Friday 1 March 2013

Bab 21 Kau Perempuan Itu


Jika bukan kerana didesak oleh Jihan dan Tuan Ramlee, Sarah pun tak datang ke majlis pertunangan Arif Shah dan Marliana. Melihat kecantikan Marliana sebentar tadi, Sarah terasa dirinya begitu kerdil. Busana yang dikenakan pada tubuh Marliana pun tidak mampu dibeli olehnya, inikan pula mahu duduk di atas pelamin yang dihias cantik itu.


Pelamin yang sangat cantik dipenuhi dengan ratusan bunga ros hidup itu sangat memukau pandangan mata.
Bermimpi sampai ke bintang pun dia tidakkan akan berkahwin dengan Arif Shah. Sarah nekad, dia tidak akan sesekali merosakkan kebahagian orang lain. Marliana pun nampak baik dan sopan. Kali pertama dia memandang wajah Marliana, Sarah sudah memuji kecantikan yang ada pada wanita ini.

Arif Shah yang duduk di sisi Marliana nampak sungguh kacak dengan baju melayu krim yang digosok olehnya tengah hari semalam. Tidak sangka baju yang digosok itu adalah baju lelaki yang berjaya mendapat sedikit tempat dalam hatinya selepas Ikram.

Masih segar diingatan pengakuan demi pengakuan Arif Shah yang melutut di kaki dia malam semalam. Cintakan dia? Tidak mungkin. Arif Shah hanya terkeliru dengan perasaannya ketika ini. Dia hanya mencintai Marliana. Tidak mungkin Sarah mampu menggantikan tempat Marliana dalam hati Arif Shah. Tidak mungkin! Dia sedar kedudukan dirinya dalam keluarga ini semenjak dia tahu bahawa Arif Shah ialah anak kepada majikannya.

Terlayar riak wajah kecewa Arif Shah pada malam tadi. Bahkan lelaki itu menangis kerana Sarah berkeras menolak cintanya. Namun pada hari ini Arif Shah tersenyum bahagia di sisi tunangnya. Sarah masih mampu mengawal riak wajahnya. dia tidak mahu sesiapa pun dapat mengesan perasaan gundah di hatinya.

Tersedar dia jauh mengelamun, Sarah segera bangkit untuk meninggalkan kawasan ruang tamu rumah mewah milik keluarga Marliana. Akibat tergesa-gesa mahu menyarung kasut ke kakinya, tubuhnya terlanggar seseorang.

“Sakit hati?” Sarah terkejut dan segera mendongak. Ari Aqashah!

“Maksud awak?” Sarah menunjukkan riak wajah tidak mengerti.

“Jangan ingat I pekak. I pun tak buta.” Ari Aqashah berteka-teki.

Memang dia tak pernah anggap Ari Aqashah pekak atau buta tapi satu sahaja yang dia tahu, lelaki itu bongkak, bukan pekak.

“Kalau awak nak main teka-teki dekat sini, awak silap orang. Saya tak berminat dengan teka-teki awak.” Balas Sarah sedikit geram.

I ingatkan you, you jangan nak menjadi perosak rumahtangga orang lain ya. Kalau keluarga I porak-peranda because of you, I takkan lepaskan you! Ingat apa I cakap ni dalam kepala otak you!” Suara garau itu keras memberikan amaran. Ugutankah ini?

Sarah memandang Ari Aqashah dengan pandangan tajam. Tak perlu mengajar dia bagaimana untuk hidup atau memberikan ugutan kepadanya. Dia tidak gentar kerana dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Saya tak faham apa yang awak cakap. Siapa pula yang nak porak perandakan keluarga awak? Saya? Apa yang saya boleh buat?” Sengaja mahu menyakitkan hati Ari Aqashah. Selama ini Ari Aqashah sahaja yang selalu mempermainkan dia. Kali ini apa salahnya kalau dia pula yang bermulut puaka.

Ari Aqashah tergelak kecil. “Tak faham atau buat-buat tak faham? You jangan ingat I bodoh.”

Tak pernah pun cakap dia bodoh, sekarang Ari Aqashah sendiri mengaku dia bodoh ke? Kalau menjawab nanti cakap dia kurang ajar pula, kalau diam marah. Susah nak layan orang macam ni.

