Friday 13 November 2015

Bab 3 Di Hatiku Ada Dia

Riana duduk bertentangan dengan Asma. Dah la tadi kena reject pasal proposal, malam ini tak pasal-pasal kena paksa keluar makan dengan Asma pula.
“Tak payahlah nak kuis nasi dalam pinggan tu ke sana ke sini.. Dah cukup masak nasi goreng kau tu.” Perli Riana. Sejak tadi Asma asyik kuis nasi goreng mamak dalam pinggan dia, ke sana ke sini.. Tidak juga masuk ke dalam mulut.
“Aku sedih sangat Ria..”
“Kau dah kenapa pula nak sedih-sedih bagai ni?”
Asma adalah sahabatnya sejak dari sekolah rendah. Kemudian mereka ke sekolah menengah bersama-sama dan kemudian membawa haluan masing-masing. Dia ke luar negara untuk menyambung pengajian dan Asma pula menyambung pengajian di universiti tempatan.
Namun hubungan rapat mereka tidak pernah terputus. Walaupun berjauhan, mereka saling berhubungan antara satu sama lain.
“Aku tanya ni, kau kenapa sedih sangat ni? Dari tadi lagi aku tengok muka kau monyok semacam aje. Kalau ada masalah cakaplah dengan aku.”
Tidak semena-mena Asma menangis di hadapan Riana. Langsung tidak mempedulikan manusia lain yang turut makan di restoran ini. “Kau ni dah kenapa As?” Riana berbisik sedikit kepada Asma.
Diam tidak menjawab. Tangisan cuba dikawal sebaik mungkin.
“As, aku dah habis makan ni.. Kau ingat aku ada sepanjang malam ke nak temankan kau menangis macam ni. Dah la menangis, tak nak pula cakap apa masalah kau. Ingat aku ni nujum pak belalang ke boleh teka-teka apa yang ada dalam hati kau tu?”
Asma masih menangis. Riana mula geram. “Kalau kau nak diam aje macam ni baik aku balik As. “ Riana mengugut mahu meninggalkan Asma ni meja restoran ini. Lagipun mereka datang berasingan sebentar tadi. Sempat sebiji buah laici disumbat ke dalam mulutnya.
“Laki aku nak kahwin lain.”
Buah laici yang baru sahaja selamat masuk ke dalam mulut mahu terkeluar semula kerana terkejut mendengar aduan Asma. Tangan diangkat menunjukkan isyarat sebentar. “Bagi aku telan buah..” Riana bercakap dengan mulut yang penuh dengan sebiji buah laici yang agak besar saiznya.
Lima saat selesai buah masuk ke dalam perutnya. “Apa kau cakap tadi?” Sengaja mahu Asma mengulang semula ayat tadi kerana tidak mahu salah dengar. Dua kali dengar ayat yang sama selamat sikit.
“Fauzan nak kahwin lain..”
Riana terasa mahu tumbuk meja. Pantang betul dia kalau lelaki nak berpoligami. “Amboi-amboi! Banyak sangat ke duit laki kau tu? Melimpah ruah macam tong air yang penuh dengan air tapi pili tak ditutup-tutup?” Nah, perumpaan dia entah apa-apa.
“Aku rasa aku bukan jodoh dia..”
Riana berdengus kecil. Tangan naik bersilang memeluk tubuh. “Habis macam mana nak tahu jodoh dia yang sebenar? Kenapa dia ada jumpa perempuan yang ada tulisan dekat dahi ‘kau jodoh aku, Fauzan…?” Ujar Riana dengan nada sindiran.
Asma menggeleng.
“Fauzan cakap aku tak boleh bagi dia anak.. Dia sunyi.”
Hai, kang memang dia tepuk jugak meja kayu depan dia ni. Memang menguji tahap kesabaran betul malam ini! “Bila Jan cakap dengan kau macam tu? Semalam? Dua bulan lepas? Kelmarin?”
“Minggu lepas..”
“Minggu lepas dia ungkit pasal anak lepas tu terus cakap nak kahwin lagi satu?”
Lambat-lambat Asma mengangguk mengiyakan pertanyaan Riana. Air mata sudah gugur lebat di pipinya disapu perlahan.
“Nampak sangat yang laki kau tu memang dah pasang perempuan lain belakang kau dah lama dah.”
