Friday, 3 April 2015

Bab 25 Cinta Jangan Sakiti Aku


Alissa termenung di anak tangga pertama. Malam semalam dia ambil penerbangan dari Kuala Lumpur pulang ke Kuantan. Langsung dia tidak menghantar apa-apa permohonan cuti kepada Zafril.
“Anak bertuah umi termenung apa ni?”
Kepala ditoleh ke belakang. Melihat Puan Umairah turut melabuhkan punggungnya di sebelah Alissa.
“Abah ke mana umi? Lisa tak nampak abah pun sejak pagi tadi.”
“Abah ke rumah Imam Harun. Esok anaknya Imam Harun tu nak bernikah.. Ada lah buat majlis kecil-kecilan.”
“Zatil ke yang nak kahwin tu umi?”
“Bukan Zatil, adiknya Zatil. Afifah yang baru tamat SPM tu. Dah jodohnya awal, Lisa..” Mulut Alissa berubah menjadi bentuk O sambil kepalanya mengangguk perlahan.
“Awal eh Pipah tu nak kahwin umi..” Mulut tersengih kecil. Terkejut juga Afifah sudah nak kahwin. Iyelah kecil lagi budaknya. Baru berusia 18 tahun sudah mahu berkahwin.
“Jodoh Lisa. Nak buat macam mana..”
“Iye tak ye jugak kan umi..”
“Ni anak umi bila nak kahwin?”
“Mana boleh kahwin lagi umi. Kak Una dululah..” Alissa mengelat. Tak suka tau kalau cakap bab kahwin.
“Lisa, Lisa tu dah dua puluh enam tahun. Sampai bila nak macam ni? Dah besar dah anak umi ni. Umi nak tengok anak umi bahagia..” Puan Umairah dah mula mahu membuka tazkirah awal pagi.
“Nantilah.. Belum lagi umi. Lisa belum bersedia untuk hadapi semua ini.”
“Itulah Lisa. Bila umi cakap aje belum lagi belum lagi. Sampai bila nak macam ni? Lisa tak mahu buat apa-apa tindakan? Lisa nak tunggu aje?”
Tunggu apa? Mana ada dia tunggu apa-apa. Dia hanya menjalani kehidupan dia seperti biasa setiap hati. Cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. “Lisa tak bersedia.”
“Umi ni dah bersedia sangat nak terima menantu. Syahmi tu dah berapa kali telefon umi tanyakan pasal Lisa.”
Mulut Alissa ternganga sedikit. Syahmi telefon? Amboi, berani ke Syahmi nak berdepan dengan Pak Omar. Belum kenal lagi bapa dia siapa… Kau jangan main dengan api Syahmi, kang terbakar sendiri. “Abah ada bercakap dengan dia ke, mi?”
“Tak ada. Umi tak berani..”
Fuh! Alissa melepaskan nafasnya. Lega!
Ingatkan Syahmi ada menyuarakan hasrat mahu mengahwini dia kepada Pak Omar. Nanti bukan setakat dia dan Syahmi aje diberikan ceramah percuma, sekali dengan Husna dan Puan Umairah sekali kena dengar ceramah.
“Ingatkan dia berani sangat telefon abah..” Bibir tersengih lebar.
“Umi tak benarkan. Takutlah umi.”
“Lisa pun takut juga umi!”
Kedua-dua beranak itu tertawa serentak mengenangkan sikap garang Pak Omar. Menakutkan hoi! Kau jangan buat main dengan bapak dia, silap hari bulan kena hayun parang ke muka. Sanggup?!
“Umi, Lisa nak duduk rumah lama sikit boleh ke?”
“Amboi amboi. Sejak bila pula nak duduk kampung kena minta kebenaran umi ni?”
“Takdelah, Lisa nak duduk sini seminggu.. Letih kerja banyak di pejabat tu..”
“Takde baju yang perlu disiapkan ke sampai lama sangat boleh cuti ni?” Biasanya Alissa hanya pulang tiga atau empat hari sahaja. Kali ini sampai seminggu. Lama betul anak dia bercuti.
“Takde. Sejak ada pembantu ni kerja Lisa ringan sikit umi. Lisa gunting kain dia akan jahit.”
Puan Umairah menganggukkan kepalanya. “Baguslah kalau macam tu. Umi pun senang hati sangat kalau anak umi ada depan mata. Kak Una ada cakap apa-apa tak? Bila dia nak balik?”
“Belum lagi. Mungkin minggu depan Kak Una balik kot..”
Puan Umairah angguk lagi. Biasanya Husna akan balik bersama Alissa tetapi kali ini Alissa pulang seorang diri. Terkejut juga dia malam semalam mendapat panggilan dari Alissa kononnya berada di depan rumah.
Sudahlah dia dan suaminya sudah masuk tidur.. Nasib baik masih tersedar ketika Alissa menelefon. Melihat Alissa pulang menaiki teksi lewat malam semalam, memang kena ceramah percuma dengan suami dia.
‘Kenapa tak telefon abah?’
‘Kenapa naik teksi malam-malam?’
‘Kenapa tak tunggu siang baru balik?’
Ha, memang kena ceramah dulu sebelum Puan Umairah dapat peluk anak dia malam tadi.
“Umi, nak masak apa tengah hari ni?”
“Siput sedut, nak?”
“Nak!” Laju sahaja Alissa bersorak. Dekat Kuala Lumpur susah nak cari ni. Kalau Puan Umairah masak lagilah memang takkan jumpa dia Kuala Lumpur. “Seronoknya balik kampung ada umi.. Boleh masak sedap-sedap untuk Lisa!” Kepala dilentokkan di bahu Puan Umairah.
