Friday, 13 December 2013

Bab 26 Cinta Tak Akan Berakhir


Azara memandang wajah di hadapannya dengan pandangan redup. Dia memang marah. Kalau ikutkan hati dia nak aje letak jawatan di syarikat bapa Razlan tapi dia perlu bersikap profesional. Kerja dan urusan peribadi adalah sesuatu yang berbeza.
“Malam tadi tidur nyenyak tak?”

Azara buat-buat senyum kepada bosnya. “Nyenyak sangat. Tuan ada apa-apa lagi nak saya siapkan sebelum lunch?”
Razlan pandang wajah Azara. Dia tahu wanita ini marahkan dia tetapi cuba mengelak untuk berbincang mengenainya. “Lunch dengan I sekejap lagi?”
“Maaf, Tuan. Saya dah janji dengan Azam nak lunch sama-sama hari ni.”
Hati Razlan mulai diserang rasa cemburu. Kenapa pula Azara nak makan tengah hari dengan Azam? Siapa yang beri kebenaran kepada Azara untuk keluar berdua dengan Azam?
Bibir mengukir senyuman paksa. “Okay lah kalau macam tu.. I tunggu you di rumah malam nanti.”
Heh, nak juga balik rumah Puan Melati. Sibuk aje! pergilah balik rumah Puan Sofiah, nak menyemak di rumah Puan Melati buat apa.
“Saya keluar dulu.” Tubuh segera kalih ke belakang dan kaki laju melangkah mendekati pintu. Tak mahu Razlan panggil nama dia lagi.
“Zara.”

Hesh! Apa lagi? Azara menoleh ke belakang dengan wajah yang terpaksa dimaniskan. “Yes, Tuan.”
I miss you.”
Senyuman di bibir Azara mati dan kaku. Tidak tahu nak bagi reaksi apa.
Go back to your work. See you tonight.”
Bagaikan lembu ditusuk hidung Azara mengikut satu per satu arahan Razlan. Dia memang kalah dengan lelaki ini. Razlan seperti magnet yang menarik dia supaya terus rapat. Susah betul dia nak tolak Razlan agar menjauh.
Azara menongkat dagunya di atas meja. Kusutnya! Jumpa di rumah malam nanti? Nak berbual tentang apa? Kalau ikutkan memang dia ada banyak benda nak tanya dengan Razlan tapi lidah ni kelu tidak tahu dari mana nak mula.
Haleda!
Ya, dia boleh tanya Haleda pasal Izreen.pasti Izreen pernah datang sini dan jumpa dengan Razlan. Pasti wanita beranak satu itu tahu serba sedikit tentang Razlan dan Izreen.
Gagang telefon di angkat.
“Kak, sibuk ke?”
Haleda menutup fail di tangan. “Tak sibuk sangat pun.. Bos dah keluar.. Zara nak apa-apa ke?”
Kening berkerut seribu. Razlan keluar jumpa kawan? Siapa pula yang Razlan jumpa? Bukan Firdaus ke India selama lima hari ni bermula semalam? Dia tahulah sebab Firdaus ada hubungi dua hari lepas sebab nak tanya kalau-kalau dia ada nak kirim apa-apa dari India.
“Tuan keluar dengan kawan mana kak?”
“Ai, sejak bila pula Zara nak ambil tahu pasal bos ni?”
Azara gigit bibir bawahnya. Terlebih sudah… “Zara tanya aje tadi. Saja nak test akak.. Manalah tahu kot-kot akak tahu.”
Mendengar tawa halus dari bibir Haleda, Azara melepaskan nafas kelegaan. Nasib baiklah Haleda takde fikir yang bukan-bukan. Buatnya Haleda nak menyoal siasat dia pasal Razlan jenuh dia nak jawab!
“Akak ni tak suka ambil tahu sangat pasal bos.. Kalau tanya pun bukannya dia nak cakap. Entah-entahkan Zara, bos tu cakap aje nak jumpa kawan padahal pergi jumpa bekas tunang dia.”
Thud!
Ya Allah, kenapa dia rasa pedih sangat hati dia sekarang ni? Takkan Razlan jumpa dengan Izreen kot?
Azara membetulkan suaranya beberapa kali. “Tuan masih berhubung ke dengan bekas tunang dia tu kak?” Memang dia tak nak tanya sebab dia tahu dia akan sakit hati bagai nak gila tapi entah kenapa hati dia melonjak-lonjak mahu tahu juga!
“Ish pasal tu akak tak pastilah Zara tapi bekas tunang bos tu cantik orangnya. Sayanglah kalau bos lepaskan macam tu aje. Ramai pekerja syarikat yang harap dorang tu akan berbaik semula.” Hati Azara menangis mendengar kata-kata Haleda. Satu pujian untuk Izreen. Kalau Izreen dengar kata-kata Haleda pasti Izreen melompat sampai ke langit.
“Oh…”
“Kenapa Zara call akak? Zara ada apa-apa nak tanya akak ke?”
Eh.. Takde. Takde. Zara saja nak sembang dengan akak. Ha,lagi satu Zara call ni sebab Zara nak tanya akak sesuatu.. terlupa pulak.” Zara buat-buat tergelak kecil. Saja nak sembunyikan rasa sakit di hati yang singgah akibat kata-kata Haleda tentang Razlan sebentar tadi.
