Tuesday, 16 December 2014

Part 1 - Bali Cintaku

Tuala mandi yang masih membalut kepala lekas-lekas ditanggalkan. Tanpa berfikir panjang, laju sahaja tuala itu mendarat di atas katil miliknya.
“El! Lama lagi ke? Cepat sikit..” Terdengar namanya dilaung dari ruang bawah, Eleena pantas mencapai sikat rambut.
“Lima minit. El tengah sikat rambut!” Balas Eleena dari biliknya.
Itulah bangun lambat lagi. Kalau dia bangun terus selepas solat Subuh tadi pasti tidak kelam-kabut seperti ini. Penerbangan dia pada pukul 12.25 minit tengah hari, tapi entah macam mana dia boleh tersasar tidur sampai pukul 10.30 pagi. Sekarang ja m hampir menunjukkan pukul 11.05 pagi.
Sebaik sahaja ternampak kelibat Eleena menuruni tangga, Haji Zamarul terus membebelkan anak daranya. “Papa dah suruh bangun awal, El degil. Kalau lepas Subuh tak perlu tidur, bukannya mati pun kan?”
“Ala papa, sorry.. El mengantuk sangat. Semalam El balik pukul 3 pagi tau siapkan tempahan orang kahwin..”
Alasan! Ada sahaja alasan yang akan terbit dari mulut Eleena. Anak bongsunya ini memang degil. “Dah jom cepat. Kalau kena tinggal bukan salah papa dan mama ya.”
Eleena pantas berlari anak menuju ke muka pintu. Sepasang kasut disarung ke kaki. “Papa bawa kereta laju-laju tau! El dah lambat ni..”
Hajah Arafah menggelengkan kepalanya. Anak bongsu mereka tidak habis-habis buat hal. “Awak tu yang bangun lambat, nak suruh papa pula pandu kereta laju-laju. Bahaya tahu tak?”
Eleena ketap bibirnya rapat. Kalau menjawab maunya dia kena ceramah dengan Hajah Arafah lebih panjang lagi.
“Jomlah kita..”
Eleena menarik nafas lega! Nasib baik sempat check-in penerbangan. Kalau tak rugi duit dia hampir tujuh ratus ringgit demi tiket penerbangan ini.
“Betul ke El pergi Bali sorang diri aje ni?”
Eleena pandang wajah Hajah Arafah. “Mama ni macam tak percayakan El aje.. Bukannya El tak pernah melancong seorang diri.”
“Bukan tak percaya, mama cuma tanya aje. Manalah tahu kot-kot berteman kali ni..” Balas Hajah Arafah sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi berdepan dengan deretan kedai menjual barangan kulit di KLIA. “El jangan buat hal ya..”
Keluhan kecil dilepaskan perlahan. “El pergi seorang diri ma.. Kalau mama tak percaya, mama boleh beli tiket sekarang dan ikut El sampai ke sana.”
Ish, mama ni tak habis-habis nak cari pasal dengan dia. Ini semua Abang Emran punya pasal pergi bocorkan rahsia dia keluar dengan Shahrin dua minggu lepas. Dia jumpa Shahrin tu bukan saja-saja aje tapi sebab hal besar.
“Kalau mama tahu ada yang ikut El ke sana, siap El dengan mama!”
Eleena garu kepala yang tidak gatal. Wajah Haji Zamarul dipandang sekilas. Tiada riak pelik diwajah tua itu.
“Okay lah mama, papa. El nak masuk dulu. Jumpa empat hari lagi ya.”
“Jangan pula nanti hari keempat hantar mesej dekat mama tak jadi balik lagi..”
“Ish, awak ni Pah.. Asyik nak marahkan El aje. Dah la tu.. Anak beranak bergaduh dekat airport ni, buat malu saya aje.” Bidas Haji Zamarul.
“Saya ni risaukan El ni abang oi.. Asyik pergi merantau entah ke mana.. Sikit-sikit berjalan.. Duit tu simpan buat kahwin.. buat beli rumah lagi elok.”
“Ha, dah tu El nak kahwin awak juga yang tak izinkan dulu..”
Eleena tersenyum kecil mendengar cara Haji Zamarul menyidir mamanya. “Dah la tu.. El belum nak kahwin lagi. Nanti El nak kahwin El bagitau ye. Mama dengan papa kena sponsor anak bongsu kahwin.”
Sempat Eleena berseloroh dengan mama dan papanya sebelum berangkat.
