Friday, 12 February 2016

Bab 12 Dia lelaki Idaman Hati


Riana terjaga lebih awal dari kebiasaan. Memandang jam yang baru menunjukkan pukul 4.45 pagi, Riana mengambil keputusan untuk bersolat sunat Tahajjud. Dia perlu meluahkan apa yang tersimpan dalam hatinya.
Biarlah dia mengadu kepada yang Maha Esa. Riana yakin Allah Maha Mendengar. Mengadulah apa sekalipun, Allah tetap mendengar.
Tangan membetulkan selendang yang terlilit di kepala. Selepas Firhad meluahkan apa yang terbuku di hati lelaki itu malam tadi, Riana mengambil keputusan untuk menjaga batas perhubungan dia dengan lelaki itu.
Selimut tebal ditolak ke tepi. Kaki melangkah ke bilik mandi yang berada di dalam bilik tidurnya dengan Firhad. Lama Riana berada di dalam tandas, wajah putih bersih yang sudah segar keluar semula. Telekung yang digunakan untuk bersolat malam tadi disarung ke tubuh.
Selesai bersolat Riana duduk berteleku di atas sejadah. Gambar Kaabah di depan matanya direnung dengan mata yang berkaca. Puas dia menahan tangis sejak tadi. Dia lemah. Dia tidak kuat.
Pinjamkan aku lebih kekuatan dari kebiasaanku Ya Allah.
Janganlah kamu berduka cita sesungguhnya Allah berserta kita - At Taubah, Ayat 40.
Seperti dibisik-bisikkan sepotong ayat ini ditelinganya.
Firhad yang nampak sangat lena di sofa direnung dari jauh. Lelaki ini adalah lelaki pertama yang dia cinta sejak umurnya enam belas tahun. Ketika itu Firhad berusia dua puluh dua tahun. Sering sahaja Firhad menjemput dia pulang dari sekolah jika lelaki itu pulang bercuti ke Malaysia.
Lelaki ini digilai oleh rakan-rakan dia. Siapa sangka kini Firhad sah bergelar suami dia. Tapi sayang, tubuh Firhad bersama dia tetapi hati lelaki itu bukan milik dia.
Air hidung yang meleleh dikesat lembut. Tidak mahu mengganggu tidur Firhad.
Riana menyentuh dadanya. Sesak sangat! Sakit yang amat sangat Firhad tinggalkan untuk dia. Mampukah dia memaafkan lelaki itu? Mampukah dia untuk menerima Firhad lagi?
“Ya Allah, kepadaMu aku berserah.. Sesungguhnya aku redha dengan setiap ujianMu.. Aku tidak meminta kau ringankan ujian ke atasku tetapi kau berikanlah aku ketayahan hati untuk aku menghadapi semua ini Ya Allah..” Riana bersuara perlahan.
“Andai dia adalah jodoh yang engkau kirimkan untuk aku, andai aku dicipta dari tulang rusuk kirinya maka kau panjangkan jodoh kami..”
“Ya Allah..” Mata dipejam seketika.. “Amin.. Ya Rabbal ‘Alamin..”
Rian turun ke tingkat bawah apabila dia sudah siap berpakaian. Sehelai baju berlengan panjang dan seluar track dikenakan ke tubuhnya. Dengan hati yang dipaksa gembira, kaki melangkah memijak satu per satu anak tangga.
Mendengar suara Puan nani berbual dengan bibik dari ruang dapur, Riana melangkah ke sana. “Assalamualaikum, mama. Good morning.”
Puan Nani segera menoleh ke arah menantu baharunya. “Morning sayang!” Riana dipandang atas dan ke bawah. Mukanya membuat rekasi pelik apabila melihat Riana.
“Kenapa mama pandang Ria macam tu?” Soal Riana apabila perasan Puan Nani menadnag dia atas ke bawah berulang kali.
“Kenapa pakai seledang dalam rumah? Bukannya ada orang lain..”
Riana menyentuh kepalanya yang dilitupi sehelai selendang. Alamak. Ini yang susah ni. Kalau dengan keluarga takkan dia nak bertudung juga? “Oh, lupa pula! Rasa macam belum kahwin pula.” Riana buat-buat ketawa gembira.
“Ish, budak bertuah ni. Ada pula terlupa yang awak tu dah kahwin. Jom tolong mama angkat makanan ni ke meja makan. Kejap lagi dah boleh makan. Papa lima minit lagi turunlah tu.”
Riana hanya menurut tanpa sepatah kata. Disuruh angkat air, dia angkat. Suruh susun pinggan pun dia buat. Semuanya dia buat mengikut arahan Puan Nani.
Suasana di meja makan agak riuh-rendah pada hari ini. Dia dan Firhad akan pulang ke rumah Firhad. Riana hanya senyum sahaja sepanjang mereka bersarapan di meja makan. Perasaan dia yang terluka di sembunyi jauh-jauh ke dasar hati agar tidak kelihatan di wajahnya.
“Makanlah lagi Ria. Kenapa pengantin baru macam takde selera aje nak makan?”
Riana menguis bihun goreng dalam pinggannya.
“Nak tambah rendang ayam?” Belum sempat Riana menjawab, Firhad sudah menceduk rendang ayam ke dalam pinggannya.
Rasa macam nak menjerit di muka Firhad tak perlu layan dia dengan baik! Nak menjerit di muka Firhad agar menghentikan semua lakonan bahagia mereka di hadapan keluarga kerana dia tidak suka dengan apa yang berlaku ketika ini!
“Makanlah banyak sikit sayang. Nanti Ria kurus mama ingat abang dera Ria pula.”
Riana tidak menjawab. Malas hendak bercakap dengan Firhad. Langsung tiada mood hendak berbual dengan lelaki itu walaupun Firhad ada juga hendak cuba berbual dengan dia.
“Ad, lama ke cuti kahwin ni?”
“Dua minggu, ma.”
“Ha, elok sangatlah tu. Nanti bawa Ria ni pergi honeymoon. Jangan ada isteri nanti kurung aje dalam rumah. Nanti dah mula kerja semula, dah sibuk langsung tak sempat nak berjalan ke sana ke sini.. Sekarang ni tengah cuti eloklah pergi berjalan.” Cadang Puan Nani.
