Wednesday 13 March 2013

Bab 24 Kau Perempuan Itu





“Ari jangan lupa balik rumah mama malam nanti. Ada banyak hal mama nak bincang dengan Ari.”

Ari Aqashah mengeluh lemah. “Nak bincang apa lagi ma? Ari malaslah nak balik rumah.”

“Baliklah, mama dah rindu sangat dengan Ari.” Dan akhirnya Ari Aqashah mengalah. Sudah terlanjur berjanji dengan Puan Khalisah maka terpaksalah dia balik juga.

Apa lagi perlu dibincangkan? Semuanya sudah jelas. Apapun yang berlaku dia tetap perlu berkahwin dengan Sarah. Perempuan yang paling dia benci pada saat ini. Paling dia benci! Rasa mahu tampar-tampar muka konon-konom lembut perempuan itu. Ah, buat-buat lembut! Padahal, parasit!

Tubuh yang keletihan direbahkan ke sofa merah darah yang terletak di bahagian tepi bilik bujang Ari Aqashah. Dia baru sahaja balik dari Jakarta, Puan Khalisah berkali-kali menghubunginya memesan supaya pulang ke rumah kerana ada banyak perkara perlu dibincangkan.

Kalau bukan dek kerana dipaksa oleh Puan Khalisah, jangan harap Ari Aqashah mahu menunjukkan batang hidungnya di rumah banglo Tuan Ramlee. Jangan harap! Marahnya pada Tuan Ramlee masih belum surut. Masih bermain-main ditelinganya amaran keras Tuan Ramlee bahawa dia sanggup kehilangan kesemua hartanya untuk membayar harga diri Sarah yang telah dicemarkan oleh Ari Aqashah.

“Ari dah cemarkan maruah Sarah, sekarang ni Ari tak nak bertanggungjawab ke atas dia? Mana pergi sikap tanggungjawab dalam diri anak lelaki papa?” Ari Aqashah meraup mukanya dengan tapak tangan. Entah sampai bila dia boleh bertahan dengan semua ini.

Gila!

Bila masa dia mencemarkan harga diri perempuan gila itu? Perempuan itu yang datang ke rumahnya dan perangkap dia. Sengaja mencari simpati! Menangis memohon maaf konon! 

Kalau bukan Sarah yang menghubungi Pejabat Agama Islam, siapa lagi yang akan berbuat demikian? Takkan dia sendiri bodoh sangat mahu memerangkap dirinya dengan Sarah? Baik dia perangkap dirinya dengan Suzila, wanita yang dia cintai dengan sepenuh hatinya.

Arggh! Serabut betul.

“Mama rasa papa ada hubungan sulit dengan perempuan tu, sebab tu papa nak sangat Ari kahwin dengan dia.. please. Ari kena tolong mama. Mama tak sanggup kehilangan papa.”  

“Tak mungkin lah ma.. Sepanjang mama hidup dengan papa, mana pernah papa buat hal dengan mana-mana perempuan.. Takkanlah dengan Sarah ni papa boleh tersangkut pulak?” Sukar dipercayai. Bukan ada apa sangat pun dengan perempuan ni. Muka memanglah comel tapi perangai buruk!

Kalau hendak difikirkan semula, mungkin ya juga sebab papa beriya-iya mempertahankan kedudukan perempuan yang entah bukan sesiapa dalam keluarga mereka.

Tapi, kenapa papa menyuruh dia pula yang berkahwin dengan Sarah, bukan papa sendiri yang berkahwin dengan perempuan itu? Mungkin, nak cover line? Mungkinkah? Ari Aqashah meletakkan lengannya di atas dahi. Mata hitam pekat miliknya terkebil-kebil memandang siling biliknya. Pening!

Arwah atuk dulu pun bukan main lagi nampak setia dengan nenek. Bukan main baik. Pijak semut pun tak mati. Padahal kahwin dua jugak!

Haikal! Apa sebenarnya hubungan Sarah dengan Haikal? Siapa perempuan ini sebenarnya?! Apa yang dia mahukan? Duit? Pangkat? Kekayaan? Adakah Haikal tidak cukup kaya sehingga Sarah begitu terdesak memerangkap dirinya? Kusut betul fikirannya.

Dasar perempuan tidak sedar diri! Kalau Sarah betul-betul mahu mengambil peluang untuk mengaut keuntugan dalam keluarga Tuan Ramlee, Sarah silap perhitungan. Dia sendiri akan menghalang niat buruk Sarah! Dia akan pastikan perempuan itu sengsara hingga ke akhirnya! Jangan bermimpi untuk bahagia selagi dia bergelar isteri Ari Aqashah!

