Monday 4 March 2013

Bab 22 Kau Perempuan Itu



Lambat-lambat Sarah melangkah masuk ke dalam rumah itu. Liur ditelan dua kali. Matanya terbeliak melihat keadaan rumah macam kena pecah masuk oleh pencuri. Hatinya berdebar hebat.

“Bismillahirrahmanirrahim…” Tombol pintu masih digenggam kuat.

Cuak jugak kalau-kalau ada pencuri dalam rumah ini. Telinganya ditajamkan supaya dapat menangkap bunyi-bunyi pelik dalam rumah. Kalau-kalau ada bunyi pelik boleh dia teruk menarik daun pintu dan melompat keluar.

Tiada.

Nafas di tarik dalam-dalam. Bersedia untuk membuat semua kerja. Kalau ikutkan hatinya, memang malas dia mahu datang ke rumah Ari Aqashah malam-malam begini tetapi semasa menghubungi Encik Sulaiman memberitahu bahawa dia perlu kerja lebih masa, Encik Sulaiman memberitahu bahawa dia sudah pun mengetahui hal tersebut melalui Tuan Ramlee. Ahalai, memang tak boleh nak ponteng kerja!

Sarah menyingsing lengan bajunya. Rambut yang dibiarkan lepas sebentar tadi digenggam sedikit demi sedikit dan ditocang satu. Bersedia untuk menunjukkan bakat mengemas rumah. Ah, kemas rumah pun perlukan bakat ke?

Jam di dinding dikerling. Pukul 8.20 malam. Dia ada masa lebih kurang dua jam setengah untuk mengemas rumah Ari Aqashah. Menurut Puan Khalisah, anaknya itu akan tiba di rumah pada jam 11.00 malam ini.  
Dua jam setengah untuk mengemas rumah yang macam tongkang pecah ini? Ya Allah, apa buruk benar perangai Ari Aqashah ni? Habis dikecahnya baju-baju kotor serata rumah. Perangai mengalahkan budak kecil.

Ke mamat ni memang suka nak menyusahkan dia? Atau Ari Aqashah memag sudah merancang bahawa Sarah akan datang pada hari ini, jadi dia sengaja menyepahkan semua pakainnya? Sah! Memang jenis perangai dengki betul Ari Aqashah ni. Buruk punya perangai!

Dalam hati Sarah menyumpah seranah perangai Ari Aqashah. Memang lelaki itu tidak sukakan dia sejak pertama kali mereka bertemu dahulu lagi. Tambahan pula sekarang ini bila tahu Sarah bekerja di rumah orang tuanya, lagilah dia suka buli!

Dengan perasaan sebal yang terpaksa diikhlaskan, Sarah menjalankan tanggungawabnya. Puan Khalisah akan menjemputnya pukul 10.30 malam nanti. Dia perlu mengemas dengan segera. Entah kenapa Puan Khalisah tidak membenarkan dia datang pada waktu siang. Sangaja mahu mendera waktu rehatnya. Ish, tak baik menuduh. Mungkin Puan Khalisah sibuk waktu siang, tidak sempat untuk menghantarnya ke mari.

Sebuah bakul berwarna kuning diambil dari ruang membasuh pakaian. Pakaian yang bertaburan di lantai dan seluruh kawasan ruang tamu dipungut masuk ke dalam bakul baju. Ei, sakitnya hati kalau dapat suami perangai buruk macam ni! Pemalas nak mampus.

Selesai bahagian ruang tamu, Sarah bergerak ke ruang dapur. Mata Sarah terbeliak. Nasib baik tak jatuh ke tanah mata dia ni. Ya Rabbi, banyaknya pinggan kotor dalam sinki. Sarah mengetap bibirnya. Sah, Ari Aqashah memang sengaja nak kenakan dia.

Astaghfirullah hal’azim… Macam mana nak ikhlas kalau asyik bersungut ni. Macam mana tak bersungut, Ari Aqashah punya cara untuk kenakan dia memang mendera! Sakit hati betul. Rasa nak hempas-hempas pinggan mangkuk kaca ni biar pecah berderai!