“Takpe lah mama. Ria tak nak ke mana-mana.. Nak berehat dekat rumah aje cuti ni.” Pintas Riana sebelum Firhad mula menjawab yang bukan-bukan. Kalau di ajaknya dia berjalan, memang dia tak mahu! Buat apa nak pergi berjalan dengan Firhad kalau perkahwinan mereka bukan macam orang lain.
Pergi berjalan lepas tu buat hal masing-masing? Baik duduk rumah tengok televisyen lagi bagus!
“La, kenapa pula Ria tak nak? Kan elok awal-awal kahwin ni pergi berjalan. Mana tahu nanti papa dengan mama dapat cucu cepat-cepat sikit.”
Riana senyum nipis. Tidak tahu apa yang hendak di jawab. Cucu konon! Memang takkan adalah cucu tu kalau tidur pun asing-asing. Celah mana nak datangnya cucu.
“Tengoklah nanti ma. Kalau ada masa nanti kami pergi berjalan tapi mungkin dalam Malaysia ajelah.” Firhad cuba untuk mematikan perbualan tentang cucu yang cuba dibualkan oleh Puan Nani.
“Apa pula nak berjalan dalam Malaysia aje. Pergilah luar negara. Ad pun, apa salahnya bawa Ria berjalan ke luar negara?”
Riana hanya senyap sahaja mendengar bebelan Puan Nani. Biar Firhad yang menjawab kerana hati dia langsung tiada dalam perbualan ini.
“Dalam Malaysia ni pun banyak lagi tempat yang Ad dengan Ria tak pernah pergi ma. Pulau-pulau dekat Malaysia ni pun cantik juga. Kalau ada masa nanti memang kami nak pergi. Lagipun Ria sendiri yang cakap dengan Ad dia teringin nak ke pulau. Kan sayang?”
Riana hanya mengangkat wajahnya apabila Firhad meminta pertolongan daripada dia untuk turut serta dalam perbulana. “Ah, ye..”
“Betul ke Ria nak ke pulau ni? Macam gayanya tak suka aje tu..” Sindir Puan Nani.
“Betullah mama. Sayang memang sukakan pulau kan?” Firhad pandang wajah Riana dengan senyuman kacak. Senyuman itu dahulunya membuatkan hatinya terpikat namun kini senyuman itu bagaikan racun kepada dia.
“Betul. Ria memang sukakan pulau. Kalau ada rezeki boleh pergi nanti.”
“Hmm, iyelah. Kalau dah itu kata Ria mama ikutkan aje. Jangan sampai takde masa nak bercuti sudahlah. Ni betul ke kejap lagi nak pindah ke rumah Ad? Kesian Ria ni, semalam baru bawa pakaian ke sini, hari ni dah nak angkut ke rumah Ad pulak.
“Kami nak duduk sendiri aje, tak nak menyusahkan mama dan papa.”


“Apa yang menyusahkan mama dengan papanya? Sebelum kahwin pun memang Ad tinggal dengan kami, takde masalah pun. Mama pun memang suka kalau Ria da dekat sini. Sejuk hati mama tengok Ria.”
Fitriyati mencebik. Sukalah nak puji anak orang lebih-lebih. “Ye lah Yati ni memang selalu buat mama sakit hati kan.. Muka tak cantik macam menantu kesayangan mama tu. Alim sangat sampai dalam rumah pun nak bertudung!”
Spontan tangan Puan Nani menyiku anak sulungnya. “Cakap tu elok-elok sikit, Yati. Tak payah nak menyakitkan hati orang sangat.”
“Dah kenyang. Yati nak naik atas!” Pinggan yang masih penuh dengan bihun goreng ditolak kasar. Laungan Puan Nani langsung tidak diendahkan oleh Fitriyati. “Dah dapat naka baru, sukalah hati mama kan?” Jerit Fitriyati sambil mendaki anak tangga ke tingkat atas.
“Ria, makanlah. Jangan pedulikan Kak Yati tu. Dah memang perangai dia macam tu..”
Suasana di meja makan sedikit canggung selepas Fitriyati mengamuk. Masing-masing diam sahaja.
Beg pakaian Firhad disusun di hadapan pintu bilik. Dia langsung tidak berniat untuk membantu Firhad mengemas pakaiannya dari rumah Puan Nani. Selepas semalaman berada di rumah Puan Nani, lelaki itu mengajak dia pulang ke rumah baharu mereka di Kajang. Lebih tepat kalau rumah baharu Firhad. Dia langsung tidak menganggap rumah ini sebagai rumah mereka sebaliknya suatu masa nanti dia akan melangkah keluar dari rumah ini.
“Jom kita turun makan dulu, nanti abang minta Pak Kie angkat semua beg ni masuk bilik Ria.” Riana menurut tanpa sepatah kata. Sejak pagi tadi dia langsung tidak berbual dengan Firhad walaupun lelaki itu ada menunjukkan minat untuk berbual dengan dia.
Kerusi meja makan di tarik lembut. Dia sebenarnya malas juga mahu makan bersama Firhad tetapi mengenangkan pesan Puan Nani dia mengalah juga dengan hati yang sakit ini. Dia seorang isteri. Marah macam mana sekalipun dia tetap seorang isteri yang wajib mentaati suaminya.
Isteri konon. Dia boleh mentaati Firhad kalau lelaki itu ikhlas kahwin dengan dia. Ini kahwin pun terpaksa, macam mana dia nak taat? Sakit hati dia siapa yang nak peduli? Dia yang kena simpan seorang diri.
“Ria ambilkan abang cili sos.” Riana menolak perlahan kerusi ke belakang dengan hati yang berat. Dengan perasaan separa ikhlas, kaki di bawa ke dapur.
Tangan lurus menompang tubuhnya di singki. Ya Allah, dia tidak kuat untuk berdepan dengan lelaki ini. Dia lemah. Setiap kali dia memandang wajah Firhad, hatinya bagai disiat-siat. Terasa sangat sakit.
Air mata yang mengalir di pipi dikesat dengan belakang tapak tangan. Tolonglah kuatkan hati aku Ya Allah. Dia berusaha untuk kuatkan ego dia, berusaha untuk menjadi kuat di hadapan Firhad. Dia tidak mahu Firhad memandang dia sebagai perempuan lemah yang tidak mampu hidup tanpa lelaki itu.  
