Saturday 30 January 2016

Bab 9 Dia lelaki Idaman Hati


Dari jauh Raffael ternampak Riana yang sedang menulis sesuatu di dalam bukunya. Perlahan-lahan langkah kaki diatur ke arah wanita jelita yang sedang khusyuk langsung tidak menyedari kehadirannya.
Tubuh tegapnya berdiri di belakang Riana. Membaca satu per satu tulisan Riana. “Nak panjat Bukit Broga?”
Terkejut dengan sergahan di belakangnya, Riana pantas menoleh sementara tangannya pantas menutup buku sederhana tebal berkulit merah jambu. “Hey! Apa ni? Tak malu ke baca buku orang..” Satu jelingan maut dihadiahkan kepada Raffael.
Bibir tergelak sedikit apabila melihat wajah Riana yang masam mencuka. Marah betul. “Garangnya. Saya terbaca ajelah..”
“Apa yang awak nampak?”
Raffael senyum meleret. “Banyak.. Semua yang awak tulis tu saya baca.”
Wajah Riana berubah kelat. Geramnya dia dengan Raffael! “Berdosa tahu tak curi baca diari orang..”
“Awak nak pergi Bukit Broga?” Soal Raffael cuba mengalihkan emosi tegang ketika ini. Marah betul Riana dengan dia. “Kalau nak pergi jomlah saya bawa awak.”
“Saya takkan pergi dengan awak!”
“Habis dengan siapa?”
None of your business!”
“Okay… Saya minta maaf sebab cuti baca diari rahsia awak tu.. Tapi saya dah nampak 101 impian yang awak tulis dekat dalam buku awak tu.”
Dada Riana berombak sedikit kuat. Kalau ada cili memang dia nak cili mulut Raffael. Geramnya! “Apa yang awak nampak?”
Senyap.
Riana ulang soalan sekali lagi apabila Raffael buat-buat seperti sedang berfikir. “Awak baca apa lagi?”
“Entah, sebenarnya tak perasan sangat..”
“Cakaplah apa yang awak baca!” Tangan Raffael diketuk dengan pen yang masih dipegang oleh Riana.
“Awak nak panjat Bukit Broga, kan? Jomlah pergi dengan saya. Saya ada banyak masa untuk temankan awak ke sana.”
“Lagi apa yang awak baca?” Soal Riana tanpa mahu menjawab soalan Raffael berkaitan Bukit Broga. Dia yakin lelaki itu ada terbaca perkara lain selain daripada Bukit Broga.
“Tak nampak apa-apa lagi.”
“Tak baik menipu.. Berdosa besar, tahu?” Mengugut lelaki kacak di hadapannya ini.
“Siapa Firhad tu?”
Mata Riana terbuka luas. “Awak nampak apa?”
“Saya tak sempat baca habis awak dah tutup buku tadi.. Saya nampak banyak sangat nama tu dalam buku awak. Siapa tu?”
“Sibuk ajelah awak ni.”
“Teman lelaki?”
“Hey, jangan menyibuk ye.”
Raffael menongkat dagunya sambil memandang ke arah Riana. “Bakal suami ke?”
Kepala digeleng perlahan. Tidak percaya lelaki ini sedang mengorek rahsianya. “Jangan nak pandang saya macam tu lah, jatuh cinta nanti!” Diari dimasukkan semula ke dalam beg tangannya.
“Buat apa nak jatuh cinta dengan awak.. Saya ada orang lainlah.” Sengaja mahu melihat reaksi Riana.
Perlahan-lahan Riana tergelak kecil. “Dah tahu yang awak tu ada kekasih..” Emosi yang bercampur baur tadi mula stabil. Dia bukanlah marahkan Raffael sangat cuma dia geram apabila Raffael mencuri baca101 impian yang dia tulis. 101 impian yang ingin dia capai dalam hidupnya.
“Dah berapa banyak impian yang awak capai daripada 101 impian yang awak tulis tu?”
“Entahlah.. Saya tak kira pula.”
“Kenapa tak kira? Sepatutnya awak kira, jadi awak boleh tahu berapa impian yang telah awak capai. Lagi bagus kalau awak letakkan target untuk capai impian awak tu. Contohnya target untuk awak kahwin adalah pada 2020 atau mungkin 2050 nanti..”
Sekali lagi pen yang berada di tangan di ketuk ke jari Raffael. “Jahatnya! Kalau 2050 baru saya kahwin, jadi anak dara tua lah saya. Hmm, mungkin dah jadi nenek dara tua! Tak laku lagi dah..”
Raffael turut sama ketawa. Hati dia berbunga-bunga apabila melihat tawa Riana. Sebaris gigi putih melepak yang tersusun cantik, alis mata yang hitam pekat dan hidung mancung itu sangat menarik perhatian. “Awak ni memang cantik daripada kecil ke?”