Ketukan di pintu mengejutkan Ari Aqashah. Tersentak sedikit tubuhnya akibat terkejut dengan ketukan yang agak kuat dari luar itu.

“Masuk!” Laung Ari Aqashah kuat.

“Mama.” Ari Aqashah bangkit membetulkan kedudukannya dari berbaring kepada duduk bermalas-malasan.

“Mama nak cakap dengan Ari sikit. Boleh mama masuk?”

Ari Aqashah hanya mengangguk perlahan. Sumpah malas mahu mendengar ceramah percuma mama tentang apa yang perlu dan tidak perlu dia lakukan jika dia berkahwin nanti.

Puan Khalisah berjalan merapati sofa tiga tempat duduk milik Ari Aqashah. Punggung dilabuhkan bersebelahan anak bujangnya. Bujang untuk tiga hari lagi.

Tangan Ari Aqashah diraih ke dalam genggamannya. Terasa sedih benar hatinya mahu melepaskan dua orang anak lelakinya serentak. Tiga hari lagi dia akan kehilangan kedua-dua orang anak lelakinya. Sangkanya dia hanya akan kehilangan Arif Shah sahaja, sebaliknya dia akan turur kehilangan anak lelaki kesayangannya, Ari Aqashah. Air mata mengalir di pipi tanpa dipinta.

Ari Aqashah mengesat air mata di pipi mamanya. “I’m always here for you, mama.”

“Janji dengan mama, Ari akan tinggal dengan mama lepas kahwin?”

No. Ari akan pindah. Ari ada rumah sendiri mama. Lagipun Along dengan Kak Mar akan tinggal dengan mama, kan? Mama pun dah biasa Ari takde dekat rumah ni.” Genggaman tangan Puan Khalisah dikuatkan. Memberi semangat kepada mamanya.

“Dulu Ari da janji Ari akan tinggal dengan mama lepas kahwin. Takkan Ari nak mungkir janji?”
Ari Aqashah menggeleng lemah. “Ari tak boleh tinggal dengan perempuan tu dalam rumah ni, ma. Lagipun hubungan Ari dengan papa belum pulih lagi. Biarlah Ari tinggal sendiri. Ari janji Ari akan selalu balik jenguk mama.” Pujuk Ari Aqashah.

“Ingat, jangan bawa perempuan tu balik ke rumah mama. I hate her! Mama sedih bila tengok Jee sedih. Sampai hati Sarah buat macam tu dekat keluarga kita.” Ari Aqashah angguk. Dia tidak akan menyakiti mamanya.

Dia juga sedih melihat keadaan Jihan yang murung. Mungkin Jihan masih lagi terkejut. Masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku. Itulah kali pertama keluarga Tuan Ramlee bertekak kerana masalah seperti ini. Biasanya mereka akan duduk berbincang dan menyelesaikan segala masalah dengan cara yang berhemah tetapi tidak pada kali ini. Sikap papa yang beriya-iya mempertahankan Sarah selepas dituduh curang oleh mama, benar-benar mengejutkan Jihan. Dia berjanji dia akan memusnahkan hidup Sarah. Biar wanita itu sengsara!

“Abang mengaku aje dengan Lis yang abang ada affair dengan perempuan jalang ni! Cakap depan anak-anak kita bang.”

“Apa Lis merepek tak tentu pasal ni? Sarah takde apa-apa hubungan dengan abang. Abang sayangkan Sarah macam anak-anak kita. Abang cuma mempertahankan hak Sarah. Harga diri Sarah yang dipijak-pijak oleh Lis dan Ari!”

Kata-kata papanya pada malam kejadian itu masih lagi segar dalam ingatan. Papa bermati-matian tidak mengaku bahawa dia mempunya hubungan sulit dengan Sarah. Jika papa langsung tidak mempunyai hubungan dengan perempuan itu, kenapa papa perlu mempertahankan sangat maruah perempuan itu? Setakat kena tangkap basah, boleh bayar denda dan semuanya selesai. Tidak perlu kahwin bagai pun. Papa memang sengaja mahu sentiasa dekat dengan Sarah. Tuduh hati Ari Aqashah.

