Saturday 5 March 2016

Bab 17 Dia Lelaki Idaman Hati


Riana memerhatikan suasana sekeliling. Ada rasa kurang senang di hatinya. Pelik pula mengenangkan sikapnya yang mudah benar bersetuju dengan ajakan Dayana untuk makan tengah hari bersama.
“I ganggu you ke hari ni?”
Riana mengalihkan pandangan matanya ke arah Dayana. “Eh, tak adalah. I pun takde janji nak lunch dengan sesiapa hari ni. Takde masalah Cik Dayana.”
“Janganlah nak ber ‘cik’ pula dengan I. Panggil aje Dayan kan lebih selesa.”
Selesa?
Entah kenapa dia rasa kurang selesa pula dengan Dayana. Mungkin hati dia ada rasa curiga terhadap Dayana dan suaminya? Haritu dia nampak mereka berdua makan sambil berborak ceria, takkanlah waktu cuti Firhad pun Dayana nak ganggu?
Ish.
Riana, jangan berfikir yang bukan-bukan. Hati tu jangan nak detik yang tak elok. Kan ke doa namanya tu.. Doa isteri dimakbulkan oleh Allah, tahu?
Nauzubillah!
“Boleh. Kalau macam tu you pun kena panggil I Ria. Barulah sama-sama ada nama manja. Kan?” Riana buat-buat gelak.
Tolonglah ikhlaskan hati dia.
“Mesti you pelik macam mana I boleh dapat phone number you kan?”
Yes!
Itu yang sebenarnya ada dalam fikiran dia sejak tadi. Tahu pun Dayana membaca fikiran dia. Hebat!
“Firhad berikan pada you?”
Dayana angguk.
“Ad sibuk sangat hari ni.. So dia minta I temankan wife kesayangan dia makan tengah hari. I harap you tak kisah makan tengah hari dengan I hari ni, Ria.”
“Oh, Abang Ad yang bagi.. Rapat betul ya dia dengan you.”
Very close. Memang takde rahsia antara kami.”
Sentap!
“Eh, you jangan salah faham pula Ria. Maksud I, Ad memang selalu minta tolong I kalau dia ada apa-apa hal. Biasalah. I kan setiausaha dia..”
“Baik betul ye you?”
Adakah soalan dia menunjukkan dia cemburu?
Ya, dia memang cemburu. Firhad boleh rapat dengan Dayana tetapi bukan dengan dia? Kenapa? Kenapa susah sangat suami dia nak bercerita tentang peribadi atau hal kerja dengan dia.
Mereka sama-sama mula bekerja seminggu yang lalu. Lepas tu masing-masing buat hal sendiri. Dia balik pukul 6.30 petang, Firhad pula pukul sepuluh malam dan ke atas baru nampak bayang. Itu pun kalau dia masih berjaga. Kalau dia sudah tidur esok pagi sebelum pergi kerja baru nampak batang hidung.
Nama sahaja tinggal serumah tapi nak bertembung dan dengar suara pun susah bukan main lagi.
“Sekarang banyak kerja di pejabat.. I dengan Ad memang rapat sebagai rakan kerja. I harap you tak salah faham.”
“Eh, kenapa pula I perlu salah faham. Kan tadi you dah cakap you hanya setiausaha dia. I percayakan suami I. Jangan risau.”
Thanks.”
Yeah.”
Suasana canggung seketika. Riana kalau boleh memang nak mengorek rahsia tetapi bimbang kalau Dayana salah faham pula. Nanti diingatkan yang dia isteri yang suka mengawal suami pula.
“Er, Dayan, I ada satu soalan nak tanya pasal Ad. Sekarang banyak kerja ya di pejabat?”
Dayana senyum manis. “Ad balik kerja lambat ya?”
Riana angguk lemah.
“Ria, Ad tu gila kerja. You kena biasakan diri you untuk berdikari.”
Mulut Riana diketap sedikit. “Gila kerja sampai balik pukul sepuluh malam?”
Dengan penuh yakin Dayana mengangguk. “I dah lama kenal dan kerja dengan Firhad, Ria. Sejak I mula bekerja di pejabat tu sampailah sekarang, Ad memang seorang yang gilakan kerja.”
“Dia tak pernah ada kekasih?”
Dayana menjatuhkan tangannya yang berada di atas meja ke ribanya. Menggenggam kuat tangannya antara satu sama lain. Mahu sahaja dia berterus-terang dengan Riana tetapi dia perlu bersabar. Permainan antara dia dan Riana baru sahaja bermula.
