Friday, 16 October 2015

Bab 1 Dia Lelaki Idaman Hati

Riana duduk menompang dagu. Perbualan dengan Puan Nani siang tadi benar-benar membuatkan dia terkejut beruk. Bukan dia buat-buat terkejut tapi dia memang terkejut sangat kerana Puan Nani sendiri yang datang berjumpa dengan dia! Memang ini yang dia inginkan selama ini tetapi adakah mereka sama-sama mahukan perkara ini?
Mengambil keputusan untuk pulang dan menetap di Malaysia selepas bertahun-tahun menghabiskan hidupnya di luar negara bukanlah satu perkara yang sukar untuknya kerana keluarga dia ada di sini.
Kalau ikutkan hati memang dia seronok berada di sana.. Tambahan pula mendapat peluang perkerjaan di sana. Kawan-kawan pun lebih ramai berbanding di Malaysia. Namun hidup berjauhan dengan keluarga bukan perkara mudah untuk dia. Perasaan ingin bermanja dengan Tuan Amin menjengah juga sekali-sekala. Rindu usah ditanyalah, bergunung-gunung rindu dia setiap hari kepada keluarga.
Pada awalnya memang dia mahu menerima tawaran untuk bekerja di sana kononnya untuk menimba pengalaman hidup bekerja di bumi asing. Namun selepas dipujuk oleh ibunya, Riana mengalah juga. Malaysia tetap negara dia! Sejauh mana dia pergi, jauh di sudut hati pasti ingin kembali.
Nafas dilepas perlahan. Riana memandang kotak cincin yang diletakkan di atas meja kayu di hadapannya. Memandang lama ke arah cincin tersebut. Mengenangkan Puan Nani yang sentiasa berpakaian cantik dengan aksesori mewah, Riana yakin harga cincin ini pasti bukan calang-calang.
Otak menerawang terkenangkan perbualannya dengan Puan Nani siang tadi.
“Ria tak tahu.. Ria belum ada jawapan untuk lamaran auntie. Abang Ad macam mana?” Soal Riana memandang ke wajah Puan Nani.

