Friday 15 March 2013

Bab 25 Kau Perempuan Itu


Baju kurung moden berwarna ungu cair yang tersarung pada tubuhnya diperhatikan disebalik cermin. Bibirnya yang dicalit lipstik merah jambu diperhatikan lama. Mengeluh untuk sekian kalinya. Kenapalah dia terperangkap dalam cerita seperti ini. Ini merupakan kali pertama dia masuk ke bilik Ari Aqashah.

Sepanjang dia bekerja di sini, dia tidak pernah masuk ke bilik ‘bakal’ suaminya ini kerana ditegah oleh Puan Khalisah. Akhirnya dia ‘berjaya’ juga masuk ke dalam bilik ini.

Dengan keluhan yang masih dibibir, Sarah pandang ke dalam cermin semula. Kelopak matanya yang diwarnakan dengan warna ungu pekat diperhatikan. Cantikkah dia pada hari ini? Tidak putus-putus pujian yang dia terima daripada sanak-saudara Puan Khalisah yang masuk ke bilik pengantin pada pagi ini.

Suasana bilik pengantin yang kosong diperhatikannya. Tilam yang dibaluti dengan cadar berwarna putih yang disulam dengan benang berwarna keemasan ditabur pula kelopak bunga mawar di atasnya di dekati. Punggungnya dihenyakkan ke atas tilam itu. Terasa berdebar-debar hatinya menunggu abah masuk bertanya akan persetujuannya untuk berkahwin sebentar lagi.

Kalau abah datang sekejap lagi, boleh tak kalau dia nak cakap yang dia tak setuju dengan pernikahan ni? Agak-agak abah tampar muka dia tak? Haish.. tak sanggup dia nak belari keluar dari rumah Puan Khalisah dengan pakaian pengantin ni. Nanti orang cakap pengantin lari.. lepas tu Ari Aqashah kena kahwin dengan orang lain pulak. Daripada kena kawen terpaksa dah tukar jadi kahwin ganti. 

Nauzubillah... mintak simpanglah dia nak buat perangai macam tu. Cukup-cukuplah dia buat perangai. 

Sarah masih memandang ke arah kakinya. Sumpah dia rasa cuak gila! Macam ini rupanya perasaan menjadi pengantin. Tapi dia pengantin segera. Semuanya dibuat ekspress. Baju kahwin pun ekspress. Ingatkan dah tak sempat siap semua ni, rupanya cekap 'anak-anak buah' Puan Khalisah buat kerja. Ahh... orang ada duit. Semua boleh buat. 

Tombol pintu yang dipulas kasar mengejutkan Sarah. 

"Astaghfirullah hal'zim!" Riak wajah cuba dikawal supaya tidak terlalu ketara bahawa dia terkejut dengan kehadiran lelaki yang segak berpakaian baju melayu berwarna ungu sedondon dengan baju nikahnya.


Ari Aqashah berdiri tegak di hadapan Sarah. 

“Aku nak cakap dengan kau sikit.” Sarah hanya mengangkat kepalanya. Wajah Ari Aqashah diperhatikan dengan wajah yang tenang. Rentak jantungnya cuba dikawal supaya tidak nampak ketara diwajahnya akan kegusaran hatinya pada saat ini.

“Siapa Haikal?”  Soal Ari Aqashah kasar.

“Haikal?” Kening terjungkit naik sedikit. 

“Jangan buat bodoh! Apa hubungan kau dengan Haikal?” Suara Ari Aqashah sedikit meninggi pada kali ini.

“Saya tak kenal Haikal yang Encik Ari maksudkan.”

Ari Aqashah hilang sabar. “Aku nak kau batalkan perkahwinan bodoh ini sekarang. Aku tak nak kahwin dengan kau. Kau ingat aku bodoh ke? Kau bercinta dengan Haikal, and now kau nak kahwin dengan aku? Kenapa? Sebab aku lebih kaya daripada Haikal?! Hah?”