“Ria..”
Pantas tangan membuka pili air apabila namanya diseru oleh Firhad. Tangan menadah sedikit air yang turun dari pili dan dibawa ke muka. Meraup mukanya dengan tangan yang penuh dengan air.
Yes?”
“Lamanya Ria dekat sini.. Abang dah habis makan dah tunggu sos yang Ria nak ambil tu..”
Firhad makan tak tunggu dia? Ah, nampak sangat lelaki ini langsung tak kisahkan hati dia.. “Oh, sorry. Ria tak tahu dekat mana sos cili.. Cari tak jumpa.”
Senyuman kacak Firhad membuatkan jantung Riana henti berdenyut buat seketika. Ah, kenapa dia masih juga berdebar setiap kali melihat senyuman manis itu. “Abang simpan sos dalam peti sejuk.. Masa hantar barang dekat sini hari tu abang makan pizza juga. Sambil mengemas lapar pula waktu tu.. Lupa nak cakap dengan Ria tadi.”
“Oh.” Riana melangkah mendekati peti sejuk. “Dah tak nak makan lagi ke?”
“Abang dah kenyang makan lima  keping tadi. Ria makanlah yang lebih semua tu ya. Abang nak keluar jumpa dengan kawan abang pula.” Tanpa menunggu balasan dari Riana, Firhad terus berpaling dan bergerak meninggalkan ruang dapur.
Riana tahan getaran di bibirnya. Sampai hati Firhad tinggalkan dia dalam rumah ini seorang diri.
Sekotak dominos di hadapannya dipandang sepi. Makan Dominos seorang diri? Riana tergelak kecil. Firhad anggap dia ni tunggul ke? Mereka baru sahaja berpindah masuk ke rumah ini dan Firhad keluar rumah tanpa membawa dia? Yang paling penting ialah mereka baru sahaja kahwin kelmarin! Kawan mana yang penting sangat untuk Firhad jumpa pada hari cuti sebegini?
cause all of me.. Love all of …
Riana bangkit mendapatkan telefon bimbitnya yang terletak di atas meja kopi di hadapan televisyen. Nada dering yang baru dia tukar sempena lagu perkahwinan mereka. Kononnya romantik.
“Mama..” Bibir menyebut perlahan.
“Assalamualaikum, mama..”
“Waalaikumussalam. Ria, buat apa tu?”
“Ria tengah lunch..”
Riana mendengar tawa halus Puan Nani di talian sana. “Makan apa? Takkan baru pindah dah masak kot?”
“Makan pizza je mama.. Tak sempat nak masak. Peti sejuk pun Ria tak tahu apa yang ada dalam tu. Tak sempat nak check lagi..” Riana tergelak-gelak ceria berbual dengan Puan Nani.
“Ha itulah yang mama risau tu. Entah Ad tu beli ke tidak lauk-pauk untuk kamu berdua makan.”
“Tak apalah mama, kalau takde lauk boleh keluar makan di luar aje..” Dia mahu menyedapkan hati Puan Nani.
“Ad ada ke? Mama telefon dia tak berjawab pula.”
“Ahh, abang keluar jumpa kawan dia kejap ma. Mungkin petang sikitlah abang balik.”
Senyap.
Selepas beberapa saat suasana hening, Puan Nani bersuara. “Dia keluar dengan siapa? Kenapa Ria tak ikut sekali?”
“Abang tak ajak Ria sekali pun.. Mungkin jumpa dengan klien penting agaknya. Iyelah tengah cuti pun masih juga bekerja..” Tidak mahu mengesyaki yang bukan-bukan terhadap suaminya.
“Betul ke jumpa klien? Dia cakap dengan Ria macam tu?”
“Ah.. Ye, mama. Abang cakap dia jumpa dengan klien penting. Klien tu pula tak boleh tunggu lagi. Jadi memang penting agaknya klien abang tu, ma.”
“Ria, nanti kalau suami nak keluar ikut sekali. Jangan asyik nak terperuk dalam rumah tu tak tahu apa yang suami buat dekat luar..” Garang suara Puan Nani. “Mama ni bukannya nak marahkan Ria tapi nak ingatkan Ria sikit. Jangan ambil mudah perkara macam ini.”
Riana gigit bibir bawahnya. Menahan rasa. Jika hendak diikutkan memang dia rasa marah terhadap Puan Nani kerana memaksa Firhad berkahwin dengan dia tetapi melihat kasih sayang Puan Nani kepada dia, dia rasa terharu pula. Emak mertua dia memang sayangkan dia! Cuma Firhad sahaja yang tidak cintakan dia.
“Nanti kalau abang keluar Ria ikut sekali..”
“Iye mama tahu Ria percayakan Ad tapi percaya pun percaya juga.. Jangan sampai kena tipu hidup-hidup dengan Firhad tu!”  Puan Nani melepaskan amarahnya. Dia tahu Firhad ke mana! Geramnya dia dengan sikap Firhad. Dah ada isteri sebaik Riana pun masih mahu mensia-siakan masanya untuk orang lain. Memang melampau betul.
Riana senyap. ‘Jangan sampai kena tipu hidup-hidup?’. Riana tersenyum sumbing. Sebelum kahwin pun dia dah kena tipu hidup-hidup, apatah lagi sekarang. Entah apa Firhad buat belakang dia langsung dia tidak tahu.
Andai sahaja lelaki itu curang, pun dia tidak tahu!

“Mama, Ria tahu mama risaukan kami. Ria okay. Abang Ad layan Ria dengan baik. Mama janganlah marahkan abang sampai macam ni.. Abang betul-betul jumpa klien..” Dia tidak mahu darah tinggi Puan Nani naik mendadak pula sebab terlalu bengangkan Firhad.
Bukannya dia saja-saja hendak mempertahankan suami dia tetapi dia lakukan semua ini untuk kebaikan Puan Nani.
“Iyelah.. Kalau macam itu kata Ria mama percayakan Ria. Ingat pesan mama. Kalau Ad ada sakitkan hati Ria cakap dengan mama. Tahulah mama nak ajar anak mama tu.”
