Friday 28 December 2012

Cerpen : Aku Akan Terus Mencintaimu.


Demi cintanya kepada Faliq, Tiara sanggup lakukan apa sahaja. Walaupun tanpa restu ibu bapanya, dia sanggup berkahwin dengan Faliq. Tidak mungkin dia lupa penampar sulung Pak Hisyam di pipinya kira-kira dua tahun lalu.

“Kalau kau nak kahwin jugak, aku tak izinkan kau jejak rumah aku sampai bila-bila!” Tiara menangis di kaki Pak Hisyam. Sanggup ayahnya menghalau dia keluar dari rumah yang dia tinggal sejak lahir.

“Ayah. Tia mintak ampun. Tia mohon restu ayah. Mak, Tia sayangkan Faliq mak.” Puan Habibah duduk di sofa berwarna krim itu. Apa yang dia boleh buat kalau suaminya sudah bersuara. Dia sendiri kasihankan anak tunggalnya namun suaminya lebih berhak dalam membuat keputusan, bukan dia.

“Ayah, tolonglah Tia. Izinkan Tia kahwin dengan Faliq.” Tiara tidak boleh berputus asa. Sudah seminggu dia dikurung oleh Pak Hisyam. Faliq pula sudah mengugut mahu meninggalkan dia jika dia tidak mahu berkahwin. Ah, Faliq. Kenapa tidak kau saja yang datang menghadap ayah aku?!

Tiara melancarkan mogok. Dua minggu dia tidak bercakap dengan ayahnya. Dua minggu dia mogok tidak mahu makan. Padahal stok megi sudah disimpan dalam almari pakaiannya. Orang gaji mereka Mak Bedah pula menghantar makanan kepada Tiara secara curi-curi.

Dek kerana kerisauan melihat Tiara yang mogok tidak mahu makan, akhirnya Pak Hisyam mengalah. Tiara selamat dinikahkan dengan Faliq, jejaka idaman universitinya dengan syarat Tiara tidak boleh kembali ke rumah keluarganya lagi. Pak Hisyam membuangnya dari keluarga.

“Tia, jangan tinggalkan mak. Tia… Abang, jangan buat Bibah macam ni bang. Tiara satu-satunya anak kita bang!” Tiara memeluk erat Puan Habibah. Air matanya gugur kerana terpaksa berpisah dengan ibunya namun kerana perjanjian dengan Pak Hisyam, Tiara terpaksa. Dia akur kerana dia yang memilih untuk bersama Faliq. Dia yakin Faliq akan membahagiakannya.

Kerana cinta, Tiara sanggup membuang keluarganya. Kerana cinta, dia meninggalkan ibunya yang sangat mengasihinya.


“Abang janji Tia akan jadi suri dalam hidup abang untuk selama-lamanya!” Faliq mengangkat kelima-lima jarinya sebagai tanda angkat sumpah.

Tiara memeluk Faliq. Merenung langit kelam.

Satu ciuman singgah di dahi Tiara. “Tia.”

“Hmm…”

“Abang rasa kita patut rancang keluarga kita.” Tiara angkat kepalanya yang sedang elok dilentokkan di dada Faliq.

“Kenapa? Abang nak Tia terus mengandung ke?”

Faliq menggeleng sambil tersenyum. “Abang nak Tia habiskan belajar dulu lepas tu baru kita fikirkan pasal anak. Abang pun muda lagi, baru dua puluh dua, Tia pun baru aje dua puluh. Banyak lagi masa kita ada. Okay?”

Tiara tersenyum. Selamat! Ingatkan nak suruh dia terus mengandung. Sebenarnya Tiara sendiri pun masih belum mahu mempunyai anak. Dia masih terlalu muda. Baru dua puluh tahun. Tunggulah dua tiga tahun lagi. Lagipun dia masih ada empat semester untuk menamatkan ijazahnya. Sabar sikit Tiara!



“Abang nak makan apa? Biar Tia masakkan lauk special untuk abang malam ni.”

“Abang tak nak makan apa-apa. Abang nak makan Tia.”

Tiara ketawa melihat wajah miang suaminya. “Abang jangan nak mengada-ngada. Tia ada assignment nak kena submit esok. Malam ni abang kena puasa.” Tiara ketawa kuat.