Mendengar suara kuat Ari Aqashah yang menuduhnya bukan-bukan, tubuh Sarah automatik berdiri. Sarah cuba bertindak tenang. Dia tidak mahu kalah pada hari ini. Kenapa dia perlu mengalah dengan Ari Aqashah yang asyik menuduh dia bukan-bukan?


“Saya tidak akan membatalkan perkahwinan ini. Saya perlu menjaga hati banyak pihak. Kalau Encik Ari tidak sudi berkahwin dengan saya, Encik Ari boleh keluar dan beritahu sendiri kepada keluarga Encik Ari di bawah sana bahawa perkahwinan ini dibatalkan.”

Ari Aqashah ketap bibirnya. Marahnya kepada Sarah meluap-luap. Perempuan ini sengaja mencabar kesabarannya.

This is my house! Kau yang patut keluar dari rumah ini!” Tepat jari telunjuk Ari Aqashah ke muka Sarah.

“Saya akan keluar kalau Encik Ari batalkan perkahwinan kita. Bukan saya yang perlu membatalkan perkahwinan ini.” Tegas Sarah. Dia tetap degan pendiriannya bahawa dia tidak akan memalukan Encik Sulaiman lagi. Abahnya sudah cukup terseksa dengan berita dia ditangkap khalwat dahulu. Cukuplah dia memalukan abah.

Fine! Kau nak sangat kahwin dengan aku? Aku akan pastikan kau menyesal dengan perkahwinan bodoh ni! Kau ingat dalam kepala otak kau, kau akan menyesal!” Kepala Sarah yang berselendang ungu cair itu ditunjal-tunjal oleh Ari Aqashah. Puas hatinya!

Nasib baiklah tiada sesiapa di dalam bilik ini. Kalau ada sesiapa yang ternampak kejadian tadi pasti menjadi perbualan. Ari Aqashah sesuka hati sahaja menempik dia. Dah la hari ini merupakan hari perkahwinan mereka. Suka sangat kalau boleh menempik?

Dengan perasaan yang sebal dia keluar dari bilik tidurnya sendiri. Langsung dia tidak suka dengan suasana bilik tidurnya sendiri. Terasa sesak nafas semasa masuk ke biliknya. Terasa sempit benar bilik tidurnya yang lebih luas dari saiz bilik darjah tingkatan limanya dahulu.

Sebaik sahaja kakinya menjejaki ruang tamu, banyak pasang mata yang memerhati Ari Aqashah. Terasa serba tidak kena langkah kaki yang menghala ke tempat duduk asalnya iaitu berhadapan dengan Tok Kadi.

“Tak pernah dibuat orang pengantin lelaki nak berbual dengan pengantin perempuan sebelum akad nikah. Bawak bersabar sikit Ari. Kejap lagi dah boleh buat apa yang kamu nak buat dengan isteri kamu tu.” Gurau Pak Ngah Ali iaitu abang kepada Puan Khalisah.

Ari Aqashah hanya tersengih. Nak buat apa? Sumpah tak hingin buat apa-apa dengan perempuan tu kecuali pelempang muka dia. Tuan Ramlee nampak lega. Sangkanya Ari Aqashah akan melarikan diri kerana tidak mahu berkahwin.

“Baiklah, boleh kita teruskan majlis si adik pula?” Ari Aqashah menganggukkan kepalanya. Amboi, bukan main tidak sabar Tok Kadi ni. Ada majlis lain pulak ke selepas ini?

“Siapa wakil kepada pengantin perempuan? Boleh itu panggil pengantin turun ke bawah?” Suraya lekas-lekas bangkit menuju ke tingkat atas.

Pintu bilik diketuk dua kali.

“Akak, jom turun.” Sarah hanya mengangguk. Wajah Suraya dipandang. Suraya tidak sudi memandang wajahnya.

“Su.” Langkah kaki Suraya terhenti. Suraya berpaling ke arah kakaknya.

Sarah mendekati adiknya. Kedua-dua tangan Suraya digenggam erat.