Boleh tak kalau dia nak cakap yang dia sakit hati dengan ahli keluarga Firhad yang sanggup menipu dia sehingga dia terjebak dalam perkahwinan yang seperti lakonan ini? Bangun pagi tadi mengukir senyuman palsu kepada semua ahli keluarga, ketawa gembira di meja makan, bercakap soal masa depan dia dengan Firhad, tentang anak dan macam-macam lagi!
Kalaulah dia boleh lari balik ke rumah Puan Zaimah, dia nak peluk Ruzanna. Mahu Ruzanna menenangkan dia. Mahu memberitahu kepada Ruzanna dia tersilap langkah kali ini! Dia tersilap dalam membuat keputusan. Dia silap memilih orang yang dia cinta sedangkan orang itu tidak langsung menghargai dia!
Mahu sahaja dia meraung sekuat hati dalam pelukan Ruzanna. Kini dia faham kenapa Ruzana tidak mahu membuka ruang hatinya untuk bercinta lagi. Kenapa Ruzana menutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki. Kakaknya sudah merasai kesakitan yang dia juga rasai sekarang ini. Rasa sakit yang amat sakit dan sukar untuk diluahkan rasanya.
“Riana.. Are  still there?”
Yeah. Yeah. Ria ada dekat sini, ma.”
“Ria dengar tak apa yang mama pesan tadi?”
“Apa mama?”
“Ish budak bertuah ni.. entah apa yang dia berangan. Mama cakap tadi cepat-cepat mengandung. Ikat Firhad dengan anak. Ad tu sukakan budak-budak. Kalau ada anak nanti pasti kamu berdua bahagia.”
Riana terasa mahu menangis. Anak? Tingginya harapan Puan Nani terhadap mereka. Macam mana nak ada anak, Firhad sentuh dia pun tak mahu. Kata Firhad macam mana nak sentuh dia kalau Firhad anggap dia seperti adik sendiri.
“Doakan yang terbaik untuk kami ya?”
Always my dear.”
Thank you mama.”
Firhad menyisip perlahan kopi dalam cawannya. “Sedap kopi  you buat ni tau tak? Paling sedap di dunia. Takde sesiapa boleh lawan..”
Wajah jelita di hadapannya buat pekak. Malas mahu melayani Firhad.
Firhad senyum nipis. Dia tahu wajah masam yang ditayangkan kepadanya sedang merajuk. “Sayang.. you nak I pujuk you macam mana lagi ni Dayan?”
You tahu tak betapa sakitnya hati I ni dengan sikap mama you tu? Boleh dia datang serang I dekat rumah I masa Pretty ada dekat sana sekali? Dan yang paling sakit hati ialah mama  tampar pipi I ni tau tak?” Dayan sentuh pipi kanannya yang ditampar oleh Puan Nani apabila dia menjawab Forhad tetap cintakan dia walaupun lelaki itu berkahwin dengan Riana kelak.
“Iyelah.. Tapi kan I dah minta maaf. Manalah I tahu macam mana mama I dapat tahu rumah you ni. Kalau I tahu mama nak datang serang  memang I dah warn you awal-awal lagi tau!”
“Memanglah  tak tahu tapi mama you tak patut malukan I depan Pretty!”
“Takpe lah, bukannya Pretty tak kenal sikap mama I kan?  You pun selalu cakap dengan Pretty yang mama I tak restu hubungan kita ni..”
Dayana melepaskan bantal peluk di tangannya. “Sakit tau tak..”
Firhad bangkit dan duduk di sebelah Dayana. “Sakit ya.. Sorry okay. I janji yang mama takkan datang sini lagi.” Pipi Dayana diusap lembut. Sayang sungguh dia kepada wanita ini.
“Janji?”
“Janji sayang..” Hidung Dayana dicuit lembut. “I miss you so much tau tak?”
“Rindu konon.. Entah-entah semalam you dah seronok makan besar!”
“Hey, cakap tu pandang-pandang sikit ya! I takkan buat macam tu dekat Ria.”
Dayana mendengus kecil. “Habis tu kenapa semalam tak datang sini jumpa I? kata lepas majlis habis aje you nak datang walaupun lewat malam.”
Firhad kalih menghadap televisyen. “Ala, semalam I dekat my parents la. Susah nak keluar jumpa you malam tadi. Tapi mulai hari ini senang sikit sebab I dah tinggal sendiri. I bawa Riana keluar dari rumah parents I.”
Dayana senyum mekar. “Bolehlah you datang sini selalu temankan I.”
Firhad menganggukkan kepalanya. “Boleh tapi I tak bolehlah balik lewat malam sangat sebab nanti Riana bimbangkan I pula..”
Serta-merta wajah jelita itu monyok. “Penting sangatlah wife you dekat rumah tu?”
“Dayan, I tak bolehlah biarkan Riana dekat rumah tu seorang diri.. Riana tu bukannya berani sangat. Lagipun itu kan rumah baru I dengan dia.. Bahaya juga kalau I tinggalkan dia seorang diri.”
Pelukan di bahunya dirungkaikan. Tangan Firhad yang cuba memeluknya sekali lagi ditolak kasar. “Don’t touch me!  You jangan cakap dengan I lepas you  kahwin dengan perempuan tu,  you dah mula sukakan dia pula!”
“Oh Dayan.. Come on lah. Kan kita dah janji yang you takkan cemburu buta macam ni. I dengan Riana memang takde apa-apa hubungan hati langsung! Yes, I akui dia memang cintakan I tapi I cintakan you.”
You dah sentuh dia?” Dayana menunjukkan riak wajah curiga. Dia tidak tahu sama ada dia boleh percayakan Firhad atau tidak.
“I ingat janji I pada you. I takkan sentuh dia walaupun dia halal untuk I. Please, jangan mulakan.. I tak nak bergaduh dengan you. I datang sini sebab I rindukan you .” Tidak mahu perbalahan dia dengan Dayana berpanjangan.
“Janji dengan I yang you takkan jatuh cinta pada Riana..”
“I janji.. I janji yang I akan lepaskan dia bila waktu sesuai dan kita akan kahwin.”
Kepala kembali dilentokkan di atas bahu Firhad. “I love you, sayang.”
“I love you more, Dayan.”
“Riana mesti tengah tunggu you macam tunggul dekat rumah kan? Kesian dia.. I rasa kalau I jadi Riana memang I akan malu besar bila tahu lelaki yang I puja dan I cintakan sangat-sangat tu rupanya tak pernah cintakan I..”
