Demi cintanya kepada Faliq, Tiara
sanggup lakukan apa sahaja. Walaupun tanpa restu ibu bapanya, dia sanggup
berkahwin dengan Faliq. Tidak mungkin dia lupa penampar sulung Pak Hisyam di
pipinya kira-kira dua tahun lalu.
“Kalau kau nak kahwin jugak, aku
tak izinkan kau jejak rumah aku sampai bila-bila!” Tiara menangis di kaki Pak
Hisyam. Sanggup ayahnya menghalau dia keluar dari rumah yang dia tinggal sejak
lahir.
“Ayah. Tia mintak ampun. Tia mohon
restu ayah. Mak, Tia sayangkan Faliq mak.” Puan Habibah duduk di sofa berwarna
krim itu. Apa yang dia boleh buat kalau suaminya sudah bersuara. Dia sendiri
kasihankan anak tunggalnya namun suaminya lebih berhak dalam membuat keputusan,
bukan dia.
“Ayah, tolonglah Tia. Izinkan Tia
kahwin dengan Faliq.” Tiara tidak boleh berputus asa. Sudah seminggu dia
dikurung oleh Pak Hisyam. Faliq pula sudah mengugut mahu meninggalkan dia jika
dia tidak mahu berkahwin. Ah, Faliq. Kenapa tidak kau saja yang datang
menghadap ayah aku?!
Tiara melancarkan mogok. Dua minggu
dia tidak bercakap dengan ayahnya. Dua minggu dia mogok tidak mahu makan.
Padahal stok megi sudah disimpan dalam almari pakaiannya. Orang gaji mereka Mak
Bedah pula menghantar makanan kepada Tiara secara curi-curi.
Dek kerana kerisauan melihat Tiara
yang mogok tidak mahu makan, akhirnya Pak Hisyam mengalah. Tiara selamat
dinikahkan dengan Faliq, jejaka idaman universitinya dengan syarat Tiara tidak
boleh kembali ke rumah keluarganya lagi. Pak Hisyam membuangnya dari keluarga.
“Tia, jangan tinggalkan mak. Tia…
Abang, jangan buat Bibah macam ni bang. Tiara satu-satunya anak kita bang!”
Tiara memeluk erat Puan Habibah. Air matanya gugur kerana terpaksa berpisah
dengan ibunya namun kerana perjanjian dengan Pak Hisyam, Tiara terpaksa. Dia
akur kerana dia yang memilih untuk bersama Faliq. Dia yakin Faliq akan
membahagiakannya.
Kerana cinta, Tiara sanggup
membuang keluarganya. Kerana cinta, dia meninggalkan ibunya yang sangat
mengasihinya.
“Abang janji Tia akan jadi suri
dalam hidup abang untuk selama-lamanya!” Faliq mengangkat kelima-lima jarinya
sebagai tanda angkat sumpah.
Tiara memeluk Faliq. Merenung
langit kelam.
Satu ciuman singgah di dahi Tiara.
“Tia.”
“Hmm…”
“Abang rasa kita patut rancang
keluarga kita.” Tiara angkat kepalanya yang sedang elok dilentokkan di dada
Faliq.
“Kenapa? Abang nak Tia terus
mengandung ke?”
Faliq menggeleng sambil tersenyum.
“Abang nak Tia habiskan belajar dulu lepas tu baru kita fikirkan pasal anak.
Abang pun muda lagi, baru dua puluh dua, Tia pun baru aje dua puluh. Banyak
lagi masa kita ada. Okay?”
Tiara tersenyum. Selamat! Ingatkan
nak suruh dia terus mengandung. Sebenarnya Tiara sendiri pun masih belum mahu
mempunyai anak. Dia masih terlalu muda. Baru dua puluh tahun. Tunggulah dua
tiga tahun lagi. Lagipun dia masih ada empat semester untuk menamatkan
ijazahnya. Sabar sikit Tiara!
“Abang nak makan apa? Biar Tia
masakkan lauk special untuk abang malam ni.”
“Abang tak nak makan apa-apa. Abang
nak makan Tia.”
Tiara ketawa melihat wajah miang
suaminya. “Abang jangan nak mengada-ngada. Tia ada assignment nak kena submit
esok. Malam ni abang kena puasa.” Tiara ketawa kuat.
