
Nafas
di tarik dalam-dalam. ‘Ya Allah bantulah hambaMu ini. Mudahkanlah urusanku. Aku
hanya mahu mencari rezeki yang halal untuk keluargaku.. Amin.’ Sarah meraup
kedua-dua tapak tangannya ke muka.
Sarah
tiba di Villa Lagenda lebih kurang pukul 12.15 tengah hari. Hari paling lambat
dalam sejarah bekerja Sarah Sulaiman. Mana pernah masuk kerja lambat! Very the punctual person tau! Nasib baik
Puan Khalisah sudah keluar pergi meeting
dengan ahli persatuan isteri-isteri orang kaya Malaysia, kalau tidak
terpaksalah dia berdepan dengan mama si hidung tinggi itu.
Puan
Khalisah tiada di rumah. Memang Allah swt mendengar doanya sebentar tadi. Kalau
Puan Khalisah ada di rumah memang bergema macam petirlah suara Puan Khalisah
segenap inci rumah ini memarahi dia yang datang lewat.
Dia
bukan sengaja pun nak datang lewat. Kalau boleh Subuh-subuh lagi dah dia mahu
terpacak depan pintu pagar besar rumah ini. Tapi nanti takut dicop gila kerja
pula oleh Puan Khalisah. Alang-alang dah bagi kebenaran masuk kerja pukul lapan
pagi buat apa dia nak datang tercongok pukul enam pagi kan. Buang tebiat ke
apa.
Kalau
bukan kerana kereta kodok hitamnya membuat hal, memang dia tidak akan naik
teksi. Harga tambang pula bukan main mencekik darah. Boleh sesak nafas tahu! Sudah
beberapa minggu kereta itu tidak bergerak ke mana-mana. Entah bila baru dia
mampu untuk memperbaharui roadtax dan
insurans keretanya. Semua duit gajinya dihabiskan untuk membeli ubat untuk ibu
dan perbelanjaan rumah.
Kalau
gaji dia puluhan ribu sebulan memang dia tidak kisah nak perbaharui roadtax
kereta itu setiap bulan, tapi memandangkan gaji dia pun ciput aje, terpaksalah
dia berkorban sekejap. Mungkin tidak lama lagi si kodok itu pun terpaksa digadai.
Ah,
tak mengapa. Lagipun dia bukan perlukan sangat kereta itu sekarang ni. Kereta
abah dah cukup dah untuk mereka sekeluarga sebab dia bekerja di tempat yang
sama dengan abah kerja. Kalau dulu iyalah dia memang memerlukan kereta untuk bergerak
dari rumah ke universiti. Sekarang dia pun dah habis belajar. Mungkin cadangan
penjualan kodok hitam itu boleh diusulkan kepada abah nanti.
Tersedar
bahawa dia terlupa membuat sesuatu, Sarah menghentikan perbuatannya yang sedang
mengelap meja makan di ruang makan rumah itu. Sebenarnya dia main capai aje
kain lap meja yang tergantung di dinding itu, kalau Ari Aqashah ada di dalam
rumah nampaklah sikit dia sampai-sampai aje terus bekerja keras. Eceh!
Ari
Aqashah. Mana lelaki itu?
Kalau
tidak silap Sarah, masa dia tiba tadi tiada pula kereta BMW hitam terparkir di porch kereta. Kurang yakin dengan
pandangan matanya yang samar-samar sebentar tadi, kaki mengorak langkah ke
pintu utama rumah. Matanya melilau mencari kelibat kereta BMW milik Ari
Aqashah. Pasti! Memang tiada terparkir di situ. Matanya memang tidak pernah
menipu cuma hatinya sahaja yang selalu degil untuk mengakuinya.
Fuh,
dah boleh menarik nafas lega.
Entah
ke mana lelaki itu pergi. Kalau tidak salah pendengaran telinganya Ari Aqashah
cakap dia mahu pulang ke rumah ibu bapanya di Villa Lagenda. Tukar fikiran
agaknya. Gasak dialah. Selamat juga dia kali ini. kalau Ari Aqashah balik ke
sini pasti terbongkar rahsia yang cuba dia sembunyikan daripada Ari Aqashah dan
Arif Shah.
“Selamat
pagi Mak Som!” Ceria sapaan Sarah kepada wanita tua yang terjengket-jengket
mengelap tingkap di dapur berdekatan sinki itu.
Mak
Som berpaling memandang wajah Sarah. “Pagi? Arah ni tak tengok jam ke masih
mimpi lagi ni?” Soal Mak Som kehairanan.
