Thursday, 11 July 2013

Bab 12 Cinta Tak Akan Berakhir

Volkswagen Golf GTI berwarna merah diletakkan di tempat biasa. Kereta hadiah daripada Encik Idris selepas dia menamatkan pengajiannya hampir empat tahun yang lalu. Kononnnya untuk menggantikan kereta Toyota Rush yang sering dia pinjam daripada mak untuk ke kuliah. Bab duit dia memang tak perlu risau, melimpah-ruah duit yang Encik Idris taburkan kepada dia dan keluarganya namun kasih sayang daripada Encik Idris yang dia inginkan. Perhatian daripada abah kepadanya langsung tidak diberikan.

Tas tangan Balenciaga di bahagian bawah seat penumpang dicapai. Kaki melangkah keluar dan skirt pendek separas lutut ditarik ke bawah sedikit untuk membetulkan kedutan pada pakaiannya.

Semangat nak masuk kerja pada hari ini. Ada wajah yang ingin dia lihat sangat-sangat sejak dua hari yang lalu.

“Amboi, berserinya awak hari ni Zara.” Teguran Azam membuatkan Azara bertambah tersenyum lebar.

Tangan naik menyentuh kedua-dua pipinya. “Nampak berseri ke?” Azam mengangguk dengan soalan Azara.
“Sangat. Macam orang dilamun cinta.”

Alahai, malunya! Rasa nak tutup muka dengan beg tangan!

“Pandai je awak ni Zam. Macam mana awak tahu muka orang dilamun cinta macam ni?”

“Saya tahulah sebab saya pernah dilamun cinta… Muka orang bercinta ni asyik nak tersenyum aje. Iyelah orang tengah bahagia mestilah nak senyum memanjang.”

Azara berminat dengan kata-kata Azam. “Oh ye ke? Habis tu muka saya ni nampak muka bahagia gila lah eh?”

Azam angguk lagi.

“Jomlah naik Zara. Awak nak senyum depan lif ni sampai esok ke?” Tersedar dia tengah mengelamun, Azara tergelak kecil. Razlan buat dia gila dua hari bila tak nampak bayang lelaki itu. Nak menelefon sumpah segan!



Kaki melangkah laju ke meja Haleda. “Tuan Razlan dah masuk ke belum kak?”

“Belum lagi. Lepas makan tengah hari nanti baru bos masuk. Kenapa? Zara ada hal nak jumpa dengan Encik Razlan ke?”

Azara pantas menggeleng. “Eh takde kak. Zara tanya aje sebab selalunya kan pagi-pagi lagi dia dah sampai sebelum Zara. Tadi kereta dia takde di tempat dia sebab tu Zara tanya.”

“Rindu ke?”

Lengan Haleda pantas ditampar perlahan. “Jangan nak timbulkan gosip ya. Okaylah kak, Zara ke bilik Zara dulu.” Azara berlalu ke biliknya yang tidak jauh dari meja Haleda.

Punggung dihenyak di atas sofa kulit berwarna hitam. Kenapa Razlan tak masuk kerja… Dah la dia rindu nak tengok muka Razlan! Adoi.. Parah ni Zara, parah!

“Zara, wake up. Stop dreaming!” Azara menampar perlahan kedua-dua pipinya. Jangan gila bayang sangat Azara. Come on, ingat balik apa Zakri buat dengan kau. Jangan mudah sangat jatuh cinta..

Azara mengigatkan diri sendiri. Dia mula hanyut. Hati yang dibiarkan beku selama tiga tahun mula diusik dengan perasaan aneh. Perasaan yang membuatkan dia akan sakit suatu hari nanti.

“Don’t fall in love Azara..”


Kata-kata motivasi yang diletakkan di atas meja dicapai dan ditatap lama. Menarik nafas perlahan-lahan sebelum menghembus semula. Okay, ready to change back to normal life.

Satu : “Love hurts when it changes us.” ― Toba Beta, Betelgeuse Incident               
Dua : “Love kills  Rumplestiltskin 'Once Upon a Time'
Tiga: “Don't ever believe someone when they promise to never hurt you. Be smart enough to know, that no one can keep that promise forever.” – Unknown
Satu per satu kata-kata semangat dibaca. Mengentalkan hatinya yang kian rapuh dek disapa perasaan aneh terhadap Razlan. “Baru sebulan lebih Azara, takkan sekali kau keluar dengan dia kau dah rasa dia lelaki yang terbaik. He is not! Jangan terpengaruh dengan Hanis..” Bibir bergerak-gerak perlahan. Bercakap dengan diri sendiri.