“Banyak cantik muka awak ye Eleena! Dah, pergi masuk. Nanti kena tinggal dengan kapal baru tahu.” Haji Zamarul menggosok kepala anaknya. Dah nama pun anak bongsu, haruslah manja dengan dia dan isterinya.
“El ingat pesan mama.. Jangan buat yang bukan-bukan. Jaga maruah diri. Jaga nama mama dan papa baik-baik.”
Eleena merangkul tubuh Hajah Arafah ke dalam pelukannya. “Nanti El bawa balik calon menantu untuk mama ya. Yang tubuh tegap-tegap tu sebab selalu surfing.”

Hajah Arafah segera merungkaikan pelukan. “Astaghfirullah hal’azim budak bertuah ni. Jangan nak menggatal sangat boleh?”
“Laaa, tadi mama juga yang suruh kahwin.”
“El nak mama seret El balik ke rumah semula ke?”
Eleena bergerak dua langkah ke belakang. “El main-main ajelah. Nanti El carikan menantu doktor untuk mama ya.”
“Ish budak bertuah ni memang nak kena betul!”
Eleena segera berjalan laju ke arah pegawai di pintu masuk pelepasan antarabangsa sebaik sahaja nampak mamanya mahu menangkap dia sambil tergelak kecil.
“Love you ma. Bye!” Ujar Eleena sebelum menaiki escalator menuju ke bawah bangunan.
Sebaik sahaja kelibat Eleena hilang dari pandangan mata, Haji Zamarul dan Hajah Arafah bergerak meninggalkan kawasan pelepasan dan berjalan sambil berpegangan tangan menuju ke tempat parkir kereta.
“Abang percaya ke El ke Bali seorang diri?”
“Allahuakbar.. Pah. Kan El dah cakap dia ke sana seorang diri. Takkan awak tak percayakan dia?”
“Abang, Pah bukan tak percayakan El. Pah tak percayakan Shahrin tu!”
“Biarlah budak-budak tu buat keputusan mereka sendiri. Kita doakan yang terbaik ajelah untuk mereka berdua tu Pah..”
Hajah Arafah melepaskan nafas berat. “Shahrin tu tak sesuai untuk El. Pah tak setuju kalau dia masih nak pilih Shahrin sebagai bakal suami dia.”
“Kalau itu pilihan El, kita sebagai mak bapak redhakan ajelah.” Balas Haji Zamarul sambil menepuk perlahan tangan isterinya. Dia tahu hajah Arafah bimbangkan Eleena. Mereka berdua juga tahu Eleena ke Bali untuk menenangkan fikirannya yang berserabut.
“Entahlah bang. Hati saya ni bimbangkan El.”
“Doakan keselamatan dia dan kesejahteraan dia.. Ya?”
Hajah Arafah senyap seribu bahasa. Hanya Allah sahaja yang tahu hati dia.
Tiket ditangan dikipas perlahan ke mukanya. Terasa panas pula dalam ruang menunggu ini. Mungkin kerana dia berjalan terlalu laju menuju ke sini.
Mendengar pengumuman masuk ke kapal, Eleena lekas-lekas mengangkat beg sandangnya dan berjalan menuju ke pintu masuk.
“Bali miss?”
Eleena tersenyum manis sambil menganggukkan kepalanya kepada wanita yang menunggu di pintu masuk itu.
“Your ticket please.”
Tiket beserta passport diserahkan kepada wanita muda itu.
“Silakan.”
Eleena melangkah masuk sambil berjalan perlahan menuju ke arah pintu kapal. Kepala ditoleh ke belakang. Lega, dia merupakan penumpang terakhir yang akan melangkah masuk ke dalam penerbangan ini.
Mata melilau mencari nombor tempat duduknya.
There!
Laju sahaja kaki melangkah menuju ke tempat duduknya. Tiba-tiba dia kaku.  Eh? Mata kembali menatap sekeping tiket di tangan. 28A.
Dah kenapa pula ada orang duduk tempat dia?
“Excuse me sir. Can I see your ticket number please.”
Eleena terkaku sebaik sahaja manusia yang duduk di tempatnya ini menarik jaket yang menutupi wajahnya.
Subhanallah! Orang ke bidadara syurga ni? Mak ai, kenapa kacak sangat?
“Yeah, sorry?”
“Oh. Takde apa-apa.”
Eleena! Kau dah kenapa takde apa-apa pulak? Tadi nak duduk tepi tingkap sekarang kau gagap pula bila nampak lelaki handsome?
