Monday 18 February 2013

Bab 18 Kau Perempuan Itu



Lega rasa badan ini lepas mandi. Rasa macam wangi seluruh rumah dia. Rasa macam nak patah kaki berjalan petang tadi. Lama betul Jihan membelek itu dan ini. Kononnnya nak beli barang untuk merisik abang dia nanti, padahal benda lain yang dibeli olehnya. Alahai, memang seronok melayan Jihan. Manja dan comel.

Kadang-kadang memang timbul juga rasa iri hati sebab mudah sangat berbelanja, bukan macam dia terpaksa berfikir berjuta-juta kali kalau nak membeli sesuatu. Banyak perkata dia perlu fikirkan sebelum mengambil keputusan untuk membeli kecuali membeli ubat untuk ibu.

Kalau ikutkan hati memang mati. Sebab itulah Allah swt mengurniakan setiap manusia dengan akal. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Kalau nak berbelanja lebih memang boleh tapi takut nanti makan pasir aje. Siapa yang tak suka membeli-belah, semua orang suka. Nak-nak kalau dapat beli segala benda yang diidamkan.

Sarah mengeluh perlahan sebelum tersedar dia sudah berlebih-lebih. Tak baik mengeluh tentang rezeki, nanti lagi susah nak dapat rezeki. Dia sudah berpuas hati asalkan apa yang dia miliki pada hari ini cukup makan dan pakai untuk dia sekeluarga. Mereka mempunyai rumah dan tidak perlu merempat walaupun si kodok hitam itu masih belum mampu untuk digerakkan.

Jihan gadis tinggi lampai yang berkulit cerah itu sungguh mencuit hatinya. Ya, Jihan Berjaya mendapat tempat yang tersendiri dalam hati Sarah. Mungkin sebab Jihan bukan berperangai macam Datin Khalisah agaknya. Kalau Jihan buat perangai macam Datin Khalisah memang mereka takkan sebulu sampai bila-bila.

Sarah melabuhkan punggungnya di atas katil. Tuala yang masih terbalut di kepala di rungkaikan. Rambut yang masih basah digosok menggunakan tuala itu. Kalau ada pengering rambut cepat aje rambut ni kering. Sarah tergelak dalam hati. Amboi, sejak-sejak berkawan dengan Jihan macam-macam benda dia teringin. Jangan teringin nak duduk rumah Jihan sudah la.


Beg kertas yang dilonggokkan di hujung katil dicapai olehnya. Satu per satu beg kertas di buka. Dress labuh berwarna keemasan itu diangkatnya tinggi. Cantik! Cantik sangat. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman. Jihan, Jihan. 

Memang dia tak sangka Jihan membeli gaun labuh itu untuk dia. Puas dia tolak namun tidak Berjaya. Jihan beriya-iya memberikan gaun labuh itu kepada dia.

Sebagai tanda terima kasih katanya. Nak berterima kasih untuk apa pun dia tak tahu sebab dia bukan pernah lakukan apa-apa untuk Jihan. Kalau setakat memasak dan mengemas bilik Jihan itu memang kerja dia.

Kalau Jihan nak dia tolong siapkan proposal syarikat pun dia boleh tolong buatkan, itupun kalau Jihan percayakan dia. Haha, padahal dia memang langsung tak tahu apa-apa pasal syrikat tapi kalau Jihan yang minta tolong dia sanggup buat apa sahaja untuk gadis itu kerana Jihan terlalu baik untuk dia.

“Kirim salam ibu dan abah akak ye! Maaflah sebab Jee selalu menyusahkan akak.” Jihan menmaut lengannya sebelum dia keluar dari perut kereta petang tadi.

“Eh, apa yang menyusahkannya. Akak tak pernah rasa susah pun. Jee jangan nak mengarut sangat ye!” Sarah membulatkan matanya. Tangannya menggenggam jari jemari runcing milik Jihan. Mahu Jihan tahu bahawa dia ikhlas melakukan semuanya.