Faliq berdengus perlahan. Melepas!
“Tia masakkan abang nasi goreng ye.
Abang tunggu sekejap, bagi Tia dua puluh lima minit. Nanti kita makan sama-sama.”
Tiara mengucup lembut pipi suaminya.
Belum sempat Tiara berlalu, Faliq
menarik lengan Tiara. Tiara jatuh terduduk di riba suaminya.
“Abang. Tia nak masak ni. Nanti
perut masuk angin.” Tiara menolak lembut wajah Faliq yang mendekati wajahnya.
“Takpe, abang boleh puasa makan
malam ni.” Bibir Faliq bersatu dengan bibir Tiara. Penolakan awal tadi sudah
bertukar menjadi kemahuan. Tiara yang bising bercakap itu ini diam dalam
pelukan Faliq.
Sedar tidak sedar, sudah hampir
sembilan bulan Tiara dan Faliq berkahwin. Hubungan Tiara dan Faliq juga semakin
kukuh. Faliq melayani Tiara dengan sangat baik. Faliq juga sudah mula bekerja
di syarikat Datuk Rahim iaitu syarikat milik keluarga Faliq sendiri.
Tiara juga semakin sibuk dengan
peperiksaan yang semakin hampir. Dia perlu mengekalkan kedudukan sebagai antara
pelajar terbaik dalam alirannya. Tiara bercita-cita untuk menyambung pelajaran
di luar negara. Tawaran ke United Kingdom kira-kira dua tahun yang lalu
terpaksa ditolak kerana Pak Hisyam tidak membenarkan dia ke sana. Bimbang dia
seorang diri di perantauan.
Ah. Tawaran akan datang tidak akan
ditolak kerana peluang kedua bukan datang berkali-kali. Dia akan bawa Faliq
bersama nanti!
“Rajinnya isteri abang ni study.”
Tiara memandang suaminya.
“Abang dari mana? Lewatnya balik
kerja.”
Faliq tersenyum manis. Dahi
isterinya dicium.
“Wanginya. Abang dari mana ni?”
Faliq mencium kemeja kerjanya
sendiri. “Mana ada wangi. Abang tak bau apa pun.”
“Iye, Tia bau macam minyak wangi
perempuan.”
Faliq ketawa kuat.”Isteri abang
cemburu ye. Mana ada bau minyak wangi perempuanlah. Ini minyak wangi mama ni,
tadi abang singgah rumah mama. Mama peluk abang kuat sangat sampai lekat bau
minyak wangi dia.”
Tiara angguk faham. “Mama sihat?
Kesian mama, lama Tia tak singgah jenguk mama.”
“Mama kirim salam dekat menantu
dia.” Tiara angguk lagi.
“Abang naik mandi dulu ye.” Tiara
menghantar Faliq dengan ekor matanya.
Nafas ditarik dalam-dalam. “Fokus
Tiara, fokus!” Buku kembali ditarik rapat ke dadanya. Pen yang terselit di celah
telinga dicapai semula. Tangan Tiara ligat menyalin isi
penting dari buku rujukannya. Peperiksaan tidak lama lagi. Dia
perlu cepat menghabiskan semester ini.
Siapa kata belajar tidak
meletihkan? Sangat-sangat meletihkan, tahu? Tiara mengeliat sambil bangkit
menolak kerusi berwarna biru itu ke belakang. Tangannya ligat mengemas meja
yang penuh dengan buku-buku rujukan.
Kaki melangkah keluar meninggalkan
perpustakaan universiti. “Tia!”
Mendengar seseorang melaungkan
namanya Tiara pantas menoleh ke belakang.
“Imran!” Sengihan di bibir Tiara
kian melebar.
“Nah.” Imran menghulur satu sampul
berwarna putih kepadanya.
Tiara memandang Imran dengan
pandangan pelik. Melihat anggukan di kepala Imran, Tiara menyambut juga huluran
Imran.
“Application form? Untuk apa ni?”
“Sambung masters di UK. Saya akan
ke sana. Kalau suami awak izinkan, saya ada teman nanti.” Senyuman Imran tidak
dibalas. Tidak tahu bagaimana sepatutnya dia memberikan reaksi ketika ini.
“Thanks!”