Pinggan mangkuk yang tersadai dalam sinki dicuci penuh berhati-hati. Sopan dan penuh keayuan sampai tiada bunyi pinggan berlaga.

Dalam masa yang sama, semua baju-baju yang dipungut di ruang tamu sebentar tadi dimasukkan ke dalam mesin basuh. Sabun basuh baju Dynamo dituang ke dalam mesin basuh itu. Beberapa butang pada mesin basuh ditekan dan penutup mesin basuh itu ditarik oleh Sarah supaya menutup mesin basuh itu. Tidak lama kemudian terdengar bunyi air menderu turun memenuhi ruang dalam mesin basuh.

Selesai sudah ruang dapur. Bibir mengukir senyuman. Pantas juga dia membuat kerja. Masih ada beberapa tempat lagi yang perlu dia kemaskan iaitu bilik tidur, tandas dan bilik membaca Ari Aqashah. Bilik tidur entah apa gaya.

Mata Sarah meliliau sekeliling rumah Ari Aqashah. Susunan perabut yang cantik. Good taste jugak anak lelaki Puan Khalisah. Sama macam Puan Khalisah. Rumah banglo milik Tuan Ramlee memang sangat-sangat cantik. Susun atur perabut yang sangat mewah. Sama seperti rumah Ari Aqashah. Nampak moden rumah anak bujang Puan Khalisah.

 “Kau jangan ubah apa-apa susunan dalam rumah anak aku!” Terngiang-ngiang pesanan dari Puan Khalisah sebelum dia turun dari kereta sebentar tadi.

Kalau banyak sangat benda yang terlarang tak boleh dibuat di rumah Ari Aqashah, kenapa Puan Khalisah tidak naik sama ke atas untuk melihat dia membuat kerja? Kalau ada Puan Khalisah bersama dengannya, dia tahulah mana yang boleh dia lakukan dan apa yang tak boleh.

Sekurang-kurangnya ada yang memantau pergerakan dia. Kalau ada barang yang hilang nanti tuduh dia pula yang mencuri.  Ini nak pergi jumpa kawan pulak malam-malam begini.

Good job Sarah. Sekarang kemas ruang atas pula. Let’s move!”  Sarah tersenyum sendirian sambil menggoyangkan punggungnya menyanyikan lagi Madagascar Let’s Move It, Move It.

Sempat pula dia nak buat lawak sekarang ni. Sudah Sarah, jangan nak menyanyi sangat. Banyak lagi kerja nak kena buat sekarang ni.

Kaki melangkah menuju ke tingkat atas pula. Besar betul apartment dua tingkat milik Ari Aqashah. Ingatkan mak ayah aje yang kaya gila, rupanya anak pun kaya juga. Rumah mewah tapi bersepah mengalahkan kandang lembu! Teruk betul.

Tangan Sarah memulas tombol pintu bilik utama. Belum sempat kakinya melangkah masuk, dia terdengar bunyi loceng dan ketukan kuat di pintu utama. Jam ditangan pergelangan tangan kirinya dikerling. Baru pukul 9.45 malam, Takkan Puan Khalisah dah sampai. Ada masa lagi empat puluh lima minit lagi ok. Mana dia habis kemas lagi ni!

Kaki melangkah turun semula. Ketukan bertambah kuat. Puan Khalisah ni tak reti nak bersabar sedikit ke?
‘Sabar puan , sabar. Saya tengah turun tangga ni!’Ngomel Sarah dalam hatinya.

Sakit pula hatinya dengan sikap Puan Khalisah yang langsung tidak boleh bersabar. Dia tengah turun tangga sekarang ni!

Sampai di depan pintu, nafas ditarik dalam-dalam. Bersiap sedia untuk disembur oleh Puan Khalisah sebentar lagi. Ready! Go.

Untuk seketika, Sarah terlupa cara untuk bernafas. Terasa sempit rumah Ari Aqashah. Kaki menapak sedikit ke belakang. Terkejut dengan kehadiran beberapa manusia di hadapannnya kini. Degupan jantung berentak tiga kali lebih pantas daripada kebiasaannya.