Dia tidak boleh bertindak terburu-buru. Tambahan pula Puan Nani bukannya sukakan dia. Asyik nama Riana sahaja yang dipuji setiap hari.
Meluat!
“Ad terlalu kuat bekerja sampai langsung takde masa nak bercinta Ria. Lagi pun Puan Nani tak pernah sukakan perempuan lain kecuali you.”
Riana meletakkan sudu di dalam pinggan. “Dah berapa lama you kerja dengan Ad?”
Five years. Sejak I habis belajar..”
“Dah lama betul ya you kenal dengan dia.”
“Memang lama pun Ria. I memang dah memahami sangat perangai Ad tu macam mana. Apa yang dia suka dan apa yang dia tak suka.”
“Dengar macam rapat betul tu!”
Dayana mengangguk bangga.
“Apa yang you tahu pasal perkahwinan kami?” Soal Riana mahu merisik-risik tentang rumah tangganya sendiri.
“Pasal perkahwinan tanpa cinta?”
Terkejut dengan jawapan Dayana, anak mata yang sedari tadi memandang wajah Dayana dialih dari wajah cantik itu. Riana memandang jari jemarinya yang masih berinai di kuku. Cincin berlian di jari manis sebelah kanan di pandang lama. “You cakap dia takde kekasih, kan?”
Yes.”
“Kalau dia takde kekasih, kenapa dia tak cintakan I? Pernah dia cakap dengan you tentang hal tu?”
“Ad tak pernah bercakap pasal hal ni secara mendalam dengan I. I cuma tahu yang dia tak cintakan you aje.”
Hati yang remuk didiamkan sahaja. Sampai hati Firhad bercerita hal rumah tangga mereka kepada orang luar! Entah apa lagi hal dalam kain dia yang Dayana tahu.  “Mungkin I ni tak cukup cantik pada pandangan mata Ad agaknya.” Riana ketawa kecil.
“Tak mungkinlah! You cantik sangat Ria. Bodohlah kalau ada lelaki yang cakap you tak cantik. I yang perempuan ni pun rasa cemburu tengok kulit you, licin macam telur!”
Riana ketawa segan apabila Dayana memuji dirinya. “You pun apa kurangnya, cantik juga.”
“You nak I tolong you pikat Ad?”
Anak mata mencari wajah cantik Dayana. “How?”
“I tahu semua kesukaan Ad.”
Pelik.
“I pun tahu juga sebab I kenal dia sejak kecil. Takkanlah kesukaan dia dah berubah sekarang ni?”
Dayana tergelak kecil. “Apa yang you tahu pasal dia? Cuba kita bandingkan mana tahu bila digabungkan nanti you boleh pikat hati suami you sendiri.”
He loves golf. Kan?”
Dayana angguk. “True. Lagi?”
Coffee lover?”
“He is. Addicted.”
Riana senyum gah. Suaminya masih lagi sukakan semua itu. Dia masih ingat. Boleh berbangga dengan ingatan itu. Masakan dia lupa kesukaan lelaki kesayangan dia.
“Dia suka berenang sekarang ni..” Dayana menambah.
Riana pelik.
“Tak pernah pula dia terjun swimming pool dekat rumah kami tu..” Ketawa kecil.
“Dia berenang di arena.. Memang ada kolam dan trainer di sana. Kesukaan terbaru sejak dua tiga tahun lepas.”
Oh.
“Yang tu I tak tahu sebab tiga tahun lepas I masih di UK.” Wajah di maniskan kepada Dayana.
“Takpe, sekarang you tahu kan? Bolehlah ajak Ad terjun kolam di rumah you petang nanti..”
Spontan Riana tergelak kecil. “Mana ada Abang Ad balik rumah waktu petang. Kalau tak kelam memang takkan baliklah..” Ada nada mengadu di situ. Kalau Dayana nak sampaikan kepada Firhad pun bagus juga. Bolehlah suaminya pulang awal sedikit selepas ini.
“Kalau I ajak you pergi shopping, you sudi tak?”
Riana diam. Memikirkan ajakan Dayana.
Sehelai kemeja diacu ke tubuhnya. “Lawa baju ni Ria.. Apa kata you belikan untuk Ad?”
