Thursday 8 August 2013

Bab 30 Kau Perempuan Itu

Sarah duduk di hujung katil. Mata meliar di sekeliling bilik barunya. Bilik yang dicat dengan warna putih ini nampak suci dan bersih pada pandangan matanya. Boleh tahan juga cita rasa Ari Aqashah.

Matanya terpaku pada beg-beg yang diletakkan di tepi almari kayu yang disembur dengan cat berwarna putih. Nafas dihela berat. Seberat bebanan yang ada dalam hatinya.

Sarah bangkit berjalan menuju ke arah beg peti yang berwarna hitam. Kaki bersimpuh di sisi beg hitam itu. Zip paling depan dibuka. Sebuah frame dikeluarkan dari situ. Tanpa dipinta air matanya gugur lagi. Jari runcingnya menyentuh permukaan frame gambar.


Ya Allah, sesungguhnya dia rindu pada wajah-wajah ini. Bibir mencium segenap inci wajah-wajah dalam gambar itu. Hanya Allah yang tahu betapa dia merindui mereka. Betapa dia rasa bersalah terhadap mereka. Betapa dia membenci dirinya sendiri saat ini.

“Ibu, Arah nak pergi rumah Tuan Ramlee sekejap sebab Arah nak tolong Jihan buat kenduri kahwin abang dia. Ibu jaga diri tau. Jangan lupa makan ubat.” Seperti yang dipinta oleh Encik Sulaiman, Sarah hanya menurut.

“Lama ke Arah nak pergi?”

Sarah senyum sedikit. “Tak lama la ibu. Mungkin dalam seminggu aje kot.” Ya, ketika itu dia sangka abah tidak akan membuang dia dari hidup mereka. Tak sangka abah mahu membuang dia jauh.. sejauh ini.

“Berat hati nak biarkan Arah pergi. Kalau boleh nak Arah duduk dengan ibu sehari dua lagi.. Tapi takpe lah, Arah dah berjanji dengan Jihan.. Kirim salam ibu pada dorang ya.”

Patutlah semasa dia mahu meninggalkan Puan Aida sehari sebelum majlis pernikahannya, dia rasa berat hati sangat mahu melangkah keluar. Patutlah Syamir  asyik mahu tidur dengan dia sahaja.

“Nanti Amir mungkin tak boleh tidur peluk Kak Arah lagi.” Ketika itu, dia ingat Syamir seolah-olah tahu bahawa dia akan berkahwin, jadi tak boleh tidur bersama dia lagi. Rupa-rupanya maksud Syamir sungguh mendalam.

“Abah akan terus doakan Arah bahagia sampai ke syurga..”  Sarah memejam matanya rapat-rapat.

Jika bukan kerana Ari Aqashah, dia tidak akan terperangkap dalam perkahwinan ini. Langsung tidak menyangka bahawa akhirnya dia akan berkahwin dengan Ari Aqashah. Lelaki yang Laila ingin jodohkan kepadanya. Akhirnya Ari Aqashah menjadi suaminya.

Suami? Suamikah jika melayani dia seperti ini? Langsung tidak menghargai dia? Menjerit terlolong setiap hari? Argghh! Serabut betul memikirkan hala tuju hubungannya dengan Ari Aqashah. Entah di mana penghujung cerita mereka nanti. Adakah Ari Aqashah akan melepaskan dia? Jika ya, ke mana dia akan pergi? Dia sudah tidak mempunyai sesiapa lagi.

“Ibu! Kak Arah sembur air dekat Amir!” Jeritan Syamir menerbitkan senyuman meleret terukir di bibir Puan Aida. Seronok melihat telatah anak-anak manja kesayangannya.

Bruummmmp!

Sarah toleh ke belakang. Suraya ketawa mengekek sambil memegang perutnya. Habis basah lencun t-shirt berwarna hijau pucuk pisang yang dipakai oleh Sarah. Sarah membulatkan matanya. Syamir ketawa sampai terlompat-lompat. Amboi, bukan main seronok lagi tengok kakak dia kena buli.

Sarah memandang Encik Sulaiman, mahu meminta simpati daripada abahnya. Encik Sulaiman jungkit bahu.

“Abah!!” Sarah menarik muka masam. Sampai hati abah pun ketawa jugak!

Sarah berlari kepada Puan Aida yang sedang duduk di atas kerusi roda di hadapan pintu rumah. Dia melutut di depan Puan Aida. Kali ini simpati ibu perlu diraih. Biar dia pula yang menyimbah kepala Suraya! Gelak jahat dalam hati.