Fail di depan mata ditarik laju. Mula bekerja. Kalau kena buang kerja makan pasir. Tak naklah dia kerja dengan abah. Oh.. Tak nak! Bersaing dengan Izreen bukan kerja dia. Letih kalau asyik nak bersaing dengan kakak dia yang seorang itu.
Banyak kerja lain yang dia boleh buat selain bergaduh dengan Izreen yang sampai sekarang tak puas hati dengan dia.
Semalam Puan Nona telefon lagi bertanyakan hubungan dia dengan Zakri. Katanya Zakri berubah sejak dia balik ke Malaysia. Puas dia terangkan kepada Puan Nona yang kepulangan dia langsung tiada kaitan dengan Izreen.
Susah sangat ke nak faham keadaan diri dia. Dia dah lupakan Zakri sejak kaki dia meninggalkan Malaysia lagi. Dah tak sayangkan Zakri lagi dah.
“Mak, Zara dah penat nak cakap dengan mak pasal ni. Hubungan Zara dengan dia dah putus dah mak. Zara tak suka kalau mak cakap macam Zara ni nak rosakkan hubungan kakak dengan Zakri.”
“Mak bukan tuduh Zara tapi kakak cakap Zakri dah tak nak layan dia lagi. Asyik tanya pasal Zara aje.” Balas Puan Nona lemah.
“Kalau dah tahu Zakri tak nak layan dia, kakak buatlah something untuk ambil hati Zakri semula. Takkan itu pun dia tak tahu? Masa dia nak rampas Zakri daripada Zara dulu pandai pula dia ambil hati Zakri, kenapa sekarang dia nak tuduh Zara pula?” Memang dia geram. Geram bila Izreen nak menuduh dia yang bukan-bukan.
Dia tak hadaplah dengan Zakri tu. Kalau takde Zakri pun dia boleh hidup! Bukannya dia mati kalau takde Zakri. Dia tak ingin lelaki yang tak setia macam Zakri tu.
“Zara bukannya tak tahu perangai abah macam mana dengan kakak.. Kakak tu segala-galanya untuk abah. Kalau Zara buat silap sikit aje nanti abah melenting. Mak tak suka..”
“Mak, Zara dah penat dengan semua ni mak. Kakak nak Zara buat apa lagi? Apa lagi yang kakak tak puas hati dengan Zara?” Nada suara mula meninggi. Kesabaran yang menggunung mulai goyah. Kalau boleh dia mahu bersemuka dengan Izreen. Dia mahu tahu apa yang Izreen nak dia buat untuk puaskan hati Izreen.
“Entahlah Zara, mak pun tak tahu nak buat apa lagi.”
Sekali lagi Azara mengeluh. Abah pun satu, susah sangat nak percayakan dia. Sudahlah Tok Mama pun tak sukakan dia kononnya dia cuba merosakkan hubungan Izreen dengan bakal cucu menantu kesayangan Tok Mama, sekarang Puan Nona pula seolah-olah nak menuduh dia juga.
“Zara takkan jumpa Zakri, mak jangan risau.”
“Kalau dah macam itu kata Zara mak mengalah ajelah. Mak hanya nak pesan pada Zara kalau boleh elakkan diri Zara daripada Zakri tu. Mak tak nak kakak tuduh Zara yang bukan-bukan depan abah.”
Azara menekap mukanya di atas meja kerja. Serabut betul fikir pasal hidup dia. Hanis cakap dia perlu kahwin untuk selesaikan persengketaan dia dengan Izreen tapi masalahnya ialah dia nak kahwin dengan siapa? Hati dia ni dah tertutup untuk semua lelaki atau mungkin tidak untuk Razlan?
Argh! Tak nak. Dia tak mahu kecewa sekali lagi. Sekarang ini dia memang takde hati langsung nak kahwin. Rasa takut sentiasa menguasai diri. Bukan kerana dia masih berdendam dengan lelaki itu, tidak. Cuma dia yang bimbang sendiri. Paranoid!
Ketukan di pintu mengejutkan Azara. Kepala terus ditegakkan.
“Masuk!”
Melihat wajah yang tersembul di muka pintu Azara pantas berdiri tegak dan tersenyum manis. Tidak menyangka kunjungan lelaki hebat ini ke biliknya.
“Jemput duduk, Tuan.” Bibir masih lagi mengukir senyuman manis. Paling manis!

 “Bila auntie tengok muka Zara ni macam muka seseorang yang pernah auntie kenal dulu.”
Azara sengih sahaja. “Mungkin auntie pernah jumpa Zara sebelum ni kot?”

Giliran Puan Sofiah pula tergelak kecil. “Auntie tak pernah jumpa Zara pun sebelum ni.. Kalaulah sejak dulu lagi auntie jumpa Zara, auntie dah chop cara untuk anak bujang auntie.” Anak bujang? Untuk Razlan atau Puan Sofiah ada anak bujang lain?

Hehhh, kalau untuk Razlan memang dia nak sangat-sangat! Hahaha! Dah mula dah.. Tadi masa awal dia masuk kera kata takut nak kahwin sekarang ni tak takut pula?

