Friday 7 December 2012

Bab 7 Kau Perempuan Itu


Baju t-shirt Polo berwana hitam tergesa-gesa disarung ke tubuhnya. Wangian Gucci Guilty itu disembur sewenang-wenangnya ke tubuh. Gel rambut berwarna biru itu laju-laju ditonyoh ke rambut. Temu janji pada pukul 3 petang, sekarang dah pukul 3.30 petang. Berjanji setia bukan main lagi dua hari lepas tiba-tiba hari ini terlewat. Ini gara-gara bergayut sakan dengan Suzila semalam. Akibatnya dia terlena macam orang telan seratus lima puluh tiga pil tidur. Memang tidur mati. Langsung tidak sedar. Nak sedar apa, pukul 7.30 pagi tadi baru dia tidur. Lima jam dia bergayut dengan Suzila sampai termimpi-mimpi wajah pramugari cun melecun itu.


Dari perkara remeh-temeh hinggalah soal keluarga dia bualkan bersama Suzila. Senang! Terbit rasa senang hati berbuat dengan gadis kacukan Cina dan Melayu itu. Cantik dan bijak berbual. Gelak tawa gadis itu yang paling dia suka. Comel sangat! Ahhh, belum sampai tahap gila bayang. Belum jatuh cinta pun lagi. Namun dia pasti dia akan jatuh cinta kepada gadis itu. 
  
Kereta Ari Aqashah membelok sekali lagi. Naik ke tingkat lebih tinggi. Semua petak parking penuh. Dari jauh dia nampak sebuah kereta yang baru meninggalkan sebuah petak ’emas’ kepadanya! Yeay! Memang dia bernasib baik kali ini. Kalau tidak terpaksa naik ke tingkat yang seterusnya.

Tergesa-gesa  Ari Aqashah keluar dari perut keretanya. Kakinya dihayun laju menuju ke tempat yang dijanjikan. Telefon ditangan dikerling. ”Sabar.. Aku on the way ni bro!” Tup! Panggilan terus di matikan. Sepanjang perjalanan tadi sepuluh kali panggilan diterimanya dari pemanggil yang sama. Rimas. Sabar sikit boleh tak? Sabar itu separuh dari iman. Takkan itu pun perlu diajar.


Nafasnya tercungap-cungap semasa melangkah masuk ke pusat boling di Mid Valley. Peluh yang memercik di dahinya dikesat dengan tangan kasarnya. Wajah dua orang manusia yang sedang bercekak pinggang dengannya dipandang dan sebuah senyuman manis dihadiahkan kepada pasangan itu.

  I’m so  sorry, I know.. I know.. I’m late. Aku tertidur la bro,” kata Ari Aqashah sambil kedua-dua belah tangannya di angkat tanda surrender. Kemudian dia bersalaman dan memeluk rakan baiknya, Syafiq. Belakang rakannya ditepuk-tepuk sebagai tanda keakraban mereka. Macam adik-beradik, takkan tak akrab lagi? Fifteen years of friendship. Fifteen years!

 “ Itulah kau, aku suruh kahwin kau tak nak. Kalau ada orang jaga, tak ada lah kau nak lewat macam ni lagi,” marah Syafiq berbaur gurauan. Ari Aqashah, kalau dah tidur memang bom meletup tepi telinga pun dia masih boleh ambil bantal dan tekup pada telinganya. Tidur mengalahkan orang mati! Dahsyat betul tidur rakannya seorang ini. Ingatkan dah berubah sikap bila dah bekerja.

 “ Alahai...bro! Takde benda lain ke nak cakap kalau nampak muka kacak aku? This is Ari, man. Kalau aku kahwin, memang menangislah wanita-wanita, gadis-gadis di luar sana.. Hilang seorang jejaka paling tampan di Malaysia. Big lost bro!”

 “ Biar menangis semua tu asalkan kau bahagia, bro” ujar Syafiq ikhlas. Dia mahu kehidupan yang sempurna untuk Ari. Kehidupan yang sama seperti dia lalui sekarang. Mendamaikan. Menenangkan. Tidak perlu dikejar dan menghabiskan wang kepada perempuan lain lagi.