“Ibu! Jangan bagi muka sangat dengan Kak Arah tu. Suka sangat buli orang. Kali ini jom kita pulak buli dia. Kan Amir kan?” Suraya cepat-cepat memegang tangan Puan Aida.
Puan Aida menggeleng perlahan. Gembira di hati tidak terhingga melihat anak-anak ketawa senang hati. Bergaduh manja. Kepala Sarah digosok perlahan. Perlahan-lahan tangannya menarik Sarah ke dalam pelukan.

“Sayang anak ibu. Dah besar anak ibu ni. Jangan buli adik-adik.” Belakang Sarah digosok perlahan.

“Ibu! Arah main-main aje. Bukan buli betul-betul pun. Kalau Syamir masuk asrama nanti lagi teruk dia kena buli tau!” Cuba membela diri.

“Kalau ada orang buli adik-adik, Arah kena jadi penyelamat. Kena bantu adik-adik supaya tidak dibuli. Ibu tak nak anak-anak ibu jadi mangsa buli.”

Sarah menggigit bibir. “Dah, pergi masuk mandi. Amir, cepat habiskan siram pokok bunga tu. Main aje kerjanya ye!” Marah Puan Aida buat-buat. Sengaja mahu menakutkan Syamir.

Syamir angguk laju.

“Dah senja ni Amir. Mari abah tolong Amir.” Syamir senyum girang. Encik Sulaiman menggosok kepala anak lelaki tunggalnya.

Frame gambar ditarik rapat ke dadanya. Sarah menangis semahu-mahunya. Sekelip mata dia kehilangan keluarganya. “Ya Allah, adakah ini balasan kepadaku kerana merahsiakan perkahwinanku daripada ibuku Ya Allah. Berdosakah aku Ya Allah..” Sarah terus merintih keseorangan. Hatinya terasa kosong.

Baru beberapa hari mereka pergi meninggalkan dia selama-lamanya. Tidak pernah sekalipun dia menjejakkan kaki ke kubur mereka. Tidak pernah sekalipun dia pernah mengadakan kenduri tahlil kepada arwah abah, ibu dan adik-adiknya. Teruknya dia..

“Ibu, ampunkan Arah. Arah berdosa dengan ibu… Arah sayangkan ibu.”

Kaki yang bersimpuh cantik di sisi beg naik rapat ke dadanya. Dagu diletakkan di atas lutut miliknya. Air mata masih belum mahu berhenti mengalir. Terasa berdosanya dia kepada mereka. Kejamnya Ari Aqashah melayani dia seperti ini. Tegarnya lelaki itu tidak membenarkan dia untuk pergi bersama mengikut Tuan Ramlee.

“Walaupun Encik Ari tak cintakan Arah, menjadi kewajipan Arah sebagai seorang isteri mencintai suami sendiri. Jangan melawan cakap suami. Abah sentiasa doakan Arah.
Abah sayang semua anak-anak abah.”

Sarah memegang dadanya yang terasa sempit. Dia tidak mahu membenci suaminya. Masih tersemat diingatannya semua pesanan arwah abah tentang kewajipan mencintai dan menghormati suami. Dia tidak mahu menjadi penghuni neraka. Walau seburuk manapun Ari Aqashah melayaninya, dia akan cuba bersabar. Semua ini adalah dugaan daripada Allah swt.

Walaupun dia tidak mampu untuk mencintai suaminya, namun dia akan cuba sedaya upaya untuk menghormati lelaki itu. Arif Shah abang iparnya. Dia perlu membuang semua perasaan ‘suka’ yang pernah singgah di hatinya terhadap lelaki itu. Dia tidak boleh menyimpan apa-apa perasaan terhadap abang iparnya sendiri.

Astagfirullah hal’azim.

Sarah menyeka kasar air mata yang masih bersisa di pipi.

Tangan menarik laci almari kecil yang menepatkan lampu tidur di sisi katilnya. Melihat laci berwarna putih itu kosong tidak berisi, Sarah memasukkan frame gambar ahli keluarganya di situ. Gambar ketika mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama dua tahun lalu. Ketika itu Puan Aida masih boleh duduk di atas kerusi roda. Frame gambar itu dicium dua kali sebelum laci itu ditutup kembali.

Sarah bingkas bangun. Masih banyak kerja yang perlu dia selesaikan. Pakaian Ari Aqashah masih belum dikemas. Satu apa pun masih belum dimasukkan ke dalam almari.

Mana tahu suaminya tiba-tiba pulang nanti. Free aje kena tengking. Walaupun baru seminggu lebih berkahwin dengan Ari Aqashah, dah tahu tabiat lelaki ini, suka menengking, Tidak pernah satu hari senyap sunyi tanpa tengkingan lelaki itu. Kalau ada, memang keajaiban tu!