“Jom kita ke dapur. Umi ada banyak hal lagi nak sembang dengan Lisa.” Tangan Alissa ditarik supaya bangun membontoti dia ke dapur.
“Lisa ada apa-apa nak ceritakan dekat umi tak?”
Alissa yang sedang mengupas bawang memandang ke arah Puan Umairah yang sibuk monggoreng ikan. “Cerita apa?”
“Apa-apa.. Yang mungkin umi perlu tahu?”
Otak memproses beberapa kejadian yang berlaku kepadanya. Pasal dia lemas? Pasal dia kena marah dengan bos? Pasal dia kena tampar dengan Juliza? Pasal Tuti nak kahwin? Erm, umi tahu pasal tu..
“Pasal apa ye, umi?”
Puan Umairah menoleh ke arah Alissa. “Betul takde?”
“Bukan takde tapi tak tahu pasal apa.. Lisa ada amnesia. Lupa..” Bibir ketawa halus.
“Lupa pasal Zafril atau memang tak nak beritahu kepada umi?”
Mata lekas-lekas dilarikan dari pandangan mata Puan Umairah. Memandang ke arah bawang-bawang dalam bekas yang perlu dipotong.
“Lisa memang takde niat nak beritahu kepada umi yang Zafril tu bos Lisa?”
“Kak Una cakap dengan umi?” Geram dengan Husna! Dia dah pesan dengan Husna banyak kali dah jangan cakap dengan Puan Umairah yang Zafril tu kerja sama syarikat dengan dia. Kenapa Husna ta tepati janji?!
“Bukan Kak Una yang cakap. Umi tahu dari orang lain.”
Sah Syahmi!
Siapa lagi yang tahu pasal Zafril selain Syahmi. Tak mungkin Tuti yang menghubungi Puan Umairah. Dia kenal sangat dengan sikap Tuti. Gadis itu seorang yang menyimpan rahsia dan menepati janji.
“Kenapa Syahmi perlu cakap dengan umi semua ni? Dia nak apa dari Lisa?” Suara mula bercampur dengan emosi. Geramnya!
“Lisa, Syahmi tu nak selamatkan Lisa. Dia takut kalau Lisa kembali semula dengan Zafril. Kita semua kenal sikap Zafril tu.. Umi nak Lisa buka mata Lisa luas-luas. Syahmi tu sayang sangat dengan Lisa!”
“Banyak lagi ke nak kupas bawang ni umi?” Alissa bangkit menuju ke sinki. Malas mahu bertekak tentang perkara ini.
“Umi tak cakap pasal bawang. Umi cakap pasal Zafril dan Syahmi.”
“Lisa tak nak bincang pasal ni..”
“Ha, anak beranak berdua ni bincang pasal apa ni.. Abah balik pun tak sedar..” Alissa pantas menoleh ke arah tangga.
“Abah dah balik. Lisa tengah tolong umi masak ni..” Alissa memerhatikan sahaja Pak Omar yang sedang menarik kerusi meja makan. “Abah nak request masakan apa hari ini?” Cuba mengalih perhatian Pak Omar dengan soalan-soalan.
Takut kalau abah dia menyoal apa yang dia bualkan dengan Puan Umairah nanti.
“Ikan masak tiga rasa?”
Ish! Abah ni sebiji macam Syahmi. Ikan masak tiga rasa juga. “Lisa tak pandai. Kak Una pandailah buat ikan tu..”
“Umi pandai tak?”
Alissa tergelak besar. “Umi tukang masak mestilah pandai memasak!”
“Lisa balik lama ke kali ni?”
“Lama.. Seminggu. Saja nak tengok muka abah dengan umi yang dirindui selalu ni..” Manja suara Alissa. Memang anak manja dan baik.
“Aik, lama benar balik kali ini. Ada apa-apa ke nak beritahu abah ni?”
Alissa mengambil sebiji cawan dan menuang air teh kepada Pak Omar. “Minum abah.. Mana da ada apa-apa Lisa nak beritahu. Lisa macam biasa aje..”
Ikutkan hati nak aje dia beritahu pasal Mukhriz kepada umi dan abah tapi takut nanti Husna mengamuk pula kalau tahu dia pandai-pandai buat cerita. “Kak Una kamu tu bila nak kahwin?”
Alissa tersengih kelat. “Abah kena tanya Kak Una lah bukan Lisa..”
Puan Umairah menjeling Alissa. Ei, ikutkan hati nak aje dia sebut pasal Zafril kepada suaminya. Mahu tahu juga apa reaksi suami dia jika tahu Zafril sudah kembali ke Malaysia dan bekerja sama syarikat dengan anak mereka.
“Alissa ni ha entah bila nak kahwinnya.. Kan bang?” Mata langsung tidak menoleh ke arah Alissa.
“Lisa nak kahwin ke? Dengan siapa?”
“Eh, tak adalah abah.. Umi ni saja je tu. Takde calon lagi.”
“Abah tak setuju siapa pun calonnya. Lisa tahu kenapa abah takkan setuju, bukan?” Wajah Pak Omar tegas secara tiba-tiba. “Lisa dah besar. Lisa patunya fikirkan hal macam ni sejak lama dulu lagi.”
“Abah..”
“Abah tetap tak setuju. Lisa yang buat keputusan untuk hidup Lisa suatu masa dulu. Abah turutkan keputusan Lisa.. Kali ni abah tak setuju walau apapun yang berlaku.” Suasana yang tadinya bergelak ketawa menjadi tegang secara tiba-tiba.