Sarah
tersengih-sengih. Tahu sudah tengah hari, sengaja mahu mengenakan Mak Som. Peka
betul orang tua itu dengan waktu.
“Hah,
ni kenapa lambat pulak hari ini? Tak pernah-pernah Arah datang kerja lambat.
Bukan main risau lagi Puan Khalisah menanyakan Arah tadi tau?” Mak Som menyoal
sambil menjengket-jengket mahu mengelap cermin yang agak tinggi.
Mak
som ni buat macam dia tinggi sangat aje. Ambillah kerusi.
“Dengar
tak Mak Som tanya ni. Puan Khalisah risaukan Arah tadi tau.”
Risau?
Aish, biar betul Mak Som ni. Bukan risau yang membawa maksud bimbang tu, ini
‘risau’ sebab mahu mencari salahnya. Nak berhentikan dia lah tu. Bukan sekali
dua dia pernah diugut untuk diberhentikan, setiap hari rasanya.
Kalau bukan
kerana Encik Sulaiman yang berasa terhutang budi yang terlampau dengan keluarga
Tuan Ramlee, dia pun tidak mahu bekerja di sini lagi. Kalau bukan kerana Encik
Sulaiman yang beriya-iya memujuk dia supaya terus bekerja di sini, memang sudah
lama dia angkat kaki. Setiap hari dia terpaksa menadah telinga mendengar
sindiran-sindiran sinis dari Puan Khalisah.
Macam
manalah Puan Khalisah melayani menantunya nanti. Kalau dia yang menjadi menantu
keluarga ini, haiiiish! Mintak simpang malaikat. Sumpah tak hingin walaupun
Arif Shah memang menggugat kekebalan hatinya. Ah, mungkin sebab Arif Shah
melayaninya dengan terlalu baik.
Hati
dia ni memang mengada-ngada. Baru layan dia dengan baik sikit dah mula nak
menggatal. Entah-entah lelaki itu dah berpunya. Mana tahu dah bertunang
walaupun dia cakap masih single. Lelaki
zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat Sarah oiii.
“Janganlah
berangan! Mak Som tengah bercakap dengan Arah ni!” Marah Mak Som. Bukan marah
betul, sengaja nak menakutkan Sarah konon. Ingat takut ke? Wanita tua yang
berwajah lembut ini mana mungkin menakutkan sesiapa. Sarah ketawa mengekek
dalam hati.
“Mak
Som, Encik Ari ada balik rumah tak tadi?” Mak Som menjegilkan matanya? Sarah
menjungkit bahu sambil mengangkat kedua-dua tangan kiri dan kanannya ke dada
sebagai tanda ‘kenapa?’. Salah tanya ke?
“Arah
cakap siapa tadi? Encik Ari? Mana Arah tahu nama anak kedua Puan Khalisah Ari?
Arah kenal ke?” Soal Mak Som hairan. Nah! Terkena sebijik. Hambek kau Sarah.
Mau tergagap nak menjawab. Betul jugak, bukan dia kenal pun dengan anak-anak
Puan Khalisah kecuali Jihan.
Tangan
mencapai pisau di depan mata. “Mak Som, Arah masak sayur kangkung gorenglah ye
makan tengah hari ni.” Cuba menukar topik perbualan. Malu mahu bertentang mata
dengan Mak Som.
Mak
Som yang sedang mengelap tingkap di depan sinki mencampakkan kain pengelap di
tangan ke dalam sinki. Kerusi ditarik dan punggung dilabuhkan di depan Sarah.
Wajah Sarah dipandangnya kehairanan. Betul, memang hairan! Alahai Mak Som ni..
“Arah
kenal ke dengan Ari?” Ulang Mak Som.
Sarah
menggaru dagunya dengan tangan kiri. Pisau diletakkan di atas meja. “Tak kenal.
Jihan ada sebut abangnya nak balik rumah hari ini. Arah tahu nama abang Jihan,
Ari. Mestilah Jihan yang bagitau Arah. Mak Som ingat Arah ada magik ke nak
teka-teka nama anak Puan Khalisah?” Gelak Sarah dibuat-buat ceria. Menyembunyikan
debaran di hati.
Mak
Som hanya menggangguk. “Ingatkan Arah kenal dengan Ari tadi.”
“Kalau
Sarah sampai awal sikit tadi boleh Arah jumpa dengan Ari.” Mata Sarah terbeliak
luas. Ari Aqashah ada dekat rumah ke? Degupan jantung pantas tiba-tiba. Peluh
dingin mulai terbit di dahinya. Peluh ni macam cendawanlah pulak. Main tumbuh
tiba-tiba.
