Monday, 8 September 2014

Special : Kau Perempuan Itu

Gelas berisi air oren diangkat perlahan-lahan. Entah kenapa dia rasa gemuruh pula. Bukan tidak pernah bersua muka dengan tetamu Puan Khalisah, berkali-kali pernah berjumpa. Cuma perasaan dia kali ini kurang enak.
Hampir dua minit berkira-kira untuk menghantar dulang air ke depan atau tidak, akhirnya Sarah menapak juga ke ruang tamu dengan menatang sedulang air.
Kaki melangkah perlahan-lahan ke ruang tamu. Ari Aqashah yang ternampak kelibat isterinya sedang membawa sedulang air segera bangkit dan mendapatkan isterinya.
“Kenapa tak suruh Mak Som ambil?” Ari Aqashah segera mengambil dulang dari tangan Sarah.
“Mak Som tengah buat kerja lain. Arah tolong sikit je.” Tidak mahu Ari Aqashah ingat Mak Som yang menyuruh dia membawa air ke hadapan, Sarah terlebih dahulu membela wanita kesayangannya itu.
Ari Aqashah mengeluh kecil. Ada sahaja alasan dari bibir comel itu. Rasa nak gigit aje! Sarah membontoti Ari Aqashah ke ruang tamu.
Lambat-lambat Sarah melabuh duduknya di sebelah Ari Aqashah. Ikutkan hati dia memang tidak mahu menyertai kumpulan ini di ruang tamu, tetapi memikirkan air muka suaminya, Sarah mengalah juga. Bukan apa, takut telinga dia tak tahan mendengar sindiran-sindirian panas dari emak-emak saudara Ari Aqashah. Tambah-tambah mulut Mak Lang Nisah. Allah, rasa macam nak cili-cili aje.
Entah berapa juta harga insuran mulut dia tak tahulah. Kalau tahap menyidir memang tak sah kalau tak terasa hati.
“Berapa bulan bini kamu ni mengandung?” Nek Mariah menjeling sekilas ke arah Sarah. Ya Allah, kuatkanlah hatiku untuk berdepan dengan manusia-manusia ini Ya Allah.
“Baru tiga bulan lebih nek. Tak sabar nak tunggu perut Sarah besar.” Ari Aqashah merangkul erat bahu Sarah. Gelas di atas meja dicapai dan dihulurkan kepada Sarah. Mona mencebik. Meluat melihat Ari Aqashah yang terlalu memanjakan Sarah.