“I kenal Ria sejak kecil. I membesar dengan dia dan tak mungkinlah I akan jatuh cinta pada dia. Mama I aje yang paksa I kahwin dengan dia..”
Dayana beriak sedih. “Kalau bukan sebab mama ugut nak berhentikan I kerja mesti you takkan kahwin dengan dia kan, sayang?”
You sukakan kerja you kan? And kalau you berhenti kerja siapa nak buatkan I kopi yang sedap macam you buat?”
Dayana tergelak kecil. “Pandai you nak ambil hati I kan. Kalau kopi I tu sedap sangat, esok nak minta upahlah..”
Serta-merta wajah Firhad ceria. Dayana sudah hilang rajuknya. “Okay, handbag mana pula yang you tengok baru-baru ni?”
Tangan menampar manja lengan Firhad. “You memang kekasih sejati I! Memang tahu sangat apa yang I nak kan..”
“Memanglah. I tahu apa yang you minat sangat. Okay, now tell me.. Which handbang?”
“I pergi Pavillion dengan Pretty kelmarin.. Sayang, I memang jatuh hati sangat dengan satu beg LV ni. Can I get it, please?”
Firhad melepaskan tawanya. “Kalau dah buat muka manja macam ni takkanlah I sampai hati nak cakap no?”
“Auuu, thank you sayang! Love you triple lah macam ni..”
Swipe the card. Nanti I bayar, okay?”
Yay! Nak kopi lagi?”
“No.. No. I nak kena balik. Risau pula tinggalkan Riana dekat rumah tu.”
“Ala, baru pukul 10.30 malam ni.. Kejap lagi you baliklah. Esok bukannya  masuk office pun. Lama lagi cuti kan.”
“Esok lepas you balik kerja I datang lagi okay?”
“Benci betul!”
“Janganlah benci.. I sayang you tau.”
“Ei, I harap cepatlah sikit you ceraikan Riana tu. Dah lama tau I tunggu . Makin lama nanti makin benci pula I dengan dia.”
Okay sayang.. I balik dulu ya.”
Dayana memerhatikan Firhad yang bergerak meninggalkan kondonya. Memerhati belakang Firhad. Lelaki itu lelaki kesayangan dia. Milik dia untuk selama-lamanya. Dia cintakan Firhad.  Riana yang merampas Firhad daripada dia.


Friday, 5 February 2016

Bab 11 Dia Lelaki Idaman Hati


Senyuman Riana manis sahaja sepanjang majlis berlangsung. Akhirnya satu lagi impian dalam 101 impian dia terlaksana. Bayangkan semua persiapan ini dilakukan dalam tempoh sebulan. Bersungguh betul Puan Nani dan ibu mahu dia berkahwin dengan Firhad. Dia pula terasa semua ini macam mimpi!
Terasa macam baru semalam Firhad lamar dia di restoran, tup tup hari ini dia sudah pun berkahwin dengan lelaki itu.
Anak mata melilau juga di sekeliling dewan mencari seraut wajah yang sudah seminggu dia langsung tidak bertentang mata. Selepas dia bergaduh dengan Raffael, Rozaidi mengambil alih tugas menyiapkan projek hiasan dalaman untuk syarikat Raffael.
Ada juga ternampak kelibat Raffael datang ke pejabatnya untuk bertemu dengan Rozaidi namun lelaki itu langsung tidak menegur dia! Terasa hati? Memanglah dia terasa hati dengan Raffael kerana mereka pernah rapat dan tiba-tiba sahaja lelaki itu melayani dia seperti tidak pernah mengenali antara satu sama lain.
Akhirnya Riana mengalah juga untuk menegur Raffael ketika lelaki itu datang bertemu dengan Rozaidi. Tetapi apa yang Raffael katakan kepada dia sungguh mengecewakan hati dia. Kalau dia boleh ulang semula apa yang dia tuturkan kepada lelaki itu dua minggu lalu, dia takkan minta Raffael jangan muncul depan dia! Dia akan terima Raffael sebagai kawan dia.
“Urusan syarikat saya dengan syarikat awak dah selesai. Saya janji dengan awak yang saya takkan muncul depan awak lagi lepas ni Ria.” Itu kata-kata Raffael yang menyebabkan dia menangis setiap malam. Merenung telefon bimbit menanti panggilan daripada Raffael namun hampa.
Tetapi yang menjadi persoalan dia sekarang ialah ke mana Raffael menghilang? Adakah lelaki itu benar-benar tidak mahu muncul di hadapan dia lagi? Dua hari lepas dia ada membuka laman facebook lelaki itu namun Raffael tiada dalam senarai carian dia. Adakah Raffael menyekat dia daripada melihat laman facebook lelaki itu?
Sesekali ada juga terbit rasa rindu kepada Raffael. Dia cintakan Firhad namun dalam  masa yang sama dia turut menyimpan rasa sayang pada Raffael. Dia sukakan lelaki itu, walaupun Raffael sedikit nakal tetapi lelaki itu sangat mengambil berat tentang dirinya lebih daripada apa yang Firhad lakukan.
Menelefon dia setiap malam sebelum tidur, memastikan dia makan setiap pagi sebelum masuk kerja dan paling dia suka ialah lelaki itu kerap muncul di hadapannya secara tiba-tiba. Riana memejamkan matanya. Cuba melenyapkan wajah Raffael yang terlayar diruang mindanya.
Sorry, abang nak ke sana kejap.” Lamunan Riana termati apabila Firhad meleraikan tautan tangan mereka.
Ish, takkan sebab Firhad tarik tangan pun dia nak terasa hati? Tak logik! Riana memujuk hatinya. Dia tidak tahu kenapa dia terasa hati dengan sikap Firhad yang nampak seperti tidak gembira dengan majlis malam ini.
Mata melirik memerhati pergerakan kaki Firhad. Lelaki itu mendekati sepasang perempuan yang duduk di bahagian tengah dewan.
Entah kenapa bibir terlepas keluhan berat. Kenapa Firhad nampak seperti tidak gembira? Adakah lelaki itu tidak sukakan perkahwinan mereka?
Bahu yang dicuit dari belakang membuatkan Riana menoleh. “As..”
