Sunday 15 November 2015

Bab 4 DDia Lelaki Idaman Hati

Terkocoh-kocoh Riana memanjat anak tangga dengan kasut tumit tinggi halus miliknya. Nasib baik tak tersadung. Memang bahaya sangat kalau berlari dengan kasut tumit tinggi. Dia sememangnya adalah peminat kasut bertumit tinggi. Kalau pakai kasut tumit tinggi memang rasa tahap konfiden meningkat sehingga ke tahap tertinggi. Lagi-lagi kalau kasut bertumit halus. Agaknya dia memang lahir dengan kasut bertumit tinggi kot!
Nafas lega dihembus. Nasib baik lelaki itu masih lagi di sana. “Abang Ad, Ria minta maaf sebab lambat. Jalan jammed teruk sangat.”
“Abang pun baru aje lima belas minit sampai ni.. Tadi meeting dengan klien habis lambat.” Melihat senyuman di bibir Firhad, hilang melayang semua lenguh di betis dan penat akibat berlari-lari sebentar tadi. “Ria datang dengan apa? Drive sendiri?”
Riana mengangguk.
“Wah, dah ada lesen kereta ye sekarang? Dulu masa last jumpa abang punyalah takut nak memandu. Tak sangka sekarang ni dah ada lesen kereta.”
Riana tergelak kecil mendengar komen Firhad. Lelaki itu masih ingat memori mereka belajar kereta bersama-sama. Eh bukan. Dia yang memaksa Firhad mengajar dia memandu. Nasib baiklah lelaki itu berani. Tidak seperti kakaknya Ruzanna, penakut ya ampun! “Abang Ad yang ajar Ria memandu..”
“Dah lama ke Ria ada lesen ni?”
“Dah dekat setahun lebih dah.. Kira dah pro memandu sekarang ni tau!” Balas Riana.
“Amboi, pro! Kiranya dah pandailah mencilok dalam memandu ya?”
Mendengar perkataan mencilok, Riana tergelak kecil. “Yang itu belum pakar lagi.. Kena belajar sikit-sikit. Tak berani sangat nak mencilok dekat sini Abang Ad. Takut orang langgar kereta kesayangan.” Renault Megane RS tu ayah yang hadiahkan untuk dia selepas dia berjaya dalam ujian memandu. Ingat senang ke nak ambil ujian memandu sampai lima kali? Kalau tak bersabar memang dia pakai driver ajelah sekarang ini.
“Abang ada satu soalan untuk Ria.. Berapa kali Ria ambil ujian memandu?”
Deng!
Lambat-lambat bibir mengukir senyuman. “Lima..”
“Lima belas?” Riak wajah Firhad jelas terkejut.
“Hey, lima kali ajelah!”
Tangan naik mengurut dadanya. “Abang ingatkan lima belas kali tadi..”
“Ala Ria ni takdelah teruk sangat..”
“Ala, janganlah merajuk.. Abang main-main ajelah tadi tu. Tak sangka Ria dah besar panjang macam ni. Dah lawa sangat bila pakai tudung. Abang almost tak cam Ria semalam..”
Ala, Firhad oi janganlah senyum menggoda macam tu. Cair sangat hati dia sekarang ini. “Mana ada. Ria biasa-biasa ajelah.” Ah sudah. Kenapa dia pula jadi macam kucing parsi nak bermanja-manja ni. Riana! Jangan buat hal. “Er, Ria dah lapar ni. Mana pula waiter ni..” Leher dipanjangkan menjenguk waiter yang berdekatan.
Melihat Firhad melambaikan tangannya Riana duduk ke dalam posisi normal semula.
“Order miss?”
Riana mengangguk-angguk kepala waiter yang datang. “One orange juice and Chicken Alfredo.”
“Eh, Ria tak nak makan nasi ke?”
“Saja nak makan westen..”
Firhad tergelak kecil sebelum bersuara. “Lama sangat duduk di US sampai balik sini pun dah takde selera nak makan nasi ye? Tekak orang putih?”
“Ish, bukan macam tu lah. Nasi banyak kalori. Nanti gemuk.” Sengaja mencari alasan.
“Habis Chicken Alfredo tu takde pula kalori cheese ya? Double fat!”
Riana sudah serba salah. “Okay lah kalau macam tu Ria tukar makan nasi..” Buku menu sekali lagi dibuka.
“Abang main-main ajelah. Takpe, Ria memang kurus sangat. Kalau berisi sikit lagi baru lawa. Makan cheese banyak-banyak ya.” Ei, saja aje Firhad ni nak usik dia tau!
“Tak lawak..”
