Sunday 21 February 2016

Bab 13 Dia Lelaki Idaman Hati


Tangan naik menggosok matanya yang mula terasa kelat. Semalam elok dia terlena di sofa ini, bila terjaga waktu pagi dia masih tetap di sofa ini namun tubuhnya sudah diselimutkan. Pasti Firhad kasihan melihat dia meringkuk menahan sejuk di ruang tamu. Dia tidak pasti pukul berapa suaminya pulang malam tadi.  
Mendengar enjin kereta Firhad, Riana duduk tegak di atas sofa. Entah kenapa kaki dia berat mahu melangkah membuka pintu untuk Firhad. Hati dia masih lagi sakit dengan pengakuan Firhad mengenai perkahwinan mereka. Semuanya kerana Puan Nani yang mahukan dia menjadi menantu keluarga mereka jadi Firhad turutkan sahaja.
Dada berombak kencang apabila terdengar gugusan kunci berlaga antara satu sama lain. Buat-buat ralit menonton televisyen.
“Eh, Ria belum tidur lagi? Dah dekat pukul 12 tengah malam ni.. Kenapa tak naik tidur lagi?”
“Tak mengantuk.” Malas-malas sahaja dia menjawab pertanyaan suaminya.
“Emm, abang naik dululah. Nak mandi dan tidur. Letih pula badan ni..”
Riana diam tidak berkutik. Kelmarin jumpa klien sampai lewat malam.. Hari ini sepatutnya Firhad masih bercuti, jumpa klien lagi ke sampai lewat malam macam ni? Klien Firhad takde keluarga ke?
Ah, nak aje dia soalkan perkara itu kepada Firhad tetapi tak keluar pula di bibirnya.
Dia pun bercuti juga dan langsung tidak diganggu dengan urusan kerja. Tak pula Rozaidi atau sesiapa di pejabat menghubungi dia untuk bertanya apa-apa berkaitan kerja.. Firhad pula bercuti tapi nama aje cuti. Asyik jumpa klien aje bila mereka duduk berdua ni. Masa di rumah Puan Nani tidak pula suaminya keluar dari rumah.
Ah, apa-apalah. Malas nak fikir.
Punat pada alat kawalan jauh ditekan. Serta-merta televisyen gelap. Riana melangkah naik ke atas. Dia pun dah letih tunggu Firhad. Seharian dia di rumah hari ini. Nasib baiklah awal pagi tadi Pak Kie dah datang hantar kereta dia. Kalau tak entah apa dia nak makan siang tadi. Dalam peti sejuk tu bukannya ada apa-apa lauk untuk dia masak. Semalam pun dia langsung tidak menjamah apa-apa untuk makan malam.
Nak telefon suami dia memang takkan lah. Dia pun ada ego dia juga. Takkan semua benda dia asyik nak mengalah. Sekali-sekala dia mahu juga perhatian Firhad untuk dia macam dulu-dulu.
Siang tadi selepas dia dapat kunci kereta dia, terus sahaja dia bersiap dan keluar untuk ke Tesco Kajang. Bolehlah dia beli sedikit keperluan untuk dia di rumah. Cuti dia masih berbaki seminggu lagi. Kalau tak keluar ke mana-mana memang mati kebulur dia dalam rumah.  Suaminya pula awal-awal lagi dah menghilang dari rumah. Entah ke mana dia langsung tidak ambil tahu.
Kalau iye pun nak keluar tanyalah dia tentang makan minum. Ini tidak. Firhad anggap dia perempuan yang tahu jaga diri.. Perempuan yang tahu di mana mahu mencari makanan. Ah, dia memang perempuan yang reti berdikari tetapi dia mahukan suami yang manjakan dia seperti isteri-isteri yang lain dimanjakan oleh suami mereka.
Tangan membuka lilitan selendang di kepalanya. Selendang bercorak bunga-bunga kecil berwarna merah pekat itu diletakkan di tempat sandar sofa di dalam biliknya.  Tubuh tegak di hujung katil. Kepala mendongak memandang siling bilik tidurnya yang agak luas.