“Encik
Ari ada di rumah ke?” Soal Sarah risau.
“Tadi
adalah. Sekarang dah keluar dengan Puan Khalisah. Hantar Puan Khalisah pergi
perjumpaan yang Mak Som cakap tadi tu.” Terang Mak Som.
Sarah
angguk faham dan lega. “Ohhh…”
Tangan
Sarah kembali memotong sayur kangkung di hadapannya.
Perbualan
Sarah dengan Mak Som berkisar tentang anak-anak Puan Khalisah. Banyak betul
pengatahuan Mak Som tentang anak-anak Puan Khalisah. Mesti rapat gila ni.
Mak
Som dan Sarah selesai memasak makanan tengah hari lebih kurang pukul 2.00
petang. Lambat jugak siap masak ni. Bukan makan tengah hari lagi, tapi ni dah
makan petang ni. Tak sangka pula Tuan Ramlee, Jihan dan Encik Sulaiman pulang
untuk makan tengah hari di rumah pada hari ini. Kebiasaannya jarang Tuan Ramlee
pulang untuk makan tengah hari bersama keluarga kerana banyak urusan dengan
klien pada waktu tengah hari. Lunch hour
kata orang-orang pejabat. Hehe.
Selesai
makan tengah hari tanpa kehadiran Puan Khalisah, Sarah segera mengemas meja
makan. Semua pinggan mangkuk yang digunakan diangkat semula ke dapur. Tuan
Ramlee dan Encik Sulaiman pun sudah kembali semula ke pejabat. Jihan pula masih
lagi di rumah. Mahu mengajaknya keluar shopping.
Again? Kali ini Tuan Ramlee sendiri
yang beriya-iya menyuruhnya menemani Jihan. Tidak mempunyai pilihan lain, Sarah
terpaksa mengalah.
**********
Perjalanan
ke The Curve hanya mengambil masa lebih kurang dua puluh minit dari kediaman
Tuan Ramlee. Nak shopping apa
agaknya? Heaven betul jadi anak orang
kaya, sekejap-sekejap shopping. Kalau
tidak salah perkiraannya, baru sepuluh hari lepas Sarah menemani Jihan pergi
membeli-belah pakaian baru dan kasut.
Bukan sepasang dua kasut baru tetapi lima
pasang kasut sekali angkut! Kalau kasut yang berharga dua puluh ringgit boleh
tahan lagi, ini kasut yang berharga dua tiga ratus sepasang. Rasa macam nak
terkeluar biji mata Sarah melihat angka-angka yang tertera pada mesin di
kaunter ketika itu. Dahsyat!
Entah
apa pula yang mahu dibeli oleh Jihan pada hari ini. katanya sesuatu yang
penting untuk hari penting dua minggu lagi. Takkan nak bertunang kot?
“Jee
nak beli apa? Baju tunang ke?” Seloroh Sarah. Mahu korek rahsia juga
sebenarnya. Manalah tahu kot-kot Jihan sudah ada calon tetapi sengaja
dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.
Jihan
ketawa kuat. “Mana ada! Akak ni merepek aje. Jee mana ada calon!”
“Jee
cakap nak pergi beli benda penting untuk hari penting. Selalunya hari penting…”
belum sempat Sarah menghabiskan kata-katanya, Jihan pantas mencelah.
“Bertunang?
Macam tu?” Jihan sambung ketawa. Sarah terkulat-kulat. Salah ke?
“Betul,
memang untuk hari pertunangan pun. Tapi sekarang Jee nak cari barang-barang
untuk merisik dahulu.” Tambah Jihan. Sarah terlopong. Biar betul! Tadi kata
tak…
“Jee
nak dirisik ke?” Soal Sarah teruja. Seronoknya!
“Bukan
Jee, Kak Mar. Bakal kakak ipar Jee.” Ohh, untuk Ari Aqashah rupanya.
Sarah
angguk. Sudah mahu bertunang rupanya si hidung tinggi. Baguslah, semoga berubah
sikit sikap sombong lelaki itu.
“Jee
nak sangat akak jadi kakak Jee. Nasib baik Jee ada dua orang abang. Lepas ni,
Jee akan cuba adjust akak untuk abang
Jee yang seorang lagi pulak.” Ujar Jihan ceria. Banyak betul perancangan gadis
cantik di depannya ini.