“Sebagai tanda terima kasih Jee kepada akak, ni untuk akak.” Beg-beg kertas yang berada di seat belakang dicapai oleh Jihan dan dihulurkan kepada Sarah.

“Apa ni Jee? Janganlah macam ni. Akak ikhlas temankan Jee tadi!” Memang sumpah dia terkejut beruk sebab dia tahu isi beg kertas itu.

“Ambillah. Jee ikhlas belikan untuk akak sebab Jee tahu akak memang cantik sangat kalau pakai dresstu. Trust me!”Kalau cantik pun tak pakai buat apa. Dia nak pakai gaun mahal tu pergi mana? Pergi kerja? Buat tabiat ke nak pakai lawa-lawa pergi kerja macam nak pergi kenduri kahwin anak mak datin.

“Akak takde event nak pergi  macam Jee. I don’t need that dress.” Sungguh dia memang tak boleh terima baju semahal ini.

“Nanti mungkin akak akan pakai dress ni. Masa tu akak tak perlu bersusah payah nak beli baju lagi dah.” Rasa nak pitam, kebas muka tahap lima belas inci pun ada. Memang segan sangat nak terima pemberian Jihan.

Akhirnya apa pilihan yang Sarah ada selain daripada menerima semua pemberian Jihan. Walau macam mana dia menolak sekalipun Jihan akan tetap akan memberikan dia beg-beg kertas itu. Silap-silap Jihan akan gantung di pagar rumah dia nanti.

“Jihan, terima kasih banyak-banyak. Malu akak macam ni tau. Akak bukan pernah bagi apa-apa untuk Jee pun.” Sarah memandang muka Jihan.

“Tak payah bagi apa-apa kecuali kalau akak kahwin dengan abang Jee, akak beranak banyak-banyak anak sedara untuk Jee. Ya?” Sarah tergelak besar. Abang dia kan dah nak bertunang. Ada hati nak Sarah jadi kakak ipar lagi?

Sarah memandang barang-barang yang sudah tersadai di atas katilnya. Minyak wangi kesukaannya, dress labuh yang sungguh cantik dan tas tangan yang sangat elegan. Entah ke bila dia akan menggunakan tas tangan ini. langsung tidak sesuai dibawa ke tempat kerja.

Sarah bangkit menuju ke meja soleknya. Dress labuh itu dicapai dan diacukan semula ke tubuh langsingnya. Cantiknya! Masa untuk memuji diri sendiri. Sudah lama benar dia tidak memberikan penghargaan seperti itu kepada dirinya sendiri. Kesibukan setiap hari menyebabkan Sarah mengabaikan banyak tanggungjawab terhadap dirinya sendiri.

Kerja sebagai pembantu rumah di rumah Puan Khalisah sumpah memang penat. Puan Khalisah macam sengaja nak mendera dia pun ada juga. Ada ke hari tu Puan Khalisah suruh dia tukar air kolam ikan? Memang tak patut sebab dia pakai baju kurung dan kerja itu selalunya dilakukan oleh Pak Razak.

“Kenapa Sarah tukar air kolam tu? Bukan Pak Razak ke yang selalu buat kerja tu?” Sarah terkejut. Tadi Puan Khalisah kata Mak Som banyak kerja sampai tak sempat jenguk kolam ikan dekat luar tu.

Mati-mati dia ingat kolam itu dibersihkan oleh Mak Som sebelum ini, rupanya Pak Razak yang punya kerja. Bukan dia nak berkira kerja tapi dia sampai kena angkat kain nak masuk dalam kolam tu memang segan jugalah. Kalau dia pakai seluar pendek tak kisah sangat tapi takkanlah dia berseluar pendek di rumah majikan dia pula.

Kalau Tuan Ramlee dan anak-anak lelaki Puan Khalisah balik, macam mana? Malulah dia hanya berseluar pendek. Mana nak sorok muka dia kalau betul-betul berlaku kejadian macam tu. Akibatnya, habis basah lencun baju kurung dia sebab terjun dalam kolam ikan.