“Aku tak tahu..” Lemah suara Asma.
“Habis kau macam mana?”
“Mestilah aku tak nak.. Kami baru aje kahwin tak sampai setahun lagi Ria… Takkan dia nak cakap aku tak mampu nak bagi dia anak.. Lainlah kalau kami dah kahwin sepuluh tahun tapi takde anak..”
Riana ketap gigirnya geram. “Mak ayah dia pun dah bising ke kau belum mengandung?”
Asma menggeleng.
“Kalau mak ayah dia pun tak bising, kenapa pula laki kau tu kalut sangat? Eii, aku rasa dia tu cari alasan aje nak kahwin lain! Macamlah kerja bagus sangat duit gaji berjuta sebulan!” Riana melepaskan geram yang terbuku di dadanya.
“Dia kalut nakkan anak tapi langsung tak pernah ajak aku pergi berubat.. Tapi yang aku kesal sangat, macamlah kami ni dah kahwin sepuluh tahun. Baru setahuhn aje Ria. Takkan dia nak salahkan aku kalau belum mengandung?”
Riana menggaru hidung mancungnya yang sedikit gatal. “Kau tahu pun… Habis kenapa kau tak cakap dengan Jan macam tu semalam?”
“Dia kata dia dah jumpa jodoh dia yang sebenar..”
“Kau jawab soalan aku baik-baik. Macam mana Jan boleh kata dia jumpa jodoh dia yang sebenar? Perempuan tu ada tulisan jodoh Fauzan dekat dahi ke?”
Asma menggeleng lemah. “Habis macam mana Jan tu boleh yakin sangat yang perempuan gatal tu jodoh dia! Tak guna betul laki kau ni As. Ei, sakit hati aku!” Gelas tinggi yang sudah kosong diketuk sedikit kuat di atas meja. Bengang betul!
“Apa aku nak buat ni Ria…?”
“Kau sayang laki kau ke tidak?”
“Mestilah sayang…”
“Kalau dah sayang kau pikatlah dia semula! Kau pujuk dia elok-elok.. Kalau betul nakkan anak, ajaklah dia bergi berubat ke, buat apa yang patut. Mengurut ke, makan ubat ke.. Emm, ntah la. Aku pun tak tahu apa nak kena buat tapi pandai-pandai kaulah cari ikhtiar pasal anak tu.”
Asma tunduk memandang nasi yang masih penuh dalam pinggan. “Aku dah pujuk dia.. Dah menangis depan dia. Langsung dia tak pujuk aku semula Ria. Dia asyik salahkan aku aje. Sedih hati aku ni Ria..”
Riana mendengus kasar. Memang kalau nak memujuk Asma terasa sangat dia tidak ikhlas. Dia memang bengang betul dngan lelaki yang asyik nak salahkan perempuan bab anak. Macam mana nak tahu itu salah perempuan atau tidak kalau diri sendiri pun tak mahu buat pemeriksaan! Asyik nak salahlah isteri aje.
“Hish! Aku kalau ikutkan hati aku ni la As, memang aku nak aje kau bercerai dengan laki tak guna macam tu. Kerja kilang aje tapi ada hati nak kahwin dua.”
Tangisan Asma kian menjadi-jadi. “Sampai hati kau suruh aku bercerai. Kau ingat jadi janda tu senang ke? Kau tak tahu apa pandangan masyarakat terhadap janda..”
Hemmm, dah agak. Fikirkan sangat pandangan orang lain terhadap diri sendiri. “Kau ingat yang bagi kau makan, bayarkan minyak kereta kau, yang bagi kau kerja dan rezeki semua ni manusia dekat luar sana tu ke? Kau ingat kalau dorang semua pandang serong pada kau, Allah akan pandang serong pada kau ke?”
Setempek dia bagi pada Asma.
“Kau sanggup ke kalau Jan kahwin lagi satu?”
“Tak sanggup..”
“Okay, macam ini ajelah As.. Aku ni nak nasihatkan kau pun aku belum kahwin lagi jadi aku tak pandai nak bagi nasihat lebih-lebih tapi sebagai kawan baik kau.. Kita dah kenal bertahun-tahun sejak sekolah lagi, aku boleh cakap satu hal aje pada kau.”