“Awak tengah puji saya ke Raff?”
Raffael tergelak dengan lawak sendiri. “Gigi awak tu memang tersusun cantik macam tu ke?”
“Hey, awak ni.. Pasal gigi saya pula yang awak nak bualkan ye! Gigi saya ni pakai pendakap gigi masa saya dekat sekolah dulu. Kalau tak pakai pendakap gigi duit lima puluh sen pun boleh lalu dekat tengah-tengah ni tau.”
Raffael tergelak-gelak sambil menganggukkan kepalanya. Aduh, apasal dia tiba-tiba sebut pasal gigi Riana pula! Nasib baiklah Riana layan aje soalan dia sebentar tadi.
“Awak ni merepek betul Raff. Dah la, jom mulakan kerja.”
“Eh, kejaplah. Awak ni asyik fikirkan kerja je. Saya nak berbual pasal awak dulu. Kenal hati budi awak dulu ke..”
Kepala digeleng perlahan. “Takde makananya nak kenal hati budi saya, nanti buah hati pengarang jantung awak tahu yang awak ni menggatal dengan saya, tak pasal-pasal aje awak dengan dia bergaduh.. Paling tak syok kalau saya pula yang kena serang nanti!”
“Takde siapa nak serang awaklah Ria.”
“Kekasih awaklah!”
“Dia baik sangat.. Baik macam awak. Tak mungkin dia nak serang awak.”
Riana mengeluarkan satu fail berwarna merah hati dan diletakkan di hadapan Raffael. “Kalau dia baik, baguslah tapi jangan awak pula ambil kesempatan atas kebaikan dia tu ye.”
“Amboi, pedasnya sindiran tu. Rasa tertusuk sampai ke usus pula.”
“Ha, kalau terasa tu baguslah!” Sekali lagi mata Raffael tertarik ke arah Riana yang sedang ketawa bersungguh-sungguh.
“Dah la ketawa tu. Kang pengsan dekat sini saya pula yang nak kena angkat awak.”
Okay.. okay sorry. Ni saya dah siapkan pelan untuk pejabat awak.”
“Cepatnya awak buat?”
Riana senyum dengan pujian yang Raffael berikan kepadanya. Memang itulah pujian yang sering dia terima daripada pelanggan lain. Dia membuat kerja dengan pantas. Bukan pujian yang dia harapkan walaupun seringkali pujian singgah di telinganya namun dia berbangga apabila pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja dia.
“Saya cuba untuk siapkan sepantas yang boleh.”
“Saya tak gesa awak buat cepat-cepat ye. Bila-bila siap pun saya tak kisah..”
“Eh, mana boleh. Kalau lambat nanti awaklah yang rugi sebab syarikat tak boleh nak beroperasi. Jadi, saya nak tolong awak cepat-cepat buat duit.” Riana tergelak kecil. Berseloroh dengan Raffael.
Siapa sangka dia boleh berbual seperti ini dengan Raffael. Semasa kali ketiga dia betemu dengan Raffael dia pejabatnya dia agak tidak gemar kepada lelaki ini kerana sangkanya Raffael bermata keranjang, suka melihat perempuan cantik kerana dia nampak Raffael tersenyum-senyum kepada Mashitah rupanya lelaki ini memang ‘mesra alam’!
Berbual ramah dengan sesiapa sahaja termasuklah Rozaidi, abang Riana. Projek dia dengan syarikat Raffael merapatkan lagi hubungan antara mereka berdua.
“Ria?”
Ah? Oh.. Sorry.”
“Berangan apa ni? Saya ada depan mata awak pun berangan lagi ke?”
Riana ketawa serta-merta apabila mendengar sebaris ayat itu. Memang kuat perasan betullah Raffael ni!
“Awak jangan macam-macam ye.”
“Ni, pasal bilik ni. Saya nak ubah sofa ni dekat sini boleh?” Riana melihat jari telunjuk Raffael yang bergerak-gerak di atas kertas A4 putih.
“Mestilah boleh. Customers always right, kan?”
Raffael mengangkat jari telunjuknya ke udara dan ditunjuk ke arah Riana tanda ‘yes’. “Tapi kena tengok jugalah klien awak tu orangnya macam mana. Kalau jenis bertimbang rasa macam saya ni memang always right, kalau jenis cerewet suka hati mak bapak dia aje, kena juga awak mempertahankan hak awak sebagai owner. Tak boleh dia aje nak betul semua..”
Riana sengih. “Betul tu Encik Raffael. Terima kasih atas ingatan.”
Riana menyisip kopi yang sudah suam.
“Awak ni tak pening kepala ke asyik minum kopi?”
Riana menjegilkan matanya kepada Raffael. “Mana ada asyik minum kopilah! Sekali aje setiap hari..”
“Sekali sehari, sebulan berpuluh-puluh kali jadinya. Tak elok untuk kesihatan. Minumlah jus. Buah-buahan kan bagus untuk kesihatan diri.”
