasal-pasal aje dia terpaksa membuat puding itu sekali lagi. Kali ini siap bakal dijadikan hantaran pulak tu. Tak lama lagi glamorlah dia satu Malaysia mahu makan puding trifle sedap!
Dua tin buah dalam tin jenama The Dutchef itu dicapai dan dimasukkan ke dalam bakul berwarna biru yang disangkut di lengannya. Kek gulung perisa vanilla dicapai empat biji. Alang-alang nak buat, buat untuk orang rumah sekali. Kang ada pulak yang meleleh air liur.

“Adik, mana susu cair?” Sarah menyoal kepada salah seorang pekerja Mydin. Memanglah dia boleh cari sendiri tempat susu cair tu tapi sekarang ini dia kejar masa. Kalau nak tawaf satu Mydin ni memang lambat lagilah dia nak balik.

“Sana kak.” Sarah mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Kaki pantas berjalan menuju ke tempat yang ditunjukkan oleh pekerja berbaju biru kuning itu.

Setelah memastikan semua barang yang tercatat dalam notanya telah diambil, Sarah menuju ke kaunter pembayaran untuk membayar semua barang-barang tadi.

Semasa beratur hendak membayar barang yang dibeli, mata Sarah terpandang seraut wajah kacak yang sangat dikenalinya. Apa lelaki itu buat di sini? Takkan nak jemput dia pulak kot? Aih, jangan nak perasan sangat Sarah oi. Jangan nak perasan.

“Sorang ke cik adik manis?” Sarah hanya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

“Awak buat apa dekat sini?” Anak mata hitam pekat milik Arif Shah dipandang. Terasa seperti ada getaran halus mengetuk hatinya. Jangan buat hal dekat sini wahai hati kecilku!

“Beli barang sikit. Jom saya hantar balik.” Tangan yang sibuk mengeluarkan barang-barang dari bakul berwarna biru itu terhenti seketika. Sarah memandang muka Arif Shah.

“Awak nak hantar saya balik?” Arif Shah angguk.

“Tak menyusahkan awak ke? Saya boleh balik naik teksi aje. Lagipun mungkin awak ada hal lain lagi nak buat.” Sarah serba salah. Kalau Arif Shah menghantar dia balik ke rumah, pasti Arif Shah tahu tentang rahsia yang cuba dia sembunyikan selama ini.

Arif Shah membantu Sarah mengeluarkan barang-barang dari bakul berwarna biru itu. “Tak pernah menyusahkan saya. Saya ikhlas nak tolong awak.”

“Kalau macam tu, baiklah!” Sarah mengalah. Mungkin inilah masa yang terbaik untuk dia berterus-terang kepada Arif Shah tentang status dirinya yang sebenar. Arif Shah hanya mengangguk bersahaja.

Selesai mengangkut barang ke dalam boot kereta, Sarah mengambil tempat di sisi Arif Shah. “Pandu ke rumah awak.” Arif Shah memandang Sarah dengan wajah kehairanan. Sarah tergelak dalam hati.
“Iye la cik abang. Pandu ke rumah awak, Villa Lagenda. Now!”. Sarah tergelak kecil melihat reaksi Arif Shah.

“Itu ke rumah saya. Awak nak buat apa ke rumah saya?” Arif Shah pelik. Sarah nak ke rumah dia buat apa pula?
“Arif Shah Ramlee, saya nak awak pandu saya ke rumah awak sekarang juga, boleh?” Bagaikan lembu dicucuk hidung, Arif Shah memandu menghala ke Villa Lagenda tanpa banyak soal. Dalam hatinya pelik nak mampus kenapa perempuan ini mahu ke sana.

Perjalanan ke Villa Lagenda ditemani dengan putaran lagu-lagu Inggeris. Suka dengar lagu orang putih rupanya Arif Shah. Baru daku tahu. Arif Shah menambil sikap berdiam diri, begitu juga dengan Sarah, Masing-masing melayan perasaan sendiri.

Arif Shah terasa senang di sisi gadis ini. Rasa seperti  seseorang yang amat lama dia kenali dan rapat dengannya, sedangkan dia dan Sarah hanya mengenali antara satu dengan lain ketika di hospital. Semasa di rumah Laila dahulu bukan banyak sangat perkara yang dia tahu tentang Sarah.

Sesekali Arif Shah mencuri pandang ke arah gadis yang duduk di sebelahnya ini. Sarah yang sering berbaju kurung moden kain kapas dan berambut panjang dibiarkan lepas ke belakang. Nampak sungguh ayu dan cantik.

Hidung yang sedikit tinggi dan kulit putih kemerah-merahan  milik Sarah sangat memukau pandangan mata. Sudah berpunyakah gadis ini? Arif Shah bersoal di dalam hatinya. Soalan itu hanya mati di dalam hatinya kerana dia tidak berani bersuara.


Sebaik sahaja sampai di Villa Lagenda, Sarah terkejut melihat sebuah BMW berwarna hitam megah tersadai ditempat letak kereta. ‘Esok nak bertunang hari ni baru nampak muka!’ Cebik Sarah dalam hati.


Sepanjang tiga minggu sejak majlis merisik sampailah sekarang langsung dia tidak pernah nampak Ari Aqashah pulang ke rumah. Dah la langsung tidak menghulurkan bantuan untuk majlis bertunang, ni tiba-tiba aje balik ke rumah. Takut nak bertunang esoklah tu. Pasti mencari Puan Khalisah supaya menenangkan dia.

“Awak tolong saya angkat barang-barang tu masuk dalam rumah, boleh” Pinta Sarah kepada Arif Shah.

“Awak nak jumpa Jihan ke?” Soal Arif Shah yang melihat Sarah menonong turun dari kereta. Pelik betul dengan sikap perempuan ini. Macam datang rumah sendiri pulak.

Tanpa menjawab soalan Arif Shah, Sarah terlebih dahulu menanggalkan kasutnya dan masuk ke dalam rumah. Dia terus menuju ke dapur meninggalkan Arif Shah terpingga-pingga di depan pintu utama rumah sendiri.

Lambat-lambat Arif Shah bergerak ke boot kereta dan mengeluarkan barang-barang yang dibeli oleh Sarah sebentar tadi. Pelik bin sangat pelik sikap Sarah ni.

No comments :

Post a Comment