“Abang Ari, isteri abang tu bukannya takde kaki tangan, Mona tengok sihat aje lagi. Abang tak payahlah nak manjakan sangat isteri abang ni. Nanti naik lemak pulak.” Tangan Mona mencapai gelas dan menyedut air oren dalam gelas kaca berwarna jernih itu.
Rasa berbulu mata melihat cara Ari Aqashah melayani isterinya. Bukan main manjakan isteri! Cemburu Mona berada di tahap maksima. Kalaulah dia yang berada di tempat Sarah ketika ini, pasti dia yang mendapat layanan sebaik ini daripada Ari Aqashah.
Nak-nak bila Fauzi yang terserempak dengan Ari Aqashah bersama Sarah dua hari lepas. Memang bengkak betul hati dia bila Fauzi bercerita tentang makan malam romantis pasangan itu.  Ari Aqashah melutut depan isteri dialah, Ari Aqashah bagi bunga ros sejambak besarlah, pakaikan rantai leherlah, itulah, inilah. Meluat! Menyampah.
Rasa nak tarik-tarik rambut Sarah. Kalau bukan sebab Ari Aqashah ada bersama dalam perhimpunan keluarga petang ini, memang dah masak Sarah kena hentam dengan ahli keluarga mereka. Kalau nak harapkan Pak Ngah Ali sekalipun, alahai nak sangat ke dia membela orang luar berbanding keluarga sendiri?
Lagipun Nek Mariah memang terang-terangan langsung tak suka dengan Sarah. Bermuka-muka. Tunjuk baik konon, padahal lelaki keliling pinggang! Macamlah Mona tak tahu pasal hubungan rapat Sarah dan Rizal.
Rizal tu senior sekolah kakak dia. Mestilah dia tahu pasal Rizal yang tergila-gilakan Sarah sejak dulu lagi dan disebabkan perempuan itu jugalah Rizal menolak cinta Munira. Munira selalu cerita pasal Rizal dekat dia dulu-dulu. Ketika itu dia langsung tak tahu bahawa perempuan yang Rizal cintai ialah Sarah isteri kepada Ari Aqashah, lelaki yang dia cintai.
Kalaulah dia tahu Sarah punca kepada kegagalan perhubungan Muneera dan Rizal, dah lama dia simbah air sebaldi ke muka perempuan itu. Kerana kecewa dengan Rizal, kakaknya Muneera membawa diri ke London dan akhirnya kahwin dengan mat salleh. Kecewa dengan cinta punya pasal, akhirnya kahwin dengan orang lain. Ah, macam drama! Tapi itulah hakikat sebenar.
Bertahun-tahun Muneera merantau di negeri orang. Disuruh pulang ke Malaysia tidak mahu. Datin Hanisah yang terpaksa ke sana kerana merindui anak tunggal kakaknya, Melissa. Muneera pula langsung tidak mahu pulang ke Malaysia kerana katanya terlalu banyak kenangan pahit di sini. Pelik sungguh kakak dia! Kata dah bahagia dengan Peter, kalau dah bahagia mestilah dah lupakan Rizal. Kenangan pahit apa lagi yang masih tertinggal di Malaysia?
Ah, malas dia fikir! Kalau bercakap dengan Muneera pasal Sarah, Muneera langsung tidak mengutuk wanita itu sebaliknya hanya diam dan meminta Mona supaya mendoakan yang terbaik untuk rumahtangga Ari Aqashah dan Sarah.
Apa? Dia doakan yang terbaik untuk mereka? No way! Dia mahu Ari Aqashah bercerai dengan Sarah. Dia mahu memilik lelaki itu! Muneera memang gila! Datin Hanisah sendiri pun meluat dengan Sarah, dia pula membela wanita itu! Takkan dia masih belum sedar yang Sarah ni kaki kikis!
“Senyap aje cucu Nek Yah. Kenapa ni sayang?” Puan Mariah merangkul lembut bahu Mona. Mona terkejut. Nasib baik tak melompat. Jauh sungguh dia termenung rupanya. Sampai ke London teringatkan kakaknya.
Mona tersenyum kelat. Nampak sangat ke riak wajah terkejut dia tadi? “Mona teringatkan Kak Mun. Rasanya dah lebih dari tujuh tahun Kak Mun langsung tak balik ke Malaysia. Nenek tolonglah pujuk Kak Mun suruh dia balik sini. Jauh sangat London tu. Mona selalu rindukan Melissa.”
Teringat telatah Melissa yang kini sudah kian membesar. Sudah berusia lima tahun anak comel itu. Siapa yang tak sayangkan anak saudara sendiri. Mona sangat sayangkan Melissa. Kanak-kanak itu petah bercakap. Rasa tak puas menghabiskan masa bersama Melissa. Sayangnya dia tidak dapat melihat Melissa membesar di depan matanya. Sekali-sekali dia pergi ke London Melissa sudah besar. Banyak perkara yang dia terlepas tentang Melissa. Bila Melissa boleh duduk, meniarap, berjalan, bercakap dan berenang. Semuanya dia terlepas.
