Sunday 3 February 2013

Bab 17 Kau Perempuan Itu




Nafas di tarik dalam-dalam. ‘Ya Allah bantulah hambaMu ini. Mudahkanlah urusanku. Aku hanya mahu mencari rezeki yang halal untuk keluargaku.. Amin.’ Sarah meraup kedua-dua tapak tangannya ke muka.

Sarah tiba di Villa Lagenda lebih kurang pukul 12.15 tengah hari. Hari paling lambat dalam sejarah bekerja Sarah Sulaiman. Mana pernah masuk kerja lambat! Very the punctual person tau! Nasib baik Puan Khalisah sudah keluar pergi meeting dengan ahli persatuan isteri-isteri orang kaya Malaysia, kalau tidak terpaksalah dia berdepan dengan mama si hidung tinggi itu.

Puan Khalisah tiada di rumah. Memang Allah swt mendengar doanya sebentar tadi. Kalau Puan Khalisah ada di rumah memang bergema macam petirlah suara Puan Khalisah segenap inci rumah ini memarahi dia yang datang lewat.

Dia bukan sengaja pun nak datang lewat. Kalau boleh Subuh-subuh lagi dah dia mahu terpacak depan pintu pagar besar rumah ini. Tapi nanti takut dicop gila kerja pula oleh Puan Khalisah. Alang-alang dah bagi kebenaran masuk kerja pukul lapan pagi buat apa dia nak datang tercongok pukul enam pagi kan. Buang tebiat ke apa.

Kalau bukan kerana kereta kodok hitamnya membuat hal, memang dia tidak akan naik teksi. Harga tambang pula bukan main mencekik darah. Boleh sesak nafas tahu! Sudah beberapa minggu kereta itu tidak bergerak ke mana-mana. Entah bila baru dia mampu untuk memperbaharui roadtax dan insurans keretanya. Semua duit gajinya dihabiskan untuk membeli ubat untuk ibu dan perbelanjaan rumah.

Kalau gaji dia puluhan ribu sebulan memang dia tidak kisah nak perbaharui roadtax kereta itu setiap bulan, tapi memandangkan gaji dia pun ciput aje, terpaksalah dia berkorban sekejap. Mungkin tidak lama lagi si kodok itu pun terpaksa digadai.

Ah, tak mengapa. Lagipun dia bukan perlukan sangat kereta itu sekarang ni. Kereta abah dah cukup dah untuk mereka sekeluarga sebab dia bekerja di tempat yang sama dengan abah kerja. Kalau dulu iyalah dia memang memerlukan kereta untuk bergerak dari rumah ke universiti. Sekarang dia pun dah habis belajar. Mungkin cadangan penjualan kodok hitam itu boleh diusulkan kepada abah nanti.

Tersedar bahawa dia terlupa membuat sesuatu, Sarah menghentikan perbuatannya yang sedang mengelap meja makan di ruang makan rumah itu. Sebenarnya dia main capai aje kain lap meja yang tergantung di dinding itu, kalau Ari Aqashah ada di dalam rumah nampaklah sikit dia sampai-sampai aje terus bekerja keras. Eceh!

Ari Aqashah. Mana lelaki itu?

Kalau tidak silap Sarah, masa dia tiba tadi tiada pula kereta BMW hitam terparkir di porch kereta. Kurang yakin dengan pandangan matanya yang samar-samar sebentar tadi, kaki mengorak langkah ke pintu utama rumah. Matanya melilau mencari kelibat kereta BMW milik Ari Aqashah. Pasti! Memang tiada terparkir di situ. Matanya memang tidak pernah menipu cuma hatinya sahaja yang selalu degil untuk mengakuinya.
Fuh, dah boleh menarik nafas lega.

Entah ke mana lelaki itu pergi. Kalau tidak salah pendengaran telinganya Ari Aqashah cakap dia mahu pulang ke rumah ibu bapanya di Villa Lagenda. Tukar fikiran agaknya. Gasak dialah. Selamat juga dia kali ini. kalau Ari Aqashah balik ke sini pasti terbongkar rahsia yang cuba dia sembunyikan daripada Ari Aqashah dan Arif Shah.

“Selamat pagi Mak Som!” Ceria sapaan Sarah kepada wanita tua yang terjengket-jengket mengelap tingkap di dapur berdekatan sinki itu.

Mak Som berpaling memandang wajah Sarah. “Pagi? Arah ni tak tengok jam ke masih mimpi lagi ni?” Soal Mak Som kehairanan.

