Pintu almari dibuka lemah. Rasa malas betul nak masuk kerja pada hari ini. Lama Riana termenung di hadapan deretan pakaian kerjanya. Tidak tahu pakaian mana hendak dipakai pada hari ini untuk menunjukkan mood dirinya yang suram dan mendung.
Melihat sehelai baju tanpa lengan berwarna putih, Riana padankan dengan sehelai skirt labuh berwarna hitam. Jaket berwarna hitam turut ditarik keluar. Laci bahagian bawah almarinya dibuka. Deretan selendang terhidang di depan mata. Tanpa berfikir panjang, selendang sutera berwarna hitam ditarik keluar.
Selesai bersiap ala kadar, Riana membetulkan sedikit selendang di atas kepala. Berpuas hati dengan penampilan dirinya, tangan laju sahaja mencapai beg tangan jenama Balenciaga berwarna merah jambu di hujung katil.
Sebaik sahaja pintu terbuka, Riana terserempak dengan Firhad di depan tangga. “Dah nak pergi kerja ke?” Soal Riana sekadar berbahasa. Memang nampak Firhad dengan kemeja dan tali leher bagai, memanglah lelaki itu hendak ke pejabat!
“Yeap. Ria dah siap?”
“Dah.”
“Okaylah, abang pergi dulu. Hati-hati.”
Riana sekadar senyum nipis. Tak pernah Firhad keluar selepas dia. Lelaki itu akan keluar dahulu dan membiarkan dia mengunci semua pintu rumah. Iyelah, dia perempuan yang tahu jaga diri. Dia boleh buat semuanya sendiri.
Riana menapak lemah memijak satu per satu anak tangga sehingga ke bawah. Tidak bersemangat hendak ke tempat kerja. Memang rasa malas sangat-sangat nak masuk kerja.
Sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta Megane RS miliknya, Riana menghidupkan enjin, menhala penghawa dingin ke arahnya. Tubuh keras di dalam kereta. Malas mahu bergerak. Lama berteleku di dalam kereta, Riana akhirnya terfikirkan sesuatu.
Telefon bimbit diseluk dalam beg tangan.
“Assalamualaikum, ayah.”
“Waalaikumusalam. Ria, ada apa telefon ayah pagi-pagi ni?” Soal Tuan Amin terkejut.
“Ria nak ambil cuti setengah hari ya? Rasa macam tak berapa sihat pula.”
Riana dengar Tuan Amin ketawa seronok di hujung talian. Pasti lelaki ini berfikir yang dia kemungkinan mengandung! Bukan boleh cakap rasa tak sihat ni dengan orang tua dia, kelam-kabut aje suruh dia pergi ke klinik. “Iyelah, rehat dekat rumah. Kalau masih tak sihat, ambil aje cuti hari ni.”
“Terima kasih ayah.”
“Ria..”
“Ye ayah.”
“Pergilah ke klinik. Mana tahu kot-kot ada apa-apa ke..”
Riana senyum tawar. Walaupun ayah dia tak nampak, dia masih mahu senyum. “Ayah doakan ya?”
“Jaga diri elok-elok. Jangan buat kerja berat.”
“Okay ayah. Assalamualaikum.”
Riana menamatkan panggilan. Gear ditolak ke lambang R menandakan dia mahu reverse. Apabila kereta keluar dari perkarangan rumah banglo milik Firhad, laju kereta Riana memecut ke arah jalan raya.
Disebabkan dia sudah mendapat kebenaran untuk bercuti separuh hari, maka dia akan melencong ke tempat lain.
Riana memarkir keretanya sedikit jauh daripada pejabat Firhad. Dia nampak kereta Firhad di kotak parkir khas yang disediakan oleh syarikat. Mulut herot ke kiri dan ke kanan memikirkan tindakan dia yang seterusnya. Dua hari lepas dia ada berjumpa dengan Dayana, kata Dayana, Firhad curang terhadap dia. Kononnya ada perempuan lain sering makan pagi bersama suaminya.
