Wednesday, 25 November 2015

Bab 5 Dia Lelaki Idaman Hati


Tersengguk-sengguk Riana menanti di sofa berwarna merah hati itu. Dari bersandar dia duduk tegak dan sekarang dia duduk menongkat dagunya sambil menahan mata yang sudah kelat.
Jam jenama Coach di tangan dijeling. Baru nak pukul 9.05 malam takkan dia dah mengantuk bagai nak rak kot? Semalam dia berbual dengan Firhad sampai pukul sebelas lebih tidak pula dia mengantuk tersengguk-sengguk sampai macam sekarang ini.
“Kalau mengantuk tidurlah dulu. Nanti dah siap kereta tu saya kejut.”
Riana menoleh ke arah Raffael. “Lama lagi ke kawan awak nak siapkan kereta saya ni Raff? Dah dekat pukul 9.00 malam ni..” Terasa terlalu lama dia menunggu di sini sejak petang tadi lagi.
“Sikit lagi aje. Saya dah tanya Sani tadi dia cakap sikit lagi. Lebih kurang dalam sejam..”
Bibir mengeluh perlahan. “Sikit awak cakap sejam tu? Sejam tu lama lagi awak tahu tak.. Saya dah mengantuk sangat ni.” Sudahlah dia tidur lewat malam tadi. Sekarang terpaksa berdepan dengan satu malang yang tidak disangka-sangka pula. Aduh la nasib!
“Itulah nanti memandu kereta tu berhati-hati.. Nasib baik kereta awak tu tak teruk. Kalau teruk sampai kena bermalam di bengkel ni habislah awak tau!”
Kriuk. Kriuk.
Riana menyentuh perutnya yang berbunyi.
“Saya ajak pergi makan awak tak nak.. Tengok sekarang perut tu dah berbunyi.”
Riana memandang wajah Raffael. Lapar gila ni. “Macam mana nak pergi makan awak tu ada motor aje. Awak nampak tak saya pakai apa? Skirt macam ni awak nak ajak naik motor? Kirim salam ajelah.”
Tergelak kecil lelaki kacukan di hadapannya ini. “Pergi naik kereta Sani lah cik adik manis. Jom kita pergi makan dulu. Kesian sangat muka awak tu Riana.. Kalau awak pengsan dekat sini saya juga yang susah nanti.”
Erk? Naik kereta rupanya. Mati-mati dia ingat naik motor besar Raffael masa dia ajak dia pergi makan awal tadi. “Nanti cakaplah awal-awal nak pergi naik kereta kawan awak tu..” Bibir mengomel perlahan.
Raffael tergelak sahaja mendengar Riana membebel seorang diri. Tak faham betul perempuan berselendang ini. Dia yang dilanggar oleh Riana, dia pula yang dimarahi oleh Riana apabila kereta gadis itu kemek.
“Sani, aku ambil kunci kereta. Pinjam Viva kau ya?” Raffael menjerit kuat dari jauh.
Okay!” Sani menjawab sambil membuat isyarat bagus dengan menaikkan ibu jarinya.
It's a beautiful night,
We're looking for something dumb to do.
Hey baby,
I think I wanna marry .
Riana menggenggam Iphone ditangannya dengan kuat. Dia perasan Raffael mengerling telefon dia yang berdering. Mungkin bunyi telefon yang agak kuat menganggu pemanduan lelaki itu.
Sorry, kalau saya buat awak terganggu dengan panggilan ni. Saya dah silent telefon saya. Jadi sekarang ni awak dah boleh memandu dengan tenang. Tak perlu lagi nak jeling-jeling telefon bimbit saya ni ye.”
Raffael tersenyum kecil. Riana perasan dia asyik jeling telefon bimbit di tangan gadis itu rupanya.
Zzzzz…Zzzzz…
Walaupun telefon dialih kepada mood senyap, telefon masih bergetar dalam tangan Riana.
“Tak nak jawab panggilan ke?” Soal Raffael menoleh sedikit ke arah Riana.
“Takpe.. Ibu saya. Nanti dia bimbang pula kalau saya cakap saya masih di luar waktu-waktu macam ni..”
