Sunday 9 December 2012

Bab 8 Kau Perempuan Itu


Daniel Phillip Henney

Ari Aqashah membelek-belek telefon bimbit Blackberry berwarna hitam ditangannya.  Curve?! Orang dah pakai model terbaru, masih ada lagi yang pakai Blackberry Curve model lama macam ni? Kalau nak dibandingkan dengan telefon bimbit milik Ari Aqashah, memang jauh ketinggalan telefon milik Sarah.

‘Betul-betul kampung perempuan ni. Tak up to date langsung,’ ngomel Ari Aqashah dalam hati.
Dia kemudian memberanikan diri untuk ‘menyelongkar’ telefon bimbit gadis  yang tidak diketahui namanya itu. Macam mana nak tahu, garag macam singa. Ari Aqashah terus membelek dan tersenyum seorang diri melihat gambar-gambar yang berada dalam handphone itu.


Comel macam Nora Danish. Ke betul dia ni adik Nora Danish? Tangan kiri Ari Aqashah naik mengusap-usap dagunya. Berfikir. Mulutnya diherotkan ke kiri dan ke kanan.
”Hmmmmm...”  tiba-tiba perasaan bersalah muncul dalam dirinya. Dia membuka telefon itu tanpa kebenaran.

” Ah…handphone aku pun ada padanya, mesti dia dah selongkar” dah macam orang gila. Soal dan jawab soalan sendiri.  Jari- jemari Ari Aqashah terus leka menekan-nekan keypad pada telefon berwarna hitam itu.

Habis semua diselongkarnya. Comel rupanya budak ni. Budak ke? Ish, entah-entah emak orang agaknya. Haish, tak mungkinlah. Tengok badan macam belum kahwin lagi ni. Eceh! Macam pakar pulak dia. Manalah tahu kot-kot awet muda ke. Amy Mastura pun comel aje, kecil molek. Dah kahwin beranak-pinak dah tu.

Ish apa lah aku berangan sorang-sorang ni. Macam lah aku nak buat dia ni jadi isteri aku. Uihh, simpang malaikat 44. Dah lah sombong, cakap pot-pet, pot-pet. Kedekut pulak tu. Ada ke masa Ari Aqashah nak belanja handphone baru pun tak mahu. Tolak tuah betul! Rugi. Rugi. Rugi.

***************

“ Sampai bila Arah nak macam ni?”  Encik Suhaimi, abahnya memulakan bicara sebaik sahaja Sarah melabuhkan punggungnya di sebelah untuk sama-sama menonton televisyen. Dahulu Encik Suhaimi bertugas sebagai guru di sekolah menengah kemudian dia meletak jawatan kira-kira dua tahun yang lalu kerana masalah keluarga.

Masalah keluarga? Kerana Puan Aida. Encik Suhaimi mahu memberikan sepenuh perhatian kepada Puan Aida.  Kini Encik Suhaimi bekerja sebagai pemandu kepada sebuah keluarga kaya-raya. Dia bersyukur kerana majikannya seorang yang baik hati dan sedia memberikan dia cuti pada bila-bila masa. Kesihatan isterinya tidak menentu. Dia mahu sentiasa berada di sisi wanita yang paling dicintainya itu.
”Abah!” panggil Sarah sedikit kuat. Berangan pulak abah ni.
Encik Suhaimi yang sedikit tersentak hanya mengukir senyuman. ” Arah dah mula cari kerja? Dah lama Arah dekat rumah ni” soalnya.

Sarah hanya menggeleng. Bukan senang nak cari kerja sekarang ini. Bukan dia tak cuba, Cuma bukan rezekinya lagi.
” Macam ni, majikan abah tu ada nak cari pembantu rumah. Nak buat teman. Abah bukan apa, Arah pun dah lama tanam anggur, jadi sementara tunggu anggur Arah tu masak, apa kata Arah kerja sementara di rumah majikan abah tu?” Ujar Encik Suhaimi sambil bergurau.
”Tanam anggur? Kalau berbuah anggur Sarah ni, kaya kita nanti tau bah” ketawa Sarah kuat. Encik Suhaimi turut sama ketawa. Anak daranya kalau bab kenakan orang memang pakar.
”Esok Arah ikut abah pergi kerja”. Tangannya memeluk bahu abahnya. Pipi abahnya dicium penuh rasa kasih. Abah nampak cengkung. Kurus. Nampak penat. Sarah janji Sarah akan bantu abah jaga ibu dan keluarga kita.

Sarah dan Encik Suhaimi senyap. Empat biji mata di halakan ke kaca televisyen. Rancangan di televisyen tidak langsung menarik perhatian mereka. Sarah mula berangan. Kenangan lama mulai memenuhi kotak mindanya.

