Tuesday 3 December 2013

Bab XX Kau Perempuan Itu

Mata dibuka perlahan-lahan. Lampu bilik masih terpasang menerangi bilik yang masih gelap kerana ditutupi oleh sehelai langsir tebal.. Tangannya menyentuh bibir yang terasa perit. Kesan lebam di tangan kanannya disentuh lembut. Kesan cengkaman Ari Aqashah malam semalam masih terasa. Air mata kecewa mengalir lagi di pipi. Tidak sangka Ari Aqashah akan bertindak sekasar ini.
Tanpa menunggu lebih lama, Sarah bangkit menuju ke tingkap. Langsir tingkap diselak sedikit. Kereta suaminya tiada di situ. Ari Aqashah tidak tidur di rumah ini malam semalam.
Tuala di penyidai di capai lemah. Kaki melangkah menuju ke bilik mandi. Lama Sarah memandang dirinya dalam cermin. Bibirnya bengkak akibat tamparan kuat Ari Aqashah. Pipi dia juga nampak lebam. Sarah memejam rapat matanya. Mahu menghilangkan semua bayangan kasar perlakuan Ari Aqashah terhadapnya.
Selesai mandi, Sarah berkurung di dalam bilik tidur Ari Aqashah. Tidak tahu sama ada ini adalah waktu yang sesuai untuk dia keluar atau tidak. Dia tidak mahu membangkitkan kemarahan sesiapa. Tidak mahu menghilangkan mood sesiapa.
Ketukan di pintu menyebabkan Sarah bingkas bangkit membuka pintu. Takut Ari Aqashah yang pulang ketika ini.
“Jom, turun makan. Dah pukul 1.30 tengah hari. Arah belum makan lagi ni.” Arif Shah tersenyum.
Mata Sarah melilau kalau-kalau ada sesiapa yang sedang memerhati mereka.
“Tak ada sesiapa. Mak Som aje ada di bawah. Tunggu Arah nak makan sekali.”
Bibir bergerak-gerak mahu bertanya sesuatu. “Mama dan yang lain dah keluar ke hospital jenguk papa. Ari balik ke apartment dia malam semalam. Jom turun makan.”
Sarah cemas. Terkejut! “Kenapa dengan papa?”
“Jom turun makan. Saya cerita masa makan nanti.” Tidak membantah, Sarah membontoti Arif Shah turun ke ruang makan.
Ternampak kelibat Sarah menuju ke arah meja makan, Mak Som bingkas berdiri. Tubuh ramping Sarah tenggelam dalam pelukan Mak Som. Mak Som menggosok belakang Sarah.
“Sabar ye nak. Mak Som faham perasaan Arah.” Pipi Sarah disentuh lembut. Luluh hatinya melihat wajah lebam Sarah. Tidak menyangka Ari Aqashah bertindak sejauh ini.
“Sakit?” Sarah menggeleng.
“Sikit aje.”
Pinggan dihulurkan kepada Sarah. Lauk pauk yang terhidang di depan mata tidak mampu memikat selera Sarah. Hatinya melonjak-lonjak ingin tahu apa yang sedang berlaku.
“Kenapa papa di hospital? Apa yang berlaku?” Wajah Arif Shah dipandang dengan perasaan ingin tahu. Sumpah dia ingin tahu apa yang sedang berlaku sekarang ini.
Dia ingin tahu apa kaitan saham 20 peratus Teraju Sinar Holding dengan dirinya? Kenapa Puan Khalisah asyik mengherdik dia? Kenapa Marliana mulai membenci dirinya? Kenapa Ari Aqashah menuduh dia perempuan murahan? Kenapa? Apa yang sedang berlaku di sekelilingnya.
Arif Shah memandang wajah Sarah. Tenang riak wajah lelaki di hadapannya ini.
“Papa kemalangan. Papa dalam ICU.” Terkejut dengan kenyataan Arif Shah, Sarah senyap. Tangan menekup mulutnya. Air mata mulai bergenang memenuhi kelopak matanya.
“Ke..ke..napa…?” Gagap suara Sarah.  
“Saya tak pasti apa yang sebenarnya berlaku tetapi menurut Nazmi papa dan mama bergaduh semasa dalam perjalanan balik dari firma guaman. Papa memindahkan 20 peratus saham miliknya kepada nama Arah dan bakal anak Arah. Selebihnya masih milik keluarga saya dan pemegang saham yang lain.” Arif Shah berhenti seketika. Mencari kekuatan untuk menyambung ceritanya. Sarah diam tidak mencelah. Tekun mendengar cerita Arif Shah.