“Saya suka minum kopi. awak kena belajar minum kopi lepas tu barulah awak tahu nikmatnya kopi ni tau..”
Setiap kali dia jumpa Riana wanita ini pasti akan memesan kopi. Ini dah kali ketiga dia keluar dengan Riana sebagai klien, setiap kali itu jugalah wanita ini memesan kopi. “Belajar minum jus baru awak tahu betapa seronoknya dapat jus tu!”
“Saya minumlah.. Waktu tak minum kopi..”
“Degil betul.”
“Degil saya tak menyusahkan awaklah Encik Raffael oii. Bukannya awak yang nak kena jaga saya sampai ke tua nanti.” Sekali lagi cawan kopi di hala kea rah mulutnya.
“Siapa cakap? Manalah tahu kot-kot saya ni jodoh awak ke.”
Kopi yang baru sahaja melalui trakea tiba-tiba… ‘prufffffff!!!’
Riana kelam-kabut. “Raff, saya minta maaf! Ya Allah…” Mata Riana memandang baju kemeja putih yang dipakai oleh Raffael. Baju itu sudah bertompok air kopi! Beberapa helai tisu dihulur kepada lelaki itu.
“Ria awak ni.. Hish, memang tak senonoh betul!”
“Awak lah.. Yang awak cakap saya jodoh awak tu buat apa. Terkejut saya tau tak!” Boleh tak Raffael jangan buat lawak macam tu? Muka dah la kacak gila, buat lawak acah-acah berjodoh pula. Kalau dia tersuka nanti macam mana? Firhad nak campak dalam laut ke?
“Apa salahnya kalau awak tu jodoh saya?”
“Jangan nak merepeklah! Kesian teman wanita awak tau dapat bakal suami suka main-main macam ni..” Beberapa helai tisu dihulur lagi kepada Raffael. “Macam mana baju awak ni?”
“Kena balik rumahlah tukar baju lain..”
“Alamak. Awak ada kerja lain lagi ke?”
“Takpe,saya free sepanjang hari ini. Saya kena gerak dulu ni Ria. Kalau duduk sini sampai malam saya rasa penuh badan saya ni kena hurung dengan semut nanti.”
“Hah? Semut?” Riana tidak memahami apa yang hendak disampaikan oleh Raffael.
Melihat wajah Riana yang terpingga-pingga, Raffael ketawa perlahan. “Saya ni dah la manis, ditambah pula dengan kopi yang awak sembur ni. Bertambah manis mestilah semut suka.”
“Saya minum kopi pahit!”
Tawa besar terburai dari mulut Raffael. “Awak minum kopi pahit ke? Aduh, hilanglah kemanisan saya sepanjang hari ni..”
“Eh, merepek betul awak ni. Dah, pergilah balik dulu. Esok-esok pula kita sambung pasal kerja. Kalau dengan awak ni memang banyak berbual berbanding bekerja tau!”
Raffael memanggil pelayan. Selesai membuat bayaran, lelaki itu meminta diri untuk pulang. Riana menghantar sesusuk tubuh itu sehingga Raffael hilang dari kopitiam.
Jodoh?
Riana menyentuh dadanya yang masih berdebar.
Dulu ketika awal perkenalannya dengan Raffael, kalau lelaki itu sebut pasal jodoh, dia adalah orang pertama akan menentang jodoh mereka. Dia merasakan bahawa lelaki itu memang langsung tidak layak untuk bergandingan dengan dia yang sweet dan manja. Raffael memanglah macho tetapi sikap lelaki itu agak nakal dan keras berbanding Firhad.
Bila Raffael sebut pasal jodoh sebentar tadi hati dia memang berdebar bagai nak gila. Pergh, jangan buat hal! Kalau dia jatuh cinta dengan Raffael memang kerja gila semua ini. Dia nak kahwin dengan Firhad tak lama lagi aje tau?
Puan Zaimah dekat rumah tu dah sibuk membuat dulang hantaran untuk perkahwinan dia nanti. Bunga pun dah siap pilih tinggal nak cucuk sahaja lagi. Dia pula nak buat hal?
Teringat tentang Firhad, Riana mengeluarkan iphone dan mendail nombor lelaki itu. Selepas tiga kali mencuba dan tidak dijawab, Riana mengeluh kecil. Iphone disimpan semula di dalam beg tangan.
Susah betul nak berbual dengan Firhad. Kalau malam-malam dia telefon, jangan haraplah lelaki itu hendak menjawab, telefon waktu siang pun tidak berjawab juga?
Satu beg berisi fail berwarna hitam diambil dari kerusi di sebelahnya. Tas tangan juga disambar laju. Kaki melangkah keluar dari kopitiam. Dia perlu pulang ke pejabat semula. Masih banyak kerja lain yang belum disiapkan.

1 comment :