 Kepala mamanya diangkat supaya memandang mukanya. Muka sedih mama memilukan hati Ari Aqashah. “Mama, Ari akan pastikan perempuan itu menyesal sebab perangkap Ari! Menyesal sebab masuk dalam keluarga kita!”

Puan Khalisah memeluk tubuh tegap Ari Aqashah. Memahami gelodak hati anak bujangnya yang terpaksa berkahwin dengan wanita yang langsung tidak dicintainya. Puan Khalisah sangka anak-anaknya akan bahagia di sisinya, rupa-rupanya dia silap. Anak-anaknya akan pergi meningalkan dia. Jihan paling sedih. Langsung tidak menyangka Sarah akan berkelakuan seperti itu. Jihan sangat menyayangi Sarah walaupun dia langsung tidak menyukai gadis bernama Sarah itu. Dan ternyata Puan Mariah benar. Sarah akan memusnahkan keluarganya.

Sebelum kehadiran perempuan itu dalam hidup mereka, keluarga mereka bahagia. Tidak pernah Ari Aqashah melawan cakap Tuan Ramlee. Hanya kerana Sarah, Ari Aqashah meninggikan suaranya kepada Tuan Ramlee. Sarah memang pembawa sial dalam keluarga mereka!



Lama Sarah merenung skrin telefon bimbitnya yang bercahaya itu. Nama yang tertera pada skrin membuatkan rentak jantungnya sedikit kalut. Akhirnya telefon itu senyap sendiri. Sarah mengeluh. Tidak tahu apa yang harus dia bualkan dengan pemanggil tadi. Telefon bimbit diletakkan semula di atas almari soleknya.
Kaki yang baru sahaja melangkah mahu ke tandas terhenti apabila mendengar deringan telefon bimbitnya. Tangan mencapai telefon bimbit sekali lagi.

“Arif.” Satu lagi keluhan dilepaskan.

Telefon bimbitnya dibiarkan berdering sehingga senyap sendiri. Dia tiada mood mahu menjawab panggilan dari lelaki itu. Entah apa yang masih ingin dibincangkan oleh Arif Shah.

Tiga kali panggilan dari Arif Shah dibiarkan begitu sahaja.


Tett! Tett!

Bunyi mesej masuk. Sarah mengambil telefonnya.

Jawab atau saya akan beritahu mama untuk batalkan perkahwinan saya.’

Mata Sarah membuntang. Gila apa lelaki ni? Main kasar nampak! Ya Allah, sakitnya hati dia sekarang ni. Dah la macam-macam hal dah berlaku sekarang ni seorang lagi nak tambah bala dalam hidup dia. Tak cukup kucar-kacir ke hidup dia sekarang ni?

Sarah mengeluh sekali lagi. Kali ini keluhan berat dilepaskan. Sesak nafas dia.

Telefon miliknya bordering sekali lagi. Dengan perasaan sebal Sarah menekan punat hijau pada telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum.” Sarah memberikan salam.

“Waalaikummuslam. Sarah, saya kena cakap dengan awak.”

Sarah diam.

“Sarah, awak ada tak?”

“Arif, takde apa lagi yang kita perlu bincangkan. Awak akan berkahwin dan saya pun akan berkahwin.” Sungguh Sarah memang pasrah. Redha dengan apa yang berlaku kerana yakin dengan aturan Allah swt.

“Tapi saya nak kahwin dengan awak, Sarah. Awak. Dalam hati saya ada ruang untuk awak.. dan Marliana.” Sarah rasa nak ketawa. Ada ruang untuk dia dan Marliana. Jadi apa yang boleh dia lakukan? Kahwin lari dengan Arif Shah dan menambah kebencian Puan Khalisah terhadapnya?

“Awak nak saya buat apa? Berdepan dengan Marliana dan beritahu dia yang awak cintakan saya?”

“Tak. Tak. Saya masih cintakan Marliana.. tapi saya perlukan awak. Argh! Saya kusut sangat sekarang ni Sarah.”

Sarah garu dahinya yang tidak gatal. Rambut yang berjuntai di dahinya di tolak ke belakang telinga.  Tidak tahu apa yang harus dia jawab supaya Arif Shah berhenti mengganggunya lagi. Kalau Arif Shah kusut, dia lagilah kusut.

Jadi jangan tambah kekusutan dalam kepala otak dia ni. Jangan kusutkan lagi masalah mereka sekarang ini, takkan tu pun susah nak faham?