“Mama tak setuju dengan tindakan papa. Mama dan papa bergaduh sehingga mengganggu fokus pemanduan Nazmi. Saya sendiri tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku. Mama tidak mahu menceritakan kepada sesiapa. Nazmi patah kaki, dan papa dimasukkan ke ICU disebabkan hentakan kuat di kepala. Keadaan papa masih kritikal.”
“Habis siapa yang temankan papa di hospital semalam?”
“Mama tak benarkan sesiapa berada di hospital. Mama terlalu marah dengan papa. Apa hubungan awak dengan papa saya, Sarah? Apa hubungan awak sampai papa saya sanggup berikan 20 peratus saham tu untuk awak? Who are you?”
Tersentak namanya dipanggil, Sarah mencari anak mata milik Arif Shah. Anak mata Sarah memandang tepat ke arah anak mata milik Arif Shah. “Dia bapa mertua saya.” Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran Arif Shah. Lelaki itu juga berfikiran sama dengan orang lain.
Arif Shah tersenyum sinis. “Semua orang tahu hal itu. Saya mahu tahu hakikat yang sebenarnya. Siapa awak?”
Sarah menolak kerusi makan. Dia mahu naik ke atas dan bersiap untuk ke hospital. Dia perlu melawat bapa mertuanya. Belum sempat kaki menjejak ke anak tangga yang pertama, Arif Shah terlebih dahulu mencapai tangan Sarah.
“Kenapa nama awak ada dalam senarai pemegang saham Teraju Sinar Holdings? Siapa awak?!” Keras suara Arif Shah namun cukup untuk didengari oleh mereka berdua sahaja.
Sarah menarik lembut tangannya. “Tolong jaga tingkah laku, Along. Saya isteri Ari, adik ipar Along.”
“Isteri adik saya dan perempuan simpanan papa saya?”
Pangg!
Laju tangan Sarah menampar pipi Arif Shah.
Hey, perempuan!” Marliana meluru mendapatkan suaminya. Tubuh Sarah yang berdiri berhadapan dengan Arif Shah ditolak. Sarah jatuh terduduk di atas lantai. Sekali lagi. Semalam ditolak kasar oleh Puan Khalisah, hari ini oleh menantu kesayangannya pula.
Sarah bangkit semula. Puan Khalisah yang berdiri di sebelah Jihan langsung tidak memandang ke arahnya. Benci sangat agaknya. “Saya tak ada apa-apa hubungan dengan suami puan. Untuk saham 20 peratus yang kononnya dikatakan milik saya, saya akan serahkan semula kepada keluarga puan.” Lembut Sarah menuturkan kebenaran kepada Puan Khalisah. Wajahnya menunduk sedikit memandang lantai.
“Kau ingat aku percaya cakap kau? Kau ingat dengan muka berlagak baik depan aku, aku akan terperdaya dengan ayat-ayat kau?” Sudah menjangkakan tengkingan seperti ini daripada Puan Khalisah.
“Saya berani bersumpah saya langsung tiada apa-apa hubungan dengan suami puan. Saya tak pernah perangkap anak puan untuk melindungi apa-apa hubungan dengan suami puan. Saya…”
“Saya apa?! Kau ingat aku suka tengok muka kau dalam rumah aku? Kau ingat aku suka?!” Puan Khalisah mula mengherdik Sarah. Kesabaran yang ditanamkan dalam hati sudah hilang. Ternyata Sarha lebih licik dalam permainan ini.
“Kau puan tak suka, saya boleh keluar dari rumah ini.”
“Kau jangan pandai-pandai nak keluar dari rumah ini tanpa keizinan aku. Pergi masuk bilik!” Ya, saya perlukan keizinan awak Ari Aqashah. Kalau bencikan saya kenapa tak halau saya keluar dari rumah ini?! Namun ayat itu hanya menjerit dalam hati Sarah sahaja.
Wajah Ari Aqashah dipandang dengan perasaan kecewa yang teramat sangat. Kenapa lelaki ini langsung tidak menjaga hatinya? Langsung tidak melindunginya?