“Bagi saya fresh orange dan nasi bojari dengan rendang daging ya..” Selesai memesan makanan mata Firhad kembali dihala ke wajah cantik di hadapannya. “Ria nak apa-apa lagi?”
Pantas kepala digeleng. Dia memang nak jaga pemakanan dia. Sejak dia balik ke Malaysia dia sibuk dengan kerja dan langsung tak sempat nak bersenam. Kalau tak jaga makan dengan betul memang gemuklah dia nanti!
Okay that’s all. Thank .”
Pelayan berlalu meninggalkan meja mereka.
“Ria kena makan banyak.. Sekarang Ria dah kerja, banyak tenaga nak digunakan. Kalau tak makan elok-elok macam mana nak dapatkan idea yang bernas untuk design rumah orang? Design pejabat orang?”
“Abang Ad janganlah risau pasal Ria. Ria makan setiap hari..”
“Makan setiap hari tapi bukan pada waktu makan yang betul.. Tak betul tu.”
Macam inilah Firhad sejak dulu. Manjakan dia dengan kasih sayang dan kata-kata nasihat. Lelaki ini memang matang. Kerana lelaki inilah dia tidak pernah mempunyai mana-mana kawan lelaki yang rapat. Dia mahu Firhad sahaja lelaki asing yang rapat dengan dia selepas abang kandungnya sendiri.
“Ria janji lepas ni Ria akan makan dengan elok. Okay?”
Firhad sengih. Kalau dulu dia boleh mencuit hidung atau mencubit pipi Riana tetapi sejak semalam bila dia melihat Riana bertudung dia tahu pergaulan dia dengan Riana bukan lagi seperti sebelum ini. Dia tidak lagi bleh menyentuh Riana sesuka hatinya walaupun dia sangat-sangat sayangkan Riana.
“Ria ingat tak dulu masa kita kecil kalau Ria datang rumah abang kita mesti akan berebut makanan. Ingat lagi tak dulu mama abang suka buatkan kita kek cawan.”
“Abang yang suka ambil makanan Ria. Auntie Ani memang dah agihkan kek kita sama rata tapi Abang Ad yang makan banyak!” Garpu diangkat ke udara dan ditunjuk-tunjuk ke arah Firhad. Muka geram ditayangkan di hadapan lelaki itu.
“Tak cukup.. Ria pulak makan lambat sangat. Sengaja nak layur dekat abang kek-kek tu semua kan?”
“Mana ada. Ria sayang nak makan kek cawan tu sebab auntie buat cantik sangat..”
“Eleh iyelah tu.. Padahal saja nak tayang dekat abang..”
“Ei, mana adalah! Abang Ad dengan Kak Yati pun suka bergaduh berebut toys! Oh my God.. Waktu tu Abang Ad dengan Kak Yati dah pergi primary school!  both still played with my toys!
Tawa Firhad ditahan-tahan agar tidak meledak kuat. Memang dia main dengan anak patung Riana sebab dia mahu mengusik Riana. Riana pula pantang harta bendanya diusik. Kalau ambil sikit aje nangis! “Lepas tu kami ambil bawa balik anak patung Ria kan? Menangis aje Ria dulu..”
Muka Riana berubah kemerahan. Segan pula dia dengan Firhad ketika ini. Dia sudah besar.. Memori itu sudah terlalu lama berlalu. Sudah hampir tujuh belas tahun mereka berpindah duduk di Malaysia.
Menghabiskan masanya dia bumi asing ketika dia mula mengenal dunia, memang sangat sukar untuk dia memulakan hidupnya dia bumi Malaysia. Pulang ke Malaysia ketika dia berusia sepuluh tahun dan ketika itu Firhad sudah berusia tiga belas tahun. Langsung dia tidak mempunyai kawan ketika dia mula-mula masuk ke sekolah.
Ketika itulah dia mengenali Asma. Budak perempuan yang selalu comot bajunya dengan kesan ais krim coklat.
“Abang Ad ingat Asma?”
“Ish takkanlah abang lupa.. Kawan terbaik Ria kan?”
Riana tergelak sambil mengangguk. Dia memang selalu menggelarkan Asma sebagai kawan terbaik yang dia pernah ada kerana hanya Asma yang sudi berkawan dengan dia suatu ketika dahulu. Iyelah dia pulang ke Malaysia dengan membawa berpuluh ribu patah berkataan Bahasa Inggeris memanglah dia sukar mahu berkawan dengan anak-anak kecil sebaya dengannya ketika itu. Hanya perkataan ibu dan ayah yang dia tahu ketika itu.
