Friday 5 February 2016

Bab 11 Dia Lelaki Idaman Hati


Senyuman Riana manis sahaja sepanjang majlis berlangsung. Akhirnya satu lagi impian dalam 101 impian dia terlaksana. Bayangkan semua persiapan ini dilakukan dalam tempoh sebulan. Bersungguh betul Puan Nani dan ibu mahu dia berkahwin dengan Firhad. Dia pula terasa semua ini macam mimpi!
Terasa macam baru semalam Firhad lamar dia di restoran, tup tup hari ini dia sudah pun berkahwin dengan lelaki itu.
Anak mata melilau juga di sekeliling dewan mencari seraut wajah yang sudah seminggu dia langsung tidak bertentang mata. Selepas dia bergaduh dengan Raffael, Rozaidi mengambil alih tugas menyiapkan projek hiasan dalaman untuk syarikat Raffael.
Ada juga ternampak kelibat Raffael datang ke pejabatnya untuk bertemu dengan Rozaidi namun lelaki itu langsung tidak menegur dia! Terasa hati? Memanglah dia terasa hati dengan Raffael kerana mereka pernah rapat dan tiba-tiba sahaja lelaki itu melayani dia seperti tidak pernah mengenali antara satu sama lain.
Akhirnya Riana mengalah juga untuk menegur Raffael ketika lelaki itu datang bertemu dengan Rozaidi. Tetapi apa yang Raffael katakan kepada dia sungguh mengecewakan hati dia. Kalau dia boleh ulang semula apa yang dia tuturkan kepada lelaki itu dua minggu lalu, dia takkan minta Raffael jangan muncul depan dia! Dia akan terima Raffael sebagai kawan dia.
“Urusan syarikat saya dengan syarikat awak dah selesai. Saya janji dengan awak yang saya takkan muncul depan awak lagi lepas ni Ria.” Itu kata-kata Raffael yang menyebabkan dia menangis setiap malam. Merenung telefon bimbit menanti panggilan daripada Raffael namun hampa.
Tetapi yang menjadi persoalan dia sekarang ialah ke mana Raffael menghilang? Adakah lelaki itu benar-benar tidak mahu muncul di hadapan dia lagi? Dua hari lepas dia ada membuka laman facebook lelaki itu namun Raffael tiada dalam senarai carian dia. Adakah Raffael menyekat dia daripada melihat laman facebook lelaki itu?
Sesekali ada juga terbit rasa rindu kepada Raffael. Dia cintakan Firhad namun dalam  masa yang sama dia turut menyimpan rasa sayang pada Raffael. Dia sukakan lelaki itu, walaupun Raffael sedikit nakal tetapi lelaki itu sangat mengambil berat tentang dirinya lebih daripada apa yang Firhad lakukan.
Menelefon dia setiap malam sebelum tidur, memastikan dia makan setiap pagi sebelum masuk kerja dan paling dia suka ialah lelaki itu kerap muncul di hadapannya secara tiba-tiba. Riana memejamkan matanya. Cuba melenyapkan wajah Raffael yang terlayar diruang mindanya.
Sorry, abang nak ke sana kejap.” Lamunan Riana termati apabila Firhad meleraikan tautan tangan mereka.
Ish, takkan sebab Firhad tarik tangan pun dia nak terasa hati? Tak logik! Riana memujuk hatinya. Dia tidak tahu kenapa dia terasa hati dengan sikap Firhad yang nampak seperti tidak gembira dengan majlis malam ini.
Mata melirik memerhati pergerakan kaki Firhad. Lelaki itu mendekati sepasang perempuan yang duduk di bahagian tengah dewan.
Entah kenapa bibir terlepas keluhan berat. Kenapa Firhad nampak seperti tidak gembira? Adakah lelaki itu tidak sukakan perkahwinan mereka?
Bahu yang dicuit dari belakang membuatkan Riana menoleh. “As..”