“Akak minta maaf sebab kita perlu rahsiakan pernikahan akak daripada ibu tapi percayalah cakap akak bahawa ini yang terbaik. Akak pun tak nak semua ni berlaku.” Suraya memalingkan wajahnya ke tempat lain. Matanya sudah mulai berkaca.

Dia akan kehilangan kakak sulungnya. Dia nampak Sarah membawa dua buah beg besar malam semalam. Adakah Sarah sudah tidak mahu pulang ke rumah mereka lagi? Adakah Sarah mahu terus tinggal di rumah majikan abah?

“Kenapa akak perlu rahsiakan perkahwinan akak? Akak anak ibu! Ibu mesti teringin nak tengok anak-anak dia berkahwin. Kenapa?!” Sarah menarik Suraya ke dalam pelukannya. Dia perlu tenangkan Suraya.

“Ibu pasti akan faham. Bagi akak masa, ye?” Belakang Suraya digosok perlahan. “Akak minta maaf dengan Su dari hujung rambut sampai hujung kaki akak kalau akak ada buat salah dengan Su. Akak sayang sangat dekat Su.” Sarah sudah tidak peduli lagi macam mana rupa dia sekarang ini.

Suraya hanya menganggukkan kepala dan membalas pelukan kakaknya. Kakaknya pasti ada sebab tersendiri kenapa dia merahsiakan perkahwinannya daripada ibu.  “Su pun sayang sangat dekat akak. Su doakan akak bahagia dengan pilihan akak.”

“Jom turun.” Ajak Suraya. Sarah tersenyum menyembunyikan debaran di hatinya. Akan bahagiakah dia nanti?

Sarah mengambil tempat di sisi Marliana. Arif Shah yang duduk di sisni Marliana langsung tidak menoleh ke arahnya. Marliana mencapai tangan Sarah.

“Sejuknya! Macam tangan akak tadi.” Bisik Marliana ke telinga Sarah ambil ketawa kecil. Gara-gara Puan Khalisah yang mahu majlis pernikahan diadakan di rumahnya, Marliana pula yang terpaksa datang ke rumah pengantin lelaki. Nampak pelik tapi itulah hakikatnya. Kepala otak Puan Khalisah ni memang bukan boleh jangka, ikut suka dia aje.

Sarah memerhati Ari Aqashah yang duduk hanya beberapa kaki jauh daripadanya. Lelaki itu nampak tenang berdepan dengan Tok Kadi.

“Baiklah. Boleh kita mula?” Soal Tok Kadi yang berjubah coklat cair. Ari Aqashah angguk perlahan.

Tok kadi yang berjubah putih itu berdehem beberapa kali.

“Bismillahhirrahmanirrahim. Ari Aqashah bin Ramlee, dengan berwalikan bapanya kepada aku, aku nikahkan dikau dengan Sarah binti Sulaiman dengan mas kahwinnya RM300 tunai.”

“Aku terima nikahnya Sarah binti Sulaiman dengan mas kahwinnya RM300 tunai.” Lancar lisan lelaki itu.

Sarah menunduk ke lantai. Marliana mendapatkan Sarah dan memeluk tubuh langsing itu. “Alhamdulillah, tahniah.” Sarah rasa kulit mukanya kebas. Dia tidak tahu bagaimana mahu mengukir senyuman.

Dia sudah sah menjadi milik Ari Aqashah. Lelaki yang paling dia menyampah, lelaki yang paling bongkak pernah dia temui dan lelaki yang paling tak gentleman.

“Tahniah. Papa doakan Ari bahagia sampai ke syurga. Amin!” Tuan Ramlee memeluk erat anak keduanya. Ari Aqashah tidak membalas pelukan Tuan Ramlee. Berkahwin dengan Sarah bukan bererti dia telah memaafkan papanya yang memaksa dia berkahwin.

 “Pengantin boleh solat sunat dua rakaat.”

Sarah memerhatikan Ari Aqashah yang sedang menunaikan solat dua rakaat. ‘Ya Allah, adakah dia imam yang kau kirimkan kepada aku sehingga hujung nyawaku?’ Soalan itu hanya berlegar-legar di benaknya sahaja.