Sampai bila dia dan Firhad akan berkelakuan seperti ini? Tinggal sebumbung tetapi seperti orang asing. Lelaki itu tidak berbual dengan dia, dan dia juga tidak berbual dengan Firhad. Sepanjang hari ini hanya tadi ajelah dia bertegur sapa dengan Firhad.
Dari berbaring dia bangkit bersandar di kepala katil. Riana, ini ke yang kau nak dalam perkahwinan ni?
Dulu hubungan mereka sangat-sangat akrab! Dia boleh memeluk manja lengan sasa lelaki kesayangannya itu bila-bila masa sebelum dia berhijrah untuk bertudung. Firhad sering menggosok kepalanya seperti Rozaidi lakukan kepada dia. Manjakan dia setiap masa.
Sekarang?
Mulut Firhad macam ada emas. Nak berbual dengan dia susah sangat sejak dia pulang ke Malaysia kali ini. Ah, susah nak duga apa yang ada dalam hati lelaki ini. Dia memang nak sangat berbual dengan Firhad seperti dulu. Nak bercakap dengan lelaki itu, bermanja dengan lelaki itu seperti dulu tapi Firhad seolah-olah mahu menjarakkan dirinya daripada dia.
Riana menundukkan kepalanya. Dahi diletakkan di atas lutut yang ditarik rapat ke dadanya. Tanpa sedar ada air hangat mengalir ke pipi. Puas dia menahan air matanya daripada gugur sejak kali pertama dia menjejakkan kakinya ke rumah ini.
Sangkanya dia kuat untuk menempuhi semua ini. Sangkanya dia cukup tabah untuk berdepan dengan Firhad tetapi ternyata dia silap. Setiap kali dia memandang wajah Firhad setiap kali itulah hatinya diruntun pilu.
Melihat hidangan di atas meja yang langsung tidak berusik hari ini menambah kepiluan di hatinya. Kenapa dia perlu memasak jika Firhad hanya pulang pada waktu malam seperti ini? Dah dua malam, lewat malam baru dia nampak muka Firhad.
Air mata yang meleleh di pipi diseka dengan belakang tangan. “Kenapa abang buat Ria macam ni?”
Riana bercakap seorang diri. Bertanya soalan berulang kali. Dia tidak percaya kisah cinta dia dengan Firhad seperti ini. Kenapa dia begitu malang sehingga jatuh cinta pada orang yang salah? Kenapa dia tidak nampak bahawa Firhad tidak pernah mencintai dia selama ini?
Kenapa?
Dummm! Dum!!
Riana melompat terkejut. Air mata yang mengalir di pipi di kesat laju. Guruh.. Kuatnya. MasyaAllah..
Dum! Dum!
Sekali lagi Riana memejamkan matanya. Ya Allah, dia takutkan guruh yang terlalu kuat seperti ini. Biasanya kalau guruh kuat macam ni dia akan tidur dengan seseorang. Memang tidak berani tidur seorang diri.
Dum!
Dada berombak pantas. Pantas Riana melompat turun dari katil. Kaki berlari laju ke bilik Firhad. Tanpa mengetuk pintu bilik suaminya Riana menerpa masuk ke dalam bilik itu. “Abang..”
Firhad yang sudah hampir terlena terbangun semula apabila terdengar suara Riana. Melihat Riana yang berdiri di hujung katilnya sambil memeluk bantal Firhad tertanya-tanya apa isterinya buat di sini.
“Ria… kenapa?”
“Ria takut.”
“Ria takut apa?”
Dum!
Sepantas kilat Riana meloncat ke atas katil Firhad. “Ria takut.”
Firhad terasa mahu gelak dengan sikap Riana. Ingatkan dah tak manja lagi rupanya masih ada lagi sisi manja Riana yang tidak dapat dihilangkan. “Sini, tidur dengan abang.” Bantal disebelahnya ditepuk untuk Riana.