“Zara nak tanya apa?”
“Ha, Zara dah ingat! Kejap lagi Zara nak makan dengan Azam, akak nak ikut tak?”
Haleda tergelak kecil. “Tak nak ganggu orang nak bercinta.”
Hah? Bila masa pula dia bercinta dengan Azam ni? Merepek apa Haleda ni. Ish dia dah cakap dengan Azam pun yang hubungan mereka berdua hanya kawan dan rakan sekerja sahaja. dia tidak bersedia untuk komitment yang lebih mendalam terhadap Azam.
Tak mahulah dia. Azam tu baik orangnya. Azam boleh dapat wanita yang lebih baik berbanding dia.
“Akak ni merepek aje tau. Zara kawan ajelah dengan dia. Bukannya ada apa-apa pun.”
Sekali lagi tawa Haleda meletus. “Jangan kawan lama-lama sangat nanti basi kata orang tua.”
“Iyelah kak.. Merepek aje akak ni. Tak naklah cakap dengan akak lagi.”
Azara menarik muka muka masam di dalam biliknya. Tak suka bila Haleda mengusik dia dengan Azam. Memang dia tiada apa-apa dengan Azam jadi tak seronok pula kalau Azam fikir yang bukan-bukan.
Gagang telefon berwarna putih diletakkan kembali di tempat asalnya semula. Bibir mengeluh berat. Betul ke Razlan keluar dengan Izreen?
Ni yang buat dia tak puas hati ni. Keluar dengan Izreen langsung tak cakap dengan dia. Hari tu bukan main lagi cintakan dia, takkan rahsiakan apa-apa.. Konon aje semua tu! Sekarang ni bila dia dah tahu pasal hubungan lalu Izreen dengan Razlan terus Razlan senyap!
Telefon bimbit di atas meja di ambil. Dia perlu bercakap dengan seseorang sekarang ini.
“Assalamualaikum.”
“Ha, Zara.. Waalaikummussalam. Ada apa Zara telefon ni?”
Bibir herot ke kiri dan ke kanan. “Umi ada di rumah ke?”
“Iyelah umi ada di rumah..Kenapa?”
“Oh.. Umi tengah masak eh?” Jari telunjuk menggaru hujung kening sebelah kanan sementara tangan kiri digunakan untuk memegang Iphone 5 di telinga kiri.
“Iye umi tengah masak ni. Papa balik makan tengah hari hari ni. Zara nak balik makan jugak ke?”
Kepala Azara pantas menggeleng. “Eh tak.. Tak. Zara banyak kerja di pejabat hari ni. Zara saja je nak tahu umi ada di mana.. Takde apa-apalah umi.. Saja je telefon.”
Puan Melati kerut kening. Tiba-tiba sahaja Azara telefon dia waktu pejabat macam ni, takkan takde apa-apa. Ni pasti ada apa-apa masalah ni. “Zara okay ke ni sayang?”
“Zara okay. Umi masaklah dulu ya. Nanti kirim salam Zara pada Encik Latif.”
“Alan dah ada di rumah ni. Kenapa Zara tak balik makan tengah hari dengan Alan sekali?”
Nah! Dia dah jawapan dia sekarang ni. Razlan balik rumah Puan Melati, bukannya berjumpa dengan kawan atau bekas kekasih seperti yang diberitahu oleh Haleda.
Jam di pergelangan tangan di kerling. Pukul 11.50 pagi. Dia bukannya bos nak balik rumah suka hati dia aje waktu mana pun. Razlan takpelah juga.. dia CEO syarikat Encik Latif. Kalau dia buat kepala sendiri macam Razlan tu, maunya dia kena kutuk dengan pekerja lain.
“Ohh.. Raz ada di rumah umi ke.. Patutlah dia takde dekat office.”
Azara dengar Puan Melati melepaskan nafas panjang. Macam mengeluh pun ada juga. “Monyok aje muka sejak balik tadi. Umi tak tahulah apa masalah anak bujang umi tu kali ni Zara. Sedih sangat muka dia hari ni.”
Razlan nampak sedih? Kenapa lelaki itu nampak monyok dan sedih? Takkan sebab dia nak keluar makan dengan Azam terus Razlan monyok kot? Tadi muka selamba badak air aje. Takde pula Razlan cakap tak boleh keluar.
“Dah lama ke Raz balik rumah?” Adoi, memang nampak gaya penyibuk gila! Nak ambil tahu juga hal Razlan.
“Pukul 11.30 tadi dah sampai rumah. Semalam kenapa tak telefon umi bagitahu yang Zara balik rumah Zara sendiri?”
Azara gigit bibir bawahnya! Terlupa yang semalam dia tak balik rumah Puan Melati dan langsung tak cakap apa-apa dengan wanita itu. Aduh.
“Zara ada hal sikit dengan rumah Zara sebab tu Zara balik sana. Umi jangan risau ya sebab semalam Hanis temankan Zara dekat rumah.. Malam nanti Zara balik rumah umi semula.” Pasti Puan Melati risaukan dia malam tadi.
“Mula-mula memanglah umi risau.. Alan pun risaukan Zara.. Lepas tu Hanis dah cakap dengan Alan yang dia bermalam dengan Zara di rumah Zara, lega sikit hati umi. Umi bimbang kalau-kalau lelaki jahat tu muncul lagi.”