“Kalau tak jawab lagilah dia risau kan awak Riana. Jawablah, cakap awak keluar makan dengan kawan kolej.”
Amboi, Raffael ni baru dua kali berjumpa dengan dia dah pandai nak ajar dia menipu orang tua? Nampak sangat lelaki ini jenis kaki kelentong mak ayah ni.
“Eh, awak jangan ingat saya ni jenis menipu mak ayah pula disebabkan saya ajar awak menipu mak awak tu.. Saya cuma tak nak mak awak risaukan awak. Iyelah anak dara dia keluar tak balik-balik lagi sampai lewat malam, mestilah dia risau.”
Riana berubah riak. Alamak, Raffael ni dengar ke apa yang dia cakap dalam hati? Ish, siapa lelaki ini? Seramlah!
Dia pula macam perempuan bodoh. Boleh pula dia ikut Raffael sampai ke bengkel kereta kawan dia di Klang Lama ini. Boleh tahan jauh juga Bukit Jelutong dengan Klang Lama ni! Mau dekat tiga puluh minit lebih juga dia memandu pulang sebentar lagi.
“Assalamualaikum, ibu..”
“Ya Allah… Anak bertuah.. Ria dekat mana ni? Kenapa ibu call dari tadi tak jawab?” Suara Puan Zaimah kedengaran bimbang.
Riana menundukkan sambil bermain kukunya. Rasa bersalah kepada Puan Zaimah kerana membuatkan wanita itu bimbangkan dia. “Ria minta maaf.. Ria keluar dengan kawan sekolah Ria..”
“Kawan sekolah mana ni Ria? Kenapa Ria tak call ibu?”
“Kawan sekolah rendah dulu, bu.. Ria terlupa nak call sebab Ria terserempak aje dengan dia tadi. Takde janji pun...” Ketawa dibuat-buat. Kau ingat lawak ke Riana? Kau tak tahu ibu kau separuh nak meninggal bimbangkan kau dekat rumah?
“Ria.. Jangan buat macam ni lagi. Sakit jantung ibu tau!”
Yeah, I am sorry ya, bu. Ria balik lewat sikit tau. Don’t wait for me.”
Sekali lagi suara Puan Zaimah cemas. “Lewat pukul berapa ni Ria? Ni dah dekat pukul 9.30 malam ni, tak habis makan lagi ke?”
“Belum.. Banyak cerita ni ibu. Lama tak jumpa.”
Telinga Riana dengar Puan Zaimah mengeluh perlahan. Dia juga dengar ibu dia menyebut nama Allah beberapa kali. “Baliklah cepat sikit. Hati ibu ni bimbang sekali tak nampak muka Ria depan ibu malam ni.”
Okay.. Ria cuba balik awak ya, bu.. Assalamualaikum.”
Tak sanggup nak bercakap lama-lama dengan Puan Zaimah. Nanti makin rasa bersalah pula dia kepada ibunya.
“Lepas kita balik makan nanti siaplah kereta awak tu. Jangan risau ya?”
“Jangan risau awak cakap? Ibu saya tu sikit lagi nak sakit jantung sebab saya tau!” Ha, Raffael pula yang kena tempiasnya. Dia pun risau juga fikirkan ibu dia di rumah. Ibu tu bukannya sihat sangat.
“Awak marahkan saya ke, Riana?”
Satu keluahan dilepaskan. “Sorry.. Saya risaukan ibu saya.”
“Nak saya hantar awak balik rumah sekarang?”
“Ha? Habis tu kereta saya macam mana?” Terkejut beruk dengan soalan Raffael.
“Tinggallah dibengkel dulu. Kereta tu esok pun boleh ambil.”
“Ei, itu cari maut namanya! Kalau ibu tahu saya kemalangan lagi teruk dia risaukan saya setiap kali saya keluar rumah lepas ni. Tak boleh… Tak boleh. Saya sanggup tunggu kereta tu siap malam ini juga. Tadi Sani pun cakap tak lama dah nak siap kan..”
Raffael jungkit bahu.
Degil betul Riana ni!
Tadi paksa dia cari mekanik. Lepas tu siap demand nak mekanik yang power, yang boleh siapkan kereta dia hari in juga. Bila dah bawa ke bengkel Sani merungut cakap jauhlah, boleh percaya ke, elok ke Sani baiki kereta dia.. Sekarang ni macam-macam hal!