Selepas selesai menunaikan solat sunat, Ari Aqashah mendekati Sarah. Cincin perkahwinan disarungkan ke jari manis Sarah. Terketar-ketar tangannya menyambut huluran tangan suaminya. Digagahkan juga kepalanya untuk tunduk dan mencium tangan Ari Aqashah. Cahaya lensa yang bertalu-talu memaksa Sarah dan Ari Aqashah mengukir senyuman palsu. Jika di sisinya ialah Suzila, pasti dia orang yang paling bahagia. Senyuman ikhlas pasti terukir dibibirnya.

Wajah Puan Khalisah masam mencuka. Meluat tengok muka Sarah. kalau ikutkan hati dia mahu sahaja dia berkurung di dalam bilik ketika majlis akad nikah Sarah dan Ari Aqashah berlangsung namun dia masih perlu menjaga air muka keluarganya. Apa pula kata sanak-saudara dan rakan peniagaan jika dia tidak ada.



“Selesai sudah tanggungjawab abah. Abah harap Arah bahagia di sisi suami dan keluarga baru Arah.” Encik Sulaiman mengusap kepala anaknya. “Cantik Arah pakai selendang macam ni. Sejuk hati abah tengok Arah.”

“Abah, walau apapun yang berlaku, Arah tetap anak abah sampai bila-bila. Nanti bila semuanya dah reda, Arah balik rumah jenguk ibu, ya?”

Encik Sulaiman menggeleng perlahan. “Abah harap selepas ini Sarah jangan muncul dalam hidup abah dan keluarga abah lagi. Abah halalkan semua makan minum Arah selama Arah hidup dengan abah. Abah minta maaf sebab abah tak mampu sediakan kehidupan mewah seperti yang Arah inginkan.” Lirih suara Encik Sulaiman.


Sedih kerana terpaksa membuat keputusan seperti ini demi menjaga kepentingan keluarganya. Dia tidak berniat untuk membuang anaknya, cuma biarlah sehingga keadaan hatinya pulih semula untuk menerima anak yang telah sanggup menconteng arang ke mukanya.

“Abah.. Abah bencikan Arah?” Air mata mula menitis ke pipi. Tangan kasar Encik Sulaiman diraih ke dalam genggamannya.

“Arah. Bagi abah masa. Abah perlukan masa. Abah sayangkan Arah. Arah tetap anak abah sampai bila-bila. Cuma abah harap Arah faham keadaan abah. Abah tak mahu ibu tahu tentang hal yang berlaku dalam keluarga kita. Kalau ibu tahu Sarah buat perkara yang tidak elok, ibu pasti sedih. Kesihatan ibu akan terganggu. Sarah faham kan maksud abah?” Sarah hanya mengangguk. Sedih kerana terpaksa berpisah dengan abahnya.

“Sampai bila abah nak buang Arah dari hidup abah? Inikah harga yang perlu Arah bayar untuk kesalahan yang Arah tak pernah lakukan?” Sarah menggigit bibir bawahnya.

“Abah tak buang Arah. Abah cuma minta Arah bagi abah masa untuk terima semua yang berlaku. Abah doakan Arah sentiasa bahagia dengan kehidupan Arah. Kalau abah dah takde nanti, Arah kena kuat. Kena tabah teruskan hidup Arah.”

Ya Allah, sedihnya hati Sarah. Kenapa abah cakap macam ini? Kenapa abah bercakap seolah-olah abah akan pergi meninggalkan dia keseorangan? Adakah abah akan berpindah ke tempat lain dan menghilangkan diri kerana malu dengan kejadian yang menimpa mereka?
Melihat Suraya yang menangis di sisi abahnya meruntuh hati Sarah. Sarah mendapat sebuah keluarga baru pada hari ini, namun dia kehilangan keluarga yang sekian lama menjadi tulang belakangnya.