“Cik. Cik berada di rumah ini dengan siapa?”. Soal lelaki yang berkopiah putih itu. Kasar. Takkanlah macam ini cara datang rumah orang. Ya Allah..

“Kita masuk aje ustaz! Ada lelaki ni!” Sergah seorang lagi lelaki yang berdiri di sebelah ustaz itu. Sarah tergagap-gagap mahu menjawab.
Terasa jantung yang mengepam darah seolah-olah tidak mampu untuk mengepam darah yang bergerak terlalu laju. Sumpah, dia rasa sempit ruang jantung dia sekarang ini. Rasa macam ada sesuatu sedang mencengkam jantungnya. Sakit.

“Saya seorang diri, en..Ustaz. Saya pem…” Sarah tidak tahu bagaimana mahu menggelar lelaki yang sedang berdiri di hadapannya kini. Encik ke, tuan ke, pak cik ke, ustaz ke?

Walaupun tahu dia seorang diri di dalam rumah ini, namun Sarah tetap berasa gentar kalau-kalau lelaki yang berdiri di hadapannya ini bukanlah pencegah maksiat sebaliknya orang jahat yang hanya berlakon sebagai pencegah maksiat.

Tambahan pula sekarang ni macam-macam kemungkinan boleh berlaku. Manusia yang baik pun tidak semestinya baik. Mana tahu kalau-kalau manusia yang berdiri di hadapannya kini adalah manusia bertopengkan syaitan. Astaghfirullah.. Sarah mengucap panjang. Minta-minta dijauhkan dengan perkara buruk seperti itu.  

Seram sejuk tubuh Sarah. Jika diambil pisau dan ditoreh wajahnya pada saat ini nescaya tiada darah yang keluar.

“Kenapa ni?” Belum sempat Sarah menghabiskan kata-katanya, satu suara garau menegur dari belakangnya. Sarah tersentak. Segera tubuhnya dipalingkan ke belakang. 

Ari Aqashah! 

Ari Aqashah memandang Sarah dengan pandangan terkejut. Sarah yang terpandang Ari Aqashah hanya bertuala separas lutut segera mengalihkan pandangannya.


Dalam otaknya ligat berfikir tentang kehadiran Ari Aqashah yang secara tiba-tiba muncul dari belakangnya. Apa muslihat lelaki ini? Bukankah dia bekerja pada hari ini? Ya Allah.. lindungilah hambamu ini Ya Allah.

“Kau buat apa di sini?” Soal Ari Aqashah kepadanya. Riak serius ditayangkan.

Apa? Ari Aqashah menyoal dia buat apa di sini? Hey, sepatutnya Sarah yang menyoal apa yang sedang Ari Aqashah lakukan di sini? Maksud Sarah pada waktu ini. Bukankah lelaki itu sepatutnya pulang pada pukul 11.00 malam nanti?

Serta-merta Sarah berasa seperti hendak pitam. Lututnya terasa lemah longlai. Rasa macam dah tak larat lagi nak tampung berat badan dia sekarang ni. Tangan Sarah segera mencapai pintu rumah Ari Aqashah dan berpaut di situ.

Melihat Sarah dan Ari Aqashah yang masing-masing terdiam dan memandang antara satu sama lain, empat orang lelaki yang masih berdiri di muka pintu menegur mereka.

“Encik, boleh saya tanya ada sesiapa lagi di dalam rumah ini?” soal lelaki yang berbaju melayu berwarna merah pekat. Suaranya juga lebih lembut berbanding dua orang lelaki tadi yang seperti mahu menelan dia. Tanya pun macam nak tengking orang.

Tersentak dengan soalan yang diajukan, Ari Aqashah kalut. Riak wajah lelaki tampan itu Dengan siapa perempuan ini datang. Mama? Mana mama?

“Mana mama aku?”