“Awak nak apply tak? Kalau awak nak hantar borang tu, Isnin depan awak
kembalikan kepada saya. Nanti saya tolong hantarkan borang awak sekali.” Tiara
angguk perlahan.
“Angguk tu tandanya nak apply atau
faham arahan saya?” Tiara tergelak kecil. Ya tak ya juga, dia hanya mengangguk
tadi.
“Saya fikirkan dulu. Awak fahamkan,
saya dah ada suami. Saya kena minta izin suami saya dan keluarga saya. Kalau
saya dah isi borang ni, saya serahkan dekat awak minggu depan.”
Giliran Imran pula mengangguk.
“Saya balik dulu, Tia.”
“Im.” Imran yang sudah melangkah
dua tapak menoleh semula.
Tiara mengangkat sampul surat
sedikit ke udara “Thanks!”. Imran mengangguk dan membalas senyuman Tiara.
Tidak mungkin dia akan lupa
pengorbanan Imran menemani dia belajar pada waktu malam, memberikan tunjuk ajar
terhadap perkara yang dia tidak tahu dan sering menemaninya keluar untuk
memilih hadiah untuk Faliq. Imran adalah sabahat yang terbaik pernah dia
kenali.
Jika sebelum dia berkahwin, dia
sering berkepit dengan Imran, namun hubungan Tiara dan Imran semakin renggang
selepas Tiara berkahwin dengan Faliq. Mungkin Imran tidak mahu menimbulkan fitnah
dalam kalangan pelajar kampus, jika dia asyik berkepit dengan Imran, apa pula
kata mereka nanti.
Jika enam bulan pertama perkahwinan
mereka Tiara merasakan seluruh kehidupan ini adalah miliknya, kenapa hampir
setahun berkahwin Tiara rasa semakin terpinggir? Adakah kerana kesibukannya
dalam menghabiskan ijazahnya atau kerana kesibukan Faliq dalam membina kerjaya?
Setahun berkahwin, mereka hanya
pernah pergi ke Bali. Itu pun semasa bulan kedua perkahwinan mereka. Malah
setiap bulan Faliq membelikan dia bunga sebagai hadiah ‘months anniversary’.
Bunga ros yang sejambak besar itu hanya diterima sehingga bulan kelapan
perkahwinan mereka.
Bulan kesembilan hingga kini, tiada
lagi ungkapan-ungkapan cinta, tiada lagi kata rindu dan tiada lagi rengekan
manja daripada suaminya meminta itu dan ini daripadanya.
Dia perlu berbincang dengan Faliq.
Dia perlu tahu apa yang tidak kena dengan hubungan mereka. Mereka semakin
jarang berhubung. Semakin jarang bercakap. Hanya bercakap bila perlu dan Faliq
pula semakin kerap pulang lewat malam.
Jam di dinding dipandang dengan
perasaan geram. Pukul 11.20 malam. Sudah seminggu dia menunggu Faliq pulang.
Kalau tak pukul satu atau dua pagi, jangan harap nak muncul dekat rumah mereka.
Bila pulang, dia pula sudah terlena di sofa. Faliq langsung tidak mengejutkan
dia. Dibiarkan dia terus terlena di sofa hingga ke pagi. Sakitnya hati!
Bila tanya ke mana Faliq pergi,
kerja kerja kerja. Takkanlah pejabat sampai pukul dua pagi pun belum tutup?
Banyak sangat ke projek Rahim and Friends
sampai terpaksa bekerja lewat malam?
Tiara membaringkan tubuhnya di atas
sofa. Remote televisyen ditekan-tekan
dengan perasaan sakit hati. Takkan takde cerita yang menarik sikit kot?
“Ulangan Dilema Wanita pun
bolehlah.”
Cerita yang terlayar dikaca
televisyen langsung tidak menarik minat Tiara. Mata mengerling jam dinding.
Pukul 12.40 tengah malam. Mata Tiara sudah mula memberat. Sesekali mulutnya
menguap. Semakin lama semakin kerap mulut Tiara ternganga luas. Entah pukul
berapa dia terlelap juga akhirnya.
“Semalam abang balik pukul berapa?”
“Sejak bila pulak Tia pandai nak
ambil tahu hal abang ni?” Tiada angin tiada rebut suara Faliq kedengaran
melantun kuat di telinga Tiara.
“Kenapa abang nak marah-marah ni.