“Apasal muka masam aje ni?” Soal Asma yang segak berkebaya warna merah.
“Sorang aje ke?”
“Kau nampak ada berapa ramai lagi aku bawak? Sorang ajelah cik kak oi..” Riana angguk. “Apahal muka pengantin masam aje ni?”
“Dia tak datang As..”
Asma mengerti maksud Riana. Dia yang dimaksudkan oleh Riana adalah Raffael. “Mungkin dia tak nak lukakan hati dia sendiri. Kau rasa apa perasaan dia kalau tengok kau bersanding dengan Ad malam ni? Mesti terluka, kan?”
Riana angguk perlahan. Masih rasa bersalah terhadap Raffael. “Aku tak tahu apa yang aku rasa.. Aku sedih bila teringatkan dia. kenapa dia tinggalkan aku?” Mata Riana mula berkaca.
Hey, tak elok kau buat macam ni Ria! Kau yang pilih Ad.. kau sepatutnya gembira dengan perkahwinan kau ni.”
“Ad macam tak happy je. Kau perasan tak?”
Asma menoleh mencari wajah Firhad yang dimaksudkan oleh Riana. Dari jauh dia nampak Firhad berbual dengan seorang perempuan. Agak serius riak wajah lelaki itu. “Mungkin dia happy tapi tak tunjuk dekat kau kot. Jangan risaulah. Kau ni banyak sangat fikirlah Ria!”
“Aku… aku harap sangat dia datang.”
“Ria, kau dah buat keputusan. Kau tak boleh macam ni tau! Berdosa!”
Riana angguk perlahan. Dia tak boleh tamak. Dia cintakan Firhad. Dia tak boleh lukakan hati Raffael. “Aku akan lupakan dia. Kau doakan aku, As?”
“Ishh, kau ni. Mestilah aku sentiasa doakan kau!”
Puan Nani mendekati Riana dan Asma. “Asma, auntie nak pinjam Ria kejap ye.”
“Eh boleh auntie.. Boleh.” Asma beredar meninggalkan Riana dan emak mertuanya.
“Ria, monyok aje mama tengok..”
Riana tersenyum kepada Puan Nani. Dia gembira melihat senyuman yang terukir di bibir Puan Nani dan ibu dia sepanjang hari. Memang kedua-dua orang tuanya nampak sungguh bahagia. Dia? Oh, haruslah dia seronok kerana akhirnya dia berkahwin dengan Firhad.
Kahwin dengan Firhad okay. Kawan-kawan sekolah menengah dia semua terkejut semasa dia menghantar kad jemputan kepada mereka. Semua terasa kagum dengan cara dia mengikat hati Firhad selama berbelas tahun sejak mereka kecil.
Soal hati dan perasaan dia terhadap Firhad bukan lagi rahsia dalam kalangan rakan-rakan sekolah dahulu. Lelaki kacak itu sering saja mengambil dan menghantar dia ke sekolah. Cuma sejak Raffael meluahkan rasa cinta, hati dia terkesan sedikit. Menolak cinta lelaki itu, memang menyakitkan hati dia. Sungguh dia tidak tahu kenapa! Mungkin kerana Raffael adalah lelaki yang paling rapat dengan dia agaknya. Dia sukakan kehadiran lelaki itu.
“Mama nak ucapkan terima kasih kepada Ria sebab sudi terima anak mama..” Kedua-dua belah tangan Puan Nani memegang kedua-dua tangan Riana. “Mama yakin Ria mampu untuk jaga Ad dengan baik.. Mama yakin cinta Ria mampu untuk membahagiakan Ad.” Ada sinar yang berkaca-kaca dalam mata emak mertuanya.
“Mama ni.. Macamlah Ria buat pengorbanan besar sangat. Ria kahwin dengan Abang Ad ajelah mama. Kalau mama bahagia, Ria lagi berkali-kali ganda bahagia dengan keputusan yang Ria buat.”
Serta-merta Riana tenggelam dalam pelukan Puan Nani. “Thank you! I love you. Mama harap walau apapun yang berlaku, Ria kuat dan tayah.”
Dup dap dup dap.
Puan Nani buat pesanan macam ini buat dia rasa nak meletup aje jantung dia. “Kenapa mama pesan macam ni.. Takut Ria tau.”
“Mama ni makan garam dulu sebelum Ria.. Asam garam dalam rumah tangga Ria.. Ada pasang surutnya. Jadi mama harap Ria kuatkan semangat.”
Aduh! Baru sehari kahwin Puan Nani dah pesan macam ni dengan dia? Allah! Buat dia rasa gelayah aje. Buat dia rasa macam Firhad nak tinggalkan dia aje suatu hari nanti. Mama, ini bukan kisah novel mama! Mama janganlah buat dia rasa susah hati pula.
“Mama janganlah cakap macam ni. Ria baru aje kahwin tau.. Ria nak bahagia sampai bila-bila. Seumur hidup!”
Sekali lagi tubuh Riana tenggelam dalam pelukan emak mertuanya. “Mama minta maaf kalau mama ada buat salah dan silap pada Ria..”
Nah! Ini lagilah buat dia rasa nak pengsan. “Apa mama cakap ni?”
“Kalau Ad ada sakitkan hati Ria, Ria cakap aje dengan mama. Biar mama ajar anak lelaki mama supaya lebih menghargai dan menyayangi perempuan yang baik macam Ria. Ingat tau pesan mama ni.. Kalau Ad ada buat Ria sakit hati, let me know. Tahulah mama nak ajar dia nanti.”
Riana ketawa kecil. Mata mencari wajah Firhad. Lelaki itu masih berbual dengan seseorang yang sama sejak tadi. Kata nak beramah mesra dengan tetamu. Dari tadi asyik tetamu yang sama aje.
“InsyaAllah, mama. Ria akan ingat pesanan mama sampai bila-bila. Kalau abang buat yang bukan-bukan pada Ria, Ria akan cepat-cepat cakap dengan mama.”
Puan Nani mengucup pipi menantunya. Sayangnya dia pada Riana. Sejak dulu lagi memang dia sangat-sangat sukakan Riana. Bila Firhad terbuka hati untuk menerima Riana, dia bersyukur kepada Allah swt. Dia lega akhirnya Riana menjadi menantu dia. Memang itulah yang dia harapkan selama ini.