“Sebenarnya
Jee suka kalau akak dengan abang Jee yang nak bertunang ni tapi nak buat macam
mana dah jodoh dia dengan orang lain. Kalaulah dia jumpa akak dulu, mesti dia
akan jatuh cinta dengan akak dulu sebelum Kak Mar. Tapi takpe, Jee akan
pastikan jugak akak jadi kakak ipar Jee. Akak jangan tolak tau kalau mama
pinangkan akak untuk abang Jee.” Amboi, amboi. Bukan main lagi perancangan
Jihan ni. Aturkan jodoh Sarah dengan abang dia pula.
Dah
boleh buka agensi mencari jodoh dah Jihan ni. Pandai pula nak matching kan orang. Sarah ketawa dalam
hati.
Sarah
malas mahu menjawab. Tidak berminat untuk berbincang soal hati dan perasaan.
Dia tidak punya masa untuk terjebak dengan perkara-perkara seperti ini lagi.
Bayangkan hampir empat tahun dia menyulam cinta dengan Ikram, akhirnya terputus
di tengah jalan. Dikhianati. Buang masa sahaja.
Lebih
baik fokus dengan kehidupan sekarang sahaja. Tiba-tiba Jihan menarik tangan
Sarah memasuki sebuah butik pakaian.
“Cantiknya
dress ni!” Sehelai gaun labuh
berwarna keemasan diacukan ke tubuh langsing Sarah. Memang cantik. Sarah
menarik tag harga pakaian itu ke luar. Empat ratus sembilan puluh sembilan?!
Hoi, boleh bayar si kodok hitam untuk sebulan! Mahalnya baju ni. Pakai benang emas
putih ke apa ni?
“Akak!
Cubalah baju ni.”
Glup.
Sarah telan air liur. Cuba baju ni?
Ya aAllah, sumpah seumur hidupnya inilah
kali pertama dia sentuh baju mahal macam ni. Masuk butik mewah macam ni pun
kali pertama. Kalau dia datang dengan Tina dulu, jangan haraplah dia nak masuk
butik pakaian berjenama macam ini.
“Tak
nak lah Jee. Tak cantik dengan akak baju ni. Kalau Jee yang pakai, mesti cantik!”
Tolak Sarah. Bukan tak mahu mencuba, takut-takut berkenan nanti balik rumah
termimpi-mimpi pula. Tak ke naiya dia nanti? Mana nak korek duit beli baju
sampai RM500 ni?
“Ala,
pergi la cuba. For me. Please…” Rayu
Jihan. Bukan pujuk lagi ni, ini dah tahap merayu siap nak merajuk lagi.
Lama
gaun labuh tanpa lengan itu ditenungnya. Nasib baik tak tembus. Tenung lama-lama
sebab gaun labuh ini memang cantik sangat! Sarah mengalah. Dicapainya dress labuh itu dan meloloskan dirinya
ke dalam fitting room.

Beberapa
minit kemudian Sarah keluar dari fitting
room. “Very beautiful!” Jerit Jihan.
Teruja sangat ke tengok dia pakai dress
macam ni? Seksi tau, dah la takde lengan. Bukaan di dada juga sedikit luas.
Malu nak pakai keluar.
Eh?
Macamlah dia nak beli dress ini.
Kalau beli pun nak pakai pergi mana? Pakai kerja di rumah Puan Khalisah? Nak
kena penggal kepala? Cantik mengalahkan tuan rumah. Ha, tengok.. Sarah tidak
mempunyai sebab untuk membeli dress
labuh yang mahalnya mengalahkan harga sebulan sebuah myVi. Sarah mengukir
senyuman.
“Jee
tak nak cuba?” Soal Sarah.
“Tak
perlulah. Tengok pun dah tahu muat dengan Jee.” Balas Jihan. Sarah hanya
menganggukkan kepalanya. Ketinggiannya dengan Jihan tidak banyak beza. Jihan
tinggi, ramping dan berkulit putih kemerahan. Dia pula tinggi, langsing dan
berkulit putih melepak. Macam mana putih melepak? Macam Angelina Jolie.
Perasan!
“Miss, I take this one.” Gadis
Cina itu hanya mengangguk. Dress yang
berada di tangan Sarah sudah bertukar tangan ke gadis Cina itu. Sarah membalas
senyuman daripada gadis itu. Senyum itu kan sedekah.
Selesai
membayar, Jihan menarik tangan Sarah ke bahagian minyak wangi pula. “Ini untuk
merisik ke Jee?”
“Bukan!
Akak suka perfume apa?” Jawab Jihan dengan soalan kembali.