Semenjak sekolah rendah, dia sukakan duit. Dia suka segala-galanya tentang duit. Bau duit, pegang duit, warna duit. Semuanya berkaitan duit kerana minat asalnya ialah mahu menjadi seorang akauntan. Dia sangat cemerlang dalam mata pelajaran akaun semasa di sekolah. Namun, apabila mengenangkan hasrat ibunya yang mahu dia menjadi seorang guru seperti abahnya, Sarah dengan rela hati menguburkan segala impian dan cita-citanya. Oleh sebab itu, Sarah mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di universiti tempatan dan mengambil jurusan pendidikan.

Bukan dia tidak mendapat tawaran yang lebih baik, malahan dengan keputusannya yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dia mendapat tawaran untuk menyambung pelajarannya di University Of Adelaide, Australia dalam bidang perakaunan.  Namun apabila mengenangkan dia terpaksa meninggalkan abahnya seorang diri menguruskan ibu dan adik-adiknya di Malaysia, dia dengan rela hati melepaskan tawaran yang sering ditunggu-tunggu olehnya suatu ketika dahulu.

” Abah! Arah dapat masuk universiti! Arah akan jadi cikgu” jerit Sarah pada suatu petang. Sarah memeluk erat abahnya. Abahnya turut membalas pelukan kemas anak daranya itu. Dalam hatinya Encik Suhaimi amat bersyukur kerana Sarah dapat mengotakan janji yang dibuat bersama isterinya, Aida.
” Arah bersyukur sangat-sangat, bah” ujarnya sambil menadah tangan berterima kasih kepada Allah SWT.

Semua ini adalah berkat usaha dan doa dari ibu dan abahnya. Ibunya seorang yang sangat baik. Beliau seorang guru matematik tambahan. Kalau tanya pasal Matematik Tambahan, petik jari nak jawab. Pejam mata tak boleh jawab sebab tak nampak soalan. Lagipun dulu Puan Aida sering menyuruhnya membuat latihan matematik tambahan semasa dia berada dalam tingkatan dua lagi walaupun masih jauh perjalanan Sarah dalam alam persekolahan. Tingkatan dua dah buat soalan add math.

Pehh, memang rajin dan teror gila Srah. Siapa nak berguru? Memang A+ lah matematik tambahan korang. Kembang kempis hidung Arah dipuji oleh rakan-rakan sekelasnya dulu. Nasib badan tak kembang sekali, kalau tak pasti macam belonlah dia sekarang.

Sarah sememangnya bersyukur kerana dia sudah didedahkan dengan soalan-soalan matematik tambahan seawal di tingkatan dua dan dia langsung tidak mengalami masalah sebaik sahaja melangkah ke tingkatan empat. Semasa berada dalam tingkatan lima, ibunya disahkan mengidap penyakit barah payu dara. Ah, dugaan apakah ini?

Dunia bagaikan berakhir. Seolah-olah hilang tempat bermanja. Sesungguhnya ujian itu terlalu berat Sarah dan keluarganya. Sarah berasa sangat sedih kerana Allah S.W.T menguji mereka sekeluarga dengan dugaan sehebat itu. Ketika itu, sering kali dia mempertikaikan kenapa dia dan keluarganya dipilih untuk menghadapi ujian sehebat itu? Kenapa bukan orang lain? Kenapa ibunya?

Melayan perasaan kerana ujian yang sedang melanda hanya menambah beban yang ada dijiwa. Semakin dilayan, semakin hebat kesannya. Semakin derita rasa dijiwa. Rasa sedih akan menjalar disetiap pelusuk jiwanya sehingga dia merasakan dialah yang paling derita dan orang-orang di sekelilingnya pasti tidak memahaminya. Ya Allah, Apa yang diuji oleh-Mu adalah apa yang termampu ditanggung oleh hamba-hamba-Mu
Sedarlah wahai manusia, Allah tidak akan membebani hamba-hambaNya melainkan apa yang termampu dihadapi oleh mereka. Sebagaimana firmannya yang bermaksud :
“Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..” (Al-Baqarah ayat 286)

Sesungguhnya Allah tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya. Setiap yang diuji itu adalah sesuai dengan tahap kemampuan hamba-Nya. Cuma sebagai hamba, hendaklah berusaha untuk mengatasinya. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk mengahadapinya, sudah pasti mereka tidak mampu berhadapan dengan ujian yang sedang menimpanya. Sudah pasti jiwanya akan semakin lemah dan akhirnya putus asa semakin mendekatinya. Inilah yang paling ditakuti bakal menimpa seseorang manusia itu. Ya, putus asa!. Sarah tidak mahu berputus asa dan tenggelam. Akhirnya Sarah bangkit. Dia tidak mahu tertewas. Dia mahu terus kuat untuk ibu dan abahnya. Demi Syamir dan Suraya.
Sudah 24 tahun dia sekarang. Jika ibu masih sihat dan bertenaga, lihatlah dia sudah besar dan comel. Orang cakap dia seiras dengan ibunya. Enam tahun sudah berlalu. Keadaan ibu semakin hari semakin tenat. Setiap hari Sarah berdoa ada keajaiban yang akan berlaku. Ibu akan sembuh.