“Zara, awak jangan ambil hati sangat dengan isteri saya ni.. Memang suka buat lawak. Bukan apa, Razlan tu satu-satunya nak bujang kami tapi dia sorang aje yang belum kahwin lagi. Mama dia ni apa lagi, risaulah..”

Azara senyum lagi. “Jangan risau sangatlah auntie, Zara yakin Tuan Razlan mesti cari perempuan yang sesuai dengan hati dia. Lagi pun Zara tengok dia tu sukakan budak-budak.”

“Mana Zara tahu?”

Wajah Azara berubah serta-mereta. Alamak, macam mana dia tahu ya.. takkan nak cakap dengan Puan Sofiah yang dia ke Melaka dengan Razlan? Atau Puan Sofiah memang tahu? Duh, gawat!

“Er.. Zara teka je auntie.” Ketawa kecil dibuat-buat untuk menyembunyikan rasa gugup akibat terlepas kata.  

“Pandai Zara teka. Memang Alan tu sukakan budak pun. Anak buah dia dah ada empat orang tapi semuanya lelaki.” Alan? Ahaha, nama manja Razlan ialah Alan? Tak sempoi langsung. Budak-budak di rumah anak yatim panggil dia Abang Raz, dengarlah macho sikit. Keluarga panggil Alan? Ew, manjanya!
“Kenapa Zara senyum?”

Wajah Encik Latif dipandang. “Ah? Tak.. Tadi auntie sebut nama Alan sebab tu Zara senyum. Selalunya Zara dengar orang panggil dia Raz, bila dengar nama Alan ni rasa macam comel pulak.”

Serta-merta tawa Encik Latif bedekah-dekah terhambur. Pelik ke ayat dia tadi? Apa yang lawaknya?
“Kenapa Tuan?”

“Awak ni Zara.. Kalau Alan dengar awak main-main dengan nama dia ni mesti dia naik angin.” Azara gigit bibir bawahnya. Masaklah! Janganlah Puan Sofiah atau Encik Latif menyampai kepada Razlan pula. Kalau tak memang habislah dia.

“Sorry, Zara tak sangka pula Tuan Razlan marah kalau Zara ketawakan nama dia. Tuan dengan auntie janganlah cakap dengan dia pula.”

“Jangan cakap apa dengan siapa?”

Kepala Azara sepantas kilat menoleh ke belakang. Matilah dia…


Tangan Razlan selamba menarik kerusi di sebelah Azara. Azara melihat Razlan tanpa kedip. Ya Allah, kacaknya manusia bernama Adib Razlan ni! Bibir tidak lekang dengan senyuman.

Dan senyuman itu kembali mati beberapa saat kemudian. Tak senyum pun dekat dia? Muka beku. Dah jadi ais semula dah? Hari tu bukan main suka lagi bergelak ketawa dengan dia semasa di Melaka takkan baru dua hari dah lupa nak senyum kot?

“Macam mana mama boleh lunch dengan staff Alan ni?”

Azara rasa tawanya mahu terhambur keluar mendengar Razlan membahasakan dirinya sebagai Alan di depan keluarganya. Sumpah lawak! Nampak macam ego tinggi melangit tapi depan mak ayah manja gila!

“Mama ajak papa lunch hari ni, tak sangka Zara ada dalam pejabat tadi masa mama sampai. Alang-alang dah ada tu mama ajaklah sekali. Tak boleh ke mama nak  ajak pekerja Alan makan sama?”

“Bukan tak boleh tapi kalau ada yang nampak kan tak elok. Nanti dorang ingat Alan ada apa-apa hubungan istimewa pula dengan Azara ni.”

“Kalau ada pun kenapa? Ada yang menghalang ke?”

Razlan melepaskan keluhan kecil. Azara hanya menjadi pendengar dan pemerhati senyap. “Banyak benda yang menghalang dan ia takkan berlaku.”

Hancur hatiku… mengenang dikau.. jadi keping-keping..

Hati Azara mahu menangis! Sumpah dia rasa hancur hati berkecai-kecai tak boleh nak cantum kembali dah. Dia baru sahaja mula merasai kembali rasa aneh yang telah lama hilang dalam hatinya, tapi dia hanya syok sendiri. Azara, I told you already!

Hati berbisik sendirian. Menyumpah seranah diri sendiri yang terlalu mudah lupa diri dan lalai. Terlalu mudah menerima dan bersangka baik. Azara.. You just hurt yourself!

“Dah la, Alan nak makan apa?” Encik Latif bersuara memecahkan kesunyian yang tiba-tiba bertandang.

“Nope, Alan dah kenyang. Dah makan dengan klien tadi.. Alan nak balik office dulu. Azara, meet me in my office after lunch.”