Tia tanya aje.”
“Tak payah tanya. Kan abang dah
cakap abang ada banyak kerja di pejabat. Dah, abang nak pergi kerja!”
Tiara masih diam membeku di meja
makan. Kalau tahu suaminya tak mahu bersarapan, tak payah dia masak bihun
goreng pagi-pagi macam ni.
Tiara termenung di meja makan.
Pelik dengan sikap suaminya sejak kebelakangan ini. Tiara mengemas meja makan.
Cawan yang masih bersih kembali di letakkan di dalam almari. Teko yang masih
penuh dengan air milo di simpan dalam peti sejuk. Nanti boleh minum lagi.
Sayang pula nak tuang dalam sinki.
Dia perlu ke kampus. Tiara masuk ke
bilik tidurnya untuk bersiap-siap. Tiba-tiba matanya terpandang sebuah objek empat segi berwarna hitam di atas meja kecil bersebelahan lampu tidur.
Kakinya pantas mendekati meja itu.
Iphone 4s milik suaminya segera dicapai. Rakus jari jemari runcingnya menekan
skrin telefon bimbit itu.
“Nadiya?” Bibirnya menyebut nama
itu.
Tiara menekup mulutnya dengan
tangan. Tubuhnya menggigil melihat gambar-gambar yang ada dalam telefon bimbit
suaminya.
Tiara kembali meletakkan telefon
bimbit suaminya di tempat asal. Kaki melangkah ke meja kerja suaminya. Matanya
terpaku melihat satu sampul surat di atas meja itu. Tiara duduk di atas kerusi
kulit berwarna hitam itu sambil menarik keluar isi dari sampul surat itu.
Lama matanya menatap isi sampul.
Menyedari bahawa dia sudah lambat
untuk ke kampus, Tiara segera memasukkan semula isi sampul surat itu ke dalam
sampul dan menyumbat sampul surat itu ke dalam beg sandangnya.
“Im!” Laung Tiara sedikit kuat.
Imran yang sedang bersembang dengan
Razak berpaling ke arahnya. Tiara berlari kecil mendapatkan Imran.
“Saya nak minta awak tolong hantar
ini untuk saya.” Tiara mengeluarkan sesuatu dari begnya dan dihulurkan kepada
Imran.
“Awak dah fikir masak-masak?” Tiara
angguk.
“Saya harap awak buat keputusan
yang betul Tia.” Tiara mengukir senyuman.
“Doakan saya. Saya yakin dengan apa
yang saya buat.”
Tiara yang baru sahaja mahu berlalu
berpaling semula. “Kenapa?”
“Awak salah borang,” Tiara
mendekati Imran.
Borang di tangan Imran ditarik
semula.
“Sorry.” Tiara paksa senyum.
“Nah.”
Imran mengambil sampul surat dari
tangan Tiara. “Kalau awak ada masalah, saya sedia jadi pendengar.”
“Masalah keluarga. Takde apa-apa
yang penting.”
“Tia, tak baik pendam seorang diri.
Luahkan. Awak akan rasa lega. Awak percayakan saya, kan?”
Tiara angguk. Langkah Imran
dibontoti. Tiara melabuhkan duduk di sebelah Imran.
Pantasnya masa berlalu. Terasa
seperti baru semalam dia bernikah dengan Faliq. Rupanya sudah dua tahun Tiara
dipulau oleh keluarga sendiri. Sudah dua tahun dia hanya bertanya khabar
keluarganya melalui telefon. Bukan tidak mahu bersua muka, puas dia cuba
memujuk ayahnya puas dia melutut merayu memohon kemaafan, namun apa yang dia
dapat? Hanya caci maki orang tua itu.
Tiara cuba bersabar. Dia tidak
boleh melatah. Dia perlu kuat untuk menempuhi semua ini. Ini adalah dugaan.
Mana ada pasangan suami isteri yang tidak dilanda badai. Dia juga kadang-kadang
terkena tempiasnya.
Jika dugaan sekecil ini dia sudah
mengalah, bagaimana mahu bedepan dengan cabara yang lebih hebat pada masa akan
datang?
