Friday 21 December 2012

Bab 13 Kau Perempuan Itu



Pukul 4.00 petang. Ada lebih kurang dua jam lagi sebelum dia balik ke rumah. “Tolong Mak Som masaklah dulu”. Sarah bercakap seorang diri.


“Mak Som!” Laungnya kuat.

“Arah! Terkejut Mak Som..” Memang nampak benar Mak Som terkejut sebentar tadi. Nasib baik tak bersilat dengan pisau di tangan. Silap-silap ada orang mati terbunuh pulak hari ini. Insaf, insaf. Tak nak kejutkan Mak Som macam tu lagi nanti.

“Nak masak apa hari ni Mak Som?” Soal Sarah sebaik sahaja memasuki ruang dapur luas milik Puan Khalisah. Mak Som yang sedang memotong lobak merah tersenyum manis ke arah Sarah.

“Mak Som nak masak kari ikan dengan ayam masak merah. Hari ni semua anak-anak Puan Khalisah akan berkumpul makan malam dekat sini. Meriah rumah ni malam ni Arah”, ujar Mak Som sambil tersenyum. Nampak bahagia benar Mak Som. Sayang sungguh dia dengan keluarga Tuan Ramlee.

Tanpa banyak soal, Sarah menarik kerusi bertentangan dengan Mak Som dan membantu Mak Som memotong sayur-sayur yang telah siap dibasuh orang tua itu sebentar tadi. Mulut Sarah pula asyik menyoal itu dan ini kepada Mak Som. Bukan dia pakar sangat dalam bab masak-memasak ni, kalau tak kena dengan selera anak-anak Puan Khalisah habislah masa depan kerjayanya. Mungkin bakal tamat di sini sahaja. Ingat senang ke nak kerja sebagai orang gaji berijazah di rumah Puan Khalisah yang cerewet ni? Oooh, kalau berhabuk sedikit pun siaplah kau!

Tapi yang Sarah peliknya, tak pernah pula Mak Som kena bebel dengan Puan Khalisah dan tidak pernah sekalipun Puan Khalisah meninggikan suara atau bercakap sinis dengan Mak Som. Kalau dengan dia, bukan main sinis terhiris-hiris hati sanubari dia ni tau tak? Langsung tak menjaga perasaan orang langsung Puan Khalisah ni. Eh, tak menjaga perasaan dia seorang aje. Sobs.

“Mak Som, ayam ni nak goreng dulu ke tak?” Sambil menunjukkan ayam-ayam yang telah siap dibasuh dan dimasukkan ke dalam bekas berwarna hijau tua itu.

“Biasanya Mak Som tak goreng, terus campakkan aje dalam kuah masak merah tu. Kalau Arah nak goreng, boleh juga. Sedap jugak tu”.

Okay, Mak Som bagi peluang masak ikut cara sendiri. Apa lagi, mari kita tunjukkan bakat. Kalau tak sedap, harap-harap Mak Som mengaku itu masakan dia. Amin! Bibirnya mengulum senyuman. ‘Wahai ayam goreng masak merah, harap-harap kau jadi sedap dan digilai oleh tuan rumah ini, boleh aku kerja lama sikit dekat sini’. Ketawa Sarah dalam hatinya. 

Ayam-ayam yang telah siap disalut dengan kunyit dan garam dicampakkan ke dalam minyak yang telah panas. Aroma ayam yang sedag digoreng sungguh menyelerakan. Kalau meratah panas-panas best ni!
Selesai menggoreng ayam, Sarah menyediakan bahan-bahan untuk membuat sambal masak merah pula. Jam di tangan dikerling. Pukul 5.10 petang. Kepalanya dipaling ke belakang mencari chef Mak Som.

“Pukul berapa puan makan, Mak Som?”

“Awal jugak Arah, Pukul 8 malam macam tu. Lagipun sekarang ni Maghrib awalkan. Memang kena masak cepat-cepat ni. Arah boleh tolong Mak Som, kan?” Sarah memandang muka mengharap Mak Som. Ada lebih kurang tiga jam untuk dia memasak. Memang tak banyak menu untuk dimasak tetapi dessert belum buat!