“Jee
nak beli perfume untuk Jee ke?”
Jihan
angguk laju. “Akak pakai perfume
apa?”
“Gucci Guilty Intense.” Balas Sarah
pendek.
“Sama
macam abang Jee! Abang Jee pun suka sangat dengan wangian Gucci Guitly. Akak ni memang ada jodoh dengan abang kot?” Sarah
memaksa senyum. Alahai, sama pulak dengan abang dia? Takkanlah pakai perfume
sama jenama pun ada jodoh kot? Kebetulan aje tu.
“Wangi!
Wangi!” Memang wangi pun. Beli dua tahun lepas. Lama benar usia minyak wangi
dia. Wangi sebab lama sangat terperap kot. Pakai pun jimat-jimat. Sekarang pun
dah nak habis.
“Banyak
lagi ke perfume akak?”
“Kenapa?”
Don’t tell me you nak try my perfume!
Minyak wanginya sendiri pun sudah nyawa-nyawa ikan. Berperang dengan maut
sekarang ini.
Jihan
geleng kepala.
Alamak,
nampak sangat macam dia ni kedekut ke?
“Eh,
Jee nak try perfume akak ke? Ada tapi akak tak bawak sekarang ni. Kalau nak
esok akak bawak ke rumah Jee, nak?”
Tanpa
menjawab soalan Sarah, Jihan melangkah ke kaunter Gucci. “I nak Gucci Guilty Intense
saiz paling besar. Bungkus cantik-cantik ye.”
Sarah
hanya menjadi pemerhati. Tidak banyak menyoal dan tidak banyak membantah. Bukan
duit dia dan ini anak majikannya. Dia hanya peneman Jihan sahaja. Tetapi rasa
bersalah pula bila melawak macam tak kena gaya dengan Jihan tadi.
Sarah
berjalan mendekati Jihan yang sedang beratur di kaunter pembayaran. “Jee terasa
dengan akak ke pasal minyak wangi tu? Actually minyak wangi tu dah bertarung
dengan maut sebab tu akak terkejut bila Jee tanya banyak lagi ke minyak wangi
akak tu.”
Bertarung
dengan maut. Bunyinya macam nazak sangat aje minyak wangi Sarah. Jihan tergelak
besar. Rasa lawak pula mendengar perumpamaan yang diberikan oleh Sarah sebentar
tadi. Bertarung dengan maut. Over
betul tau!
“Mana
ada Jee marah. Jee tanya aje tadi. Jangan risaulah, Jee okay aje.”
Giliran
Sarah pula tergelak. Perumpamaan dia nampak berlebih-lebihan pulak. Tapi memang dah nazak pun
kuantiti minyak wangi tu. Dia keluar ke mana-mana sekarang ni mana sembur
minyak wangi lagi dah.
Selesai
membeli minyak wangi, Jihan dan Sarah bergerak untuk pulang. Kata nak beli
barang-barang untuk merisik, mana barangnya? Takde beli apa pun kecuali sebuah
tas tangan, dress labuh berwarna
keemasan tadi dan minyak wangi kegemaran Sarah.
Semua
kegeramarannya tapi ia milik Jihan. Sarah diam membisu sepanjang perjalanan
pulang ke Villa Lagenda. Jam ditangan menunjukkan pukul 6.00 petang. Nasib baik
sudah bersolat di The Curve sebentar
tadi, kalau tidak memang lambatlah dia bersolat Asar pada hari ini.
“Jee
hantar akak terus ke rumahlah. Nanti Jee balik rumah sendiri.”
“Eh,
jangan. Biar akak balik sendiri aje. Nanti kalau Tuan Ramlee nampak Jee balik
seorang diri apa pulak katanya nanti.”
“Takpe
kak, Jee bagitau papa kejap lagi. Kalau terus balik ke rumah Jee sekarang ini nanti
akak nak balik dengan apa pula. Petang-petang macam ni, mahal tau tambang
teksi. Pak Man pun mesti dah balik rumah. Biar Jee hantar akak.” Tiada pilihan
lain, Sarah terpaksa akur. Saya yang menurut perintah kata orang.
best sgt2 la kak sri...
ReplyDeletecter ni makin menarik...
xsbr nk tau reaksi ari bila tau sarah kja kt umh mama dia...
nk lagi!!!!nak lg!!!!
Hehehehee, kena baca sampai bab seterusnya baru tahu apa yang berlaku. Tengah cuba tulis laju-laju sebab kalau boleh nak update selalu! setiap hari kalau boleh. Hiks. :)
ReplyDelete