Malas mahu mendengar cakap-cakap pelik Ari Aqashah, Sarah segera berlalu. Ari Aqasha menyambar tangan Sarah yang mahu berlalu pergi. “Sakitlah Ari!” Nada suara dikeraskan.

“What? Who is Ari? I am Encik Ari!” Cengkaman di lengan Sarah dikuatkan. Sarah terasa mahu menangis. Jihan tidak pernah membahasakan dirinya sebagai Cik Jihan atau Cik Muda Jihan. Arif Shah juga hanya menggunakan ‘saya’ dan ‘awak’.

Sorry, Encik Ari. Can you please let me go? You are hurting me.” Sengaja Sarah menekan perkataan ‘encik’ pada nama Ari Aqashah.

Tidak membalas kata-kata Sarah, Ari Aqashah melepaskan pegangan pada tangan gadis itu. Sarah segera berlalu pergi sambil menggosok-gosok lengannya. Rasa meluatnya terhadap Ari Aqashah membuak-buak. Berlagak! Sombong! Bongkak!

Lengannya yang sedikit kemerahan itu dipandangnya sayu. Kenapa Ari Aqashah berkasar dengannya tiba-tiba? Apa kesalahan yang dia lakukan? Inikah sikap Ari Aqashah? Panas baran?

Tidak pernah mengenali Ari Aqashah secara dekat, dia hanya tahu lelaki itu sombong seperti Puan Khalisah. Bersikap sombong dengan dirinya, bukan dengan orang lain. Pelik betul sikap dua beranak ini.

Ternampak kelibat Jihan yang sedang bersembang dengan Tuan Ramlee, Sarah cepat-cepat mendekati dua beranak itu. Di sini dia tidak mengenali sesiapa kecuali keluarga Tuan Ramlee. Lengan Jihan dipaut mesra.

“Sembang apa ni? Boleh akak join sekali?” Tuan Ramlee tersenyum. Suka dengan gadis ini.

“Arah dah makan? Jom makan sekali dengan kami.” Ajak Tuan Ramlee.

“Akak mesti belum makan. Jom kita pergi makan. Along sibuk bergambar dalam rumah.” Ah, kenapa perlu disebut tentang Arif Shah ketika ini. Rasa hatinya yang telah surut kembali membengkak.

Tanpa menunggu balasan dari Sarah, Jihan segera menarik tangan Sarah supaya mengikutnya. Sarah tidak membantah. Perutnya juga lapar. Melihat pelbagai jenis makanan yang disediakan, laparnya bertambah dua kali ganda. Sedap betul roti jala dengan kuah kari. Wow! Ada nasi beriani! Laksa pun ada jugak?! Mana satu nak makan dulu ni?

Sarah mencedok sedikit mee ke dalam mangkuk polisterine. Sedap pulak tengok mee kari. Memang umpph betul majlis pertunangan orang kaya. Makanan melimpah-ruah. Kalau majlis macam ini, jangankan ketika bertunang, berkahwin pun dia tidak mampu. Agaknya nanti majlis kahwin macam manalah agaknya.
“Sedap betul mee kari ni kan kak. Papa tak nak rasa mee kari ni ke?” Tuan Ramlee yang sedang makan laksa memandang Jihan.

“Sabar la, kejap lagi semua makanan papa makan. Kena tunggu mama kejap, sibuk sangat berbual dengan kawan-kawan dia tu. Entah apa yang dibualkan tak tahulah. Tak lapar ke?” Sempat lagi fikir tentang perut Puan Khalisah, Jihan dan Sarah tergelak besar.

“Papa nak pergi panggil mama kejaplah. Nanti papa datang sini balik. Jangan makan laju sangat.” Jihan angguk laju.

“Jangan risau pa, we will wait for you forever.” Tuan Ramlee menghilang di celah-celah manusia yang agak ramai.

Melihat pasangan bahagia yang sedang berjalan ke arah meja mereka, selera makan Sarah mati. Mee yang masih berbaki dalam mangkuk dipandang sepi. Tadi bukan main sedap lagi mee kari ni, sekarang ni dah rasa tak sedap pulak.

“Sarah! Makan banyak sikit. You nampak kurus sangat.” Baik sangat Marliana. Memang takkan sampai hati untuk melukakan hatinya. Macam mana Arif Shah tegar mahu melukai wanita secantik dan sebaik ini. Perasaan marah menjalar dalam hatinya terhadap Arif Shah.