Sarah tersengih-sengih. Tahu sudah tengah hari, sengaja mahu mengenakan Mak Som. Peka betul orang tua itu dengan waktu.

“Hah, ni kenapa lambat pulak hari ini? Tak pernah-pernah Arah datang kerja lambat. Bukan main risau lagi Puan Khalisah menanyakan Arah tadi tau?” Mak Som menyoal sambil menjengket-jengket mahu mengelap cermin yang agak tinggi.

Mak som ni buat macam dia tinggi sangat aje. Ambillah kerusi.

“Dengar tak Mak Som tanya ni. Puan Khalisah risaukan Arah tadi tau.”  

Risau? Aish, biar betul Mak Som ni. Bukan risau yang membawa maksud bimbang tu, ini ‘risau’ sebab mahu mencari salahnya. Nak berhentikan dia lah tu. Bukan sekali dua dia pernah diugut untuk diberhentikan, setiap hari rasanya. 

Kalau bukan kerana Encik Sulaiman yang berasa terhutang budi yang terlampau dengan keluarga Tuan Ramlee, dia pun tidak mahu bekerja di sini lagi. Kalau bukan kerana Encik Sulaiman yang beriya-iya memujuk dia supaya terus bekerja di sini, memang sudah lama dia angkat kaki. Setiap hari dia terpaksa menadah telinga mendengar sindiran-sindiran sinis dari Puan Khalisah.

Macam manalah Puan Khalisah melayani menantunya nanti. Kalau dia yang menjadi menantu keluarga ini, haiiiish! Mintak simpang malaikat. Sumpah tak hingin walaupun Arif Shah memang menggugat kekebalan hatinya. Ah, mungkin sebab Arif Shah melayaninya dengan terlalu baik.

Hati dia ni memang mengada-ngada. Baru layan dia dengan baik sikit dah mula nak menggatal. Entah-entah lelaki itu dah berpunya. Mana tahu dah bertunang walaupun dia cakap masih single. Lelaki zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat Sarah oiii.

“Janganlah berangan! Mak Som tengah bercakap dengan Arah ni!” Marah Mak Som. Bukan marah betul, sengaja nak menakutkan Sarah konon. Ingat takut ke? Wanita tua yang berwajah lembut ini mana mungkin menakutkan sesiapa. Sarah ketawa mengekek dalam hati.

“Mak Som, Encik Ari ada balik rumah tak tadi?” Mak Som menjegilkan matanya? Sarah menjungkit bahu sambil mengangkat kedua-dua tangan kiri dan kanannya ke dada sebagai tanda ‘kenapa?’. Salah tanya ke?

“Arah cakap siapa tadi? Encik Ari? Mana Arah tahu nama anak kedua Puan Khalisah Ari? Arah kenal ke?” Soal Mak Som hairan. Nah! Terkena sebijik. Hambek kau Sarah. Mau tergagap nak menjawab. Betul jugak, bukan dia kenal pun dengan anak-anak Puan Khalisah kecuali Jihan.

Tangan mencapai pisau di depan mata. “Mak Som, Arah masak sayur kangkung gorenglah ye makan tengah hari ni.” Cuba menukar topik perbualan. Malu mahu bertentang mata dengan Mak Som.

Mak Som yang sedang mengelap tingkap di depan sinki mencampakkan kain pengelap di tangan ke dalam sinki. Kerusi ditarik dan punggung dilabuhkan di depan Sarah. Wajah Sarah dipandangnya kehairanan. Betul, memang hairan! Alahai Mak Som ni..

“Arah kenal ke dengan Ari?” Ulang Mak Som.

Sarah menggaru dagunya dengan tangan kiri. Pisau diletakkan di atas meja. “Tak kenal. Jihan ada sebut abangnya nak balik rumah hari ini. Arah tahu nama abang Jihan, Ari. Mestilah Jihan yang bagitau Arah. Mak Som ingat Arah ada magik ke nak teka-teka nama anak Puan Khalisah?” Gelak Sarah dibuat-buat ceria. Menyembunyikan debaran di hati.

Mak Som hanya menggangguk. “Ingatkan Arah kenal dengan Ari tadi.”

“Kalau Sarah sampai awal sikit tadi boleh Arah jumpa dengan Ari.” Mata Sarah terbeliak luas. Ari Aqashah ada dekat rumah ke? Degupan jantung pantas tiba-tiba. Peluh dingin mulai terbit di dahinya. Peluh ni macam cendawanlah pulak. Main tumbuh tiba-tiba.