Liur ditelan perlahan.
“Awak nak duduk tepi tingkap ke?”
Perlahan Eleena mengangguk. Memang dia suka duduk di bahagian tingkat. Suka kalau dapat melihat pemandangan bawah dari atas. Melihat kebesaran Allah swt.
“Sorry ya, saya ingat takde orang tadi sebab kapal dah nak berlepas..”
Eleena senyum kecil. Dia memang terlambat pun.
Lelaki itu bangkit memberi laluan untuk Eleena masuk ke bahagian dalam. Kemudian dia duduk semula. “maaf ye saya betul-betul ingat takde orang tadi.”
“Eh takde apa-apalah. Hal kecil aje tu.” Eleena mengangkat kedua-dua tangannya ke paras dada tanda menunjukkan bahawa dia langsung tidak mengambil hati atau marah dengan kejadian sebentar tadi.
“By the way, nama saya Zaidan Hakim but you can call me Eden”
Amboi, nama pun bukan main sedap! “Eleena. Boleh panggil El je.”
“Orang KL?”
“Selangor lagi tepat kot. Saujana Putra.”
Zaidan tergelak kecil. “Betullah tu, memang Selangor walaupun sebelah aje dengan KL.”
Eleena senyap. Tidak tahu apa yang dia nak bualkan dengan Zaidan. Dia bukannya peramah sangat dengan orang yang tidak dikenali.
“Bali ke?”
Eleena tergelak sedikit. Soalan bodoh apa yang Zaidan soal kepada dia? Penerbangan ini kan ke Bali, memang sah-sah lah dia akan ke Bali. Takkan dia nak ke Melbourne pula?
“Oh sorry. Penerbangan ke Bali, takkan nak ke India pula.. kan?” Giliran Zaidan pula ketawa dengan soalan bodoh sendiri sebentar tadi. “Seorang aje ke atau terpisah tempat duduk dengan kawan lain?”
Perlukah dia jujur dengan Zaidan? Adakah lelaki yang baru dikenalinya beberapa minit lepas adalah lelaki yang baik? Dia langsung tak pernah kenal lelaki ini. “Aaa.. Ada kawan. Tempat duduk tak sama.”
Mungkin lebih selamat macam ni. Buatnya Zaidan lelaki jahat, ikut dia sampai ke hotel kemudian merompak dia.. Tak ke naiya aje dia nanti? Itu tak apa lagi, kalau Zaidan robek maruah diri dia macam mana?
Allah!
Semoga Allah melindungi dirinya dari manusia jahat dan kejam.
Eleena membuang pandang ke luar tingkap. Hanya putih dan langit kebiruan yang kelihatan. Dia terlepas pemandangan ketika kapal meninggalkan daratan. Pemandangan yang paling dia sukai. Ish, ni sebab Zaidanlah ni tanya dia macam-macam sangat.
Teringat akan sesuatu, Zaidan menoleh ke arah Eleena. Namun apabila melihat Eleena yang asyik memandang ke arah luar tingkap seperti tidak berminat untuk berbual, Zaidan juga turut diam. Janggal agaknya berbual dengan seseorang yang baru dikenali.
Pertanyaan yang mahu ditanya tadi mati seperti itu sahaja.
Zaidan berjalan seiringan dengan Eleena bergerak ke arah imigresen di Ngurah Rai Airport. “Mana kawan-kawan awak? Belum turun lagi ke?”
“Oh, dah turun.. Dorang dah keluar awal lagi.” Eleena terus bergerak laju meninggalkan Zaidan di belakangnya.
“Eh, El.. Tunggulah kita jalan sama-sama.” Zaidan bergerak mengejar Eleena yang sudah jauh meninggalkan dia beberapa tapak di belakang.
Selesai dengan proses Imigresen, Eleena gelisah sendiri. Takkan si Zaidan ni nak ikut dia sampai ke hotel kot? Dari tadi asyik menyendeng dengan dia aje. “Awak nak ke mana? Kawan awak takde ke?”
“Saya bercuti sorang aje dekat sini. Takde kawan-kawan.” Senyuman yang dilemparkan oleh Zaidan membuatkan jantung Eleena berdetak laju.
“Kalau macam tu okay lah, saya gerak dulu. Kena cari kawan-kawan saya ni. Handset takde buat roaming lah pulak.”