Nafas terasa sesak di dadanya. Lelaki jahat bernama Malik itu? Ya Allah, dia hampir terlupa tentang kewujudan lelaki yang pernah hampir-hampir meragut kesucian dia. Dua kali lelaki itu muncul. Sedih terlampau punya pasal sampai dia balik ke rumah sendiri tanpa fikir kemungkinan yang akan berlaku. Syukurlah dia dan Hanis selamat. Dan yang paling penting ialah wanita muda itu tidak sakit untuk bersalin malam tadi.
Kalaulah Hanis nak bersalin malam tadi mati kutu juga dia tak tahu nak buat apa. Haha!
“Umi, Zara selamat. Umi janganlah risaukan Zara ya?”
“Umi sentiasa risaukan Zara sebab Zara dah macam anak umi sendiri. Dua bulan Zara tinggal dengan umi, umi anggap Zara anak umi. Tanggungjawab umi untuk melindungi dan menjaga Zara.”
Rasa bersalah menyelinap disegenap ruang hatinya. Menyesal pula kerana terlalu mengikut perasaan pada petang semalam. Kalaulah dia bertenang dan berfikir dengan waras pasti dia tidak akan membimbangkan Puan Melati. Sudahlah wanita ini melayani dia dengan baik, tegarnya dia membuatkan wanita ini bimbang tentang dia.
“Zara minta maaf. Zara janji Zara takkan buat umi risau lagi.”
Sumpah dia sedih sangat dengan sikap dia malam tadi. Dia tidak sepatutnya membuat orang lain risaukan dia! Hanis punya risau sampai datang rumah dia malam tadi.
“Sudahlah Zara.. Yang penting sekarang ni Zara selamat. Lepas ni jangan buat macam ni lagi.jangan buat umi risau. Rasa nak gugur jantung umi bila Alan cakap dia tak tahu Zara di mana..”
Air hangat yang tumpah dari kelopak mata diseka perlahan. “Umi, Zara minta maaf ya?”
“Umi maafkan Zara, sayang.. Nanti petang lepas habis kerja terus balik rumah umi. Umi nak tengok anak umi depan mata umi.”
Argh! Bertuahnya dia mempunyai ibu sebaik Puan Melati. Bertuahnya dia mempunyai dua orang ibu yang sangat menyayangi dia dengan sepenuh hati.
Yes! Zara janji Zara akan balik rumah umi dalam keadaan yang selamat petang nanti.” Bibir mula mengukir senyuman semula. Rasa lebih tenang dan gembira sekarang ini.
“Umi nak sambung masak ni. Nanti papa balik umi belum siap masak lagi.”
Alright umi. Assalamualaikum.”
Panggilan telefon di matikan dengan senyuman di bibir. Air mata yang masih bersisa dikesat dengan belakang tanganya.
Live happily, Azara!”
Azara memberikan kata-kata semangat sebagai motivasi untuk dia. Hidup mesti diteruskan. Biarlah Izreen nak jatuhkan dia macam mana pun, dia akan tetap kuat dan berdiri teguh. Setakat sumpah seranah Izreen tu bukannya laku pun. Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah. Kalau Allah tak izinkan, maka takkan berlaku..
Be brave!”Bibir mengulum senyuman manis. Bersedia dengan apa jua kemungkinan mendatang.


Bibir mengira butir-butir bintang di dada langit yang kelam namun cantik dengan kehadiran bintang-bintang sebagai perhiasan.
Kejadian siang dan malam memang sangat menakjubkan! Allah is really amazing! Menciptakan siang, malam, langit, bumi dan seluruh isi bumi.
Mata dipejam rapat buat seketika. Menikmati suasana malam yang indah dan sangat menenangkan ketika ini.
“Kopi?”
Tubuh yang sedikit tersentak segera berpaling ke sisi. Razlan dan dua mug berisi air kopi menyapa pandangan mata.
Thanks!” Mug yang dihulur disambut juga.
“Cantikan malam ni.. Nyaman dan menengangkan.”
Kenapa Razlan ada perasaan yang sama macam dia rasa? Nyaman dan menenangkan. Itu perasaan dia! Tiru. Tak tahu malu!
“Kenapa awak tak balik rumah Puan Sofiah?”
“Inikan rumah umi I jugak. Tak boleh ke tidur sini?”
Kalau ikutkan hati Azara memang dia nak jawab boleh tapi dia tak suka tengok muka Razlan di sini sebab dia menyampah dengan lelaki itu. Penipu!
Azara buat muka tidak tahu. Malas nak jawab soalan Razlan. Yelah, ini rumah emak tiri Razlan… Dia yang menumpang di sini.
“Zara, I tahu you marahkan I.”
Mata menjeling ke arah Razlan yang masih lagi merenung tepat ke wajahnya. Memang dia marah. Marah gila!
“Kenapa saya nak marahkan awak pula? Apa yang awak buat salah?” Hergh! Masih nak main tarik tali. Kenapa degil sangat Azara ni nak mengaku perasaan dia sendiri.
“Zara,I minta maaf sebab I pernah ceritakan pasal bekas tunang I pada you. I ingatkan semua tu tak penting pada you.”
Memang tak penting kalau wanita itu bukan Izreen..tapi sekarang ni penting sebab Izreen kakak dia. Dia bercinta dengan bekas tunang kakak dia sendiri!