Siapa kata kahwin itu mudah? Dia sedar berkahwin dalam usia yang muda
bukan sesuatu yang mudah. Namun kerana cinta dia cuba menjadikan semuanya
mudah. Itu dua tahun dulu. Semuanya indah dan mudah untuknya. Dalam usia yang
baru menginjak dua puluh dua tahun, dia sudah merasai keperitan dalam berumah
tangga. Entah apa silapnya. Ah, mungkin ibu dan ayah tidak pernah doakan
kebahagiaan dia.
Ah, kenapa perlu orang lain yang
dipersalahkan? Dia yang bersalah kerana terburu-buru. Memang patut dia menerima
hukuman!
Bunyi deruman enjin kereta yang
memasuki kawasan rumah membuatkan Tiara sedikit melompat. “He is home!” Jerit Tiara sambil berlari-lari anak ke muka pintu. Sudah
beberapa hari Faliq tidak pulang ke rumah.
“Hai abang!” Ceria wajah Tiara
menyambut kepulangan suami tercinta.
Tiada jawapan. Monyok. Masam
mencuka. Riak tegang. Serius.
Tiara senyap. Senyumannya mati.
Huluran beg kerja disambut dengan perasaan sedikit gementar. Angin puting
beliung boleh melanda pada bila-bila masa dan dia harus bersedia daripada
sekarang.
“Tiara!!!!” Tiara yang baru sahaja
meletakkan beg kerja Faliq di dalam bilik terkejut. Kan dah kata, bila-bila
masa. Ini belum sampai sepuluh minit dah melanda. Cepat sungguh angin bertiup
kencang.
“Tiara!!!” Sekali lagi. Tiara terus
berlari mendapatkan suaminya. Takut? Ya, sangat takut.
“Ke..kenapa..?” Terketar suara wanita
kecil molek ini bertanya.
“Mana makanan? Kau nak aku makan
kayu meja ni ke?!” Makanlah kalau boleh makan. Mana tahu abang ni The Hulk atau
Badang.
Tiara senyap. Takut mahu menjawab.
Kalau silap jawab kenyang makan penampar Faliq.
“Kau pekak ke aku tanya kau ni!”
Bahu Tiara terhenjut sedikit ke belakang kerana terkejut dek tengkingan kuat
Faliq. Pakai speaker suara dalam
tekak ke suami dia ni? Suara macam petir!
“Tia tak masak. Barang dapur dah
habis.”
Faliq ketap bibir. “Kalau aku tahu
yang kau tak masak, aku tak balik sini! Bodoh.”
Tiara menahan air matanya daripada
gugur. Apa yang dia boleh buat selain menangis? Kali ini dia cuba kuat. Melawan
perasaan terguris, terhiris, tersiat di hatinya.
Faliq masuk ke bilik tidur mereka.
Pintu bilik dihempas kuat. Kalau runtuh pun rumah Faliq, bukan rumah dia.
Faliq muncul semula dengan
membimbit beg roda. Besarnya beg roda suaminya. Nak pindah rumah ke?
“Aku tak balik dua tiga hari.”
“Abang nak ke mana?”
“Sejak bila aku kena report dekat
kau mana aku pergi? Aku ke rumah Nadiya. Meluat tengok muka kau!”
Kata tak nak report, buat apa
bagitahu dia ke mana nak pergi. Rumah Nadiya. Nadiya. Nadiya. Nadiya. Tak
habis-habis dengan Nadiya. Entah sampai bila Tiara dapat bersabar pun tak
tahulah. Ya Allah, aku tidak mahu menjadi isteri derhaka Ya Allah.
Kata dua tiga hari tak mahu pulang
ke rumah, sekarang dah masuk hari yang keenam belas batang hidung Faliq pun
tidak nampak. Suaminya tidak adil. Dia juga isteri Faliq, bukan Nadiya seorang.
Faliq sepatutnya menjadi suami yang adil.
Nadiya pun satu, nak kawal sangat
Faliq tu. Nanti dekat akhirat berat beban suami mereka kerana bersikap tidak
adil dalam membahagikan masa untuk isteri. Astagfirullah hal’azim. Dia tidak
sanggup Faliq terus menanggung dosa.
Bukan Tiara tidak cuba menghubungi
Faliq, puas dia mendail namun langsung tidak berjawab. Dia perlu berbincang
dengan Faliq. Tiara mengeluh kecil mati akal dibuatnya.
Tiara memandang skrin telefon
bimbitnya. “Call mama!”