“Ad tu anak auntie Ria.. Auntie kena hati budi dia.”
Riana menghela nafas panjang. “Ria..”
“Kenapa? Ria dah ada calon sendiri ke? Tapi ibu Ria beritahu auntie yang belum pernah bawa sesiapa jumpa dengan dia sebelum ini.”
Memanglah dia belum pernah bawa sesiapa kerana dia memang tidak ada sesiapa calon untuk diperkenalkan kepada ibu bapanya selain Firhad. Tambahan pula dia baru sahaja pulang ke Malaysia dan mula bekerja dengan Tuan Amin beberapa minggu lalu.
Memang ibu dan ayah ada memberitahu yang Puan Nani dan Encik Musa masuk meminang. Sangkanya ibu dan ayah hanya melawak dengan dia kerana kedua ibu bapanya memang tahu dia sukakan Firhad.
Tak sangka Puan Nani betul-betul masuk meminang..
“Haritu auntie ada hantar cincin tanda, ibu dengan ayah Ria minta masa.. Nak tanya kepada Ria dulu.”
Riana mengangguk. Dia ada melihat cincin emas putih yang dihantar oleh Puan Nani. “Cantik sangat cincin yang auntie hantar tu.. Segan sangat Ria.”
“Ria apa yang nak disegankan? Bukannya kita ni baru kenal. Auntie dah kenal Ria sejak Ria kecil lagi. Ria sudi ya jadi menantu auntie?”
Dia memang sudi! Sudi sangat kalau nak kahwin dengan Firhad tetapi bagaimana dengan lelaki itu? Sudikah Firhad menerima dia?
“Abang Ad tahu tak pasal auntie melamar Ria?”
Puan Nani tergelak kecil. “Ria, kenapa Ria risaukan Ad? Tak perlu risau, Ad tu anak yang baik.. Selama ini pun dia layan Ria dengan baik. Dia sangat sayangkan Ria. Sebagai ibu kepada Ad, auntie yakin pilihan antie tak silap. Ad pasti gembira kalau dia tahu Ria akan jadi isteri dia..”
Kalau boleh dia mahu bercakap dengan Firhad sendiri. Mahu dengar Firhad melamar dia sendiri.. Dia mahu mendengar dari bibir Firhad sendiri betapa lelaki itu menginginkan dia sebagai seorang isteri.
Lagipun sudah setahun lebih dia langsung tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu. Mungkin Firhad sudah ada teman wanita.
Atau kasih Firhad terhadap dia sudah berubah? Atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan perasaan. Dia tidak boleh meneka apa yang bermain di hati Firhad kerana sudah lama sepasang mata itu tidak memandang ke wajahnya.
Auntie, Ria tak boleh beri auntie apa-apa jawapan sebab Ria belum berjumpa dengan Abang Ad. Mungkin Abang Ad dah ada pilihan hati dia sendiri..” Riana cuba memancing Puan Nani.
“Ad masih single lagi Ria. Ad tu sibuk mengalahkan perdana menteri! Mana ada masa nak bercinta..”
Riana boleh melepaskan nafas lega. Firhad masih bujang! Hati menari riang. Lama dia tidak berjumpa dengan Firhad dan apa perkembangan terbaru mengenai lelaki itu langsung dia tidak tahu. Kot-kot dalam diam lelaki idaman kalbunya mempunyai teman wanita, siapa tahu.
“Ala… mungkin Abang Ad bercinta dalam diam tu auntie. Saja nak rahsiakan daripada auntie.”
“Ria, siapa pun pilihan Ad, auntie tetap pilih Ria. Keputusan auntie muktamad. Ad takkan boleh melawan apa kata auntie.” Puan Nani menggunakan kuasanya untuk mematikan persoalan Riana. Dia tidak kira siapa pun Firhad pilih, dia tetap mahukan Riana sebagai menantu dia.
Bukannya dia baru kenal dengan Riana… Sejak kecil dia melihat wajah ayu Riana. Sejak dulu lagi dia memang mahukan Riana dalam rumah dia.. Dia sayangkan Riana macam anak dia sendiri.
Sudah lama juga dia sampaikan hasrat untuk bermenantukan Riana kepada Shima dan Amin. Ketika itu Riana masih belajar. Dia mahu Riana menjadi menantu dia.. Namun ditolak secara baik oleh Shima dan Tuan Amin dengan alasan anak mereka masih terlalu mentah. Tambahan pula Ruzanna masih belum berkahwin. Tidak elok langkah bendul.
Ah, itu dua tiga tahun lepas. Sekarang ini Riana sudah pun berusia dua puluh tujuh tahun. Kalau nak tunggu Ruzanna memang membujang Firhad sampai ke tua. Puas juga dia memujuk Tuan Amin dan Shima agar mendapatkan persetujuan Riana..
Namun sudah hampir tiga minggu belum juga ada keputusannya. Akhirnya dia sendiri terpaksa berdepan dengan Riana untuk memujuk gadis kesayangannya itu.
Auntie harap Ria boleh terima Ad.. Auntie memang nak sangat tengok Ria dan Ad bersatu sebelum auntie tutup mata..”
Riana hanya mengangguk lemah. Dia pun mengharapkan perkara sama tetapi dia mahu tahu apa isi hati Firhad. Tak mahulah nanti dia pula yang terhegeh-hegeh mahukan lelaki itu sedangkan Firhad langsung tak sukakan dia. Buat malu sahaja!
“Ria!”
Sergahan Ruzanna mematikan lamunan Riana. Tangan pantas menampar kuat punggung Ruzanna yang baru sahaja mahu melabuhkan duduknya di sebelah Riana.
“Sakitnya! Tangan besi ke Ria ni?” Ruzanna mengomel kuat apabila bisa tamparan tadi meresap sehingga ke saraf sakit.
Sorry, terkuat pula. Ingatkan tamparan manja tadi..” Riana sengih kepada kakaknya.
“Termenung apa dari tadi? Ingatkan Firhad?”
Skodeng Ria?”
Hello! Kak Zana nampak Ria dari dalam rumah ya.. bukannya mengendap! Perasan punya budak..”