Dalam tidak sedar, Sarah mengeluh hampa. Dua hari lepas dia mendapat tawaran untuk bekerja sebagai pembantu akaun di salah sebuah syarikat swasta. Walaupun dia bukan pemegang ijazah perakaunan, tapi dia pakar dalam bidang perakaunan. Bukan dia mahu membangga diri atau apa tapi dia tahu dia boleh membuat kerja itu.

Bidang perakaunan memang kesukaan dia. Entah bila baru dia boleh kejar kerjaya yang dia impikan itu.
Namun selepas berfikir panjang dan sedalam-dalamnya, awaran itu terpaksa ditolak memandangkan pelepasan kerja yang agak ketat. Dia perlu pulang lewat malam jika ada kerja tertangguh, dia perlu pergi kerja awal dan dalam tempoh tiga bulan percubaan dia tidak dibenarkan mengambil cuti rehat.

Itu semua syarat yang diberikan oleh syarikat itu ternyata tiada satu pun yang dia mampu penuhi. Dia perlukan kerja yang agak fleksible untuk dia bergerak ke sana dan ke sini kerana Puan Aida memerlukan penjagaan yang rapi. Jika dia langsung tidak boleh mengambil cuti, dia memang tidak boleh menerima kerja itu.

Jika Puan Aida masih kuat dan boleh berlari, sudah tentu peluang itu tidak dilepaskan. Melihatkan keadaan Puan Aida yang hanya mampu terlantar tidak berbuat apa-apa, Sarah terpaksa membulatkan hatinya dalam membuat keputusan menolak tawaran kerja tersebut. InsyaAllah pada masa akan datang Allah SWT akan memberikan sesuatu yang lebih baik kepadanya.

Deringan lagu Bagaikan Puteri mengejutkan lamunan Sarah. Dress labuh yang masih tersangkut di tangan disimpan kembali ke dalam beg kertas berwarna hitam. Handphone yang tersadai cantik di atas katil dicapainya. Sarah melabuhkan punggungnya di atas tilam yang dipasang dengan cadar berwarna merah jambu itu.

“Assalamulaikum, Jihan.”

Jihan yang berada di hujung talian ceria menyambut salam Sarah.

“Waalaikummusalam. Akak suka baju Jee bagi tu?”

Sarah mengulum senyuman. Dia tahu Jihan akan bertanyakan soalan itu. pastilah dia suka. Sangat sukakan gaun labuh itu walaupun sampai sekarang dia tidak tahu ke mana dia mahu memakai pakaian yang sangat mahal dan cantik itu.

“Suka. Terima kasih Jee. Menyusahkan Jee aje. Lain kali jangan bagi akak hadiah lagi tau.”

Jihan menarik muncung panjang. Dia sukakan Sarah dan dia mahu mengambil hati Sarah. Dia mahu memperkenalkan Sarah kepada abangnya.

“Akak ni, Jee memang ikhlas bagi baju tu untuk akak sebab akak memang cantik memukau bila pakai baju tu tau!” ujar Jihan dalam nada sedikit merajuk.

“Bukan akak tak suka, cuma entah bila akak nak pakai baju tu. Takkan nak pergi kerja di rumah Jee nak pakai cantik-cantik macam tu pulak. Nanti akak nampak lagi cantik dari Jee tau!”  Sarah cuba berjenaka. 

Dia hanya mahu Jihan faham bahawa kerjaya yang dimiliknya sekarang bukan seperti kerjaya Jihan yang memerlukan dia memakai pakaian cantik dan berimej korporat. Dia boleh pakai baju kurung sahaja. Tidak perlu melawa pun.

“Ala nanti akak nak pergi candle light dinner dengan boyfriend akak, akak pakai la..” Sarah ketawa dalam hati. Akhirnya ketawa itu pecah jua.

“Kenapa akak gelak?!”

Sarah menggeleng perlahan walaupun dia tahu Jihan tidak nampak gelengan kepala dia. “Berapa kali akak nak cakap, akak takde boyfriend lah.”

Jihan diam dihujung talian. “Kalau Jee kenalkan abang Jee, akak nak tak?”