“Arah call abah kejap, minta abah ambil lewat sikit hari ini. Boleh Arah tolong Mak Som masak sampai siap.”

“Terima kasih Arah. Arah memang anak kesayangan Mak Som.”

Nombor telefon Encik Sulaiman didail pantas. Kena kejar masa sekarang ni. Nanti tak makan malam pulak keluarga Tuan Ramlee. Kebulur kang, siapa nak jawab?

“Assalamualaikum, abah.” Mendengar suara di talian sebelah sana, Sarah mengukir senyuman. Senyum sorang-sorang. Bukan main ceria lagi suara Encik Sulaiman.

“Abah, Arah nak tolong Mak Som masak petang ni. Ada majlis makan-makan keluara Tuan Ramlee. Abah datang lewat sikit ye. Ha, abah datang pukul 7.15 malam. Baik, Sarah tungguh abah dekat pintu pagar rumah nanti. Ye, abah. Assalamualaikum.” Talian dimatikan.

“Sulaiman tak kisah ke Arah balik lambat?”
Sarah bersenyum manis. “Abah cakap okay je Mak Som. Don’t worrylah.”
“Arah nak buat apa sebagai pemanis mulut?”
Sarah terdiam.

Otak Sarah ligat memikirkan dessert paling mudah dah cepat untuk disediakan. Yang penting sekali dessert mesti sedap sehingga menjilat jari. Tangannya sibuk membuka kabinet berwarna kelabu milik Puan Khalisah. Tinggi pulak kabinet ni. Kaki Sarah menjengket sedikit untuk melihat barang-barang yang ada dalam kabinet itu yang boleh digunakan untuk membuat dessert. Tangan Sarah mencapai buah-buahan dalam tin.
Yes! Tahu nak buat apa. Sempat ni, sempat. “Mak Som, Arah dah tahu nak buat dessert apa. Mak Som percayakan Arah, kan?” Mak Som laju-laju mengangguk. Alang-alang ada orang hendak bantu, jangan ditolak tuah.

Sarah ligat bekerja. Buah-buahan dalam tin dituang ke dalam penapis dan airnya diasingkan ke dalam bekas yang lain. Periuk jenama Tefal milik Puan Khalisah dicapai dan dipanaskan di atas api.
Sepeket susu tepung dibuka. Sudu dalam bekas bersebelahan sinki dicapai laju. Lima sudu susu tepung dimasukkan ke dalam bekas dengan air panas. Kemudian Sarah memasukkan lagi dua sudu tepung kastard dan dua sudu tepung jagung. Laju bahan-bahan tadi dikacaunya.

Satu tin susu cair jenama Ideal dituang ke dalam periuk di atas api tadi. Sarah mengacau susu cair itu perlahan-lahan. Dua minit kemudian, tangannya mencapai gelas berwarna merah yang berisi bahan-bahan yang dibancuh tadi dan dituangkan ke dalam periuk. Susu cair dan bahan-bahan yang dibancuh tadi bersatu. Sarah mengecilkan api. Peluh di dahi dikesat dengan hujung lengan baju kurung moden berwarna hijau pucuk pisang yang dipakainya.

Huih, peluh jugak memasak gaya amatur ni. Entah macam mana peluh-peluh peserta dalam MasterChef agaknya. Dia yang tak master ni pun dah peluh macam bermandi. Masa suntuk, masak pun terkejar-kejar.
Mak Som pula sibuk memasak sayur goreng campur disebelahnya, walaupun masing-masing sibuk membuat tugas masing-masing, mulut masih lagi bekerja dan ketawa. Langusng tidak stress buat kerja dengan Mak Som. Rasa macam memasak dengan ibu sendiri. Banyak betul petua-petua yang Mak Som berikan. Selain petua memasak dengan sedap pastilah petua menjadi isteri yang mithali. Alahai Mak Som, sweet betul.
Sarah pula tidak hanya mendengar sebaliknya turut mengusik Mak Som. “Pak Kob mesti sayangkan Mak Som, kan? Mak Som mesti selalu buli Pak Kob, kan?” Bukan main mengekek katawa Mak Som diusik Sarah.