“ Eh, dah la. Jom main.”  Ajak Ari Aqashah. Malas nak mendengar ceramah percuma dari Ustaz Syafiq. Lelaki itu kalau dah mula bukak topik perkahwinan, boleh bagi ceramah pra perkahwinan. Kalau ditauAtihkan, silap-silap Ari Aqashah boleh dapat sijil pra perkahwinan dah.

 `Kau ingat senang ke nak kahwin? Aku calo pun belum ada. Kalau yang ada beratur tu semua bukan calon, tu Cuma koleksi. Ingat kahwin mudah ke? Belum terfikir sampai ke tahap itu.This is Ari Aqashah. Jejaka idaman Malaya. Gila ke apa nak kahwin?!’Ari Aqashah bermonolog sendirian.
  
One pretty day, kau akan jumpa calon yang sesuai untuk kau Ari. Aku doakan kau cepat-cepat kahwin”, Zalina yang semenjak tadi menjadi pemerhati bersuara. Isteri Syafiq ni pun sama. Kahwin jugak topik yang menarik perhatiannya.
” Dah-dah. Jom main. Nanti-nanti aku kahwin la. Mana tahu kejap lagi jumpa jodoh ke...” Malas mahu memanjangkan isu ini. Sungguh, malas!
  
Permainan boling berjalan dengan meriahnya. Walaupun hanya bertiga, riuhnya macam main sepuluh orang. Bukan main kuat lagi gelak tawa Ari Aqashah, Zalina dan Syafiq.
  
“ Kau ni Ina, memang juara sejak dulu lagi. Entah bila pula giliran aku nak menang boling ni.”  Puji Ari Aqashah jujur. Stike lima kali. Siapa tak hebat?
  
Zalina dan Syafiq berkahwin semasa mereka masih berada di London. Zalina adalah junior mereka. Kedua-duanya sangat mencintai sehinggalah mereka membuat keputusan untuk berkahwin sebelum Syafiq pulang ke tanah air beberapa bulan lebih awal daripada Zalina. Alhamdulillah mereka masih berbahagia hingga kini walaupun masih belum dikurniakan anak setelah lima tahun berkahwin. Belum rezeki lagi agaknya. Sebenarnya Ari Aqashah pun pulang ke Malaysia sebelum dia menamatkan pengajiannya di London. Pulang membawa hati yang luka.
  
Namun dia bersyukur, jika tidak kerana hati yang terluka, dia mungkin akan terus hanyut di London. Dia mungkin tidak akan pulang ke Malaysia. Jika bukan kerana membawa hati yang lara pulang ke Malaysia, dia tidak mungkin akan bergelar seorang juruterbang pada hari ini. Betullah, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuma kita yang tidak mahu menerima kerana ego!

“ Kalau Tasha ada lagi best Ari,kan?” Zalina memandang wajah Ari Aqashah. Wajah itu menunjukkan riak yang berbeza. Masih ada luka yang membalut hatinya. Zalina yakin hati lelaki itu masih belum sembuh. Ari Aqashah masih belum bersedia untuk memberikan hatinya kepada sesiapa secara serius.

Syafiq yang perasan perubahan pada riak wajah sahabatnya terus mencelah. “ Jomlah kita pergi makan Ari. Dah ada bunyi muzik rock dalam perut aku ni tau. Kalau bagi kau dengar boleh pecah gegendang telinga ni. Ntah lagu apa yang tengah berkumandang tak tahulah aku”. Ketawa Ari Aqashah berderai. Dia pun lapar sebenarnya. Belum makan apa-apa selepasbangun tidur tadi. Kalau di rumah mama boleh la dia makan sebab mama rajin memasak. Kalau balik ke kondominiumnya memang berpuasa separuh hari la jawabnya.
  
”Ina nak makan Secret Recipe!” Laju! Bab makan Zalina memang laju. Belum sempat orang lain nak chop tempat makan dia laju-laju dah mengangkat tangan macam nak menjawab soalan guru dalam kelas. Ari Aqashah dan Syafiq ketawa lucu melihat sikap Zalina yang kebudak-budakan itu.  Tak padan langsung dengan umur 27 tahun.