What? Mana mama? Apa Ari Aqashah ingat dia simpan Puan Khalisah dalam kain baju kurung dia ke?! Apa punya soalan bodoh yang diajukan kepadanya ketika ini? Adakah Ari Aqashah juga sudah bingung seperti dia dikala ini?

Sarah hanya menggeleng. Melihat reaksi yang langsung tidak membantu, Ari Aqashah naik berang. “Mana mama aku?!” Kedua-dua belah pipi Sarah dicengkam kuat. Sabarnya hilang serta-merta. Dengan siapa perempuan ini datang?

“Sakit Encik Ari.” Rintih Sarah.

Anak mata Ari Aqashah tidak berani untuk ditentang. Takut melihat wajah bengis yang sedang memamah setiap inci wajahnya bagaikan harimau yang mahu membaham mangsanya.

“Kau datang dengan siapa? Mana mama aku?!” Jerkah Ari Aqashah. Sarah kecut perut. Terasa sungguh kerdil saat ini. Air mata deras mengalir membasahi pipi. Apalah nasibnya selepas ini.

Terdengar kasar nafas Ari Aqashah pada pendengaran Sarah. Ya Allah, selamatkan aku Ya Allah.

“Memandangkan tiada orang lain didalam rumah ini, encik dan cik diminta supaya mengikut kami ke pejabat agama sekarang.” Sarah terasa mahu pitam. Ya Allah, dugaan apakah ini. Di manakah Puan Khalisah?

Sesungguhnya dia memerlukan Puan Khalisah pada saat ini. Pintu bilik di dipandang Sarah penuh pengharapan. Moga-moga ada keajaiban berlaku, Puan Khalisah tiba-tiba muncul dari pintu itu.

Tiada.

 Sebak di hati Sarah hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Ari Aqashah masih lagi membuat tawaf di sekeliling ruang tamu. “Saya minta maaf encik, ustaz. Mungkin ini salah faham. Saya tak kenal perempuan ini.” Ari Aqashah berhenti di hadapan televisyen besar rumahnya. Matanya memandang wajah lelaki-lelaki yang berdiri membelakangkan Sarah.

“Saya minta maaf encik. Memandangkan tiada sesiapa di rumah kami terpaksa membawa encik dan pasangan encik ke pejabat agama. Sila beri kerjasama.” Ya, Ustaz berkopiah putih itu mula bercakap dengan suara lebih tenang berbanding sebentar tadi.

Ari Aqashah menggelengkan kepalanya. “Dia bukan pasangan saya. Saya tak tahu dia ada di rumah. Sumpah saya langsung tak tahu ustaz.”

Sarah hanya mendiamkan dirinya. Biarlah Ari Aqashah yang bersuara. Biarlah Ari Aqashah yang menyelesaikan semuanya. Dia hanya menurut sahaja.

Rak kasut berhampiran dicapainya untuk membantu dia berdiri. Terasa lemah seluruh urat sendiri. Rentak jantungnya tidak mampu dikawal. Dia tidak mampu lagi untuk bertenang. Hanya wajah Puan Aida dan Encik Sulaiman yang terlayar di matanya. Ibu, abah.. Arah tak salah.

Jantungnya mengepam darah dengan laju sekali. Muka bengis Ari Aqashah pun dia tidak berani nak pandang, macam mana dia mahu menghadap ahli keluarga Tuan Ramlee sebentar lagi?

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu Ya Allah, bantulah aku..

Ari Aqashah akhirnya mengalah. Dengan perasaan sebal lelaki itu naik ke biliknya di tingkat atas untuk menukar pakaian yang lebih sesuai. Takkan nak keluar dengan bertuala mandi macam tadi kot?

**********


“Kau perangkap anak aku, kan? Kau memang dasar perempuan murahan Sarah!” Naik turun dada Puan Khalisah cuba mengawal perasaan marahnya. Air mata yang mengalir di pipi di kesatnya kasar.

Hatinya panas. Terasa mahu meletup hatinya menahan sabar melihat muka Sarah ketika ini. Sumpah dia benci. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia menarik rambut perempuan murahan itu. Mahu sahaja dia menapar pipi mulus gadis itu. Dasar perempuan murahan!