“Apasal muka masam aje ni?” Soal Asma yang segak berkebaya warna merah.
“Sorang aje ke?”
“Kau nampak ada berapa ramai lagi aku bawak? Sorang ajelah cik kak oi..” Riana angguk. “Apahal muka pengantin masam aje ni?”
“Dia tak datang As..”
Asma mengerti maksud Riana. Dia yang dimaksudkan oleh Riana adalah Raffael. “Mungkin dia tak nak lukakan hati dia sendiri. Kau rasa apa perasaan dia kalau tengok kau bersanding dengan Ad malam ni? Mesti terluka, kan?”
Riana angguk perlahan. Masih rasa bersalah terhadap Raffael. “Aku tak tahu apa yang aku rasa.. Aku sedih bila teringatkan dia. kenapa dia tinggalkan aku?” Mata Riana mula berkaca.
Hey, tak elok kau buat macam ni Ria! Kau yang pilih Ad.. kau sepatutnya gembira dengan perkahwinan kau ni.”
“Ad macam tak happy je. Kau perasan tak?”
Asma menoleh mencari wajah Firhad yang dimaksudkan oleh Riana. Dari jauh dia nampak Firhad berbual dengan seorang perempuan. Agak serius riak wajah lelaki itu. “Mungkin dia happy tapi tak tunjuk dekat kau kot. Jangan risaulah. Kau ni banyak sangat fikirlah Ria!”
“Aku… aku harap sangat dia datang.”
“Ria, kau dah buat keputusan. Kau tak boleh macam ni tau! Berdosa!”
Riana angguk perlahan. Dia tak boleh tamak. Dia cintakan Firhad. Dia tak boleh lukakan hati Raffael. “Aku akan lupakan dia. Kau doakan aku, As?”
“Ishh, kau ni. Mestilah aku sentiasa doakan kau!”
Puan Nani mendekati Riana dan Asma. “Asma, auntie nak pinjam Ria kejap ye.”
“Eh boleh auntie.. Boleh.” Asma beredar meninggalkan Riana dan emak mertuanya.
“Ria, monyok aje mama tengok..”
Riana tersenyum kepada Puan Nani. Dia gembira melihat senyuman yang terukir di bibir Puan Nani dan ibu dia sepanjang hari. Memang kedua-dua orang tuanya nampak sungguh bahagia. Dia? Oh, haruslah dia seronok kerana akhirnya dia berkahwin dengan Firhad.
Kahwin dengan Firhad okay. Kawan-kawan sekolah menengah dia semua terkejut semasa dia menghantar kad jemputan kepada mereka. Semua terasa kagum dengan cara dia mengikat hati Firhad selama berbelas tahun sejak mereka kecil.
Soal hati dan perasaan dia terhadap Firhad bukan lagi rahsia dalam kalangan rakan-rakan sekolah dahulu. Lelaki kacak itu sering saja mengambil dan menghantar dia ke sekolah. Cuma sejak Raffael meluahkan rasa cinta, hati dia terkesan sedikit. Menolak cinta lelaki itu, memang menyakitkan hati dia. Sungguh dia tidak tahu kenapa! Mungkin kerana Raffael adalah lelaki yang paling rapat dengan dia agaknya. Dia sukakan kehadiran lelaki itu.
“Mama nak ucapkan terima kasih kepada Ria sebab sudi terima anak mama..” Kedua-dua belah tangan Puan Nani memegang kedua-dua tangan Riana. “Mama yakin Ria mampu untuk jaga Ad dengan baik.. Mama yakin cinta Ria mampu untuk membahagiakan Ad.” Ada sinar yang berkaca-kaca dalam mata emak mertuanya.
“Mama ni.. Macamlah Ria buat pengorbanan besar sangat. Ria kahwin dengan Abang Ad ajelah mama. Kalau mama bahagia, Ria lagi berkali-kali ganda bahagia dengan keputusan yang Ria buat.”