 Mereka bertiga menuju ke Secret Recipe. Tempat duduk paling hujung di sudut kedai itu dipilih Zalina. Mahukan privasi, mahu bersembang lebih rancak, mahu ketawa dengan kuat dan tiada orang sedar bahawa mereka yang melakukan semua ini. Kata Zalina lah.
  
Gara-gara Zalina yang menyebut nama Tasha sebentar tadi, hilang selera makannya. Tadi bukan main lagi perutnya turut bernasyid. Nasyid ajelah, kalau rock pun, lagu rock kapak je. Sekarang hilang terbang ke London semua rasa laparnya. Kenangan-kenangan lama mulai mengetuk pintu hatinya. Lama. Kenangan yang sungguh lama! Matanya dipejam rapat. Kenangan-kenangan itu mulai menari-nari di kelopak mati.

Syafiq mengangkat tangannya memanggil waiter. Waiter yang memakai tanda nama ’ZAFFRAN’ itu datang menghampiri mereka. Zalina laju sahaja membuat pesanan sedangkan Syafiq masih membelek-belek buku menu. Tak tahu nak makan apa sedangkan perut lapar sangat-sangat.
”Cepatlah order bang!” gesa Zalina.
”Tom Yam Kung lah satu dik”. Malas nak fikir makanan lain.
Zaffran mencatatkan menu yang dipesan oleh pasangan itu. Pesanan dibacakan sekali lagi dan Zalina hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda betul dengan pesanan yang dicatatkan oleh Zaffran. Pesanan tadi di bawa terus ke dapur oleh Zaffran.  Harap-harap cepat la makanan sampai. Doa Syafiq dalam hatinya.


“ Woi Ari! Apa yang kau menungkan?” soal Syafiq mamatikan lamunan  Ari Aqashah. Bayang ATasha kian hilang dari kotak fikirannya.
“ Ni makanan dah sampai, makan. Termenung aje kerjanya. Kau ngat kenyang ke kalau termenung?” Tambahnya lagi.
“ Eh aku asyik termenung, kemudian rasa kenyang. Patutlah aku slim aje” balas Ari Aqashah.

 Tiba-tiba Ari Aqashah bangkit dari kerusinya! ” Aku nak pergi toilet jap”. Zalina dan Syafiq serentak mengangguk. Habis takkan nak geleng. Apa hak kau nak halang orang nak pergi tandas. Terkejut sebenarnya. Tiba-tiba berdiri depan mereka, salam tak bagi terus berdiri tegak.
 ” Rasa macam ada benda perlu dilepaskan. Hehe..” matanya dikelipkan sambil memandang ke arah Zalina.
” Kau!!!! ” Zalina separuh menjerit sambil mengacukan garfu ke arah  Ari Aqashah. Pengotor. Depan makanan pun masih sempat nak sebut pasal tandas. Agak-agaklah kau Ari! Geram sungguh Zalina dengan Ari Aqashah. Memang pantang betul dia cakap pasal tandas depan makanan ni.  
  
Pintu cafe ditolak Ari Aqashah kasar. “ Aduh, sakitnya!,”  
‘ Alamak, aku langgar orang,’ kata  Ari Aqashah dalam hatinya. Matanya mencari raut wajah gadis yang dilanggarnya sebentar tadi. Wajah putih bersih itu mencuri perhatian matanya. Comel! Comel macam Nora Danish. Eh, ke aku langgar Nora Danish dalam Mid Valley ni?! Teka Ari Aqashah.

“ Err, are you okay, miss?” Melihat wajah gadis seperti kembar  Nora Danish yang  hanya berdiam diri dan wajahnya seakan mahu menangis menyebabkan Ari Aqashah berasa sangat bersalah kepada gadis itu. Bukan dia sengaja nak langgar. Sungguh dia tidak sengaja. Takkan lah dia sengaja nak langgar gadis cantik macam ini. Gila ke apa?
” Cik, I  betul-betul minta maaf. I tak perasan you tadi. Tangan you tu luka. Jom I bawa you ke klinik,”  Ari Aqashah menghulurkan tangan sebagai tanda dia benar-benar ikhlas untuk membantu gadis itu itu namun tangannya ditepis kasar oleh gadis itu.