“Masa tu As sorang aje yang boleh cakap Bahasa Inggeris dengan lancar. Ria rasa lost gila masa dekat sekolah! Tak suka Malaysia waktu tu.. Abang Ad pulak dekat sekolah menengah. Takde sesiapa nak jaga Ria.. Sedih tau!”
“Tahu.. Sebab tu Ria selalu menangis masa dekat sekolah kan?”
Tangan naik menutup mukanya. “Malunya Ria dekat Abang Ad… Ria memang kuat menangis kan!”
Bersungguh-sungguh kepala diangguk di hadapan Riana. “Budak kuat nangis dan cengeng!”
“Jahat..”
“So, Ria suka Malaysia kan?”
Yes I am so in love with Malaysia! Ria sukakan semuanya tentang Malaysia.” Ikhlas dia menuturkan ayat itu. Berada di Malaysia sebelum dia kembali terbang ke bumi asing untuk menyambung pelajaran membuatkan dia lebih menghargai Malaysia.
Dekat Malaysia ni cakap ajelah nak makan apa semuanya ada! Kalau di luar negara kau teringin nak makan nasi lemak memang kena masak sendirilah nampaknya.
“Apa yang ada di Malaysia yang membuatkan Ria rindu sangat nak kembali ke sini?”
Sini ada Abang Ad.
Nak aje dia jawab macam itu kepada Firhad. Ayo, Riana jangan buat malu company! “Sini kan ada keluarga Ria.. Ada keluarga Abang Ad. Semua orang tu buat Ria rindu sangat nak balik sini..”
“Abang pun rindukan Ria juga.”
Lekas-lekas Riana melarikan pandangan matanya yang berlaga dengan anak mata Firhad sebentar tadi. Segan! Firhad nampak ikhlas ketika menuturkan perkataan rindu.
Actually abang terkejut sangat bila nampak Ria semalam..”
Perbualan sedikit terganggu apabila pelayan datang menghantar makanan mereka.
Thank .” Ujar Riana apabila Chiken Alfredo diletakkan di hadapannya.  “Abang Ad terkejut kenapa?”
“Ria nampak lain sangat.. Cantik bila Ria bertudung.”
Spontan tangan menyentuh tepi kepalanya dengan hujung jari. Firhad puji dia cantik. “Ria biasa-biasa aje lah Abang Ad.”
Since when Ria bertudung? Abang tak pernah tahu pun..”
“Agak lama lah juga.. Dalam setahun lebih..” Dia memang lama tidak bertemu dengan Firhad kerana masing-masing sibuk menguruskan kehidupan sendiri. Dia sibuk dengan thesis dan Firhad sibuk mengembangkan perniagaan Encik Musa.
“Lama betul tak jumpa sampai abang tak sedar yang Ria dah berubah.”
Riana mengangguk dalam senyuman.
By the way, abang suka tengok Ria macam ni. Sopan dan sangat cantik! Congrats!”
Perlahan-lahan senyuman terukir di bibirnya. “Memang ini yang sepatutnya sejak dulu kan.. Ria yang sibuk sangat nak berfesyen itu dan ini. Sebenarnya bila bertudung ni lagi banyak ruang fesyen yang terbuka. Setiap hari macam-macam gaya tudung Ria boleh gayakan.”
“Wah, wanita bekerjaya yang anggunlah Ria kalau macam ni.”
“Ada-ada ajelah Abang Ad ni. Segan Ria tau!”
“Apa yang nak segannya.. Memang dulu abang selalu usik Ria macam ni kan.”
Dulu lain. Dulu dia tidak bertudung. Dulu dia bebas memeluk dan mengheret tangan Firhad ke sana dan ke mari tetapi sekarang dia sudah berbeza. Dia bukan lagi Riana yang mengada-ngada seperti dahulu. Dia bukan lagi Riana yang tidak matang.
“Abang suka Ria yang sekarang. Matang dan anggun.”
Hirisan ayam yang baru sahaja mahu masuk ke mulut diletakkan semula. “Oh, Ria yang dulu Abang Ad tak sukalah ya?”
Nasi dalam mulut dikunyah perlahan. “Ria yang dulu kuat menangis sangat.. Abang rasa macam layan budak kecil. Ria yang ada depan abang hari ni Ria yang matang, penuh dengan tingkah laku sopan dan memang ada ciri-ciri isteri mithalilah!”
Dengar sahaja perkataan isteri tangan Riana terasa seram sejuk.
Auuu, Firhad nak melamar dia ke sebab tu lelaki ini memuji dia bagai nak rak?
“Nak jadi isteri siapa.. Mana ada yang sudi.” Sengaja Riana mahu memasang perangkap.