Bibir masih terkeunci rapat. Tidak mahu komen apa-apa tentang hubungan Razlan dan Izreen walaupun hati dia meronta-ronta ingin tahu.
“Zara, please forgive me. I ikhlas cintakan you.”
Razlan ingat buat pengakuan cinta sekarang ni dia akan terima? Dia akan rasa seronok dan bersorak?
Melihat Azara yang mendiamkan diri, Razlan tidak senang duduk. Dah la dia memang jenis tidak pandai memujuk perempuan, bila berdepan dengan masalah macam ni lagilah dia blur tak tahu nak buat apa. “Say something. Jangan diam macam ni,,
“Awak memang tahukan yang saya adik Izreen?” Perlahan soalan itu terbit dari bibir Azara. Langsung tidak memandang ke arah Razlan.
“No, tak tahu sayang! I memang tak tahu you adik Izreen. I tak sangka yang I akan jatuh cinta dengan you. Sayang, please trust me! I really.. really love you! Sangat sayangkan you.”
Azara pejam mata rapat.
“Selama awak kawan dengan saya, awak memang tak pernah tahu saya adik Izreen?”
Razlan mengangguk laju. “I memang tak tahu! Betul sayang.. I tak tahu!”
Wajah Razlan dipandang lama. Mencari sinar keikhlasan di wajah itu. “Awak betul-betul cintakan saya?”
“Sangat!”
“Kalau mak dengan abah tak izinkan kita bercinta, apa yang awak akan buat?”
Razlan terdiam sambil memandang ke wajah Azara. Betulkah Puan Nona dan Encik Latif tak izinkan dia bercinta dengan Azara?
“Kahwin dengan I, Zara.”
Azara rasa mahu tergelak besar. Dia tengah bercakap pasal sesuatu yang serius, Razlan buat lawak bodoh pula sekarang ni. Kahwin? Ingat semudah itu abah akan memberikan keizinan? Ingat senang-senang aje Izreen akan setuju?
Dia sedih sangat bila abah menuduh dia yang bukan-bukan. Sumpah selama ini memang dia tak tahu dia bercinta dengan bekas tunang Izreen! Memang dia tak kenal siapa bekas tunang Izreen.
Kalau dia tahu Razlan ialah bekas tunang Izreen memang dia takkan berkawan rapat dengan lelaki ini. Dia takkan membuka peluang kepada Razlan untuk mendapat tempat dihatinya.
“Raz, hubungan kita terlalu complicated. Saya tak pasti sama ada saya boleh bertahan atau pun tak..”
“Zara, I takkan sia-siakan you. Bagi I peluang untuk jaga you.”
Kepala digelengkan perlahan. Sekarang bukan masa untuk dia dan Razlan bercakap soal kahwin. Dia masih perlu jernihkan hubungan dia dengan mak dan abah.. Takkanlah dia nak kahwin lari pula dengan Razlan? Gila!
“Kalau mak dengan abah you tak setuju, kita kahwin lari?”
Mulut Azara ternganga luas. Gila ke apa Razlan ni. Ingat kahwin lari dapat selesaikan masalah ke?
“Raz, kalau awak betul cintakan saya, dapatkan saya dengan restu dan izin dari mak dan abah saya. Saya tak mahu hidup dengan awak tanpa restu mak dan abah.”
Dia akan ingat sampai mati pesan Hanis. “Restu Allah datangnya daripada restu mak dan abah kau Zara. Kalau mak dengan abah kau tak restu perjalan hidup kau.. Aku yakin yang kau takkan bahagia dengan Zakri sampai bila-bila.”
Ketika itu dia berkira-kira mahu merampas Zakri daripada Izreen dan mengajak lelaki itu kahwin lari di sempadan Thailand. Nasib baiklah dia ada Hanis. Kalau dia tiada kawan baik seperti itu mungkin dia dah bertindak gila suatu ketika dahulu.  
I akan jumpa parents you but bagi I sedikit masa. But now I need your answer. Will you marry me?”
Bibir tersenyum kecil. Takde cincin, takde bunga, macam ini aje Razlan lamar dia?
“Try again next time.”
Mug di atas meja diambil dan kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Bibir masih tidak lekang dengan senyuman. Comel betul cara Razlan lamar dia. Pakai satu mug kopi aje. At least belilah cincin, baru nampak bersungguh sikit.


p/s: Alamak, Sri terlupa kehadiran belog ini. Baiklah, mungkin kita akan berjumpa dengan cerita baru lagi. Ngee, jangan marah. Jangan marah. Cerita next insyaAllah tak panjang. Kita siapkan dalam alam maya ini sahaja okay? 

Love,
Sri.


Tuesday, 3 December 2013

Bab XX Kau Perempuan Itu

Mata dibuka perlahan-lahan. Lampu bilik masih terpasang menerangi bilik yang masih gelap kerana ditutupi oleh sehelai langsir tebal.. Tangannya menyentuh bibir yang terasa perit. Kesan lebam di tangan kanannya disentuh lembut. Kesan cengkaman Ari Aqashah malam semalam masih terasa. Air mata kecewa mengalir lagi di pipi. Tidak sangka Ari Aqashah akan bertindak sekasar ini.
Tanpa menunggu lebih lama, Sarah bangkit menuju ke tingkap. Langsir tingkap diselak sedikit. Kereta suaminya tiada di situ. Ari Aqashah tidak tidur di rumah ini malam semalam.