“Lisa takkan kahwin dengan sesiapa. Abah jangan risau..”
“Hm, baguslah.” Pak Omar mengangkat punggungnya dan berlalu dari dapur. Angin kurang baiklah tu. Kalau terus duduk di dapur mungkin akan bertengkar dengan Puan Umairah yang asyik mendesak dia supaya berkahwin berbeza pula dengan Pak Omar yang akan membantah cadangan Puan Umairah.
“Umi, jangan bimbangkan Lisa. Lisa boleh jaga diri.”
Alissa memeluk Puan Umairah. Dia tahu uminya sedih dengan sikap Pak Omar.
“Lisa, umi bimbang! Siapa nak jaga Lisa bila umi dengan abah dah takde nanti? Siapa nak tengokkan Lisa?”
Sampai ke situ umi dia berfikir?
“Umi masih muda dan kuat, umi takkan tinggalkan Lisa dan Lisa takkan tinggalkan umi. Jangan fikir yang bukan-bukan ya?”
Puan Umairah mendiamkan diri. Terasa dengan sikap suaminya. Takkan selama-lamanya Alissa akan dibiarkan sendirian? Sampai bila Alissa perlu hidup seperti ini?
Alissa memandang ombak yang menderu. Rasa seram sejuk pula melihat pantai. Haritu dah lemas. Nasib baik tiada apa-apa yang buruk berlaku. Kalaulah umi tahu dia ke Pulau Perhentian bersama Zafril dan lemas disebabkan oleh lelaki itu pasti Zafril dicari oleh umi sampai ke lubang cacing!
“Lisa..”
Alissa menoleh apabila namanya diseru seseorang.
“Johan!”
Yeah, it’s me. Johan..”
Alissa menekup bibirnya. Tidak percaya selepas lima tahun dia bertemu kembali dengan lelaki ini. “Ya Allah, apa awak buat dekat sini Jo? Kerja ke?”
“Bawa keluarga bercuti. Saya baru balik dari Scotland. Sambung belajar dekat sana..”
Riak wajah terkejut dan teruja tidak dapat disembunyikan. Johan sudah berkahwin? Wah! Dia langsung tidak tahu. Selepas tamat pengajian dia terus sahaja meninggalkan semua kawan-kawan universiti kecuali Tuti.
“Awak dah kahwin? Dengan siapa? Ya Allah, saya ni memang ketinggalan zaman kan..”
“Memang pun.. Saya dah ada dua anak pun Lisa. Tu dekat sana tu isteri saya.” Alissa turut menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Johan.
“Wani?!” Suara separuh menjerit. Terkejut apabila mengetahui Salwanis ialah isteri Johan. “Sejak bila awak bercinta dengan Wani..”
Johan tergelak kecil. “Kejarkan orang lain tapi tertangkap orang lain..”
Kepala diangguk kecil. Dia faham dengan ayat Johan. Ya dia tahu Johan memang ada menyimpan perasaan kepada dia tapi sewaktu itu dia terlalu cintakan Zafril sampai tak nampak lelaki lain lagi dah. Dia hanya nampak kehidupan dia bersama lelaki yang bernama Zafril tanpa menyedari bahawa lelaki itu sebenarnya sudah mempunyai Juliza.
“Saya buta dalam menilai tapi saya yakin awak bahagia, kan?”
“Alhamdulillah. She’s amazing wife! I love her so much!”
Oh my God. Kalaulah ada lelaki yang memuji dia setinggi ini.. Kalaulah lelaki itu turut mencintai dia sedalam Johan mencintai Salwanis alangkah bahagianya hati wanita dia.
“Saya doakan awak dengan Wani bahagia sampai bila-bila.”
“Eh, jomlah jumpa dengan Wani. Mesti dia seronok sangat dapat jumpa awak.”
Alissa bergerak seringan dengan Johan ke arah Salwanis dan dua orang anak mereka. Alolo, comelnya Haniza dan Firas. Comel sangat rasa macam nak peluk kuat-kuat!
“Comel sangat anak-anak awak ni Johan. Made in Scotland ke?” Alissa tertawa dengan soalan sendiri.
Both made in Scotland. Wani ni suka sangat tengok perempuan Scotland dan lelaki Scotland yang lawa.. Terkenan agaknya.” Salwanis dan Johan tergelak besar. Memang itulah tabiat Salwanis. Berharap anak-anak dia putih gebu macam orang-orang sana.
“Memang terkenan sangat ni Wani! Lisa pun kena ke sana kalau nak dapat anak comel macam ni.” Pipi Haniza yang berusia tiga tahun dia cium geram. Firas adiknya pula berusia dua tahun.
“Jemputlah datang ke rumah makan tengah hari esok. Mesti umi saya suka sangat kalau ada kawan saya dating ke rumah..”
“Ish, Lisa.. janganlah. Menyusahkan aje. Segan kami..” Salwanis menolak pelawaan Alissa dengan lembut.
“Janganlah macam tu. Lama sangat tak jumpa. Boleh ya?” Terus memujuk pasangan itu sehingga mereka berdua rasa bersalah pula mahu menolak jemputan Alissa.
“Bolehlah. Esok Lisa berikan alamat rumah Lisa. InsyaAllah kami sampai.”
Alisa mengukir semyuman lebar.
Seronoknya dapat main dengan Haniza dan Firas lagi!