Enam tahun Sarah hilang tempat bermanja. Abahnya hilang tempat berkasih. Kesian abah. Namun Sarah tidak mudah patah semangat. Dia berusaha menjadi anak yang baik. Abahnya juga tidak pernah memarahinya. Selepas ’ketiadaan’ ibunya, Sarah menjadi lebih matang dan segalanya perku diuruskan sendiri. Abah juga belajar untuk berdikari. Siapa sangka selama enam tahun Puan Aida masih bersemangat berjuang untuk hidupnya.

 “ Arah!”
“ Ah..ye abah,” Sarah tersentak. Suara garau Encik Suhaimi mematikan lamunannya kisah silam. ’Sempat berangan lagi tu! Hai, dunia...dunia. Apa lagi yang seronok kalau bukan berangan dan makan makanan sedap?! Makanan? Hah, perut, kau jangan nak minta makanan lagi malam-malam ni ye. Kau nk buncit ke?’ omel Sarah dalam hati.

“ Abah belum habis bercakap dengan AArah lagi pasal tadi.”
“ Pasal apa abah?” soal Sarah teruja. Ada kerja kosong lagi ke? Dekat mana? Kerja apa? Gaji berapa?
“ Bila Sarah nak kahwin?” Glup. Liur ditelan kesat. Makan pasir ke tadi? Macam berpasir air liur ni.
“ Ala abah ni, balik-balik soal kahwin. Nak kahwin dengan siapa abah? Calonnya pun tak ada, macam mana nak kahwin? Kerja pun belum lagi ni..” alasan ini lagi. Dahulu masa Sarah bercinta, sengaja dia merahsiakan dari pengetahuan keluarganya. Sekarang mana ada calon lagi. Abah pun satu, takde benda lain ke selain kahwin?

“Arah, abah ni umur dah 52 tahun, bukan muda lagi.  Umur macam ni sepatutnya abah dah ada cucu. Arah sendiri pun dah 23 tahun. Bukan semakin muda, esok dah tua lagi sehari. Apa lagi yang Arah cari? Siapa yang Arah tunggu? Rizal tu sudah lama menunggu Arah,” panjang lebar penerangan Encik Suhaimi.

Rizal. Lelaki tampan. Oh, sangat tampan. Rambut hitam pekat, muka putih bersih dan hidung mancungnya memang sangat comel. Kalau nak gambarkan Rizal, kacak sangat. Macam siapa ya? Ha! Pelakon Korea, Lee Min Ho. Hah, memang menggoda habis. Kalau Lee Min Ho yang ajak dia berkahwin, memang Sarah takkan fikir panjang pun,  terus terima. Tapi yang asyik mendesak dia untuk berkahwin sekarang ni ialah Rizal. Anak angkat abahnya. Oh, tidakkkk! Sarah, your daddy is talking to you! Berangan, tak sengaja. Sorry.

“ Lagipun abah memang bekenan dengan Rizal”.
Abah. Arah belum bersedia nak terima sesiapa dalam hidup Arah. Lagipun Su dengan Amir kecil lagi. Arah kena jaga diorang” balas Sarah lembut. Harap-harap Encik Suhaimi mengerti gelodak hatinya.Dia tak cintakan Rizal.

Memohom pengertian konon. Just tell your father that you don’t love Rizal. Rizal ni pun satu jugak. Entah bila nak kenal erti putus asa. Bukan sekali dua dia menolak, banyak kali. Rizal sepatutnya tahu dia mahukan privacy.  Harap-harap muncul perempuan lain yang sesuai untuk Rizal. Takde lah Rizal ganggu dia lagi. Doa Sarah dalam hati.  

Fine. Senang cerita Sarah memang tidak mampu untuk menunaikan hasrat abahnya. Setelah cintanya didustai beberapa bulan yang lalu, pintu hatinya kini bagaikan tertutup buat insan yang bergelar lelaki. Insan yang dicintainya dengan sepenuh hati telah menodai cinta sucinya.  Kesetiaannya dipersiakan. Mudah sekali dia diperlakukan begitu. Bertahun-tahun dia setia menyemai cinta bersama Ikram, akhirnya hanya undangan perkahwinan yang dia terima.  

Kejam betul manusia bernama Ikram. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia cincang lumat kad kahwin Ikram dan Tina. Buat sambal belacan kemudian bagi jiran sebelah rumah makan. Eh, ada ke patut bagi jiran makan. Patutnya kirim ke kenduri kahwin lelaki itu dan biar merekalah makan. Biar cirit-birit setahun! Hah, padan muka kau.