Jadi hari ini dia bertindak untuk mengekori Firhad separuh hari. Mahu lihat dengan mata dan kepala sendiri apa yang suami dia lakukan.
Selepas lima belas minit menanti di dalam kereta, Riana terlihat Firhad keluar dari pejabatnya. Baru pukul 9.30 pagi, nak keluar ke mana pula tu? Mata tertancap kepada seraut wajah yang jalan beriringan dengan Firhad.
Dayana.
Apabila kereta Firhad bergerak meninggalkan kawasan itu, Riana turut sama bergerak mengekori mereka berdua.
“Nak ke mana pula dua orang ni?” Soal Riana kepada dirinya sendiri.
Hampir dua puluh minit memandu, Riana tiba di kawasan perumahan. Firhad melepasi kawasan guard tetapi dia pula tersangkut di situ.
“Maaf, puan tak boleh masuk. Hanya penduduk sahaja yang dibenarkan masuk.”
“Tapi kawan saya tinggal dalam sini. Saya nak melawat dia.”
“Berapa nombor rumah kawan puan?” Riana senyap sambil merenung ke arah lelaki muda yang berpakaian putih hitam ini. Manalah dia tahu ini rumah siapa! Nak sebut nombor apa pun dia tidak tahu.
“Err, saya lupa nombor rumah dia. Tak boleh ke benarkan saya masuk? Sekejap aje!”
“Maaf puan, saya tak boleh benarkan puan masuk.”
Riana mengeluh hampa. Tak boleh sambung mengintip Firhad lagi! Dia sudah tidak tahu ke mana suami dia dan Dayana menghilang. Takkan jumpa klien di kawasan seperti ini kot?
Akhirnya Riana mengalah juga apabila dia berulang kali dihalau oleh pengawal keselamatan.
Tidak mempunyai semangat untuk menyambung kerjanya selepas melihat apa yang berlaku di depan matanya pagi tadi, Riana terus melencong ke rumah Puan Zaimah di Bukit Jelutong.
Siaran televisyen berulang kali ditukar. Tidak ada mood mahu menonton televisyen. Semua rancangan tak kena dengan selera dia sekarang ini.
“Hai, nak tengok rancangan apa ni? Ibu baru nak tengok AFC yang Ria pergi tukar tu buat apa?”
Riana menoleh ke arah Puan Zaimah yang merampas alat kawalan jauh televisyen daripadanya. “Ibu ni, bosanlah tengok rancangan masak. Bukannya tak pandai masak pun..”
“Belajar ajelah, tambah ilmu. Nanti boleh memasak untuk Ad.”
Riana mencebik dalam hati. Masak untuk Firhad konon, dia masak bukannya suami dia makan. Baik tak payah masak, membazir aje!
“Abang Ad suka makan luarlah. Dia tak kisah pun kalau Ria tak masak.”
Puan Zaimah memandang anaknya dengan pandangan garang. “Amboi, ajar sangat suami makan di luar ya! Nanti dia cari yang lain dekat luar sana tu baru padan muka Ria.!”
“Apa ibu ni cakap macam tu.. Tak baik tau doakan yang bukan-bukan.”
Sekali lagi Riana terkena jelingan maut ibunya. “Ria tu jangan tunjuk malas sangat ye. Malu ibu kalau Ad tu cakap Ria tak pandai masak atau malas mengemas rumah! Ibu bukannya tak ajar Ria semua tu..”
Nafas dikeluh berat. “Ria tahulah ibu. Ibu dah ajar semuanya pada Ria.” Lemah sahaja nada Riana menuturkan ayat itu. Kalaulah dia boleh berkongsi dengan sesiapa apa yang dia lihat pagi tadi, mungkin lega sikit hati dia ketika ini.
“Kak Zana balik pukul berapa?”