Lambat-lambat Azara mengangguk. Nasi goreng dalam nenas dikacau dengan sudu. Hilang selera mahu makan selepas mendengar kata-kata Razlan tadi. ‘Banyak benda yang menghalang dan ia takkan berlaku..’

“Biarkan Razlan tu Zara, dia memang macam tu. Mulut tu kadang-kadang pedas sikit tapi hati dia baik. Auntie harap Zara tak ambil hati dengan kata-kata dia tadi ya.” Puan Sofiah perasan ada riak kecewa di garis muka Azara.

Gadis jelita di hadapannya ini nampak seperti suka dengan Razlan. Kalau ya, dia pun suka kalau Azara menjadi menantu dia! Cantik, bekerjaya dan bijak. Siapa tak mahu menantu seperti ini.

“Tak lah, Zara tak kisah pun.” Bibir dipaksa mengukir senyuman. Dia tak okay. Dia memang tak okay. Dia rasa mahu menangis sekarang ini! Kalau ada banyak benda yang menghalang kenapa semalam Razlan tak cakap?

Kenapa Razlan seolah-olah berharap pada hubungan mereka yang seakan baru bermula? Kenapa Razlan cakap dia perempuan yang istimewa dalam hidupnya?

“I tak pernah kenal perempuan macam you. Berani dalam sopan. Tegas dalam lembut tapi naif.”

“Maksud Tuan?”

“Apa yang ada dalam fikiran you masa I bawa you ke hotel tadi?” Razlan berhenti melangkah. Menarik tangan Azara supaya bertentang mata dengannya.

“Boleh kalau saya tegur Tuan sikit?”

“Yeah.”

“Boleh tak kalau Tuan tak perlu sentuh saya sesuka hati Tuan? Saya tak berapa selesa..” Razlan pantas melepaskan genggaman tangannya di tangan Azara.

“Sorry pasal saya menjerit dekat Tuan tadi.. Saya ingatkan Tuan nak buat yang bukan-bukan tadi. MasyaAllah.. Malunya saya!” Wajah Azara sudah berona merah. Tubuh dikalih menghadap lautan. Membuang pandang ke arah laut yang terbentang luas. Indahnya ciptaan Allah swt.

Razlan tergelak besar. “You perempuan pertama yang paling pelik pernah I jumpa. Pasif!”

“Pasif? Maksud Tuan?”

Razlan menarik Rayban yang tersangkut pada batang hidung dan dinaikkan ke atas kepala. “Terlalu mengikut kehendak orang lain dan cepat mengalah.”

Azara terdiam. Mungkin sebab dia sudah terlalu lama terdidik dengan sikap mengalah kepada Izreen sehingga menyebabkan dia sanggup melepaskan semuanya kepada kakaknya itu. Ambillah apa sahaja asalkan tidak menyakitkan hati dia.

“Asalkan orang yang saya sayang bahagia apa salahnya.”

“I termasuk tak dalam golongan orang yang you sayang tu?”

Soalan Razlan hanya dijawab dengan tawa halus. Janganlah bermain dengan perasaan saya, Razlan!

“I hope we can get to know each other more deeply.” Azara jongket bahu. Tidak mahu menjawab kata-kata Razlan. Biar sahaja masa yang menentukan hala tuju hubungan mereka. Dia pun baru sangat mengenali Razlan.

“Zara?”

Azara tersentak kuat apabila terasa lengannuya disentuh oleh seseorang. “Ahh? Ya Allah,.. Sorry, Auntie.. Zara lost sikit.” Azara menyentuh tangan Puan Sofiah. Sumpah dia memang tak sedar langsung bila dia berangan pasal kisah di pantai dia dan Razlan.

“Teringatkan siapa?”

“Ish, mana ada ingatkan sesiapa pun. Zara ingat pasal kerja di office tu.”

Tiba-tiba Encik Latif mencelah. “Kalau dah ingatkan pejabat tu maknanya nak baliklah tu Sof. Itulah kacau orang kerja lagi, kan dah risau kerja dia di pejabat tak siap.”

“Eh, bukan macam tu Tuan. Zara tak kisah pun temankan Tuan dan auntie makan. Serious I am okay. Kerja tu balik kejap lagi pun Zara boleh buat.” Takut juga kalau hati Puan Sofiah tersentuh dek kata-kata Encik Latif sebentar tadi.

Dia langsung tak kisah makan tengah hari dengan pasangan ini, cuma dialah pula yang segan seperti menganggu. “Entah-entah Zara yang ganggu Tuan dengan auntie nak dating.”

“Merepek aje anak dara sorang ni. Dah, jom auntie hantar balik ke pejabat semula. Kang mengamuk pula Alan tu sebab auntie culik pekerja dia lama sangat.”