Sarah ni pun satu, ada ke dia yang membuli suaminya, pastilah suaminya yang membuli dia. “Pak Kob tu kalau takde Mak Som, susah hati dia, Arah. Kalau Mak Som tak balik rumah, asyik telefon aje  tanya Mak Som sihat ke tidak, padahal dah lima kali dia telefon tanyakan kesihatan Mak Som. Tapi itulah, takde rezeki kami nak menimang cahaya mata. Sampai tua-tua macam ni pun masih takde anak”. Sayu. Sarah dapat mengesan perubahan pada riak wajah tua itu. Patutlah Mak Som sayang sangat dengan anak-anak majikan mereka.

Sarah memeluk tubuh tua itu. Dia cuba menyalurkan kekuatan kepada Mak Som, mahu Mak Som tahu bahawa dia juga menyayangi wanita tua itu. Mahu wanita tua it terus tabah dan kuat dengan dugaan Allah SWT. Bukan mudah untuk berdepan dengan orang yang asyik mengatakan bahawa dia mandul dan Mak Som kuat hingga kini.

Tiga puluh lima tahun dia hidup bersama Pak Kob dan sehingga kini masih ada bunyi-bunyi kurang enak tentang dirinya yang dikatakan mandul. Ya Allah, sedih sungguh hati Sarah dengan sikap suka menghukum manusia. Ajal, maut, jodoh dan rezeki semuanya kuasa Allah SWT, siapa kita untuk membantah?
Selesai menyiapkan dessert, Sarah mencuit sedikit dessert yang disedikan olehnya dengan sudu. Disua kepada Mak Som yang sibuk mengacau kari kepala ikan. “Ala, bukak la mulut Mak Som. Arah suapkan”. Mak Som hanya menurut. Baik sungguh anak gadis di depannya ini. bertuah sesiapa yang dapat memilikinya. Pinggang Sarah dirangkulnya kemas. Walaupun baru beberapa bulan bekerja di rumah ini, Sarah sudah dianggapnya seperti anak sendiri. Langsung tidak berbeza dengan Jihan, Ari Aqashah dan Arif Shah yang dibelanya semenjak kecil. Lagipun Jihan suka benar dengan Sarah. Mak Som yakin bahawa Sarah memang gadis yang baik.

“Ala, Mak Som ni jangan la touching.” Sarah mengesat air mata yang mengalir di pipi wanita tua itu. Alahai Mak Som, sensitif benar! Itu baru suap pemanis mulut dengan sudu, belum lagi suap nasi dengan tangan. Mau meraung sebab touching sangat. Sarah ketawa geli hati.

*****************

“Mak Som, mari makan sekali.” Ajak Tuan Ramlee. Puan Khalisan turut berdiri mencapai pinggan yang terletak agak jauh darinya,. Diceduk nasi ke dalam pinggan dan diletakkan di kerusi kosong sebelah Jihan.

 “Makan Mak Som,” pelawa Puan Khalisah. Ini bukan kali pertama mereka sekeluarga makan bersama-sama semeja dengan Mak Som. Selalunya pada acara makan malam keluarga sebegini, Mak Som memang akan bersama mereka cuma kerap benar wanita tua itu menolak pelawaan itu. Kadang-kadang kena paksa sedikit, mungkin masih malu atau masih menganggap bahawa dia hanya pekerja di rumah ini.

Lambat-lambat kaki tua itu melangkah ke meja makan. Bukan dia tidak biasa, tapi segan dengan layanan baik dari keluarga ini terhadap dirinya. Malu pun ada juga kadang-kadang.  Ari Aqashah sibuk menceduk kuah kari kepala ikan ke dalam pinggan nasi Mak Som. “Makan banyak sikit tau Mak Som. Kurus dah Ari tengok”.

Suasana di meja makan riuh-rendah. Masing-masing sibuk bercerita tentang kerjaya diri masing-masing. Tambahan pula Jihan juga sudah bekerja dengan papanya, Tuan Ramlee. Jika dahulu Jihan yang sekali sekali pulang ke Malaysia asyik bercerita tentang pelajaran dan tempat-tempat yang dikunjunginya, kali ini Jihan turut berkongsi pengalamannya berjumpa dengan klien dan masalah-masalah yang dihadapinya dengan klien.