“Encik Ari ada di rumah ke?” Soal Sarah risau.

“Tadi adalah. Sekarang dah keluar dengan Puan Khalisah. Hantar Puan Khalisah pergi perjumpaan yang Mak Som cakap tadi tu.” Terang Mak Som.

Sarah angguk faham dan lega. “Ohhh…”

Tangan Sarah kembali memotong sayur kangkung di hadapannya.

Perbualan Sarah dengan Mak Som berkisar tentang anak-anak Puan Khalisah. Banyak betul pengatahuan Mak Som tentang anak-anak Puan Khalisah. Mesti rapat gila ni.

Mak Som dan Sarah selesai memasak makanan tengah hari lebih kurang pukul 2.00 petang. Lambat jugak siap masak ni. Bukan makan tengah hari lagi, tapi ni dah makan petang ni. Tak sangka pula Tuan Ramlee, Jihan dan Encik Sulaiman pulang untuk makan tengah hari di rumah pada hari ini. Kebiasaannya jarang Tuan Ramlee pulang untuk makan tengah hari bersama keluarga kerana banyak urusan dengan klien pada waktu tengah hari. Lunch hour kata orang-orang pejabat. Hehe.

Selesai makan tengah hari tanpa kehadiran Puan Khalisah, Sarah segera mengemas meja makan. Semua pinggan mangkuk yang digunakan diangkat semula ke dapur. Tuan Ramlee dan Encik Sulaiman pun sudah kembali semula ke pejabat. Jihan pula masih lagi di rumah. Mahu mengajaknya keluar shopping. Again? Kali ini Tuan Ramlee sendiri yang beriya-iya menyuruhnya menemani Jihan. Tidak mempunyai pilihan lain, Sarah terpaksa mengalah.


**********

Perjalanan ke The Curve hanya mengambil masa lebih kurang dua puluh minit dari kediaman Tuan Ramlee. Nak shopping apa agaknya? Heaven betul jadi anak orang kaya, sekejap-sekejap shopping. Kalau tidak salah perkiraannya, baru sepuluh hari lepas Sarah menemani Jihan pergi membeli-belah pakaian baru dan kasut. 

Bukan sepasang dua kasut baru tetapi lima pasang kasut sekali angkut! Kalau kasut yang berharga dua puluh ringgit boleh tahan lagi, ini kasut yang berharga dua tiga ratus sepasang. Rasa macam nak terkeluar biji mata Sarah melihat angka-angka yang tertera pada mesin di kaunter ketika itu. Dahsyat!

Entah apa pula yang mahu dibeli oleh Jihan pada hari ini. katanya sesuatu yang penting untuk hari penting dua minggu lagi. Takkan nak bertunang kot?

“Jee nak beli apa? Baju tunang ke?” Seloroh Sarah. Mahu korek rahsia juga sebenarnya. Manalah tahu kot-kot Jihan sudah ada calon tetapi sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.

Jihan ketawa kuat. “Mana ada! Akak ni merepek aje. Jee mana ada calon!”

“Jee cakap nak pergi beli benda penting untuk hari penting. Selalunya hari penting…” belum sempat Sarah menghabiskan kata-katanya, Jihan pantas mencelah.

“Bertunang? Macam tu?” Jihan sambung ketawa. Sarah terkulat-kulat. Salah ke?

“Betul, memang untuk hari pertunangan pun. Tapi sekarang Jee nak cari barang-barang untuk merisik dahulu.” Tambah Jihan. Sarah terlopong. Biar betul! Tadi kata tak…

“Jee nak dirisik ke?” Soal Sarah teruja. Seronoknya!

“Bukan Jee, Kak Mar. Bakal kakak ipar Jee.” Ohh, untuk Ari Aqashah rupanya.

Sarah angguk. Sudah mahu bertunang rupanya si hidung tinggi. Baguslah, semoga berubah sikit sikap sombong lelaki itu.

“Jee nak sangat akak jadi kakak Jee. Nasib baik Jee ada dua orang abang. Lepas ni, Jee akan cuba adjust akak untuk abang Jee yang seorang lagi pulak.” Ujar Jihan ceria. Banyak betul perancangan gadis cantik di depannya ini.