Nafas diambil sedikit. Menenangkan hati yang agak panas sebentar tadi. “As, kalau aku berada di tempat kau mungkin aku akan angkat kaki kalau….” Riana terdiam sejenak. Memandang wajah bersih Asma di hadapannya. Wajah itu menanti dia untuk menyambung ayat kalau yang terhenti sebentar tadi.
“Kalau suami aku dah tak sayangkan aku lagi. Kalau dia sayangkan aku maknanya dia takkan lukakan hati aku. Kalau dia kahwin lain juga, maknanya dia tak sayangkan aku sebab dia lukakan hati aku.”
“Jan cakap dia tak pasti dia masih sayangkan aku atau pun tidak…”
Fauzan ni pun satu! Dia yakin sangat ke kalau dia kahwin lagi satu dia akan ada anak dengan perempuan itu? Semua tu ketentuan Allah, kalau dah usaha tawakal ajelah. Tak perlulah nak sakitkan hati isteri sendiri. Kalau perangai tu elok nak kahwin lagi satu tak apa juga! Ini sudahlah perangai kurang elok, kerja pun tak berapa sangat ada hati nak kahwin lain!
“Aku rasa kau sabar ajelah dulu ya, As? Jan memang macam ni kan.. Mudah jatuh cinta. Kau sabar ya?”
“Ini dah kali ke berapa dah dia buat hal.. Sakit sangat hati aku ni Ria.” Air mata yang bertakung di tubir mata lekas-lekas di seka.
Giliran Riana pula mengangguk laju. Dia tahu Asma terluka dengan sikap Fauzan. Dulu nak kahwin pun Asma sanggup merayu pujuk emak dan ayah dia, bila dah kahwin Fauzan pula tak henti-henti buat hal.
Dulu ganggu isteri orang, lepas tu bual hal dengan majikan sendiri, sekarang ni entah siapa pula yang menjadi mangsa Fauzan! “Kau sabar ya As. Aku tahu kau isteri yang kuat sebab tu Allah uji kau dengan perangai suami kau macam ni…”
“Aku menyesal sangat bila kahwin dengan dia. Memanglah aku sayangkan dia, cintakan dia sepenuh hati aku tapi dia langsung tak hargai pengorbanan aku.”
Ha, kau tahu pun! Dah tu kau tunggu apa lagi.. Angkat kaki lah!
Riana hanya menjerit ayat itu di dalam hatinya. Tidak mahu Asma bertambah sedih. Sekurang-kurangnya dia sebagai kawan mendengar luahan hati Asma. Menjadi tulang belakang untuk menyokong sahabatnya itu.
“Kita doakan Jan berubah ya?” Tak tahulah ikhlas ke tidak dia menuturkan ayat ini. Kalau ikutkan hati nak aje dia campak gelas air laici yang sudah kosong ini ke kepala Fauzan. Memang tak guna punya jantan!
“Dulu mak aku tak bagi aku kahwin dengan dia.. Aku degil! Aku cakap dialah lelaki terbaik pernah aku jumpa. Sekarang kau tengok sendiri, tak sampai setahun kahwin dia dah buat macam-macam perangai. Macam mana aku tak sedih, Ria..”
Tubuh Asma terhinjut-hinjut menahan sendu. Tak tahu lagi nak pujuk macam mana. Dulu dia selalu dengar Asma mengadu melalui skype sahaja. Sepanjang berkahwin, rasanya Asma hanya bahagia pada bulan pertama perkahwinan dia sahaja. Selepas itu Fauzan mula buat hal. Mula mempermainkan hati perempuan di belakang Asma.  
“As, dah lewat ni.. Dah dekat pukul 10.30 malam dah. Tak elok kalau kau balik lewat malam nanti apa pula kata Jan. kau balik ya?”
“Bukannya dia tunggu aku balik. Sekarang dia dah tak kisah langsung pasal aku Ria, makan ke sakit ke kerja ke tidak langsung tak ambil peduli.”
Riana menggaru hujung kening yang tiba-tiba terasa gatal. “Tak elok isteri keluar tanpa izin suami, berdosa tu As. Walau apapun yang berlaku dalam rumah tangga kau, kau kena ingat yang kau masih lagi isteri Jan. Dia masih ada hak ke atas kau. Kau tak nak masuk api neraka, kan?” Pantas Asma menggelengkan kepalanya.