Suraya yang berpakaian baju kurung moden berwana putih polos itu ditarik ke dalam pelukannya. Pelukan hangat Sarah dibalas oleh Suraya dengan peuh ikhlas. Sungguh dia sangat menyayangi kakaknya, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk mempertahankan kakaknya kerana keputusan abah sudah muktamad.

“Akak sayang Su. Ingat sampai bila-bila pun akak tetap sayangkan Su.” Kedua-dua beradik itu menangis. Sukar untuk Suraya melepaskan kakak kesayanganya pergi kepada orang lain.

“Su, janji dengan akak Su akan jaga ibu baik-baik. Lepas semua selesai akak balik jenguk ibu, ya?” Suraya yang masih teresak-esak hanya mampu menganggukkan kepalanya.

Suraya membalas pelukan Sarah. “Su tak tahu apa yang berlaku tapi Su tak faham kenapa abah tak nak akak balik rumah kita lagi?”

Sarah memegang kedua-dua belah pipi Suraya. “Tengok akak. Janji dengan akak Su akan jaga abah, ibu dan Amir baik-baik. Janji dengan akak!”

Air mata Suraya yang mengalir deras diseka oleh Sarah. “Su janji. Su sayang akak. Su sayang akak sangat-sangat.” Sarah menangis lagi. Ahh, sukarnya mahu melepaskan Suraya pergi.

Mendengar deringan telefon bimbitnya, Encik Sulaiman segera mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek seluarnya.

“Kenapa Amir?” Soal Encik Sulaiman agak kalut apabila mendengar suara cemas Syamir di hujung talian.

“Apa? Baiklah. Abah balik sekarang. Amir tunggu di rumah dengan ibu ya.”

“Ya. Ya. Abah sampai sekejap lagi.”

“Baik, abah bawak kereta laju-laju supaya cepat sampai rumah. Amir tunggu ya.”

Sarah yang hanya menjadi pemerhati dan pendengar perbualan Encik Sulaiman bimbang. Hatinya berdebar hebat.

“Kenapa abah?” Soal Sarah cemas.

“Takde apa-apa yang penting. Su, mari kita balik.”

“Abah. Arah nak ikut abah balik. Arah nak jumpa ibu.”

“Arah isteri Ari. Apa-apa yang Arah nak buat, Arah perlukan keizinan suami. Ingat pesan abah, jadi isteri yang baik. Isteri yang  taat pada perintah suami. Abah yakin Arah pasti akan menjadi isteri dan emak yang baik sebaik ibu. Abah nak balik sekarang. Jaga diri Arah baik-baik.”

Ah, kenapa air mata sukar sangat untuk berhenti mengalir? Sarah menyalami tangan Encik Sulaiman. Kedua-dua belah pipi tua Encik Sulaiman dicium penuh kasih. Satu kucupan hangat singgah di dahinya. Encik Sulaiman menepuk-nepuk bahu Sarah. Sarah memeluk erat tubuh Encik Sulaiman.

“Abah…” Encik Sulaiman bergegas meninggalkan kawasan rumah mewah milik Tuan Ramlee.

Dia faham anak sulungnya itu bersedih dengan keputusan yang dibuat olehnya. Dia terpaksa. Dia perlu menjaga perasaan isterinya. Dia tidak mahu isterinya tahu bahawa Sarah telah berkahwin. Jika Sarah pulang ke rumah, pasti Puan Aida tahu bahawa Sarah berkahwin kerana jari-jemarinya yang dipenuhi dengan inai.

Tambahan pula anak gadisnya itu langsung tidak pandai berbohong. Sarah anak yang baik. Cuma mungkin Sarah tersalah langkah. Namun, dia sentiasa mendoakan kesejahteraan anak kesayangannya itu.

Sarah menghantar pemergian dua orang tersayangnya dengan pandangan sayu. Sumpah dia sangat-sangat sedih. Rasa seperti ingin berlari mengikut abahnya balik ke rumah. Dia takut mahu berdepan dengan Ari Aqashah. Entah bagaimana lelaki itu akan melayaninya kelak.