Faliq berdengus perlahan. Melepas!

“Tia masakkan abang nasi goreng ye. Abang tunggu sekejap, bagi Tia dua puluh lima minit. Nanti kita makan sama-sama.” Tiara mengucup lembut pipi suaminya.

Belum sempat Tiara berlalu, Faliq menarik lengan Tiara. Tiara jatuh terduduk di riba suaminya.

“Abang. Tia nak masak ni. Nanti perut masuk angin.” Tiara menolak lembut wajah Faliq yang mendekati wajahnya.

“Takpe, abang boleh puasa makan malam ni.” Bibir Faliq bersatu dengan bibir Tiara. Penolakan awal tadi sudah bertukar menjadi kemahuan. Tiara yang bising bercakap itu ini diam dalam pelukan Faliq.



Sedar tidak sedar, sudah hampir sembilan bulan Tiara dan Faliq berkahwin. Hubungan Tiara dan Faliq juga semakin kukuh. Faliq melayani Tiara dengan sangat baik. Faliq juga sudah mula bekerja di syarikat Datuk Rahim iaitu syarikat milik keluarga Faliq sendiri.

Tiara juga semakin sibuk dengan peperiksaan yang semakin hampir. Dia perlu mengekalkan kedudukan sebagai antara pelajar terbaik dalam alirannya. Tiara bercita-cita untuk menyambung pelajaran di luar negara. Tawaran ke United Kingdom kira-kira dua tahun yang lalu terpaksa ditolak kerana Pak Hisyam tidak membenarkan dia ke sana. Bimbang dia seorang diri di perantauan.

Ah. Tawaran akan datang tidak akan ditolak kerana peluang kedua bukan datang berkali-kali. Dia akan bawa Faliq bersama nanti!

“Rajinnya isteri abang ni study.” Tiara memandang suaminya.

“Abang dari mana? Lewatnya balik kerja.”

Faliq tersenyum manis. Dahi isterinya dicium.

“Wanginya. Abang dari mana ni?”

Faliq mencium kemeja kerjanya sendiri. “Mana ada wangi. Abang tak bau apa pun.”

“Iye, Tia bau macam minyak wangi perempuan.”

Faliq ketawa kuat.”Isteri abang cemburu ye. Mana ada bau minyak wangi perempuanlah. Ini minyak wangi mama ni, tadi abang singgah rumah mama. Mama peluk abang kuat sangat sampai lekat bau minyak wangi dia.”

Tiara angguk faham. “Mama sihat? Kesian mama, lama Tia tak singgah jenguk mama.”

“Mama kirim salam dekat menantu dia.” Tiara angguk lagi.

“Abang naik mandi dulu ye.” Tiara menghantar Faliq dengan ekor matanya.

Nafas ditarik dalam-dalam. “Fokus Tiara, fokus!” Buku kembali ditarik rapat ke dadanya. Pen yang terselit di celah telinga dicapai semula. Tangan Tiara ligat menyalin isi penting dari buku rujukannya. Peperiksaan tidak lama lagi. Dia perlu cepat menghabiskan semester ini.



Siapa kata belajar tidak meletihkan? Sangat-sangat meletihkan, tahu? Tiara mengeliat sambil bangkit menolak kerusi berwarna biru itu ke belakang. Tangannya ligat mengemas meja yang penuh dengan buku-buku rujukan.

Kaki melangkah keluar meninggalkan perpustakaan universiti. “Tia!”

Mendengar seseorang melaungkan namanya Tiara pantas menoleh ke belakang.

“Imran!” Sengihan di bibir Tiara kian melebar.

“Nah.” Imran menghulur satu sampul berwarna putih kepadanya.

Tiara memandang Imran dengan pandangan pelik. Melihat anggukan di kepala Imran, Tiara menyambut juga huluran Imran.

Application form? Untuk apa ni?”

“Sambung masters di UK. Saya akan ke sana. Kalau suami awak izinkan, saya ada teman nanti.” Senyuman Imran tidak dibalas. Tidak tahu bagaimana sepatutnya dia memberikan reaksi ketika ini.

Thanks!”