 Bukan sengaja nak menepis tapi memang dia tiada mood nak berbaik-baik dengan lelaki ini. I you konon! Macamlah duduk di Amerika. Cakap la saudari saudari ke, kekanda adinda ke.. Tak pun panggillah dia ’dik’. Barulah terasa muda sikit. Nak bajet orang putih lah konon bila cakap I you I you ni?! Tak mencintai bahasa kebangsaan langsung!

”Saya okay. Jangan risau. balas Sarah  dengan nada yang agak tinggi.
“ Nanti nak berjalan tengok orang jangan nak membuta tuli saja. Mata jangan letak dekat lutut ye.” bentak Sarah lagi. Hah, kan dah kena marah. Free aje! Bukan apa, dia masih ingat lelaki ini. Kacak tapi tiada budi bahasa. Lelaki yang memarahinya di lapangan terbang semasa dia menjemput Laila beberapa minggu lalu. Tidak mungkin dia lupa aka wajah kacak tiada adab ini!

 Ari Aqashah tiba-tiba menjadi geram kepada gadis itu. Eh, kau ingat muka kau comel macam Nora Danish, kau boleh marah aku sesuka hati kau ke?! Hai, ini yang membawa kepada kemarahan ni. Hilang rasa nak pergi tandas. Membuak-buak rasa meluat kepada gadis itu. Ikutkan hati mahu saja dimarahi dan diherdik-herdik gadis tidak beradab ini. Bantuan yang ingin dihulurkan olehnya ditolak dan kini dia dimarahi pula.  Dengan perasaan sebal dan marah, dia meninggalkan Sarah terpingga-pingga.

 
“ Hey encik!” laung Sarah kepada  Ari Aqashah.
 Ari Aqashah tidak menoleh. Rasa sebal menghilangkan rasa hormatnya kepada gadis itu. Sombong, hidung tinggi! Eh, tapi memang hidung dia mancung pun. Ala-ala hidung Wardina Saffiyah sikit. Comel. Ish, kenapa puji dia pulak ni?!
Stop there young man!” jerit Sarah kuat. Hah, biar satu Mid Valley dengar suara dia. Padan muka mamat ni. Apa kau ingat kau kacak? Kan, aku pun dah cakap orang putih! Ingat tak reti ke, huh?
Langkah kaki Ari Aqashah terhenti. Kepalanya ditoleh kepada Sarah. Geram sangat!
  
 Handphone saya,” ucap Sarah sebaik sahaja Ari Aqashah menoleh. Sarah memasamkan mukanya. Malas hendak senyum. Buat apa? Buang masa senyum dengan lelaki yang bongkak macam ni. Sudahlah langgar dia, kemudian blah macam tu je. Eh bukan dia kata nak bantu pergi klinik tadi? Tidak cukup bersungguh ajakan lelaki itu sebentar tadi. Menyampah. Tetapi sekarang ini hal handphone perlu dibincangkan dengan lebih lanjut. Perkara utama!

 So, apa yang you nak I buat?” soal  Ari Aqashah kepadanya. Kening lebat dan hitam itu dijungkitkan. Menambahkan kekacakkannya yang memang sedia kacak.
Sarah mencebik. Meluat! Rasa nak cabut-cabut bulu kening lelaki itu.  
“ Encik dah rosakkan handphone saya and now you were asking me what should you do?” balas Sarah geram.
“ Baik, I akan gantikan you dengan handphone yang baru. Jom pilih yang mana you nak,” kata  Ari Aqashah sambil berlalu. Nak pergi beli handphone baru la, nak pergi mana lagi? Malas  Ari Aqashah hendak melayan kerenah gadis muda di hadapannya ini.
” Tak perlu. Saya nak awak baiki handphone saya ni semula.”
‘ Whattttttttt?! Perempuan ni memang sengaja nak menyusahkan aku!’ marah  Ari Aqashah dalam hatinya.