Tuala di penyidai di capai lemah. Kaki melangkah menuju ke bilik mandi. Lama Sarah memandang dirinya dalam cermin. Bibirnya bengkak akibat tamparan kuat Ari Aqashah. Pipi dia juga nampak lebam. Sarah memejam rapat matanya. Mahu menghilangkan semua bayangan kasar perlakuan Ari Aqashah terhadapnya.
Selesai mandi, Sarah berkurung di dalam bilik tidur Ari Aqashah. Tidak tahu sama ada ini adalah waktu yang sesuai untuk dia keluar atau tidak. Dia tidak mahu membangkitkan kemarahan sesiapa. Tidak mahu menghilangkan mood sesiapa.
Ketukan di pintu menyebabkan Sarah bingkas bangkit membuka pintu. Takut Ari Aqashah yang pulang ketika ini.
“Jom, turun makan. Dah pukul 1.30 tengah hari. Arah belum makan lagi ni.” Arif Shah tersenyum.
Mata Sarah melilau kalau-kalau ada sesiapa yang sedang memerhati mereka.
“Tak ada sesiapa. Mak Som aje ada di bawah. Tunggu Arah nak makan sekali.”
Bibir bergerak-gerak mahu bertanya sesuatu. “Mama dan yang lain dah keluar ke hospital jenguk papa. Ari balik ke apartment dia malam semalam. Jom turun makan.”
Sarah cemas. Terkejut! “Kenapa dengan papa?”
“Jom turun makan. Saya cerita masa makan nanti.” Tidak membantah, Sarah membontoti Arif Shah turun ke ruang makan.
Ternampak kelibat Sarah menuju ke arah meja makan, Mak Som bingkas berdiri. Tubuh ramping Sarah tenggelam dalam pelukan Mak Som. Mak Som menggosok belakang Sarah.
“Sabar ye nak. Mak Som faham perasaan Arah.” Pipi Sarah disentuh lembut. Luluh hatinya melihat wajah lebam Sarah. Tidak menyangka Ari Aqashah bertindak sejauh ini.
“Sakit?” Sarah menggeleng.
“Sikit aje.”
Pinggan dihulurkan kepada Sarah. Lauk pauk yang terhidang di depan mata tidak mampu memikat selera Sarah. Hatinya melonjak-lonjak ingin tahu apa yang sedang berlaku.
“Kenapa papa di hospital? Apa yang berlaku?” Wajah Arif Shah dipandang dengan perasaan ingin tahu. Sumpah dia ingin tahu apa yang sedang berlaku sekarang ini.
Dia ingin tahu apa kaitan saham 20 peratus Teraju Sinar Holding dengan dirinya? Kenapa Puan Khalisah asyik mengherdik dia? Kenapa Marliana mulai membenci dirinya? Kenapa Ari Aqashah menuduh dia perempuan murahan? Kenapa? Apa yang sedang berlaku di sekelilingnya.
Arif Shah memandang wajah Sarah. Tenang riak wajah lelaki di hadapannya ini.
“Papa kemalangan. Papa dalam ICU.” Terkejut dengan kenyataan Arif Shah, Sarah senyap. Tangan menekup mulutnya. Air mata mulai bergenang memenuhi kelopak matanya.
“Ke..ke..napa…?” Gagap suara Sarah.  
“Saya tak pasti apa yang sebenarnya berlaku tetapi menurut Nazmi papa dan mama bergaduh semasa dalam perjalanan balik dari firma guaman. Papa memindahkan 20 peratus saham miliknya kepada nama Arah dan bakal anak Arah. Selebihnya masih milik keluarga saya dan pemegang saham yang lain.” Arif Shah berhenti seketika. Mencari kekuatan untuk menyambung ceritanya. Sarah diam tidak mencelah. Tekun mendengar cerita Arif Shah.
“Mama tak setuju dengan tindakan papa. Mama dan papa bergaduh sehingga mengganggu fokus pemanduan Nazmi. Saya sendiri tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku. Mama tidak mahu menceritakan kepada sesiapa. Nazmi patah kaki, dan papa dimasukkan ke ICU disebabkan hentakan kuat di kepala. Keadaan papa masih kritikal.”
“Habis siapa yang temankan papa di hospital semalam?”
“Mama tak benarkan sesiapa berada di hospital. Mama terlalu marah dengan papa. Apa hubungan awak dengan papa saya, Sarah? Apa hubungan awak sampai papa saya sanggup berikan 20 peratus saham tu untuk awak? Who are you?”
Tersentak namanya dipanggil, Sarah mencari anak mata milik Arif Shah. Anak mata Sarah memandang tepat ke arah anak mata milik Arif Shah. “Dia bapa mertua saya.” Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran Arif Shah. Lelaki itu juga berfikiran sama dengan orang lain.
Arif Shah tersenyum sinis. “Semua orang tahu hal itu. Saya mahu tahu hakikat yang sebenarnya. Siapa awak?”
Sarah menolak kerusi makan. Dia mahu naik ke atas dan bersiap untuk ke hospital. Dia perlu melawat bapa mertuanya. Belum sempat kaki menjejak ke anak tangga yang pertama, Arif Shah terlebih dahulu mencapai tangan Sarah.
