Tuesday 1 January 2013

Bab 14 Kau Perempuan Itu



Rambut Puan Aida disisirnya lembut. Suraya bangkit meletakkan sikat yang digunakan di atas meja solek. Kalau letak tempat lain sah nanti cari tak jumpa. Nak-nak kalau kakaknya yang cari, memang habis semua orang dalam rumah kena bebel. Peraturan dalam rumah mengalahkan peraturan asrama. Semua barang yang diambil mesti diletakkan di tempat asal. Kasut mesti parking di tempat yang betul atau di dalam rak kasut.

Kakak, kakak. Kalau jadi warden asrama memang sesuai sangat. Semua penuh dengan peraturan. Namun itulah satu-satunya kakak yang Suraya ada. Kakak yang sangat penyayang dan sangat dia cintai. Kakak yang sanggup berkorban apa sahaja untuk dia dan keluarga mereka.


“Ibu, Su keluar kejap ye. Nak masak untuk Amir.” Puan Aida mengangguk lemah.


Tangan Suraya lincah menyediakan makan tengah hari untuk adiknya. Sudah berkali-kali Syamir menjengah ke dapur melihat apa yang dia sediakan untuk makan tengah hari. Kesian budak tu, tak makan apa-apa lagi.

Siap menggoreng ayam dan menggoreng sayur sawi, Suraya menapak ke muka pintu. Kelibat Syamir dicari dengan anak matanya.


“Mana pergi pulak budak kecik ni.” Bebel Suraya yang tidak kelihatan kelibat kecil adiknya di depan mata.


“Amir! Mari masuk makan. Kak Su dah masak ayam goreng yang Amir nak tadi”. Laung Suraya di depan pintu rumahnya. Syamir yang sibuk bermain di kawasan tepi rumah mereka segera meninggalkan barang-barang permainannya dan berlari pantas masuk ke rumah. Belum sempat kakinya melangkah masuk, satu suara terlebih dahulu menyeru namanya.


“Amir! Kenapa tak kemas permainan Amir dekat luar ni?”


“Lepas makan Amir kemas la Kak Arah”. Balas Amir lemah.


Now!” Tegas Sarah. Mukanya sengaja diketatkan supaya Syamir akur dengan arahannya. Malas betul dengan kakak sulungnya ini. Kalau dengan Suraya masih lagi boleh bertolak-ansur. Untung-tung Suraya yang tolong kemaskan permainan yang dia sepahkan.


Dengan perasaan sebal, Syamir melangkah menuju ke tapak permainannya sebentar tadi. Semua permainan dikemaskan laju-laju. Ayam goreng sedang menanti dirinya. Suraya hanya tersenyum melihat telatah adiknya. Kesian Syamir.



“Awal balik hari ni, kak?” Tegur Suraya. Suraya tunduk menyalami tangan kakaknya.


“Akak jumpa Kak Laila kejap tadi, temankan Kak Laila beli barang hantaran kahwin”. Suraya hanya mengangguk. Dah nak kahwin dah sepupu mereka. Baru aje balik dari Australia dah ada orang masuk meminang. Lepas tu terus dapat kerja dan sekarang dah nak berkahwin. Mudahnya hidup Laila. Sedangkan dia belajar pun belum habis. Perjalanan hidupnya masih panjang, masih banyak perkara belum dia lakukan.


“Su! Berangan apa depan pintu ni? Tepi,akak nak lalu ni.” Suraya terkejut apabila lengannya ditampar oleh Sarah. Berangan! Tak sedar langsung tadi.


“Assalamualaikum, Abah,” Ucap Sarah sambil menyalami tangan Encik Sulaiman. Encik Sulaiman hanya mengangguk sambil melipat surat khabar yang sedang dibacanya. Sarah pula berlalu menuju ke bilik Puan Aida. Puan Aida yang sedang bersandar lemah di kepala katil sambil membaca buku menutup buku yang dibaca. Buku diletakkan di atas almari kecil bersebelahan katilnya.