“ Kalau beli yang baru kan lebih senang. I tak ada masa nak baiki handphone you ni. Banyak lagi kerja lain yang I nak kena buat daripada nak membuang masa baiki hanphone you ni. Lagipun sekarang orang sudah pakai handphone yang canggih-canggih. Jom I bawa you pilih handphone baru or you nak pergi sendiri? Kalau you nak pergi sendiri, nanti ypu claim semula dengan I. Berapa pun harga handphone you pilih, I akan bayar.” Jawab  Ari Aqashah dengan panjang lebar. Mimik muka masih seperti tadi. Tegang!
  
“ Saya bukan suruh awak yang baiki handphone saya. Saya pun tahu awak ni bukannya tahu nak baiki handphone pun. Saya suruh awak bawa handphone saya ke kedai dan suruh orang yang baiki. Lagipun buat apa membazir duit, handphone ni akan elok selepas dibaiki. Lebih elok kalau dapat berjimat. Membazir kan amalan syatan!” sengaja Sarah memulangkan kata-kata keras itu kepada Ari Aqashah. Sarah yakin lelaki di hadapannya ini pasti banyak duit, kalau tidak masakan lelaki ini dengan mudahnya menawarkan handphone baru kepadanya.

Sakitnya hati Ari Aqashah. Rasa macam nak langgar gadis ini dengan kereta BMWnya. Kalau nak lagi kejam, pinjam kereta Posche Cayyane Along. Langgar sampai leper. Marahnya cuba dikawal. Riak mukanya dikawal sebaik mungkin. Tidak mahu kalah kepada gadis ini. ” Mana awak tahu saya tak reti baiki handphone, huh?”

” Tengok kening lebat awak tu pun saya dah tahu!” Hee, mamat ni. Malas nak layan tau!

 Ari Aqashah akhirnya mengalah. Handphone Sony milik Sarah akhirnya bertukar tangan. Malas benar rasanya hendak melayan kerenah gadis itu. Anggap sahaja gadis itu terencat akal atau dia baru sahaja menamatkan pengajiannya dan masih dalam keadaan tekanan mencari peluang pekerjaan. Ya! Dia tertekan kerana tidak bekerja sebab itu gadis tadi menjadi gila seperti wanita meroyan. Selepas menenangkan semula dirinya, Ari Aqashah kembali semula ke cafe.
  
“ Kau cari tandas tak jumpa ke?” perli Syafiq kepadanya sebaik sahaja punggungnya mencecah kerusi. Mangkuk tom yam Syafiq sudah licin. Ari Aqashah tersenyum. Tom yam dalam mangkuknya sudah kembang. Hilang seleranya hendak makan. Maaflah wahai makanan. Memang hilang selera hamba pada hari ini. Ampun.

****************

“ Kalau mummy bincang dengan Aunty Khalisah dan dia setuju, Mona jangan merajuk lagi, ok?” Datin Hanisah cuba memujuk anak gadis tunggalnya itu. Bahu Mona diusapnya lembut persis memujuk anak kecil. Dia tidak sanggup melihat Mona asyik sahaja mengurung dirinya di dalam bilik. Itulah satu-satunya permata hatinya.

Dia tahu Mona memang mencintai Ari Aqashah anak saudaranya itu semenjak dahulu lagi. Masalahnya sekarang ialah kakaknya Khalisah yag tidak bersetuju dengan hubungan mereka. Katanya Ari Aqashah belum cukup matang untuk mendirikan rumah tangga.
  
Nak matang macam mana lagi? Dua puluh tujuh tahun, dah memang sesuai sangat kalau nak berumahtangga. Lagipun anak saudaranya itu bukan calang-calang orang, juruterbang lagi. Nanti bolehlah dia canangkan kepada jiran tetangga tentang bakal menantunya seorang juruterbang. Lagipun anak dia bukanlah lekeh sangat, kelulusan kolej juga. Habis belajar juga anak daranya walaupun hanya diploma.
  
Ari Aqashah pun satu! Kalau tak sukakan anaknya, buatlah cara macam tidak suka. Ini layankan sangat perangai si Mona tu. Sekarang ni dah merajuk bukan main susah lagi dia nak pujuk. Anaknya bukan budak kecil lagi boleh diberikan ais krim atau teddy bear. Pening kepala Datin Hanisah. Anak sorang pun susah. Kalau anak sepuluh orang sikap sebijik macam Mona kurus kering dia melayani kerenah anak-anak dia gamaknya!
  