“Petang nantilah macam biasa. Kenapa tanya?”
“Malam ni Ria tidur sini, boleh ya?”
“Eh, kenapa pula tidur sini? Ad tak ada ke?”
“Ada tapi Abang Ad balik kerja lewat hari ini.. Lagi pun Ria nak berbual dengan Kak Zana.” Bukan malam ini aje Firhad balik lewat, setiap malam lelaki itu balik lewat. Memang tak pernahlah dia nampak muka suami dia pukul 6.00 petang atau 6.30 petang dah tercongok di rumah. Kalau itu berlaku memang amazing sangat!
“Amboi-amboi, suami balik lewat dia pula lari ke rumah ibu. Dah minta izin dengan Ad ke belum?”
“Dah..” Bohong Riana. Padahal tak perlu minta izin pun. Memang Firhad izinkan dia ke mana-mana. Nak pergi ke bulan ke, ke bintang ke, pergi ajelah. Bukannya Firhad risaukan dia pun. Buat apa sibuk-sibuk nak beritahu kepada lelaki itu!
“Kalau dah minta izin takpe, ibu benarkan Ria tidur dekat sini. Kalau balik sini sebab bergaduh dengan Ad memang ibu akan halau Ria balik ke sana semula.”
Riana berbaring ke sofa. “Apa ibu merepek ni. Mana ada Ria bergaduhlah. Kalau bergaduh takkanlah Ria nak datang sini.. Baik Ria lari pergi Lombok ke, pergi London ke.. Biar Abang Ad tak boleh cari Ria. Ini dekat rumah ibu, malam nanti dia dah muncul.” Kau bermimpilah kalau Firhad nak cari kau Riana oi! Kalau bergaduh pun Firhad takkan kisahkan kau pun.
“Ala Ria, adatlah berumah tangga ni kalau bergaduh sikit-sikit. Gaduh manja baru seronok.”
“Ermm..” Riana malas hendak bercakap tentang perihal rumah tangganya. Bukannya seronok pun cakap pasal rumah tangga dia. Semuanya menyakitkan hati aje! Takde apa-apa yang gembira langsung. Tambah-tambah selepas apa yang dia nampak pada hari ini.
Ria nak naik atas, nak lelap kejap. Rasa pening-pening pula.” Sengaja mencipta alasan untuk melarikan diri daripada Puan Zaimah.
“Pening? Ada rasa mual-mual nak termuntah ke?” Dahi Riana ditekap dengan telapak tangannya. “Dah pergi klinik?”
“Taka da apa-apa lah ibu. Ni pening sebab ibu ceramah banyak sangat ni..”
“Ria pening-pening ada isi kot?”
“Banyak isi perut ni. Lemak dan bihun goreng pagi tadi pun ada.”
Riana mengaduh sakit apabila tangan Puan Zaimah menampar bahunya dengan kuat. “Main-main! Ibu ni risaukan Ria. Manalah tahu kot-kot Ria mengandung..”
“Takde mengandungnya ibu. Perut kempis lagi ni.” Riana menayang perut kempisnya kepada Puan Zaimah. Mengandunglah sangat! Mengandung lemak adalah. Nak mengandung anak Firhad memang jauh sekali! Boleh dikatakan mustahil sangat!
“Ria dengan Ad dah kahwin tiga bulan lebih ni Ria.. Bila lagi nak bagi ibu dengan ayah cucu?”
“Belum lagilah ibu.”
Tidak berpuas hati dengan jawapan anak perempuannya, Puan Zaimah merenung Riana dengan pandangan tajam. “Ria, anak tu penyambung kasih sayang antara suami dengan isteri. Kalau ada anak nanti hubungan Ria dengan Ad akan bertambah erat!”
“Ria bukannya pandai jaga budak pun.”
“Astaghfirullah hal’azim, anak bertuah!” Sekali lagi Riana mengaduh sakit apabila Puan Zaimah mencubit lengannya pula kali ini. “Ibu pun masa bersalinkan Abang Dee bukannya ibu pernah ada pengalaman jaga anak! Sama-sama belajarlah Ria.”