Kaki melangkah masuk ke dalam bilik Ari Aqashah. Kali pertama. Mata meliar melihat susunan perabot dalam bilik suaminya. Kemas dan bersih! Kaki di bawa menuju ke meja kerja lelaki itu. Tersusun kemas semua barang di atas meja. Pembersih betul lelaki ini.

Bingkai gambar di atas meja diambil. Wajah Tuan Ramlee, Puan Khalisah, Jihan dan Arif Shah tersenyum bersama Ari Aqashah semasa majlis pentauliahan Ari Aqashah sebagai juruterbang. Segak suaminya berpakaian lengkap juruterbang. Tidak pernah tengok. Bibir Ari Aqashah yang nampak kacak dengan senyuman itu dipandang lama. Adakah dia boleh melihat senyuman seikhlas itu terbit dari bibir Ari Aqashah untuknya?

Bingkai gambar keluarga itu diletakkan kembali di tempat asalnya. Satu lagi bingkai gambar menarik perhatiannya. Dia pernah nampak wanita ini. Gadis dalam gambar yang hanya berbaju tanpa lengan itu diperhati lama. Teman wanita Ari Aqashah. Cantik dan seksi! Alahai, kalau nak dibandingkan dengan dirinya, macam langit dengan bumi.

Tanpa dipinta, kaki bergerak sendiri ke arah tandas. Tombol pintu dipulas. Siap ada bath tub! Terpandang set penjagaan muka yang tersusun kemas di dalam almari kaca di sebelah sinki berwarna putih itu, mulut comel Sarah ternganga kecil. Metroseksual gila!

Tersedar bahawa dia ke sini untuk mengemas pakaian suaminya, cepat-cepat Sarah menutup kembali pintu tandas.

“Kau buat apa?” Akibat terkejut dengan sergahan suara di belakangnya, kepala Sarah terhantuk di pintu tandas Ari Aqashah.

Adoi! Sakit betul. Sarah menggosok dahinya. Tubuhnya lambat-lambat berpaling ke belakang. Seperti biasa, kepala kalau boleh mahu melekat di lantai. Tunduk melihat jari-jari kaki sendiri.

“Pandang aku, bodoh!” Panggilan bodoh kali kedua pada hari ini. Apa masalah lelaki ini? Suka-suka panggil orang bodoh!

Ikutkan hati mahu sahaja dia membalas ‘Encik Ari lah yang bodoh!!’. Takut pulak nak menjawab. Derhaka tu! Ergh… kutuk dalam hati ajelah!

“Kau jangan nak mengutuk aku dalam hati kau. Ingat sikit kau tu siapa!”  Kepala terpacak naik memandang muka Ari Aqashah. Wajah merah menyala itu dipandang dengan pandangan ingin tahu.

“Saya siapa?” Once again! Kenapa mulut comel ini selalu mendustai tuanmu?! Berkali-kali dia mengingatkan dirinya biar Ari Aqashah bergaduh seorang diri macam orang gila, kenapa masih nak menjawab jugak. Nanti dua-dua gila!

Tersedar akan ketelanjuran itu, Sarah kembali memandang jari kaki yang bergerak-gerak. Takut tangan Ari Aqashah naik mencengkam pipinya lagi. Memanglah tidak pernah meninggalkan bekas cengkaman, tapi sakitnya Tuhan sahaja yang tahu.


“Kau siapa?” Ari Aqashah tergelak besar sampai terduduk di atas katil. “Kau siapa?” Jarinya menunding ke  arah Sarah. Ketawanya masih bersisa.

“Kau hamba aku. Dalam rumah ni, aku tuan dan kau hamba. Get it?”  Ketawa tadi sudah hilang. Nada suara bertukar serius serta-merta.

“Faham ke tidak?!” Tengkingan itu membuatkan tubuh Sarah terhinjut sedikit. Laju-laju kepalanya diangguk.

“Kau bisu ke? Faham ke tidak?!”

“Faham, encik.”

Ya Allah, sabarkanlah hatiku Ya Allah. Ikutkan hati mahu saja dia racun Ari Aqashah. Bagi minum racun tikus. Kalau bencikan dia sekalipun tak perlulah menjerit-jerit macam orang gila. Tak penat ke tengking orang setiap hari? Macam orang gila aje gayanya.

“Apa kau buat dalam bilik aku?” Ari Aqashah berdiri sambil menanggalkan jam tangan dan diletakkan di atas almari di sebelah katilnya. Wallet kulit berwarna hitam dikeluarkan dari poket belakang, diletakkan di sebelah jam tangannya.