“Saya cintakan awak Sarah. Kita masih ada masa untuk membatalkan perkahwinan ini.” Gilakah lelaki ini? Membatalkan semua perancangan yang telah disiapkan oleh Puan Khalisah? Membatalkan semua persiapan yang telah dilakukan oleh Marliana dengan sepenuh hatinya demi orang yang dia cintai? Tidak mungkin!

Sarah menarik nafas dalam-dalam. “Saya tak pernah cintakan awak dan saya tak akan berkahwin dengan awak, Arif. Awak bakal abang ipar saya.”

“Tapi awak tak cintakan Ari!” Kedengaran Arif Shah sedikit menjerit di talian sana.
Sarah buat-buat ketawa. “Saya cintakan Ari tapi Ari tak pernah balas cinta saya sebab itu saya perangkap Ari supaya berkahwin dengan saya.” Sumpah dia rasa sedih sangat sekarang ni.

“Jadi betullah apa yang mama cakap selama ini yang awak perempuan murahan? Sanggup menganiaya adik saya demi kepentingan diri awak sendiri! Saya tak sangka awak sekeji itu Sarah.” Keras suara Arif Shah.
“Sekarang awak tahukan saya perempuan yang macam mana? Saya sayangkan Ari, jadi tolong jangan ganggu hidup saya lagi.” Talian diputuskan.

Arif Shah bengang. Telefon di tangan digenggam, kuat sebelum dia mencampakkan telefon bimbitnya ke lantai. Telefon yang pecah berderai di lantai hanya dipandang dengan pandangan benci! Dia bencikan Sarah. Bencikan gadis yang berjaya mencuri hatinya itu. Bencikan Sarah yang memerangkap adiknya yang tidak bersalah!

Arif Shah mengepal penumbuk. Giginya diketap kuat. Bencinya kepada Sarah naik ke tahap maksima. Jika sebelum ini dia berada di pihak Sarah, yakin bahawa gadis itu teraniaya, namun saat ini dia tidak lagi berada di pihak gadis itu. Kepercayaannya musnah selepas Sarah sendiri mengakui bahawa dia yang memerangkap Ari Aqashah. Langsung dia tidak menyangka bahawa Sarah gadis yang lembut dan sopan sanggup melakukan perkara terkutuk seperti itu. 

Sarah mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Tidak sangka semudah itu Arif Shah mempercayai kata-kata orang sekelilingnya. Mempercayai kata-kata Puan Khalisah dan Ari Aqashah yang menuduhnya memusnahkan kehidupan Ari Aqashah. Tidak menyangka Arif Shah juga sama seperti mereka yang lain. Sama seperti abah yang tidak mempercayai kata-katanya sedangkan dia anak abah.

Merayulah sampai keluar air mata darah sekalipun, Encik Sulaiman tetap dengan pendiriannya untuk mengahwinkan dia dengan Ari Aqashah.

“Arah tak salah. Sumpah Arah tak buat semua tu bah. Tolonglah, Arah tak nak kahwin.” Encik Sulaiman melipat kasar akhbar yang berada dalam tangannya.

“Cukuplah sekali Arah memalukan abah, jangan malukan abah untuk kali kedua. Abah takkan batalkan perkahwinan Arah dengan anak Tuan Ramlee. Perkahwinan itu akan tetap diteruskan.” Sarah hanya mampu berserah segala-galanya kepada Allah swt.

“Abah harap apa yang berlaku hanya diketahui antara kita berdua sahaja. Abah tak mahu berita ni sampai ke telinga ibu.” Nasib baik abah tidak memberitahu hal yang berlaku kepada ibunya.

Encik Sulaiman juga meminta supaya Sarah merahsiakan perkahwinannya daripada pengetahuan Puan Aida. Dia tidak mahu Puan Aida berasa sedih kerana bakal kehilangan anak sulung mereka. Dia juga tidak mahu Puan Aida tahu bahawa Sarah telah ditangkap khalwat dengan anak majikan mereka sendiri.

“Pasal perkahwinan Arah.. abah minta maaf sebab abah perlu buat keputusan macam ni.. Abah pun tak mahu tapi abah terpaksa.” Jantung berdegup laju.

“Keputusan apa? Apa maksud abah? Abah nak buang Arah ke?”

Encik Sulaiman hanya mendiamkan dirinya. “Apapun keputusan yang abah buat, Arah terima dengan redha. Arah minta maaf sekali lagi sebab Arah dah malukan abah. Arah minta maaf sangat-sangat dengan abah.” Tangan Encik Sulaiman dikucup berkali-kali.