“Menangis sedih atau menangis gembira sebab boleh tinggal di rumah besar selama-lamanya?” Sarah berpaling. Tubuh suaminya berdiri tegak di belakangnya. Suami? Terasa loya tekak Sarah.

Sarah mengesat air mata yang masih berbaki.

Malas mahu menjawab pertanyaan Ari Aqashah, Sarah bergerak menjauhi lelaki itu. Berada dekat dengan lelaki itu hanya melukakan hatinya. Tiada satu pun kata-kata yang baik terpancul dari mulut lelaki itu. Semuanya menyakitkan hatinya. Mengalahkan mulut puaka.

Melihat Sarah yang malas mahu bertekak dengannya, Ari Aqashah bengang. Sengaja mahu menguji tahap kesabarannya!

Tangan Sarah direntap kasar. Sarah terdorong ke belakang dan gagal mengimbangi badannya akibat rentapan kasar oleh Ari Aqashah. Tubuhnya terpusing lalu memeluk tubuh sasa Ari Aqashah. Ari Aqashah yang terkejut dengan tindakan spontan itu kalut mengawal riak wajahnya.

“Encik Ari! Kita ada tetamu. Please behave.” Keras suara itu memarahi suami dia.

Ari Aqashah berpaling ke sekeliling. Ada beberapa pasang mata yang memerhatikan gelagat meraka berdua. Ada juga yang tersenyum-senyum, Agaknya seronok melihat kemesraan pengantin baru.

“Bukan main happy lagi pengantin baru ye.” Tengur Mak Ngah Nisah, isteri kepada Pak Ngah Ali.

“Menyampah sangat Mona tengok abang Ari dengan perempuan ni. Tak perlu nak bermesra sangat dekat public ni bang. Kahwin sehari dua memang bahagia. Abang tunggu tiga empat bulan nanti macam mana.” Kata Mona dengan riak berbaur cemburu. Memanglah cemburu melihat kekasih hati dirampas orang!

Malas mahu mendengar kata-kata Mona, Ari Aqashah meninggalkan Sarah di situ. Sakit betul hati Mona dengan sikap kurang ajar Ari Aqashah. Sudahlah tidak melayani dia sebagai tetamu dengan baik, langsung ditinggalkannya di sini.

Mona mencekak kasar lengan Sarah. “Kau ingat kau dah berjaya rampas Ari daripada aku? He is mine! Forever mine!” Sarah yang langsung tidak memahami apa yang sedang berlaku terpingga-pingga apabila dituduh sebagai perampas. Dia menepis tangan Mona dan mahu berlalu pergi.

Sekali lagi tangannya dicekak kasar oleh Mona. “I don’t know who the hell are you but he is my husband. So he is mine!” Belum sempat Mona berkata apa-apa, Sarah terlebih dahulu mencelah. Giliran Mona ternganga kali ini.

Tangan kirinya naik mahu menampar pipi gebu Sarah namun berjaya dihalang oleh Arif Shah yang sudah lama menjadi pemerhati drama murahan ini.

“Mona! Hormat sikit majlis Abang Arif dan Abang Ari.” Mona menarik muka masam. Marliana mendapatkan Sarah.

“Sarah okay ke?” Sarah hanya menganggukkan kepalanya.

Thanks Kak Mar, Along. Arah masuk dalam kejap. Nak solat Asar.” Marliana dan Arif Shah mengangguk serentak.



Sarah terus berlalu pergi meninggalkan majlis yang masih lagi meriah dengan kehadiran tetamu. Sarah naik ke bilik Ari Aqashah. Tombol pintu dipulas perlahan. Matanya liar memerhati sekeliling bilik. Ari Aqashah tiada di dalam bilik itu.

Sarah mendekati tingkap bilik Ari Aqashah. Suasana majlis yang berlangsung di tingkat bawah diperhatikan dari jauh. Ramai sungguh panggilan Tuan Ramlee dan Puan Khalisah. Namun tidak seorang pun kelibat kawan-kawan Ari Aqashah yang kelihatan. Eleh, macamlah Sarah kenal kawan-kawan suaminya itu. Maksud Sarah lelaki dan wanita yang dia temui di Baskin Robin tempoh hari juga tidak kelihatan.

