Saturday 18 April 2015

Part 14 Bali Cintaku


Eleena sengih apabila Zaidan muncul dengan sejambak bunga di tangan. Ingatkan masih marahkan dia sebab peristiwa dia berjumpa dengan isteri Shahrin. Puas juga di memujuk Zaidan kerana lelaki itu nampak sedikit sangsi dengan pertemuan itu.
Ish, takkan Zaidan ingat Fatyn jumpa dengan dia sebab nak pinang dia untuk jadi isteri kedua Shahrin pula? Ohh, simpang malaikat!
“Ingatkan tunang saya merajuk..” Panjang meleret senyuman Eleena yang masih terpacak di hadapan kaunter.

“Tak boleh merajuk lama-lama sangat. Rindu.”
“Tahu pun! Awak duduklah dulu. Saya ambilkan kopi untuk awak.”
Zaidan berlalu memilih meja yang sesuai untuk dia dan Eleena duduk berbincang.
Beberapa minit kemudian Eleena muncul dengan secawan kopi ditangannya. “Jemput minum putera kesayangan."
Sejambak bunga dihulurkan kepada Eleena sebaik sahaja gadis itu duduk.
“Asyik bagi saya bunga je awak ni.. Membazir tau tak.”
“Eh, belikan untuk tuan puteri kesayangan.. Apa pula membazir.”
“Eden, kat luar sana tu ramai lagi orang lain yang takde duit nak makan. Awak pula asyik membazir duit belikan saya bunga..”
“El..” Lembut sahaja suara lelaki itu menyeru nama Eleena. Seraya Eleena sengih.
“Okay, saya sukakan bunga ni. Thank you!” Jambangan bunga dicium berkali-kali. Sungguh, dia memuji sikap romantik tunangnya. Perempuan gila aje tak sukakan bunga. Mana boleh tak suka bunga. Bunga boleh buat dia hilang rasa tekanan. Patutlah semasa dengan Shahrin dia asyik tertekan aje, rupanya sebab tak pernah dapat bunga. Haha. Eleena ketawa dalam hati.
“Apa yang sengih sorang-sorang ni?”
Bibir Eleena termati senyum. “Err, takde apa-apa.” Lah, rupanya dia ketawa dalam hati tetapi senyuman terukir di bibir.
“Saya minta maaf sebab emosi dengan awak tentang Shahrin. I know that I shoudn’t do that.. Tak patut tuduh awak ada apa-apa hubungan dengan Shahrin.”
Bibir Eleena perlahan-lahan mengukir senyuman. “Awak cemburu.Saya tahu.”
“Mestilah cemburu. Awak tunang saya.. Saya takut kehilangan awak.”
“Awak takkan.. Hati saya milik awak Eden. Tak mungkinlah saya nak dengan buaya darat tu. Eii, mati hidup balik pun tak nak.”
Zaidan tergelak kecil. Senang hatinya mendengar penjelasan Eleena. Ah, dia memang suka melebih-lebih. Eleena hanya keluar dengan Fatyn sahaja bukannya keluar dengan Shahrin. Gambar yang Sherni hantar kepada dia mungkin gambar lama. Hati ni memang degil. Syaitan pula sengaja nak menghasut supaya hubungan dia dan Eleena berantakan!
“So, esok jadi tau nak jumpa dengan wedding planner once again. Hari tu tak boleh buat pilihan baju dengan baik sebab hati tak tenang..” Ujar Zaidan kepada Eleena mencetuskan ketawa sedikit kuat daripada bibir Eleena.
“Dan pilih cincin yang saya suka. Kan?”
Zaidan angguk berulang kali. Beberapa hari lepas dia hampir sahaja memarahi Eleena kerana menolak cincin pilihan dia. Kata Eleena terlalu mahal dan terlalu besar. Tambahan pula batu cincin itu berwarna merah. Bukan kesukaan dia.
Ah,cincin perkahwinan sepatutnya dia biarkan kepada Eleena untuk memilih kerana cincin itu akan tersarung di jari manis Eleena sepanjang hayatnya. Kalau pakai cincin yang tidak menjadi pilihan hatinya pasti aja tertekan setiap kali terpandang cincin yang tersarung di jari manis.
“Ha, tadi cakap saya.. Awak tu dah kenapa pula senyum sorang-sorang?”
Zaidan tergelak kecil. “Teringat cincin berbatu besar yang saya pilih untuk awak hari tu..”
Eleena menjeling manja.”Buruk tau tak cincin tu.. Langsung saya tak berkenan! Nasib baiklah saya berkeras tak nak cincin tu..”
“Eh, buruk pun mahal tau tak?”
“Mahal atau murah bukan persoalannya Eden. Kalau yang tersarung di jari tak berkenan di sini, sakit hati saya setiap kali terpandang cincin ti tau tak..” Kata Eleena sambil menyentuh dadanya.
“Okay.. okay. Saya bagi pilihan 100 peratus untuk awak pilih cincin perkahwinan kita, okay?”