“Yelah ibu. Nisah pun dah tak kuasa lagi nak memujuk di Mun tu supaya balik ke sini. Kalau teringatkan Melissa, Nisah pulak yang perlu ke sana. Mun langsung tak mahu pulang ke Malaysia. Apa masalah dia Nisah pun tak tahu. Tak paham kenapa susah sangat nak tinggalkan London tu.” Panjang lebar Datin Hanisah memberi penjelasan. Dia pun runsing memikirkan anaknya yang jauh di mata. Rindu terhadap Munirah bukan setakat menggunung, dah melangit dah rindu.
Rindukan Melissa pun satu hal juga. Orang lain sibuk jaga cucu diusia begini, dia pula masih sibuk memikirkan tentang hal anak menantu. Terlepas banyak perkara tentang cucu kesayangannya. Pernah meminta izin Muneera untuk membawa Melissa pulang ke Malaysia dan tinggal bersamanya di sini namun di tentang keras oleh Muneera . Apa salahnya jika dia membawa Melissa balik ke sini? Melissa pun nampak sayangkan dia. Dia lagilah amat menyayangi cucu tunggalnya itu.
Jika Melissa tinggal di sini mungkin dia akan berasa gembira sedikit. Dapat menghabiskan banyak masa untuk melayani cucu kesayangannya itu. tidaklah dia asyik bosan terperap dalam rumah dan melayan perasaan cemburu terhadap Jeslina, isteri muda suaminya.
“Kamu dah tanya dia kenapa dia tak mahu pulang ke mari? Mana tahu Peter yang tak nak pindah ke sini.” Ujar Puan Mariah sambil mengusap rambut Mona.
“Ha’ah Kak Sah. Lis rasa mungkin sebab Peter yang tak mahu pindah ke sini. Tak mugkin Mun yang nak tinggal dekat sana kalau bukan sebab Peter. Ni mesti sebab Peter yang tak nak Mun balik ke Malaysia.” Celah Puan Khalisah.
“Kamu ni Lis, cakap tu biarlah benda yang terang, jangan main tuduh-tuduh aje. Mungkin Peter dah selesa kerja di sana. Kerja pun bagus, gaji pun lumayan. Kalau balik ke sini mungkin susah nak cari kerja nanti.” Pak Ngah Ali membela Peter. Walaupun hanya sekali berjumpa dengan Peter, dia yakin Peter seorang lelaki yang baik.
Kali pertama dia berjumpa dengan Peter ialah kira-kira lima tahun yang lalu semasa mereka semua pergi ke London untuk meraikan majlis perkahwinan Peter dan Muneera . Peter nampak sungguh sayang kepada Muneera jadi tidak mungkin Peter akan menganiayai anak saudaranya itu.
Lagipun Peter bukan baru memeluk agama Islam, sudah tujuh tahun memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan Muneera , jadi Pak Ngah Ali yakin bahawa Peter atau nama Islamnya Muhammad Adam sangat-sangat mencintai isterinya Muneera .
“Apa yang nak kisahkan sangat pasal duit. Kalau balik Malaysia nanti Peter takde kerja, kerja aje dengan syarikat Lis tu. Teraju Sinar pun perlukan orang berkaliber macam Peter tu.” Kalau betul Peter mahu pulang ke Malaysia, dia akan memujuk Peter untuk bekerja dengannya. Peter seorang yang sangat bijak dalam membuat pelaburan. Mana tahu jika Peter boleh membantu syarikatnya untuk disenaraikan dalam bursa saham kelak.
“Bukan sebab tu Lis, bang ngah. Peter nak sangat ke Malaysia cuma Mun aje yang masih berkeras untuk tidak pulang ke Malaysia. Agaknya nak tunggu sampai Nisah pejam mata dulu baru dia nak balik sini.” Datin Hanisah sudah mulai sebak. Sudah terlalu lama dia berjauhan dengan anak sulungnya itu. Suaminya pula kini sibuk dengan isteri muda. Dia hanya ada Mona seorang sahaja. itupun bukan boleh diharapkan sangat. Kerja Mona ialah melawa, membeli-belah dan melepak dengan kawan-kawannya sehingga jauh malam.
Puan Mariah mencelah. Tidak puas hati dengan sikap Muneera yang sanggup membelakangkan keluarga sendiri dan membina kehidupan sendiri jauh di perantauan. “Ibu langsung tak faham dengan sikap anak muda zaman sekarang. suka sangat membelakangkan keluarga! Kena tangkap khalwatlah, kahwin dengan orang putihlah, macam-macam lagi. Apa nak jadi dengan keluarga kita ni?” Puan Mariah berhenti seketika. Suasana di ruang tamu senyap sunyi. Masing-masing menunduk tidak mahu bertentang mata dengan Puan Mariah. Takut kalau-kalau nama termasuk senarai dalam ceramah panjang lebar Puan Mariah.
Bukan mereka tidak faham sikap Puan Mariah, kalau dah mula membebel tu kejap lagi melalutlah macam-macam lagi. Lain yang dibualkan, lain yang dia cakapkan.