Arah, saya janji saya akan setia dengan awak sehingga hujung nyawa saya. Saya cintakan awak seikhlas hati awak. Lepas kita grad, kita kahwin.” Itulah janji Ikram. Janji hanya tinggal janji.
’Ah..mudahnya dia berjanji. Akhirnya aku yang tersungkur sendirian.’ Bisik hati Sarah. Cintanya kepada insan itu terlalu mendalam dan sukar dipadamkan. Tidak mungkin mudah melupai Ikram. Lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Bertahun-tahun mereka menyemai perasaan cinta dalam diri masing-masing dia langsung tidak pernah terfikir dia akan dikhianati.

Tergamak Ikram melakukan dia begitu. Alasan yang diberikan olehnya mudah sekali. Perkahwinannya sudah diatur semenjak dia memperkenalkan Tina kepada mamanya semasa mereka menonton wayang bersama. Semuanya alasan. Hanya dia yang menanggung kesakitannya.  Jika tidak mahu, kenapa dia dan Tina menerima perkahwinan itu? Kenapa? Semuanya sudah berlalu. Sarah masih lagi cuba membina kekuatan dalam dirinya. Dia harus lupakan Ikram. Ikram milik Tina. Hak mutlak Tina. Sarah bukan sesiapa.  

Am terpaksa. Arah kena percaya dengan Am. Am masih sayangkan Arah. Am keliru. Maafkan Am, sayang” ujar Ikram semasa mereka berbual di telefon tidak lama dahulu. Terpaksa kepala hotak kau? Kau tu jantan. Eh silap, lelaki. Kena la tegas. Eh, boleh ke bertegas. Tapi bukan anak kena ikut cakap mak ayah ke? Ah, lantaklah.

“ Kalau Am tak rela kenapa Am perlu terima? Am boleh menolak permintaan mama dan papa Am!” Sarah tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh lelaki itu. Bukan niat Sarah untuk mengeruhkan keadaan. Sarah sendiri keliru. Sarah kecewa dengan Ikram dan Tina.

Akhirnya perbualan mereka tiada penyelesaiannya. Ikram tetap akan mengahwini Tina, rakan baiknya. Rakan sebiliknya yang berkongsi segala kisah suka dan duka selama empat tahun. Rakan yang paling dia sayang dan rakan yang akhirnya mengkhianati dirinya.

Hatinya terluka. Kalau ada jual ubat luka hati di farmasi, pasti laku dibeli olehnya. Eleh, kat luar sana tu semua tengah tunggu ubat hati. Apa yang susah sangat, nak ubat hati tu banyakkan zikir. Ini tak, sikit-sikit berangan,pantang ada masa free je kau berangan kan Sarah. Memang tak sembuh-sembuh hati tu!

Tentang Rizal, Sarah hanya menyerahkan segala-galanya kepada takdir. Biarlah takdir yang menentukan segalanya.  Kalau banyak sangat fikir mau berat otak dia nanti. Jika boleh keluarkan dan timbang berat otak dia,  20kg ada kot. Beratnya! Seberat sekampit beras. Aduh, boleh teleng kepala kalau tak imbang betul-betul semasa berjalan. Silap-silap tersungkur kat tengah jalan.

” Esok kerja pukul berapa bah?” soal Sarah tiba-tiba. Switch channel.
” Pukul 7 pagi”.
” Arah kena tidur ni. Esok nak kerja. My first day”. Sarah mengulum senyuman. Kerja! Yeay.  Encik Suhaimi hanya tersenyum mengangguk. Tahu sangat sikap anak daranya yang mahu melarikan diri. Sarah bangkit dan menuju ke biliknya di tingkat atas.

Remote control di atas meja kopi depan matanya itu di capai. Punat merah pada remote itu ditekan sekali. Televisyen masih bernyala. Punat merah itu ditekan Emcik Suahimi sekali lagi. Kali ini cahaya dari kaca televisyen hilang perlahan-lahan dan padam. Punggungnya di angkat dari sofa, kaki melangkah menuju ke kotak-kotak suis di sebelah kirinya berdekatan dengan tangga. Beberap suis dipetik dan lampu yang tadi menerangi ruang tamu rumah kini padam. Suasana rumah teres dua tingkat itu kini menjadi kelam. Encik Suhaimi membawa kakinya melangkah menuju ke bilik berdekatan dapur. Pintu bilik di kuak. Wajah wanita paling dicintainya menangkap pandangan matanya. Lena sungguh isterinya malam ini. Wajah lesu itu dipandang dengan perasaan hiba. Sembuhkan isteriku Ya Allah. Doanya dalam hati.

No comments :

Post a Comment