“Saya nak kemas bilik Encik Ari.”

“Kemas bilik aku? Hmm?”

Sarah angguk laju. Ari Aqashah bergerak ke arah kedudukan Sarah berdiri. Sarah telan liur. Kenapa suaminya bergerak ke sini? Tubuh Sarah yang berdiri di hadapan tandas bergerak sedikit ke tempat lain.

“Berambus!” Tanpa menoleh kepada Sarah, Ari Aqashah terus menghilangkan dirinya ke dalam tandas. Pintu tandas dihempas kuat.

Sarah melepaskan nafas kelegaan. Ingatkan nak buat gila macam hari itu lagi. Takut okay! Walaupun Ari Aqashah suaminya, dia tidak sanggup menyerahkan dirinya kepada lelaki itu. Masih ingat lagi kata-kata Ari Aqashah bahawa lelaki itu langsung tidak berselera dengannya. Ayat langsung tak reti nak jaga hati orang! Kalau tak suka tak perlulah cakap dengan dia. Macamlah dia kemaruk sangat dengan Ari Aqashah!

“Jangan pandai-pandai masuk bilik aku kecuali aku yang arahkan.” Kaki yang baru sahaja melangkah keluar terhenti.

Sekali lagi pintu tandas dihempas kuat. Sarah mengomel dalam hatinya. Meluat sungguh!
Mata melilau mencari barang yang sesuai mengikut kehendak hatinya. Cincin? Gelang? Rantai? Ahhh, apa nak beli sekarang ni?! Tangan naik menggaru kepala yang tidak gatal untuk sekian kalinya. Terlupa nak kira kali ini kali yang ke berapa dia menggaru kepala.

Susah betul mahu memujuk Suzila. Sudah hampir tiga hari gadis itu langsung tidak mahu bercakap dengannya. Merajuk bukan main lagi. Bukan mereka betul-betul kemalangan pun tempoh hari. Haish! Serabut betul.

Akhirnya selesai juga misi mencari hadiah. Harap-harap Suzila sukakan hadiah yang dia berikan. Kali ini dia mahu pergi ke rumah Suzila pula. Mahu memujuk buah hati tersayang.

Remote kereta ditekan sekali. Belum tiga puluh saat enjin dipanasakan, kereta terus meluncur laju. Mahu lekas-lekas sampai ke rumah Suzila. Mahu memujuk wanita kesayangannya. Bunyi radio yang menyerabutkan kepalanya diperlahankan volumenya. Kalau terus tutup sunyi sangat pulak kereta ini nanti.

Deringan telefon bimbit memaksa Ari Aqashah memberhentikan keretanya di bahu jalan.
“Assalamualaikum, mama.”

Salamnya tidak dijawab. Hanya tangisan Puan Khalisah yang kedengaran.

“Mama! Kenapa ni.? Hello? Hello?” Kalut. Apa yang berlaku. Wajah Ari Aqashah menunjukkan riak cemas. Belum pernah Puan Khalisah menangis seperti ini dalam telefon.
“Papa.. Ari. Papa!” Raungan Puan Khalisah semakin kuat.

“Hello. Abang, ni Jee. Abang.. Papa..” Suara sedu-sedan Jihan semakin kedengaran.
What happened?”

“Papa..”

“Kenapa dengan papa, Jee. Kenapa? Cakap!” Ari Aqashah hilang sabar. Suara sudah meninggi. Apa yang berlaku. Kenapa tergagap-gagap? Susah sangat nak beritahu apa yang terjadi.

“Abang baliklah..” Jihan mematikan perbualan. Ari Aqashah memecut keretanya menuju ke banglo mewah milik keluarganya.

Ari Aqashah melurut rambutnya. Serabut! Banyak hal yang berlaku kepadanya sejak akhir-akhir ini. Aduhai! Esok dah mula kerja. Serabut betul!

9 comments :

  1. smbng lagiii ;)
    Selamat Hari Raya

    ReplyDelete
  2. cpt la update next entry.. xsabo ler..
    slmt hr rye..

    ReplyDelete
  3. cpt lah smbg next entry..
    xsabo nih..
    xde nk keluarkan novel ker?
    btw, slmt hr rye..

    ReplyDelete
  4. Bila nak sambung lagi..dah x sabar ni..hari2 bukak..

    ReplyDelete
  5. bestt xsbar nk tggu next entry...bila nk kuar novel ni maya..;)

    ReplyDelete
  6. writer upload laa lagi novel kau perempuan itu ni...bab best sangat..

    ReplyDelete