Sarah tunduk menyalami tangan tua Puan Aida. Bibir Puan Aida mendarat di dahi licin Sarah. Sarah mengerling sekilas ke arah buku yang dibaca oleh Puan Aida. Buku yang bertajuk Sakaratulmaut itu menyentap tangkai jantungnya.


Bibir yang baru sahaja hendak menyoal Puan Aida tentang buku yang dibaca, terkunci rapat. Astagfirullah hal’azim. Mengingati mati itu adalah wajib. Sarah beristighfar panjang dalam hatinya. Tidak salah ibunya membaca buku keagamaan seperti itu.


Perasan akan perbuatan Sarah sebentar tadi, Puan Aida menggenggam tangan anak sulungnya itu. Wajah anak sulungnya ditenung mencari anak mata coklat milik anak daranya.


“Sarah kena berhenti risaukan ibu. Arah perlu mencari kehidupan Arah sendiri. Arah kena tahu bahawa bahawa kematian akan mengejar ke mana saja kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima tempoh. Bila-bila masa ibu akan tinggalkan semua yang ibu miliki pada hari ini.

Maksud Firman Allah SWT: 

‘Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun.’ (Surah al-A'raf ayat 34) (Surah an-Nahl ayat 61).”


Sarah cuba mengelak matanya bertembung dengan Puan Aida. Air mata tidak mampu dibendung. Kerap benar Puan Aida bercakap soal kematian akhir-akhir ini. “Kita kena ikhtiar lagi bu. Arah sanggup korbankan apa sahaja demi kesihatan ibu.”


“Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.”


Sarah mengagguk lemah. Faham dengan kata-kata ibunya. Puan Aida menambah lagi. “Maksud Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 78:                                                       

Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh.’.

Sarah kena ingat semua tu. Ibu tak nak anak-anak ibu bersedih dengan kematian ibu. Faham?” Kedua-dua belah tangan Puan Aida memegang muka Sarah supaya memandang mukanya.


Sarah hanya mampu mengangguk. Tubuh lemah Puan Aida dirangkul kemas. Sarah menangis semahu-mahunya dalam pelukan Puan Aida.  “Arah faham bu. Arah sayangkan ibu. Arah doakan ibu sembuh.”


Puan Aida mengeratkan pelukan anaknya. “Arah, ibu sayangkan semua anak-anak ibu. Ibu doakan Arah bertemu jodoh dengan lelaki yang baik. lelaki yang mencintai segala-laganya tentang Arah.” Belakang tubuh Sarah digosok perlahan. Memujuk anaknya supaya bersabar dan terus kuat dan tabah.


Sarah menyelimutkan Puan Aida. “Tidurlah. Ibu mesti dah penat layan Arah.” Puan Aida menggangguk. Matanya segera dipejam. Sarah mengelus lembut rambut Puan Aida.


Selesai menidurkan Puan Aida, Sarah kembali ke dapur untuk melihat adik-adiknya.



“Amir nak ayam bahagian mana?” Soal Suraya. Tanpa menjawab soalan Suraya, Syamir laju mencapai ayam bahagian paha. Memang kesukaan dia lah tu! Sarah yang menjadi pemerhati cuma tersenyum melihat kelakuan adiknya.


“Mana abah?” soal Sarah.


“Ni, abah datang ni..” Encik Sulaiman yang sedang menuju ke arah meja makan menjawab soalan Sarah. Sarah mengukir senyuman manis menampakkan barisan gigi putihnya yang cantik. Tangannya sibuk menyenduk nasi ke dalam pinggan Encik Sulaiman.


“Arah, Su. Duduk makan dulu.” Arah Encik Sulaiman. Suraya dan Sarah segera menarik kerusi dan duduk di tempat masing-masing. Selesai mengaminkan bacaan doa yang dibaca oleh Encik Sulaiman, masing-masing menyepi melayani perasaan. Cuma sekali-sekala suara Syamir memecahkan kesunyian meminta itu dan ini. mengada-ngada betul adik bongsunya ini. Manja bukan main lagi.