Abang mana? Abang Arif? Atau Ari Aqashah? Tapi Ari Aqashah kan dah nak bertunang, pastilah Arif Shah. Sarah cuba mengawal rentak lantunan jantungnya. Arif Shah. Adakah lelaki itu telah mencuri hatinya?

Sarah menyentuh perlahan dadanya. Jantung dia berlari dengan pantas. Sarah menarik nafas perlahan-lahan. Tidak mahu Jihan sedar perubahan yang berlaku dalam dirinya.

“Jee, akak dah mengantuk ni. Jee pun kena tidur awal, esok kerja pulak.” Jihan mengeluh lemah. Susah betul mahu memujuk Sarah. Abangnya pun liat bukan main lagi. Benci betul!

“Baiklah kak. Assalamualaikum. Selamat malam.” Talian di matikan. Sarah menjawab salam di dalam hati.

Sarah memandang Blackberrynya dengan pandangan kosong. Di saat ini memang itu yang dirasakannya. Kosong dan melayang. Entah apa yang difikirkan oleh otaknya.

Dada yang masih berentak hebat disentuh perlahan-lahan. ‘Kenapa?’

Ah, dia tidak boleh terlalu melayan perasaan ini. Dia ada tujuan lain dalam hidupnya. Bukan cinta yang dia cari, bukan lelaki yang bernama Arif Shah yang dia perlukan dalam hidupnya. Dia perlukan sesuatu yang lebih daripada itu.

‘Jangan layan sangat perasaan ni Sarah.’ Sarah berbisik perlahan dalam hatinya.

Blackberry di letakkan di atas almari kecil bersebelahan katilnya. Suis lampu tidur ditekan supaya ada sedikit cahaya menerangi tidurnya sebentar lagi. Dia takut untuk tidur dalam gelap. Terasa seperti ada orang yang akan datang dan mengancamnya. Perasaan takut itu seperti sudah sebati dengannya sehingga dia sendiri sudah sebati untuk tidur dalam cahaya yang samar-samar.

Kadang-kala dia mengalami mimpi buruk yang sungguh menakutkan. Ada orang sedang memburunya. Mengarut sungguh! Kenapa pula ada orang mahu memburu dia? Dia bukan penjenayah atau anak jutawan yang kaya-raya.

Otak yang sudah letih melayang-layang membawa Sarah mengembara ke Australia. Walaupun tidak pernah ke sana, Sarah dapat membayangkan betapa seronoknya jika dapat pergi ke Australia. Main salji, berbaju sejuk, memakai sarung tangan dan memakai penutup telinga kerana terlalu sejuk. Seronoknya!

Akhirnya Sarah terlelap dengan mimpi bahawa dia sedang mengembara ke Australia.

*********
“Kenapa abang pandang Lis macam tu?” Puan Khalisah yang sedari tadi perasan suaminya asyik memandang ke arahnya akhirnya bersuara.

Walaupun Tuan Ramlee tidak bersuara, dia tahu suaminya ada sesuatu yang disembunyikan. Bukan sehari dua mereka berkahwin, dah berpuluh-puluh tahun. Dia masak benar dengan sikap diam dan jeling-jeling suaminya itu.

Tuan Ramlee nampak tersentak. Perasan rupanya Puan Khalisah bahawa dia sedang diperhatikan. Berkahwin lebih dari tiga puluh tahun, tidak mungkin Puan Khalisah masih gagal membaca gerak lakunya. Kalau ada yang sumbang sedikit pun sudah perasan, inikan pula perkara-perkara besar seperti ini.

Tuan Ramlee menarik nafas panjang. Masih berkira-kira untuk membuka mulut. Bukan apa, kalau tersalah cakap sikit pasal perkara macam ni silap-silap boleh bersilat isteri dia dekat ruang tamu rumah mereka ni.

“Abang nak cakap apa ni? Dari tadi lagi asyik pandang-pandang Lis macam orang susah hati aje.”

“Boleh abang tanya sedikit dengan Lis?”