“El!” Eleena berpaling ke belakang sebaik sahaja terdengar namanya dilaung kuat. Siapa pula yang kenal dia dekat Bali ni? Terbang beribu kilometer jauh dari Malaysia pun masih ada yang kenal?
Shahrin.
Eleena memandang wajah Zaidan dihadapannya semula. Mesti Zaidan ingat dia datang dengan Shahrin.
“Oh, ini kawan awak ye.. Patutlah segan nak bagitahu tadi ye. Kawan special ke?” Zaidan mengusik nakal.
“Bukan macam tu Eden.. Er.. Em..”
Argh! Macam mana Shahrin tahu dia dekat sini?
“El! Puas abang cari El satu airport ni tau.. rupanya El masih dekat sini. Lambatnya El keluar.”
Eleena buat-buat tidak mendengar butir bicara Shahrin. Malas nak dengar sebenarnya. Dia dah banyak kali cakap dengan Shahrin jangan ganggu dia! Lagi dia cakap, lagi Shahrin galak menganggu. Memang dasar tak reti bahasa betul!
“What are you doing here?” Soal Eleena perlahan tetapi sedikit keras.
“Of course abang cari El!”
Melihat situasi yang kurang mesra antara Eleena dan Shahrin, Zaidan menyampuk. “Zaidan.” Tangan dihulur kepada Shahrin.
Shahrin spontan menyambut huluran tangan Zaidan. “Shahrin. Bakal suami Eleena.”
Eleena ternganga kecil. Amboi, berani betul Shahrin perkenalkan diri sebagai bakal suami dia ya? Depan Zaidan bolehlah, kalau depan hajah Arafah ada kau berani nak memperkenalkan diri macam tu?
“Okay lah El, saya better gerak dulu. See you around.”
Eleena hanya memerhatikan sahaja Zaidan yang bergerak meninggalkan dia bersama Shahrin. “Apa awak buat dekat sini, hah?”
“Kenapa El layan abang macam ni?” Soal Shahrin tidak berpuas hati dengan layanan Eleena kepadanya.
“Oh.. Kenapa layan awak macam ni? Habis saya kena layan awak macam mana Shah?” Sinis pertanyaan Eleena kepada Shahrin. Eleena bergerak mahu meninggalkan Shahrin. Tiba-tiba tangannya dipaut oleh Shahrin.
“Abang minta maaf okay. Abang janji abang akan betulkan semua masalah yang abang timbulkan.”
“Saya tak datang sini sebab nak berbincang masalah kita. Saya ke sini sebab nak tenangkan fikiran saya. Kalau boleh, saya minta tolong sangat dengan awak, jangan ganggu saya dekat sini.” Kaki pantas bergerak mencari teksi. Dia mahu jauh daripada Shahrin.
p/s : Tak bole tidooo sebab petang tadi tertido masa tengok tv. Husband pulak kerja, duduk sorang-sorang dari siang sampai ke malam. T_T' Maka terhasillah satu cerita pendek ini. Memang tak panjang. InsyaAllah esok lusa sambung lagi.
Semoga terhibur ya.

Love,
Sri.

Monday, 27 October 2014

Bab 24 Cinta Jangan Sakiti Aku


Walaupun telah ditegah oleh Nora, Alissa tetap juga melangkah masuk ke dalam bilik Zafril tanpa mempedulikan Nora yang cuba menarik-narik lengan dia supaya keluar. Bimbang dimarahi oleh Zafril yang telah pun mengingatkan dia agar memberitahu kepada Zafril terlebih dahulu jika ada sesiapa yang mahu berjumpa dengannya.
“Takpe, Nora. Awak boleh keluar.”
Alissa senyum kemenangan. Bye-bye Nora.
Kaki melangkah ke meja kerja Zafril. Nama ajelah meja kerja tapi rasanya lelaki ini takdelah buat kerja apa sangat. Entah kerja apa yang dibuat oleh Zafril setiap hari pun dia tidak pasti. Kerjanya menyusahkan dia adalah, nak-nak hari ini.. Lagilah Zafril sengaja buat dia sakit hati.
Ada aje benda yang nak digaduhkan.
Perangai hodoh!
“Ambil balik fail awak ni.”
Kening Zafril hampir bercantum. Takkan Adelia dah siapkan kerja kot? Baru pukul 10.00 pagi sekarang ini. Dalam masa satu jam boleh siap semak semua fail ini? Hebat sangat.
“Dah siap ke?”
“Temgoklah sendiri..” Tanpa rasa bersalah Alissa mengarahkan Zafril.