Selesai mandi dan solat Maghrib, Sarah turun ke ruang tamu rumahnya untuk menonton televisyen dengan Encik Sulaiman. Waktu-waktu begini pasti abahnya sedang menonton Buletin Utama. Tiba-tiba telefonnya berbunyi.


Melihat nama yang tertera pada skirn telefon bimbitnya, Sarah segera menekan butang hijau. “Hello, Kak Arah!” Adoi! Kuatnya ‘hello’ Laila ni. Ingat dia sudah pekak ke?


“Kuatnya Laila cakap. Sakit telinga akak tau.” Marah Sarah.


Sorry. Sorry.Esok akak kerja tak? Laila nak ajak akak pergi tempah kek kahwin Laila.” Kek? Wah! Bestnya. Kalau pasal kek, memang Laila memilih orang yang tepat untuk menemaninya!


“Esok akak cuti. Boleh. Boleh! Pukul berapa Laila nak pergi?” Ah, terujanya! Tak sabar nak pilih kek kahwin. Kek bertingkat-tingkat pulak tu. Suka suka suka!


“Pukul 11.00 pagi esok Laila ambil akak dekat rumah ya. Lepas tu kita pergi cari barang-barang kahwin yang tak sempat beli tadi.”


Talian diputuskan. Esok, pukul 11.00 pagi. Pergi tempah kek kahwin! Sukanya!


“Hai, senyum sorang-sorang ni kenapa? Laila yang nak kahwin ke anak abah yang nak kahwin ni?” Tegur Encik Sulaiman. Sarah tersengih malu.


“Mestilah Laila! Arah mana ada calon. Abah sabar ye.” Sarah menarik tangan Encik Sulaiman dan menggenggamnya lembut.


“Bila agaknya anak abah nak kahwin?”


Sarah menarik muncung.


Encik Sulaiman ketawa senang melihat muncung merajuk anak daranya. “Yelah, yelah. Laila ajak Arah ke mana?”


“Tempah kek kahwin! Bestnya. Tak sabar Arah nak pergi esok. Okaylah, Arah kena tidur awal, esok nak keluar. Selamat malam abah.” Encik Sulaiman hanya mengangguk sambil ketawa kecil. Kelakar melihat muka teruja anak daranya. Pipi kiri dan kanan Encik Sulaiman diciumnya penuh kasih.


***************


“ Yang ini okay tak kak? Laila suka warna pink dan Fadhli suka warna hijau. Lagipun tema colour kahwin nanti pun memang pink dan hijau. Akak rasa kek ni cantik tak?”


“Semua cantik Laila! Semua cantik. Akak suka dengan semua design kek ni.” Balas Sarah. Nampak sangat ke keterujaan dia ketika ini? Matanya tidak berkelip-kelip memandang kek-kek yang dipamerkan dalam album.


Semua cantik sangat-sangat. Rasa macam nak tempah semua jenis kek. Ya Allah, rasa macam nak kahwin sekarang ni jugak. Nak tempah kek cantik-cantik macam ni. Tapi bila tengok harga kek yang dipamerkan, aduhai, terus rasa tak jadi kahwin. Mahalnya kek kahwin.


“Akak rasa kalau design ni pun cantik. Empat tingkat, kita buat warna pink dan hijau macam Laila nak.” Jari telunjuk lurus menunjuk kepada kek yang dimaksudkan.


“Laila pun rasa kek ni cantik. Lega hati Laila bawak akak ke sini. Akak memang banyak sangat tolong Laila untuk persiapan majlis kahwin Laila. Thanks akak.” Laila memeluk bahu Sarah. Rasa touching la pulak.

“Akak tolong apa yang akak mampu aje.” Balas Sarah.


Okay miss. I rasa I nak booking yang ini.”


Selesai memberikan segala butir yang diperlukan, Sarah dan Laila bergerak mahu meninggalkan kedai kek tersebut.