Nasib baiklah cincin pertunang mereka Puan Hadrawati yang pilih. Manis sahaja nampak di jari runcing milik Eleena. Kalaulah Zaidan yang pilih, pasti dia beli yang besar-besar kerana wanita kan sukakan berlian besar. Jauh benar beza Eleena. Sangat merendah diri dan kalangan biasa-biasa sahaja.
“Saya sukakan sesuatu yang simple. Kalau boleh sangat simple.”
Zaidan tahu Eleena maksudkan perkahwinan mereka. “El, kita ada mak dan ayah yang perlu kita jaga hati mereka. On my side, saya tak kisah kalau awak sukakan perkahwinan yang ringkas tapi mama dan papa nakkan yang terbaik untuk kita. So, jangan bergaduh dengan mama awak banyak sangat, please.”
Eleena tergelak mendengar permintaan Zaidan. Tahu benar lelaki ini dengan sikap keras kepala manja dia. “Mama saya tu awak, kalau boleh satu KL ni dia nak jemput datang kenduri kita nanti. Customers yang datang beli kopi pun dijemputnya sekali!”
Kepala digeleng beberapa kali. Adoi, Puan Arafah! “Biarlah.. Asalkan mama awak happy. Itu yang paling penting sekali kan?”
Yep, true. By the way hari ni tak kerja ke?”
“Kerja awal pagi tadi. Pukul 11.00 pagi tadi dah sampai rumah.”
“Seronok kerja macam awak ni kan.. Kerja ikut suka aje. Takde masa yang tetap.”
“Seronok awak kata? Sanggup ke awak nak bangun pukul 1 pagi atau dua pagi sebab nak bersiap pergi kerja?”
Eleena sengih melebar. Betul juga! Baiklah kerja macam dia pukul 10.30 pagi buka kedai dan pukul 8.30 malam tutup kedai. Kalau ada urusan luar siap boleh buka tutup kedai sesuka hatinya. Itu dululah sebelum dia ada pekerja. Sekarang dah ada pekerja yang boleh dipercayai bolehlah dia tinggalkan kedai dengan pekerja sahaja.
“Tapi nanti dah kahwin awak kena juga bangun siapkan saya nak pergi kerja…” Tambah Zaidan.
Bibir melepaskan ketawa halus. Suka pula dia. “Awak kena selalu doakan saya mudah bangun tidur.”
Spontan lawa halus meletus dari bibir Zaidan. Patutlah Hajah Arafah selalu bisingkan Eleena, susah bangun tidur rupanya. “Dah kahwin nanti pandailah awak belajar sendiri..”
Eleena menyisir lembut rambut panjang miliknya. Hajah Arafah melabuhkan duduk di birai katil Eleena. “Macam mana persiapan kahwin? Apa lagi yang belum siap?”
Dah mula dah mama dia… “Ma, jangan risau.. Semuanya El akan uruskan dengan Eden. Mama janganlah kelam-kabut sangat.”
“Apa pula yang tak kelam-kabut.. Ni dah tinggal berapa minggu aje lagi El oi..”
“Lama lagi ma. Dekat dua bulan lagi. Banyak masa lagi.”
Nafas dilepaskan berat. “El, baju kahwin dah tempah ke?”
Eleena sengih. “Esok El pergi dengan Eden. Haritu tak sempat sebab pilih cincin lama sangat…” Dalih Eleena. Padahal dia tak sempat pun nak pilih baju sebab bergaduh dengan Zaidan kes cincin besar gedabak yang Zaidan nak belikan untuk dia.
“Tak sempat sebab bertengkar dengan Eden tak habis-habis?” Kening di angkat sedikit sambil memandang wajah anak daranya dalam cermin meja solek.
Tahu-tahu aje mama dia. Pakar! “Ala, Eden nak pilih cincin yang El tak berkenan.. Mestilah El bangkang habis-habisan ma..Nak pakai seumur hidup tu!”
“Allah Eleena oiii. Orang dulu-dulu kahwin tak perlu nak pilih cincin bagai. Apa yang emak mertua atau bakal suami belikan, itulah dia! Awak tu aje yang mengada-ngada nak memlih sangat!”
Eleena senyap. Jangan menjawab. Kang lagi panjang ceramah kau kena dengar.
“Habis bila nak pilih bajunya?”
“Kan tadi El dah bagitau.. Esok ma. Esok.”
“Jangan nak membangkang Eden tu sangat. Hormat sikit dekat dia. Itu bakal suami El. Apa yang dipilihnya itulah juga yang patut El pilih..” Nasihat Hajah Arafah.
Eleena bangkit duduk di sebelah mamanya di atas katil miliknya. “Iyelah mama.. El akan dengar cakap Eden mulai hari ini. El takkan bantah cakap Eden as long as benda yang disuruh dia tak bertentangan dengan agama. Ok ma?”
“Ada aje yang El nak menjawab cakap mama ni kan.”
Sengihan Eleena melebar. “Mana ada El menjawab. Betullah ni. El akan berusaha menjadi isteri sebaik mama untuk suami El kelak.”
“Belajar sikit bangun awal pagi. Ini tidak.. Asal lepas Subuh aje nak tidur! Nanti siapa nak siapkan makan pakai suami awal pagi?”
“El masak siap-siap masuk dalma peti sejuk. Kalau Eden nak makan, Eden just reheat dalam microwave aje ma. Senang!”