“Kalau ikutkan hati aku, nak aje aku cincang lumat tubuh kau! Kenapa kau sanggup buat akumacam ni Sarah… kenapa?!” Puan Khalisah masih tidak berpuas hati.

Mahu sahaja dia mengheret perempuan itu keluar dari rumahnya. Berambus untuk selama-lamanya dari hidupnya! Betul sungguh tekaan Puan Mariah, Sarah akan membawa bencana kepada mereka sekeluarga. Sangkanya Sarah mahu memikat suaminya, rupa-rupanya perempuan itu punya rancangan yang lebih licik lagi!

Suasana di rumah Tuan Ramlee riuh-rendah dengan suara jerit pekik Puan Khalisah memaki hamun Sarah. Jihan yang duduk agak jauh dari perbualan bising itu, hanya mendiamkan diri. Tidak masuk campur, tidak mencelah dan tidak mahu ambil tahu apa-apa. Tuan Ramlee tidak putus-putus menggosok belakang isterinya supaya bersabar. Sabar sungguh Tuan Ramlee.

Sarah mencari wajah Encik Sulaiman. Wajah keruh itu dipandangnya sayu. Air mata merembes keluar di pipi tidak mampu dikawal lagi. Entah sudah berapa lama dia menangis dan terus menangis.

“Kamu tengok anak kamu ni Sulaiman, macam mana kamu didik anak? Tak sedar ke selama ini suami aku yang banyak bantu korang semua? Kau tak sedar ke selama ini kau hidup atas ehsan keluarga aku, Sarah?” Puan Khalisah menerpa ke arah Sarah. Pipi mulus itu ditampar berulang kali.

Sarah hanya mendiamkan diri sehinggalan Tuan Ramlee meluru mendapatkan isterinya. Tubuh Puan Khalisah dipeluk erat. “Sabar Lis, Bawak mengucap. Jangan ikutkan sangat hati yang panas tu.”

“Abang nak suruh saya bersabar macam mana lagi? Abang tak nampak lagi ke apa yang dah perempuan ni buat dekat keluarga kita? Sulaiman tak pandai didik anak dia bang!”

Jika mahu memaki hamun, cukuplah hanya maki dia seorang sahaja. Jangan libatkan ibu dan abahnya.

Mulut lancang Puan Khalisah terus-terusan mencaci ibu dan abahnya yang tidak pandai mendidiknya. Ya Allah, ibu dan abah tidak salah. Dia jugak tidak bersalah dalam hal ini. Dia diperangkap. Bukan dia yang cuba memerangkap Ari Aqashah.

Puas dia membela diri. Puas dia cuba menerangkan keadaan sebenar namun tiada siapa percaya. Jihan tidak memberikan reaksi ketika dia meminta sokongan Jihan. Kenapa Jihan buat akak macam ni.. Apa salah akak Jee?

Jika berbuih mulutnya sekalipun, Puan Khalisah tetap akan menyalahkan dia. Jika dia menangis air mata darah sekalipun,apa yang berlaku tetap berlaku. Jika dia boleh mengundurkan masa, dia akan memujuk Puan Khalisah untuk naik bersamanya.

Puan Khalisah sudah terduduk di sofa berangkai dua. Tuan Ramlee masih lagi erat memeluk tubuh isterinya yang masih teresak-esak menangis.

“Kau nakkan harta keluarga aku? Hah?! Cakap!” Jerkahan Ari Aqashah mengejutkan Sarah. Tersentak sedikit tubuh itu.

Encik Sulaiman mengangkat mukanya. Mungkin sudah masanya dia bersuara.

“Tuan, saya minta maaf atas kelakuan anak saya. Tuan hukumlah saya. Saya sanggup terima apa sahaja hukuman daripada Tuan.” Sesungguhnya pada ketika ini dia sangat malu untuk berdepan dengan majikannya itu.

Mendapat panggilan daripada Sarah sebentar tadi cukup untuk memecahkan seluruh kepercayaan yang diberikan kepada anak sulungnya itu. Langsung dia tidak menyangka anak sulungnya sanggup melakukan perkara terkutuk itu untuk hidup senang-lenang.