Riana menarik selimut tebal untuk membaluti tubuhnya. Firhad berbaring di sisi Riana sambil memeluk tubuh langsing itu.
Dum!
Spontan bibir Riana terjerit kecil. “Aaaa..”
“Abang ada ni. Jangan takut okay?”
Riana diam dalam pelukan Firhad. Dada berdebar hebat. Berperang dengan perasaan sendiri. Dia sepatutnya tidak melangkah masuk ke dalam bilik ini!
Apabila guruh tidak lagi kedengaran, Riana menolak tangan Firhad yang melingkari pinggangnya.
“Ria?” Firhad yang sudah terlena terjaga apabila tangannya dialih oleh Riana.
“Ria nak masuk bilik. Guruh dah takde.”
“Hujan lebat lagi dekat luar tu.. Mungkin sekejap lagi guruh semula. Ria tidur sini ajelah dengan abang. Kalau guruh nanti tak perlu nak berlari-lari ke sini lagi.”
“Takpe lah..”
Riana yang baru sahaja hendak bangkit dari katil ditarik oleh Firhad. “Abang nak Ria tidur sini. Senang kalau guruh nanti.. Kang menangis orang-sorang pulak.” Firhad memeluk Riana dengan erat. Memang sejak dulu lagi Riana takutkan guruh yang kuat. Kalau Riana bermalam di rumah dia memang Fitriyati yang menjadi mangsa. Habis monyok muka kakak dia kalau terpaksa berkongsi bilik dengan Riana. Sebab itulah Fitriyati tidak berapa sukakan Riana. Riana nampak seperti tidak boleh berdikari dan tidak tahu menjaga dirinya sendiri. Riana perlukan orang lain untuk sentiasa menjaganya.
“Guruh dah takde..”
“Tidur sini. Biar abang temankan Ria malam ni.”
Apabila perasan yang Firhad merenung ke wajahnya, Riana memejamkan mata. Dia tidak mahu bertentangan mata dengan lelaki itu. Takut nanti berair pula mata dia terkenangkan sikap sambal lewa Firhad terhadap dia.
Melihat Riana yang sudah terlena, Firhad mengambil peluang ini untuk menilik setiap inci wajah Riana. Tiada sedikit pun cacat cela pada wajah itu. Cantik, hidung mancung dan bibir yang sangat menawan! Alis mata Riana juga tebal dan hitam pekat. Rambut hitam pekat milik Riana kini sudah pun dilutupi dengan sehelai selendang. Namun malam ini rambut itu tidak dilindungi oleh selendang. Mungkin Riana berlari ke bilik dia sebentar tadi sehingga tidak perasan bahawa rambutnya terdedah.
Mata memandang wajah Riana yang sudah terlena. Ah, tiada apa yang kurang pada Riana. Semuanya sempurna cuma hati dia bukan untuk wanita ini. Cinta dia hanya untuk Dayana.
Tangan Firhad mengelus lembut pipi Riana. Dulu ketika mereka kecil dia sering mencubit pipi Riana. Dia selalu menarik hidung mancung Riana sehingga wanita ini menjerit memarahinya. Sering juga dia melihat Riana menangis kerana usikan dia.
Firhad tergelak kecil. Terlalu banyak kenangan dia bersama Riana. Dia sayangkan Riana tapi dia tidak boleh cintakan Riana. Hati dia tidak ada ruang untuk mencintai gadis jelita ini.
Tubuh yang mahu dikalih ke kanan tidak berjaya. Riana mengesat matanya sebelum membuka mata.
Firhad!
Wajah dia terlalu rapat dengan wajah Firhad. Riana menahan nafasnya yang terasa semput. Ini kali pertama dia berada sangat-sangat dekat dengan Firhad selepas mereka dewasa. Semalam ingatkan nak buat-buat pejam mata aje, rupanya dia terlelap terus sampai ke Subuh!