“Mama nak pergi jumpa Datin Maimom dekat sana. Jom pergi sekali.”
Riana mengikut langkah Puan Nani. Tidak banyak soal.
Mendengar ada suara yang agak tegang dari dalam bilik, Riana berdiri kaku dia depan bilik pengantin. Tak jadi mahu menerpa ke dalam sana. Dari celah pintu yang sedikit terbuka, Riana mengintai mencari wajah yang berada di dalam bilik itu.
“Ad, kau ni memang idiot okay! You really don’t love her.. Aku tak faham betul perangai kau ni Ad! Kau patutnya kahwin dengan orang yang kau sayang bukannya membuta tuli dengar cakap mama dan papa!”
Mata Riana terbelalak besar. Telinga dia tak salah dengar.
“Kak Yati boleh tak diam? Jangan masuk campur dalam urusan Ad. Ad tahulah apa yang Ad buat..”
Fitriyati tergelak kecil. Tahu apa yang dibuat konon!
“Kau ni sampai bila nak jadi anak mama? Kau nak dengar aje cakap mama tu? Kau ada hak untuk mempertahankan hak kau Ad..” Fitriyati berjeda sebentar. “Ad, kau adik aku.. Aku sayangkan kau. Aku tak nak lihat kau tak bahagia dengan perkahwinan bodoh ni!”
Riana menekup mulutnya.
Perkahwinan bodoh? Apa maksud Fitriyati? Kenapa dia tidak tahu apa-apa rancangan di sebalik perkahwinan dia? Adakah Firhad berkahwin dengan dia disebabkan oleh harta Puan Nani dan Encik Musa? Adakah lelaki itu bimbang jika mereka berdua tidak berkahwin maka Encik Musa akan mewariskan hartanya kepada orang lain?
Oh Tuhan, adakah Firhad lelaki seperti itu?
Patutlah hari ini Puan Nani pesan kepada dia seperti ada rahsia yang tersimpan rupanya memang ada rahsia disebalik perkahwinan dia dengan Firhad! Sampai hati mereka menipu dia sehingga ke tahap ini! Sampai hati mereka.
“Kak, please get out. Nanti Ria naik dia dengar perbualan kita.”
“Takut?” Fitriyati buat muka selamba. Mengejek adiknya. “Riana tu manja! Aku rasa menyampah tengok dia dengan mama.. Asyik nak berkepit dengan mama sepanjang hari. Ei, berbulu mata aku ni kau tahu tak? Kau ni Ad, kalau nak kahwin pun carilah perempuan yang matang sikit. Kenapa kau tak kahwin aje dengan orang lain?”
“Kak! Ad dah kahwin kan? Jadi can  you please respect my decision?”
“Macam mana aku nak hormati keputusan kau kalau keputusan yang kau buat tu tak betul Ad? Aku sebagai kakak kau aku ada hak untuk nasihatkan kau. Kau dah silap buat keputusan kali ni. She can’t be a good wife.”
Riana telan satu per satu kata-kata kakak iparnya. Dia tidak mampu untuk menjadi isteri yang baik? Sedaya-upaya hati yang mahu meletup disabarkan. Riana menarik nafas beberapa kali sebelum mengetuk pintu bilik Firhad. “Abang..” Daun pintu ditolak sedikit. Dia yakin wajah dia adalah tenang dan selamba ketika ini.
“Eh Ria.. Masuklah. Em, Kak Yati can  please excuse us?” Fuh! Nasib baik Riana muncul. Boleh juga dia halau Fitriyati. Kalau tak sampai esoklah dia dengar kakak dia membebelkan dia. Suka hati dialah nak kahwin dengan siapa pun!
Fitriyati menjeling tajam kepada Riana. Riana hanya tersenyum kepada Fitriyati. Malas mahu melancarkan perang dengan kakak iparnya. Sabarlah Riana. Bukan semua orang sukakan kita sedangkan kita pun tak sukakan semua orang.
Riana yang baru sahaja hendak berlalu ke bilik air diseru oleh Firhad. “Ria..”
“Ya?” Riana menapak mendekati suaminya.
“Abang ada benda nak cakap dengan Ria.”
Jantung berdetak laju. Adakah lelaki ini mahu berkahwin lain? Adakah Firhad mahu berterus-terang sebab mereka berdua berkahwin? Adakah Firhad nak bagitahu dia kalau mereka tidak berkahwin Firhad akan kehilangan harta milik keluarganya?
Riak wajah dimaniskan sedaya-upaya. Riana duduk di bucu katil. “Cakaplah..” Senyuman manis dilemparkan kepada Firhad. Cuba berlagak tenang. Dia tidak tahu apa yang ada di dalam hati lelaki ini. Firhad menyatakan perasaan cinta yang amat sangat terhadap dia ketika melamar tidak lama dahulu.. Adakah rasa cinta itu palsu?
“Sebenarnya abang nak minta maaf pada Ria.”
“Kenapa?”
“Abang tahu Ria dengar perbualan abang dengan Kak Yati tadi, kan? Abang minta maaf sebab kita terpaksa terima perkahwinan ini..”
Terpaksa terima perkahwinan ini? Apa maksud Firhad? Dia ikhlas dalam perkahwinan ini! Dia bahagia saat Firhad melafazkan akad terhadap dia siang tadi. Dia perempuan paling bahagia kerana berkahwin dengan lelaki yang dia cintai!
“Ria tak faham.” Sumpah dia keliru!
“Abang minta maaf kalau abang ada lukakan hati Ria..”


“Apa maksud abang lukakan hati Ria?”
Firhad melarikan anak matanya apabila Riana memandang tepat ke wajahnya. “Abang terima perkahwinan ni sebab mama.” Perlahan ayat itu meluncur keluar dari bibir Firhad.
Jantung bagaikan direntap dari kedudukan asal dalam tubuhnya. Terasa hancur luluh hati dia. Inikah hadiah malam pertama yang sepatutnya dilayari dengan penuh rasa bahagia? Malam pertama yang dia bayangkan selama ini adalah indah. Malam yang penuh dengan ungkapan kata cinta dan janji setia sehingga ke hujung nyawa. Malam pasangan bercinta mengikat janji sehidup semati dan menanti di pintu syurga.