Encik Latif dan Azara tergelak mendengar kata-kata Puan Sofiah. Takkanlah Razlan nak marahkan dia sebab dia keluar makan dengan Puan Sofiah pula. Kan mama dia juga.

p/s : Minta ampun & maaf sebab Sri sangat-sangat busy sekarang ni. Memang tak tipu, banyak gila kerja nak kena siapkan dan CTAB ni masih dalam proses. Tak siap-siap tulis lagi sampai sekarang ni sebab dah beberapa minggu stop menulis. Aiyook, kerjaku menimbun dampai berpinau mataku. Hiks.

Doakan Sri dapat siapkan CTAB dgn cepat ye. Sayang semua readers & silent readers di sini. Tanpa kalian semua siapalah daku. Kepada yg komen dan Sri belum reply tu sorry teramat sangat. Sri baca but I still hev no time to reply the comments. InsyaAllah once Sri dah lapang sikit I will reply okay.

Yang menanti KPI dan ADDS minta maaf sangat sebab tak sempat nak up entry baru.Nanti Sri akan up ye. Gimme some more time ye darlings! 

Love you all banyak-banyak.

Hugs,
Sri.

Sunday, 7 July 2013

Bab 11 Cinta Tak Akan Berakhir


“Thank you Tuan. See you in the office on Monday.” Bibir menguntum senyuman ke arah Razlan yang berdiri di sisi keretanya.


“Nak I hantar you sampai atas ke?”

“Ish, tak perlulah. Saya dah biasa dengan rumah sendiri, Tuan baliklah dulu. Dah lewat malam ni. Nanti Tuan sampai rumah lewat pula.”

“I lelaki, mak I tak sibuk cari I kalau I balik lambat.”

“Takpe, saya naik dulu..”

Azara tidak sabar mahu berjumpa dengan Razlan di pejabat pada hari Isnin nanti. Harap-harap sikap Razlan masih lagi ramah seperti sepanjang hari ini.

 “Thank you for your time today Azara, I really enjoyed myself!”

Kembang kempis hati Azara menerima pujian daripada Razlan. Kenapa dia suka sangat ni.. Kan semalam da beriya-iya cakap besar dengan Hanis dia takkan jatuh cinta dengan Razlan takkan hari ini Tuhan dah balikkan hati dia yang menyampah kepada Razlan kepada perasaan cinta dan sayang kot?

Kaki melangkah menuju ke arah lif.

Bibir masih lagi mengulum senyuman. Dah macam orang angau dah dia sekarang ni. Sengih sorang-sorang macam orang gila bayang. This is crazy!

Tak sangka sepanjang mereka melepak bersama sepanjang hari ini banyak juga benda yang dia tahu tentang Razlan. Razlan tak suka makan ketam tetapi suka makan ikan bakar. Oleh kerana mengidam ikan bakar, dari Pantai Puteri mereka berdua menghala ke Alai, Melaka untuk menikmati ikan bakar paling sedap. Kata orang Melaka terkenal dengan asam pedas tapi kalau setakat asam pedas Melaka, dia pun pandai buat.

Ah, ini semua mainan perasaan! Jangan layan.. jangan layan sangat Zara. Azara ketuk kepalanya perlahan. “Razlan, get out of my mind! Damn you.” Nah, tak pasal-pasal Razlan kena cop tak guna.


Ting!

Lif terbuka luas. Kaki melangkah keluar dari lif dan menuju ke rumahnya.

Grill berwarna putih ditarik rapat semula. Belum sempat tangannya mengunci grill dari dalam, seseorang menyeru namanya. “Zara.”

Azara mahu melompat. Terkejut bagai nak gila!

“What are you doing here?!”

“Abang cari Zara.”

“Who is abang?” Azara menyoal kasar. Tangannya masih kuat menarik grill rumahnya yang cuba dibuka oleh Zakri.

“Zara, please let me explain to you. Abang ada banyak perkara nak cakap dengan Zara. Bagi abang peluang..”

“Sorry, saya takde masa nak layan awak. Please leave.” Tangan kalut mengunci grill rumah. tidak mahu Zakri bertindak gila menarik grill rumahnya.

Kaki terus melangkah masuk ke dalam rumah dan pintu kayu berwarna putih itu segera ditutup rapat. Malas nak layan Zakri. Nanti bila sampai ke pengetahuan Izreen lain pula versi cerita kakaknya kepada Encik Idris.

Bunyi loceng yang menderu-deru menyebabkan Azara sakit hati. Pintu rumah dikuak kasar. “Awak ni tak faham bahasa ke Zack? Nak kena pakai bahasa Uganda ke baru awak nak balik?”

“Zara, jangan layan abang macam ni. Zara tahu kan yang abang masih sayangkan Zara. Tolong bagi abang peluang, Zara.”