“Masuk dalam bilik!” Sarah tersentak. Begitu juga dengan Mak Som yang sedang berdiri di meja makan. Terkejut dengan tengkingan Ari Aqashah.
Dengan langkah yang longlai. Sarah memanjat anak tangga menuju ke bilik tidur Ari Aqashah. Hancur luluh melihat sikap Ari Aqashah. Benar lelaki itu langsung tidak mencintainya, namun tidakkah lelaki itu sedar akan tanggungjawab sebenar yang dia pikul terhadap Sarah?
Pintu bilik ditutup perlahan. Sarah duduk bersandar di kaki katil. Sedih benar dengan layanan keluarga Ari Aqashah terhadapnya. Jika Puan Khalisah membencinya kerana merampas anak lelaki kesayangannya, Puan Khalisah silap. Dia langsung tidak pernah merampas lelaki itu. Dia tidak pernah merampas Ari Aqashah daripada sesiapa.
Jika Puan Khalisah meragui hubungan dia dengan Tuan Ramlee, Puan Khalisah sangat-sangat silap dalam menilai. Tuan Ramlee hanya mencintai Puan Khalisah. Walaupun selepas berkahwin dengan Ari Aqashah tidak banyak masa yang dia luangkan bersama Tuan Ramlee namun dia pernah berbual dengan lelaki itu beberapa kali.
“Papa mesti sayangkan mama, kan?” Sarah duduk menemani Tuan Ramlee di kerusi rehat.
Puan Khalisah keluar untuk menghadiri perjumpaan persatuannya. Jihan pula berjumpa dengan rakan-rakan dari Australia.Kesian Tuan Ramlee, hujung minggu macam ni pun masih lagi kena tinggal.
Tuan Ramlee ketawa perlahan. Pandai menantu dia nak ajak dia berbual. “Wanita pertama yang papa sayang dan akan menjadi wanita terakhir dalam hidup papa.”
Kembang kempis dada Sarah mendengar pengakuan Tuan Ramlee. Bertuah Puan Khalisah.
Sarah mengesat air hangat yang membasahi pipinya. Kenapa hidup dia jadi macam ni? Dia sudah tidak boleh bergurau dengan Tuan Ramlee pada hujung minggu. Bapa mertuanya sedang kritikal di hospital.
“Ya Allah, selamatkan papa.”
“Mama, mama kena banyak bersabar. Kita tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mama tak boleh terus membuat tuduhan melulu terhadap Sarah. Mungkin papa tak bersalah.” Jihan langsung tidak percaya bahawa Tuan Ramlee menjalinkan hubungan dengan Sarah. Jika hal itu benar sekalipun, pasti Sarah yang menggoda papanya!
“Lagipun Jee percaya papa takkan lakukan perkara terkutuk macam tu. Dah lama papa berkahwin dengan mama dan tidak pernah sekalipun papa menipu mama. Jee yakin, perempuan itu yang menggoda papa!”
Giliran Arif Shah pula memujuk Puan Khalisah. Sejak ditimpa kemalangan Puan Khalisah asyik menangis sahaja. “Selagi papa belum sedar kita tak boleh membuta tuduhan melulu. Kita tunggu sehingga papa sedar. Mama, please banyakkan bersabar. Mama kena rehat. Kami tak mahu nanti mama pula yang sakit.”  
Tangan Puan Khalisah digenggam erat oleh Arif Shah. Beberapa saat kemudian, Puan Khalisah tenggelam dalam pelukan anak sulungnya.
Isteri mana yang tidak sedih jika suaminya beriya-iya mahu mengubah wasiatnya demi orang luar. Jika bukan kerana dia yang mendesak suaminya untuk ikut bersama ke firma guaman, mungkin dia tidak akan tahu bahawa suaminya menukar wasiat. Sampai hati suaminya.
“Kita tunggu sampai peguam panggil kita. Jika papa masih juga belum sedar dalam masa tiga hari, kita perlu tahu siapa yang bakal menerajui Teraju Sinar Holdings sehingga papa sembuh. Doktor pun belum berikan kita apa-apa keputusan tentang papa. Syarikat perlukan seseorang yang boleh dipercayai untuk memantau perjalanan projek.”