Pening kepala siapa yang jadi suami Riana ni!
“Awak ni Riana, banyak songeh tau tak? Ni kira bernasib baik saya tolong awak cari mekanik.. Kalau lelaki lain entah nak tolong awak ke tidak. Silap-silap minta ganti rugi sebab awak langgar lelaki itu sampai dua kali..”
“Ye lah Encik Raffael, saya banyak songeh dan saya minta maaf.” Malas mahu mencari pasal. Lagipun dia bukannya kenal Raffael ni. Entah dari mana lelaki ini muncul dan tiba-tiba sahaja lelaki ini membantu dia.
Ajaibnya dia boleh pula percaya kepada lelaki ini! Memang lawak. Dia bukannya jenis yang berbual dengan orang sangat.. Nak berkenalan dengan lelaki memang bukan dia.
“Riana, saya bukan marahkan awak pun tapi Sani kan suruh sabar sekejap lagi.. Awak boleh sabar kan?”
Riana mengangguk lemah.
“Okay dah sampai. Kita pergi makan dulu ya?”
Pintu kereta Perodua Viva ditolak perlahan. Lemah sahaja kaki melangkah menapak ke dalam gerai.
“Nak makan apa?”
“Mee sup ayam dengan laici ais.”
Raffael bangkit membuat pesanan di kaunter. Lelaki ini nampak seperti biasa dengan kawasan ini.
“Saya dah minta dorang buatkan sepantas yang boleh untuk awak. Mesti awak dah lapar sangat kan?”
“Awak selalu ke sini ke?”
“Selalu juga.. Kalau datang bengkel Sani saya singgahlah..”
Mulut Riana berubah kepada bentuk O. Tidak bersuara atau memberi apa-apa komen terhadap jawapan Raffael.
“Abang Raff, order siap!” Seorang gadis bertudung meletakkan dulang makanan di atas meja sebelum mengangkat mangkuk mee dan diletakkan di hadapann Riana. “Jemput makan kak. Kalau sedap bagitau kami kalau tak sedap bagitau Abang Raff..”
“Terima kasih Ina.”
Riana hanya tersenyum kepada gadis yang bernama Ina itu.
“Awak memang dikenali ke dekat sini?”
“Muka kacak macam ni mestilah ramai yang nak berkenalan kan..” Raffael cuba berseloroh. Dia nampak Riana mencebik.
“Jangan nak mainkan anak dara orang tak baik. Budak tadi muda sangat tak sesuai dengan awak.”
“Memang muda lagi, baru form four.”
Mee yang masih tergantung di mulut diputuskan dengan gigi. Laju sahaja Riana mengunyah mee di dalam mulutnya. “Ei, jangan nak mempermainkan hati budak sekolahlah! Tak baik tau.”
“Amboi awak ni Riana.. Cakap main sedap mulut aje tau. Tak baik menuduh, berdosa.” Raffael menyedut milo ais dalam gelasnya. “Ina tu macam adik saya aje.. Awak ni pandai-pandai aje nak menuduh saya ni playboy ya.”
“Tak cakap pun.. Awak sendiri yang terasa.”
Raffael gelak kecil. Kepala digeleng perlahan. Riana.. Riana.
“Kenapa awak gelak?”
“Entah.. Pelik! Macam mana awak boleh langgar saya untuk kali kedua? Agaknya kita ni ada jodoh kot?”
Riana buat muka. “Awak jangan nak perasan sangat ya! Kebetulan kita lalu jalan yang sama.. Takde kaitan dengan jodoh ke tidak.”
“Saya cuma pelik macam mana kita boleh berjumpa dalam dua kali situasi yang sama. Awak tak terfikir ke?”
“Tak pun.” Pantas sahaja mulutnya menjawab soalan Raffael. Memang dia tak pernah terfikir langsung pasal hal ini. Sejak tadi dia cuma rasa dia adalah perempuan yang gila dan berani mengikut Raffael sejauh ini sedangkan dia tak kenal lelaki itu!
Ini semua kerja gila!