Nafas Azara mula turun naik. Dia tak balik Malaysia untuk dengar pengakuan sayang daripada Zakri. Dia tak balik sini untuk mengejer semula cinta Zakri.


“Kan saya dah cakap tadi please leave, kalau tak faham bahasa Inggeris, takpe saya cakap bahasa Melayu. Tolong berambus!”

Banggg!

Pintu rumah dihempas kasar. Tak kuasa nak melayan Zakri dengan baik. Gila! Macam mana Zkri tahu rumah dia. Rasanya dah sebulan lebih dia tinggal di sini hanya Puan Nona, Hanis dan Khairul sahaja yang tahu di mana dia tinggal. Abah pun tak pernah datang dan tak pernah tanya.

Telefon bimbit yang berdering memaksa Azara mendapatkan beg tanganya di atas sofa. Hanis!

“Assalamualaikum, Anis.”

“Waalaikummussalam… Kawan aku yang cantik dan baik, kau ke mana? Sehari suntuk aku call langsung tak berjawab!” Azara menjauhkan telefon dari telinga. Kuat gila minah ni menjerit.

“Pekak telinga aku Anis oii.. Aku baru balik ni. Kenapa?”

“Kenapa kau tanya aku? Dah pukul sebelas malam ni kau tanya aku kenapa aku call kau?”

“Iyelah, kau tidur lewat. Tak bagus untuk baby tau tak?”

Hanis tergelak kecil. Sempat lagi ingat pasal anak dia. “Aku tak tidur lagi sebab tadi mak kau dah call aku tadi tau tanya kau ke mana..”

Azara menghenyak punggungnya ke atas sofa. memang dia sengaja membiarkan panggilan telefon daripada Puan Nona sebab tidak mahu emaknya risau tentang dia yang masih berada di Melaka malam tadi..
“Mak aku cakap apa dengan kau?”

“Tanya kau ke manalah apa lagi. Risau dia tahu tak..”

Azara menggaru telinga kirinya. “Aku baru balik dari Melaka ni. Baru sangat sampai rumah.”

“Lamanya kau ke Melaka. Anak-anak yatim tak bagi kau balik ke apa?”

“Not funny Hanis. Your joke is lame.”

Hanis ketawa sendiri. “Okay lah aku buat lawak lame. Kau tu ke mana dari pagi sampai malam? Tak ingat nak balik rumah ke?”

“Ingat tapi aku pergi jalan-jalan dengan Razlan lepas makan dengan budak-budak tu tadi..”

Azara terdengar Hanis menjerit nyaring di talian sana. “Kau  dah jatuh cinta dengan dia ke belum lagi Zara? Handsome tak dia hari ni? Dia pakai baju apa? Did he tell you that he is in love with you?” Mula dah mengarut dia ni.

“Langsung takde cakap apa-apa. Dia handsome as usual tapi aku belum jatuh cinta lagi.” Bohong! Azara bohong. Dia mula jatuh cinta pada Razlan tapi sikit. Sangat sedikit.

“Betul kau belum jatuh cinta dengan dia? Dia layan kau kasar lagi?”

“Tak tapi tak cukup lembut untuk buat aku jatuh cinta.”

Hanis tergelak besar. “Dasar kaki romantis! Dah la menyampah aku cakap dengan kau Zara. Entah bila kau nak jatuh cinta dengan bos kau aku pun tak tahu. Hari-hari dengar kau cerita pasal dia tapi bila kau nak puji dia melambung pun tak tahu.”

“Kalau menyampah cakap dengan aku kau boleh end call sekarang. Aku nak call Puan Nona sekarang ni.” Sekali lagi tawa Hanis terburai.

“Kau panggil mak kau Puan Nona. Tak guna punya anak!”
“Eh, memang nama mak aku tu..” Giliran Azara pula tergelak kecil.
“Dah la. Aku nak tidur. Susu aku dah sampai ni. Bye!”
Panggilan ditamatkan. Azara tersenyum lebar. Susu Hi-Goat yang dibawa oleh Khairul lah tu. Tiap-tiap malam kena paksa minum sebab Hanis tak suka minum susu.

“Assalamualaikum, mak.”

“Waalaikummussalam. Zara ke mana? Mak called Zara banyak kali tadi kenapa tak jawab? Risau mak tau tak..” Puan Nona mula berleter. “Zara, mak bagi Zara tinggal sendiri bukan bererti Zara boleh bebas sesuka hati Zara.”

“Mak, Zara ada majlis dengan anak-anak yatim. Mak janganlah bimbang, Zara boleh jaga diri Zara.”

“Macam mana mak tak bimbang? Zara tu perempuan, tinggal sendiri. Mak ni separuh nyawa risaukan keselamatan Zara tau tak! Lainlah kalau dah ada suami, ada orang tolong jagakan Zara..” Dah mula dah ceramah bab kedua iaitu pasangan hidup. Bab pertama keselamatan dan harga diri.