Ari Aqashah yang baru sahaja melangkah masuk ke banglo mama dan papanya disapa lembut oleh mamanya, Puan Khalisah. “ Ari ,mari sini kejap, mama ada hal nak bincang dengan Ari ,”

Wajah bersih wanita berusia lingkungan 40-an itu dipandang Ari Aqashah dengan pandangan redup.

“ Ari  belum solat la mama. Kejap lagi ye, Ari  nak mandi dan solat dulu. Give me twenty minutes! ” Jawab Ari Aqashah dan terus berlari-lari anak naik ke bilik bujangnya di tingkat dua rumah banglo itu.

Selepas selesai sahaja menunaikan solat Asar,  Ari Aqashah  turun untuk menikmati minum petang bersama keluarganya. Pada petang itu hanya mama dan papanya sahaja yang tinggal. Jihan dan alongnya masih belum pulang dari tempat kerja. Kesian mama dan papa asyik ditinggalkan. Mama lagilah kasihan, setiap hari terpaksa tinggal dengan orang gaji mereka selepas papa pergi kerja.

Suasana di banglo milik Tuan Ramlee sangat tenang dan nyaman pada waktu petang. Angin sepoi-sepoi yang bertiup mendamaikan hati Ari Aqashah. Pokok-pokok hijau di sekeliling rumah sangat mendamaikan hati penghuni banglo ini. Mama memang rajin! ’Nanti bakal isteri aku pun mesti rajin macam mama’. Bisik hati Ari Aqashah.

”Hah yang kamu ni tersengeh-sengeh sorang diri kat sin kenapa?” Terjah Puan Khalisah.
Terkejut. Nasib baik tak terjun dalam kolam renang. ”Tak ada apa lah ma..” jawab Ari Aqashah.

 “ Ari , Mak Lang Nisah called mama tengah hari tadi,” mamanya memulakan perbualan dan Ari Aqashah dapat meneka bahawa perbualan itu adalah berkisar tentang dia dan Mona.
“ Mama, kita dah cakap soal ni beratus-ratus kali dah.”  Ari Aqashah sudah muak dengan sikap mamanya yang bersikap terlalu mengongkong kehidupannya. Sebab itulah dia malas untuk pulang ke banglo ini. Mama akan terus bercakap soal kehidupannya.
“ Mama nak bertegas dengan Ari  kali ini. Mama tak suka Ari terlalu rapat dengan Mona. Ari tahukan mama tak nak anak mama kahwin dengan sepupu sendiri”.
 What do you mean, ma?” Sesungguhnya  Ari Aqashah  langsung tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh mamanya. Kahwin dengan sepupu? Bila masa pulak dia bercinta dengan sepupu sendiri ni? Oh.. biar betul!

 ” Mak Lang Nisah cakap Mona tak nak makan, tak nak pergi kerja, tak nak buat apa-apa sebab Ari tolak cinta dia. Mama dah cakap dengan Ari, banyak kali! Jangan layan perempuan terlalu baik.  Lebih-lebih lagi Mona. Dia tu sukakan Ari. Dia mahukan Ari. Ari layankan sangat dia tu, memang la dia perasan Ari sukakan dia”.
Mona ingat dia sukakan Mona?! Ini gila. Serius gila. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk bercinta. Tidak dengan Mona. Tidak dengan sesiapa!
  
” Bagitau Mak Lang Nisah, Ari takkan kahwin dengan Mona. Perkara macam ni takkan dibangkitkan lagi pada masa akan datang. Muktamad!”. Dia perlu bertegas. Teh dalam cawan putih yang masih berasap itu dihirupnya.

Mona? Wajah gadis kacukan Pakistan yang berusia muda setahun dari Jihan itu bermain di ruang fikirannya. Cantik, sangat cantik. Tetapi untuk mengahwininya tidak mungkin sama sekali. Tidak mungkin! 

No comments :

Post a Comment