Zafril mengambil fail paling atas yang diletakkan oleh Alissa sebentar tadi. Fail ditutup kasar. “You jangan nak main-mainkan I, Lisa!”
Darah naik ke kepala. Alissa nak bodohkan dia ke apa sekarang ini. Masih banyak kesalahan ejaan yang belum dibetulkan.
“Adelia ada kerja lain yang perlu diselesaikan.. Takde masa nak siapkan kerja Nora.”
Zafril menolak kasar kerusi kulit yang didudukinya ke belakang. Kaki melangkah ke arah Alissa. “You jangan nak pandai-pandai buat keputusan dekat sini.I am your boss!” Lurus jari telunjuk ke hidung Alissa. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia rasa bengang sangat dengan Alissa hari ini.
Mungkin sebab wanita itu tidak menjawab panggilan dia selama dua hari agaknya. Bila nampak muka Alissa hari ini terus rasa nak marah! Dia bimbangkan Alissa separuh mati, boleh pula Alissa buat bodoh sahaja bila jumpa dia pagi tadi.
“Ini kerja diluar bidang tugas. Kalau Encik Zafril tak berpuas hati, kita boleh selesaikan benda ini dengan cara lain. Jumpa dengan Datuk Ibrahim, mungkin?”
Alissa tahu Datuk Ibrahim seorang yang bertimbang rasa. Ketua yang amanah dan bertanggungjawab. Tak mungkin bagi kerja diluar bidang tugas kepada pekerjanya. Adelia ialah pereka fesyen, kenapa pula nak buat kerja pengkeranian?
“Oh, dah pandai nak gunakan papa I..”
“Saya tak gunakan sesiapa..”
“You sedar tak Adelia tu pekerja di syarikat I. I ada hak nak arahkan dia buat apa-apa kerja yang I rasakan perlu..”
“Sedar dan saya juga sedar yang kami ni pereka fesyen bukannya kerani. Kita ada beberapa orang kerani di syarikat kita, kenapa Encik Zafril tak minta mereka yang semak laporan ini? Membazir aje bayar mereka gaji tinggi..”
Berani sahaja Alissa melawan Zafril.
“Lagipun Adelia perlu bantu saya untuk siapkan koleksi yang Encik Zafril mahukan. Datuk yang lantik dia sebagai pembantu saya untuk belajar lebih banyak perkara tentang selok-belok dunia fesyen..”
Zafril menahan geram. Geramnya!
“Jadi you nak lawan arahan I?”
Zafril tunduk sedikit mendekatkan wajahnya dengan wajah Alissa. Alissa lebih rendah berbanding dia.
Terkejut dengan tindakan Zafril, Alissa melangkah sedikit ke belakang sebelum Zafril menarik lengan Alissa dan mencengkam kuat lengan itu.
“Kalau I bagi apa-apa kerja, jangan membantah! Siapa you nak bantah apa yang I arahkan?”
Siapa you nak bantah apa yang I arahkan..
Siapa you nak bantah apa yang I arahkan?
Siapa you nak bantah….
Alissa terasa seperti mahu menangis! Ayat inilah yang Zafril ulang-ulang selama lima tahun lepas. Ayat sama untuk merendahkan dia di mata lelaki itu.
“Saya nak berhenti kerja!”
“What?”
“Saya akan berhenti kerja kalau Encik Zafril tak suka dengan hasil kerja saya… Tak suka dengan cara kerja saya.” Ini kali kedua dia mengugut mahu berhenti kerja. Kalau Zafril terus bersikap diktator seperti ini dia memang sanggup berhenti kerja.
Dah lama dia fikirkan soal ini.. Husna juga mula bising tentang hubungan dia dengan Zafril. Mahu dia berada jauh dengan lelaki itu. Mahu dia menerima lamaran daripada Syahmi. Kononnya umi pasti merestui perjalanan hidup dia bersama Syahmi.
“Jangan berani ugut I.”
Bila perkataan ugut keluar dari mulut Zafril, dia tahu apa yang Zafril akan katakan. Pastinya berkaitan abang dia, Khairi. “You won’t find Khairi. Saya berani jamin semua tu.”
Tubuh Alissa ditolak kuat ke belakang sehingga Alissa terdorong beberapa langkah ke belakang. Kini dia terperangkap di dinding. Zafril mencengkam kuat bahunya. “Jangan buat I betul-betul musnahkan you, Lisa. You sepatutnya tahu apa yang you buat pada I lima tahun lepas!”