“Kenapa nama awak ada dalam senarai pemegang saham Teraju Sinar Holdings? Siapa awak?!” Keras suara Arif Shah namun cukup untuk didengari oleh mereka berdua sahaja.
Sarah menarik lembut tangannya. “Tolong jaga tingkah laku, Along. Saya isteri Ari, adik ipar Along.”
“Isteri adik saya dan perempuan simpanan papa saya?”
Pangg!
Laju tangan Sarah menampar pipi Arif Shah.
Hey, perempuan!” Marliana meluru mendapatkan suaminya. Tubuh Sarah yang berdiri berhadapan dengan Arif Shah ditolak. Sarah jatuh terduduk di atas lantai. Sekali lagi. Semalam ditolak kasar oleh Puan Khalisah, hari ini oleh menantu kesayangannya pula.
Sarah bangkit semula. Puan Khalisah yang berdiri di sebelah Jihan langsung tidak memandang ke arahnya. Benci sangat agaknya. “Saya tak ada apa-apa hubungan dengan suami puan. Untuk saham 20 peratus yang kononnya dikatakan milik saya, saya akan serahkan semula kepada keluarga puan.” Lembut Sarah menuturkan kebenaran kepada Puan Khalisah. Wajahnya menunduk sedikit memandang lantai.
“Kau ingat aku percaya cakap kau? Kau ingat dengan muka berlagak baik depan aku, aku akan terperdaya dengan ayat-ayat kau?” Sudah menjangkakan tengkingan seperti ini daripada Puan Khalisah.
“Saya berani bersumpah saya langsung tiada apa-apa hubungan dengan suami puan. Saya tak pernah perangkap anak puan untuk melindungi apa-apa hubungan dengan suami puan. Saya…”
“Saya apa?! Kau ingat aku suka tengok muka kau dalam rumah aku? Kau ingat aku suka?!” Puan Khalisah mula mengherdik Sarah. Kesabaran yang ditanamkan dalam hati sudah hilang. Ternyata Sarha lebih licik dalam permainan ini.
“Kau puan tak suka, saya boleh keluar dari rumah ini.”
“Kau jangan pandai-pandai nak keluar dari rumah ini tanpa keizinan aku. Pergi masuk bilik!” Ya, saya perlukan keizinan awak Ari Aqashah. Kalau bencikan saya kenapa tak halau saya keluar dari rumah ini?! Namun ayat itu hanya menjerit dalam hati Sarah sahaja.
Wajah Ari Aqashah dipandang dengan perasaan kecewa yang teramat sangat. Kenapa lelaki ini langsung tidak menjaga hatinya? Langsung tidak melindunginya?
“Masuk dalam bilik!” Sarah tersentak. Begitu juga dengan Mak Som yang sedang berdiri di meja makan. Terkejut dengan tengkingan Ari Aqashah.
Dengan langkah yang longlai. Sarah memanjat anak tangga menuju ke bilik tidur Ari Aqashah. Hancur luluh melihat sikap Ari Aqashah. Benar lelaki itu langsung tidak mencintainya, namun tidakkah lelaki itu sedar akan tanggungjawab sebenar yang dia pikul terhadap Sarah?
Pintu bilik ditutup perlahan. Sarah duduk bersandar di kaki katil. Sedih benar dengan layanan keluarga Ari Aqashah terhadapnya. Jika Puan Khalisah membencinya kerana merampas anak lelaki kesayangannya, Puan Khalisah silap. Dia langsung tidak pernah merampas lelaki itu. Dia tidak pernah merampas Ari Aqashah daripada sesiapa.
Jika Puan Khalisah meragui hubungan dia dengan Tuan Ramlee, Puan Khalisah sangat-sangat silap dalam menilai. Tuan Ramlee hanya mencintai Puan Khalisah. Walaupun selepas berkahwin dengan Ari Aqashah tidak banyak masa yang dia luangkan bersama Tuan Ramlee namun dia pernah berbual dengan lelaki itu beberapa kali.
“Papa mesti sayangkan mama, kan?” Sarah duduk menemani Tuan Ramlee di kerusi rehat.
Puan Khalisah keluar untuk menghadiri perjumpaan persatuannya. Jihan pula berjumpa dengan rakan-rakan dari Australia.Kesian Tuan Ramlee, hujung minggu macam ni pun masih lagi kena tinggal.
Tuan Ramlee ketawa perlahan. Pandai menantu dia nak ajak dia berbual. “Wanita pertama yang papa sayang dan akan menjadi wanita terakhir dalam hidup papa.”
Kembang kempis dada Sarah mendengar pengakuan Tuan Ramlee. Bertuah Puan Khalisah.
Sarah mengesat air hangat yang membasahi pipinya. Kenapa hidup dia jadi macam ni? Dia sudah tidak boleh bergurau dengan Tuan Ramlee pada hujung minggu. Bapa mertuanya sedang kritikal di hospital.
“Ya Allah, selamatkan papa.”
“Mama, mama kena banyak bersabar. Kita tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mama tak boleh terus membuat tuduhan melulu terhadap Sarah. Mungkin papa tak bersalah.” Jihan langsung tidak percaya bahawa Tuan Ramlee menjalinkan hubungan dengan Sarah. Jika hal itu benar sekalipun, pasti Sarah yang menggoda papanya!