Puan Khalisah yang sedang ralit membelek Majalah Wanita menutup majalah tersebut. Majalah diletakkan di atas meja kopi di depannya. Muka Tuan Ramlee dipandang dengan pandangan yang pelik.

Terasa berdebar-debar pula berdepan dengan suaminya kali ini. Siap minta kebenaran untuk bertanya lagi malam ini. Sebelum ini tak pernah pula buat perangai macam ni.

“Abang nak tanya apa ni? Abang jangan cakap abang nak tanya kalau Lis sudi ada madu atau tak pula.” Mendengar ayat yang meluncur keluar dari mult isterinya, Tuan Ramlee tergelak besar.

Kepalanya digeleng perlahan. “Lis.. Lis. Apa Lis merepek ni? Abang dah ada isteri yang terbaik di dunia, tak mungkin abang akan dua kan Lis. InsyaAllah, sampai hujung nyawa abang, hanya Lis seorang sahaja isteri abang.”

Puan Khalisah berasa lega. Dalam masa yang sama terasa kembang kempis hidungnya mendapat pujian daripada suaminya. Dia juga mendoakan perkara yang sama. Sehingga hujung nyawa biarlah mereka terus bersama.

“Boleh ke tidak abang nak tanya Lis satu soalan ni?”

“Tanyalah.” Jawab Puan Khalisah pendek.

“Apa pendapat Lis kalau abang ambil Sarah bekerja di syarikat kita?”. Soal Tuan Ramlee penuh berhati-hati. Kalau nama Sarah terbit dalam perbulan mereka Tuan Ramlee cuak sedikit, bukan takut dengan isterinya tapi bimbang dengan reaksi isterinya.

Memang anti sungguh dia dengan nama Sarah. Tak tahulah kenapa dia tak suka sangat dengan budak Sarah tu. Pada pandangan matanya memang baik sangat budak tu. Memang dia suka sangat dan kalau boleh nak jadikan Sarah sebagai menantu mereka.

Riak wajah Puan Khalisah berubah seratus peratus. Riak terkejut, riak marah dan riak beremosi.

“Kenapa?” Puan Khalisah memandang tepat ke wajah Tuan Ramlee. Hatinya panas tiba-tiba. Memang pantang betul kalau nama Sarah ada celah-celah perbualan mereka.

“Maksud Lis?” Soal Tuan Ramlee tidak mengerti.

“Kenapa abang perlu ambil budak tu bekerja dengan abang? Abang dah ambil dia bekerja di rumah kita, sekarang nak ambil dia bekerja di syarikat kita pula? Kenapa dengan abang ni?” Sumpah dia memang tak puas hati dengan tindakan suaminya.

Masih tidak berpuas hati, Puan Khalisah menambah. “Ke abang dah syok sangat dekat budak tu sampai abang nak ambil dia kerja dengan abang? Biar nampak muka dia hari-hari? abang sedar tak berapa beza umur abang dengan budak tu? Dia tu dah boleh jadi anak abang! Abang jangan buat gila, nanti Lis jadi lebih gila dari abang.” Nafas Puan Khalisah tercungap-cungap. Dia sudah tidak betah duduk diam sahaja.

Tubuh yang tadi sedang bermalas-malas sudah tegak berdiri di hadapan Tuan Ramlee. “Abang ingat sikit bang, anak-anak kita dah besar. Abang jangan nak tunjuk contoh yang tak elok macam arwah abah buat dekat ibu dulu. Abang jangan cakap yang abang dah lupa apa yang ibu lalui!”

“Astagfirullah hal ‘azim. Apa yang Lis merepek sampai nak bersangkut-paut dengan arwah abah ni. Itu abah Lis, jangan bercakap macam orang takde iman, Lis. Mengucap sikit.” Tuan Ramlee masih cuba menyabarkan isterinya. Dia tahu Puan Khalisah fobia dengan apa yang dilalui oleh ibunya suatu masa dahulu.

“Lis tak kira! Lis tak setuju dengan cara abang.” Puan Khalisah menggeleng-geleng kepalanya. Kakinya berjalan mundar-mandir di hadapan Tuan Ramlee.