“Nantilah.. Belum rezeki lagi agaknya.”
“Belum rezeki atau tak mencuba langsung?”
Riana mengeluh kuat. Susah kalau cakap dengan Puan Zaimah. Ibu dia suka memaksa! Nasib baiklah Siti Fairus boleh tahan dengan sikap ibu dia yang asyik tanya pasal anak. Iyelah abang dengan kakak ipar dia pun dah beberapa tahun berkahwin, belum juga ada berita gembira. “Ibu soal rezeki ni bukannya kita boleh paksa. Tak tahu bila Allah nak beri kita rezeki.”
“Memanglah kita tak boleh paksa Allah beri rezeki pada kita tapi kenalah juga mencuba!”
“Ria tengah cubalah ni.. Abang Ad sibuk dengan kerja dia sekarang ni.” Cuba memberi alasan yang lebih munasayah. Kalau cakap sibuk dengan kerja dan belum ada masa mengandung macam logik juga.
“Apa yang sibuk sampai takde masa nak mengandung? Bukannya Ria yang kena kerja teruk. Ad tu dah stabil, apa masalah lagi?”
Riana buat muka mengada-ngada. Mata dikedip beberapa kali kepada Puan Zaimah. “Abang Ad dengan Ria sama-sama sibuk sebab tu Allah belum bagi kami rezeki. Nak tunggu kami lapang-lapang sikit agaknya.” Kemudian dia ketawa kecil.
“Apa yang kelakarnya? Ingat ibu main-main ke? Ibu serius ni, ibu nak cucu daripada Ria.”
Bibir berhenti ketawa. Riana memandang ke arah Puan Zaimah. Memang nampak serius riak wajah ibunya! Tak senyum langsung. “Ria pening betul-betul ni lepas kena marah. Ria naik atas tidur kejaplah sementara tunggu Kak Zana balik.”
Riana lekas-lekas mengatur langkah kaki ke tingkat atas tanpa menanti jawapan daripada Puan Zaimah. Sambil dia berjalan sempat lagi telinganya menangkap bebelan Puan Zaimah kepada dia. Sengaja menyekat rezeki daripada Allah lah, tidak mahukan anak lah, sengaja merancanglah. Macam-macam ibu dia membebel namun Riana memekakkan telinga sahaja.
Puan Zaimah memang macam tu,kalau dah kahwin wajib ada anak. Kalau takde anak mesti ada yang tak kena dengan perkahwinan tu. Nasib baiklah kakak ipar dia memang seorang yang penyabar. Biarlah Puan Zaimah cakap apapun, tetap juga Siti Fairus mengalah. Memang Rozaidi beruntung betul mempunyai isteri sebaik Siti Fairus!
Riana menolak bahu kakaknya. “Termenung apa? Nak suruh bulan tu jatuh ke riba?” Riana menunjuk ke arah bulan yang terang.
“Sibuk ajelah Ria ni. Ni apahal masuk bilik orang ni?”
“Sajalah.. Nak sambung berbual dengan Kak Zana. Kalau dekat bawah tadi ibu ada. Susah nak bersembang.”
Ruzanna memandang wajah adiknya. “Ada rahsia ke?”
Bibir cantik Riana ketawa kecil. Nampak benar penyibuk kakak dia ni! “Kak Zana tahu tak cerita baru pasal As dengan suami dia?”
“Apasal? Jan buat hal lagi ke?”
Riana angguk. “Kesian betul dengan As tu kan, Kak Zana. Tak sangka betul ada lelaki kejam macam tu dekat muka bumi ni.” Telinga menangkap nafas kuat yang lepaskan oleh Ruzanna. “Kenapa bernafas kuat sampai macam tu?”