“Ye lah tu taka da. Entah-entah Ria ni jual mahal tak?”
“Betul memang tak ada lah..” Bulat mata Riana cuba meyakinkan Firhad bahawa dia memang tidak mempunyai mana-mana teman istimewa. Dalam hati dia hanya ada lelaki itu.
“Nanti adalah tu yang muncul. Ria sabar ya?”
Firhad nak buat kejutan?
Okay, jangan nak mula perasan Riana nanti kau yang sakit sendiri!
Makan tengah hari dengan Firhad berakhir pada jam empat petang. Makan tengah hari lah sangat kan sampai pukul empat. Makan, berbual, ketawa dan berbual lagi. Dia suka dengan Firhad! Suka sangat-sangat. Rasa jatuh cinta tergolek-golek kepada lelaki itu.
Hujung jari mengetuk stereng kereta.
Seronok sangat hati dia hari ini. Berbunga-bunga riang walaupun sesekali dia diketuk dengan emosi resah. Bimbang kalau hati Firhad sebenarnya dimiliki oleh wanita lain. Kalau ya, macam mana dengan dia?
Sanggupkah dia melihat Firhad bersanding dengan perempuan lain di atas pelamin?
Ala, tak nak lah macam ni! Dia sejak kecil lagi berangan nak kahwin dengan Firhad. Bila dia sudah besar dia masih lagi berangan benda yang sama. Mengahwini lelaki yang dia cintai.
Selendang yang terasa kurang selesa ditarik sedikit ke belakang. Selendang jenis kain satin ni memang sedikit licin jika nak dibandingkan dengan kain kapas.
Telefon bimbit yang tiba-tiba berbunyi menyebabkan Riana pantas memberhentikan keretanya di bahu jalan tanpa memberi isyarat ke kiri.
Dum!
Again?
Aduhai, malang apa yang mengekori dia sejak balik ke Malaysia? Takkanlah baru seminggu lepas dia langgar orang, minggu ni dia langgar lagi?
Telefon bimbit yang berteriak dibiarkan di dalam kereta. Kaki melangkah keluar melihat kejadian yang berlaku sepantas kilat itu.
Riana menunduk sedikit mencari wajah orang yang terduduk di atas jalan raya.
Are you  okay?”
Mulut ternganga luas apabila lelaki dihadapannya ini menanggalkan topi keledar.
Ini jodoh atau kebetulan? Atau bala?
You again?” Ujar Raffael sambil tergelak kecil.
Lelaki yang bernama Raffael ni memang jenis tak reti nak marah ke? Hari tu lelaki itu gelak sakan bila dia cakap mungkin siku lelaki itu retak dan hari ini dia langgar motor besar Raffael lagi?
“Ye, saya. Saya rasa awak ni mungkin tak sesuai naik motor besarlah Raffael.. Mungkin awak patut beli kereta.” Pandai-pandai mulut dia aje bagi cadangan kepada Raffael.
“Awak pula patut naik motor supaya awak tak langgarorang yang naik motor, kan?”
Eh dia pula yang kena dengan Raffael. “Awak okay tak ni? Nasib baik saya tak laju tau.. Kalau saya tengah laju tadi mungkin awak melambung sampai ke langit.” Riana cuba berseloroh. Nampak gaya lelaki yang bernama Raffael ini macam okay.
“Takde apa-apa pun. Jatuh sikit aje.”
“Dah dua kali saya langgar awak ni.. Betul ke awak tak apa-apa? Motor awak ni ada cedera tak? Kalau ada cedera awak hantar ke bengkel nanti saya bayarkan semua kos kecederaan motor awak.”
“Motor saya tak cedera tapi nampaknya bumper kereta awak tu macam kena ketuk sikit.”
Pantas Riana menoleh ke belakang. Mulut ternganga luas. Tangan naik menepuk dahi! Habislah kalau ibu tahu! “Matilah saya…”
“Ada apa-apa saya boleh tolong awak?”
“Mana bengkel kereta? Dekat mana saya boleh ketuk semula kereta saya? Kalau ibu saya tahu ni habislah lesen kereta saya kena gantung nanti.”
Raffael tergelak kecil. “Anak manja emak rupanya.”
“Bukan anak manjalah Encik Raffael.. Saya tak nak ibu saya bimbangkan saya!” Geram bila ada orang menggelar dia anak manja. Dia bukan lagi anak manja.
Riana pegang kepalanya yang pening. Masaklah dia kali ni! Memang cuai betul.

1 comment :

  1. asyik bertembung dgn Rafeal nie mcm ada jodoh jer... hehe Alamak Abg Ad ada persaingan....

    ReplyDelete