Serta-merta Riana tenggelam dalam pelukan Puan Nani. “Thank you! I love you. Mama harap walau apapun yang berlaku, Ria kuat dan tayah.”
Dup dap dup dap.
Puan Nani buat pesanan macam ini buat dia rasa nak meletup aje jantung dia. “Kenapa mama pesan macam ni.. Takut Ria tau.”
“Mama ni makan garam dulu sebelum Ria.. Asam garam dalam rumah tangga Ria.. Ada pasang surutnya. Jadi mama harap Ria kuatkan semangat.”
Aduh! Baru sehari kahwin Puan Nani dah pesan macam ni dengan dia? Allah! Buat dia rasa gelayah aje. Buat dia rasa macam Firhad nak tinggalkan dia aje suatu hari nanti. Mama, ini bukan kisah novel mama! Mama janganlah buat dia rasa susah hati pula.
“Mama janganlah cakap macam ni. Ria baru aje kahwin tau.. Ria nak bahagia sampai bila-bila. Seumur hidup!”
Sekali lagi tubuh Riana tenggelam dalam pelukan emak mertuanya. “Mama minta maaf kalau mama ada buat salah dan silap pada Ria..”
Nah! Ini lagilah buat dia rasa nak pengsan. “Apa mama cakap ni?”
“Kalau Ad ada sakitkan hati Ria, Ria cakap aje dengan mama. Biar mama ajar anak lelaki mama supaya lebih menghargai dan menyayangi perempuan yang baik macam Ria. Ingat tau pesan mama ni.. Kalau Ad ada buat Ria sakit hati, let me know. Tahulah mama nak ajar dia nanti.”
Riana ketawa kecil. Mata mencari wajah Firhad. Lelaki itu masih berbual dengan seseorang yang sama sejak tadi. Kata nak beramah mesra dengan tetamu. Dari tadi asyik tetamu yang sama aje.
“InsyaAllah, mama. Ria akan ingat pesanan mama sampai bila-bila. Kalau abang buat yang bukan-bukan pada Ria, Ria akan cepat-cepat cakap dengan mama.”
Puan Nani mengucup pipi menantunya. Sayangnya dia pada Riana. Sejak dulu lagi memang dia sangat-sangat sukakan Riana. Bila Firhad terbuka hati untuk menerima Riana, dia bersyukur kepada Allah swt. Dia lega akhirnya Riana menjadi menantu dia. Memang itulah yang dia harapkan selama ini.
“Mama nak pergi jumpa Datin Maimom dekat sana. Jom pergi sekali.”
Riana mengikut langkah Puan Nani. Tidak banyak soal.
Mendengar ada suara yang agak tegang dari dalam bilik, Riana berdiri kaku dia depan bilik pengantin. Tak jadi mahu menerpa ke dalam sana. Dari celah pintu yang sedikit terbuka, Riana mengintai mencari wajah yang berada di dalam bilik itu.
“Ad, kau ni memang idiot okay! You really don’t love her.. Aku tak faham betul perangai kau ni Ad! Kau patutnya kahwin dengan orang yang kau sayang bukannya membuta tuli dengar cakap mama dan papa!”
Mata Riana terbelalak besar. Telinga dia tak salah dengar.
“Kak Yati boleh tak diam? Jangan masuk campur dalam urusan Ad. Ad tahulah apa yang Ad buat..”
Fitriyati tergelak kecil. Tahu apa yang dibuat konon!
“Kau ni sampai bila nak jadi anak mama? Kau nak dengar aje cakap mama tu? Kau ada hak untuk mempertahankan hak kau Ad..” Fitriyati berjeda sebentar. “Ad, kau adik aku.. Aku sayangkan kau. Aku tak nak lihat kau tak bahagia dengan perkahwinan bodoh ni!”
Riana menekup mulutnya.