“That's why mama tak suka Jee bekerja. Mama tak suka orang buli anak mama!” celah Puan Khalisah tiba-tiba. Suasana di meja makan menjadi sedikit terganggu. Emosi Puan Khalisah tidak kena pada tempatnya.

“Lis, semua itu pengalaman. Jee akan belajar lebih banyak lagi tentang kehidupan dan selok-belok perniagaan. Kalau abang takde nanti, siapa nak teruskan legasi perniagaan keluarga? Nak harapkan Ari, sanggup ke Ari tinggalkan kerjaya Ari? Along, sanggup Along korbankan kerjaya Along sekarang?” Tegas Tuan Ramlee. Dia kecewa dengan sikap isterinya yang sedikit mengongkong anak perempuan tunggal mereka.

“Jihan dah besar. Anak-anak papa semua dah besar. Papa yakin semua anak-anak papa memilih laluan kerjaya yang diminati”.

“Lis bukan tak setuju Jee bekerja bang, cuma Lis tak suka cara klien layan anak kita. Tak perlulah nak marah-marah anak kita, boleh cakap baik-baik kalau mereka tak bersetuju dengan cadangan anak kita”. Bidas Puan Khalisah membela diri.

“Jee okay ma. Bukan Jee marahkan klien syarikat kita pun. Lagipun mungkin cadangan Jee tak sesuai dengan konsep syarikat kita, jadi mereka menegur Jee dengan cara yang tegas. Mama jangan risau, Jee dah besar.” Jihan memaut lengan kiri Puan Khalisah. Pipi Puan Khalisah dicium lembut supaya Puan Khalisah tenang.

“Sedap betul masakan malam ni Mak Som. Lain pulak Arif rasa ayam masak merah ni. Biasanya Mak Som tak goreng dulu, kan?” Arif Shah yang sedari tadi hanya menjadi pendengar mengubah topic perbualan keluarganya.

“Betullah Mak Som! Ari pun rasa lain betul masakan Mak Som. Orang gaji baru kita tu ke tolong Mak Som memasak malam ni?”

“Hebat betul anak-anak Mak Som. Dah boleh kenal rasa masakan Mak Som. Tadi sebelum balik Sarah tolong Mak Som sediakan semua lauk-pauk makan malam ni. Nasib baik ada dia tolong Mak Som, kalau tak jenuh Mak Som nak bersilat sorang-sorang dekat dapur”. Balas Mak Som memuji-muji kebaikan Sarah.

“Maaflah Mak Som, saya ada hal petang tadi. Kalau sempat balik memang saya tolong Mak Som memasak petang tadi.” Ujar Puan Khalisah. Jika bukan kerana majlis amal yang akan diadakan dua minggu lagi, memang dia akan membantu Mak Som memasak. Puan Khalisah pun tidak menyangka bahawa mesyuarat pada petang tadi berakhir hampir pukul 7.00 malam.

Selesai makan malam, semua ahli keluarga Tuan Ramlee berkumpul di ruang tamu sambil menonton televisyen. Bukan senang mereka hendak berkumpul seperti ini. masing-masing sibuk dengan kerjaya. Tetapi sebulan sekali Tuan Ramli akan memaksa anak-anaknya untuk berkumpul dan makan bersama-sama. Masa bersama keluarga merupakan masa yang paling penting antara semua perkara. Tuan Ramlee tidak mahu kerana sibuk mencari harta benda, keluarganya berpecah-belah membawa haluan masing-masing.

Mak Som pula sibuk membasuh segala pinggan mangkuk yag digunakan sebentar tadi. Jihan berkeras mahu membantunya tadi namun ditegah oleh Mak Som. Akhirnya Jihan mengalah dan menyertai ahli keluarganya di ruang tamu.

Mak Som keluar membawa lima biji mangkuk kaca dan ditelakkan di atas meja kopi depan televisyen. Tidak lama kemudia Mak Som sekali lagi muncul dengan sebekas pencuci mulut yang disedikan oleh Sarah pada petang tadi. Pencuci mulut ekspres kata Sarah. Ekspres ke tak ekspres ke janji sedap. Paling sedap! Seumur hidupnya ini kali pertama dia makan pencuci mulut macam ini.