“Awak nak apply tak? Kalau awak nak hantar borang tu, Isnin depan awak kembalikan kepada saya. Nanti saya tolong hantarkan borang awak sekali.” Tiara angguk perlahan.

“Angguk tu tandanya nak apply atau faham arahan saya?” Tiara tergelak kecil. Ya tak ya juga, dia hanya mengangguk tadi.

“Saya fikirkan dulu. Awak fahamkan, saya dah ada suami. Saya kena minta izin suami saya dan keluarga saya. Kalau saya dah isi borang ni, saya serahkan dekat awak minggu depan.”

Giliran Imran pula mengangguk.

“Saya balik dulu, Tia.”

“Im.” Imran yang sudah melangkah dua tapak menoleh semula.

Tiara mengangkat sampul surat sedikit ke udara “Thanks!”. Imran mengangguk dan membalas senyuman Tiara.

Tidak mungkin dia akan lupa pengorbanan Imran menemani dia belajar pada waktu malam, memberikan tunjuk ajar terhadap perkara yang dia tidak tahu dan sering menemaninya keluar untuk memilih hadiah untuk Faliq. Imran adalah sabahat yang terbaik pernah dia kenali.



Jika sebelum dia berkahwin, dia sering berkepit dengan Imran, namun hubungan Tiara dan Imran semakin renggang selepas Tiara berkahwin dengan Faliq. Mungkin Imran tidak mahu menimbulkan fitnah dalam kalangan pelajar kampus, jika dia asyik berkepit dengan Imran, apa pula kata mereka nanti.

Jika enam bulan pertama perkahwinan mereka Tiara merasakan seluruh kehidupan ini adalah miliknya, kenapa hampir setahun berkahwin Tiara rasa semakin terpinggir? Adakah kerana kesibukannya dalam menghabiskan ijazahnya atau kerana kesibukan Faliq dalam membina kerjaya?

Setahun berkahwin, mereka hanya pernah pergi ke Bali. Itu pun semasa bulan kedua perkahwinan mereka. Malah setiap bulan Faliq membelikan dia bunga sebagai hadiah ‘months anniversary’. Bunga ros yang sejambak besar itu hanya diterima sehingga bulan kelapan perkahwinan mereka.

Bulan kesembilan hingga kini, tiada lagi ungkapan-ungkapan cinta, tiada lagi kata rindu dan tiada lagi rengekan manja daripada suaminya meminta itu dan ini daripadanya.

Dia perlu berbincang dengan Faliq. Dia perlu tahu apa yang tidak kena dengan hubungan mereka. Mereka semakin jarang berhubung. Semakin jarang bercakap. Hanya bercakap bila perlu dan Faliq pula semakin kerap pulang lewat malam.

Jam di dinding dipandang dengan perasaan geram. Pukul 11.20 malam. Sudah seminggu dia menunggu Faliq pulang. Kalau tak pukul satu atau dua pagi, jangan harap nak muncul dekat rumah mereka. Bila pulang, dia pula sudah terlena di sofa. Faliq langsung tidak mengejutkan dia. Dibiarkan dia terus terlena di sofa hingga ke pagi. Sakitnya hati!

Bila tanya ke mana Faliq pergi, kerja kerja kerja. Takkanlah pejabat sampai pukul dua pagi pun belum tutup? Banyak sangat ke projek Rahim and Friends sampai terpaksa bekerja lewat malam?

Tiara membaringkan tubuhnya di atas sofa. Remote televisyen ditekan-tekan dengan perasaan sakit hati. Takkan takde cerita yang menarik sikit kot?

“Ulangan Dilema Wanita pun bolehlah.”

Cerita yang terlayar dikaca televisyen langsung tidak menarik minat Tiara. Mata mengerling jam dinding. Pukul 12.40 tengah malam. Mata Tiara sudah mula memberat. Sesekali mulutnya menguap. Semakin lama semakin kerap mulut Tiara ternganga luas. Entah pukul berapa dia terlelap juga akhirnya.

  
“Semalam abang balik pukul berapa?”

“Sejak bila pulak Tia pandai nak ambil tahu hal abang ni?” Tiada angin tiada rebut suara Faliq kedengaran melantun kuat di telinga Tiara.