Terasa seolah-olah hilang melayang sebentar nyawanya mendengar Sarah ditangkap khalwat dengan anak majikannya sendiri. Tergamak anak perempuan kesayanganya itu melakukan perbuatan terkutuk seperti itu. Ya Allah, apa salahku Ya Allah..

“Abah. Ampunkan Arah. Sumpah Arah tidak tahu Encik Ari berada dalam rumah. Sumpah, bah.” Rintih Sarah teresak-esak. Sarah melutut memohon pengampunan daripada Encik Sulaiman. Sungguh dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi kecuali memohon pengampunan daripada Encik Sulaiman.

Pasti Encik Sulaiman juga percaya bahaya dia cuba memerangkap Ari Aqashah. Tidak masuk akal. Kenapa dia perlu perangkap Ari Aqashah? Dia tidak mencintai lelaki itu. Dia tidak mempunyai motif untuk memerangkap lelaki itu!

Itu yang dia cuba terangkan namun, Jihan hanya mencebik. Meluat melihat kelakuan Sarah yang menangis tidak berhenti-henti. Tidak menyangka Sarah sanggup bertindak sebegitu rupa untuk memerangkap abang kesayangannya itu.

Tuan Ramlee yang sedari tadi hanya diam menjadi pemerhati dan pendengar kepada kekalutan yang berlaku dalam sekelip mata akhirnya bersuara.

“Papa mahu Ari kahwin dengan Sarah. Majlis perkahwinan Along pun tak lama lagi, buat sekaligus Along dan Ari.” Tenang suara itu memberikan arahan.

Ari Aqashah terduduk.

“Lis tak setuju! Sampai mati pun Lis takkan setuju dengan cadangan abang!” Bantah Puan Khalisah. Segera dia bangkit menjauhi suaminya. Baguslah jika Puan Khalisah tidak bersetuju, Sarah juga tidak bersetuju dengan cadangan itu. Dia tidak bersalah, kenapa dia perlu menanggung kesalahan itu?

Ini semua kerja gila. Berkahwin dengan Ari Aqashah?

Gila!

Dia tidak mencintai lelaki itu. Tidak sedikit pun. Sarah cuba mencari wajah Arif Shah. Arif Shah mengelak pandangan mata Sarah. Benci memandang wajahnya barangkali. Teka Sarah dalam hatinya.
Kenapa dia perlu mencari anak mata lelaki itu? Bukannya Arif Shah dapat membantu dia dalam situasi seperti ini. Bukankah dia yang menolak cinta lelaki itu?

“Keputusan abang muktamat. Kalau Lis tak setuju, abang akan serahkan semua share abang kepada Sarah sebagai ganti rugi malu terhadapapa yang dah Ari lakukan terhadap dia.” Puan Khalisah, Arif Shah, Ari Aqashah dan Jihan ternganga.

“Tergamak abang nak serahkan semua yang kita bina bersama kepada perempuan ni?” Lurus jari telunjuk Puan Khalisah ke muka Sarah.

“Apa yang Ari dah buat dengan dia? Cuba papa tanya dia apa yang Ari buat dekat dia?” Sarah menunduk memandang lantai.

“Kalau Ari tak setuju, papa takkan paksa Ari tapi Ari tahu apa akibatnya, kan?” Ya, Tuan Ramlee sedang mengugut anak terunanya untuk menikahi Sarah dan bagi Ari Aqashah cadangan itu langsung tidak masuk akal!

“Baiklah, kalau itu kehendak papa, Ari akan berkahwin dengan perempuan ini. Ari bukan nak sangat harta papa, tapi itu hak mama. Hak mama Ari. Jadi tak mungkin Ari akan sewenang-wenangnya melepaskan hak mama Ari kepada orang luar..macam perempuan ini!” Sama seperti Puan Khalisah, jari telunjuk Ari Aqashah juga lurus ke arah Sarah.