“Kalau awak malas nak berfikir takpe, biar saya yang tolong fikirkan untuk kita. Well, mungkin ini peluang untuk kita berkenalan?”
Kalau dulu dia rasa Raffael adalah lelaki tidak normal kerana tidak mahu berkenalan dengan dia atau tidak minta nombor telefon dia, hari ini persepsi itu berubah seratus peratus. Lelaki ini sama sahaja seperti lelaki lain. Jenis suka menggatal, pantang nampak gadis berdahi licin!
Sama juga gatal dengan Fauzan yang tak sedar diri dah ada isteri tapi masih mahu menggatal dengan perempuan di luar sana. Hm, bercakap tentang Fauzan yang sudah beristeri, lelaki di hadapannya ini mungkin juga sudah beristeri. Lelaki sekarang ni bukannya boleh percaya sangat, dah ada isteri menanti di rumah pun masih sibuk juga hendak mengaku bujang!
Hanya seorang sahaja lelaki yang lain daripada yang lain dia kenal.
Firhad Hizami bin Musa.
Yang lain semuanya sama sahaja. Gatal dan suka ambil peluang. “Terima kasih atas tawaran mahu berkenalan tadi.. Tapi saya rasa elok kalau kita tak berkenalan.”
Why?”
“Saya tak berminat untuk menjadi koleksi teman wanita awak, Raffael.”
Tawa Raffael pecah terburai. Bersungguh-sungguh lelaki itu ketawa. “Awak ingat saya nak ajak awak bercinta ke?”
Pergh!
Pedas soalan Raffael. Merah padam muka dia. Dia ke yang cepat perasan sangat? Tak! Tengok muka pun tahu Raffael ni memang jenis kaki perempuan. Pantang nampak perempuan dahi licin semua nak mengurat!
“Awak tak perlu risau untuk jadi koleksi teman wanita saya sebab saya memang takde teman wanita. Kalau awak sudi, awaklah orang yang pertama.”
Okay, rasa nak muntah hijau.
“Terima kasih atas tawaran awak tadi. Tak berminat.”
Lelaki kacukan di hadapannya ini angkat bahu. “Orang tak sudi takkan nak paksa.”
“Tak payah nak paksa sebab tanpa paksaan pun memang saya takkan sudi.”
Raffael ketawa terbahak-bahak. “Dah tak nak fikirkan tawaran saya sekali lagi ke? Manalah tahu kalau-kalau awak perlukan masa untuk mempertimbangkan tawaran saya ni?”
Riana menjeling tajam. “Tak sudi langsung. Saya boleh menjawab  tanpa memikirkan tentang soalan awak tu, faham?” Gream pula dia dengan Raffael. Baru berjumpa beberapa jam sudah bercakap dengan dia tentang hati dan perasaan. Kalau nak main-main pun agak-agaklah sikit. Dia bukannya jenis perempuan yang tangkap muat aje. Tambahan pula jenis lelaki yang gemar bermotor besar seperti Raffael dia nak jadikan sebagai teman lelaki?
Memang tidaklah. Tahu tak bahaya menunggang motor berkuasa tinggi? Kalaulah Raffael jadi teman lelaki dia, memang hati dia ni bimbangkan lelaki itu setiap masa.
“lama awak senyap. Fikirkan tawaran saya ke?”
“Tak sudi okay! Tak sudi.”
Raffael mengalah dengan tawa yang masih bersisa. Dia suka mengusik Riana. Melihat jelingan Riana membuatkan hati dia bertambah sukakan Riana. “Hmm, okaylah tak sudi tak mahu paksa lagi.”
Ei, gila! Kenal pun tidak lepas tu ajak jadi teman wanita. Psiko betul lelaki ini. “Nampaknya pertemuan ini bukan jodoh kitalah ya..” Riana buat-buat gelak.
Sarkastik.
“Nampaknya kena ada pertemuan lainlah selepas ini. Kan?”
Nampak tak betapa lelaki ini seorang yang tidak melepaskan peluang? Habis kenapa haritu Raffael langsung tidak cuba untuk mendekati dia? Sikap lelaki ini dengan beberapa hari lepas jauh berbeza. Yang sama ialah cara mereka ketawa.
Kembar?

1 comment :