Spontan Ruzanna ketawa kecil. “Sempat pula dia kondem Kak Zana bernafas ye. Tu mengeluh namanya!”
“Mengeluh sebab apa?”
“Sebab kesiankan kawan Ria tu lah. As tu bukannya tak cantik. Cantik sangat orangnya. Kalaulah dia berpisah dengan suami dia mungkin dia boleh cari lelaki lain yang lebih baik daripada tu.”
“Itulah yang Ria selalu nasihatkan dia Kak Zana tapi As tu degil. Ria tak faham kenapa dia masih nak sayangkan suami yang langsung tak menghargai dia!” Riana mula diasak dengan emosi. Dia turut sama bersedih kerana nasib dia dengan Asma sama sahaja. Dia pun tidak disayang suami juga. Diabaikan secara fizikal dan mental.
“Ria macam mana? Bahagia tak lepas kahwin? Macam makin kurus aje Kak Zana tengok Ria sekarang ni?” Bahu Riana dipeluk dari sisi.
“Kurus sangat ke?”
Ruzanna angguk. “Sangat-sangat kurus! Macam zombie berjalan aje Kak Zana tengok.”
Kepala tunduk memandang susuk tubuh badannya. Dia sendiri mengakui berat badan dia memang susut lima kilo selepas berkahwin. Sebelum ini 48 kilogram, sekarang hanya 43 kilogram. Memang nampak kurus sangat dengan ketinggian dia 159 sentimeter.
“Nanti makan banyak sikit okay. Ni mimpi apa tiba-tiba balik tidur rumah ibu ni? Rindu dekat Kak Zana ke?”
“Saja, bosan dekat rumah. Abang Ad banyak kerja.” Dia belum bersedia membuka kisah rumah tangganya kepada sesiapa.
“Banyak kerja sampai Ria bosan? Macam mana ni.. Takkan Ad langsung takde masa untuk Ria?”
“Bukan macam tu Kak Zana.. Ria yang teringin nak balik tidur dekat sini bukan sebab Abang Ad abaikan Ria..” Anak mata memandang ke arah lain. Dia bukannya pandai sangat menipu. Selama ini banyak yang dia menipu keluarga dia tentang perkahwinan dia dengan Firhad.
Bukan sekali dua dia balik ke rumah ibunya seorang diri. Banyak kali. Berpuluh kali mungkin! Setiap kali dia pulang seorang diri, setiap kali itulah dia perlu berbohong kononnya Firhad banyak kerja di pejabat.
“Kak Zana bukannya nak menuduh atau memandai tapi pada pandangan mata Kak Ria, anak mata Ria tak mampu menipu. Kak Zana tahu Ria banyak berahsia dengan kami semua tentang perkahwinan Ria. Kenapa?”
Riana kalut. “Apa yang Kak Zana cakap ni? Rahsiakan apa pula?”
“Ria tak bahagia ke dengan perkahwinan ni?
“Kenapa tanya Ria soalan macam tu.. Ria bahagia sangat-sangatlah!” Jantung mula berdetak laju. Bimbang jika Ruzanna dapat menghidu masalah rumah tangganya. “Abang Ad jaga Ria dengan baik. Ria memang bahagia sangat.” Bibir dibasahkan dengan lidah untuk menyembunyikan kekalutan sendiri. Sesekali Riana berdehem kecil.
“Iyelah, kalau itu kata Ria takkan Kak Zana tetap nak kata yang Ria tak bahagia pula kan.”
“Ria masuk bilik dululah. Mengantuk pula. Jomlah tidur, esok nak kerja pula.”
“Ingatkan nak tidur dengan Kak Zana.”
“Ria tidur bilik Ria ajelah. Esok Kak Zana keluar lagi awla daripada Ria kan.”
“Good night.”
“Good night!” Riana menutup rapat pintu bilik Ruzanna.
Mana Raffael? Dia hero cite ni kn?hehe.. Blur pulak tetiba =,=
ReplyDelete