“Lagipun Jee percaya papa takkan lakukan perkara terkutuk macam tu. Dah lama papa berkahwin dengan mama dan tidak pernah sekalipun papa menipu mama. Jee yakin, perempuan itu yang menggoda papa!”
Giliran Arif Shah pula memujuk Puan Khalisah. Sejak ditimpa kemalangan Puan Khalisah asyik menangis sahaja. “Selagi papa belum sedar kita tak boleh membuta tuduhan melulu. Kita tunggu sehingga papa sedar. Mama, please banyakkan bersabar. Mama kena rehat. Kami tak mahu nanti mama pula yang sakit.”  
Tangan Puan Khalisah digenggam erat oleh Arif Shah. Beberapa saat kemudian, Puan Khalisah tenggelam dalam pelukan anak sulungnya.
Isteri mana yang tidak sedih jika suaminya beriya-iya mahu mengubah wasiatnya demi orang luar. Jika bukan kerana dia yang mendesak suaminya untuk ikut bersama ke firma guaman, mungkin dia tidak akan tahu bahawa suaminya menukar wasiat. Sampai hati suaminya.
“Kita tunggu sampai peguam panggil kita. Jika papa masih juga belum sedar dalam masa tiga hari, kita perlu tahu siapa yang bakal menerajui Teraju Sinar Holdings sehingga papa sembuh. Doktor pun belum berikan kita apa-apa keputusan tentang papa. Syarikat perlukan seseorang yang boleh dipercayai untuk memantau perjalanan projek.”
“Dah la tu Along. Biar mama berehat. Mama dah cukup letih dengan apa yang berlaku sekarang ni. Jangan tambah sakit kepala mama.” Ari Aqashah mencelah sambil memicit kepalanya. Bukan Puan Khalisah aje yang sakit kepala, dia pun dah rasa sakit sangat kepala dia dengan masalah yang bertimpa-timpa.
“Mar, tolong bawa mama ke bilik. Nanti I datang.” Marliana mengangguk.
Melihat Puan Khalisah, Marliana dan Jihan menghilang dari anak tangga, Arif Shah menegur Ari Aqashah. “Along nak cakap dengan Ari kejap.” Ari Aqashah yang baru sahaja mahu meninggalkan ruang makan kembali duduk di tempatnya.
“Ada apa?”
“Jangan berkasar sangat dengan Sarah. Dia mungkin hanya mangsa keadaan. Kita masih belum pasti apa hubungan dia dan papa.  Dia masih lagi isteri Ari.. jangan jatuhkan hukuman sebelum kita tahu kebenarannya.”
Ari Aqashah tergelak kecil. “Kenapa? Along terluka?”
Melihat riak wajah terkejut Arif Shah, Ari Aqashah menambah. “Marliana isteri Along. Jangan masuk campur hubungan Ari dan Sarah. Lebih baik Along jaga hubungan Along dan Marliana. Jangan sampai Marliana menghidu kecurangan Along.”
“Apa yang Ari merepek ni?!” Arif Shah berdiri tegak. Penumbuk dikepal. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia melayangkan sebiji penumbuk ke muka adiknya. Mulut langsung tak ada insurans!
“Ari penat sangat. Ari nak naik atas.”
Arif Shah menghantar sesusuk tubuh itu dengan ekor matanya. Adakah Ari Aqashah tahu bahawa dia menyimpan perasaan terhadap Sarah? Jika ya, bagaimana lelaki itu tahu? Adakah Sarah yang memberitahu kepada Ari Aqashah? Arif Shah kembali duduk di sofa mewah itu.
Cincin perkahwinan yang tersarung kemas di jari manisnya diperhati lama. Dia sayangkan Marliana. Sayang sangat! Namun jika dia tidak melihat wajah lembut Sarah, hatinya tidak puas. Melihat wajah itu yang penuh dengan kesan-kesan lebam menyakitkan hatinya. Ingin sahaja dia membelasah wajah kacak adiknya sendiri!
Mendengar pintu bilik dibuka, Sarah mengangkat kepalanya. Pandangannya yang berlaga dengan Ari Aqashah segera dikalih ke tempat lain. Sarah memandang ke luar tingkap. Soalan yang berlegar-legar di kepala hilang sekelip mata. Dia mahu menyoal tentang keadaan papa, namun dia tidak berani. Takut kalau Ari Aqashah naik hantu dan memukul dia lagi.
Talk to him Sarah.’
Sarah masih berkira-kira untuk membuka mulut. Supah dia rasa kecut perut untuk berdepan dengan Ari Aqashah ketika ini.
“Encik Ari..” Langkah Ari Aqashah terhenti. Dia berpaling memandang wajah yang penuh dengan kesan lebam itu.
Melihat Sarah diam, Ari Aqashah menunggu ayat yang seterusnya. “Kau ingat aku ada banyak masa nak tunggu kau fikir kau nak cakap apa?” Sindir Ari Aqashah.
“Kita perlu berbincang. Saya perlu cakap dengan Encik Ari.”
Ari Aqashah ketawa menyindir. Bincang konon? Nak bincang apa? Nak kelentong dia? Pergi mampus! Ari Aqashah berpaling semula. Mahu mandi dan tidur sebentar. Rasa letih sangat-sangat dah ni.
“Encik Ari, please.”
Ari Aqashah berjalan menuju ke arah sofa. Dia melabuhkan duduknya di situ. “Kau nak bincang apa?” Suara yang tadi tegang kembali kendur.