“Zara okay.. Zara boleh jaga diri Zara mak. Mak jangan risau.”

“Mak tetap juga risau Zara! Mak ni kalau boleh nak tengok Zara kahwin cepat-cepat. Takde ke sesiapa yang Zara berkenan?”

Ada mak tapi baru berkenan sikit aje. Sangat sedikit. Adib Razlan. Boleh tak mak pinangkan untuk Zara?

Mahu aje Zara bercakap begitu dengan Puan Nona tapi segan pula. Nampak macam dia tergedik-gedik terhadap Razlan.

“Belum jumpa yang sesuai. Mak, Zara baru balik ni, Zara nak mandi dulu.. Lepas tu nak tidur. Mak pun pergilah masuk tidur dan dekat pukul dua belas ni mak.”

Puan Nona mengeluh kecil. Kalau cakap bab pasangan hidup macam inilah Zara asyik nak mengelak. Izreen dia tak risau sangat sebab dia tahu Izreen mudah cari pasangan yang sesuai dengan dia. Putus dengan Zakri ada yang lain. Putus tunang dengan Razlan pun ada yang lain juga. Semua tu petik jati aje untuk Izreen tapi kalau dengan Azara dia bimbang! Bimbang sangat.

Tiga tahun putus dengan Zakri sampai sekarang belum ada pengganti.

Belum sempat tangan meletakkan semula telefon bimbit di atas meja, sekali lagi telefon berdering. Tanpa melihat kepada nama pemanggil Zara terus menjawab panggilan.

“Assalamualaikum.”

“Zara.. abang rindukan Zara.” Azara terdiam. Telefon bimbit yang melekap di telinga dibawa ke depan muka. ‘Private number’

“Awak ni reti bahasa ke tidak Zakri? Kan saya dah cakap jangan ganggu saya lagi. Susah sangat ke nak faham?”

“Susah Zara… Susah sangat sebab abang masih sayangkan Zara.”

Tubuh bersandar malas di sofa. “Macam ni ajelah Zakri, awak dah pilih kakak saya jadi lebih baik awalk tumpukan perhatian pada hubungan awak dengan kakak saya sebab saya tak minat nak dengar penjelasan awak.”

“Zara dah tak sayangkan abang?”

Okay, soalan ini dia tak minat nak jawab sebab kalau dia sebut tidak sekalipun Zakri takkan percaya. Zakri akan persoalkan semula perasaan mereka selama tujuh tahun dulu.

Panggilan telefon ditamatkan. Malas nak layan orang gila macam Zakri. Tak faham bahasa langsung!




Razlan melangkah masuk ke dalam rumah. bibirnya bersiul gembira. Seronok sangat menghabiskan masa bersama Azara. Tak sangka Azara sangat comel dan periang!

“Hai, seronok sangat anak mama ni kenapa? Jumpa umi ke?” Razlan tepuk dahi. Umi.

“Mama, alamak… Alan lupa yang Alan ada janji dengan umi malam ni. Aduhai…” Razlan berjalan ke arah Puan Sofiah yang sedang menonton televisyen di ruang rehat.

“Umi ada call mama tak?”

“Buat apa nak call mama kalau dah janji dengan Alan?”

Razlan mengeluarkan Iphone dari kocek seluar jeansnya. “Bateri habis tadi..” Telefon ditayangkan dia depan Puan Sofiah.

“Alan naik dululah. Nak charge phone lepas tu nak call umi.” 

“Tak perlulah call umi, mama dah cakap dengan umi tadi Alan ke Melaka. Alan tu pun satu, dah berjanji dengan umi tak reti nak tepati janji.”

Razlan bergerak ke arah Puan Sofiah. “Alan memang terlupa sangat ma.. Langsung tak ingat. Sumpah!”

“Iyelah, mama dah cakap dengan umi. Umi tak marah pun. Tapi esok Alan jangan lupa telefon umi, minta maaf dengan umi.”

“Baik mama yang tersayang. Alan naik dululah, nak mandi. Lepas tu nak tidur. Mama ni buat apa belum tidur?”

“Tunggu Alan baliklah. Nak sampaikan pesanan umi ni.. Alan tu merayap sampai ke mana entah lama sangat. Keluar pagi tadi, ini dah malam baru nampak muka!” Puan Sofian menyentuh lembut tangan Razlan yang melingkari bahunya.

“Alan ada hal lepas majlis tadi. Alan naik dululah mama..” Puan Sofiah mengangguk sahaja. Baru sampai anak tangga kedua Razlan menoleh semula. “Ma, Melda tak datang ke hari ni?”