Tangan yang terasa menggeletar digenggam kuat. Tuhan, tolonglah berikan aku kekuatan! Riana tunduk memandang lantai.Kemudian perlahan-lahan kepala diangkat dan mata memandang ke arah suaminya.
“Kalau abang tak cintakan Ria kenapa dulu masa abang ajak Ria kahwin, abang cakap abang sayangkan Ria?” Air mata yang cuba dikawal tidak mampu untuk dibendung. Betullah kata kakak iparnya, dia manja! Terlalu manja.
Firhad duduk di bucu katil bersebelahan Riana. Mengeluh lemah. Dia sudah menjangkakan pengakuannya akan dibalas dengan air mata Riana. “Ria, abang memang sayangkan Ria tapi… Abang buat semua ni sebab mama. Ria tahukan mama sakit..Abang tak boleh lukakan hati mama.”
“Jadi abang buat ni sebab nak jaga hati mama? Habis macam mana dengan hati Ria?” Soal Riana keras.
“Abang minta maaf.. Abang hanya jujur dengan Ria.”
“Kejujuran abang melukakan hati Ria!”
“Tolong bagi abang masa. Please,”
“Masa untuk apa? Untuk abang buang Ria atau masa untuk abang jatuh cinta dengan Ria?” Firhad mengangkat mukanya memandang wajah Riana yang duduk disebelahnya. Wajah jelita itu sudah comot dengan air mata.
“Bagi abang masa untuk anggap Ria sebagai isteri abang.”
Riana tergelak kecil mendengar sebaris ayat itu. “Habis sekarang ni abang anggap Ria sebagai apa?”
“Abang.. Abang rasa pelik dengan hubungan kita. Abang tak boleh terima kehadian Ria secara tiba-tiba dalam hidup abang.. Abang rasa janggal.”
Riana menarik nafas dalam-dalam. Air mata yang mengalir diseka laju. Dia harus kuat! Dia tidak akan sesekali menunjukkan yang dirinya lemah di hadapan Firhad.  “Cakaplah. Ria bukannya budak kecil yang manja macam dulu lagi.. Ria cukup matang dalam hal ini. Kalau pun Ria masih belum matang, Ria akan cuba untuk jadi matang.”
“Abang anggap Ria macam adik abang. Abang tak boleh sentuh Ria sebab ..” Luahan Firhad terhenti. Bimbang dia akan mengecilkan hati Riana.
“Sebab abang rasa jijik?”
“Tak Ria.. Bukan macam tu. Abang sayangkan Ria macam abang sayangkan adik abang.. Abang anggap Ria macam adik abang.”
I am your wife not your sister!” Riana bangun berdiri di hadapan suaminya. Kecewa dengan pengakuan Firhad.
Please bagi abang masa..”
Kepala berulang kali digelang kuat. Dia mengharapkan semua ini adalah mimpi! Pengakuan yang terbit dari mulut Firhad hanyalah lakonan untuk menguji cinta dia kepada lelaki itu.
“Cakap dengan Ria berapa banyak masa yang abang perlukan? Masa untuk apa yang abang nak?”
“Riana.. Abang tak boleh cintakan Ria.”
“Kenapa? Sebab abang ada perempuan lain?” Tuduh Riana tanpa usul periksa.
No. Bukan macam tu.. Bukan pasal perempuan lain. Jangan tuduh abang macam tu Ria. Please.”
“Habis kenapa? Cakap dengan Ria apa salah Ria sampai abang sanggup buat Ria macam ni! Kita kenal sejak kecil, tergamak abang lukakan hati Ria sampai macam ni semata-mata untuk jaga hati mama abang? Habis hati Ria siapa nak jaga? Kalau Ria tahu abang tak cintakan Ria, Ria pun tak ingin kahwin dengan abang!” Tangisan Riana makin kuat. Tubuh sudah terhinjut-hinjut akibat sedu. Tiba-tiba sahaja tubuh Riana melorot ke lantai. Lutut terasa lemah untuk menampung berat badannya kini. “Ria ikhlas cintakan abang.. Ria tak pernah ragu perasaan abang pada Ria.. Tak sangka abang hanya mempermainkan hati Ria sebab nak jaga hati orang lain.”
“Abang minta maaf..”
Riana menggeleng lemah. Dia sudah tidak mampu untuk berdepan dengan suaminya. Terasa seperti dia tidak bermaruah pula andai dia merayu kepada Firhad. Biarlah lelaki itu yang membuat keputusan tentang hala tuju perkahwinan mereka yang hanya berusia beberapa jam selepas diijabkabulkan siang tadi. “Ria tidur di bilik tetamu.” Baru sahaja Riana menoleh, tangannya disambar oleh Firhad.
“Nanti mama nampak.. Ria tidur dekat atas katil, abang tidur dekat sofa.”
Takut? Firhad takut kalau Puan Nani tahu mereka sebenarnya bermasalah? “Abang nak kita berlakon bahagia depan keluarga kita, kan?” Wajah bersalah Firhad ditenung garang.
“Ria boleh tolong abang, kan? Dulu sebelum kita kahwin, Ria cakap Ria nak jadi isteri yang terbaik untuk abang.. Please, kita mulakan dengan yang ini?”
Anak mata segera dilarikan apabila Firhad merenung ke dalam matanya. Dia tahu dia akan kalah. Dia terlalu sukakan Firhad. Dia sayangkan Firhad sejak dulu lagi. “You hurt me, abang..Very much.”
Sumpah dia terluka. Beberapa bulan yang lalu dia terbuai dengan perasaan indah dicintai oleh Firhad, rupanya lelaki itu hanya mempermainkan dia sahaja. Berpura-pura mencintai dia semata-mata untuk mengaburi mata semua orang.
Tubuh Riana didakap erat. Bukan mahu mengambil kesempatan tetapi melahirkan betapa dia rasa bersalah terhadap Riana. “I am so sorry, Ria.. Abang tahu this is so mean to you  tapi abang kena berlaku jujur pada Ria. Abang tak nak Ria lebih terluka pada masa akan datang.”
Jadi pada fikiran Firhad eloklah jika dia dilukai sekarang berbanding dilukai pada masa akan datang? Bagaimana Firhad boleh tahu yang dia akan lebih baik jika dilukai sekarang bukannya pada masa akan datang?