Perkahwinan bodoh? Apa maksud Fitriyati? Kenapa dia tidak tahu apa-apa rancangan di sebalik perkahwinan dia? Adakah Firhad berkahwin dengan dia disebabkan oleh harta Puan Nani dan Encik Musa? Adakah lelaki itu bimbang jika mereka berdua tidak berkahwin maka Encik Musa akan mewariskan hartanya kepada orang lain?
Oh Tuhan, adakah Firhad lelaki seperti itu?
Patutlah hari ini Puan Nani pesan kepada dia seperti ada rahsia yang tersimpan rupanya memang ada rahsia disebalik perkahwinan dia dengan Firhad! Sampai hati mereka menipu dia sehingga ke tahap ini! Sampai hati mereka.
“Kak, please get out. Nanti Ria naik dia dengar perbualan kita.”
“Takut?” Fitriyati buat muka selamba. Mengejek adiknya. “Riana tu manja! Aku rasa menyampah tengok dia dengan mama.. Asyik nak berkepit dengan mama sepanjang hari. Ei, berbulu mata aku ni kau tahu tak? Kau ni Ad, kalau nak kahwin pun carilah perempuan yang matang sikit. Kenapa kau tak kahwin aje dengan orang lain?”
“Kak! Ad dah kahwin kan? Jadi can  you please respect my decision?”
“Macam mana aku nak hormati keputusan kau kalau keputusan yang kau buat tu tak betul Ad? Aku sebagai kakak kau aku ada hak untuk nasihatkan kau. Kau dah silap buat keputusan kali ni. She can’t be a good wife.”
Riana telan satu per satu kata-kata kakak iparnya. Dia tidak mampu untuk menjadi isteri yang baik? Sedaya-upaya hati yang mahu meletup disabarkan. Riana menarik nafas beberapa kali sebelum mengetuk pintu bilik Firhad. “Abang..” Daun pintu ditolak sedikit. Dia yakin wajah dia adalah tenang dan selamba ketika ini.
“Eh Ria.. Masuklah. Em, Kak Yati can  please excuse us?” Fuh! Nasib baik Riana muncul. Boleh juga dia halau Fitriyati. Kalau tak sampai esoklah dia dengar kakak dia membebelkan dia. Suka hati dialah nak kahwin dengan siapa pun!
Fitriyati menjeling tajam kepada Riana. Riana hanya tersenyum kepada Fitriyati. Malas mahu melancarkan perang dengan kakak iparnya. Sabarlah Riana. Bukan semua orang sukakan kita sedangkan kita pun tak sukakan semua orang.
Riana yang baru sahaja hendak berlalu ke bilik air diseru oleh Firhad. “Ria..”
“Ya?” Riana menapak mendekati suaminya.
“Abang ada benda nak cakap dengan Ria.”
Jantung berdetak laju. Adakah lelaki ini mahu berkahwin lain? Adakah Firhad mahu berterus-terang sebab mereka berdua berkahwin? Adakah Firhad nak bagitahu dia kalau mereka tidak berkahwin Firhad akan kehilangan harta milik keluarganya?
Riak wajah dimaniskan sedaya-upaya. Riana duduk di bucu katil. “Cakaplah..” Senyuman manis dilemparkan kepada Firhad. Cuba berlagak tenang. Dia tidak tahu apa yang ada di dalam hati lelaki ini. Firhad menyatakan perasaan cinta yang amat sangat terhadap dia ketika melamar tidak lama dahulu.. Adakah rasa cinta itu palsu?
“Sebenarnya abang nak minta maaf pada Ria.”
“Kenapa?”
“Abang tahu Ria dengar perbualan abang dengan Kak Yati tadi, kan? Abang minta maaf sebab kita terpaksa terima perkahwinan ini..”
Terpaksa terima perkahwinan ini? Apa maksud Firhad? Dia ikhlas dalam perkahwinan ini! Dia bahagia saat Firhad melafazkan akad terhadap dia siang tadi. Dia perempuan paling bahagia kerana berkahwin dengan lelaki yang dia cintai!