“Balik rumah mertua dia. Sunyi rumah mama hari ni.. Siapa pun takde.” Razlan sengih. Sofinas dengan Najib bawa anak-anak mereka ke Zoo Negara. Ingatkan Emelda dengan Adnan akan datang rupanya balik rumah mak dan ayah Adnan pula.

“Sorry lah mama, Alan ingatkan Mel nak datang sini tadi..”

“Takpe lah Alan.. Dah nasib mama tinggal sorang-sorang nak buat macam mana..” Puan Sofiah tidak memandang wajah Razlan. Kononnya merajuk.

Razlan menuruni anak tangga dan melangkah mendapatkan Puan Sofiah semula. “Sorrylah mama. Alan memang tak tahu yang Mel ada program lain hari ni. Kalau Alan tahu memang Alan akan temankan mama tapi Alan dah berjanji dengan budak-budak tu terpaksalah Alan pergi juga, kalau tak kesian dorang ma..” Razlan tahu mama dia akan kalah kalau cakap pasal anak-anak yatim.

Bukannya mama dia tak pernah ke sana. Pernah berkali-kali dan mama juga sukakan mereka.
“Budak-budak semua sihat?”

“Sihat ma. Kak Bada kirim salam pada mama.” Puan Sofiah mengangguk sambil menjawab salam di dalam hatinya.

“Baik hati Bada tu jagakan budak-budak tu kan Alan. Susah nak cari orang macam dia.. Bukannya tak ada ijazah tapi dah minat dia nak membantu orang lain sanggup korbankan ijazah buka rumah anak-anak yatim. Mulia sungguh hati dia.”

Razlan angguk. Dia kenal Badariah semasa wanita itu menghantar permohonan dana kepada syarikatnya dua tahun yang lalu. Selepas dia sendiri turun ke Melaka untuk melihat rumah anak Yatim Al-Badariah hatinya disentuh rasa sayu melihat keadaan rumah yang serba kekurangan dan anak-anak yatim yang hidup susah.

Sejak itulah dia berusaha membina rumah yang baru untuk budak-budak itu. Selepas itu barulah dia berasa lega dan lapang melihat keadaan meraka yang kini sudah jauh lebih selesa berbanding sebelum ini.
“Alan pergi dengan siapa?”

“Kawan Alan.”


Puan Sofiah angkat kening. Kalau sebut kawan ni maksudnya bukan Firdaus. “Perempuan ke?” Puan Sofiah senyum penuh makna.

“Adalah kawan Alan.. mama tak kenal.”

“Alan tak sebut namanya sebab tu mama tak kenal. Cuba Alan sebut nama kawan Alan tu mungkin mama kenal..” Puan Sofiah memujuk anak bujangnya. Pandai anak dia berahsia dengan dia sekarang ini. dulu masa jatuh cinta dengan Izreen macam-macam tips memikiat Razlan minta daripada dia.

“Ala.. kawan biasa aje ma.”

“Izreen?” Razlan tersentak apabila sebaris nama itu disebut mamanya,. Rasanya dah lama Puan Sofiah tidak menyebut nama Izreen di depannya.

“Bukanlah. Kawan lain.” Bibir Puan Sofiah mekar dengan senyuman. Lega bila anak bujang dia sudah mula move on. Ingat lagi selepas dua minggu putus cinta Razlan macam harimau lapar. Asyik nak cari pasal dengan orang aje.

Sampai suami dia balik mengadu di rumah sebab ramai pekerja yang bercakap pasal sikap kasar Razlan semasa di pejabat. Siapalah yang jadi mangsa Razlan pun dia tidak tahu. Kasihan siapa yang jadi mangsa anaknya. Ketika itu Razlan keluar awal pagi, balik lewat malam. Banyak kerja katanya. Entah apa yang kerja banyak sangat dipejabat pun dia tidak tahu.

“Alan tak mahu cakap dengan mama ke siapa kawan perempuan Alan tu?”

“Siapa cakap perempuan? Alan takde sebut pun.”

Puan Sofiah tayang riak terkejut. “Habis tu takkan Alan ke sana dengan lelaki?”

“Alan naik dululah ma. Nak mandi. Lepas tu tidur. Mama pun naiklah, papa tak balik kot malam ni.”

“Alan cakaplah dulu dengan mama siapa kawan yang Alan bawa ke Melaka tu..”

“Ala mama ni nanti-nantilah. Alan belum kenal dia sangat. Nanti bila Alan dah sedia Alan bawalah dia balik jumpa mama.”

“Janji?”

“Iye, Alan janji dengan mama. Alan naik dululah ma..Mama tak nak naik lagi ke?”

Puan Sofiah mengangguk. “Kejap lagi mama naik. Papa takde cakap apa-apa dengan mama pun hari ni dia nak ke mana.”

“Alan naik dulu ya, ma..” Satu kucupan singgah ke dahi Puan Sofiah.

Razlan berlalu ke tingkat atas. Penat sangat.