“Kenapa abang nak marah-marah ni. Tia tanya aje.”

“Tak payah tanya. Kan abang dah cakap abang ada banyak kerja di pejabat. Dah, abang nak pergi kerja!”
Tiara masih diam membeku di meja makan. Kalau tahu suaminya tak mahu bersarapan, tak payah dia masak bihun goreng pagi-pagi macam ni.

Tiara termenung di meja makan. Pelik dengan sikap suaminya sejak kebelakangan ini. Tiara mengemas meja makan. Cawan yang masih bersih kembali di letakkan di dalam almari. Teko yang masih penuh dengan air milo di simpan dalam peti sejuk. Nanti boleh minum lagi. Sayang pula nak tuang dalam sinki.

Dia perlu ke kampus. Tiara masuk ke bilik tidurnya untuk bersiap-siap. Tiba-tiba matanya terpandang sebuah objek empat segi berwarna hitam di atas meja kecil bersebelahan lampu tidur.

Kakinya pantas mendekati meja itu. Iphone 4s milik suaminya segera dicapai. Rakus jari jemari runcingnya menekan skrin telefon bimbit itu.

“Nadiya?” Bibirnya menyebut nama itu.

Tiara menekup mulutnya dengan tangan. Tubuhnya menggigil melihat gambar-gambar yang ada dalam telefon bimbit suaminya.

Tiara kembali meletakkan telefon bimbit suaminya di tempat asal. Kaki melangkah ke meja kerja suaminya. Matanya terpaku melihat satu sampul surat di atas meja itu. Tiara duduk di atas kerusi kulit berwarna hitam itu sambil menarik keluar isi dari sampul surat itu.

Lama matanya menatap isi sampul.

Menyedari bahawa dia sudah lambat untuk ke kampus, Tiara segera memasukkan semula isi sampul surat itu ke dalam sampul dan menyumbat sampul surat itu ke dalam beg sandangnya.

“Im!” Laung Tiara sedikit kuat.

Imran yang sedang bersembang dengan Razak berpaling ke arahnya. Tiara berlari kecil mendapatkan Imran.
“Saya nak minta awak tolong hantar ini untuk saya.” Tiara mengeluarkan sesuatu dari begnya dan dihulurkan kepada Imran.

“Awak dah fikir masak-masak?” Tiara angguk.

“Saya harap awak buat keputusan yang betul Tia.” Tiara mengukir senyuman.

“Doakan saya. Saya yakin dengan apa yang saya buat.”

Tiara yang baru sahaja mahu berlalu berpaling semula. “Kenapa?”

“Awak salah borang,” Tiara mendekati Imran.

Borang di tangan Imran ditarik semula.

Sorry.” Tiara paksa senyum.

“Nah.” 

Imran mengambil sampul surat dari tangan Tiara. “Kalau awak ada masalah, saya sedia jadi pendengar.”

“Masalah keluarga. Takde apa-apa yang penting.”

“Tia, tak baik pendam seorang diri. Luahkan. Awak akan rasa lega. Awak percayakan saya, kan?”

Tiara angguk. Langkah Imran dibontoti. Tiara melabuhkan duduk di sebelah Imran.


Pantasnya masa berlalu. Terasa seperti baru semalam dia bernikah dengan Faliq. Rupanya sudah dua tahun Tiara dipulau oleh keluarga sendiri. Sudah dua tahun dia hanya bertanya khabar keluarganya melalui telefon. Bukan tidak mahu bersua muka, puas dia cuba memujuk ayahnya puas dia melutut merayu memohon kemaafan, namun apa yang dia dapat? Hanya caci maki orang tua itu.

Tiara cuba bersabar. Dia tidak boleh melatah. Dia perlu kuat untuk menempuhi semua ini. Ini adalah dugaan. Mana ada pasangan suami isteri yang tidak dilanda badai. Dia juga kadang-kadang terkena tempiasnya.

Jika dugaan sekecil ini dia sudah mengalah, bagaimana mahu bedepan dengan cabara yang lebih hebat pada masa akan datang?