“Apa ni Mak Som?” Soal Puan Khalisah dengan riak terkejut.
“Kenapa Puan?”.
“Saya tak pernah jumpa pencuci mulut macam ni, Ni mesti budak Sarah tu buat ni. Apa benda yang dia buat ni Mak Som?” Tidak sedar nada suara Puan Khalisah sedikit meninggi. Maunya tidak marah, pelik sungguh tengok kek dalam bekas macam ni siap sejuk-sejuk ada buah lagi ditabur ke atasnya. Mana pernah jumpa benda macam ni.

“Puan, Mak Som tak tahu nak sebut nama benda ni puan, tapi sedap! Percayalah cakap Mak Som. Mak Som dah test tadi, memang sedap sangat!” Bersungguh-sungguh Mak Som meyakinkan Puan Khalisah.

“Mama ni, sikit punya cantik dessert Kak Arah buat, mama komplen lagi. Jee nak sikit Mak Som”. Tanpa menunggu lebih lama, Mak Som segera menceduk pencucui mulut ke dalam mangkuk kaca dan dihulukan kepada Jihan.

Satu per satu mangkuk kaca dipenuhkan dan dihulurkan kepada ahli keluarga majikannya. “Sedap! Sedap sangat Mak Som. Ari suka. Nak lagi” Ujar Ari Aqashah dengan riak muka berpuas hati sambil menghulurkan mangkuknya. Tengok cara Ari Aqashah makan pun dah tahu bahawa lelaki ini benar-benar suka dengan pencuci mulut yang disedikan oleh Sarah.

Melihat anak-anaknya yang sudah dua kali mengulang tambah kek yang ditabur buah-buahan di atasnya, Tuan Ramlee menelan air liur. Macam sedap aje gaya budak-budak ni makan. “Cedukkan saya sedikit, Mak Som.” Kata Tuan Ramlee.

Tidak sampai dua minit, habis lici mangkuk Tuan Ramlee. "Sikit lagi Mak Som. Boleh tahan jugak rasanya."
“Sedap sangat ke bang? Manis bukan main lagi Lis rasa. Budak tu nak kita semua ni kena kencing manis ke?” Bebel Puan Khalisan tidak berpuas hati.

“Sekali –sekala makan takpe ma. Along pun suka jugak. Pandai maid baru mama masak. Cantik ke Mak Som?” Belum sempat Mak Som menjawab, Puan Khalisan terlebih dahulu mencelah.

“Cantik ke tidak, janji dia orang gaji dalam rumah ni dan mama tak suka dia. Faham?” Marah Puan Khalisan. Tegas!

Bukan sedap sangat pun kek buah yang budak Sarah ni buat. Sengaja nak bagi penyakit kencing manis dekat keluarga dia lah tu. Ada ke buat kek buah manis bukan main macam ni. Apa dia ingat bila dah buat kek buah macam ni, aku akan suka dekat dia? Jangan harap. Hidung tak mancung, pipi tesorong-sorong. Marah Puan Khalisah di dalam hatinya. Tak puas rasanya menyumpah seranah Sarah dalam hatinya. Tidak puas hatinya selagi dia tidak menyakiti hati Sarah. 

Suasana makan malam pada malam mini sedikit tegang. Tidak sama seperti bulan lepas yang mana mereka semua berkumpul beramai-ramai dan makan di Shang-Ri La Hotel. Ketika itu meriah dan suasana sangat berbeza dengan sekarang. Puan Khalisah pulak bukan main emosi lagi pada malam ini. Alahai, kenapa pulak mama malam ni?

Jihan pula hanya mendiamkan diri bila nama Sarah muncul dalam perbualan mereka. Malas mahu mengambil tahu kerana masak benar dengan sikap mamanya yang bencikan Sarah. Entah apalah Sarah kepada mamanya itu. Silap hari bulan jadi macam hari tu. Tiga hari dia bermasam muka dengan mamanya gara-gara dimarahi kerana membawa Sarah keluar menemaninya shoppingShopping aje pun, bukan pergi mana!




No comments :

Post a Comment