“Lis, abang kesiankan Sarah. Dia masih muda, kita kena bagi dia peluang untuk bekerja yang boleh menjamin masa depannya.”

Puan Khalisah geleng kepala. Tidak percaya dengan tindakan suaminya yang mahu memberikan kerja kepada orang gaji barunya. Kenapa dengan suaminya? Sudah tidak waras atau sudah terkena guna-guna?

“Abang jangan cari pasal dengan Lis. Lis tak suka! Lis tetap tak suka sampai bila-bila!” Puan Khalisah mula meninggikan suaranya.

“Takkan pasal ni Lis nak tinggikan suara dengan abang? Mana Khalisah yang lemah-lembut dan penyayang? Mana isteri abang yang bercakap dengan sopan? Kenapa Lis layan Sarah macam ni? Apa salah dia dekat Lis?”  Tuan Ramlee berdiri tegak di hadapan Puan Khalisah.

Dia mahu membuka mata isterinya yang sudah dikaburi dengan perasaan cemburu dan perasaan amarah yang tidak logik. “Lis, marah ni sifat syaitan. Jangan biarkan rasa marah mengusai hati Lis.”

“Lis takkan marah kalau abang tak buat Lis marah. Lis marah sebab abang yang buat Lis marah!” Balas Puan Khalisah sambil menjeling tidak puas hati kepada suaminya.

“Mama, kenapa mama cakap dengan papa macam tu?” Puan Khalisah dan Tuan Ramlee kalih serentak.

Sesusuk tubuh manusia yang sedang berdiri di anak tangga terakhir itu dipandang dengan riak wajah terkejut. Mungkin ini kali pertama anak mereka melihat mereka bertekak seperti ini.

“Selama Jee takde dekat rumah, papa dengan mama selalu macam ni?”

“Jee, jangan salah faham. Kami bukan bergaduh. Papa cuma bersembang dengan mama. Mama ni yang emosi sikit, Jee jangan fikir yang bukan-bukan ya?” Bimbang jika anak gadisnya berfikir yang bukan-bukan tentang insiden yang dilihat.

Salah dia juga, jika dia bersembang dengan isterinya di dalam bilik mungkin Jihan tidak akan nampak kejadian seperti ini.

“Papa Jee ni ambil Sarah kerja dengan syarikat. Memanglah mama marah!” Puan Khalisah cuba mendapatkan simpati Jihan. Dia berharap Jihan akan menyebelahi dia.

Jihan ternganga. Rasa macam tak percaya apa yang dia dengar. “Betul ke papa? Ya Allah, seronoknya! Jee suka sangat dengan Kak Arah. Bila dia boleh mula kerja?” Jihan berjalan pantas mendapatkan Tuan Ramlee. 

Memang itu niat Jihan, turun ke bawah untuk mencari papanya dan berbincang tentang hal ini. Dia memang suka kalau Sarah boleh bekerja di syarikat mereka kerana Sarah pun lulusan universiti jadi pasti gadis cantik itu boleh belajar dengan cepat tentang hal-hal syarikat.

“Kalau tak silap Jee, Kak Arah pernah cakap dengan Jee dia suka bidang akauan. Mungkin papa boleh bincang dengan Kak Arah pasal ni.” Jihan mengusulkan cadangannya.

“Jadi Jee pun setuju kalau perempuan tu kerja di syarikat kita kemudian rampas semua benda yang jadi milik kita sekarang ni?” Sakit hati dengan sikap Jihan yang langsung tidak menyebelahi dia.

Jihan tergelak kecil. “Mama, Kak Arah tu bukan tahu apa-apa pun pasa; syarikat da harta keluarga kita. Kalau dia nak rampas semua harta kita, mama tahu ke caranya?”

Puan Khalisah yang mahu menjawab cuba menahan bibirnya supaya tidak memuntahkan kata-kata tersebut. Masakan Sarah bodoh sangat, goda suami dia supaya tersungkur di kaki dia dan ambil semua harta mereka. Bukan susah.