Siapa kata kahwin itu mudah?  Dia sedar berkahwin dalam usia yang muda bukan sesuatu yang mudah. Namun kerana cinta dia cuba menjadikan semuanya mudah. Itu dua tahun dulu. Semuanya indah dan mudah untuknya. Dalam usia yang baru menginjak dua puluh dua tahun, dia sudah merasai keperitan dalam berumah tangga. Entah apa silapnya. Ah, mungkin ibu dan ayah tidak pernah doakan kebahagiaan dia.

Ah, kenapa perlu orang lain yang dipersalahkan? Dia yang bersalah kerana terburu-buru. Memang patut dia menerima hukuman!

Bunyi deruman enjin kereta yang memasuki kawasan rumah membuatkan Tiara sedikit melompat. “He is home!” Jerit Tiara sambil berlari-lari anak ke muka pintu. Sudah beberapa hari Faliq tidak pulang ke rumah.

“Hai abang!” Ceria wajah Tiara menyambut kepulangan suami tercinta.

Tiada jawapan. Monyok. Masam mencuka. Riak tegang. Serius.

Tiara senyap. Senyumannya mati. Huluran beg kerja disambut dengan perasaan sedikit gementar. Angin puting beliung boleh melanda pada bila-bila masa dan dia harus bersedia daripada sekarang.

“Tiara!!!!” Tiara yang baru sahaja meletakkan beg kerja Faliq di dalam bilik terkejut. Kan dah kata, bila-bila masa. Ini belum sampai sepuluh minit dah melanda. Cepat sungguh angin bertiup kencang.

“Tiara!!!” Sekali lagi. Tiara terus berlari mendapatkan suaminya. Takut? Ya, sangat takut.

“Ke..kenapa..?” Terketar suara wanita kecil molek ini bertanya.

“Mana makanan? Kau nak aku makan kayu meja ni ke?!” Makanlah kalau boleh makan. Mana tahu abang ni The Hulk atau Badang.

Tiara senyap. Takut mahu menjawab. Kalau silap jawab kenyang makan penampar Faliq.

“Kau pekak ke aku tanya kau ni!” Bahu Tiara terhenjut sedikit ke belakang kerana terkejut dek tengkingan kuat Faliq. Pakai speaker suara dalam tekak ke suami dia ni? Suara macam petir!

“Tia tak masak. Barang dapur dah habis.”

Faliq ketap bibir. “Kalau aku tahu yang kau tak masak, aku tak balik sini! Bodoh.”

Tiara menahan air matanya daripada gugur. Apa yang dia boleh buat selain menangis? Kali ini dia cuba kuat. Melawan perasaan terguris, terhiris, tersiat di hatinya.

Faliq masuk ke bilik tidur mereka. Pintu bilik dihempas kuat. Kalau runtuh pun rumah Faliq, bukan rumah dia.

Faliq muncul semula dengan membimbit beg roda. Besarnya beg roda suaminya. Nak pindah rumah ke?

“Aku tak balik dua tiga hari.”

“Abang nak ke mana?”

“Sejak bila aku kena report dekat kau mana aku pergi? Aku ke rumah Nadiya. Meluat tengok muka kau!”

Kata tak nak report, buat apa bagitahu dia ke mana nak pergi. Rumah Nadiya. Nadiya. Nadiya. Nadiya. Tak habis-habis dengan Nadiya. Entah sampai bila Tiara dapat bersabar pun tak tahulah. Ya Allah, aku tidak mahu menjadi isteri derhaka Ya Allah.


Kata dua tiga hari tak mahu pulang ke rumah, sekarang dah masuk hari yang keenam belas batang hidung Faliq pun tidak nampak. Suaminya tidak adil. Dia juga isteri Faliq, bukan Nadiya seorang. Faliq sepatutnya menjadi suami yang adil.

Nadiya pun satu, nak kawal sangat Faliq tu. Nanti dekat akhirat berat beban suami mereka kerana bersikap tidak adil dalam membahagikan masa untuk isteri. Astagfirullah hal’azim. Dia tidak sanggup Faliq terus menanggung dosa.

Bukan Tiara tidak cuba menghubungi Faliq, puas dia mendail namun langsung tidak berjawab. Dia perlu berbincang dengan Faliq. Tiara mengeluh kecil mati akal dibuatnya.