Tangan Alissa terasa menggeletar.
Zafril lima tahun lepas kembali semula? Zafril yang sentiasa berjaya menundukkan dia? Zafril yang mengawal perjalan kehidupan dia..
Alissa mengumpul kekuatan yang ada dalam dirinya. Dia tidak boleh lemah. Dia tahu Zafril tidak tahu di mana sebenarnya Khairi.
“Lepaskan saya atau saya akan jerit.”
“I will send my man to kill Khairi, then..” Zafril berbisik perlahan di telinga Alissa sehingga membuatkan Alissa terasa mahu rebah ke lantai.
“Jangan ganggu abang aku!”
Ada sinar kaca dalam mata Alissa. Menahan tangis. Dia tidak mahu menangis di hadapan lelaki tidak guna seperti Zafril.
“Takut?”
“Berhenti ganggu hidup saya, Zaf! Apa yang awak nak daripada saya? Tak puas lagi ke awak buat saya merana selama ini?” Jeritan cuba ditahan-tahan. Kalau perkerja lain dengar macam mana? Dia tidak mahu ada sesiapa yang tahu bahawa dia dan Zafril saling berkenalan sejak sekian lama.
“I akan berhenti ganggu hidup you bila I dah puas dengan permainan kita.. You yang mulakan semua ni.. Kan?”
Alissa menggeleng laju. “Saya tak pernah mulakan apa-apa permainan. Tolonglah hentikan semua ni. Cakap dengan saya apa yang awak mahukan.”
“I tak mahu apa-apa tapi I mahu tengok you merana..” Zafril tidak pasti ayat yang dia tuturkan ikhlas dari hati dia atau dia sebenarnya keliru dengan marah yang menguasai diri,
Alissa langsung tidak memandang dia selama mereka bekerja bersama. Alissa asyik mengelakkan diri daripada dia.
Alissa cuba menjarakkan hubungan mereka! Dia sakit hati. Dia marah dengan tindakan Alissa. Dia benci!
“Saya dah cukup merana selama ini!” Kuat Alissa menjerit ke muka Zafril.
Astagfirullah hal’azim. Adakah Nora mendengar jerkahan kuat dia sebentar tadi?
Zafril melepaskan cengkaman di bahu Alissa dan menyebabkan Alissa rebah ke lantai. Terduduk sambil bersandar di dinding.
“Saya minta maaf sebab malukan awak dulu.. Sumpah Zaf, saya takde niat buruk terhadap awak. Saya cuma dah tak sanggup lagi waktu tu.. Saya tak sanggup lagi..” Langsung wajahnya tidak diangkat memandang ke arah Zafril yang berdiri memandang ke arah luar tingkap.
Masing-masing cuba menenangkan diri masing-masing. Nafas diatur perlahan mengikut tempo yang betul.
“Saya tahu saya sakitkan hati awak.. Saya tahu saya dah buat awak terseksa tapi saya berani bersumpah saya langsung takde niat nak buat semua tu untuk malukan awak.. Untuk persendakan awak..”
“Shut up!” Zafril mengetap giginya kuat. Kalau ikutkan hatinya yang mula panas mendengar Alissa mengungkit kisah lima tahun lepas, mahu sahaja dia layangkan penampar ke muka mulus Aliss tanpa belas kasihan. Mahu sahaja dia mengheret wanita itu keluar dan ditunjukkan kepada dunia betapa dia menyimpan rasa sakit hati yang amat sangat terhadap Alissa.
“Zaf.. Saya akui saya yang…”
“Diam, Lisa. Diam!”
“No, saya tak nak diam. Saya nak semuanya diselesaikan..”
Bengang dengan sikap keras kepala Alissa, Zafril menuju ke arah Alissa dan duduk melutut di hadapan wanita itu. Wajah Alissa yang basah dengan air mata ditarik kasar ke arah wajahnya. Bibir Alissa dipagut kasar menyebabkan Alissa terkejut besar dengan tindakan luar kawalan Zafril.
Alissa meronta-ronta cuba mahu melepaskan dirinya. Tangan menumbuk kasar ke dada Zafril.
“Get out.” Arah Zafril yang masih melutut di hadapannya.
Alissa terdiam di lantai. Otaknya masih memproses kejadian yang berlaku.
“Get out.” Zafril bangkit meninggalkan Alissa yang tersandar lesu di dinding dan menuju ke meja kerjanya. Kerusi kulit ditarik dan dipusing ke belakang. Tidak mahu melihat wajah Alissa yang masih menangis.