“Ish, tak nak lah.. I tak tahu taste baju kerja Ad macam mana. Kalau beli takut dia tak berkenan pula nanti.” Lagipun sepanjang dia tinggal serumah denga Firhad, dia tidak pernah sentuh langsung baju kerja Firhad.
“Hey, you lupa ke you keluar dengan siapa? I mestilah tahu kesukaan Ad macam mana.”
Melihat wajah Riana yang sedikit berubah Dayana menambah, “Jangan salah faham Puan Riana oi… I tahu sebab dia majikan I dan kami dah lama kerja bersama. Hari-hari I tengok baju dia pakai mestilah I tahu..”

Tersedar dia agak keterlaluan Riana senyum semula. “You rapat sangat dengan suami I, rasa macam I tertinggal di belakang pula..”
“Janganlah cakap macam tu.. I nak tolong rapatkan you dengan suami you. Lepas ni I akan brainwash Ad supaya utamakan you dalam apa-apa hal.”
Thanks!”
“Jangan nak berterima kasih sangatlah Ria. Kita kan kawan.. I nak tengok Ad bahagia.. So, you kenalah bahagiakan Ad.”
“Betul ke baju ni sesuai untuk Ad?”
Dayana angguk. “Belikan for him as a gift.”
Riana ambil kemeja yang dihulurkan oleh Dayana. Bersungguh-sungguh Dayana memujuk dia supaya membeli kemeja tersebut.
Kaki melangkah ke kaunter untuk membuat bayaran. Kata Dayana Firhad sukakan kemeja seperti ini. Betullah agaknya. Lagipun mereka berdua sudah lama bekerja bersama pasti Dayana tahu bagaimana pakaian Firhad setiap hari.
Ah, Riana!
Betullah kata orang, hati perempuan sekeras kerak nasi. Bila terkena air, lembut semula. Dia dilukai oleh Firhad pada malam pertama perkahwinan mereka. Dia bertambah terluka bila Firhad meminta mereka berdua tidur secara berasingan.
Dan hari ini dia masih lagi mahu menjaga hati lelaki itu hanya kerana janjinya kepada Puan Nani? Habis siapa mahu menjaga hati dia?
Miss?”
Riana kembali ke alam nyata apabila cashier memanggil namanya.
Berangan tak bertempat kau Riana!
Riana dan Dayana bergerak seiringan ke tempat letak kereta. “I kena balik office semula sebab petang ni pukul 4.00 Ad ada meeting dengan klien. I hope kita boleh berjumpa lagi nanti?”
“InsyaAllah. I tak kisah.. Kalau you ada kelapangan you boleh datang ke rumah I. I am sure Ad tak kisah kalau you datang ke sana sebab you kan setiausaha dia.” Pelawa Riana.
“Kalau ada masa I will visit your house nanti. See you around, Ria.”
Riana memerhati Dayana yang hilang ke dalam perut kereta sebelum kereta Mazda 3 itu meluncur meninggalkan perkarangan tempat letak kereta.
Beg kertas di tangan dipandang. Harap-harap suami dia sukakan kemeja ini.
Wajah sembab Asma diangkat supaya memandang wajahnya. “As, kau cerita dengan aku apa yang jadi. Senyap macam ni aje aku tak boleh baca apa yang ada dalam fikiran dan hati kau.”
“Fauzan..”
Tak payah sebut nama jantan tak guna tu pun dia tahu hal ini pasti berkaitan dengan Fauzan. “Apa lagi suami kau buat kali ni?”
“Dia nak kahwin lagi satu..”
Mulut Riana terbuka luas. “Kan hari tu dia dah kahwin lagi satu… Ni nak kahwin lagi ke?”
Asma mengangguk sambil menangis kuat.
“Ya Allah As… Laki kau ni dah kenapa?”
“Ria… aku sedih sangat! Tak sampai dua bulan dia kahwin dengan perempuan tu, dia nak bercerai dan sekarang nak kahwin lain..” Ujar Asma dalam esaknya.
“Laki kau ni memang dah gila agaknya. Ya Allah, sakitnya hati aku ni As… Tergamak dia buat kau macam ni?”
“Kenapa dia buat aku macam ni Ria… Apa salah aku pada dia…….?” Suara Asma tenggelam timbul bersama tangisan yang kian esak. “Aku sayangkan dia.. Aku berkorban untuk dia..”