Tiara memandang skrin telefon bimbitnya. “Call mama!”

“Assa…”

“Kau nak apa?” Tiara telan air liur. Belum sempat habis bagi salam dah kena terjah? Allahuakbar. Kau kuatkanlah semangatku Ya Allah.

“Mama, abang ada?”

“Hey, mana aku tahu laki kau dekat mana? Dah, jangan nak ganggu anak aku lagi!”

“Mama, tolonglah. Tia perlukan Faliq.”

“Tiara, Faliq akan ceraikan kau. Jadi kau tunggu aje di rumah, surat cerai akan sampai. He is happy now.”

Tiara mengeluh kasar. Salah diakah membenarkan Faliq dimiliki oleh orang lain? Adakah salah dia kerana tidak berjuang untuk perkahwinannya? Dia tidak berjuang? Tiara ketawa perlahan. Faliq sendiri tidak pernah berikan dia peluang. Faliq sendiri mengaku bahawa dia menyesal mengahwini Tiara. Untuk apa dia masih berjuang jika Faliq sendiri tidak inginkan dia?

Bercerai? Tidak! Dia tidak mahu menjadi janda. Dia mahu terus berada di sisi Faliq. Dia tidak mahu bercerai!


Tiara melabuh duduk di bangku kayu itu. Menyedut udara Malaysia. Segarnya udara Malaysia. Walaupun tidak sejuk seperti United Kingdom, udara ini yang dia rindui. Hiruk piruk kota yang membuai hatinya. Haha, konon! Padahal kalau stuck dalam jem bukan main lagi mulut dia membebel marahkan orang ramai.

“Apa isteri abang buat dekat sini sorang-sorang? Penat Elia cari sayang tau!” Kanak-kanak kecil yang bernama Elia itu bertukar tangan.

“Ala sayang anak mama ni.” Pipi gebu Elia dicium bertalu-talu.

“Lama kita tak balik Malaysia, kan bang? Tia ingat kita takkan balik sini lagi.” Wajah suaminya dipandang.

“Tanah tumpahnya darahku. Di sini tumpahnya darah kita Tia, walau ke mana kita pergi, kita tetap akan kembali ke tempat asal kita. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.”

“Masa pergi negeri orang mana pernah ada hujan emas. Kalau ada, dah kaya raya kita sekarang bang. Berketul-ketul emas Tia bawak balik Malaysia.” Imran mencuit geram hidung isterinya. Ada saja yang mahu dijawab!

“Tia! Im! Kenapa duduk dekat sini. Dah nak maghrib ni. Jom masuk dalam rumah. Ayah dah bising dah cari cucu dia dari tadi.” Tiara dan Imran ketawa kecil.

“Jom.” Tiara menyambut huluran tangan Imran. Imran memeluk erat bahu Tiara.

“Ala cucu tok ayah sayang. Meh sini duduk dekat tok ayah.” Pak Hisyam segera mengambil Elia dari pelukan Tiara.

Tiara ketawa kecil. Syukur Alhamdulillah, ayah masih menerima dia selepas dia dibuang oleh keluarga Faliq. Selepas dia bercerai dengan Faliq dia kembali ke rumah orang tuanya. Melutut memohon keampunan daripada kedua-dua mereka.

Bersalah kerana menjadi anak derhaka. Percaya bahawa perkahwinan tanpa restu tidak akan kekal bahagia. Kerana mahukan restu ayah dan mak, dia berkahwin dengan Imran sebelum berangkat ke United Kingdom. Selepas empat tahun dia bahagia. Masih bahagia hingga kini.



“Abang, Tia pergi sendiri. Nanti petang kita jumpa dekat rumah mummy okay!” Laung Tiara dari bawah.

Okay! I love you sayang!” Imran membalas dari biliknya di tingkat atas.

Tiara menghidupkan enjin kereta. Dia perlu ke kampus untuk menghantar beberapa borang sebelum mula bekerja pada minggu hadapan.


Buk!

Dia terlanggar seseorang.

“Saya minta maaf, encik.” Tiara tunduk mengutip kertas-kertas yang sudah berterabur di lantai.

Lelaki itu memandang tanpa kedip. Tidak percaya dengan apa yang dia lihat.

“Tia..”