“Dah la tu Along. Biar mama berehat. Mama dah cukup letih dengan apa yang berlaku sekarang ni. Jangan tambah sakit kepala mama.” Ari Aqashah mencelah sambil memicit kepalanya. Bukan Puan Khalisah aje yang sakit kepala, dia pun dah rasa sakit sangat kepala dia dengan masalah yang bertimpa-timpa.
“Mar, tolong bawa mama ke bilik. Nanti I datang.” Marliana mengangguk.
Melihat Puan Khalisah, Marliana dan Jihan menghilang dari anak tangga, Arif Shah menegur Ari Aqashah. “Along nak cakap dengan Ari kejap.” Ari Aqashah yang baru sahaja mahu meninggalkan ruang makan kembali duduk di tempatnya.
“Ada apa?”
“Jangan berkasar sangat dengan Sarah. Dia mungkin hanya mangsa keadaan. Kita masih belum pasti apa hubungan dia dan papa.  Dia masih lagi isteri Ari.. jangan jatuhkan hukuman sebelum kita tahu kebenarannya.”
Ari Aqashah tergelak kecil. “Kenapa? Along terluka?”
Melihat riak wajah terkejut Arif Shah, Ari Aqashah menambah. “Marliana isteri Along. Jangan masuk campur hubungan Ari dan Sarah. Lebih baik Along jaga hubungan Along dan Marliana. Jangan sampai Marliana menghidu kecurangan Along.”
“Apa yang Ari merepek ni?!” Arif Shah berdiri tegak. Penumbuk dikepal. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia melayangkan sebiji penumbuk ke muka adiknya. Mulut langsung tak ada insurans!
“Ari penat sangat. Ari nak naik atas.”
Arif Shah menghantar sesusuk tubuh itu dengan ekor matanya. Adakah Ari Aqashah tahu bahawa dia menyimpan perasaan terhadap Sarah? Jika ya, bagaimana lelaki itu tahu? Adakah Sarah yang memberitahu kepada Ari Aqashah? Arif Shah kembali duduk di sofa mewah itu.
Cincin perkahwinan yang tersarung kemas di jari manisnya diperhati lama. Dia sayangkan Marliana. Sayang sangat! Namun jika dia tidak melihat wajah lembut Sarah, hatinya tidak puas. Melihat wajah itu yang penuh dengan kesan-kesan lebam menyakitkan hatinya. Ingin sahaja dia membelasah wajah kacak adiknya sendiri!
Mendengar pintu bilik dibuka, Sarah mengangkat kepalanya. Pandangannya yang berlaga dengan Ari Aqashah segera dikalih ke tempat lain. Sarah memandang ke luar tingkap. Soalan yang berlegar-legar di kepala hilang sekelip mata. Dia mahu menyoal tentang keadaan papa, namun dia tidak berani. Takut kalau Ari Aqashah naik hantu dan memukul dia lagi.
Talk to him Sarah.’
Sarah masih berkira-kira untuk membuka mulut. Supah dia rasa kecut perut untuk berdepan dengan Ari Aqashah ketika ini.
“Encik Ari..” Langkah Ari Aqashah terhenti. Dia berpaling memandang wajah yang penuh dengan kesan lebam itu.
Melihat Sarah diam, Ari Aqashah menunggu ayat yang seterusnya. “Kau ingat aku ada banyak masa nak tunggu kau fikir kau nak cakap apa?” Sindir Ari Aqashah.
“Kita perlu berbincang. Saya perlu cakap dengan Encik Ari.”
Ari Aqashah ketawa menyindir. Bincang konon? Nak bincang apa? Nak kelentong dia? Pergi mampus! Ari Aqashah berpaling semula. Mahu mandi dan tidur sebentar. Rasa letih sangat-sangat dah ni.
“Encik Ari, please.”
Ari Aqashah berjalan menuju ke arah sofa. Dia melabuhkan duduknya di situ. “Kau nak bincang apa?” Suara yang tadi tegang kembali kendur.
Sarah bangkit mendekati Ari Aqashah. Duduknya dilabuhkan di atas lantai yang dibaluti dengan permaidani berwarna hitam kelabu berdekatan dengan Ari Aqashah.