Dia tahu Alissa menahan marah yang tidak terluah terhadapnya.
Dia juga tidak percaya dengan tindakan dia sebentar tadi. Mengasari Alissa dengan cara yang paling dibenci oleh wanita itu.
“I said get out Alissa!” Suara naik meninggi. Wajah Alissa langsung tidak dipandang. Pasti Nora di luar bilik Zafril mendengar tengkingan itu.
Air mata diseka kasar. Alissa menarik nafas dalam-dalam sebelum bangkit berdiri. Kemeja yang dipakai dibetulkan sedikit. Seluar berwarna hijau tua digosok dibahagian punggung.
Masih terasa menggeletar sedikit tubuh Alissa. Masih terkejut dengan tindakan Zafril sebentar tadi.
Sekali lagi nafas diambil sebelum dilepaskan perlahan.
Tombol pintu dibuka perlahan dan Alissa melangkah keluar dari bilik Zafril. Nora yang berada diluar bilik Zafril juga langsung tidak ditoleh apatah lagi menegur gadis itu.
Langkah diatur laju ke biliknya. Dia perlu keluar dari pejabat ini sekarang juga. Rasa tak sanggup lagi nak hadap muak Zafril.
Punat pada remote kereta ditekan kuat. Alissa meloloskan dirinya ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan dan Alissa bergerak meninggalkan Ibrahim Company jauh dibelakangnya.
Kereta diberhentikan betul-betul di hadapan pejabat Syahmi. Dia tidak tahu ke mana harus dia tuju. Dia hanya ada Syahmi ketika ini.
Alissa mendiamkan diri di dalam keretanya. Perlukah dia menghubungi Syahmi?
Kepala dijatuhkan ke atas stereng kereta. Kalau dia mencari Syahmi maksudnya dia perlu berterus-terang dengan Syahmi tentang apa yang sebenarnya berlaku kepada dia hari ini. Pasti lelaki itu bimbang melihat dia menangis seperti ini.
Tangisan kian menjadi-jadi. Kenapa hidup dia jadi seperti ini? Kenapa Allah swt menduga dia sehebat ini? Kenapa Zafril perlu kembali ke dalam hidupnya semula?
Dada yang masih berdebar disentuh lembut. Tangan kiri naik menggosok bibirnya dengan kasar. Zafril menyentuh bibir dia! Zafril mencium dia!
“Tak guna! Tak guna!” Stereng kereta ditampar berulang kali. Air mata yang laju membasahi pipi dibiarkan sahaja. Alissa menangis semahu-mahunya.
Bukan Syahmi. Dia tidak boleh mengadu kepada lelaki itu. Pasti Syahmi akan bengang dengan Zafril. Silap hari bulan boleh bertumbuk dua orang sahabat itu. Brek tangan diturunkan. Pedal minyak ditekan menuju ke suatu tempat.
Tuti memeluk tubuh Alissa yang menangis teresak-esak. Terkejut juga dia tadi apabila mendapat panggilan telefon daripada Alissa yang sedang menangis bagai nak gila. Sudahlah dia kurang faham apa yang dikatakan oleh Alissa dalam telefon tadi.
“Lisa, kenapa ni.. Cakap dengan aku.”
“Aku benci dia Tut! Aku benci dia!”
Tuti menggosok belakang Alissa. Sejak tadi Alissa asyik ulang ‘aku benci dia. Aku benci dia.’ Siapa yang dibenti oleh Alissa?
“Lisa, siapa yang buat kau sampai macam ni? Kau cakap dengan aku biar aku ajar orang tu! Roslan buat kau sedih?”
Biasanya Alissa tidak menangis kalau Roslan kenakan dia tapi Alissa akan bengang dan kutuk Roslan sepuas-puas hatinya tapi kali ini Alissa menangis macam teruk sangat aje perkara yang berlaku.
“Lisa, kalau kau diam macam ni aku tak tahu apa masalah kau.. macam mana aku nak tolong kau?”
Alissa angkat wajahnya memandang wajah Tuti Liyana. “Kenapa Zafril muncul semula? Apa yang dia nak daripada aku?”
Tuti telan air liur. Alamak! Pasal Zafril ke?
“Lisa, aku dah cadangkan dengan kau supaya berhenti kerja tapi kau degil. Kau nak juga terus bekerja dengan dia.. Sekarang bila dia menyusahkan kau macam ni kau menangis. Kali ni apa dia buat pada kau?”