Riana memandang wajah suaminya tanpa kelip. Wajah kacak yang sering membuatkan jantung dia berdegup pantas. Jantung mengepam darah dengan laju setiap kali dia mendengar bicara Firhad. Suara yang ingin dia dengar setiap hari.
Ahh, kenapa dia tidak mampu untuk memiliki sekeping hati milik Firhad? Adakah Firhad mempunyai perempuan lain? Jika ya, kenapa Firhad mengahwini dia?
Tanpa sedar ada air hangat mengalir dari tubir matanya. Sendu yang mula bertandang ditahan sedaya-upaya. Dia tidak mahu Firhad tersedar dari tidur.
“Ria..”
Tertangkap. Pantas tangan mengesat air matanya.
“Ria, kenapa Ria menangis?”
Tangan menolak selimut tebal yang membalut tubuhnya. Dia mahu segera keluar dari bilik Firhad.
Belum sempat dia bangkit dari katil, Firhad memeluk tubuhnya dari belakang. “Abang tahu abang banyak sakitkan hati Ria.. Abang abaikan Ria sebagai isteri abang..”
Diam.
“Abang minta maaf sebab abang tak jalankan tanggungjawab abang pada Ria selama ni..”
Otak mencerna kata-kata Firhad. Tanggungjawab dari segi apa yang Firhad maksudkan.
“Abang harap Ria dapat bagi abang masa untuk terima Ria sebagai isteri abang.. Abang sayangkan Ria tapi..”
“Ria tak harapkan tanggungjawab yang satu tu aje bang. Abang ada banyak tanggungjawab pada Ria selain yang itu.” Dia tahu Firhad maksudkan tanggungjawab yang mana. Dia bukan perempuan murahan yang kemaruk sangat dengan semua itu. Dia mahukan lebih dari itu. Dia mahukan cinta Firhad! Dia mahukan perhatian lelaki itu.
“Abang minta maaf..”
“Takde apa yang nak dimaafkan. Ria yang selama ni buta.. Perasan sendiri. Jangan risau, abang nak kita teruskan lakonan depan keluarga abang kan? Boleh, kita teruskan lakonan kita sampai abang penat untuk berlakon lagi.”
“Apa yang mama cakap dengan Ria?”
Riana jongket kening. Apa yang Puan Nani cakap dengan dia? Riana tergelak sinis. Semua orang sedang mempermaikan dia! “Ria penatlah. Semua orang dalam keluarga abang nak simpan rahsia daripada Ria. Teruskanlah permainan korang, Ria penat!”
“Ria, takde sesiapa yang sembunyikan apa-apa daripada Ria!”
Riana berdengus kecil. Dia malas hendak bergaduh awal pagi seperti ini. “Dah la, Ria penat dengan semua ni. Terima kasih sebab tumpangkan Ria tidur dekat sini malam tadi.”
“Abang minta maaf.. Please, maafkan abang.”
“Ria nak solat Subuh. Tolong lepaskan Ria.” Lembut dia meminta.
Dengan berat hati Firhad melepaskan Riana pergi dari bilik dia. Entah kenapa bila bangun tidur pagi ini melihat Riana sedang menangis dia terasa aneh! Dia rasa bersalah kerana menghukum Riana atas perkahwinan ini. Bukan salah Riana mencintai dia.
Mama yang pinangkan Riana untuk dia. Riana pun langsung tidak tahu apa-apa tentang rancangan mama untuk mereka berdua.
‘Ad, kau tak boleh lukakan hati Ria! Dia tak salah langsung dalam hal ini..’
Firhad meraup mukanya.
Kaki melangkah ke tandas. Membersihkan diri untuk bersolat.

2 comments :

  1. Betul. Riana tak salah. Firyad sekeluarga yg jahat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alamak, ni betul2 terkesan ni. Kiki.
      Love you!
      thank you for reading

      Delete