Arif Shah memandang Sarah dengan pandangan sayu. Sarah buat-buat tidak perasan dengan pandangan Arif Shah.

“Cantik betul maid rumah you sayang. By the way Sarah, kenapa you jadi maid?” Soal Marliana tanpa berselindung. Terlalu jujur dan terlalu ingin tahu, mungkin. Tangannya tanpa segan silu memaut lengan sasa Arif Shah. Ya lengan sasa sebab memang sasa! Tapi tidak mampu mengalahkan lengan sasa Ari Aqashah.

Sarah tersenyum sambil membetulkan duduknya. Lengan baju kurung moden berwarna pastel  yang disinsing sebentar tadi ditarik ke bawah.

“Sebab takde kerja. Lagipun abah saya dah lama bekerja dengan Tuan Ramlee.” Apa kaitan dengan abah dengan pekerjaannya ini, hanya dia yang tahu. Abah mahu membalas budi. Budi yang ditaburkan oleh Tuan Ramlee kepada dia sekeluarga.

Marliana hanya mengangguk perlahan. Namun dihatinya masih berasa ragu dengan kehadiran Sarah dalam keluarga bakal mentuanya. Terlalu cantik dan muda pembantu rumah ini, takut-takut ada yang berkenan pula nanti. Namun keraguan itu sedaya upaya ditepis jauh-jauh. Tidak mahu meragui bakal suaminya. Bukan sekejap dia mengenali Arif Shah. Lebih dari lapan tahun dia mengenali dan berada di sisi lelaki yang paling dia cintai.

Pasti orang lain pelik kenapa dalam tempoh lapan tahun baru hari ini dia bertunang denga Arif Shah. Jika bukan kerana Kamal yang mahu meminangnya, tidak mungkin Arif Shah mahu bertunang dengannya pada hari ini. Marliana berterima kasih dengan Kamal kerana berjaya melakonkan wataknya dengan baik iaitu berpura-pura memikat dan mahu menyuntingnya sebagai suri hidupnya.

“Kalau you tak nak pinang I, family I akan terima pinangan keluarga Kamal. You pun tahu kan parents I dah lama berkawan dengan parents Kamal. I tak nak kahwin dengan Kamal, I nak kahwin dengan you.” Bukan senang mahu memujuk Arif Shah untuk mengikat tali pertunangan namun semua usaha tidak sia-sia.
Mungkin kerana berasa tergugat dan sedikit tertekan dengan desakan Marliana, akhirnya Arif Shah mengalah dan pada hari ini sesungguhnya Marliana bersyukur kerana dia telah selamat menjadi tunang kepada lelaki ini. Lelaki yang sangat-sangat dia cintai.

Disamping usaha yang tidak putus-putus, Marliana yakin bahawa jodohnya adalah dengan Arif Shah. Setiap hari dia memohon petunjuk daripada Allah swt supaya memberikan dia jodoh yang baik dan beriman. Ternyata Arif Shah adalah lelaki yang berbaik untuknya.

 “Kenapa?” soal Arif Shah kepada Marliana. Marliana yang tersenyum-senyum tersentak.
Nothing. Teringat kenangan lama. I love you, sayang.”

Arif Shah terdiam seketika. “I love you too.” Antara ikhalas atau tidak, Arif Shah tidak pasti. Yang pastinya dia tahu bahawa dia menyayangi wanita yang telah selamat menjadi tunangnya ini, namun dalam masa yang sama dia masih mahukan Sarah berada di sisinya.

Kenapa Sarah? Kenapa Sarah berjaya menawan hatinya? Kelembutan dan ketabahan gadis ini semasa melayani Puan Aida yang sedang sakit tenat di hospital beberapa bulan yang lalu benar-benar menawan hatinya. Sarah bercakap dengan nada lemah lembut. Sangat sopan dan kebanyakkan jururawat yang berurusan dengan gadis ini sangat menyenangi dirinya. Pernah juga Arif Shah terdengar perbualan-perbulan nakal yang mencemburui kecantikan dan sikap sopan yang dimiliki oleh Sarah. Kata mereka itu semua hanya dibuat-buat kononnya untuk memikat dia.