“Kau boleh memandu kan? Kau kuat kan?”
“Aku tak tahulah aku kuat atau pun tak..”
Riana memeluk tubuh Asma yang cengkung. Kurus sangat kawan dia selepas kahwin. Lama dia tak berjumpa dengan Asma. Ini pun kali pertama dia berjumpa dengan Asma selepas dia pulang ke Malaysia semula. Terlalu banyak hal yang perlu dia selesaikan beberapa minggu sebelum ini. Hal lamaran Puan Nani kepada dia juga masih belum sampai ke pengetahuan Asma. “Kau kena kuat untuk diri sendiri. Kau jangan lemah. Kalau kau lemah itu maknanya kau mengalah. Terlalu awal kalau kau nak mengalah pada perempuan tu.. Kau ada hak ke atas suami kau. Jadi pertahankan rumah tangga kau.”
Phew.
Riana rasa kagum dengan diri sendiri. Dia boleh cakap macam tu dekat Asma. Wah, hebat! Dah boleh jadi kaunselor tak bertauliah dah ni.
“Ria, thanks sebab sudi dengar masalah aku..”
“Itu gunanya seorang kawan sejati, tahu?”
Asma tergelak kecil sambil menampar perlahan bahu Riana.
Get in. Bawa kereta elok-elok.” Pintu kereta dibuka untuk Asma. Lambat-lambat Asma masuk ke dalam perut kereta. Enjin dihidupkan dan tingkap dibuka.
“Aku balik dulu Ria..”
Riana mengangguk dan menghantar kereta Perodua Myvi itu dengan anak matanya. Semoga Asma kuat dan tayah!
Riana bergerak ke keretanya yang diparkir bersebelah petak kereta Asma sebentar tadi. Punat hitam pada alat kawalan jauh kereta ditekan.
Enjin Renault Megane RS dihidupkan. Tanpa memanaskan enjin, kereta Riana bergerak membelah malam yang kian kelam. Nasib baiklah dah cakap dengan ibu dia makan malam dengan Asma kalau tak pasti telefon dia tak berhenti-henti berdering sepanjang malam.
Riana memandang figura yang duduk di ruang tamu. Tetamu itu membelakangkan dia. Siapa pula yang datang ke rumah dia malam-malam macam ni?
“Ibu..” Kaki melangkah menyapa Puan Shima. Dah lewat malam pun masih ada tetamu. Siapa yang kurang adab sangat ni datang melawat rumah orang lain malam-malam macam ni.
“Ha dah balik pun anak ibu. Lama betul makan dengan As?” Riana mengangguk mengiyakan pertanyaan Puan Shima. Anak mata sibuk menari-nari di wajah lelaki kacak yang menyapa pandangan matanya. Bibir mengukir senyuman manis.
“Abang Ad buat apa dekat sini malam-malam?”
Kekok sedikit bertentang mata dengan lelaki kacak di hadapannya ini. Lama dia tidak bertemu dengan Firhad. Sebelum ini dia sibuk merangka pelbagai reaksi dia sekiranya dia bertemu dengan Firhad. Kononnya mahu mengada-ngada manja dan merajuk kerana lelaki itu tidak muncul di lapangan terbang beberapa minggu yang lalu. Apa yang berlaku pada ketika ini adalah sebaliknya.
Mungkin dia mula bersikap matang dan dia mahu Firhad mengenali dia dengan Riana yang lebih matang dan sesuai dengan usianya.
“Saja.. Abang nak jumpa Ria. Dah dekat sebulan Ria balik tapi belum ada kesempatan nak jumpa dengan Ria.”
Riana membawa kaki melangkah duduk bertentangan dengan Firhad. “Macam mana nak jumpanya.. Abang tak datang cari Ria sebab itulah tak jumpa.”
Senyuman segaris terpampang di wajah kacak di hadapan Riana. Susah dia nak membuang pandangan mata ini dari wajah kacak Firhad. Ya, dia rindukan lelaki itu. Rindu sangat!
“Abang datang sini malam-malam ni sebab nak jumpa Ria.. Baru balik dari Bangkok. Business trip.”