Alissa membuang pandang ke arah kanak-kanak yang sedang berlari-lari anak tidak jauh dari kedudukan dia dengan Tuti. “Dia ugut nak bunuh Khairi..”
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun suka kalau Si Khairi tu mati..” Laju sahaja Tuti menyokong Zafril. Lagi bagus kalau Khairi yang menyusahkan hidup orang lain tu mati. “Elok sangat kalau dia mati, takde menyusahkan orang lain dah..”
“Kau sedar tak Khairi tu abang aku! Satu-satunya abang aku di dunia ni. Aku cuma ada Khairi aje, Tut..”
“Kau aje yang cakap Khairi tu bermakna untuk kau. Khairi ru ada hargai pengorbanan kau? Ada Khairi tu cakap dia akan berubah? Takde kan?”
“Habis kau sokonglah kalau Zafril tu bunuh Khairi? Kau nak Zafril tu pula jadi pembunuh?”
Tuti mengeluh kecil. “Lisa, Zafril tu ugut kau aje. Dia takkan bunuh Khairi tu sebab dia tahu dia boleh ugut kau dengan Khairi. Kau ingat Zafril tu bodoh sangat ke?”
Kepala digeleng perlahan. “Aku dah cakap aku nak berhenti kerja tapi Zaf tak benarkan. Dia akan cari aku sampai ke lubang cacing! Kau ingat Zaf akan lepaskan aku macam itu aje ke?”
“Habis kau nak dia layan kau macam ni? Buat kau hidup dalam ketakutan dan bawah telunjuk dia? Macam tu ke kau nak hidup kau, Lisa?”
“Kau nak aku buat apa lagi Tut!” Nyaring suara Alissa menjerit ke arah Tuti. Dia sudah tidak mampu untuk berfikir lagi ketika ini. Serabut!
Tuti terdiam. Terkejut kerana Alissa menengking dia sebentar tadi.
“Tut.. Aku minta maaf. Aku tak sengaja nak tengking kau. Aku minta maaf sangat-sangat..” Bahu Tuti dirangkul dan dipeluk lembut. “Aku sayangkan kau.. Sangat!”
“Lisa, dengar cakap aku.. Kau kena buat keputusan. Lepaskan Zafril dari hati kau. Terima lamaran Syahmi. Itu yang terbaik.”
Syahmi?
“Aku tak pernah cintakan dia.”
“Belajar cintakan dia macam mana dia cintakan kau. Buka hati kau. Buat apa lagi kau nak tunggu Zafril yang takkan berubah sampai kiamat tu!” Tuti mula beremosi kembali apabila menyebut nama Zafril. Memang sejak dulu lagi dia tidak sukakan lelaki itu. Muka kacak tapi perangai hancus!
“Aku sentiasa ada untuk kau. Banyakkan berdoa. Minta petunjuk daripada Allah. Aku yakin umi dan abah kau pasti menyokong apa pun keputusan yang kau buat.”
Alissa memeluk Tuti dengan erat. Dia sayangkan sahabatnya ini. Satu-satunya kawan yang dia ada sejak zaman universiti. Kawan yang tidak pernah meninggalkan dia walau apa pun yang berlaku kepada dia.
Kawan yang sentiasa teguh berdiri untuk menyokong jatuh dan bangunnya dia.
“Thanks, Tut.”
p/s : Oh Zafril.. Apa kau buat ni? T_T' Kenapa... why oh why. 
Siapa suka Zafril dan Alissa angkat tangan? 
Ha, Sri tengah ada idea untuk cerita baru sekarang ni.. Adoi time busy ni lah ada idea mencurah-curah ke ladang gandum kan.. Nak menulis tapi masa tu takde. I jot down ajelah plot-plot cerita sebab takut lupa. Sobs! 
Rindunyaaaa nak menulis! Serius... Rasa macam tak lengkap hidup ni kalau lama sangat tak menulis. Rindu nak menghadap laptop berjam-jam sampai tak nak buat apa-apa. Heeehe.. 

Promo lagi.. Siapa yang dah baca ADDS terima kasih. Yang baca KPI double thank you.. Yang belum tu boleh dapatkan ye.. Yang mintak Sri up semua cerita dekat sini minta maaf ye sebab I can't do that.. Tapi InsyaAllah Sri dalam proses siapkan cerita yang memang habisnya di belog sahaja.. Doakan tau!

Love,
Sri Sarah.