“Ria tak faham.” Sumpah dia keliru!
“Abang minta maaf kalau abang ada lukakan hati Ria..”


“Apa maksud abang lukakan hati Ria?”
Firhad melarikan anak matanya apabila Riana memandang tepat ke wajahnya. “Abang terima perkahwinan ni sebab mama.” Perlahan ayat itu meluncur keluar dari bibir Firhad.
Jantung bagaikan direntap dari kedudukan asal dalam tubuhnya. Terasa hancur luluh hati dia. Inikah hadiah malam pertama yang sepatutnya dilayari dengan penuh rasa bahagia? Malam pertama yang dia bayangkan selama ini adalah indah. Malam yang penuh dengan ungkapan kata cinta dan janji setia sehingga ke hujung nyawa. Malam pasangan bercinta mengikat janji sehidup semati dan menanti di pintu syurga.
Tangan yang terasa menggeletar digenggam kuat. Tuhan, tolonglah berikan aku kekuatan! Riana tunduk memandang lantai.Kemudian perlahan-lahan kepala diangkat dan mata memandang ke arah suaminya.
“Kalau abang tak cintakan Ria kenapa dulu masa abang ajak Ria kahwin, abang cakap abang sayangkan Ria?” Air mata yang cuba dikawal tidak mampu untuk dibendung. Betullah kata kakak iparnya, dia manja! Terlalu manja.
Firhad duduk di bucu katil bersebelahan Riana. Mengeluh lemah. Dia sudah menjangkakan pengakuannya akan dibalas dengan air mata Riana. “Ria, abang memang sayangkan Ria tapi… Abang buat semua ni sebab mama. Ria tahukan mama sakit..Abang tak boleh lukakan hati mama.”
“Jadi abang buat ni sebab nak jaga hati mama? Habis macam mana dengan hati Ria?” Soal Riana keras.
“Abang minta maaf.. Abang hanya jujur dengan Ria.”
“Kejujuran abang melukakan hati Ria!”
“Tolong bagi abang masa. Please,”
“Masa untuk apa? Untuk abang buang Ria atau masa untuk abang jatuh cinta dengan Ria?” Firhad mengangkat mukanya memandang wajah Riana yang duduk disebelahnya. Wajah jelita itu sudah comot dengan air mata.
“Bagi abang masa untuk anggap Ria sebagai isteri abang.”
Riana tergelak kecil mendengar sebaris ayat itu. “Habis sekarang ni abang anggap Ria sebagai apa?”
“Abang.. Abang rasa pelik dengan hubungan kita. Abang tak boleh terima kehadian Ria secara tiba-tiba dalam hidup abang.. Abang rasa janggal.”
Riana menarik nafas dalam-dalam. Air mata yang mengalir diseka laju. Dia harus kuat! Dia tidak akan sesekali menunjukkan yang dirinya lemah di hadapan Firhad.  “Cakaplah. Ria bukannya budak kecil yang manja macam dulu lagi.. Ria cukup matang dalam hal ini. Kalau pun Ria masih belum matang, Ria akan cuba untuk jadi matang.”
“Abang anggap Ria macam adik abang. Abang tak boleh sentuh Ria sebab ..” Luahan Firhad terhenti. Bimbang dia akan mengecilkan hati Riana.
“Sebab abang rasa jijik?”
“Tak Ria.. Bukan macam tu. Abang sayangkan Ria macam abang sayangkan adik abang.. Abang anggap Ria macam adik abang.”
I am your wife not your sister!” Riana bangun berdiri di hadapan suaminya. Kecewa dengan pengakuan Firhad.
Please bagi abang masa..”
Kepala berulang kali digelang kuat. Dia mengharapkan semua ini adalah mimpi! Pengakuan yang terbit dari mulut Firhad hanyalah lakonan untuk menguji cinta dia kepada lelaki itu.