“Jom kita makan kek dulu, nak tak?” Ajak Sarah tiba-tiba. Alahai, permintaan tekak perlu dipenuhi. Teringin sangat ni. Kalau tak makan sekarang, silap-silap balik nanti, malam termimpi-mimpi makan kek.


Laila tersenyum mendengar permintaan kakak sepupunya itu. Kaki dibawa menuju ke peti sejuk yang mempamerkan pelbagai jenis kek yang dijual. Sarah turut membontoti Laila. 


“Kak Arah nak yang mana? Laila belanja akak.” Apa? Belanja? Pucuk dicita ulam mendatang. Mekar senyuman di bibir Sarah.


“Jom, duduk sana.” Meja kopi disudut kedai dipilih mereka.


“Banyak lagi ke belum selesai tentang persiapan majlis? Kalau nak minta tolong akak, bagitahu aje. Kalau akak boleh tolong, insyaAllah akak tolong Laila.”


Thanks Kak Arah. Laila tahu Laila memang boleh harapkan akak. Kalau nak harapkan kakak-kakak Laila, memang haru-biru jadinya. Langsung tak membantu. Kak Hannah tu bukan main lagi menyampah dengan Fadhli. Entah apa salah Fadhli dengan dia.” Ada air mata bergenang di kelopak mata Laila.


Sarah faham perasaan Laila. Bukan mudah Laila meyakinkan keluarganya bahawa Fadhli akan menjaganya dengan baik. Bukan mudah keluarga Mak Long Fadhilah mahu menerima Fadhli. Sarah pula terpaksa menjadi orang tengah dalam menyatukan Fadhli dan Laila. Syukurlah Mak Long sudah boleh merima Fadhli dan keluarganya sekarang.


Suapan kek yang terakhir  disuap ke mulut. Sedapnya kek ini! Rasa macam nak bungkus bawak balik ke rumah dan malam nanti makan lagi. Alahai tekak, kau jangan nak mengada-ngada sangat.


Sarah dan Laila menuju ke One Utama. Ada beberapa barang hantaran yang masih ingin dibeli oleh Laila. Satu demi satu kaunter minyak wangi dibelek oleh Laila. Nak beli perfume pun bertahun. Habis semua kaunter ke nak kena pergi. Naik lenguh kaki Sarah berjalan ke sana ke mari.


“Laila nak beli bau yang macam mana? Gucci Guilty Intense, tak suka ke? Akak suka bau tu, wangi sangat!”


“Laila tak suka sangat baunya sebab lembut.  Akak pakai perfume tu kan? Dengan akak memang sesuai sangat sebab akak memang lemah-lembut!" 

Sarah tergelak kecil. "Memang lemah-lembutlah sangat akak ni. Habis Laila suka perfume yang macam mana?" 

"Before ni Laila pakai  Lancome, Hypnose tu. Sekarang ni Laila rasa macam nak tukar bau lain pulak. Tapi Fadhli suka bau Hypnose tu. Laila pun tak tahu wangian apa Laila nak beli.” Gawat! Tak tahu nak beli yang mana? Alahai Laila. Beli aje lah mana-mana pun. Sama je.


“Kalau Fadhli suka yang tu, akak rasa better beli Hypnose tu aje. Lagipun Laila sendiri selesa dengan bau Hypnose, sekarang pun wangi je. Bau Hypnose kan ni?” Laila mengangguk tanda mengiyakan bauan yang dipakai sekarang ialah Hypnose.


Okay, jom pergi kaunter tadi semula. Laila nak beli Hypnose!”. Jawab Laila yakin. Laila menarik tangan Sarah supaya mengekorinya ke kaunter yang telah mereka kunjungi sebentar tadi. Sarah berasa lega.

Akibat langkah Laila yang terlalu laju dan mengheret tangannya, tiba-tiba.. dumm! Dahinya berlaga dengan sesuatu. Sakitnya! Sarah menggosok-gosok dahinya dengan tangan. Sakitnya! Sakitnya!