Tidak mungkin gadis itu hanya berlakon baik. Sarah memang seorang gadis yang baik dan sopan. Sering berbaju kurung moden kain kapas, sikap merendah diri dan keayuan gadis itu tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia memang menyenangi gadis itu sejak kali pertama bersua muka di rumah teman Jihan lama dahulu.
Kata-kata nista yang dilemparkan kepada Sarah langsung tidak diambil pusing. Dia yakin Sarah memang seorang gadis yang baik dan sempurna namun ketika itu dia langsung tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap gadis itu sehinggalah Sarah tiba-tiba hilang dari matanya.

Sangkanya dia tidak akan bertemu lagi, mereka bertemu lagi di hospital. Kemudian bertemu pula di rumahnya sendiri. Bodohnya dia! Kenapa dia tidak bertanya dengan lebih lanjut kepada Jihan ketika Jihan asyik menceritakan tentang Sarah dan ketika Jihan mahu memperkenalkan dia dengan Sarah, Argh! Kenapa dia tidak bekeras mahu berjumpa dengan gadis itu! Jika dia tidak menolak perlawaan Jihan, pasti Sarah ialah tunangnya ketika ini.

Suasana di meja bulat itu tidak semeriah meja-meja lain. Hanya sesekali terdengar Marliana ketawa kerana diusik oleh Jihan. Mata Sarah ligat melilau sekeliling majlis pertunangan. Tidak selesa berasa satu meja dengan Arif Shah namun ke mana boleh dia pergi? Kalau Jihan yang bertunang bolehlah dia menyibukkan diri di rumah Puan Khalisah tetapi sekarang ini mereka berada di rumah Marliana.



Sekali lagi pandangan matanya berlaga dengan Ari Aqashah yang asyik merenungnya dari jauh. Renungan lelaki itu penuh dengan perasaan benci. Kenapa Ari Aqashah perlu membencinya?

Pelik sungguh dengan sikap anak kedua Puan Khalisah. Apa agaknya yang telah dia lakukan sehingga benci benar Ari Aqashah terhadapnya. Lantaklah! Kalau banyak sangat fikir buat sakit kepala dia sahaja. bukan Ari Aqasha yang bayar gaji kepadanya selama ini. Lagipun lelaki itu sama seperti Puan Khalisah, tidak mempunyai hak untuk memecatnya.

Kalau dia dipecat, nanti dia pergi kerja dengan Tuan Ramlee di syarikat Tuan Ramlee mahu terbeliak mata Puan Khalisah ketika itu. Kalau setakat nak jaga akaun keluar masuk duit syarikat bukan benda sukar pun. Petik jari aje. Bab duit dia memang pakar. Waktu itu, silap hari bulan Ari Aqashah letak jawatan dari syarikat penerbangan dan bekerja dengan bapanya.

Membayangkan perkara yang memang mustahil, Sarah ketawa perlahan.

“Kenapa akak ketawa?” Tertangkap oleh Jihan.

“Oh, akak ketawa pasal cerita Jihan. Kelakar.” Hentam ajelah. Entah apa yang diceritakan oleh Jihan tidak pula dia mendengar sebentar tadi.

“Akak ketawa? Mana ada lawak kak. Jee tengah cerita pasal lelaki yang mainkan perasaan kawan Jee semasa di Australia!” kata Jihan sedikit sedih.

“Alamak. Ye ke? Akak lupalah pulak akak ketawa sebab apa.” Sarah menggeggam jari jemarinya di bawah meja.

************

Morning mama!” Ucap Ari Aqashah sebaik sahaja Puan Khalisah menjawab panggilan telefonnya.

Morning, my son. Kenapa call mama pagi-pagi ni?”

"Mama sihat?" 

"Tak pernah-pernah call mama pagi-pagi macam ni nak tanya khabar mama. Salah makan ubat ke anak mama ni?" Ari Aqashah yang berada di hujung talian tergelak besar. Memang pakar habis mama dia ni, kenal sangat dengan sikap anak-anak dia.

"Ada apa nak minta tolong mama ni? Cakap aje, kalau mama boleh tolong mama tolong. Anything for you."  Amboi, macam tahu-tahu aje mama dia ni yang dia mahu minta tolong. 