Terasa dunianya kelam tiba-tiba. Sekelip mata kehidupannya akan berubah. Dia akan berkahwin dengan Ari Aqashah. Lelaki yang bongkak, sombong dan yang paling penting lelaki yang langsung dia tak cinta.

“Man, saya minta maaf. Saya buat semua ini untuk kebaikan anak-anak kita.” Encik Sulaiman hanya menganggukkan kepadanya tanda setuju dengan Tuan Ramlee yang mahu anak-anak mereka berkahwin.

Jika bukan kerana Tuan Ramlee, Sarah akan membantah sekeras-kerasnya cadangan ini. Mengenangkan Tuan Ramlee seorang ahli perniagaan yang dihormati dan terkenal, Sarah terpaksa akur demi menjaga reputasi lelaki itu.

Kerana Tuan Ramlee jugalah Encik Sulaiman untuk terus berjuang hidup demi isterinya. Kerana Tuan Ramlee jugalah Sarah sekeluarga masih lagi mampu mendiami rumah mereka sekarang. Kerana Tuan Ramlee, Sarah akan mengahwini Ari Aqashah. Semuanya kerana Tuan Ramlee yang telah Allah swt kirimkan dalam kehidupannya.

Melihat Ari Aqashah keluar meninggalkan rumah banglo milik Tuan Ramlee, Sarah memejamkan matanya sebentar. Menarik nafas, cuba menenangkan dirinya. Tangan abahnya dibawa ke mulut, diciumnya bertalu-talu.

“Maafkan Arah..” Encik Sulaiman menarik kasar tangannya yang masih beradi di bibir Sarah.

“Saya balik dulu Tuan. Saya…”

“Sudahlah Man. Perkara sudah terjadi. Nasi sudah menjadi bubur. Kita doakan yang terbaik untuk anak-anak kita, Man.” Tuan Ramlee menepuk lembut bahu Encik Sulaiman.

Malu sungguh Encik Sulaiman dengan Tuan Ramlee. Entah di mana mahu dia sorokkan mukanya mengenangkan kebaikan yang telah Tuan Ramlee taburkan kepadanya. Tidak terbalas segala kebaikan Tuan Ramlee selama ini.

Harapannya semoga Sarah akan membantu dia membalas segala budi dan kebaikan keluarga Tuan Ramlee kepadanya kelak.

Encik Sulaiman menyarungkan kasut buruknya ke kaki. Sarah lambat-lambat membontoti langkah Encik Sulaiman. Kering sudah air matanya mahu menangis. Encik Sulaiman tidak menjawab pertanyaannya dan langsung tidak tidak memandang mukanya.

Sarah berperang hebat dengan perasaannya kini. Kalaulah bunuh diri itu tidak berdosa besar, mahu sahaja dia terjun dari kereta sekarang juga! Biarlah dia mati dan menamatkan kisahnya pada malam ini.

Dia masih lagi waras. Pesanan Ustazah Maimunah masih kekal segar dalam ingatan sehingga kini.

“Sesiapa yang membunuh dirinya sendiri, dia akan terus masuk ke neraka. Hanya Allah swt sahaja yang berhak mencabut nyawa kita.”

Ya Allah, Sarah segera beristighfar dalam hatinya. Berkali-kali dia menyebut Astaghfirullahhal’azim. Hanya zikir yang mampu menenangkan hatinya kini. Matanya dipejam dan air mata mengalir turun dari kelopak mata membasahi pipinya.


6 comments :

  1. sapa perangkap depa nih. sedeyyyy... huhu

    ReplyDelete
  2. Sakit hati tol la...sapa yg perangkap sarah tu....cian..kat sarah....suma org dh salahkan sarah...jihan pun dh benci sarah...cpt la sambung...tak sabar nak tahu lg....harap dpt terbitkan cite ni dlm bentuk bercetak...best sgt..teruskan usaha berkarya dik...good job...wish all the best....

    ReplyDelete
  3. bile nk updated bab baru...huhuhu...tak sabar rasanya...berdebar2 bile baca cite sarah ni...excited sgt..

    ReplyDelete