Tiara langut ke atas. “Faliq.” Terkejut sebenarnya. Tidak sangka dia akan bertemu lagi dengan lelaki ini.

“Apa Tia buat di sini?” Tiara diam. Tidak menjawab soalan Faliq.

Faliq merenung Tiara. Bekas isterinya semakin cantik dan bijak bergaya. Tidak sangka empat tahun berpisah, Tiara semakin matang. Rambut yang dahulunya sering ditocang satu kini sudah dilitupi dengan sehelai selendang. Manis sungguh wajah itu.

“Jom kita pergi minum. Lama tak jumpa, boleh borak panjang.”

Tiara menggeleng perlahan. “Sorry. Tia ada hal. Tia pergi dulu.” Tiada apa lagi yang perlu dia borakkan dengan lelaki ini. Dia seorang isteri kepada seorang lelaki, dia perlu menjaga batas-batas pergaulannya. Tidak mahu mengundang fitnah dan merosakkan nama baik suaminya.

“Abang masih cintakan Tia. Abang mahukan Tia!” Faliq menarik tangan Tia yang mahu meninggalkannya.

“Abang, Tia dah ada kehidupan Tia. Tia doakan abang temui jodoh yang sesuai untuk abang.”

“Abang tetap akan cintakan Tia sampai bila-bila.”

“Haram mencintai isteri orang, bang.” Faliq terkedu. Tia sudah berkahwin?

“Tia doakan abang bahagia.” Tiara terus berlalu meninggalkan Faliq.

“Abang akan terus mencintaimu sayang…” Bisik Faliq perlahan. Dia menyesal kerana terperangkap dengan permainan mamanya. Tak sangka mama mahu dia menceraikan Tiara. Ah, jika bukan kerana dia yang lalai, dia mungkin akan bahagia dengan Tiara, dia yang terlalu mengikut darah mudanya.

Kononnya bahagia dengan Nadiya yang suka bersosial. Kena dengan gaya hidupnya berbanding Tiara yang lebih banyak menghadap buku daripada bersosial. Nadiya kononnya menjadikan dia hidup. Ah, semuanya salah dia! Dia yang melepaskan Tiara pergi.


Tiara yang sedang memanggang ikan terasa ada orang merangkulnya dari belakang. Imran melabuhkan dagunya di bahu Tiara.

“Rajinnya isteri abang.”

Tangan Tiara yang sedikit kotor akibat terkena arang mencuit hidung Imran. Habis hitam hidung suaminya. Tiara ketawa geli hati melihat wajah suaminya yang sudah comot.

Imran tidak melepaskan peluang mengusik Tiara. Dia menggeletek Tiara sehingga isterinya menjerit kegelian.

Datin Rohaiza, Datuk Ishak dan ahli keluarga yang lain hanya ketawa melihat pasangan bahagia itu. Mereka bersyukur melihat kebahagiannya adik bongsu mereka.

Faliq? Tiara yakin Faliq juga akan menemui cinta sejatinya nanti. Faliq perlukan masa. Faliq akan lupakan dia. Cerita dia dan Faliq hanya sejarah. Dia pernah terluka dengan sikap Faliq namun dia tidak pernah membenci lelaki itu. Peluang kedua? Ah, tidak mungkin. Tidak mungkin dia akan meninggalkan Imran yang begitu sabar menantinya.

8 comments :

  1. best la.. uat lagi cerpen ya.. ♥

    ReplyDelete
  2. best2..btl kahwin tanpa restu ni slalunyer tak bahagia....

    ReplyDelete
  3. Ruunna Qizbal - Dear, Sri mmg nak tulis cerpen lagi tapi sekarang ni tengah fokus tulis E-Novel kejap. Hihi. :) InsyaAllah jika ada kelapangan. Thanks for reading dear.

    Annon - Betul tu. Kalau ibu bapa tk restu kena bersabar pujuk emak dan ayah sampai terbuka pintu hati untuk terima pasangan kita. RESTU Allah itu datangnya melalui redha ibu bapa. :)

    ReplyDelete
  4. Best..wt la lg cite tia ngn imran

    ReplyDelete
  5. Best ...padam muka si faliq tu

    ReplyDelete