“Mama, Ari nak mintak tolong mama bawak maid baru mama tu datang rumah Ari dan tolonglah kemas rumah Ari. And toilet tu mintak dia cuci bersih-bersih sikit. And one more, ada baju kotor Ari tak sempat nak hantar laundry, can you please ask her to wash all my baju, mama?”

“Amboi, panjang betul arahan anak mama ni ye. Itulah, mama ajak balik duduk dengan mamam, Ari taknak. kalau duduk dengan mama kan senang, semua makan pakai Ari mama boleh jaga." 



Ari Aqashah menggaru dagunya. "Ma. Ari bukan nak minta mama pujuk Ari balik tinggal dengan mama tapi Ari nak minta tolong mama kemas rumah Ari, boleh?" 

Puan Khalisah tersenyum manis. "Iye, mama tahu anak mama nak mama bawa maid mama ke sana tolong kemaskan rumah Ari. Cuba Ari bayangkan kalau Ari bali tinggal dengan mama, lepas tu lagi mudah mama nak tengok-tengokkan Ari, kan? Apa kata kalau you think about it?" Puan Khalisah cuba memancing anaknya supaya berfikir untuk berpindah kembali ke rumah banglo milik mereka. 

"Ma, Ari taknak fikir pasal ni. Kat rumah tu kan Along dengan Jee dah ada temankan mama. Lagipun kerja Ari tak menentu. Kalau duduk sini senang, balik lewat malam pun tak ganggu orang tidur. Kalau dekat rumah mama, Ari balik kerja lewat mesti mama tunggu Ari, kan? Nanti mama jatuh sakit, macam mana?" Ada sahaja balasan dari anak bujangnya ini. 

"Ari ni ada aje nak menjawab cakap mama, kan? Ari memang tak sayangkan mama." Nada Puan Khalisah sudah berubah merajuk. 

"No, no. Mama, jangan cakap macam tu. Ari sayang sangat dekat mama. Ari cuma nak hidup sendiri." 

"Ari, dah lama Ari hidup sendiri. Masa dekat London dulu pun bertahun-tahun Ari merantau dekat negara orang. Semua ni papa punya pasal. Suka sangat hantar anak-anak mama jauh dari mama." Puan Khalisah sebak tiba-tiba. 

"Oh ma, please don't start it. Papa nak anak-anak dia berdikari. Tak nak mama terlalu manjakan kami semua." 

Puan Khalisah mengesat air mata yang mengalir di pipinya. "So, Ari memang tak nak pindah balik ke rumah mama lagi?" 

Aih, ingatkan dah habis dah rupanya masih ada lagi. "Nanti bila Ari dah kahwin Ari pindah rumah mama, okay?" 

"Janji?" 

"Ari janji, ma." Ah sudah. Dalam terpaksa menjaga hati mama kesayangannya Ari Aqashah menabur satu lagi janji. Mampuslah jika dia tidak mampu penuhi janji ini. 

"So, nanti mama ke sana Ari ada ke tidak?” Soal Puan Khalisah. Gusar jika anaknya bertembung mata sekali lagi dengan maid baru mereka. Hari tu pun Ari Aqashah bukan main lagi memuji masakan Sarah, takut-takut terpikat pulak. Hai, mintak simpang malaikat empat puluh empat!

Lagipun bukan dia tidak perasan Ari Aqashah asyik memandang Sarah ketika di majlis pertunang Arif Shah beberapa hari yang lalu. Bukan main galak lagi pandangan Ari Aqashah terhadap gadis itu. Naik meluat Puan Khalisah melihatnya.

“Ari outstation two days. So, mama boleh tolong Ari kan?” Lega sebab perbualan pasal pindah rumah sudah pun berakhir. 

“Okay sayang! Nanti mama bawak maid ‘mama’ tu pergi sana ye.” Ari Aqashah tergelak kuat dihujung talian. Sengaja ditekankan perkataan ‘maid mama’ supaya Ari Aqashah tahu betapa dia menyampah dengan perempuan itu.

“Mama! Jangan lupa bagitahu maid mama tu, jangan kacau barang-barang Ari dan jangan ubah susun atur rumah Ari. I hate it!” Tegas. Nampak sangat tak suka orang ganggu barang-barang dia, kedekut betul anak dia yang seorang ini.

“Tahulah. Macamlah mama tak kenal anak mama ni macam mana orangnya. Don’t worry.” Balas Puan Khalisah.