“Assa…”
“Kau nak apa?” Tiara telan air
liur. Belum sempat habis bagi salam dah kena terjah? Allahuakbar. Kau
kuatkanlah semangatku Ya Allah.
“Mama, abang ada?”
“Hey, mana aku tahu laki kau dekat
mana? Dah, jangan nak ganggu anak aku lagi!”
“Mama, tolonglah. Tia perlukan
Faliq.”
“Tiara, Faliq akan ceraikan kau.
Jadi kau tunggu aje di rumah, surat cerai akan sampai. He is happy now.”
Tiara mengeluh kasar. Salah diakah
membenarkan Faliq dimiliki oleh orang lain? Adakah salah dia kerana tidak
berjuang untuk perkahwinannya? Dia tidak berjuang? Tiara ketawa perlahan. Faliq
sendiri tidak pernah berikan dia peluang. Faliq sendiri mengaku bahawa dia
menyesal mengahwini Tiara. Untuk apa dia masih berjuang jika Faliq sendiri
tidak inginkan dia?
Bercerai? Tidak! Dia tidak mahu
menjadi janda. Dia mahu terus berada di sisi Faliq. Dia tidak mahu bercerai!
Tiara melabuh duduk di bangku kayu
itu. Menyedut udara Malaysia. Segarnya udara Malaysia. Walaupun tidak sejuk
seperti United Kingdom, udara ini yang dia rindui. Hiruk piruk kota yang
membuai hatinya. Haha, konon! Padahal kalau stuck
dalam jem bukan main lagi mulut dia
membebel marahkan orang ramai.
“Apa isteri abang buat dekat sini
sorang-sorang? Penat Elia cari sayang tau!” Kanak-kanak kecil yang bernama Elia
itu bertukar tangan.
“Ala sayang anak mama ni.” Pipi
gebu Elia dicium bertalu-talu.
“Lama kita tak balik Malaysia, kan
bang? Tia ingat kita takkan balik sini lagi.” Wajah suaminya dipandang.
“Tanah tumpahnya darahku. Di sini
tumpahnya darah kita Tia, walau ke mana kita pergi, kita tetap akan kembali ke
tempat asal kita. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di
negeri sendiri.”
“Masa pergi negeri orang mana
pernah ada hujan emas. Kalau ada, dah kaya raya kita sekarang bang. Berketul-ketul
emas Tia bawak balik Malaysia.” Imran
mencuit geram hidung isterinya. Ada saja yang mahu dijawab!
“Tia! Im! Kenapa duduk dekat sini.
Dah nak maghrib ni. Jom masuk dalam rumah. Ayah dah bising dah cari cucu dia
dari tadi.” Tiara dan Imran ketawa kecil.
“Jom.” Tiara menyambut huluran
tangan Imran. Imran memeluk erat bahu Tiara.
“Ala cucu tok ayah sayang. Meh sini
duduk dekat tok ayah.” Pak Hisyam segera mengambil Elia dari pelukan Tiara.
Tiara ketawa kecil. Syukur
Alhamdulillah, ayah masih menerima dia selepas dia dibuang oleh keluarga Faliq.
Selepas dia bercerai dengan Faliq dia kembali ke rumah orang tuanya. Melutut
memohon keampunan daripada kedua-dua mereka.
Bersalah kerana menjadi anak
derhaka. Percaya bahawa perkahwinan tanpa restu tidak akan kekal bahagia.
Kerana mahukan restu ayah dan mak, dia berkahwin dengan Imran sebelum berangkat
ke United Kingdom. Selepas empat tahun dia bahagia. Masih bahagia hingga kini.
“Abang, Tia pergi sendiri. Nanti petang
kita jumpa dekat rumah mummy okay!”
Laung Tiara dari bawah.
“Okay! I love you sayang!” Imran membalas dari biliknya di tingkat
atas.
Tiara menghidupkan enjin kereta.
Dia perlu ke kampus untuk menghantar beberapa borang sebelum mula bekerja pada
minggu hadapan.
Buk!
Dia terlanggar seseorang.
“Saya minta maaf, encik.” Tiara
tunduk mengutip kertas-kertas yang sudah berterabur di lantai.
Lelaki itu memandang tanpa kedip. Tidak
percaya dengan apa yang dia lihat.