“Mama tak kuasa nak cakap dengan Jee pasal ni. Mama cuma nak cakap yang mama tak setuju dengan cadangan ni. Jee sebagai anak mama, rasanya Jee tahu apa perasaan mama kalau Jee belakangkan mama dalam buat apa-apa keputusan.”  Puan Khalisah bangkit meninggalkan ruang tamu dan menuju ke tingkat atas.

 “Memandangkan mama tak setuju, papa tak boleh ambil Sarah kerja dengan syarikat kita. Papa tak mahu lukai hati mama.” Jihan terdiam dan seraya mengangguk. Dia tahu betapa papa sangat mencintai mamanya.

Di tingkat atas, Puan Khalisah menghempas pintu bilik tidur dengan sekuat hatinya. Memang sakit hati dengan anak dan suaminya. tak habis-habis dengan Sarah. Sarah. Sarah. Ingat dia dalam rumah ni tunggul ke?

Kalau betul Sarah memang akan masuk bekerja di syarikat suaminya, tahulah dia apa yang dia nak buat.

Perbualan dengan ibunya, Puan Mariah beberapa hari yang lalu terngiang-ngiang di cuping telinga.

“Kamu tengok sikit suami kamu tu Lis. Entah-entah orang gaji muda kamu tu bukan sekadar orang gaji. Lelaki sekarang bukan boleh percaya. Semakin dia berjaya, semakin dia lupa tanggungjawab kepada anak isteri. Arwah abah kamu dulu, bila sudah meninggal kamu lihat sendirikan dua, tiga orang perempuan datang ke rumah menuntut harta.” 

Puan Khalisah diam seribu bahasa. Kematian kata untuk membalas kata-kata ibunya. “Lis, ibu bukan nak takut-takutkan kamu. Semakin berjaya seorang lelaki, semakin ramai perempuan datang menghimpit. Kalau tak kuat iman boleh tersungkur di kaki perempuan lain. Kamu nak laki kamu tinggalkan kamu?”

“Ibu rasa Abang Lee akan buat Lis macam tu ke?” Mendatar ayat yang terbit dari bibir Puan Khalisah. Dia perlukan seseorang untuk berbual. Dia rasa sesak jiwanya membuat pelbagai tafsiran sendiri.

“Ibu kenal suami kamu dah lama tapi yang lebih kenal sikap suami kamu ialah kamu sendiri. Ibu hanya boleh nasihatkan kamu berhati-hati. Kita tak tahu apa yang dia buat di belakang kita.” Puan Khalisah angguk perlahan.

Puan Khalisah masih ingat lagi betapa ibunya menderita apabila mendapat tahu bahawa suami yang paling dicintainya berkelakuan curang di belakangnya. Berkahwin di Thailand dan mempunyai tiga orang isteri termasuk ibunya.

Dia masih lagi ingat bagaimana arwah abah yang dia sayangi melayani mereka sekeluarga. Memang pijak semut pun tak mati tapi rupanya sudah mempunyai dua isteri lain. Hanya selepas arwah abah meninggal barulah semua rahsia terbongkar.

Puan Mariah ialah orang yang paling menderita emosi dan mentalnya kerana dia terasa dirinya telah ditipu oleh arwah abah. Lelaki yang dia sanjungi menipu mereka.

Puan Khalisah mengetap bibir. Semakin hari bencinya pada Sarah semakin memuncak. Dia yakin bahawa perempuan itu akan menghancurkan keluarganya nanti. Puan Khalisah perlu menyingkirkan Sarah dari keluarga ini.

Sehingga kini, walauapapun cara yang dia lakukan untuk menyingkirkan Sarah masih tidak berjaya. Ada sahaja halangan yang menimpa. Suaminya pula asyik membela perempuan itu. Jihan pun bukan main lagi sayang kepada perempuan itu. Benci sungguh hatinya.

2 comments :

  1. Baby mio - Cepat baca bab seterusnya dah up ni. :) Tunggu ada siap dh sampai bab 21 ni. Nanti akan muncul. Hiks. Tulis laju-laju nk up bab seterusnya. Yay!

    ReplyDelete