Sarah sedih. Sedih kerana dia akan kehilangan keluarganya. Sedih kerana abah tidak lagi melayaninya seperti dahulu. Abah mengelakkan diri daripada bertembung dengannya. Abah juga meletakkan jawatan sebagai pemandu peribadi Tuan Ramlee. Menurut abah, dia malu mahu berdepan dengan Tuan Ramlee. Dia tidak mahu berjumpa dengan Tuan Ramlee lagi selepas majlis pernikahan Sarah nanti. Adakah itu bermakna abah juga tidak mahu berjumpa dengannya lagi?

Tubuh yang tadinya mahu ke tandas di bawa ke katil. Sarah merebahkan tubuh langsingnya di atas tilam. Sebiji bantal empat segi bersaiz kecil ditekapkan ke mukanya. Sarah menangis semahu-mahunya. Sudah dua minggu dia cuba menguatkan semangatnya. Hari ini dia tewas dengan perasaan sedihnya sendiri.

Dia tidak kisah bagaimana layanan Ari Aqashah kepada dirinya tetapi dia sedih dengan layanan kasar Jihan terhadapnya. Sedih dengan kata-kata sinis yang keluar dari mulut Jihan. Sedih dengan sikap abah yang memulaukan dia. Semua ini bukan salah dia. Bukan salah dia!

Jika dia menceritakan hal ini kepada Laila, adakah Laila akan mempercayai dia? Adakah Laila akan berdiri teguh dibelakangnya? Adakah Laila akan memberikan sokongan kepada dia?


Tangannya mencapai telefon bimbit. Nombor telefon Laila cuba didail. Lama dia menunggu, tiada jawapan. Sarah mendail sekali lagi. Masih belum berputus asa, Sarah mendail untuk kali yang ketiga. Masih tidak berjawab. Jam di telefon bimbit dilihat. Baru pukul 9.10 malam. Tidak mungkin Laila sudah tidur.

Adakah Laila juga cuba mengelak daripada berbual dengannya? Adakah Laila berdiri teguh di belakang Jihan? Ya Allah, kenapa dugaan sebegini hebat kau berikan kepadaku, Ya Allah.

“Kenapa Laila buat akak macam ni.. Apa salah akak dekat Laila?” Sarah bercakap sendirian.

Tangisan semakin galak. Sarah sudah tidak mampu lagi mengawal perasaan sedihnya. Sarah berasa kesepian. Dia berasa seorang diri. Seolah-olah semua orang sedang mentertawakan dirinya yang sedih. Mentertawakan dirinya yang bodoh.

Kalaulah dia tidak pergi ke rumah Ari Aqashah. Kalaulah dia tidak bekerja dengan Tuan Ramlee. Kalaulah dia seorang yang lebih tegas. Kalaulah Ikram tidak meninggalkan dia.. semua ini tidak akan terjadi. Tidak akan berlaku kepadanya!

Sarah beristighfar. Kedua-dua belah tangan naik meraup mukanya yang basah dek kerana air mata. Sarah perlu kuat. Dia tidak boleh menyalahkan takdir. Sarah menarik nafas. Fasa sedih dalam hidupnya akan berlalu. Puan Khalisah tidak perlu membenci dirinya. Dia akan berusaha untuk menjadi isteri yang baik kepada Ari Aqashah. Walaupun dia tidak pernah mencintai lelaki itu, dia akan tetap menghormati lelaki itu selepas lelaki itu menjadi suaminya kelak.

Bertabahlah Sarah! Kau pasti boleh! Pesan Sarah kepada dirinya sendiri. 

5 comments :

  1. lama tunggu entry baru..akhir nya lepas rindu pada sarah...thanks Sri..ada cadangan nk dibukukan ke novel ini???? tak sabar nk tahu sambungan seterus nya....good luck..

    ReplyDelete
  2. KESIAN SARAH X SUKA LAH SEDIH-2.

    ReplyDelete
  3. Nira Md. Jaffar - Masih lagi menulis cerita ni.InsyaAllah kalau ada rezeki bolehlah bukukan. :) *jauhnya angan-anganku...*

    ReplyDelete
  4. baby mio - Alaaaa, sedih ke? Nangis tak? :D

    ReplyDelete
  5. Sy doakan angan2 sri jd kenyataan sbb sy pun teringin nk miliki novel ni....mmg sedih kan...sumanya tak caya sarah....huhu...sapa yg percaya sarah....tiba2 jd geram plk ...

    ReplyDelete