Suasana senyap seketika. Berdepan dengan sikap tenang Ari Aqashah mendebarkan hati Sarah. Bimbang kalau-kalau lelaki ini naik berang tiba-tiba.
Now.”
Sarah mengambil sedikit nafas. “Saya minta maaf pasal perkahwinan kita. Sumpah..”
“Sumpah saya tak tahu apa-apa. Kan? Itu aje yang kau nak cakap? Dah, aku nak pergi mandi!” Belum sempat Sarah menghabiskan ayatnya, Ari Aqashah lebih pantas mencelah.
“Ada orang yang perangkap kita. Bukan saya.”  Ari Aqashah menambah. “Hei perempuan, aku dah muak dengar semua tu dari mulut kau.”
Bosan menghadap muka Sarah, Ari Aqashah bangkit menuju ke bilik air. Malas mahu mendengar apa-apa penjelasan lagi. Bukan dapat apa-apa dan bukan dapat mengubah apa-apa. Ikutkan hati mahu saja dia menceraikan Sarah. Ahhh, selagi wanita itu tidak terseksa, jangan harap aku akan lepaskan dia!
Sarah melirik ke arah jam di dinding. Pukul 2.45 petang. Dia masih belum solat Zuhur. Suaminya mungkin mahu menunaikan solat sebentar lagi. Sarah bingkas bangkit mengambil sehelai baju dan kain pelikat yang berada di dalam almari pakaian. Pakaian itu diletakkan di atas katil. Tikar sejadah dibentangkan untuk suaminya.
Sebaik sahaja Ari Aqashah keluar dari bilik air, Sarah bangun sambil mengukir senyuman manis. “Saya dah siapkan pakaian dan tempat solat.”
“Jangan sentuh barang aku. Aku tak suka.” Mati senyuman yang terukir di bibir Sarah.
“Maaf.”
Segan melihat Ari Aqashah yang hanya bertuala separas lutut, Sarah masuk ke bilik air. Mahu mengambil wuduk dan bersolat. Mana tahu kalau-kalau Ari Aqashah sudi mengimamkan solatnya.
Sebaik sahaja keluar dari bilik air, Sarah terpandang Ari Aqashah yang sedang bersolat. Bibir mengeluh hampa. Mungkin lelaki itu perlukan masa untuk menerima kehadirannya. Sarah perlu bersabar. “Jangan sesekali mengalah. Arah mesti kuat untuk mempertahankan perkahwinan Arah.”
Abah.. kenapa pesanan abah terlalu sukar untuk Arah laksanakan? Kenapa Ari Aqashah tidak boleh membuka hatinya untuk redha dengan setiap yang berlaku? Ya Allah, sesungguhnya aku ikhlas menerima kehadiran lelaki ini dalam hidupku Ya Allah. Pinjamkan aku kekuatanMu, Ya Allah.
Sementara menunggu Ari Aqashah selesai bersolat, Sarah memakai telekung dan duduk di birai katil. Memerhatikan wajah suaminya dari sisi. Wajah itu nampak tenang. Sukar sekali untuk dia lihat wajah tenang itu dalam keadaan biasa. Perkahwinannya dengan Ari Aqashah sudah menginjak hari yang ke tiga belas pada hari ini, namun layanan Ari Aqashah masih lagi sama. Tidak. Semakin teruk kepadanya.
Melihat Ari Aqashah yang mahu mengangkat tikar sejadah, Sarah cepat-cepat mencelah. “Encik, saya nak solat.”  Tanpa banyak soal, Ari Aqashah bangun meninggalkan tikar sejadah itu dan menuju ke katil. Tubuhnya berbaring memandang siling. Sarah mengambil tempatnya. Menggunakan tikar sejadah yang sama digunakan oleh Ari Aqashah sebentar tadi.
Sarah mula bersolat. Ari Aqashah menoleh sekilas ke arah Sarah. Sisi wanita yang sudah sah mejadi isterinya dipandang lama. Mancung juga hidung perempuan ini.
Bibir kiri Sarah jelas kesan lebam akibat dipukul malam tadi. Dia tahu Sarah takut dengan dia sekarang ni. Biarkan! Dia suka kalau Sarah tunduk dan takut kepadanya. Biarkan wanita itu merasai hidupnya seperti dalam penjara.
Tidak sampai satu minit, Ari Aqashah mengalihkan pandangannya ke siling semula. Tidak mahu hayut memandang wajah Sarah. Bimbang akan muncul perasaan aneh di dalam hatinya.