Sarah bangkit mendekati Ari Aqashah. Duduknya dilabuhkan di atas lantai yang dibaluti dengan permaidani berwarna hitam kelabu berdekatan dengan Ari Aqashah.
Suasana senyap seketika. Berdepan dengan sikap tenang Ari Aqashah mendebarkan hati Sarah. Bimbang kalau-kalau lelaki ini naik berang tiba-tiba.
Now.”
Sarah mengambil sedikit nafas. “Saya minta maaf pasal perkahwinan kita. Sumpah..”
“Sumpah saya tak tahu apa-apa. Kan? Itu aje yang kau nak cakap? Dah, aku nak pergi mandi!” Belum sempat Sarah menghabiskan ayatnya, Ari Aqashah lebih pantas mencelah.
“Ada orang yang perangkap kita. Bukan saya.”  Ari Aqashah menambah. “Hei perempuan, aku dah muak dengar semua tu dari mulut kau.”
Bosan menghadap muka Sarah, Ari Aqashah bangkit menuju ke bilik air. Malas mahu mendengar apa-apa penjelasan lagi. Bukan dapat apa-apa dan bukan dapat mengubah apa-apa. Ikutkan hati mahu saja dia menceraikan Sarah. Ahhh, selagi wanita itu tidak terseksa, jangan harap aku akan lepaskan dia!
Sarah melirik ke arah jam di dinding. Pukul 2.45 petang. Dia masih belum solat Zuhur. Suaminya mungkin mahu menunaikan solat sebentar lagi. Sarah bingkas bangkit mengambil sehelai baju dan kain pelikat yang berada di dalam almari pakaian. Pakaian itu diletakkan di atas katil. Tikar sejadah dibentangkan untuk suaminya.
Sebaik sahaja Ari Aqashah keluar dari bilik air, Sarah bangun sambil mengukir senyuman manis. “Saya dah siapkan pakaian dan tempat solat.”
“Jangan sentuh barang aku. Aku tak suka.” Mati senyuman yang terukir di bibir Sarah.
“Maaf.”
Segan melihat Ari Aqashah yang hanya bertuala separas lutut, Sarah masuk ke bilik air. Mahu mengambil wuduk dan bersolat. Mana tahu kalau-kalau Ari Aqashah sudi mengimamkan solatnya.
Sebaik sahaja keluar dari bilik air, Sarah terpandang Ari Aqashah yang sedang bersolat. Bibir mengeluh hampa. Mungkin lelaki itu perlukan masa untuk menerima kehadirannya. Sarah perlu bersabar. “Jangan sesekali mengalah. Arah mesti kuat untuk mempertahankan perkahwinan Arah.”
Abah.. kenapa pesanan abah terlalu sukar untuk Arah laksanakan? Kenapa Ari Aqashah tidak boleh membuka hatinya untuk redha dengan setiap yang berlaku? Ya Allah, sesungguhnya aku ikhlas menerima kehadiran lelaki ini dalam hidupku Ya Allah. Pinjamkan aku kekuatanMu, Ya Allah.
Sementara menunggu Ari Aqashah selesai bersolat, Sarah memakai telekung dan duduk di birai katil. Memerhatikan wajah suaminya dari sisi. Wajah itu nampak tenang. Sukar sekali untuk dia lihat wajah tenang itu dalam keadaan biasa. Perkahwinannya dengan Ari Aqashah sudah menginjak hari yang ke tiga belas pada hari ini, namun layanan Ari Aqashah masih lagi sama. Tidak. Semakin teruk kepadanya.
Melihat Ari Aqashah yang mahu mengangkat tikar sejadah, Sarah cepat-cepat mencelah. “Encik, saya nak solat.”  Tanpa banyak soal, Ari Aqashah bangun meninggalkan tikar sejadah itu dan menuju ke katil. Tubuhnya berbaring memandang siling. Sarah mengambil tempatnya. Menggunakan tikar sejadah yang sama digunakan oleh Ari Aqashah sebentar tadi.
Sarah mula bersolat. Ari Aqashah menoleh sekilas ke arah Sarah. Sisi wanita yang sudah sah mejadi isterinya dipandang lama. Mancung juga hidung perempuan ini.
Bibir kiri Sarah jelas kesan lebam akibat dipukul malam tadi. Dia tahu Sarah takut dengan dia sekarang ni. Biarkan! Dia suka kalau Sarah tunduk dan takut kepadanya. Biarkan wanita itu merasai hidupnya seperti dalam penjara.
Tidak sampai satu minit, Ari Aqashah mengalihkan pandangannya ke siling semula. Tidak mahu hayut memandang wajah Sarah. Bimbang akan muncul perasaan aneh di dalam hatinya.

p/s: Ini untuk semua yang rindukan Sarah & Ari Aqashah. Marilah buat group hug untuk entry cinta bahagia ini untuk semua! :)
Kenapa XX? Hehehe, supaya semorang tak boleh teka ini bab berapa. Haha! Saja je kan Sri ni. ;) Baiklah, untuk yang bertanya bila nak bukukan, bila bila bila. My God, Sri memang tak boleh jawab bila tapi insyaAllah kita sama-sama doakan yang terbaik untuk karya Sri ini ye. I pun harap dapat peluk buku jugak u olls! <3