“Cakap dengan Ria berapa banyak masa yang abang perlukan? Masa untuk apa yang abang nak?”
“Riana.. Abang tak boleh cintakan Ria.”
“Kenapa? Sebab abang ada perempuan lain?” Tuduh Riana tanpa usul periksa.
No. Bukan macam tu.. Bukan pasal perempuan lain. Jangan tuduh abang macam tu Ria. Please.”
“Habis kenapa? Cakap dengan Ria apa salah Ria sampai abang sanggup buat Ria macam ni! Kita kenal sejak kecil, tergamak abang lukakan hati Ria sampai macam ni semata-mata untuk jaga hati mama abang? Habis hati Ria siapa nak jaga? Kalau Ria tahu abang tak cintakan Ria, Ria pun tak ingin kahwin dengan abang!” Tangisan Riana makin kuat. Tubuh sudah terhinjut-hinjut akibat sedu. Tiba-tiba sahaja tubuh Riana melorot ke lantai. Lutut terasa lemah untuk menampung berat badannya kini. “Ria ikhlas cintakan abang.. Ria tak pernah ragu perasaan abang pada Ria.. Tak sangka abang hanya mempermainkan hati Ria sebab nak jaga hati orang lain.”
“Abang minta maaf..”
Riana menggeleng lemah. Dia sudah tidak mampu untuk berdepan dengan suaminya. Terasa seperti dia tidak bermaruah pula andai dia merayu kepada Firhad. Biarlah lelaki itu yang membuat keputusan tentang hala tuju perkahwinan mereka yang hanya berusia beberapa jam selepas diijabkabulkan siang tadi. “Ria tidur di bilik tetamu.” Baru sahaja Riana menoleh, tangannya disambar oleh Firhad.
“Nanti mama nampak.. Ria tidur dekat atas katil, abang tidur dekat sofa.”
Takut? Firhad takut kalau Puan Nani tahu mereka sebenarnya bermasalah? “Abang nak kita berlakon bahagia depan keluarga kita, kan?” Wajah bersalah Firhad ditenung garang.
“Ria boleh tolong abang, kan? Dulu sebelum kita kahwin, Ria cakap Ria nak jadi isteri yang terbaik untuk abang.. Please, kita mulakan dengan yang ini?”
Anak mata segera dilarikan apabila Firhad merenung ke dalam matanya. Dia tahu dia akan kalah. Dia terlalu sukakan Firhad. Dia sayangkan Firhad sejak dulu lagi. “You hurt me, abang..Very much.”
Sumpah dia terluka. Beberapa bulan yang lalu dia terbuai dengan perasaan indah dicintai oleh Firhad, rupanya lelaki itu hanya mempermainkan dia sahaja. Berpura-pura mencintai dia semata-mata untuk mengaburi mata semua orang.
Tubuh Riana didakap erat. Bukan mahu mengambil kesempatan tetapi melahirkan betapa dia rasa bersalah terhadap Riana. “I am so sorry, Ria.. Abang tahu this is so mean to you  tapi abang kena berlaku jujur pada Ria. Abang tak nak Ria lebih terluka pada masa akan datang.”
Jadi pada fikiran Firhad eloklah jika dia dilukai sekarang berbanding dilukai pada masa akan datang? Bagaimana Firhad boleh tahu yang dia akan lebih baik jika dilukai sekarang bukannya pada masa akan datang?

2 comments :

  1. Dah kawin pun, huhu . Kesian nya dekat Riana. Kalau macam tu baik berpisah je

    ReplyDelete
  2. adakah ini akan menyatakan Fihad adalah jodohnya yang tepat..emm betapa ruginya seorang gadis itu bila suami yang dianggap tempat bergantung melukakan hati saat baru bermula kehidupan baru..hati siapa yang perlu dijaga?

    ReplyDelete