p/s: Ini untuk semua yang rindukan Sarah & Ari Aqashah. Marilah buat group hug untuk entry cinta bahagia ini untuk semua! :)
Kenapa XX? Hehehe, supaya semorang tak boleh teka ini bab berapa. Haha! Saja je kan Sri ni. ;) Baiklah, untuk yang bertanya bila nak bukukan, bila bila bila. My God, Sri memang tak boleh jawab bila tapi insyaAllah kita sama-sama doakan yang terbaik untuk karya Sri ini ye. I pun harap dapat peluk buku jugak u olls! <3

11 comments :

  1. KESIAN X SANGGUP NAK BACA DAH .

    ReplyDelete
  2. Urghhhh dayus tol ari ni. Geram!! Dia pukul sarah sebab nk buat sarah takot kat dia eeeee apa punya lelaki la mcm ni

    ReplyDelete
  3. Adoi...Sri..terseksa batin mcm ni lahhh..huhuhu...rindu gila kot ngn citer ni..bercinta tunggu n3..
    But thx for tis n3..terubat siikit rindu..
    Cpt2 naik n3 lg ya ;)

    ReplyDelete
  4. sayu bc bab ni,kalau x suka pun takyah la kejam sgt

    ReplyDelete
  5. Mcm nk kene tibai jer Ari nih.. Hishhh

    ReplyDelete
  6. tolong cepat bukukan... x sabar nak baca full

    ReplyDelete
  7. rasa makin membuak2 benci kat family tuan ramlee nie..plg benci kat ari ..melampau-lampau

    bile boleh peluk sarah versi cetak lamenya
    tak cuba kat publisher lain ke..cth ikp :D suggestion jer

    ReplyDelete
  8. Rindu.. huhu.. miss aulia juga..

    ReplyDelete
  9. lama gila nk tggu cerita ni updateeeeeeee....sedih sob2. tlg postkn byk2 lg update utk cerita ni ye

    ReplyDelete
  10. tolng la,.. merayu sangat2 ni,.. dpt baca pai bab31 jak... please la update cerita ni xda duit nak beli,.. still belajar lagi

    ReplyDelete
  11. Bab 32 & seterusnya please..cr2 xjumpa, boleh bagi link?

    ReplyDelete