“Sebenarnya Jee suka kalau akak dengan abang Jee yang nak bertunang ni tapi nak buat macam mana dah jodoh dia dengan orang lain. Kalaulah dia jumpa akak dulu, mesti dia akan jatuh cinta dengan akak dulu sebelum Kak Mar. Tapi takpe, Jee akan pastikan jugak akak jadi kakak ipar Jee. Akak jangan tolak tau kalau mama pinangkan akak untuk abang Jee.” Amboi, amboi. Bukan main lagi perancangan Jihan ni. Aturkan jodoh Sarah dengan abang dia pula.

Dah boleh buka agensi mencari jodoh dah Jihan ni. Pandai pula nak matching kan orang. Sarah ketawa dalam hati.

Sarah malas mahu menjawab. Tidak berminat untuk berbincang soal hati dan perasaan. Dia tidak punya masa untuk terjebak dengan perkara-perkara seperti ini lagi. Bayangkan hampir empat tahun dia menyulam cinta dengan Ikram, akhirnya terputus di tengah jalan. Dikhianati. Buang masa sahaja.

Lebih baik fokus dengan kehidupan sekarang sahaja. Tiba-tiba Jihan menarik tangan Sarah memasuki sebuah butik pakaian.

“Cantiknya dress ni!” Sehelai gaun labuh berwarna keemasan diacukan ke tubuh langsing Sarah. Memang cantik. Sarah menarik tag harga pakaian itu ke luar. Empat ratus sembilan puluh sembilan?! Hoi, boleh bayar si kodok hitam untuk sebulan! Mahalnya baju ni. Pakai benang emas putih ke apa ni?
“Akak! Cubalah baju ni.”

Glup. Sarah telan air liur. Cuba baju ni? 

Ya aAllah, sumpah seumur hidupnya inilah kali pertama dia sentuh baju mahal macam ni. Masuk butik mewah macam ni pun kali pertama. Kalau dia datang dengan Tina dulu, jangan haraplah dia nak masuk butik pakaian berjenama macam ini.

“Tak nak lah Jee. Tak cantik dengan akak baju ni. Kalau Jee yang pakai, mesti cantik!” Tolak Sarah. Bukan tak mahu mencuba, takut-takut berkenan nanti balik rumah termimpi-mimpi pula. Tak ke naiya dia nanti? Mana nak korek duit beli baju sampai RM500 ni?

“Ala, pergi la cuba. For me. Please…” Rayu Jihan. Bukan pujuk lagi ni, ini dah tahap merayu siap nak merajuk lagi.

Lama gaun labuh tanpa lengan itu ditenungnya. Nasib baik tak tembus. Tenung lama-lama sebab gaun labuh ini memang cantik sangat! Sarah mengalah. Dicapainya dress labuh itu dan meloloskan dirinya ke dalam fitting room.



Beberapa minit kemudian Sarah keluar dari fitting room. “Very beautiful!” Jerit Jihan. Teruja sangat ke tengok dia pakai dress macam ni? Seksi tau, dah la takde lengan. Bukaan di dada juga sedikit luas. Malu nak pakai keluar.

Eh? Macamlah dia nak beli dress ini. Kalau beli pun nak pakai pergi mana? Pakai kerja di rumah Puan Khalisah? Nak kena penggal kepala? Cantik mengalahkan tuan rumah. Ha, tengok.. Sarah tidak mempunyai sebab untuk membeli dress labuh yang mahalnya mengalahkan harga sebulan sebuah myVi. Sarah mengukir senyuman.

“Jee tak nak cuba?” Soal Sarah.

“Tak perlulah. Tengok pun dah tahu muat dengan Jee.” Balas Jihan. Sarah hanya menganggukkan kepalanya. Ketinggiannya dengan Jihan tidak banyak beza. Jihan tinggi, ramping dan berkulit putih kemerahan. Dia pula tinggi, langsing dan berkulit putih melepak. Macam mana putih melepak? Macam Angelina Jolie. Perasan!

“Miss, I take this one.”  Gadis Cina itu hanya mengangguk. Dress yang berada di tangan Sarah sudah bertukar tangan ke gadis Cina itu. Sarah membalas senyuman daripada gadis itu. Senyum itu kan sedekah.

Selesai membayar, Jihan menarik tangan Sarah ke bahagian minyak wangi pula. “Ini untuk merisik ke Jee?”

“Bukan! Akak suka perfume apa?” Jawab Jihan dengan soalan kembali.

“Jee nak beli perfume untuk Jee ke?”