Serta-merta Eleena mengaduh kuat apabila Hajah Arafah menampar kuat peha miliknya. “Sakinya ma.. Aduh…” Tangan kanan menggosok peha sebelah kanan yang ditampar oleh Hajah Arafah.
“Tahu pun sakit. Ada ke nak biarkan suami makan sendiri. Kalau macam tulah elok tak payah ada isteri. Buat tambah dosa aje Eleena oi..” Hajah Arafah mula membebelkan anak perempuan tunggalnya. “Kita ni El.. Orang perempuan tak kisahlah berpangkat apa sekali pun, kalau dah kahwin kena juga turun ke dapur. Tolong sediakan makan pakai untuk suami. Kalau ada isteri tapi makan pakai suami nak kena cari sendiri baiklah tak payah kahwin. Buat sakit hati aje.”
Diam.
Eleena menggaru kepalanya yang masih lembab dek terkena air semasa mandi tadi.
“Dengar sini mama nak nasihatkan El. Mama ni dah berpuluh tahun kahwin. Mama kena nasihatkan anak mama ni.. Nanti mak mertua El ingat mama ni tak pandai nak didik anak dara pula.”
“Ish, mama ni.. Sampai situ pula. Takkanlah Puan Hadrawati tu nak fikirkan yang bukan-bukan pasal mama. Bonda Eden bukannya orang macam tulah ma.”
“Memanglah Puan Hadrawati tu baik aje orangnya.. Tapi kalau El tu dah kahwin pun tak reti nak jaga tingkah laku dan perangai, entah apa orang nak cakap pasal mama ni El.”
“Mama ni.. Nanti El dah kahwin dengan Eden pandailah El bawa diri. El takkan malukan mama dan papa. Jangan risau okay.” Tangan Hajah Arafah ditepuk perlahan. Bimbang sangat mama dia ni. Takkan lah dia nak biarkan orang fikir yang bukan-bukan tentang keluarga mereka.
“El akan bangun awal pagi untuk siapkan suami El. Rumah suami El akan sentiasa bersih, pakaian suami El akan sentiasa wangi dan El akan sentiasa nampak cantik untuk suami kesayangan El. Ok mama?” Bahu Hajah Arafah diraih lembut.
“Iyelah tu. Jangan pandai berjanji sekarang aje. Nanti bila mama datang buat lawatan secara mengejut mama pula yang terkejut tengok rumah El tu..”
Spontan Eleena tergelak kecil. “Jangan risau bos!”
“Mama ada lagi benda nak pesan dengan El..”
“Apa lagi ma?”
Nafas ditarik dalam-dalam. “Nanti dah jadi isteri ingat, nak keluar ke mana-mana jangan lupa minta izin suami..”
“Alah ma, benda simple aje tu.”  
“Benda simple macam tu lah yang mama risau El ambil ringan. Keluar rumah tanpa izin suami, El kena ingat setiap derap langkah El tu dosa tau.”
“Ye mama, El tahu semua tu.. Mama jangan risau.”
“El tu degil! Kalau dengan mama dan papa pun degil, apatah lagi dengan suami. Cuma mama harap nanti bila dah kahwin kurang sikit degil El tu. Ingat, setiap apa yang El buat, kalau takde redha suami semua tu dosa, tahu?”
Eleena memandang ke arah lantai. “Mama ni tak baik tau. Mama doakan lah El jadi isteri solehah, ya?”
“Iyelah El sayang! Dah, mama nak masuk tidur ni. Kalau nak pesan dengan El ni pun buat habis air liur mama aje. Sikit mama pesan, berjela-jela El menjawab dengan mama. Nanti dah kahwin jangan asyik menjawab cakap suami pula.”
“Mama!” Suara Eleena sedikit meninggi apabila Hajah Arafah asyik mengkritik dirinya. “Mama ni bercakap macam takde benda yang baik langsung pasal El tau..”
“Dah memang anak mama ni degil pun sejak kecil, nak buat macam mana lagi. Kepala batu!” Kepala Eleena diurut lembut dan perbuatan Hajah Arafah menyebabkan Eleena tergelak kecil akibat kegelian apabila Hajah Arafah menyentuh lembut kepalanya.
“Dah.. dah. Dah lewat malam ni. Esok kerja, tidur awal sikit, esok lepas Subuh bangun terus jangan nak tidur semula. Belajar bangun siapkan sarapan untuk mama dan papa pula.”
Eleena sengih kelat. “Baiklah mama ku sayang! Esok hidangan makan pagi untuk keluarga Haji Zamarul siap tersedia oleh anak perempuannya!”
“Jangan cakap aje tapi esok berdengkur tidur.”
“Mama pergilah tidur…” Eleena menolak tubuh Hajah Arafah keluar dari biliknya. Tidak mahu mendengar bebelan mamanya lagi. Padat sudah telinga mahu mendengar bebelan Hajah Arafah lagi.
“Good night. Assalamualaikum mama.” Ujar Eleena sebelum menutup rapat pintu biliknya.

No comments :

Post a Comment