Tidak ramai tetamu yang mengelilingi Ari Aqashah berbanding Marliana dan Arif Shah yang begitu popular pada hari ini. Sarah terasa kerdil sangat. Betul-betul menumpang majlis orang sahaja. Tiada kawan dan dia langsung tidak berasa gembira dengan majlis perkahwinannya sendiri.

Tersedar niatnya yang naik ke atas kerana mahu bersolat, Sarah segera berpaling.

“Ya Allah!” Terkejut kerana terlanggar suaminya yang berdiri di belakangnya. Perangai pelik apa ni? Suka sangat berdiri belakang orang!

“Kenapa terkejut? Ini bilik aku, tak pelik kalau aku ada dalam bilik aku sendiri, kan?” Tak perlu cakaplah ini bilik awak, saya tahu ini bilik awak. Bukan terkejut sebab awak ada dalam bilik, terkejut sebab awak tiba-tiba muncul! Faham?

Kalaulah dia boleh jawab macam tu, memang dah lama dia menjawab.
“Maaf.”

Ari Aqashah ketawa kuat. “Maaf?”

Malas mahu memanjangkan pergaduhan dengan Ari Aqashah, Sarah mengalah. “Saya nak solat.”

“Oh, perempuan jalang macam kau pun solat jugak? Apa yang kau minta dari Allah? Suami kaya macam aku? Atau sekarang doa kau ialah supaya aku mati cepat dan kau dapat warisi semua harta-harta aku?”

“Saya doakan yang terbaik untuk semua orang. Doakan suami saya sembuh dari penyakit yang suka menyakitkan hati orang lain.”

Mendengar jawapan daripada Sarah membuatkan Ari Aqashah mahu meletup. “Kurang ajar!” Tangan kanannya kasar mencengkam kedua-dua belah pipi Sarah.

“Aku menyakitkan hati orang lebih baik daripada mempunyai hati busuk macam kau! Guna taktik kotor untuk bolot harta keluarga aku!”

Sarah cuba menahan air matanya dari merembes keluar namun dia gagal. Kesakitan di pipinya memaksa dia untuk menangis.


“Kenapa menangis? Sakit? Hah? Sakit?!” Jerkah Ari Aqashah.

Sarah hanya mengangguk perlahan. Mataya dipejam rapat. Takut mahu menjawab soalan Ari Aqashah. Masih terasa perit penampar Ari Aqashah yang singgah di pipinya malam kejadian dia ditangkap khalwat bersama lelaki itu.

Ari Aqashah berdengus kasar. Cengkaman di pipi Sarah dilepaskan.

Pintu bilik dihempas kuat. Meluat mahu menatap wajah isteri yang bari dinikahinya beberapa jam yang lalu.

Sarah terduduk bersandar di dinding. Tangannya naik memegang dadanya yang berkocak hebat kerana ketakutan akibat kelakuan kasar Ari Aqashah sebentar tadi. Air mata mengalir deras membasahi pipi.

Ini baru sedikit. Entah apa lagi yang akan dia lalui selepas ini. 

8 comments :

  1. KESIAN SARAH X SUKA LAH ARI TU.

    ReplyDelete
  2. tima kasih sri cz cpt updated bab baru...mcmana la kehidupan sarah bersama ari....mesti setiap hari air mata keluar je kan....huhuhu...sian sarah...

    ReplyDelete
  3. next?????heheheh

    ReplyDelete
  4. ala napa jdi mcm nih.. kesian sarah :(

    ReplyDelete
  5. Tak sabar nk bc next entry.....kehidupan sarah lepas bergelar isteri...mesti byk air mata kan....huhuhu...

    ReplyDelete
  6. sedihnya..ksian sarah...huhuhu

    ReplyDelete
  7. sedihnya...kisan sarah...huhuhu

    ReplyDelete