“Takkan ke mana hidup kita kalau hidup tanpa restu keluarga. Ibu ni dah lama hidup di dunia ini, dah banyak pasangan muda yang ibu tengok bercerai-berai. Kenapa? Sebab hidup nak cepat kaya. Perangkap orang supaya kahwin dengan dia, kahwin sebab mengandungkan anak orang lain, kahwin sebab nak kikis harta orang lain. Semua tu tak berkat hidup kita. Akhirnya apa jadi? Bercerai. Padanlah muka tu!” Bentak Puan Mariah.
Tidak lama kemudia Puan Mariah menambah. “Jee, Mona. Nenek harap nanti kamu berdua janganlah buat perangai yang memalukan keluarga. Kalau nak kahwin bincang elok-elok dengan semua ahli keluarga. Minta persetujuan. Minta restu keluarga. Jangan ikut kepala sendiri aje. Malukan keluarga saja!”
Kan dah kata. Sembang pasal Muneera yang tak mahu pulang ke Malaysia sekali pasal masalah sosial remaja dia angkut sekali masuk dalam perbualan. Cucu yang masih belum berkahwin di sini ialah Jihan dan Mona sahaja. Ketiga-tiga anak Pak Ngah Ali dah selamat kahwin dah. Anak Puan Khalisah, Ari Aqashah dan Arif Shah juga dah berkahwin. Sekarang dia Puan Mariah tengah cakap pasal siapa?
Sarah hanya menunduk memandang jari kakinya. Dia terasa tempiasnya. Kena tangkap khalwat? Puan Mariah sedang memerli dia. Ya Allah, bukan dia minta semua itu. andai sahaja dia boleh mengundur semula masa yang berlalu, dia tidak akan pergi ke rumah Ari Aqashah seorang diri. Dia tidak mahu berkahwin dengan lelaki ini dalam keadaan yang sangat memalukan.
Memahami gelodak hati sang isteri, Ari Aqashah menggenggam lembut tangan Sarah. Sarah cuba menahan air matanya daripada gugur. Ari Aqashah suami yang sangat baik.  berubah 360 darjah berbanding lelaki yang dia kahwini sembilan bulan yang lalu. Ari Aqashah kini sangat memahami perasaannya, seorang yang sangat lemah-lembut dan penyayang.
“Ibu nak kamu bercakap dengan Muneera supaya balik ke Malaysia atau ibu akan ke sana untuk heret dia dan anak dia supaya balik ke sini.” Puan Mariah mengugut. Datin Hanisah hanya mengangguk. Biar betul emak dia ni, takkan sanggup ke sana nak mengheret Muneera balik ke sini kot? Aish! Jangan nanti mengamuk pulak si Majid.
Suami dia bukan suka kalau Muneera balik ke sini. Alasannya rumah mereka akan tercemar dengan tapak kaki bangsa asing. Peter tu kan menantu mereka, lagipun Datin Hanisah sendiri sangat-sangat menyayangi Peter. Muneera banyak berubah semenjak berkahwin dengan Peter. Bukan dia tidak tahu perangai kaki disko anak daranya suatu masa dulu. Namun kerana Peter Muneera sanggup tinggalkan semua tabiat buruknya.
“Ibu, Nisah rasa Nisah akan bincang dengan Majid dulu pasal Munira. Bukan ibu tak tahu Majid tak sukakan Peter. Takut nanti mengamuk pulak suami Nisah tu.” Datin Hanisah cuba berdiplomasi dengan Puan Mariah.
“Tadi kamu yang nak sangat anak kamu balik ke sini kan, sekarang ni masalah Majid pulak? Apa yang Majid nak risaukan pasal Peter? Kalau tak sukakan Muneera balik ke rumah kamu, biar dia tinggal dengan ibu. Rumah ibu pun bukan ada siapa dah. Nak harapkan cucu-cucu pergi tidur dekat sana pun susah!” Nah, sekali lagi! Cucu-cucu pun kena tempiasnya. Mona segera memeluk Puan Mariah.
“Nanti Mona pergi tidur rumah nenek, ya. Promise!” Mengada-ngada. Berbanding Mona, Jihan lebih sukakan Muneera. Walaupun gadis itu liar pada zaman remajanya, namun Muneera tidak mengada-ngada seperti Mona. Dia pun manja juga tapi tidaklah sampai tergedik-gedik macam Mona ni. Meluat sangat tengok!
p/s : Kepada yang belum beli boleh beli direct daripada Sri atau boleh dapatkan di kedai buku mulai minggu ini atau minggu depan, InsyaAllah. 

Lots of love,
Sri Sarah. 

10 comments :

  1. Kesian sarahhh....xsabar tgu novel ni

    ReplyDelete
  2. saya dah khatam semalam best sangat2 walau pun sakit hati dengan ari bengan dengan sarah sebab terlalu lemah tahniah untuk penulis lepas ni AD&S.

    ReplyDelete
  3. Sye nak smbungan alissa & zaf......

    ReplyDelete
  4. Sri, KPI dan ADDS dah selamat dlm pelukan serta khatam sekali. Thumps up, saya berikan. Bila baby no3 nak keluar.

    ReplyDelete
  5. Sis...camnr nk bli novel ni ngn sis..kat tmpt sya still blum kluar la

    ReplyDelete