“Sayang! Are you okay?” Terdengar suara cemas itu, Sarah mendongak. Kau?! Perempuan di sisi lelaki itu sibuk menggosok dagu lelaki itu. Eh, terlanggar dagu dia ke? Ingatkan langgar rak kasut ke apa tadi, keras bukan main. Rasa retak tempurung kepala.



You ni buta ke?”  Marah lelaki hidung tinggi itu. Ini kali kedua dia tanya ‘buta ke?’

Kali pertama ialah di lapangan terbang semasa menjemput Laila. Lelaki itu menyoal benda yang sama, 'Buta ke?'. Cemuh Sarah dalam hatinya. Takde perkataan yang sopan sikit agaknya!

Kali kedua dia bertembung lagi dengan lelaki yang sama, sikap yang sama ialah di Mid Valley dan kali ketiga ialah beberapa minggu yang lalu semasa hampir dilanggar oleh kereta mewah lelaki itu dan Sarah menjangkakan bahawa itulah kali terakhir dia akan bertemu dengan lelaki hidung tinggi ini. Ahhh, sangkaannya meleset sebab kali keempat bertemu dengan lelaki ini di One Utama. Melanggar dagu lelaki itu. Ish!


Takkan berjodoh dengan lelaki ini pulak? Oiii, simpang malaikat empat puluh empat! Tak mahulah berlakikan lelaki sombong macam ni. Sombang ya ampun!


Sorry lah, saya tak nampak awak. Lagipun saya tengah kalut.” Malas mahu memanjangkan cerita kerana perasan beberapa pasang mata asyik memandang ke arah mereka.


“Tengah kalut? Habis kalau tengah kalut boleh langgar orang suka-suka hati you ke?” Marah Ari Aqashah.

“Dah la tu sayang. Dia dah cakap sorry tu. Memang tak perasan pun kita nak lalu dekat sini. Maaf ye cik.” Sayang? Kalau tak silap telinga dia, memang tak silap sebab Sarah belum pekak lagi. Girlfriend dia ke? Cantiknya! Tapi sayang, bercinta dengan lelaki tiga suku dan sombong macam ni. Memang unlucky lah perempuan ni.


Ari Aqashah berdengus kasar. Protes! Kalau bukan kerana Suzila, mau sahaja dicekik-cekik perempuan ini. Kenapalah dia asyik bertembung dengan perempuan ini dalam keadaan yang sangat menyakitkan hatinya? Geram sungguh.


“Jom.” Ari Aqashah meanrik tangan Suzila meninggalkan Sarah dan Laila tercengang.


“Laila macam kenal lelaki tu. Macam pernah jumpa. Akak kenal ke?” Soal Laila dengan mimik muka bersunguh-sungguh sambil kening dijungkitkan ke atas. Memang pernah jumpa pun Laila oi, masa dekat airport jemput Laila beberapa bulan lepas. Masa pun pun gaduh jugak! Sakitnya hati.


“Entah, tak kenal. Jom pergi beli perfume.” Malas mahu menjawab soalan Laila. 

Malas juga mahu mengenang kisah-kisah dia dengan lelaki itu. Buat sakit hati aje. Kalau ye pun lelaki itu tidak salah tadi, at least minta maaflah. Bukan susah pun. Mahal sangat kot maaf dia. Geramnya!!! Sarah mengetap giginya. Rasa macam nak gigit telinga lelaki itu sampai putus. Geram!


  

2 comments :

  1. best nyer..
    tak sbr nk tgk sarah n ari couple.
    hehe..cik penulis..sambung la cpt ckit..
    klau boleh 2 hari satu n3...hehe
    demand nyer..

    ReplyDelete
  2. Hai! Terima kasih sebab sukakan KPI. :) InsyaAllah, tengah berusaha menulis dengan jayanya. Hihi. Kalau boleh selalu nak up entry dekat sini. :D Teruskan sokong KPI ye.

    ReplyDelete