“Tia..”
Tiara langut ke atas. “Faliq.”
Terkejut sebenarnya. Tidak sangka dia akan bertemu lagi dengan lelaki ini.
“Apa Tia buat di sini?” Tiara diam.
Tidak menjawab soalan Faliq.
Faliq merenung Tiara. Bekas isterinya
semakin cantik dan bijak bergaya. Tidak sangka empat tahun berpisah, Tiara
semakin matang. Rambut yang dahulunya sering ditocang satu kini sudah dilitupi
dengan sehelai selendang. Manis sungguh wajah itu.
“Jom kita pergi minum. Lama tak
jumpa, boleh borak panjang.”
Tiara menggeleng perlahan. “Sorry. Tia ada hal. Tia pergi dulu.”
Tiada apa lagi yang perlu dia borakkan dengan lelaki ini. Dia seorang isteri
kepada seorang lelaki, dia perlu menjaga batas-batas pergaulannya. Tidak mahu
mengundang fitnah dan merosakkan nama baik suaminya.
“Abang masih cintakan Tia. Abang
mahukan Tia!” Faliq menarik tangan Tia yang mahu meninggalkannya.
“Abang, Tia dah ada kehidupan Tia.
Tia doakan abang temui jodoh yang sesuai untuk abang.”
“Abang tetap akan cintakan Tia
sampai bila-bila.”
“Haram mencintai isteri orang,
bang.” Faliq terkedu. Tia sudah berkahwin?
“Tia doakan abang bahagia.” Tiara
terus berlalu meninggalkan Faliq.
“Abang akan terus mencintaimu
sayang…” Bisik Faliq perlahan. Dia menyesal kerana terperangkap dengan
permainan mamanya. Tak sangka mama mahu dia menceraikan Tiara. Ah, jika bukan
kerana dia yang lalai, dia mungkin akan bahagia dengan Tiara, dia yang terlalu
mengikut darah mudanya.
Kononnya bahagia dengan Nadiya yang
suka bersosial. Kena dengan gaya hidupnya berbanding Tiara yang lebih banyak
menghadap buku daripada bersosial. Nadiya kononnya menjadikan dia hidup. Ah,
semuanya salah dia! Dia yang melepaskan Tiara pergi.
Tiara yang sedang memanggang ikan
terasa ada orang merangkulnya dari belakang. Imran melabuhkan dagunya di bahu
Tiara.
“Rajinnya isteri abang.”
Tangan Tiara yang sedikit kotor
akibat terkena arang mencuit hidung Imran. Habis hitam hidung suaminya. Tiara
ketawa geli hati melihat wajah suaminya yang sudah comot.
Imran tidak melepaskan peluang
mengusik Tiara. Dia menggeletek Tiara sehingga isterinya menjerit kegelian.
Datin Rohaiza, Datuk Ishak dan ahli
keluarga yang lain hanya ketawa melihat pasangan bahagia itu. Mereka bersyukur
melihat kebahagiannya adik bongsu mereka.
Faliq? Tiara yakin Faliq juga akan
menemui cinta sejatinya nanti. Faliq perlukan masa. Faliq akan lupakan dia.
Cerita dia dan Faliq hanya sejarah. Dia pernah terluka dengan sikap Faliq namun
dia tidak pernah membenci lelaki itu. Peluang kedua? Ah, tidak mungkin. Tidak mungkin
dia akan meninggalkan Imran yang begitu sabar menantinya.
best la.. uat lagi cerpen ya.. ♥
ReplyDeletebest2..btl kahwin tanpa restu ni slalunyer tak bahagia....
ReplyDeleteRuunna Qizbal - Dear, Sri mmg nak tulis cerpen lagi tapi sekarang ni tengah fokus tulis E-Novel kejap. Hihi. :) InsyaAllah jika ada kelapangan. Thanks for reading dear.
ReplyDeleteAnnon - Betul tu. Kalau ibu bapa tk restu kena bersabar pujuk emak dan ayah sampai terbuka pintu hati untuk terima pasangan kita. RESTU Allah itu datangnya melalui redha ibu bapa. :)
best
ReplyDeletebest..
ReplyDeletebesttt
ReplyDeleteBest..wt la lg cite tia ngn imran
ReplyDeleteBest ...padam muka si faliq tu
ReplyDelete