Thank you mama. I love you the most!”

I love you too, Ari.”  Tup. Talian dimatikan. Puan Khalisah menghela nafas panjang. Itulah, orang suruh pindah duduk dengan keluarga sendiri tak mahu, katanya mahu hidup sendiri, mahu ada kebebasan sendiri. 
Kalau tinggal dengan Puan Khalisah, senang dia mahu menjaga makan pakai anak-anaknya. Nasib baik Arif Shah dan Jihan masih tinggal bersamanya. Jika tidak, mahu juga dia meroyan duduk di rumah seorang diri.
Selesai bercakap telefon dengan anak keduanya, Puan Khalisah menelefon ibunya.

“Assalamualaikum. Ibu apa khabar?” soal Puan Khalisah sebaik sahaja panggilan dijawab.

“Waalaikummusalam.Ibu sihat aje. Kenapa call ibu ni?” Balas Puan Mariah. Kebelakangan ini kerap benar anak sulungnya itu menghubunginya.

“Ibu ada di mana?” Soal Puan Mariah kepada anak sulungnya.

“Mestilah ibu ada di rumah, kan Lis telefon nombor rumah ibu ni.” Puan Khalisah terdiam. Ye ke? Entah, dia pun tak perasan dia hubungi nombor mana sebab dia guna telefon bimbit.

“Lis nak ke rumah ibu sekejap lagi. Ada siapa di rumah? Nisah ada datang tak?”

“Kejap lagi Nisah datang dengan anak-anak dia. Datanglah bawak anak-anak kamu Lis. Ibu dah rindu dengan budak-budak tu.”

Nak bawak siapa? Anak-anaknya bukan budak lagi. Semua sudah bekerjaya. Kalau dulu bolehlah dia paksa anak-anaknya ke rumah nenek mereka. Sekarang anak-anaknya sibuk dengan kerja.
“Mana ada siapa pun dekat rumah ni, semua kerja ibu.”

Puan Mariah menghela nafas berat. “Anak-anak kamu sampai takde masa untuk keluarga ke Lis?”

Puan Khalisah mengeluh perlahan. “Ini kan hari Isnin, mestilah kena kerja. Lagipun sekarang ni susag nak cuti sebab banyak kerja katanya. Kejap lagi Lis sampai. Assalamualaikum.”

Butang merah pada telefon bimbitnya ditekan. Talian dimatikan. Tidak mahu mendengat Puan Mariah membebel dalam telefon. Tak larat telinga dia nak mendengar bebelan ibunya. Anak-anak abaikan keluarga sendiri lah, sibuk harta dunia lah, macam-macam lagi kena bebel nanti.

Puan Khalisah bergerak ke almari solek. Mahu berhias ala kadar kerana mahu keluar. Gincu bibir jenama Estee Lauder di oles nipis ke bibirnya. Sehelai tudung ekspress di sarung ke kepala. Warna tudung senada dengan baju blouse bunga-bunga yang dipakai olehnya.

Minyak wangi jenama Jadore disembur ke tubuh. Wangi! Berpuas hati dengan penampilannya, tas tangan jenama Channel berwarna merah darah itu dicapainya.

“Mak Som!” Laung Puan Khalisah di anak tangga terakhir.

Mak Som yang sedang membasuh pinggang di sinki terkocoh-kocoh mendapatkan Puan Khalisah.
“Ye puan.”

“Saya nak keluar pergi rumah ibu saya sekejap. Kalau ada sesiapa cari saya cakap saya takde, ya.”

Mak Som mengangguk faham. “Baik puan. Hati-hati.”

Puan Khalisah berlalu meninggalkan Mak Som.


3 comments :

  1. Harap dpt kuar cerita ini dlm versi bercetak....tak sabar nk bc sambungan cerita ni....best sgt sbb watak sarah yg kuat hadapi dugaan...tidak lemah dlm percintaan...tidak menunjukkan wanita itu lemah n bodoh dlm percintaan....

    ReplyDelete
  2. Harap dpt kuar cerita ini dlm versi bercetak....tak sabar nk bc sambungan cerita ni....best sgt sbb watak sarah yg kuat hadapi dugaan...tidak lemah dlm percintaan...tidak menunjukkan wanita itu lemah n bodoh dlm percintaan....

    ReplyDelete