Riana angguk perlahan. Sejak dulu lagi dia memang tahu Firhad kaki kerja, gila kerja dan sukakan kerja. Hidup lelaki itu siang malam penuh dengan kerja sahaja. Ah, sebab itulah sampai sekarang dah umur 30 tahun pun masih belum berteman. Puan Nani pula sibuk menjaja anak bongsunya ini kepada dia. Sibuk bertanya bila dia boleh memberikan jawapan terhadap lamaran dia sebelum ini.
Auntie naik atas dululah. Ad berbual dengan Ria ya.”
Riana dan Firhad menghantar susuk tubuh Puan Shima sehingga wanita itu hilang dari pandangan mata. “So, Abang Ad apa khabar?”
Lelaki itu tergelak kecil menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. “Alhamdulillah sihat. Abang macam ini ajelah Ria.. Hidup takde teman kan..”
Hidup takde teman? Alamak, Firhad cuba nak bagi hint ke dekat dia sekarang ni? Hint supaya dia terima pinangan Puan Nani?
Glup!
Okay Riana. Cool. Jangan tunjuk yang kau gelojoh sangat ya. Kau dah umur 27 tahun sepatutnya kau kena tunjuk satu sisi yang matang pada pandangan mata Firhad. Bukan ke kau dah janji dengan diri sendiri yang kau akan bersikap matang? Kau nak Firhad anggap kau budak cengeng yang suka menangis dan manja macam dua tiga tahun lepas?
Oh Riana! Jangan buat hal.
“Itulah Abang Ad pun dah tua tau, dah layak sangat dah tu nak kahwin..”
Sekali lagi jantung Riana bagai nak tercabut dari tubuh melihat senyuman kacak yang terbit dari bibir Firhad. Abang, jangan nak senyum sangat nanti Ria terkam abang!
“Siapa yang nak kahwin dengan abang yang gila kerja ni Ria.. Ada ke perempuan yang sanggup tahan dengan perangai abang ni?”
“Ish, mestilah ada..”
“Ria ada calon ke untuk abang?”
Riana sabarkan sahaja mulutnya dari menjawab soalan Firhad. Kalau dia jawab memang dia akan sebut nama dia sendiri! Dia yang paling layak berada di sisi lelaki itu kerana dia yang paling faham dengan sikap gila kerja Firhad. Lagipun mereka berdua sudah berkenalan terlalu lama. Membesar di luar negara bersama dan kembali ke Malaysia pun bersama-sama.
Ikatan yang terjalin antara dua buah keluarga mereka juga begitu erat dan akrab! See, olah-olah tiada apa yang menghalang hubungan cinta dia dengan Firhad.
“Isteri Abang Ad, Abang Ad lah kena pilih sendiri.” Manis senyuman Riana. Menutup debar yang menggila di dadanya.
“Ingatkan Ria ada calon untuk abang..” Tawa Firhad masih bersisa. “Well, abang singgah ni sebab dah lama tak tengok muka cantik Ria. Rindu sangat tahu tak? Sorry abang tak sempat jumpa dengan Ria langsung sebelum ini.”
“Habis macam mana Abang Ad tahu yang Ria dah balik?”
Firhad senyum nipis. “Ria sengaja berahsia dengan abang yang Ria balik sebab Ria nak buat kejutan kan? Sorry, abang tak tahu yang Ria balik hari tu.. Abang ingatkan Ria saja nak mainkan abang sebab tu Ria suruh abang tunggu di airport.. Masa tu abang ada di China.”
“Takpe, Ria faham Abang Ad banyak kerja.”
Thank ! Susah nak cari perempuan yang memahami macam Ria ni tau!”
Kembang kempis hidung Riana dipuji oleh Firhad. “Abang Ad singgah sebab nak jumpa Ria aje ke?”
“Abang nak ajak Ria lunch esok, boleh?”
Hati bersorak gembira. Yay! Yay! “Sure. Ria pun takde lunch date dengan sesiapa esok.”
Great then. Abang balik dululah. Nanti mama tunggu abang di rumah pula.. Dah lewat ni. Esok abang jumpa Ria lagi ya?”
Riana bangkit menghantar Firhad ke muka pintu. Melihat lelaki itu hilang ke dalam perut kereta, Riana menutup pintu utama rumahnya.
“Selamat malam abang. Ria sayang abang..” Ujar Riana sambil bersandar di belakang pintu rumahnya. Ahhh, mimpi Firhad malam ini! Riana melompat gembira.

No comments :

Post a Comment