p/s : CJSA akan muncul dalam versi cetak pada bulan ini. Jom jumpa Sri di PWTC awal bulan 5 nanti, nak tak? :) Sri nak ucapkan terima kasih jutaan lemon kepada semua yang sentiasa menyokong Sri selama ini. My God! Rasa terharu giler okay. Thank you sangat-sangat.
Yap, CJSA akan keluar dengan CTB (Cinta Takkan Berakhir). CJSA under LNP dan CTB under KN. Dedua Sri berikan yang terbaik, insyaAllah. Jadi kepada peminat Alissa dan Zafril, Azara dan Razlan, jangan lupa dapatkan dedua novel ni ya!
Lepas tu bawak ke PWTC untuk signing session nanti tau!
Thank you.
Love,
SS.

10 comments :

  1. Cant wait Sarah...tp plan nak pegi pwtc earlier..huhu . Insya Allah ada kelapangan kita jumpa. Buku CTB saya dah ada, tunggu CJSA pulak. Tahniah Sarah dgn jelahiran anak2 baru ni. 😊😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sri insya Allah 1-3 Mei ada di sana. Ala, jom lah! :P

      Delete
  2. Cik sarah. Cinta jangan sakiti aku dh ade kat pasaran ke? Keluaran mana? Nk beli laa...

    ReplyDelete
  3. Cik sarah. Cinta jangan sakiti aku dh ade kat pasaran ke? Keluaran mana? Nk beli laa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi!
      Kalau nak beli boleh meial kepada saya di memorimaya@gmail.com

      Thank you!

      Delete
  4. Cik sara.. ade lg kat pasaran x cinta jangan sakiti aku ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi sorry for the late reply. Kalau takde dekat kedai buku do pm me or email saya memorimaya!gmail.com.
      I ada lagi buku ni tau. :)

      Delete
  5. Replies
    1. Er.. Mungkin sambungan dalam buku kot. hihi

      Delete
  6. Buku ni ada lagi ke??

    ReplyDelete