Jihan angguk laju. “Akak pakai perfume apa?”

Gucci Guilty Intense.” Balas Sarah pendek.

“Sama macam abang Jee! Abang Jee pun suka sangat dengan wangian Gucci Guitly. Akak ni memang ada jodoh dengan abang kot?” Sarah memaksa senyum. Alahai, sama pulak dengan abang dia? Takkanlah pakai perfume sama jenama pun ada jodoh kot? Kebetulan aje tu.

“Wangi! Wangi!” Memang wangi pun. Beli dua tahun lepas. Lama benar usia minyak wangi dia. Wangi sebab lama sangat terperap kot. Pakai pun jimat-jimat. Sekarang pun dah nak habis.

“Banyak lagi ke perfume akak?”

“Kenapa?” Don’t tell me you nak try my perfume! Minyak wanginya sendiri pun sudah nyawa-nyawa ikan. Berperang dengan maut sekarang ini.

Jihan geleng kepala.

Alamak, nampak sangat macam dia ni kedekut ke?

“Eh, Jee nak try perfume akak ke? Ada tapi akak tak bawak sekarang ni. Kalau nak esok akak bawak ke rumah Jee, nak?”

Tanpa menjawab soalan Sarah, Jihan melangkah ke kaunter Gucci. “I nak Gucci Guilty Intense saiz paling besar. Bungkus cantik-cantik ye.”

Sarah hanya menjadi pemerhati. Tidak banyak menyoal dan tidak banyak membantah. Bukan duit dia dan ini anak majikannya. Dia hanya peneman Jihan sahaja. Tetapi rasa bersalah pula bila melawak macam tak kena gaya dengan Jihan tadi.

Sarah berjalan mendekati Jihan yang sedang beratur di kaunter pembayaran. “Jee terasa dengan akak ke pasal minyak wangi tu? Actually minyak wangi tu dah bertarung dengan maut sebab tu akak terkejut bila Jee tanya banyak lagi ke minyak wangi akak tu.”

Bertarung dengan maut. Bunyinya macam nazak sangat aje minyak wangi Sarah. Jihan tergelak besar. Rasa lawak pula mendengar perumpamaan yang diberikan oleh Sarah sebentar tadi. Bertarung dengan maut. Over betul tau!

“Mana ada Jee marah. Jee tanya aje tadi. Jangan risaulah, Jee okay aje.”

Giliran Sarah pula tergelak. Perumpamaan dia nampak berlebih-lebihan pulak. Tapi memang dah nazak pun kuantiti minyak wangi tu. Dia keluar ke mana-mana sekarang ni mana sembur minyak wangi lagi dah.

Selesai membeli minyak wangi, Jihan dan Sarah bergerak untuk pulang. Kata nak beli barang-barang untuk merisik, mana barangnya? Takde beli apa pun kecuali sebuah tas tangan, dress labuh berwarna keemasan tadi dan minyak wangi kegemaran Sarah.

Semua kegeramarannya tapi ia milik Jihan. Sarah diam membisu sepanjang perjalanan pulang ke Villa Lagenda. Jam ditangan menunjukkan pukul 6.00 petang. Nasib baik sudah bersolat di The Curve sebentar tadi, kalau tidak memang lambatlah dia bersolat Asar pada hari ini.

“Jee hantar akak terus ke rumahlah. Nanti Jee balik rumah sendiri.”

“Eh, jangan. Biar akak balik sendiri aje. Nanti kalau Tuan Ramlee nampak Jee balik seorang diri apa pulak katanya nanti.”

“Takpe kak, Jee bagitau papa kejap lagi. Kalau terus balik ke rumah Jee sekarang ini nanti akak nak balik dengan apa pula. Petang-petang macam ni, mahal tau tambang teksi. Pak Man pun mesti dah balik rumah. Biar Jee hantar akak.” Tiada pilihan lain, Sarah terpaksa akur. Saya yang menurut perintah kata orang.

2 comments :

  1. best sgt2 la kak sri...
    cter ni makin menarik...
    xsbr nk tau reaksi ari bila tau sarah kja kt umh mama dia...
    nk lagi!!!!nak lg!!!!

    ReplyDelete
  2. Hehehehee, kena baca sampai bab seterusnya baru tahu apa yang berlaku. Tengah cuba tulis laju-laju sebab kalau boleh nak update selalu! setiap hari kalau boleh. Hiks. :)

    ReplyDelete