“As, kuatkan semangat.” Tubuh Asma digosok-gosok. “Aku tahu kau kuat.” Baru  minggu lepas dia melepak di rumah Asma, hari ini Asma muncul lagi dengan membawa berita sensasi mengenai suaminya. Aduh, rasa nak tercabut jantung dia mendengar berita yang disampaikan oleh Asma.
“Aku tak kuat.. Aku tak kuat.. Dia nak bercerai dengan isteri muda dia sebab nak kahwin lain.. Budak tu baru umur dua puluh tahun Ria… Muda sangat lagi!”
Riana menyumpah seranah dalam hatinya. Budak umur dua puluh tahun pun Fauzan rembat? Lelaki jenis apa Fauzan ni? Ingat kahwin ni macam tukar baju ke? Kahwin nak berseronok aje? Habis seronok dia boleh ceraikan isteri dia ikut suka hati?
“Mana dia jumpa budak tu?”
Asma menggeleng tanda tidak tahu.
“As, kau dah jumpa budak tu ke?”
Angguk.
“Habis apa budak tu cakap? Kau tak ceramah budak tu ke?”
“Dah….”
“Lepas tu?” Soal Riana kurang sabar.
“Dia nak kahwin dengan Jan jugak. Dia cakap kalau aku tak izikan dia kahwin dia nak bunuh diri.” Tangan mengesat air hidung yang meleleh.
“Ha, nak mati sangat pasal cinta.. Biar ajelah dia bunuh diri.. Kalau dia mati kau susah hati ke?” Balas Riana tanpa berfikir. Dia pula yang dirasuk emosi.
“Budak tu bawak mak bapak dia sekali jumpa aku Ria… Mak bapak dia pun nak sangat bermenantukan Jan tu..”
Riana tolak kepala Asma yang bersandar di bahunya. “Dorang ingat Jan tu kaya-raya ke?”
Kepala digeleng perlahan. “Aku tak tahu…. Aku tak tahu apa Jan cakap dengan dorang.”
Riana menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pening dengan masalah Asma. Ingatkan selepas Fauzan kahwin baru selesai masalah mereka berdua rupanya jumpa pucuk lain pula. Masalah sungguh! “Habis kau nak buat apa?”
Tiada jawapan daripada Asma. Wanita itu hanya menangis dengan bertambah kuat.
“As, kalau aku berada dekat tempat kau…”
Belum sempat Riana menghabiskan kata-katanya, Asma sudah menjawab sambil menangis. “Aku tak nak bercerai… Aku tak nak jadi janda..”
Okay.. Okay. Aku takkan suruh kau bercerai. Aku janji..” Tubuh Asma dirangkul dan dipeluk kuat. “Banyakkan berdoa kepada Allah.. Semoga Jan berubah perangai..”
“Kenapa dia buat aku macam ni Ria.. Apa salah aku?”
“Kau tak salah apa-apa. Percayalah cakap aku, kau tak salah. Kau isteri yang baik untuk dia cuma dia je yang langsung tak tahu menghargai kau.”
“Aku tumpang tidur rumah kau malam ni boleh?”
“Boleh sangat As.”
Riana tegak apabila pintu utama dikuak dari luar.
Terkejut melihat Riana yang tegak berdiri di muka pintu, Firhad bersuara. “Eh, kenapa belum tidur lagi ni? Dah pukul sebelas malam ni..”
“Ria tunggu abang balik.”
“Ada apa-apa hal penting nak cakap dengan abang ke?”
Entah kenapa hati dia diusik rasa terkilan. Perlu ada hal penting ke baru boleh berjumpa dengan suami sendiri?
“Asma kawan Ria tidur dekat sini.. Dia ada masalah dengan suami dia.”
“Oh, pasal tu abang takde masalah. Kawan Ria, kawan abang juga.”
Riana terdiam sejenak. Berfikir tentang hasrat yang ingin disampaikan kepada Firhad.
“Ria ada apa-apa lagi ke?”
“Ria tumpang tidur bilik abang ya? Segan pula kalau As nampak kita tidur asing-asing..” Dia tidak pernah membuka rahsia perkahwinan mereka kepada sesiapa pun. Dia menyimpan dan memendam semuanya sendiri. Jadi tidak elok kalau Asma ternampak dia dan Firhad tidur asing-asing. Dia mahu menjaga nama baik suaminya.
“Abang tak kisah.. Abang boleh tidur atas sofa nanti..”
Thanks!”


No comments :

Post a Comment