Riana tergelak mengekek melihat wajah geram Ruzanna. “Kak Zana baru balik kerja ke?”
“Takde lah baru balik.. Dah siap mandi dan solat Asar.”
Kepala diangguk perlahan.
“Ingatkan apa? Lamaran Auntie Ani?” Mata Ruzanna menyorot jatuh kepada sebentuk cincin yang berada di hadapan Riana.
Sekali lagi kepala diangguk.
“Ria dah jumpa dengan Ad ke belum?”
“Belum lagi Kak Zana…” Perlahan suara Riana menyentuh gegendang telinga Ruzanna. “Ria tak tahu macam mana reaksi Ad kalau jumpa Ria sebab Ad tak tahu langsung mengenai lamaran Auntie Ani.”
“Jumpalah dia.. Tanya dia sendiri dia nak kahwin dengan Ria ke tidak.”
“Ish, Kak Zana ni.. Ada pula macam tu! Mestilah Ad yang kena tanya Ria sama ada Ria setuju atau tak kahwin dengan dia.. Takkan Ria perempuan nak tanya dia pula. Tak malu betul tau!”  Ujar Riana yang tidak bersetuju dengan cadangan Ruzanna.
“Tak fahamlah Kak Zana dengan Ria ni. Ria nak kahwin dengan Ad kan?  Kan Auntie Ani dah lamar Ria.. Jadi Ria terima ajelah lamaran tu.. Then, kahwin dengan Ad. Bukan tu ke yang Ria harapkan selama ini?”
Riana bangkit bergerak menjauhi Ruzanna. Berjalan perlahan ke arah deretan pokok bunga ros yang ditanam oleh ibunya. “Tapi Ria nak tahu apa perasaan Abang Ad pada Ria.”
“Kan dia selalu manjakan Ria sejak dulu lagi.. Pernah ke Ad hampakan harapan Ria? Tak pernah kan?” Ruzanna menbidas kata-kata Riana.
“Yang tu lain kak.. Tak sama. Lagipun dah setahun Ria tak jumpa dengan Abang Ad. Ria tak tahu apa perasaan dia pada Ria. Mungkin bila dia tengok Ria nanti, dia dah tak sayangkan Ria macam dulu.. Ini soal hati dan perasaan.”
Ruzanna memegang kepalanya yang pening dengan sikap Riana. “Eiii, peninglah Kak Zana dengan Ria ni!”
Keluhan kecil dilepaskan. “Ria pun tak faham juga Kak Zana. Ria harap Abang Ad sendiri yang datang lamar Ria.. Tunjuk kesungguhkan dia untuk memperisterikan Ria..”
“Entahlah Ria. Kalau Kak Zana jadi Ria, akak malas nak peningkan kepala dengan benda remeh macam ni. Orang dah masuk meminang, terima ajelah.. Tambahan pula lamaran tu datang daripada orang yang kita sayang bukannya sembarang orang yang tak dikenali. Ria memang nak kahwin dengan Ad, jadi terima ajelah pinangan tu. Simple.”
“Memanglah mudah untuk terima pinangan dari Auntie Ani tapi Ria nak tahu apa perasaan Abang Ad pada Ria. Tu je.”
“Perasaan dia pada Ria sama macam dulu juga. Apa yang berubahnya?”
Riana jongket bahu. Dia pun tidak tahu apa yang sebenarnya dia mahukan daripada Firhad. Nak kahwin dengan Firhad, yes memang itu dia nak sejak dulu. Bila lamaran daripada mama Firhad sampai, dia pula asyik nak berfikir dan berfikir.
“Apa lagi yang menyesakkan kepala otak Ria? Kak Zana tak faham betullah dengan Ria ni. Penting ke lamaran daripada Firhad berbanding lamaran dari mama dia? Kak Zana tak nampak langsung apa bezanya. It is still a proposal!”
“Bagi Ria masa untuk fikir dulu..”
“Terpulanglah pada Ria.” Ruzanna kehilangan kata-kata. Riana memang kompleks. Nak melamar pun kena ada cara bagai. Buat apa yang penting sudahlah! Tak perlu nak lelaki romantis bagai. Entah wujud ke tidak lelaki seperti itu di dunia ini!
Album lama gambar kenangan dia bersama Firhad diselak satu per satu. Wajah kacak lelaki itu membuatkan hati Riana tenang. Senyuman manis Riana berada di sisi Firhad membuatkan Riana yakin akan perasaannya terhadap lelaki itu.
Gambar kenangan ketika dia dan Firhad bermain salji di luar negara menarik perhatian Riana. Ya, bertahun-tahun lamanya dia mengenali Firhad dan keluarga lelaki itu.
Selepas mereka besar, hubungan mereka berdua masih lagi baik dan rapat sehingga sekarang. Ya, dia andaikan mereka masih rapat sehingga sekarang walaupun sudah setahun lebih tidak berjumpa antara satu sama lain. Hanya sekali-sekala Firhad membalas kiriman emelnya. Itupun kadangkala selepas berbulan lamanya dia menanti balasan lelaki itu.
Menurut Firhad dia terlalu sibuk dengan urusan kerja dan tiada masa untuk diri sendiri langsung. Jadi masa untuk dia membalas emel adalah sangat terhad.
Pernah juga dia terasa hati dengan lelaki kesayangannya itu apabila dia menghantar kiriman emel yang sangat panjang kepada Firhad dan menantu hampir berbulan lamanya, Firhad hanya membalas “Ria, please take care of yourself. I miss you, always!”
Album ditutup perlahan. Kepala menoleh ke arah meja solek. Kotak cincin yang berada di atas meja itu dipandang dari jauh.
Perlahan-lahan kaki diatur ke arah meja solek. Tangan mencapai kotak cincin. Sebentuk cincin emas potih yang dihiasi dengan sebiji permata di atasnya dikeluarkan dari kotak. Tangan kiri menyarung cincin ke jari manis tangan kanannya.
Lama mata Riana memandang cincin yang tersarung di jari manisnya. Dia jatuh hati dengan cincin ini. Ya Allah, cantik sangat!

ps : Tiba-tiba ada cerita baru. Mesti stress, kan? o.O'

3 comments :